Sunday, November 09, 2008

Obama Presiden Darah Campuran Pertama AS

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PADA hari Rabu, 5 November saya singgah minum teh tarik dan roti bakar di sebuah kedai kopi Cina di Kuala Kangsar, berhampiran menara jam (clock tower), setelah mengikuti siaran langsung kemenangan Barack Hussein Obama II dalam pilihan raya Presiden Amerika.

Kedai lama ini adalah antara kopitiam tradisional kegemaran saya. Roti bakar dan mi/mihun kicapnya cukup lazat. Kedai lama macam ini mana ada logo halal. Tapi separuh pekerja dan pelanggannya Islam, jadi kira halallah.

Apabila saya membuka komputer riba (laptop) saya untuk melayari Internet, salah seorang pekerja Cina kedai itu bertanya sama ada Obama menang. Saya kata ya. Dia nampak cukup gembira dan dalam bahasa Cina menghebahkan berita itu.

Banyak blogger turut gembira dan menulis mengenai kemenangan Obama. Saya pun turut gembira kerana pada awalnya saya tidak yakin Obama dan parti Demokrat boleh memang.

Tetapi beliau memang besar dan mencipta sejarah sebagai orang bukan kulit putih pertama dipilih Presiden. Tetapi ramai pelapor dan pengulas melakukan kesilapan apabila melabelkan Obama sebagai orang kulit hitam atau orang Negro.

Obama bukan orang kulit hitam atau Negro. (Negro dalam bahasa Sepanyol (Spanish) dan Portugis bermaksud hitam, justeru itu orang kulit hitam daripada perkataan Latin Niger.) Dia berdarah campuran. Ibunya seorang kulit putih Amerika dan bapanya seorang kulit hitam Kenya.

Bapanya bernama Barack Hussein Obama, dari suku Luo. Hari ini kebanyakan anggota suku kaum Luo beragama Kristian walaupun ada juga yang beragama Islam.

Saya bertanya Yahoo search (pencarian Yahoo) adakah Barack Hussein Obama Sr beragama Islam? Jawapannya: “Obama Sr. was raised as a Muslim, but later became an atheist.” (Obama Sr. dibesarkan sebagai seorang Muslim, tetapi kemudiannya menjadi seorang atheist.) Atheist didefinisikan sebagai seorang yang tidak percayakan Tuhan atau menolak kewujudan Tuhan.

Ibunya seorang wanita kulit putih Amerika bernama Ann Dunham dari negeri Kansas yang berdarah campuran Inggeris, Irish dan Jerman. Dia dikatakan seorang “agnostic” (orang yang mencurigai kewujudan Tuhan.) Obama pula adalah seorang penganut Kristian.

Namun, bagi sebuah negara kulit putih yang menjadikan orang Negro hamba abdi yang boleh dijual-beli, dipaksa, diseksa dan diperkosa selama 400 tahun, kemenangan seorang berdarah campuran kulit putih dan kulit hitam adalah menakjubkan.

Empat faktor bersekongkol untuk memberi kemenangan kepada Obama:-

1. Karisma beliau yang menyerlah walaupun masih mudah dan baru empat tahun dalam politik kebangsaan Amerika sebagai Senator;

2. Kebencian terhadap Presiden George W Bush dan parti Republikan, khasnya mengenai penaklukan Iraq;

3. Krisis ekonomi yang melanda Amerika (dan dunia) bermula dengan krisis sub-prima akhir tahun; dan

4. Peningkatan pendaftaran pengundi muda dan pengundi kali pertama, khasnya apabila Obama memang pencalonan parti Demokrat.

Kemenangan Obama mengingatkan saya kepada Douglass Dilman, watak utama dalam novel “The Man” (1964) karya Irving Wallace.

Dilman, seorang kulit hitam, menjadi Presiden Amerika apabila Naib Presiden mati dan Presiden serta Speaker Dewan Perundangan terbunuh dalam kemalangan ketika melawat ke luar negara. Ini menyebabkan kuasa pewarisan jatuh kepada Dilman yang memegang jawatan Presiden Pro Tempore Senat.

Ironinya, Wallace menulis buku itu setahun sebelum Kongres meluluskan Akta Hak Mengundi 1965 (Voting Rights Act) yang memberi hak mengundi sejagat kepada orang kulit hitam.

Sebelum wujud akta itu, pelbagai helah dilakukan, khasnya di negeri-negeri di selatan Amerika, bagi menyekat orang kulit hitam daripada menjadi pemilih dan membuang undi.

Walaupun Amerika merdeka pada tahun 1776, namun orang Negro terus menjadi hamba abdi dan dinafikan hak asasi mereka sehingga tahun 1960an apabila berlaku Pergerakan Hak Sivil (Civil Rights Movement) orang kulit hitam yang dipelopori oleh Dr Martin Luther King yang terkenal dengan slogannya “I have a dream”.

Pada waktu itu, rakyat pelbagai kaum, asal keturunan dan agama di negara kita sudah pun menikmati hak asasi manusia dan hak mengundi sejagat.

Orang Afrika Amerika, sebagai kaum minoriti, masih miskin dan terpinggir berbanding kaum majoriti kulit putih. Kadar kemiskinan di kalangan mereka adalah 24.7 peratus pada tahun 2004.

Berlainan halnya dengan di negara kita di mana kaum minoriti sejak merdeka lagi diberikan kuasa politik dan mendahului kaum majoriti dalam aspek pemilikan kekayaan hinggalah ke hari ini.

Jadi eloklah kita dalami dan fahami sejarah negara kita terlebih dahulu sebelum kita membuat perbandingan dengan Amerika dan terlalu taasub dengan kemenangan Obama.

Lagipun, ada pengulas mengatakan Obama mungkin lebih “dingin” terhadap isu orang kulit hitam dan kaum minoriti dalam usahanya menampilkan dirinya sebagai Presiden berdarah campuran yang adil kepada semua pihak.

45 comments:

Quantum Metal Consultant said...

Malaysia kekurangan obama, tetapi lebih banyak obangau obangau..

HANAFIAH ABDUL RAHMAN said...

Datuk,
Satu fakta yang datuk mungkin terlepas pandang ialah jumlah latino or hispanic di Amerika adalah lebih daripada jumlah African American, dan jumlah itu sedang meningkat dengan kadar yang tinggi. Ini tak termasuk Alien (PATI dalam bahasa kerajaan Malaysia) yang menyeludup masuk ke Amerika dari semua arah termasuk dari kanada. Mungkin dalam pilihanraya yang akan datang, seorang Julio atau Gonzalez akan di lantik menjadi President dan Naib President Amerika.

adios senor.

