Tuesday, December 16, 2008

Guru Umpama Permata Nilam

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PANTUN lama kegemaran saya berbunyi:

Pergi memburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Kalau berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Berguru adalah segala-galanya. Betul berguru jadi pendeta. Silap berguna tidak kenal bahasa.

Atau dalam bahasa basahan orang Utara, boleh gila isin – bukan sekadar gila, tetapi gila campur “insane”.

Saya sangat bernasib baik. Guru-guru saya baik-baik belaka. Selain ibu dan bapa saya, merekalah yang membuatkan saya berada di mana saya kini berada.

Sabtu lalu, 13 Disember, saya dan beberapa orang kawan dari Sekolah Menengah Saint Michael, Alor Star – sekolah kelas dua – menyertai sekumpulan penghayat meraikan seorang guru kami yang sangat berjasa.

Namanya Dato’ Dr Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof, guru bahasa dan kesusasteraan Melayu yang “forte”nya adalah sejarah, khasnya sejarah Negeri Kedah dan wilayah-wilayah Islam di persekitarannya.

Dia adalah Tokoh Guru Kedah (1993), Tokoh Guru Kebangsaan (1994) dan Tokoh Guru Suluh Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002).

Kali ini kami berkumpul di Auditorium Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah bagi meraikan satu lagi anugerah yang dilimpahkan kepadanya.

Pada 18 Oktober lalu, dia dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sejarah) oleh Universiti Utara Malaysia sebagai mengiktiraf pembabitan beliau dalam bidang pendidikan, sejarah, sastera dan budaya.

Seperti kata Prof. Madya Mohd Isa Othman, pensyarah sejarah politik, Pusat Pengajian Jauh, Universiti Sains Malaysia, ramai orang boleh belajar untuk mendapat ijazah doktor falsafah, tetapi doktor kehormat falsafah adalah pengiktirafan sesebuah universiti dan komunitinya terhadap pencapaian dan sumbangan seumur hidup seorang tokoh ilmu.

Maka dalam semangat itulah kami meraikan seorang insan, yang tanpa mengira gelaran dan anugerah yang diperolehnya, tetap Cikgu Wan kepada kami.

Itulah Wan Shamsudin yang kami kenali mulai tahun 1962 di sekolah “kelas dua” Saint Micheal yang terhimpit di antara Gereja Katholik dan paya nipah di Jalan Langgar.

Dia berbasikal ke sekolah, belajar sendiri untuk mengambil sijil HSC dan pada usia 41, masuk Universiti Malaya.

Dan dialah yang “memaksa” saya mewakili darjah dalam pertandingan pidato pelajar Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1965 dan 1966 sehingga berjaya mendapat tempat ketiga di peringkat nasional di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


( Dari kiri )- Mustaffa Shafie,Izham Shaari, Blogger, Cikgu Wan Shamsudi,Ghani Darus,Mansor Che Din dan Bisharuddin Basha - gambar ihsan Abdul Halim Yaacob.

Saya bernasib baik kerana bukan Cikgu Wan seorang sahaja yang memberi lebih daripada yang dituntut ke atas seorang guru kepada muridnya. Ramai lagi guru penyuluh budi dan iman yang mengilap batu menjadi permata.

Antaranya Cikgu (Dato’) Shaari Abu Bakar, guru besar sekolah Melayu Pendang yang memberi kelas tambahan dan membawa saya dua tahun berturut-turut (1957 dan 1958) untuk mengambil peperiksaan Special Malay Class Entrance Examination.

Master Syed Salim, guru darjah dan guru bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Saint Michael yang mengenakan denda duit kalau kami bercakap lain dari bahasa Inggeris –maksudnya bahasa Melayu dan Siam kerana ramai budak-budak Melayu dari pedalaman waktu itu boleh berbahasa Siam.

Mr Kang yang mengajar kami erti kesihatan seperti menggosok gigi, memotong kuku dan menghantar kami ke klinik kerana dijangkiti kutu kepala atau bercacing di dalam perut selaku guru “hai jin!” (hygiene atau kesihatan).

Sebagai budak kampung dan anak rakyat biasa, kami mengalami pelbagai penyakit akibat kurang kebersihan seperti kudis buta, batuk dan berhingus, telinga bernanah, panau, kurap, bisul dan ketuat.

