Friday, November 14, 2008

Shahrizat Lwn Rafidah Dilema Wanita

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[MUTAKHIR, 20 November – Shahrizat hari ini mengumumkan yang beliau akan mencabar Rafidah untuk jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan Mac ini.

Beliau membuat pengumuman itu melalui kenyataan dua perenggan tengah hari ini. Shahrizat menyuarakan harapan agar Wanita Umno terus bersatu bagi memperkuatkan Umno sambil membuat perubahan dan pembaharuan.]


[POSTING ASAL]

AKIBAT sentiasa main selamat, Naib Ketua Wanita Shahrizat Abdul Jalil kini terjerat. Di hadapannya, Rafidah Aziz dan di belakang, Kamilia Ibrahim.

Rafidah akan mempertahankan jawatan Ketua dan tidak mahu berganjak daripada jadual persaraan Jun depan. Silap-silap dia kembali semula ke dalam Kabinet.

Lalu Shahrizat berada dalam dilema. Kalau dia bertanding melawan Rafidah, belum ada jaminan dia menang. Dia memperoleh 72 pencalonan bahagian berbanding 118 yang diberikan kepada Rafidah.

Akhbar The Star pada 12 November melaporkan yang Shahrizat akan mencabar Rafidah.

Harapan dia menang ada. Ramai dalam pergerakan itu menaruh harapan dia akan mencabar Rafidah. Walaupun dia tidak membuat sebarang komitmen, lebih dua pertiga bahagian memberikan pencalonan kepadanya.

Meminjam ungkapan Inggeris, Shahrizat tersepit between the devil and the deep blue sea. Diterjemah literal ia bermaksud tersepit di antara dajal dan lautan biru yang dalam.

Kalau dia bertanding mempertahankan jawatan Naib Ketua, dia belum tentu menang. Pencabarnya untuk jawatan Naib Ketua bukan calang-calang orang. Macam Shahrizat, dia juga seorang peguam. Malah dia dilihat sebagai lebih berprinsip, tegas dan serius.

Kamilia menggunakan mantera semasa. Dia dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata: “Saya bukan hendak membelakangkan keputusan mesyuarat Exco Wanita, tetapi pendirian (saya) itu dibuat kerana menghormati pencalonan akar umbi.”

Kalau Shahrizat mencabar Rafidah, Kamilia akan menang tanpa bertanding. Kamilia pasti meminta penyokongnya memberi undi kepada Shahrizat. Sekiranya ini berlaku, harapan Shahrizat menang adalah cerah.

Lagipun Shahrizat perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk membaik pulih imejnya yang tercalar setelah tewas kepada Nurul Izzah, anak Anwar Ibrahim di kubu kuatnya, Lembah Pantai pada 8 Mac lalu.

Dia dilihat sebagai tidak berprinsip apabila mendesak Abdullah melantiknya sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri Mengenai Wanita yang bertaraf menteri.

Ini menyebabkan dia dilihat sebagai peraih simpati dan memperalatkan keakrabannya dengan Abdullah untuk kepentingan peribadi.

Pelantikannya nampak semakin janggal apabila Rafidah yang menang di Kuala Kangsar dan terbukti berkesan sebagai menteri, digugurkan daripada Kabinet kerana dia pandai dan berani mengkritik Abdullah, khasnya selepas pilihan raya umum lalu.

Shahrizat tidak boleh menyaingi Rafidah daripada aspek intelek, keberanian dan keberkesanan. Tetapi mungkin masanya sudah sampai bagi Pergerakan Wanita membuat perubahan dengan memilih barisan kepemimpinan baru.

Ini bukan untuk menafikan sumbangan dan kemampuan Rafidah, tetapi untuk memberi peluang kepada barisan kepemimpinan baru yang diharapkan dapat memperkukuhkan lagi pergerakan itu sebagai pergerakan paling berkesan dalam Umno.

Bagi Shahrizat, seandainya dia menang, gaya kepemimpinannya sudah tentu berlainan daripada Rafidah. Dia tidak “forceful” dan tidak autokrat seperti Rafidah.

Bagi Rafidah pula, sama ada dia menang atau kalah, ketokohannya sebagai pakar pelaburan, pengilangan dan perdagangan tidak boleh dinafikan. Dia adalah antara menteri perdagangan dunia yang disegani dan diiktiraf.

Kalau Shahrizat boleh dilantik penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri, saya tidak nampak mengapa Rafidah tidak boleh diberikan pengiktirafan yang sama.

61 comments:

yin & yan said...

jika sharizat kuat tentu dia lawan rafidah.

jika lemah dia patut kalah dan rafidah patut terus jadi ketua.

rafidah tak perlu alih kuasa kepada yg lemah.

yy

Ahmad Nawawi said...

Rafidah sendiri banyak bersandiwara. Dahulu masa Tun Mahathir hendak letak jawatan, dialah yang merayu dan menangis pujuk memujuk..Namun apabila era Tun M berakhir, dia juga kutuk Tun. Begiutlah realiti politik.

Baik Rafidah mahupun Shahrizat, tak nampak ada kelebihannya, sekadar pengganti bagi yang meninggal... Cuma kita harapkan biarlah Wanita mendapat kepimpinan baru, kerana yang baru itu pasti akan membawa sedikit perubahan. Teori pengurusan organisasi memang macam tu, bila terlalu lama bertapuk di singgahsana, dia hilang kreativiti dan jadi status quo yang parah. Akhirnya organisasi akan punah dan lebih terlihat kelemahan daripada kebaikan. Shahrizat perlu ke depan dan berani mencabar Rafidah.

kluangman said...

Kalau kita lihat persekitaran Wanita, tidak ada cacat celanya Rafidah untuk berundur atau melepaskan jawatan pada Jun nanti, rasanya tidak ada pula yang mendesaknya berundur kecuali dia sendiri merasakan masanya sudah sampai.

Dengan pencalanon ratusan, bererti Rafidah masih diterima baik di kalangan Wanita dan bukannya seperti Paklah yang digambarkan akan tidak mampu untuk undi kelayakan jika dicalonkan.

Rafidah juga harus belajar dari Tun yang dipinggirkan selepas tiada jawatan dalam parti dan kerajaan. Rafidah harus sedar musuhnya dalam UMNO menunggu peluang untuk 'menyebatnya' di luar gelanggang UMNO.

Untuk melepaskan jawatan kepada Shahrizat juga sesuatu yang kurang kemas kerana Sharizat bukanlah dalam kategori 'terbaik' kecuali lebih berperanan mak pengantin menjemput tetamu masuk, dan bukannya panglima perang walaupun tidak dinafikan 'kerap turun padang'. Dia dilihat akan menjadi 'bodek dan ampu' kepada Presiden, suatu senario yang sudah tidak dinamik untuk UMNO semasa.