Akar Umbi said...

Saya tidak pasti samada pemilihan Obama sememangnya atas faktor kepimpinan dan ketokohannya. Kini saya agak pesimis dalam memilih kepimpinan di Malaysia. Saya memandang bahawa pemilihan kepimpinan tanpa mengira mana atau organisasi mana,kini bergantung kepada trend. Dalam bahasa mudah, umpama memilih fesyen terkini (barangkali?).

Anonymous said...

Dato',
Kemenangan Obama telah dijadikan helah oleh ahli politik bukan Melayu samada BN apatah lagi bukan BN kononnya kita hendaklah berubah selari dengan Amerika. Seolah kalau kita tidak ikut Amerika maka kita bangsa yang ketinggalan.

Obama diterima kerana dia dah 'American'. Malah pentadbiran dia dijangkakan lebih putih daripada 'white' dan lebih Yahudi daripada 'Jews'. Apakah Kavies, Lim Kit Siang dan seumpamanya dah 'Malaysian'. Bagi saya mereka belum Malaysian kerana masih bercakap pasal sekolah Cina, berjuang pasal kedai India Steven Corner, bebaskan tahanan ISA mengikut bangsa masing2 dsb. Kalau ahli politik bukan Melayu masih bercakap dan berjuang pasal bangsa masing2 maka lupakanlah nak jadi PM di Malaysia. Jika Obama mengambil masa 200 tahun makan hanya Kit Siang Jr, Jr, Jr, Jr sahaja boleh bermimpi nak jadi PM.

Sedarlah Bro Anwar bukan mempergunakan bukan Melayu untuk jadi PM tetapi bukan Melayu yang mempergunakannya.

Bye/Roti Planta

Anonymous said...

YBhg. Datuk Kadir

Berlaku perkara yang agak luar biasa pada blok Datuk hari ini.Hal ini barangkali akibat berlakunya perkara luar biasa di Amerika. Biasanya Datuk mengapungkan 4 hari posting di blog sebelum membuat posting baru. Kali ini posting baru lebih awal.

Tahniah di atas kemenangan Obama. Namun sebagai pesimis, saya melihat kemenangan Obama dengan penuh rasa kasihan. Obama dipilih menjadi Presiden ketika krisis ekonomi dunia begitu mencabar sekali. Amerika sebagai sebuah gergasi ekonomi tidak dapat lari dari masalah ini. Kedudukan Amerika sebagai pendahulu kini tercabar dan ekonomi semakin goyah.

Berbalik kepada Obama, beliau adalah merupakan Presiden pertama berkulit hitam. Walaupun Obama adalah berdarah kacukan, namun darah hitam ayahnya mewarisi imejnya.

Menerajui Amerika dalam keadaan gawat seperti sekarang berbeza dengan keadaan sebelumnya. Menjadi tugas dan tanggungjawab Obama untuk mengembalikan keadaan ekonomi sperti asal.

Persoalannya, jika Obama gagal untuk berbuat demikian, ia akan menjadi satu alasan kepada golongan Chauvanist Amerika untuk mengutuk kewibawaan orang kulit hitam sebagai presiden. Mampukan Obama membawa cabaran orang kulit hitam di tanah besar yang pernah mengamalkan dasar perbezaan kaum ini.

Rakyat Amerika sedang menindankan jari hantu ke atas jari telunjuk sambil berdoa. Ramai di Afrika turut bergembira dengan kemenangan ini. God bless Mr President.


ps/ Jika Vijay Singh diterima kerakyatannya di Malaysia, kita sudah ada pemain golf bertaraf dunia.

Anonymous said...

Datuk,

Bagi saya, kaum minoriti dinegara ini telah diberikan kuasa politik sejak sebelum merdeka lagi.

Selepas 23o tahun merdeka,Obama adalah president darah campuran pertama AS. Di Malaysia, Tunku, Hussain Onn, Mahathir, Pak Lah semuanya adalah berdarah campuran.

Pak Malau

Anonymous said...

Dato', sesiapa pun jadi Presiden Amerika saya tidak fikir mampu utk mengubah dasar luar negara Uncle Sam tanpa 'restu' senat yg pro-Israel itu. Tetapi Obama sekurang2nya mungkin lebih berani untuk membuat perubahan berbanding McCain. Saya berdoa Obama tidak tinggal dalam catatan sejarah sahaja sebagai Presiden USA yg paling sekejap..
ABG BUNCHET

Unknown said...

Apakah kita mesti mencontohi Amerika Syarikat dalam cara melayani warga kulit hitamnya?
Apakah kerana Amerika mengambil masa 100 tahun selepas merdeka untuk memberikan hak mengundi warga kulit hitamnya maka kita juga merasakan tidak mengapa kalau mendiskriminasi warga minoriti kita.
Dengan suara majoriti yang kita ada sememangnya kita boleh lakukan apa sahaja terhadap golongan minoriti.
Tetapi dari segi moral dan kemanusiaan, apakah perbuatan ini dibenarkan.
Mengapa Abraham Lincoln yang berkulit putih begitu beriya-iya hendak menghapuskan perhambaan kulit hitam. Ini tidak lain kerana adanya rasa bersalah kalau beliau tidak melakukannya.

MY CUPPIE CAKE said...

DATUK,

Saya cukup tertarik dengan fakta ini.

"Empat faktor bersekongkol untuk memberi kemenangan kepada Obama:-

1. Karisma beliau yang menyerlah walaupun masih mudah dan baru empat tahun dalam politik kebangsaan Amerika sebagai Senator;"

Tapi, bagi saya tidak MUDAH untuk Obama menang dalam pemilihan Presiden AS. Mungkin Datuk maksudkan MUDA.

Satu lagi anak saya yang baru Tahun 5 memberi teka teki ini - Apakah nama baru WHITE HOUSE?
Saya tak dapat jawab kerana tak terbaca pun WHITE HOUSE sudah bertukar nama. Dia ketawa, katanya BLACK HOUSE.

Seorang lagi anak saya Tahun Enam berkata, Harap-harap Obama tidak seperti Bush. Isteri saya kata - sama saja.

Anonymous said...

Dato Kadir;

Bagi sya kemenagan Obama tidak ada yang menakjubkan dan mengejutkan.Kita orang2 Islam perlu percaya Qada dan Qadar.Segala galanya telah tertulis di Luz Mahfuz.

