Friday, July 20, 2007


“Mahkamah Rayuan Pergi Bersuka-Suka”

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

The Court of Appeal went on a frolic of its own.”

Demikian antara “hukuman” yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi negara – pada 19 Julai bersabit kes Fawziah Holdings lawan Metramac Berhad dan rayuan Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Halim Saad.

Daim dan Halim merayu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan (expunge) lima perenggan daripada penghakiman hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram yang mereka dakwa mencemarkan nama mereka.

Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, “went on frolic of its own” bermaksud lebih kurang “pergi bersuka-suka atas kehendaknya sendiri.”

Untuk memperjelaskan lagi maksud “frolic”, izinkan saya merujuk kepada adegan yang kerap berlaku dalam filem Hindustan atau Tamil di mana pasangan kekasih berkejar-kejaran sambil menyanyi dan menari di taman bunga tanpa mempedulikan sesiapa.

Kamus bahasa Inggeris mentakrifkan “frolic” sebagai “to leap and skip about playfully” atau “to behave riotously.”

Dalam bahasa Melayu, ia bermaksud melompat dan melangkah dengan gembiranya atau berkelakuan melucukan.

Atas alasan itu dan beberapa hujah lagi, panel Mahkamah Persekutuan yang dianggotai Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed, Datuk Alauddin Mohd. Sheriff dan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman membenarkan permintaan Daim dan Halim Saad.

Daim dan Halim memohon dipadamkan (expunge) komen-komen yang terkandung dalam perenggan 13, 16, 17, 18 dan 34 penghakiman bertulis Sri Ram bertarikh 12 Januari tahun lalu yang didakwa telah mencemarkan nama baik mereka.

Abdul Hamid, ketika membaca penghakiman bertulis 18 halaman itu, antara lain, berkata:

“Dalam kes yang ada di depan kami, kenyataan yang tidak wajar dan memburuk-burukkan seseorang telah dibuat oleh hakim yang arif (Sri Ram) dalam penghakimannya sedangkan Tun Daim bukanlah pihak yang berkenaan atau seorang saksi, di mana beliau tidak mempunyai sebarang peluang bagi membuat penjelasan atau mempertahankan diri, di mana tidak terdapat bukti meyakinkan di dalam rekod bagi menyokong kenyataan berkenaan, di mana beliau tidak disebut dalam rayuan atau dalam penghakiman oleh hakim perbicaraan.”

Beliau menambah, pendekatan yang sewajarnya diambil oleh hakim perbicaraan ialah menimbang sama ada kenyataan berkenaan adalah kesat, boleh dipertikaikan, bersifat memburuk-burukkan seseorang, tidak adil dan tidak wajar.

Sekali gus, Abdul Hamid mengingatkan para hakim tentang kesan serius yang mungkin tercetus akibat kenyataan mereka dan menyarankan agar mereka mengambil iktibar daripada kes ini.

Kontroversi ini tercetus ketika Sri Ram membuat keputusan memerintahkan Metramac (yang pernah dimiliki oleh Halim) membayar RM65 juta kepada syarikat pembinaan Fawziah Holdings Sdn. Bhd. kerana tuntutan berkaitan perjanjian papan iklan dan iklan di antara mereka.

Kes itu diberi liputan meluas oleh media apabila dalam penghakiman bertulisnya Sri Ram membuat ulasan bahawa Halim dan rakan niaganya, Datuk Anuar Othman, mengambil RM32.5 juta daripada Metramac dan mereka mendapat naungan Daim.

Mahkamah Persekutuan yang sama juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan memerintah ganti rugi RM65 juta kepada Fawziah Holdings kerana ia mengandungi “unsur bahaya berat sebelah yang nyata” (elements of real danger of bias).

Malanjun berhujah: "Pada pandangan kami, andaian dan imaginasi hakim-hakim Mahkamah Rayuan menjadi keutamaan manakala bukti yang dikemukakan diabaikan.”

(“In our view, it was their (the Appeals Court judges) inferences and imagination that took the centrestage, leaving the evidence adduced on the back seat.”)

“Dengan segala hormat, kami mendapati Mahkamah Rayuan telah pergi bersuka-suka atas kehendaknya sendiri.”

("With respect, we find that the Court of Appeal went on a frolic of its own.")

Kesimpulannya, melalui dua penghakiman ini, Mahkamah Persekutuan dengan jelas menghantar mesej kepada anggota kehakiman bahawa ia tidak teragak-agak bertindak tegas demi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan integriti kehakiman.

Yang tidak kurang menarik ialah apakah implikasi penghakiman ini terhadap kedudukan dan imej Sri Ram dan, sedikit sebanyak, ke atas Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin yang turut dibabitkan dalam perbicaraan itu.