Dalam lain perkataan, adalah seribu kali lebih baik Rafidah terus mengetuai wanita atau melepaskannya kepada Kamalia, sesuai untuk satu perubahan angin baru.

Sukj said...

Salam Datuk,

1. Amboi lama saya tak mai blog Datuk nih. Sibuk melayan kat rumah saya.

2. Jangan kita anggap Rafidah itu hebat sangat. Sebenarnya dia tak hebat mana pun.

3. Tetapi apabila beliau telah dijadikan seorang anggota Kabinet hampir 30 tahun, maka sendirinya dia nampak hebat.

4. Apatah lagi diberi tempat oleh Mahathir mengisi Kementerian MITI yang mempunyai banyak bsns/investment, maka tentunya dia dilihat hebat.

5. Kadang-kadang post jawatan dalam kabinet itu lebih mudah menjadikan seseorang pemimpin itu hebat atau tidak.

6. Sebagai contoh, Datuk Hisham nampak hebat sebab beliau diberi Kementerian Pelajaran. Cuba letak beliau dalam Kementerian Teksi dan Bas Express atau Kementerian Hal Ehwal Tak Guna(Shahrir), tentunya Hishamuddin dah tenggelam dan hanyut.

http://suarasukj.blogspot.com

Anonymous said...

salam DAKJ n Bloggers,

tidak mungkin sharizat berani lwn rafidah, singa yg akan berkuasa kembali, kak dah ini org tun...kehendak tun adalah dsn, semua org tahu...tun shj main wayang, ingat rakyat bodoh!!org2 pak lah boleh bye bye!! sharizat sure ingat apa jadi pada zaharah...walaupun senja tapi kak dah belum putus haid utk kembali ke kabinet...

p/s : saya agak timbalan nanti adalah mat taib, pemudanya plak khairy, wanitanya kak dah...jadilah mcm mca...presiden pandang timur, timbalan pandang barat.. (@_@)

HAMBA ALLAH

nawawidahalan said...

Najib sdg melayan tetamu sambil menonton, sementara tangan mencuit org sebelah supaya suruh tukar cannel, mulut menyapa amah suruh buat kopi..

hanya najib yg tau apa sdg bermain dlm fikirannya mengenai team baru dia!

http://nawawidahalan.blogspot.com

AhliBiasa said...

Masalahnya bukan siapa yang kuat dan siapa yang lemah. Dua-dua ada kelebihan dan kekurangan.

Rafidah punya kredibiliti sebagai pemimpin tak boleh dipertikaikan. Malah, tidak boleh dinafikan, tanpa Wanita, habislah UMNO dalam pilihanraya. Nak harapkan puteri, masih mentah-mentah, banyaknya suka cakap pasal projek tu, projek ni. Itu pun, mereka tak mintak jadi Perdana Menteri atau dapat majoriti jawatan Menteri dalam kabinet.

Tapi, mungkin beliau dah terlalu lama dalam Wanita maka mereka pun dah bosan dengan beliau. Lagi satu, kelemahan beliau mungkin kerana tidak menyediakan pelapis kepimpinan. Kita boleh tengok dalam Kementerian MITI sendiri, lama jugak beliau pegang tu. Namun tiada yang digroom untuk mengganti beliau. Sama juga dalam Wanita UMNO, kita nampak beliau dengan Naib Ketua pun semacam ada dinding penghalang. Mungkin dicucuk oleh exco-exco wanita yang berkepentingan agaknya.

Shahrizat, siapa pun tak boleh nafikan khidmat beliau sebagai Menteri bertanggungjawab hal-ehwal wanita. Contohnya, program subsidi mammogram. Di samping itu, beliau pandai cari duit untuk aktiviti wanita dan kementerian. Banyak orang sukakan beliau, termasuklah di kawasan Lembah Pantai yang pernah diwakili beliau. Kalau dilihat, berbanding Rafidah, beliau mempunyai pendekatan yang lebih lembut terhadap pergerakan Wanita. Mungkin cara ini yang lebih sesuai kalau ikut peredaran zaman sekarang, bukan pimpinan autokratik (ala Rafidah) meskipun berkesan.

Mungkin kelembutan beliau ini ditafsir juga sebagai kelemahannya. Dan juga, kebanyakan ahli melihatnya tidak mempunyai pendirian. Malah ada yang berpendapat beliau tidak sepatutnya menerima jawatan Penasihat Perdana Menteri itu. Ini juga perlu untuk mengasingkan diri beliau daripada pentadbiran Pak Lah yang huru-hara itu. Sekarang, beliau dilihat seolah-olah laparkan jawatan dan kedudukan meskipun mungkin niatnya baik, iaitu menganggap jawatan itu sebagai platform untuk membantu rakyat.

Satu lagi perbezaan ketara antara keduanya, mungkin Rafidah dilihat sebagai golongan elit bagi Wanita, dan Shahrizat lebih kepada ahli bawahan. Tetapi, hakikat yang pasti, kedua-duanya secara am, berkesan sebagai pemimpin wanita.

Kesimpulannya, amatlah rugi kalau salah seorang terpaksa dikorbankan. Mungkin sebagai memenuhi aspirasi ahli akar-umbi yang dizahirkan melalui pilihanraya Mac '08 dan juga pencalonan dan kemunculan banyak muka-muka baru dalam line-up di Cawangan, dan Bahagian UMNO sebelum ini, Rafidah perlu beri jalan kepada Shahrizat untuk jadi Ketua Wanita UMNO. Meskipun sama sahaja jadi Pemangku Ketua atau Ketua Wanita, tetapi, politik ini adalah berkenaan persepsi. Barangkali, Shahrizat jangan side-line kan Rafidah terus, lantiklah beliau jadi Pengerusi Tetap ataupun Penasihat Wanita.

Sayang sekali kalau salah-seorang kena dikorbankan.

dan kajang said...

As'kum Dato',

1. Saya rasa sudah tiba masanya Wanita memulakan imej baru dan keluar dari imej "one women show" iaitu sayap yang dikuasai oleh sikap autokratik Rafidah. Selama ini Sharizat dan Exco Wanita hanya dilihat sebagai "Mak Turut" sahaja. Tidak berani menengah idea baru sendiri, walaupun mereka kadangkalanya tidak sependapat dengan Ketuanya. Seperti yang Dato' katakan, tidak siapa dapat menafikan kewibawaan TS Rafidah samada sebagai Pemimpin Wanita atau sebagai Menteri Kabinet. Namun demi untuk menukar imej UMNO dan imej Wanita khasnya mereka harus membuat perubahan drastik walau agak pahit.