Kawan saya berkata Tanda Hari Khaimat amat jelas.Antara dua tanda yang di nyatakan oleh Rasullah 1500 dahulu ia lah Orang Bedawi akan berlumb mendirikan bangunan tinggi.Di Dubai sekarang dua bangunan paling tinggi di dunia sedang di bena.Kemudian Kerajaan Saudi tak mahu kalah.Kawan saya yang berada di Mekah berkata Bangunan yang paling tinggi di Dunia sedang di bena di hadapan Mesjid Haram.

Ada jugaHadith yang mengatakan salah satu tanda akhir zaman ialah apabila hamba jadi Master.Jikalau Obama kita anggapnya sabagai taraf hamba maka nampak lah kebenaran Hadith ini.Waallah wa alam.

Sama sama lag kita doakan yang Obama yang mempunyai latar belakang yang menarek akan menjadi President yang baik dan adil.Saya harapia dapat bertahan sampai empat tahun.

Anonymous said...

Kemenangan Obama sebagai Presiden Amerika... No big deal Dato'
Seorang berdarah campuran dan berugama kristian menjadi asas penerimaan rakyat Amerika disamping apa yang Dato' dah sebut.
Sebelum Obama terdapat dua tokoh berkulit hitam yang juga hebat-General Colin Powel SU Negara dan bekas Chairman of the Joint Staff Angkatan Tentera Amerika dan Rev. Jesse Jackson-tetapi beza nya dengan Obama ia lah mereka berdua ini berkulit hitam tulin, General Colin Powel pernah di acah untuk mencuba tetapi beliau menyedari hakikat yang sebenarnya dan Rev Jesse Jackson mencuba tetapi "mis the cut", Itu lah sebenar nya realiti politik di Amerika penuh lakonan dan hipokrit yang bolih membuat negara lain di dunia terpegun. Kenapa ia berlaku maka tepuk dada tanya lah selera.
Bagi kita di Malaysia perkara sebegini telah berlaku lebih awal sebagai contoh kita ambil Dr Mahathir bekas PM kita-berdarah campuran beragama Islam- jadi kita lebih awal dari USA kerana Obama berlaku setelah mereka merdeka melebihi 200 tahun-jadi siapakah yang ingin mereka tipu? Atau rakyat Malaysia nak tipu diri sendiri?.
Apakah sekira nya Obama itu bukan berugama kristian, ada kah penerimaan nya sama seperti apa yang berlaku sekarang? Bagaimana pula Dr Mahathir kalau nama nya bukan Mahathir bin Mohamad?
Berpijak lah di bumi nyata dan dimana bumi di pijak di situ langit di junjung. Orang tua kita lagi hebat membuat analisa kemanusian dan politik demi kesejahteraan negara ini. So Dato', no big deal with what happen in the USA. Salam. dh9753

Ahmad Nawawi Yaakob said...

Obama akan menampilkan dirinya sebagai pemimpin yeng liberal dan mendekati pelbagai pihak.. Tiada harapan yang tinggi dapat disandarkan kepada Obama, hanya kelebihannya dari latar hidup yang caca merba memungkinkan dia lebih memahami kepelbagaian dalam msykt. Kebergantungan ekonomi pada yuhudi menjadikan Obama terikat walaupun mungkin dia ada gagasan yang bagus.

-WADAH- said...

Berubah: Antara fantasi dan realiti

Penulis tatkala itu darjah 6, sedang berbual-bual dengan seorang rakan penulis tentang betapa berat sebelahnya dasar Amerika Syarikat (AS) dan presiden mereka ketika itu, Bill Cinton terhadap krisis di Asia Barat (Palestin dan Israel). Penulis melahirkan rasa benci yang amat sangat terhadap Bill Clinton pada ketika itu. Namun, rakan penulis pantas mengeluarkan kenyataan "Clinton bukan yang paling jahat sekali. Yang paling jahat adalah Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel."

Beberapa tahun selepas itu, berlakulah pilihanraya Presiden AS. Clinton yang sudah dua penggal memegang tampuk kerajaan AS tidak boleh bertanding lagi. Sebaliknya Demokrat akan diwakili oleh Al-Gore. Sentimen anti-Al-Gore penulis pada ketika itu membuak-buak kerana dek kelancangan mulutnya ketika persidangan APEC di Kuala Lumpur. Penulis sangat mengharapkan kemenangan George W.Bush disebabkan isu tersebut dan mengharapkan dasar luar AS akan berubah dan Bush akan lebih memihak kepada dunia Islam. Harapan penulis dimakbulkan. Bush menang. Penulis masih ingat lagi bahawa dunia Arab adalah antara yang paling awal mengutuskan tahniah kepada beliau. Namun, selepas itu, segala-galanya adalah sejarah.

Pengalaman lepas mengajar kita. Sudah tiga kali pemililihan Presiden AS yang penulis ikuti. Walaupun tatkala belasan tahun, penulis tidak faham pun "electoral college vote", atau "popular vote",atau Debat Calon Presiden, namun penulis mengikuti jua serba sedikit pilihanraya Presiden AS pada ketika itu. Yang penting ialah mengetahui siapa yang menang.

Namun, apabila meningkat umur, pastilah perhatian kita lebih ekstensif lagi. Kalau dahulu penulis cenderung membuta tuli mengharapkan seseorang menang, pemilihan kali ini, tiada siapa pun calon yang penulis sandarkan untuk menang. Siapa yang menang sebenarnya tidak penting lagi. Apa yang lebih penting adalah dasar yang akan dibawa oleh pemenang dan partinya yang akan mencorak AS selama empat tahun.

Walaupun "Change" atau perubahan yang menjadi ideologi kempen yang dibuat oleh Obama, penulis sangat skeptik dengan apakah sebenar-benarnya perubahan yang boleh beliau laksanakan. Skeptik tidak bermakna membangkang. Apa yang penulis nampak adalah beliau hanya boleh mengubah dasar ekonomi AS sahaja. Tugasan terberat beliau adalah untuk kembali meingkatkan ekonomi AS.Itu sahaja.

Dasar luar? AS tetap AS. Tak kira siapa yang jadi kepalanya, kita tidak boleh terlalu mengharap perubahan dibuat terhadap dasar luarnya yang sememangnya berat sebelah itu. Janganlah kita puji melangit seorang warga "bukan kulit putih" pertama yang menjadi Presiden AS sedangkan pada akhirnya, kita mesti mengakui bahawa bukan beliau sahaja yang menjadi penentu dasar luar AS. Kita perlu mengambil kira mereka yang di belakang tabir yang menaikkan nama beliau. Mereka yang menyebabkan beliau berjaya menembusi sistem politik AS seterusnya berjaya menjadi Presiden AS. Mereka ialah orang-orang Yahudi....
Wassalam
(untuk pandangan penulis yang lebih panjang lebar berkaitan isu ini, boleh diperoleh di lappanblablabla.blogspot.com; Insya Allah)

azlishukri said...

saya yakin Obama tetap akan menjadi boneka kepada para pelobi yahudi.