4 comments:

marn said...

awatnya jadi lagu tu? adakah hakim sri ram tu dengan niat dan sengaja nak burukkan nama Daim dan anak didiknya?

apa implikasi terhadap masyarakat umum dalam kes nih? mungkinkah mantan menteri memang bersalah dalam hal ni, tapi disebabkan kekurangan bukti ataupun masih lagi 'untouchable' walaupun sudah tidak menjadi menteri.

Mungkinkah ianya sekadar percubaan menjolok sarang tebuan? Ataupun sandiwara mereka yang berada di atas?

Indigo said...

Datuk The Scribe,
Salaam

THE KEADILAN MAN!!!

Mahkamah Persekutuan yang sama juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan memerintah ganti rugi RM65 juta kepada Fawziah Holdings kerana ia mengandungi “unsur bahaya berat sebelah yang nyata” (elements of real danger of bias)???

"Pada pandangan kami, andaian dan imaginasi hakim-hakim Mahkamah Rayuan menjadi keutamaan manakala bukti yang dikemukakan diabaikan.”?????

have the hakims been reading the blogs?
so what happens to fawziah? migrane or migrate?
who is fawziah gonna call?
ghostbusters?

who do you call?

Bung Samad Said!
wait till get to you!
you crazy old coot! HAAAAAAAAH!

kelawar sesat terbang ke tasik
melencong tikaman
dari terburai inti masa
dari gelap penjuru tercekup
bangau main biola
berkata-kata suara
hanya beberapalah helai surat
menceritakan setahun hari- hari
sehari-hari raja bahasa keluar mengembara

Tumpang Bebel Aje said...

Bagi pembaca yang mempercayai bahawa Tun Daim sememangnya terkenal dengan permainan kotor dan rasuah, mereka ini akan terus mempercayai perkara demikian. Maka, mereka mungkin akan menganggap bahawa Mahkamah Persekutuan telah dibayar untuk bersekongkol dengan Tun Daim. Hakim-hakim Mahkamah Rayuan itu pula akan dilihat sebagai mempunyai integriti dan menyokong "orang kecil". Persepsi manusia memang pelbagai, apatah lagi bila melibatkan ahli politik. Pada mata umum rakyat, sukar untuk Mahkamah benar2 membersihkan/mencemarkan nama sesiapa.

Soalan Datuk tentang hakim2 Mahkamah Rayuan.. terpaksalah kita wait and see..

AMLG said...

Banyak keputusan penghakiman Gopal Sri Ram kebelakangan ini dilihat mempunyai kecenderungan politik dan pihak tertentu.

Gopal Sri Ram juga banyak membuat keputusan bersandarkan akal beliau bukannya Undang-undang.

Contoh:

1. PUTRAJAYA 12 Mac – Seorang ibu beragama Hindu, R. Subshini gagal mengekalkan injunksi bagi menghalang dua anak lelakinya yang masih bawah umur daripada diislamkan oleh suaminya, T. Saravanan yang memeluk agama Islam, tahun lalu.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan menolak dengan kos rayuan yang dikemukakan Subashini terhadap keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aziah Ali yang mengetepikan perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) tersebut pada 25 September tahun lalu.

Dalam keputusan majoriti itu juga, Mahkamah Rayuan membenarkan dengan kos rayuan Saravanan terhadap perintah injunksi Erinford sementara menunggu rayuan berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan majoriti dicapai bersama oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Datuk Hasan Lah manakala Hakim Datuk Gopal Sri Ram yang mengetuai sidang panel tiga hakim itu, membuat keputusan menentang (dissenting).

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Suriyadi berkata, Subshini mahu menghalang bekas suaminya daripada menamatkan perkahwinan mereka secara rasmi di mahkamah syariah tetapi pada masa yang sama, dia sendiri mahu membubarkan perkahwinan itu di mahkamah sivil.


2. Hakim Paul berkata, Hakim Gopal Sri Ram betul apabila menyatakan bahawa prinsip Lam Kong telah diputuskan secara salah namun malangnya, beliau bukan orang yang berkuasa yang dibenarkan oleh undang-undang untuk menyatakan pandangan itu.

``Oleh kerana kedua-dua kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, maka beliau perlu mematuhinya walaupun beliau tidak bersetuju dengannya.

``Pendiriannya secara nyata menunjukkan beliau tidak mempedulikan langsung doktrin stare decisis yang menjadi amalan mahkamah di negara ini,'' katanya.

Hakim Paul berkata demikian dalam penghakiman bertulis yang membenarkan permohonan Metramac untuk mendapat kebenaran merayu terhadap perintah injunksi yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Oktober tahun lalu.

3. Pada 19 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Lina Joy yang mengaku murtad, untuk menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Keputusan itu dicapai secara majoriti 2-1 dengan dua hakim iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Mohamad dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Arifin Zakaria menolak rayuan itu manakala Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram membenarkannya.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).