2. Wanita haruslah menukar imej sebagai satu pasukan yang terdiri dari ahli Exco yang mampu mengemukakan idea baru. Untuk itu Sharizat, yang diberi kepercayaan oleh sebahagin besar juga Bahagian, perlu mengambil keputusan tegas dan berani untuk mencabar bosnya."It's not that we hate Ceasar, but we love Rome more".Ungkapan Brutus apabila mereka terpaksa membunuh Ceasar demi menyelamatkan Rome patut dicontohi. Sebelum itu eloklah Sharizat melepaskan dulu jawatannya sebagai Penasihat PM supaya pertandingan akan dijalankan "on the same playing field".

3. Tapi jika Sharizat masih nak play safe, eloklah beliau jangan bertanding langsung dalam apa jawatan sekali pun. Ini bukan masanya untuk play safe. Jika beliau mahukan Wanita dihormati oleh semua termasuk Wanita dari Parti komponan BN, beliau hendaklah menerajui Wanita sebagai Ketua dan bukan sebagai pemangku Ketua. Jika beliau masih takut untuk menentang bosnya tapi terus mahu bertanding jawatan Naib Ketua kita khuatir beliau akan hanyut dan kalah. Imej Wanita terus akan menjadi lemah dan tidak berwibawa.

Quick Draw Botak said...

Sdr. A Kadir Jasin,

Dalam politik apa-apa dan macam-macam bolih berlaku.

Walaupun Rafidah mendapat pencalonan yang banyak, sejarah telah membuktikan yang ia tidak semestinya bererti undi yang banyak semasa persidangan nanti.

Similarly walaupun Shahrizat mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding tidak semestinya beliau akan menang semasa pemilihan nanti.

Terdapat banyak permutasi yang mungkin dan bolih berlaku. Diantara senario yang nampak pelik dan berkemungkinan berlaku adalah Rafidah memberi laluan kepada Shahrizat semasa ucapan pembukaan persidangan Wanita pada bulan Mac 2009.

Nampak pelik? Tak masuk akal? Memang! Tetapi ia tidak bererti ia tidak bolih berlaku!

Kita tunggu dan lihat...

Sekian.

bendera merah said...

..salam datuk..

point from an old-timer..itu kadang-kadang or selalulu saya marah dengan budak-budak dan org dewasa yang baya saya..cuba meminggirkan nasihat dan pendapat otai..dulu tak paham maksud asam garam..kehidupan tapi ini la caranya..

Jed Yoong said...

Dtk,

I think the dilema...is erm, still UMNO and $$$$.
Jelak...

MANTRA said...

Salam Datuk

Rafidah - autocrat
Shahrizat - play safe
Kamilia - berprinsip

Yang mana satu pilihan rakyat?

Shahrizat seolah-olah dalam dilema ibarat 'TORN BETWEN TWO LOVERS'.. Nasihat to Kak Jat, kepada Allah kamu berserah... you are sandwiched!

malaysia said...

sharizat tak mampu lawan rafidah...jika dia kalah dia boleh lupakan terus cita2 untuk jadi ketua wanita umno...rafidah pasti akan 'baham' dia cukup- cukup..

Tun Jeram said...

Salam,

Kalau kita mahu dengar pandangan Tun Dr.Mahathir, "jalan keluar" dari dilema yang dihadapi oleh Wanita UMNO sekarang ialah pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.

Jalan keluar yang lain ialah Rafidah bersetuju berundur pada bulan Mac 2009, tapi ini mungkin tidak berlaku.

Jadi bertandinglah, walaupun ada risikonya.

Hati Kecil Berkata said...

1.Shahrizat memang tidak menafikan sehingga ke hari ini mendapat sokongan kuat diperingkat akar umbi yang inginkan perubahan dalam wanita. Beberapa negeri telah menyatakan sokongan terhadap beliau.

2. Shahrizat juga sebenarnya pandai dengan 'berdiam diri' semasa bahagian-bahagian membuat pencalonan dan apabila sehari sebelum mesyuarat exco wanita dia telah mengatakan 'ini adalah keputusan politik paling kritikal' yang saya nampak bukan kritikal tetapi kekuatan dan kerja beliau. Beliau juga tidak mahu dianggap sebagai melanggar arahan ketua tetapi masa yang sama berhajat pergi ke no. 1. Jadi beliau duduk ditengah kemelut ini dan berharap kekiri pun untung kekanan pun untung.

3. Pada pendapat saya juga perubahan harus ada dalam wanita kerana saya yakin gandingan sharizat-kamilia adalah gandingan mantap untuk wanita menghadapi pilihanraya akan datang.

4. Saya juga tidak nafikan rafidah merupakan seorang tokoh wanita yang banyak berjasa dalam bidang industri tanahair tetapi semenjak pilihanraya lepas rakyat inginkan perubahan. Jadi perubahan harus ada dalam kepimpinan UMNO khususnya.

anak parit said...

Salam Dato' AKJ,

Shahrizat tersepit "antara dajal dan kedalaman laut biru".... antara mati dicekik dajal atau mati akibat lemas..suatu ungkapan menarik. Kalau dulu-dulu kita katakan "diluah mati emak dan ditelan mati bapak" dan akhirnya kita dok kebam dalam mulut dan tak berkata apa-apa...susah tu.
Sepatutnya Shahrizat pada sebelum bahagian UMNO bermesyuarat telah menyatakan pendirian dengan tegas dan bukannya melatah bila bahgian sudah membuat pendirian.
Kamilia pula seolah terdesak bila ada bahagian mencalonkannya.
Begitulah dalam UMNO, telenovela Wanita UMNO baru bermula dan telenovela DSAAB akan sampai ke penutup.

Anak_Parit

Raison D'etre said...

Datuk,

Tanggapan saya sama seperti Datuk.

Shahrizat belum tentu akan menang jika beliau bertanding melawan Radiah.

Bayangkan jika beliau kalah? Sudah lah kalah ditangan seorang calon muda (walaupun beliau anak bekas DPM), sekarang (kalau berlaku) kalah kepada seorang yang dah diambang pencen.

Agaknya sebab tu Shahrizat seperti kapal layar yang tak berpaut di jeti tika ribut hendak melanda.

Wasalam.

sawit futures trader said...

Salam Dato',

Agaknya Rafidah juga telah mula mencongak semula.

Dahulu pelan Jun 2009 dikemukakan kerana Shahrizat orang nombor 2 dan disangka sokongan kepadanya adalah kuat.

Kini, terbukti sokongan kepada Shahrizat bukan sekuat yang di sangka.

Yang jelas, akar umbi UMNO lebih lantang di WANITA berbanding yang lain.

Sesapa yang menyokong PAU di adakan pada Mac 2009, nah ambik kat engkau.

Lagi lama tunggu, lagi lama menahan sakit kepala.

MUDAH-MUDAHAN PANADOL TAK NAIK HARGA. KALAU TURUN HARGA SEIRING DENGAN HARGA MINYAK, LAGI BAGUS!

TEHrasaCOKE said...

Pantun buat Toknek Fidah...
-------------------------

Ayag menet roti kapai,
Jom makan diBukit Raya,
Aiya Makcik 'time'mu udah sampai,
Bagi can puak muda pulak...