Anonymous said...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada pandangan saya antara sebab Obama boleh dipilih jadi president walhal orang kulit hitam di USA hanyalah 12% dari populasi adalah:

1) Obama beragama Kristian iaitu sama dgn agama 78% populasi US. Bayangkan jika Obama tu Islam/Yahudi.. rasa2nya tak menang jugak kot.

2) First language Obama bahasa Inggeris. Sama dgn kebanyakan bahasa warga US. Even loghat Inggeris Obama pun 'neutral' (tak menampakkan dia seperti typical black) takder la cakap macam P. Diddy atau Tupac Shakur.

3) Cara hidup dia pun Americana.. Dia tak bersekolah di sekolah 'khas' kulit hitam, atau menyambut perayaan SELAIN dari yg disambut oleh kebanyakan warga putih America.

4) Latar belakang nya yg unik (emak kulit putih, bapa tiri Indonesian) jadi ramai yg berpendapat Obama tak kan jadi extremist macam Bush.

5) Orang kulit hitam di America bukan merupakan 'ancaman' kepada kaum kulit putih yg lain. Orang kulit putih (dan kaum lain lain) mendominasi perniagaan, pentadbiran, ketenteraan, hiburan dan macam2 lagi. Jadi, apalah sangat bagi sorang dua kulit hitam naik ke atas (itupun setelah 200 tahun merdeka).. sekurang2nya Amerika boleh mendabik dada kepada dunia betapa tidak racist nya mereka..

Sungguh pelik bagaimana media massa mencanangkan kemenangan Obama. "First Black President" katanya.. kalau benar diaorg tak kisah pasal warna kulit, kenapa fakta "Black" itu disebuat berulang2 kali?

Memang saya setuju sangat dgn Dato'. Keadaan di Malaysia tak sama dgn di Amerika

Anonymous said...

salam DAKJ n Bloggers,

saya berpandangan bahawa obama adalah org kulit hitam...kulitnya bukan putih dan berambut kerinting halus, niger patut berasa bangga dgn obama..satu bangsa yg beratus2 tahun dihina dihamba dibunuh dirogol diliwat diseksa diperbodohkan.......tapi bangsa yg tertindas ini kini bangkit, mereka ini bangun bangkit dari serba serbi bidang...baik dari bidang business, cendikiawan, bahkan bidang sukan yg kita saksikan hari ini rata2 dimonopoli dr bangsa niger ini, sukan golf, basketball, epl,balapan dan terkini f1

kemenangan obama adalah penunjuk aras tertinggi kebangkitan bangsa niger,so adalah realistik kemajuan yg dicapai oleh bangsa minoriti MALAYisa adalah disebabkan dasar diskriminasi seperti deb dan dasar2ketuanan umno, dasar yg menindas bangsa minoriti ini, mereka kaya dan berjaya adalah atas daya usaha mereka sendiri

sejarah telah membuktikan bahawa suatu bangsa yg dulunya ditindas, dihina sedemikian rupa mampu bangkit, di MALAYisa ini telah ada tanda2 kebangkitan, kebangkitan dari seorg yg telah dihina difitnah dizalimi..beliau sedang bangkit melawan kezaliman, hanya ALLAH maha mengetahui bila dan bagaimana keadilan akan ditegakkan

HAMBA ALLAH

Iskandar PT said...

Salam Dato' AKJ,
Obama menang sebagai presiden AS tetapi belum tentu dapat menangani masalah -masalah kritikal khususnya ekonomi dan pendirian AS tentang Palestin -Israel.
Selagi AS terus melabel orang Islam di Iran dan Palestin sebagai pengganas, selagi itulah AS akan terus diserang oleh rangkaian Al Qaeda yang bermatlamatkan menghancurkan AS.
Selagi bangsa Yahudi memonopoli ekonomi AS, selagi itulah presiden AS akan membenci orang Islam walaupun pada mata kasar nampak macam baik.
Begitulah AS..

Anak_Parit

Iskandar PT said...

Salam Dato' AKJ,

Coretan saya bukan mengenai OBAMA,
Semalam saya menonton rancangan Discovery Channel: Dubai: Miracle or Mirage.
Kita dapat melihat Dubai mengalih tumpuan ekonomi kepada pelancungan, hab kewangan dan perdagangan antarabangsa dari negara pengeluar petroleum.
Visi Sheikh Mohamed Al Maktoum berjaya menarik pelabur asing dan pekerja asing sehingga rakyatnya menjadi 20% daripada penduduk negara itu.
Sheikh Mohamed juga melantik seorang warga Kanada berbangsa Cina menjadi Chief Finance Officer dan berbangsa Inggeris menjadi CEO untuk konglomerat Emirates Group.
Sheikh Mohamed melabur dalam hampir keseluruhan dagangan dunia seperti membeli 20% kepentingan Nasdaq,kumpulan Hartanah Eemar di Amerika Utara dengan syarikat hartanah kumpulan Naqheel.
Warga Dubai/UAE mengecapi perubatan percuma, pendidikan percuma dan bebas cukai berkat kejayaan Sheikh Mohamed.
Kalau dibandingkan dengan negara kita, sepatutnya kita lebih berjaya kerana kita telah bergerak lebih dahulu dari UAE dalam bidang perniagaan dan petroleum , tetapi kerana terlalu lama bertelagah dan berpolitik lebih banyak dari buat kerja , kita ketinggalan.
Jiran kita di selatan juga telah dikategorikan sebagai negara maju bila di senaraikan sebagai ke 4 terkaya didunia.
Kita hanya kaya dengan slogan jer slogannya "Malaysia Boleh".

Anak_Parit

Anonymous said...

Dato,

Jangan terlalu mengharap terlalu tinggi selagi " Uncle Sam" masih lagi memerintah di sebalik tabir.

Mungkin ada sedikit perubahan terhadap dasar luar tetapi agendanya masih tetap sama.

Kecuali Obama sanggup mengambil risiko yang sama di ambil oleh JFK dan Martin Luther King.

abdrahim kassim said...

Datuk,

Ada kalangan rakyat Malaysia minta kita ikut Amerika cara pemilihan pemimpin.

Maksudnya supaya jawatan Perdana Menteri itu berilah peluang pada kaum mereka memegangnya.

Unknown said...

Datuk selalu pegi Kuala ke?

Restoran yg datuk singgah tu pon tak terlepas dari fitnah 'halal & haram'...

tapi bisnes apek tu makin meningkat ada lah...