Mr Charles Alexander Westwood, seorang jurutera kereta api (locomotive engineer) yang bertukar kerjaya dan akhirnya menjadi guru besar Sekolah Menengah Saint Michael. Dia mengajar kami erti muhibah dan setia kawan.

Kalau tiada wang saku, dia mengeluarkan wang daripada koceknya sendiri. Kalau kena serangan malaria dan terketar-ketar, dia meminjamkan kotnya dan kalau ibu bapa kesuntukan wang, dia menangguhkan bayaran yuran RM15 sebulan.

Dia begitu kagum dengan kejayaan murid-muridnya dalam pertandingan dan kegiatan Bulan Bahasa Kebangsaan sehingga bersetuju namanya “dibahasa-Melayukan” menjadi Salleh Iskandar Kayubarat – terjemahan literal Charles Alexander Westwood.

Begitu taasub dia dengan nama itu sehingga dia menamakan rumahnya yang diperbuat daripada kayu di Jalan Telok Wan Jah sebagai “Kayubarat”.

Cikgu Zainal Abidin Ismail, guru LI (Language Institute) yang mengajar bahasa Melayu menggunakan loghat Johor kerana mahu mempamerkan hakikat bahawa dia lulus Institut Bahasa di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Dia juga mengajar kami di sebalik kehidupan – bagaimana bercinta, berpuisi dan seloka, menurun nombor ekor dan berangan-angan mengenai skim cepat kaya, membeli nombor ekor di Stesen Bas Jalan Langgar, mencari minyak pengasih dan bercita-cita menjadi orang berjaya dan orang kaya.

(Kebetulan, salah seorang bekas murid Sekolah Menengah Saint Michael adalah jutawan dan dermawan Syed Mokhtar Albukhary.)

Tetapi hati kecilnya mulia. Wang ringgit langsung tidak kira. Rumahnya di Pantai Johor menjadi tempat kami makan, belajar dan bersuka ria. Kereta Volkswagen Beetlenya macam milik kami juga.

Mr Chin Chow Kee yang tidak putus asa mencuba menjadikan setiap kami budak-budak desa seorang “mathematician” walaupun kami buta angka, buka kalkulus dan buta Algebra.

Mr Dorairatnam aka Mohd Yusof Abdullah yang mempertajamkan penguasaan bahasa Inggeris kami dengan menggunakan kaedah luar biasa, termasuk rayuan dan tangisan antara sedar dan tidak sedar akibat terlebih minum “air anggur peram.”

Ustaz Ahmad Saad yang mengajar kami erti iman, ketuhanan dan kelurusan. Dialah manifestasi ungkapan “betul bendul” – begitu lurus sehingga dari masa ke semasa kami mengambil kesempatan meminta wang kocek daripadanya selain meminjam motor skuternya jenis Vespa.

Dan tidak boleh dilupakan Brother Supervisor, Bro. Brenden wakil Gereja Roman Katolik yang menjadi pengasas dan pemilik sekolah kami.

Dialah mengajar kami erti autoriti (kuasa), disiplin, peraturan dan hukuman. Majoriti kami merasa sakitnya dirotan oleh beliau kerana pelbagai kesalahan daripada gagal ujian akademik tiga kali berturut-turut atau bertumbuk dengan pengawas.

Pendidik seperti inilah – antara kesempurnaan dan kecacatan watak, antara menjadi pendidik dan manusia biasa – memberikan kami bukan sekadar ilmu, tetapi pengetahuan, pengalaman dan suntikan semangat yang tidak wujud dalam manual perguruan.

Kepada mereka, kami terhutang budi sampai mati. Kerana merekalah kami boleh berdiri di sini. Moga-moga sumbangan bakti mereka diredai Ilahi dan diteladani para guru generasi ke generasi.

Sebagai bapa, saya terhutang budi kepada guru-guru yang mengajar anak-anak saya (lima semuanya) di atas dedikasi dan simpati mereka.

Nota Kaki: Blogger Che Det (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan menandatangani buku Blogging To Unblock di MPH, Midvalley jam 3.30 petang, Khamis 18 Disember. Peminat buku dijemput.