Pantun buat Makcik Izat
----------------------------------

Anak lintah tergedik-gedik,
Anak rimau dalam paya,
Nak bertanding tergedik-gedik,
Kalau penakut tak peraya...

Pantun buat Dato' Kadiag
------------------------

ABC keladi hutan,
Teruskan lagi 'class'catatan#

modzaini said...

NAMPAKNYA SHARIZAT KENA NYANYI LAGU KLASIK NI---JADI SEMUAAA, SEREBA SALAH....

Anonymous said...

Datuk,

saya ni advocate keadilan untuk kaum wanita terutama sekali ibu tunggal kerana saya sendiri telah melalui pengalaman sebagai ibu tunggal.

the only reason i dont fall below the poverty line after divorce is i was educated at the insistence of my mother. therefore i have the ability to take care of myself and my children.

saya tidak berkenan dengan Datuk Shahrizat kerana pada hemat she has not interest to handle woman issues.

my take on her ....she is more interested to match her shoes and her handbag with her tudung selendang.

so go figure that one out...

Keturunan Jebat

lt col Idris Hassan said...

Yang bhg Datuk,
In the Army there is much respect for an officer who when faced with a difficult situation is able to to make a quick decision based on a culculated risks even if the end brings dire results.We frown on those who are indesiasive, waffel
and can make no decisions .We call that lacking leadership and guts.Shahrizat is now Waffeling!!!she should not wait till 'Nasi suhah jadi Bubor'
Terima Kaseh

dheepan said...

Saya berpendapat Datuk Seri Sharizat perlu bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO. Jika tidak ini akan menimbulkan lebih kekeruhan berbanding 'rejuvenation' yang diharapkan.

Keadaan beliau kini tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Datuk Seri Rafidah adalah seorang yang berkarisma dan berkaliber. Perkhidmatan beliau ketika menjadi menteri adalah satu 'track record' yang cemerlang. Namun sudah sampai masanya beliau memberi laluan.Tidak perlulah dikeruhkan lagi keadaan.

Sekian

ab said...

Salam Dato,

Sampai bila laa nak habis kesah sianu,sipolan nak jadi ketua ni ya?.

Saya dah lemas,mual dan muak..tak habis cerita hal ni dari tahun 2007,dah nak habis 2008 dan pasti sambung lagi 2009 nanti...

Yang terpenting, macam diseluruh dunia tentang macamana nak mempertahankan kedaulatan negara, duit negara dan ekonomi negara tak jadi isu utama setiap hari disini.

Adakah ahli-ahli politik melayu ni hanya kuat bising sedangkan orang lain kuat bisness...walaupun ada yang rugi besar.( dan untung besar
pun ramai juga).

Kalau nak bising sangat elok jadi penyanyi...

Nanti menang bising rugi bisness dan hilang negara...


Dato apakata kalau Dato cadangkan supaya kesemua ahli politik dinegara ini membayar sendiri kos bising,penerbitan cerita mereka di akhbar,radio dan TV (? internet). Kos untuk upacara mereka menerima
jawatan didalam kerajaan juga dibayar sendiri macam di USA?.

Agaknya tentu rioh rendah kesemua mereka membantah kalau kena membayar sendiri untuk kesemua itu?.

Abu Bakar Ab Rahman

Muhammad Azli Shukri said...

Saya yakin Kamilia akan bertanding dan kemungkinan besar Rafidah akan tewas kepada shahrizat.

Dasa said...

Pelan peralihan kuasa hanya terpakai apabila sesebuah organisasi itu tidak mempunyai "succession planning" iaitu apabila tiada pengganti yang jelas kepada ketua yang ada. UMNO, tanpa mengira sayapnya, tidak pernah gagal menyediakan individu yang memang telah memegang jawatan no. 2 sama ada bergelar timbalan atau naib. Oleh itu, pelan peralihan kuasa dalam konteks UMNO pada masa kini adalah sesuatu yang janggal dan tidak relevan.

Anonymous said...

Samaada Shahrizat bertanding melawan mak cik Fidah ataupun terus mempertahankan jawatan naib ketua nya, the truth is, it is a defining moment dan kerana sikap nya selama ini maka akan tamat lah riwayat politik Shahrizar berambut perang.
Very sorry for you Shahrizat, you don't have the quality to lead wanita UMNO.
Wanita UMNO pasti akan selamat di tangan mak cik Fidah dan di bantu Kamilia dalam keadaan UMNO yang gawat ini. Apa yang akan berlaku kepada Shahrizat kali ini ia lah pelajaran politik bab 2 selepas kecundang politik bab 1 di Lembah Pantai.
Semoga Mak cik Fidah tu diberi petunjuk supaya jangan serah kuasa pada Shahrizat berambut perang yang lembab dan lemah dan kaki bodek.
Say good bye Shahrizat and welcome Datuk Kamilia. dh9753

R@duan said...

Rafidah hampir saja tewas di Kuala Kangsar pada pihanraya lalu. Apa lagi yang akar umbi hendak daripada Kak Pidah ni?. Sharizat slow and steady sangat! kerja kuat tapi terlalu lembut. Kuat kan suara tu sikit, pakai speaker power punya. Kalau hang lembek sangat alamat cepat la masuk 'kubor'. Karmila, kena respect ni. Macam ni kita hendak. Himpit punya himpit akhirnya terjojol ke atas jugak. Caya la.

Rafidah boleh pencen.

Sharizat kalau lembek baik jadi mak andam.

Karmila, nak tengok kamu pulak. ok ke tak.

hantu siang said...

tuan,

saya ada menonton tv3 melihat bagaimana rafidah mempertahankan pelan peralihan kuasa yang dicadangkannya itu sambil barisan exco wanita berdiri dibelakang (dan yang paling menawan hati adalah halimah sidique.. hehehehe).

tapi saya simpulkan bahawa rafidah bercakap sungguh angkuh sekali sambil melihat wajah shahrizat yang begitu janggal disebelahnya.

p/s: kirim salam kat halimah sidique.

Anonymous said...

Datuk,

Senario inilah yang akan berlaku jikalau Pak Lah tidak isytihar mahu undur dari jadi Presiden UMNO tempoh hari.

Nasib Najib lebih baik dari Shahrizat.


-sinbad-

lintahbertulang said...

Kadang-kadang kita tak sedar akan kelebihan diri kita sendiri. Mungkin itulah yang berlaku kepada Shahrizat. Beliau mungkin tidak sedar kelebihan yang ada pada diri beliau atau mungkin beliau takde keyakinan untuk menentang Rafidah...

Anonymous said...

Datuk,
Rafidah ni kalau dia lelaki Pak Lah tak dapat jadi PM betul tak

Yong

TiCO said...