95% pelanggan apek tu keturunan melayu,

dan restoran tu merupakan 'port' untuk membincangkan psl politik bagi org kuala..

ab said...

Salam dato',

Saya setuju benar dengan posting anak-parit.

Anak Pekan 2 keturunan tak bolih ke menaikan ekonomi Malaysia kalau tak macam Dubai, macam Shanghai pun tak mengapa...

abe MIE 'TERJAH' said...

http://pkrpasdap.blogspot.com

jangan kerana hari ini kita suka, esok dia akan disingkirkan pula. manusia datuk begitulah. lagipun obama hanya famous dari segi nama saja sedangkan dasar2nya belum nampak lagi.

Siti Khadijah said...

Dear Dato' AKJ,

It is a great win by Obama. I guess he offers people like me "hope" that change for the better is possible. I can't help but to identify with him. I salute him for daring to achieve his dream despite all the odds.

His ability to turn his dream into reality.

That perhaps is the greatest attraction.

sawit futures trader said...

Salam Dato',

Dato' dah tengok wayang gambar bertajuk "Man of The Year" lakonan Robin Williams? Baru sebulan dua lepas ditayangkan di Astro.

Walaupun ia cuma cerita lipur, melalui pembacaan saya, saya percaya wayang tersebut menggambarkan realiti politik di US (walaupun secara komedi).

US dikuasai oleh para pelobi.

Siapa sekalipun yang menjadi Presiden US, segala keputusan pentadbiran White House banyak dipengaruhi oleh atur-susun para pelobi tersebut.

Obama, di dalam bukunya (saya sudah lupa tajuknya), menyatakan pendirian bagaimana beliau menyifatkan amalan lobi itu telah meminggirkan kepentingan orang kebanyakan.

Namun saya percaya, setelah menjadi Presiden kelak, beliau akan kehilangan kuku bila berdepan dengan kelompok pelobi ini. Apatah lagi dalam senario US yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi.

Greenbottle said...

Orang Islam yang gembira terhadap kemenangan Obama boleh di upamakan seperti Pak Kadok - yang berfikir menang sabung ayam nya tapi terlupa yang ayam itu bukan dia yang punya.

Anda perlu ingat bila Obama dapat mengalahkan Hillary Clinton untuk menjadi wakil Demokrat melawan mcCain antara perkara pertama yang dia lakukan ia lah berucap kepada American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) dimana dia mengulangi bahawa dia tidak akan sekali2 merelakan Beitulmuqaddis(Jerusalem) menjadi ibukota palestine.

Dan dia juga tidak akan sekali2 membiarkan Iran memiliki kuasa nuklear -walaupun semata2 untuk tujuan aman. Dan dia akan menghantar askar (uniliteraly) kedalam Pakistan untuk menghambat "terorists" al-Qaeda dan Osama ben laden.

By the way kalau anda lihat interview Robert Fisk dalam program one-on one with Riz Khan dlm Aljazeera kelmarin anda dapati bagi Fisk terminologi terrorist dsb nya adalah tak bermakna dan saya setuju dengan pendapat Fisk. Bagi saya Osama dan Al Qaeda bukan terrorists.

Dan dua hari lepas Obama telah memilih Rahm Emanuel ahli zionist yang totok untuk menjadi Chief of Staff nya. Satu jawatan yang paling penting bagi presiden. Pemilihan ini mencerminkan jiwa Obama sebenar nya.

nak tau jenis apa Rahm emanuel? sila pergi ke link ini
http://www.bollyn.info/home/articles/polphil/rahm-emanuel-and-barack-obama/

Moshe said...

Datuk,

Saya tidak tertarik dgn kemenangan Obama kerana tiada siapa dapat jadi presiden Amerika tanpa sokongan dan lobi Yahudi. Yahudi yg berjumlah 5 juta (lebih/kurang) adalah penguasa kepada ekonomi dan politik Amerika. Tanpa restu yahudi mustahil sesiapa sahaja memenangi kuasa mentadbir Amerika.

Ternyata dasar perang Bush terhadap Iraq dan Afghanistan telah memakan korban yg besar dari segi ekonomi dan jiwa walau pun ianya atas kehendak Israel. Amerika banyak berhutang untuk melaksanakan perang dan hutang Amerika sebanyak US 14 trilion adalah salah satu faktor menjerumuskan US kedalam krisis kewangan.

Walau pun Obama menjadi presiden dasar luarnya tetap tidak berubah, mungkin hanya satu sahaja iaitu mengurangkan penglibatan di Iraq atau Afghanistan tapi dasar terhadap negara islam tetap tidak berubah.

Ketegangan dgn Iran dijangka akan terus meningkat kerana Iran pasti akan dan mahu menjadi kuasa nuklear memandangkan Israel telah lama mendahului bahkan Israel juga merupakan kuasa nuklear yg terkuat di dunia. Inilah double standard yg diamalkan oleh barat dan US, jadi usahlah kita fokuskan sangat Obama dan Amerika.

Malaysia hanya dapat maju dan membangun ialah pada zaman Tun Mahathir, setelah berjaya mengatasi rintangan dan pertelagahan politik. Orang melayu samasekali tidak akan maju tanpa berfikir seperti Tun Mahathir. Kerana hanya politician spt TDM yg berfikir 3 langkah kehadapan, berdisiplin, menghargai masa dan yakin kpd kebolehan sendiri. Singapura dan UAE adalah contoh negara yg memiliki pemimpin berkualiti beserta dgn tiadanya halangan politik dan dengan itu masa dapat diselamatkan dari banyak berpolimik.

Anonymous said...

Dato Kadir.

Saya amat tertarek dengan komen yang Dato siarkan oleh" Anak Parit"

Dalam komen kedua, Anak Parit ,membuat koment mengenai Dubai dan bagaimana Sheikh Maktum memajukan nya saperti yang ada hari ini.

Saya setuju tapi bila financial meltdown berlaku dalam bulan ocktober lepas,Dubai juga akan lebor,saperti quicksand.Ini kerana penbangunan Dubai bergantong kapada wang di curahkan oleh Bank2 Barat yang menjalankan perniagaan di Middle east.Pada bulan Dec dan Jan ini banyak pinjaman ini akan mature dan kebanyakan bank2 barat ini tidak ada wang lagi untok menyambongkan pinjaman itu.Domino Pizza? my friend.