34 comments:

Anonymous said...

Dato',

Guru-guru terutama yang dulu-dulu memang banyak berjasa terutama guru sekolah, guru ngaji (pengajian agama dan al Quran), guru silat dan sebagainya. Mereka memberi ilmu tanpa jemu dan nawaitu hanya satu; hendak muridnya menjadi manusia yang berguna di masa hadapan.

Namun begitu pada masa sekarang terdapat segelintir (sebilangan kecil?) guru yang tidak fokus kepada tugasan dan tanggungjawab guru. Mereka lebih mementingkan ganjaran duitan sahaja contohnya;
1. Murid yang hendak belajar lebih lanjut atau tidak faham diminta masuk 'kelas tuisyen' berbayar yang dikendalikan oleh beliau.
2. Murid2 diminta membeli bermacam2 alatan tambahan (paksa beli) dimana kadang2 seolah-olah belajar di sekolah bukan bantuan kerajaan
3. Sangat 'berkira' bila diminta untuk mengadakan kelas tambahan atau datang ke sekolah pada bukan masa bekerja
4. Menjadikan profesion guru sebagai tempat 'cari makan' bukannya berjiwa pendidik

Namun jasa guru2 saya sangat saya hargai semoga mendapat ganjaran daripada Allah;
1. SK Bandar, P.Chondong 1977-1982
2. SMK P.Chondong 1983
3. SMK Machang 1983-1985
4. SM Teknik Kuantan 1986-1987
5. UTM 1988-1991
6. UWCN 1996
7. Chiba PolyTech 2000
8. UTHM 2007
9. Rakan sekerja senior yang amat membantu (pun saya anggap guru)

Bye/Roti Planta

Unknown said...

aslkm...
cara dato' mengolah tulisan tentang guru membangkitkan nostalgia lama..teringat kisah-kisah waktu belajar...terima kasih atas penceritaan yang menyegarkan ini..

Tok Mila said...

"Sebagai budak kampung dan anak rakyat biasa, kami mengalami pelbagai penyakit akibat kurang kebersihan seperti kudis buta, batuk dan berhingus, telinga bernanah, panau, kurap, bisul dan ketuat."

Bab ni buat saya melelehkan air mata - funny in a sad way. Malah, disebabkan saya ada kurap di tapak kakilah, bapa saya membawa saya ke Maha Klinik, naik bas MARA dari Yan Besar...dan Tun Dr M tanpa ragu-ragu menyentuh kurap saya dengan tangan lembutnya.

Sekarang saya dah tak berkurap, inshaAllah. Sekarang saya dah pandai dan terror, terima kasih kepada semua guru-guru saya, seperti mana juga DKJ.

Rockybru said...

Tok Scribe,

Kebetulan dalam posting terbaru saya bertajuk "Growing up in Singapore ..." saya bikin pautan dengan blog guru saya semasa di Jurong Secondary School (Singapura).

Nama blognya Anak si Hamid di www.anaksihamid.blogspot.com

Memang pengaruh guru itu amat kuat keatas anak-anak sekolah, lebih dari ibubapa kadangkalanya.

Anonymous said...

Dato

Saya ingat Dato dah lupa Ms Eva Mowe yg saya rasa amat rapat dgn Dato. Nama guru2 yg Dato sebut adalah guru yg mengajar saya juga.Masih ingat tebal dlm ingatan.

jebatRR said...

Thanks for the story..Teringat masa skolah dulu.. :)

Ateh Salim said...

Assalamualaikum Dato'.
Saya sering membaca tulisan-tulisan Dato'. Tapi, kali ini saya terpanggil untuk membuat komen (kali pertama). Saya juga bernasib baik sebab mendapat guru-guru yang 'baik' semasa bersekolah. Dan sebagai guru, saya cuba mewarisi sifat-sifat tersebut.

takut puchong said...

teringat kisah pengetua yang menghalang polis drpd membuat siasatan lanjut gara2 merampok koperasi sekolah selepas spm 1989kerana mungkin tidak mahu anak muridnya dilabel penjenayah.