YBhg Datuk A KAdir Jasin

Jarang sekali kita berbicara tentang Pergerakan Wanita UMNO seperti kita berbicara tentang Lelaki UMNO. Sama ada kita belum tergamak untuk memberi komen keras terhadap Pergerakan Wanita UMNO atas dasar bahawa kita menghormati wanita . Atau barangkali kita berpandangan bahawa Pergerakan Wanita tidak memberi signifikan kepada keseluruhan politik negara dan hadir mereka sebagai pelengkap sahaja.

Saya masih mencari medan perang ahli PW UMNO. Bagaimanakah agaknya ahli-ahli Pergerakan Wanita (PR) UMNO berpolitik. Apakah kriteria-kriteria dalam pemilihan pemimpin mereka . Apakah politik wang tidak wujud dalam senerio pemilihan dalam PW UMNO.

Saya berpandangan bahawa politik PW UMNO tidak terkecuali dari campur tangan Lelaki UMNO. Komando dari kem-kem lelaki UMNO menyusup masuk mempengaruhi PW UMNO. OLeh itu kepada PW UMNO pun kita boleh ajukan soalan.. CIk Adik manis orang siapa?

Saya kurang setuju jika ada rakan-rakan blogger berpendapat bahawa Sharizat akan menang. Semua orang tahu bahawa Sharizat adalah orang Pak Lah. Jelas. Dia tidak menang pun merayu hingga dapat jawatan bertaraf menteri. Rafidah pula adalah penyokong kuat Dr Mahathir. Semasa Dr Mahathir pertama kali mengumumkan akan bersara semasa persidangan UMNO dahulu, Rafidah adalah orang pertama yang menerpa dan meraung. Rafidah pula adalah musuh Pak Lah. Seorang ketua PW UMNO yang memenangi pilihan raya tidak diangkat menjadi menteri.

Pak Lah akan belayar tidak lama lagi. Pak Lah tidak belayar keseorangan di dalam Noah Ark. Ramai yang akan mengiringinya. Antaranya termasuklah Sharizat.

Orang kata bahawa zaman Mahathirisme akan kembali. Apakah maksudnya ini. Adakah ini bermaksud bahawa penyokong-penyokong Dr Mahathir akan kembali berkuasa. Jika ini maksudnya, Rafidah akan kembali berkuasa.


Saya rasa, pada ketika ini Rafidah memang berharap benar supaya Shahrizat melawanya. Dalam keadaan politik lelaki UMNO sekarang ini, Rafidah dengan mudah dapat mengalahkan Shahrizat. Oleh itu pelan peralihan kuasa akan bubar dan Rafidah akan terus menjadi menteri. Jika shahrizat tidak bertanding, Rafidah terpaksa akur dengan peralihan kuasa. Lambat atau cepat, dia terpaksa menyerahkan kuasa kepada Shahrizat.

slyderrose said...

Di Malaysia ini,jadi ahli politik bermakna kuasa, wang dan penghormatan. Carilah pemimpin parti politik peringkat tinggi yg hidup sederhana. Payah sekali. Itulah sebabnya apa pun kedudukan mesti dipertahankan, lagi lama, lagi baik, bermacam cara dilakukan untuk meraih kedudukan yg lebih tinggi atau mempertahankan kedudukan. Cara mereka ini secara tidak langsung memburukkan imej orang melayu Islam. Itulah Malaysia, masuk politik untuk cari makan bukan membantu rakyat dan membangunkan negara.

acai2009 said...

assalamualaikum..

Kalau dibiarkan tak bertanding maka sia sia lah akar umbi mencalonkan.. maka akan jadi budaya Wanita UMNO nanti untuk ikut keputusan Exco yang KONONNYA tak mau berpecah, walhal mereka nak kawal jawatan agar berkisar sesama mereka.. Orang kg dah tau dah wahai Exco.. taktik lama.

UTON51 said...

Yang Berbahgian Dato AKJ,


1. "Kadang2 kita perlu mendengar bisikan, kerana dengan mendengar bisikan mungkin kita tidak akan mendengar jeritan."

2. Saya bersetuju dengan Dato bahawa Datuk Hishammuddin Tun Hussien beruntung kerana dapat
Kementerian Pelajaran Malaysia.

3. Saya meramalkan bahawa BN akan bertambah teruk dalam PRU13 jika KPM meneruskan penggunaan pengajaran Sains dan Matematik bahasa Inggeris.

4. Keputusan UPSR 2008 yang diumukan kelamarin menunjukkan bahawa hanya 31.1 % calon yang menjawab menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran dan 46.6 %calon menggunakan bahasa Inggeris menjawab mata pelajaran Matemetik. Sebenarnya indikator ini jelas menunjukkan kegagalan.

5. Kononnya pemimpin perlu dihormati. Perlu ingat bahawa pemimpin itu dipilih, jika gelendangan dipilih sebagai pemimpin maka jadilah dia pemimpin. Sepatutnya pemimpin yang tidak disukai undurlah, jadilah rakyat yang dipimpin pula. Cuba belajar menjadi gelendangan.

6. Dalam pemilihan UMNO kali ini (Mac, 2009) sesiapa sahaja yang kutuk Dr-M akan kalah.

7. Dato, teruslah menulis, kerana apabila Dato menulis kami dapat juga tumpang ilmu dan maklumat.

Red84 said...

Scribe,

Canggih betul politik UMNO!

Hang Jebat said...

Datuk,

Kalau begitu kata Datuk, mengapa pula Rafidah nak serah kuasa kepada Sharizat? Kalau Pak Lah masih PM, mungkin perlu agaknya. Bulan Mac tahun depan Pak Lah dah tak ada. DS Najib jadi PM dan mungkin lantik semula Rafidah jadi menteri. Rafidah menang dalam PRU 12, Sharizat kalah. Jadi lebih baik Rafidah kekal.

idrus said...

alah...ramai yang sibuk2 komen tentang hal wanita umno ni silap hari bulan ada yang di upah la untuk hentam sana hentam sini.

Sebenarnya, rafidah masih unggul untuk menerajui wanita. Ijat, i'm not sure stand dia di mana, pusing sana pusing sini...ini mengingatkan saya kepada latarbelakang nya, lawyer...dah tentu pandai pusing sana, belit sini

Kamilia pulak, mempergunakan alasan agama untuk bertanding sedangkan sebenarnya, tiada akar umbi yang menyukai dia...dia punya lawyar jugak...dah tentu lah pusing sana, pusing sini. Kerja tak nak langsung, politiking 24 jam.

In fact, si kamilia ini tiada karisma untuk menjadi seorang pemimpin unggul....look at her...she's like "mak cik or cikgu bedah" yang dalam cerita adik manja tu.


Akar umbi tahu dan boleh menilai siapa yang boleh bekerja dan siapa yang hanya "sembang kemas" saje.

berasiam said...