Lihat lah apa yang terjadi kapada rakan kita di Indonedsia.Pada bulan June majalah Indonesia dalam sinarainya orang yang paling terkaya di Indonesia,Meyenaraikan Abu Rizal Bakhrie merupakan orang yang paling kaya dengam nilai assetnya $us 9.5 billion.Pada masa saya menulis ini Abu Rizal sedang mencari cari wang sabanyak $us 1.4 Billion untok membayar hutan bank dari Singapora.Ini bermaana Nilai asset Abu rizal salepas ini minus $us1.4 billion.

Dato Kadir sekali jikalau Majalah Malaysia Business menyiarkan who worth what after ocktober financial crisis,baik di malaysia,Singapore Asia or The world.Yang jelas pada saya Mr Greenberg pengasas AIG ,sabelum krisis net worth nya $US 3.5 billion.Pada hari ini net worth nya hanya lah $US 12.5 MILLION.

Saya,tak tahu sama ada OBAMA akan survive dalam keadaan ekonomi yang kusut ini

Anonymous said...

Salam Sejahtera Datuk,

Semangat Yakin diri,jujur ,Usah gigih yang berterusan,tekad, disiplin, ketelusan dan kesabaran adalah faktor sebenar kejayaan Obama.

Bukankah nilai-nilai positif tersebut,yang sepatutnya kita sebagai rakyat malaysia perlu fikir dan amalkan ?

Bukankah ini caranya kita seharusnya fikir dan pelajari ?

Mengapa membuat perbandingan dari segi warna,agama dan asal usul?

Amerika sudah sedar,
Malaysia bila ?

yang benar,
Whitehorse

A KADIR JASIN said...

Sdr Whitehorse, antara lain, berkata:

"Mengapa membuat perbandingan dari segi warna,agama dan asal usul?"

Bukan saya atau kita di Malaysia yang buat perbandingan itu.

Kita di Malaysia tidak pun kenal Obama sebelum diperkenalkan oleh media masa Amerika/Barat.

Merekalah yang menggelarnya orang kulit hitam.

Merekalah yang mengungkit mengenai asal usul, keturunan dan agamanya.

Tetapi apalah salahnya kita mengambil tahu hal ini. Kalau kita tidak kenal latar belakang seseorang, bagaimana kita boleh berkenalan dan berbaik-baik denganya.

Mengenai kebaikan seseorang pemimpin, itu memang ciri yang wajib ada.

Terima kasih.

Brahim Nyior said...

Datuk,

Obama tak sempat jadi presiden, itu pandangan saya.

Tapi, cuba bayangkan Lim Guan Eng jadi PM, apa nasib bangsa kita, yer?

Adakah bukan Melayu akan jaga kepentingan orang Melayu?

Datuk perhatikan di Penang, macam mana? Lebih baik, atau lebih buruk?

Mohd Nadzri Kamsin said...

Kita tidak akan dapat 100% apa yang kita harapkan dengan kemenangan Obama.

Tapi sekurang-kurangnya, kemenangan Obama adalah lebih baik dari McCain.

Anonymous said...

Sangat tertarik dengan fakta yang di kongsikan oleh Datuk.. Thanx

Unknown said...

Di us, seseorang yang berdarah african walaupun sedikit menggelar diri mereka black, walaupun mereka lebih putih dari hitam. Blacks has more that whites dont. Affirmative action in education and employment, 'cool' image surviving the ghetto life, and simply proud of their history.
Obama is black, in American sense. He lived, and discriminated against as a black.

Most Malaysian mixed call themselves Malay too, albeit the mixed blood.

tok janggut said...

Salam,

Saya tidak pasti sama ada Obama boleh mengubah politik AS. Dari segi teori kita mungkin boleh merasakan ada kelainan dalam kepimpinan Obama. Namun dari segi praktikalnya saya merasakan ianya amat susah. Kenapa? Politik AS sebenarnya bukan bergantung kepada siapa presiden tapi kita kena tahu siapa di sebalik presiden. Mereka itulah sebenarnya yang berkuasa ke atas AS, bukanya Presiden. Presiden hanya menjadi alat mereka sahaja.

Secara mudahnya, saya merasakan Obama juga sama dengan presiden-presiden AS yang lain, cuma kulitnya sahaja yang berbeza. Sama-sama kita lihat nanti.

Anonymous said...

apakah dgn kemenangan obama akan berlaku polisi yg lebih menguntungkan palestin?apakah dgn kemenangan obama usa akan keluar dari iraq?apakah dgn kemenangan obama tentera bersekutu yg berada di afghanistan akan berundur?apakah dgn kemenangan obama akan tiada lagi sifat keangkuhan sebuah negara pembuli(usa)?meskipun obama seorang half breed(dgn ciri2 seorang african american yg ketara), namun dia masih juga seorang presiden usa. dan kita pasti tidak akan dilupakan tentang keakraban usa dgn zionist israel.(perlantikan rahm emanuel) jadi, secara peribadi tidak ada apa2 yg boleh membuatkan saya berasa 'elated' dgn kemenangan obama.

Anonymous said...

Salam Dato',

Saya tidak begitu pasti apakah kemenangan Obama satu kejayaan atau satu kesilapan. Satu perkara yang pasti, sekumpulan pihak tidak mahu Hilary Clinton menang. Walau dengan apa cara sekalipun, mereka pasti tidak mahu seorang wanita yang telah mengetahui selok belok percaturan di white house kembali ke White House. Kembali pula dengan satu tekad. Bagi saya Obama digunakan untuk meraih kembali sokongan orang kulit hitam yang kebanyakkannya menyokong Cinton. Jika mereka meletakkan seorang kulit putih menentang Hilary, sudah pasti Hillary menang. Maka calun yang menentang Hilary mestilah seorang kulit hitam yang akan dapat mengalihkan sokongan orang kulit hitam daripada Hilary.

Saya melihat temuramah Oprah Winfrey dengan Hilary Clinton kalau tidak silap saya setahun sebelum pencalunan. Kesimpulan saya setelah melihat temuramah tersebut jika Hillary kembali ke White House, dia pasti akan bertarung habis-habisan untuk membuat perubahan dan tidak akan membiarkan pisang berbuah dua kali.
Maka saya sememangnya berharap Hillary menang.

Namun realitinya Obama akan menjadi Presiden Amerika ke 44 pada 22 Jan 2009. Saya berharap dia akan sentiasa dapat memastikan rentak pentadbirannya senada dengan manifesto pilihanrayanya.Kita sama2 tunggu dan lihat adakah karisma dan auranya akan membuahkan hasil.

Anonymous said...

Dato Kadir;

Saya tertarek dengan komen"brahimnyor" apa akan jadi pada Peneng bila Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri.

Saya ingat tak ada bezanya antara Lim Guan Eng dengan Khor Soo Koon atau Lim Chong Eu atau Lee Kuan yew.