Salam Dato' AKJ

Rafidah Ahli Parlimen Kuala Kangsar manakala Kamilia pula adalah Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar. Sudah tentu ada kira-kira dari hulu Sungai Perak dicatur antara Rafidah dan Kamilia. Sekiranya Shahrizat lawan Rafidah, belum tentu Kamilia akan sokong Shahrizat. Nampak gayanya macam ada skrip tersembunyi di antara Rafidah dengan Kamilia. Besar kemungkinannya Shahrizat yang akan tersingkir dalam permainan ini. Sedang Zaharah yang sudah menang pun boleh diketepikan oleh Rafidah, inikan pula Shahrizat yang jauh junior dalam politik. Kedudukan Shahrizat amat jelas, ditelan mati mak, diluah mati bapak. Yang pasti dia telah terperangkap apabila bersetuju dengan pelan peralihan kuasa Rafidah. Kalau dia bertanding jawatan Ketua, dia akan dilihat mungkir janji dan jika sebaliknya, Kamilia akan mengasaknya di jawatan nombor dua. Semakin dramatik jadinya pemilihan Umno kali ini dengan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda yang bakal ditandingi tiga penjuru serta Shahrizat yang terpaksa bertanding salah satu jawatan tertinggi Wanita.

-WADAH- said...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera....

Penulis nak komen ringkas tapi sebenarnya bukan komen pun, cuma soalan...

Boleh jadi tak sebenarnya Rafidah nak "tangguhkan juga" peralihan kuasa sebab beliau nak juga merasa kembali ke dalam kabinet "andai" berpeluang tatkala "peralihan kuasa" dalam kerajaan Malaysia Mac 2009. Tiba-tiba penulis terfikir begitu sebab kalau hendak diikutkan Sharizat sebenarnya diangkat sebagai penasihat "bertaraf Menteri" sebab beliau kalah pilihanraya dahulu. Maknanya, kalaupun peralihan kuasa Wanita awal, sebenarnya tak berapa "memberangsangkan" pun sebab Ketua Wanita UMNO bukan ahli kabinet mutlak.

Fikir-fikirkan, wassalam.

Harman said...

Sebenarnya Rafidah Aziz merupakan satu-satunya tokoh Wanita UMNO yang mempunyai kredibiliti. Dia berjaya mengekalkan kerusi Kuala Kangsar, sedangkan Shahrizat kecundang di Lembah Pantai. MITI di bawah penggantinya tak sehebat semasa dia menjadi Menteri. Malah kalau diberikan portfolio Kewangan pun dia pasti menunjukkan prestasi yang lebih baik dari Mohamad Najib. Tetapi kenapa dia diketepikan selaps 8 Mac? Adakah ini permainan Sharizat dari awal, cepat-cepat memujuk Abdullah supaya tidak melantik Rafidah sebagai Menteri untuk memberi Sharizat peluang lebih baik naik sebagai Ketua Wanita? Kita tahu memang Sharizat amat rapat dengan Abdullah... Walau bagaimanapun, kita ucapkan "Good Luck" pada Sharizat. Kalau anda ikhlas, anda akan berjaya InsyaAllah. Tetapi kalau semua ini hanya sandiwara dan main tikam belakang, tunggulah padahnya nanti.

clean said...

kepada shahrizat..

Kalau mengail ikan selangat,
Jangan-lah kuat masok kuala;
Kalau bermain hendak selamat,
Jangan di-tempat baynak puaka.

akls said...

Dah tak der muka baru ke untuk ketua wanita?

asyik-asyik orang yang sama jer. Kaum wanita tak lah ke depan sangat. kita perlukan ketua wanita yang boleh membawa golongan wanita pergi lebih jauh.

http://1001cures.biz

dan kajang said...

As'kum Dato'

I don't think TS Rafidah has had a good reason to hold the hand over leadership of Wanita in June 2009 unless she has her own personal agenda which only God, and of course she knows.

If the reason given is to prevent splitting amongst the Wanita members should the number one and two posts are open for challange, then I think this definately won't happen if she decides to hand over in March 2009 before the Wanita General Assembly. In such case Shahrizat will win the Ketua Wanita uncontested. Same goes to Karmilia. She too will win the Wanita number 2 post uncontested and there will be no splitting. This will solve the whole problem.

So now the Wanita members should realise the earlier reason given by TS Rafidah to prevent splitting amongst is actually only an excuss to prolong her leadership in order to fulfill her own personal agenda. That three months period given prior the hand over proses are for following reasons:

1. For her to consolidate her team by appointing and placing all her ardent supporters in the Wanita line up. This is to make sure Sharizat will not have a free hand on Wanita leadership.Afer all Shahrizat will just be acting Ketua Wanita for more than two years.The Wanita will still be under TS Rafidah control ever after June 2009;

2. She still hope to secure a Minister post once DS Najib takes over as PM after March 2009.If this happens thre's a possibility she will ask the Wanita Exco to persuade her to hold on the Ketua Wanita post since she is now appointed as Minister.

With these possible scenario, Shahrizat will be on the loosing end. So I hope Shahrizat will now seriously consider to challange her bos in order to safe her political career and the Wanita image as well.

jojo51 said...

Saya tertanya-tanya kenapa perlu mengganti pemimpin sedia ada jika orang yang menggantinya nyata tidak berkaliber dan lemah. Teringat saya kepada pertukaran kepimpinan dari TDM kepada AAB. Keadaan yang cemerlang bertukar menjadi malap gara-gara kelemahan kepimpinan AAB.

Sharizat tu jika dibandingkan dengan Rafidah jauh kebelakang. Not even half as good as her boss. Malah saya menilai Rafidah lebih berkaliber dari Najib dan jauh lebih berwibawa berbanding dengan AAB dan menteri-menteri kabinet lain. Hairan kenapa orang yang berprestasi cemerlang disuruh berhenti cepat semata-mata atas alasan memberi laluan kepada pemimpin/muka baru yang kita sendiri tahu tidak lansung mempunyai kaliber kepimpinan.

Sharizat should not be promoted to a level of incompentency.

amoker said...

Tak cuba tak tahu.
Competition is good. Even better if got poker face. Then show the card when ready and shock the opponent.

haji said...

datuk

kalau sharizat lawan juga rafidah, beliau akan kecundang. dia tak kuat mana. lemah. dengan budak mentah pun dia kalah. kalau tabur duit pun kalah. eloklah jangan lawan fidah.

Anonymous said...

Datuk,

Saya berpendapat bahawa Shahrizat tidak ada kena mengena dengan penguguran Rafidah sebagai Menteri kabinet.

Pak Lah mungkin sakit hati dengan tindakan Rafidah yang keras mengkritik kepimpinan beliau selepas PRU12. Pak Lah mungkin ingin membersihkan kabinet beliau dari bau2 skandal terutama skandal yang melibatkan AP kereta dan Rafidah.

Tetapi saya lebih cenderung menganggap bahawa penguguran Rafidah daripada kabinet adalah kerana usaha pihak tertentu untuk memberi laluan kepada Azalina untuk mengorak langkah dalam pergerakan wanita UMNO.

Rafidah dan Shahrizat sama2 menganggap Azalina sbg satu ancaman kepada masa depan politik mereka memandangkan Azalina kini menjadi wakil tunggal ahli kabinet dari pergerakan wanita UMNO.

Oleh itu, Rafidah dan Shahrizat telah sepakat untuk mewujudkan plan peralihan kuasa bagi memastikan Azalina tidak mendapat tempat di kedua2 kedudukan tertinggi pergerakan wanita.

Pakatan Rafidah dan Shahrizat ini nampaknya berjaya memandangkan Azalina tidak mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam pergerakan wanita. Kelayakan Datuk Kamilia bertanding untuk jawatan nombor dua tidak dianggap sebagai satu masalah memandangkan Shahrizat beranggapan bahawa apabila Azalina sudah tidak layak bertanding, Rafidah akan menarik diri dari bertanding jawatan nombor satu.

Tapi sepertimana yg kita ketahui, gesaan Shahrizat agar Rafidah mempercepatkan pelan peralihan kuasa ke bulan Mac 2009 telah ditolak mentah2.

Saya yakin, apabila permintaan ini ditolak, Shahrizat telah mula meragui kejujuran Rafidah dan mulai sedar permainan politik sebenar Rafidah.

Apa tindakan Shahrizat seterusnya? Sama2 lah kita tunggu.

Yang pasti, pergolakan ini berpunca daripada:

1. sikap Rafidah yg tidak jujur dan mementingkan diri sendiri.

2. tindakan Pak Lah yg membelakangkan status-quo dalam perlantikan ahli kabinet. Ketua Pergerakan Wanita UMNO yg mewakili lebih 1 juta ahli wanita UMNO selain menjadi Pengerusi Wanita BN semestinya dilantik sebagai Menteri penuh. Kedudukan pemimpin nombor satu wanita BN hendaklah dianggap sebagai menyamai kedudukan presiden parti2 komponen BN yg besar seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Walaupun kuasa perlantikan ahli kabinet terletak mutlak atas budi bicara Perdana Menteri, ia tidak bermakna Pak Lah boleh lantik atau ketepikan siapa sahaja ikut suka hati. Beliau masih terikat dengan status-quo parti2 komponen serta kepentingan pergerakan sayap BN.

Datuk,

Pergolakan wanita UMNO ini adalah satu lagi contoh musibah yg berlaku apabila Perdana Menteri membelakangkan kepentingan parti dan membuat keputusan atas dasar kepentingan tertentu.

Lintang pukang, tunggang terbalik, caca merba, haru biru.


-sinbad-

Dato Aziz Kadir said...

Dato.

Ini merupakan satu lagi masaalah UMNO.Pemimpin yang tak tahu bila ia mesti turun,pemimpin yang tahu samaada ia mempunyai kelayakan untok memeipin,pemimpin yang tak tahu yang latar belakang mereka sudah tak dapat diterima oleh orang2 Melayu.

Ini merupakan satu Delima bagi UMNO dan Orang2 Melayu.Dato Harun mencuba macam2 untok menang UMNO Vice Prtesident.Sampai ia masok Jail.Lepas keluar Jail orang UMNO melanteknya jadi Vice President tampa ia kena kempen .Ali Rustam tiadk mempunyai kelulusan yang baik untok menjadi Pemimpin tapi say tidak akan hairan jika ia menang jawatan Timbalan President.

Ali Rustan dan Pak Lah lebeh kurang sama.Pak lah juga tidak mempunyai kelibar sabagai Pemimpin.I naik kerana BTN yang memberikannya sokongan yang Kuat.Bila jadi PM,lihatlah apa yang berlaku.Itu pun ia maseh tak sedar diri,mahu tunggu sampai Mac baru nak berhenti.Ia lebeh mementingkan diri dari Party.Rafidah pun masok dalam categori yang sama.Sunggohpun ia amat qualify tapi otaknya dikuasai perasaan.

Nasib kau lah UMNO.Dengar kata Tengku Adnan pula nak bersehkan UMNO.Ha Ha Ha apa ini,orang UMNO dah buta ka.?Tengku Adnan pun patut berhenti jika UMNO nak maju.Dia pun banyak buat tahi dalam UMNO.

A KADIR JASIN said...

Sdr Dato Aziz Kadir,

Sila ambil maklum bahawa Dato Harun Idris mendapat Pengampunan Di-Raja.

Terima kasih.

azizIbrahim said...

Saya setuju sangat dengan pandangan Datuk Aziz Kadir. UMNO memang parti yang malang hari ini kerana ramai pemimpin yg tidak berguna berada di dalamnya dan sedang berebut kuasa, sementara perwakilan dlm pemilihan pula seperti buaya sedang menunggu bangkai rasuah (politik wang) dengan mulut ternganga.

Malang sungguh nasib, sebuah parti yg berjuang demi bangsa dan negara akhirnya (mungkin) mati dlm keadaan hina..suratan ini akan jadi benar jika rasuah politik berterusan.

abikhsan said...

Biarlah ada pertandingan. Kata demokrasi. Tapi saya memang tak paham pasal pelan peralihan kuasa tidak kira samaada from Pak Lah pada Najib atau Nenek Pidah ke Shahrizat.

Lebih baik Pemuda UMNO. Gentlemen, tiada peralihan kuasa. Siapa nak kerusi tu bertanding. (Pasal tanding ada unsur politik wang labntak pi lah...)

Kononnya pelan peralihan kuasa untuk elak pertandingan dan elak perpecahan. Tapi bila lihat senario pelan ni rasa macam Pak Turut pulak.

Dengan erti kata lain, aku ikut je cakap boss aku suka ke tak suka later on aku akan dapat ganti dia..... Hampeh...

eddy said...

Salam Dato'.

1. Saya rasa Sharizat kena bertanding juga dengan Rafidah, otherwise saya rasa dia dah kena checkmate nampaknya tu. I do not think that Rafidah was too pleased with Sharizat for accepting the Penasihat PM Post,when Rafidah herself was dropped as Minister, so this is probably Rafidah's way of teaching Sharizat a lesson she would never forget and that is in politics you should never ever outshine your boss.

2. Interesting what Dato Aziz Kadir wrote,God forbid but if either Ali Rustam or Mat Taib somehow gets elected as Timbalan Presiden and Khairy becomes UMNO Youth Head next March, then I believe UMNO is so sick its beyond redemption. If this happens then I would vote for PAS in the next GE.

devilmaycare said...