Melayu di Peenang dan UMNO telah menjadi satu bangsa yang bangsat.Silapnya siapa.Saya maseh mengatakan Silapnya Tungku Abdul Rahman.

Orang Melayu hanya boleh sorak macam liha ayam sabong.Bila Ahmad Ismail menimbulkan soal Cina kaum Pendatang ia di buru kiri kanan oleh Semua pehak akhirnya ia di suspend dari UMNO.Bila Teng,Ketua wanita gerakan mengatakan Melayu juga kaum pendatang,yang datang dari Indonesia atau Nusantara,tidak ada apa terjadi padanya.

Kita ada mata.kita ada telinga dan kita ada perasaan.Masaalah yang palibg bahaya bila orang Melayu meyimpan perasaan dan dendam.Bila ia meletop kita namakan Amok.Amaok hanya ada dalam istilah Melayu.

Saya amat berharap.Najib,Mahayudin dan sesiapa juga yang menerajui Negara,sila beri perhatian.

anakbuah said...

Dato' & Sdra/i,

"Obama tak sempat jadi presiden, itu pandangan saya. -Brahimnyior

Saya berborak dgn seorang mat salleh sambil pekena kopi beberapa hari lepas. Dia suka dgn keputusan yg berpihak kepada Obama tapi dia risau, berapa lama Obama boleh hidup!? Dia kata Obama mungkin boleh menjadi mangsa pembunuhan seperti juga Lincoln, Martin Luther King dan JFK.

Dan lagi satu katanya, latar belakang keluarga Obama yg tidak sekuat, kaya dan berpengaruh seperti bekas2 Presiden yg lepas2. W/pun menang, kekuatan sokongannya masih belum terbukti atau sekurang2nya masih kabur - adakah sokongan itu betul2 ikhlas atau sebaliknya.

Saya tidak yakin beliau mampu menang sekiranya beliau seorang Islam. Pelobi2 dan yg pro Yahudi tentu menolaknya dr awal lagi. Sebenarnya agama Kristianlah yg menjadi tiket beliau. Bagi Amerika, boleh jadi Presiden asalkan bukan Islam! Saya rasa ini sama dgn Britain yg diagung2kan sebagai berpendirian terbuka.

Adakah mereka benar2 terbuka? Mengambil kata Sdr dh9753 - no big deal! Bangsa Anglo-American ini sebenarnya memang hipokrit besar!!! Jadi tak payahlah bangsa2 lain di M'sia ini terpengaruh sgt dgn kemenangan Obama. Politik Amerika berbeza dgn kita.

p.s.#1: Ada betulnya kata2 Sdr Roti Planta - org bukan Melayu sedang memperkudakan Anwar dan saya yakin Anwar sedar beliau sedang dipergunakan. Lihatlah siapa yg beria-ia menyokong tulisan RPK bila menyentuh mengenai kesamarataan dan liberalisasi?

p.s.#2: Harga minyak dunia sudah dibawah USD60/tong, apa yg Shahrir nak mengelat lagi? Kata nak ikut harga market? Kalau dulu harga minyak RM1.92@USD78/tong, logiknya skrg tentulah harga semasa patutnya lebih rendah drp RM1.92 dulu. Ada yg mengira, serendah sekitar RM1.05 seliter tanpa subsidi. Perniagaan apa yg tokey2 stesyen minyak ini buat jika sentiasa untung sahaja dan pengguna sentiasa di pihak yg rugi dan terbeban? Oh....alasannya skrg, kerajaan tidak rugi melalui subsidi tapi pengusaha2 stesyen minyak tidak boleh dibenarkan rugi (dgn ihsan kerajaan)? Begitu? Saya yakin mereka kurang untung sahaja, bukannya rugi. (Atau pun saya memang tidak pandai berkira2? Atau mcm mana?) Ini bukan statistik/matematik/business lagi dah, ini sudah jadi mcm politik - politik yg melingkupkan!

A KADIR JASIN said...

Sdra Pak Utih, antara lain, mengulas;

"Bila Teng,Ketua wanita gerakan mengatakan Melayu juga kaum pendatang,yang datang dari Indonesia atau Nusantara,tidak ada apa terjadi padanya."

Katanya lagi: "Saya amat berharap.Najib,Mahayudin dan sesiapa juga yang menerajui Negara,sila beri perhatian."

1. Orang Melayu sangat sensitif terhadap kedudukannya sebagai peribumi dan kaum majoriti;

2. Antara manifestasi sensitiviti itu adalah kesediaan orang Melayu bertolak-ansur dengan kaum-kaum lain;

3. Kerana kurang keyakinan diri dan kurang kemampuan berartikulasi, orang Melayu cepat termakan propaganda perkauman. Akhirnya mereka menjadi apologitik dan berasa bersalah semata-mata kerana mereka peribumi dan kaum majoriti;

4. Orang Melayu terlalu baik. Dan kebaikan mereka diambil kesempatan. Sikap "tidak apa" orang Melayu yan g mencerminkan kesediaan mereka bertolak-ansur telah diperalat dan dieksploitasi oleh kaum-kaum pedagang;

5. Kepemimpinan Melayu sendiri lebih banyak mencerca dan mengherdik orang Melayu apabila mereka menuntut hak mereka;

6. Kepemimpinan Melayu, khasnya kepemimpinan Umno yang sedang dipilih sekarang, akan disumpah oleh bangsa Melayu jika ia gagal mengartikulasi dan mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu dalam konteks Perlembagaan dan kepelbagaian kaum;

7. Tidak ada negara pelbagai kaum yang selamat apabila kepentingan kaum majoriti diabaikan;

8. Lihat jiran kita Indonesia di mana ekonominya dimonopoli oleh kaum minoriti.

Apabila terjadi krisis ekonomi, perniagaan kaum minoriti diserang dan dirompak. Kaum minoriti yang dulunya jiran mereka dirogol dan dibunuh. Ramai lari ke Singapura, Hong Kong dan Malaysia;

9. Barang dijauhkan Tuhan kecelakaan ini daripada menimpa kita;

10. Kalau Mohd Najib atau Muhyiddin tidak mengakui hakikat ini, mereka tidak berhak mengaku diri Melayu apatah lagi menjadi pemimpin Melayu dan negara Malaysia.

Terima kasih.

Moshe said...

Datuk

Saya amat bersetuju dgn kenyataan datuk dan Pak Uteh. Memang Melayu dan UMNO Penang adalah yg paling bangsat di antara melayu2 di Malaysia. Maaf jika kenyataan saya ini kasar tetapi itulah hakikat yg perlu di telan oleh Melayu dan UMNO Penang. Sekali lagi maaf.