The Scribe,

I was born and bred in Klang. Its more of a potpurri of races than anywhere else I know in Selangor. From form 1 to form 4 I was in the 2nd of 8 classes. I fumbled in form 4 and got demoted to the 3rd class in form 5. I remember for all the time since form 1 to form 5 there were not more than 5 malays in the first class. For as long as i was in the 2nd class there were no more than 10. The numbers got larger the further down you go in the pecking order until you reach the last class, where the malays were outnumbered by the indians.

I never gave it a second thought though. I just got my requisite first grade, got my degree from a british university (courtesy of the Malaysian Government) and am now earning a 5 figure salary.

As a malay I dont know what to make of things. As far as I know racism is a game that adults play. Never encountered it in school. That was how things were. Am I a success? I think I am about as succesful as the malay chap in the 6th class, who got third grade for his spm, sold credit cards for a living when credit cards were still a luxury item (not a necessity) and today drives a bmw to work.

Anonymous said...

salam DAKJ n Bloggers,

ketua mic akan bertanding walau kene bertanding dgn 100 calon ketua @_@ sawan ke ape???

p/s : setuju dgn aziz kadir 110%

HAMBA ALLAH

anak parit said...

Salam Dato' AKJ,

Dalam PAU bulam MAC 09, perwakilan seumpama memilih sebutir beras dari jutaan antah (dalam kehidupan biasa kita akan membuang antah dari jutaan beras),Saya mengatakan sedemikian kerana amat sukar untuk perwakilan memilih disebabkan calon -calon yang bertanding adalah mempunyai masalah rasuah dan perilaku yang dipersoalkan dan tidak nampak bersih sebagai pemimpin.
Najib?, Mike?,Isa?,Rahim?, Zahid? Khairy?,Khir?,Muhyiddin?,Ali?..Senaraikan semua calun, pastinya mempunyai perilaku yang boleh dipertikaikan.
Mengenai Shahrizat lawan Nek Pidah, wajarlah Nek Pidah turun takhta yang telah sekian lama membuatkan beliau kematu kat situ.
UMNO semakin ketandusan pemimpin yang bersih dari segi luaran, Barisan pimpinan UMNO selepas PAU Mac 09 akan terus mencerminkan kekaratan UMNO kerana rasuah terus berleluasa dan kelemahan pimpinan UMNO akan menyebabkan UMNO semakin terpinggir.
Selepas 446 tahun kita dijajah secara fizikal, Tanah Melayu baru merdeka 51 tahun, tetapi pemikiran para pembesar UMNO telah dijajah semula dalam bentuk wang ringgit.
Retorik para pembesar UMNO yang berhujah setiap kali PAU hanya sekadar bukan lagi hangat tahi ayam, ianya lebih teruk dari perumpamaan tersebut dan mungkin tiada kehangatan pun.
Para perwakilan UMNO wajar tidak mengundi untuk kali ini dengan tidak menghadiri PAU Mac 2009.
Protes calun-calun yang di senaraikan.

Anak_Parit

A said...

Dato',

Saya setuju dengan akls dan Dato Aziz Kadir.
Bawaklah muka lain pulak. Sehubungan ini surat oleh Baki Minuddin di Malaysiakini pada 14 Nov. lalu adalah berkaitan. Dare to face a challenge everyone?

TEHrasaCOKE said...

Dato'

Tahniah kat anak Pak Jalil pasai dia berani lawan taukey...

Pantun terbaru untuk dia...

ANAK LINTAH TERGEDIK-GEDIK,
ANAK RIMAU DALAM PAYA,
NAK JADI KETUA KENALA CERDIK,
TAK MAU JADI MAK TURUT SAJA...

Indigo said...

Thank God somebody talked some sense into her: an old dowager who had her days now fears her own shadow, Shahrizat Abdul Jalil, is now to be feared. Whatever respect due to Rafidah she earned it the hard way.

Pak Lang said...

Datuk,

Saya seangkatan dengan Datuk. Menyaksikan banyak peristiwa pahit manis negara. Mengenali politik Malaya dan Melayu sejak pilihanraya pertama tahun 55. Sama-sama bersorak gembira ketika Malaya mencapai kemerdekaan 31 Ogos 57.

Baru-baru bertemu beberapa orang rakyat Malaysia di rumah seorang kawan yang tinggal di luar negara. Topik perbincangan sudah tentu politik Malaysia khususnya UMNO.

Kesimpulan perbualan UMNO ketandusan pemimpin yang berwibawa. Pemimpin-pemimpin yang ada sekarang termasuk dua orang yang bercita-cita nak jadi Timbalan Perdana Menteri tak ada kualiti.

Kalau nak bandingkan mereka ini dengan Tun Razak, Tun Dr. Ismail bahkan dengan Tun Mahadhir sendiri nampaknya jauh panggang dari api. Saya sengaja nak bandingkan mereka dengan Tun Razak dan Tun Dr. Ismail (ketika mereka menjadi Timbalan Perdana Menteri) oleh kerana ketika zaman mereka Malaya dan Malaysia menghadapi zaman-zaman yang cukup kritikal baik dari aspek politik mahupun pembangunan negara. Mampukan TS Muhammad Muhammad Taib atau DS Ali Rastam memikul tanggungjawab ini? Sedangkan kemelut politik Malaysia dan Melayu dijangka akan bertambah rumit dalam hari-hari mendatang.

Kemudian kita bercakap mengenai barisan pelapis atau pemimpin-pemimpin muda dalam UMNO. Apakah mereka yang antaranya berkelulusan tinggi ini mampu mencemerlangkan UMNO. Nampaknya sukar sekali. Lihat sahaja apa yang berlaku pada pemimpin-pemimpin muda UMNO. Cara berfikirnya tak banyak beza dengan Muhammad Muhammad Taib dan Ali Rastam.

Sebelum masuk UMNO bukan main lagi bijak. Tapi bila dah masuk UMNO, pegang jawatan mereka tukar haluan. Apakah kerana ini budaya UMNO.

Saya juga kenal beberapa orang kawan masa di Universiti (tahun 70an). Ada antaranya langsung tak pernah aktif dalam aktiviti-aktiviti pelajar bila tamat belajar tiba-tiba saja aktif dalam politik dan masuk UMNO. Jadi kalau nak cakap pasal kualiti ramai kawan-kawan yang senyum sumbing apabila nama kawan-kawan yang masuk UMNO, jadi MP atau ADUN atau menteri ini disebut.

Harap perwakilan di perhimpunan UMNO Mac ini mesti berani memilih calon-calon yang "baik" meskipun tidak ada yang lebih baik. Ingatlah masa depan Malaysia dan orang-orang Melayu bergantung kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang dipilih diperhimpunan seumpama ini. Baik pemimpin-pemimpin lelaki mahupun wanita.



Pemimpin-pemimpin yang sering dikritik sebagai tidak berkualiti tak usahlah nak hemoi bertanding. Jangan penting diri sendiri saja. Eloklah ukur baju dibadan sendiri.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).