Anonymous said...

Salam Dato'

1.Saya ingin membetulkan kesilapan saya tentang tarikh Obama akan dilantik menjadi Presiden. Tarikhnya ialah 20 Januari 2009 dan bukan 22 Januari 2009.

2.Ulasan Dato' tentang sikap orang melayu- Dari pengamatan dan pengalaman saya, saya rasa kita kurang bijak mengawal emosi dalam menyelesaikan masalah.Mungkin saya silap, apa pendapat Dato'?

Anonymous said...

Salam hormat Datuk,

Terima kasih dahulu keatas penjelasan Datuk.

Berkenan dengan isu hak orang melayu,saya tak pasti siapa perampasnya ? adakah kita masih dijajah ?

Bukankah kita sudah merdeka dari segi mental dan fizikal? Merdeka dari segi ilmu dan budaya ?

"air setitik dilautkan, tanah seketuk digunungkan"
Saya sedar isu sensitif digunakan sebagai alat oleh manusia yang berfikiran politik yang tamak kuasa dan takut akan kehilangan kuasanya.Lebih menyedihkan,yang Manusia itu ialah rakyat Malaysia,bagaikan 'api dalam sekam' dan 'duri dalam daging' .

Saya juga yakin,
rakyat kita berakal dan cerdik pertimbangan dalam baik dan buruknya sesuatu perkara.

Pendek kata,
'Ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan'
Tidak perlunya kita hidup dalam ketakutan sekiranya apa yang kita dengar itu belum benar dipandang mata.

jika,Bangsa asing boleh hidup dengan baik di negara,mereka belajar dari kita unsur budaya dan harmoni dan kita seharusnya hidup lebih baik lagi.Kita harus mahir di dalam serba-serbi pertandingan hidup.'Rajin berusaha itu tangga kejayaan'

Sedangkan haiwan di hutan boleh hidup bersama,apatah lagi manusia yang boleh berfikir dan bercinta.

yang benar,
Whitehorse

affendi hussain said...

Salam semua,

..AL-KISAH OBAMA MALAYSIA..
Terlalu byk org bukan Melayu yg membuat kaedah perbandingan antara epal & oren melalui 'generalization' bahawa kedua-duanya adalah buah.. tentulah pelik & jelik bunyinya bila hendak disaji bersama dgn fakta..

Org Melayu skrg pun byk melenting apabila dikatakan pendatang.. ikut sejarah pun ada kebenarannya juga.. rata2 Melayu di Malaysia ini adalah generasi ke-4 & 5kacukan daripada Nusantara, Arab, India, Cina, Turki & Eropah.

Siapa penduduk asal Tanah Melayu selain org asli sebelum kedatangan British & dimana 'cut-off point' masa yg semua didefinasikan sbg pendatang selepas itu?

Siapa penduduk asal sebenar Tanah Melayu selain org asli dalam tempoh lebih setengah millenium dulu untuk distatuskan sbg bumiputera tulen?

Majoriti kaum Cina & India yg ada skrg adalah generasi ke- 3 atau 4..malah golongan Cina Baba & Nyonya itu lagi lama wujud sejak zaman Kesultanan Melaka lg..kalau nak ditakrif 'bumiputera' pun patut..

Mereka itu generasi pedagang2 & yg dtg bersama Puteri Hang Li Po..Cina yg ada skrg pula drpd majoriti generasi buruh lombong bijih.

Dr.M & Dr. Khir Toyo adalah generasi ke- 3&2..itu pun mampu jadi PM & MB..Kenapa? Kerana itu mungkin wujud rasa tidak puas hati dikalangan mereka..bukan semua Cina itu buta sejarah..

Silap Cina Malaysia ialah mereka hanya tak faham secara teknikal bagaimana proses demokrasi berfungsi..mungkin belum celik akal sepenuhnya walaupun dah lama hidup disini.

Untuk diterima dlm negara demokrasi, mereka perlu berasimilisasi dgn org majoriti dari segi elemen bahasa, agama & budaya..sama saja dimana pentasnya dibumi ini yg mengamalkan demokrasi.

Jikalau mereka menolak segalanya yg berkaitan Melayu seperti termaktub takrifnya dlm Perlembagaan Persekutuan, maka sampai kiamat pun mereka tak boleh berkembang dlm politik & masyarakat melalui sistem sedia ada...terus tepu.

Seronok? Tetapi Melayu lupa diri jgnlah seronok sangat.. termasuk 'pendatang' yg di'convert' jadi bumiputera. Dalam konteks semasa, asas penerimaan majoriti yg paling kuat di Malaysia adalah Islam.

Wahai Melayu pendatang di Malaysia yg masih haprak lg cabuk..hanya kerana sajak bertengkolok bumiputera & nyenyak diulit selimut 'Islam' ..anda alpa tuntutan sebenar untuk jadi seorang Muslim seperti yg dimodelkan Rasulullah s.a.w?

..apa yg anda dah capai seperti dituntut Islam untuk diwarisi & dibanggakan dikala Allah menarik balik kurniaanya kpdmu dan diberikan kpd kaum lain? Masih mahu menagih dibela..dikasihani..? Masih mahu hidup berpecah belah..?

Kaum Cina itu hanya tinggal selangkah saja kunci untuk 'activate' tuntutan Rukun Islam..mereka hanya perlu terima hidayah Allah dgn rela hati...itu sahaja...mereka dah dekat utk penuhi kreteria umat terbaik.

Jika org Cina ramai2 memeluk Islam.. percayalah..
dari segi penguasaan ilmu, ekonomi & perpaduan nescaya Malaysia ini akan jadi milik mereka..Jika benar terjadi maka mungkin natijahnya lebih baik atas dasar ukhwah Muslimin berbanding doktrin2 usang Nasionalis purbakala..

Maka Obama Chong et.al. tak mustahil..pilihan di tangan kaum Cina Malaysia...Persoalannya..mahukah mereka?

p/s: Melayu liberal & bangsa2 Malaysia? pedulikan suara mereka ini kerana mereka adalah minoritu..dlm negara demokrasi:

..only what the majority think & feel do matters & materialized..the rest do not.

(",)

Anonymous said...

Salam Datuk.. Pada 5hb November 2008, The Jerusalem Post ada siarkan ayat2 mentor kepada Obama yg menyatakan: "Barack will be the first Jewish president in the US."

Need we say more..?

Link: http://www.jpost.com/servlet/Satellite?cid=1225715342669&pagename=JPost/JPArticle/ShowFull

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).