setiap lempangan dan sebatan warden masih segar namun tidak pula kecoh di suratkhabar walaupun rotan yang dihayun nyata melebihi 180 darjah atau muka hensem dilempang warden kerana kesalahan melintas padang sewaktu ke kelas, bukannya menggunakan laluan bersimen.

nakal atau jahat kami dulu, tak seorangpun drpd lebih kurang 130 murid menjadi penjenayah. nakal hanya kerana ingin mencuba adventure sebagai remaja yang curious dan rebellious.

tetapi hati saya sedih mendengar cerita betapa ada guru matematik suatu ketika dulu mengajar anak muridnya yang lebih-kurang berbunyi begini "one push one zero."

sekarang tak nampak ramai guru yg mendidik (minta maaf kepada guru2) tetapi hanya berkarier untuk mencari nafkah dan rezeki. passion tiada, kasihan anak2 kita. maka tidak salah lah menteri pendidikan menghantar anaknya ke sekolah swasta kerana tidak yakin dgn mutu pendidikan/pelajaran di sekolah kerajaan.

Quantum Metal Consultant said...

Guru yang kencing berdiri pun elok juga diingati

Nick said...

Dato'
saya suke baca posting dato' mengenai guru ni...teringat kisah lalu..guru mmg byk jasanya..

HASNEZAM said...

Salam Doto',
Sungguh indah memori mengenai bekas guru-guru terdahulu.Jasa guru-guru yang mendidik kita tak mungkin dapat dilupakan.Setiap insan pasti memiliki kenangan manis bersama guru suatu masa dahulu.Gurulah yang banyak berjasa membuka mata dan minda tentang dunia.Namun, lain padang lain belalang, lain dulu lain sekarang. Guru hari ini punya cerita yang berbeza.Jika dulu guru dipandang mulia kini guru dipandang sebelah mata. Banyak ruang dan penghalang untuk mereka berjasa hari ini. Jika dulu guru itu pemimpin setempat hari ini guru digertak tak kena tempat. Jika dulu guru dihormati, hari ini guru dikeji dan dibenci.Tiada lagi pedagogi sebagai seni diri.

Anonymous said...

Scribe,

Pantun Pak Kadir Jasin@Al-Scribe
(kegemaran saya juga berbunyi)

Pergi memburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Kalau berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Berguru adalah segala-galanya.
Betul berguru jadi pendeta.
Silap berguna tidak kenal bahasa.

Atau dalam bahasa basahan orang Utara, boleh gila isin – bukan sekadar gila, tetapi gila campur “insane”.

Saya sangat bernasib baik. Guru-guru saya baik-baik belaka. Selain ibu dan bapa saya, merekalah yang membuatkan saya berada di mana saya kini berada.


that is one of the wisest thing i have ever read
guru kencing berdiri, murid kencing...
muridnya isen, gurunya 10sen insane

i do not know if it was
a piece of wisdom or a great
wise reminder

Mahathir umpama geliga bercahaya
akhirnya kita sendiri-sendiri juga
yang kanan atau yang kiri
Siti hasmah apa kurangnya

Saya sangat bernasib baik
Guru-guru saya baik-baik belaka
Selain ibu dan bapa saya
merekalah yang membuatkan saya berada di mana saya kini berada

syukur alhamdulillah
ya tuhanku rahmatilah kedua
ibubapa ku saperti telah mereka
memeliharaku

dan buat guru-guruku yang soleh
al-fatihah seikhlas anak kepada
kedua ibubapanya

the fate of a man hangs from his neck
and some books are too expensive



terima kasih pak kadir jasin the Scribe

A KADIR JASIN said...

Sdr Jamaludin dan Semua pembahas yang mulia,

1. Oh ya Miss Mow (Mowe). Siapa boleh lupa kalau belajar geografi daripadanya.

Kena hafal sifat Fiorj macam budak-budak Islam hafal Alfatihah dan bukan Kristian hafal The Book of Genesis.

Tak boleh jawab kali pertama, berdiri. Tak boleh jawab kali kedua berdiri atas kerusi. Tak boleh kali ketiga, berdiri atas meja.

Nasib baik kita waktu itu badan kurus-kurus sebab tak ada junk food dan banyak jalan kaki. Kerusi meja pun kukuh.

God bless her soul.

Ramai lagi guru permata nilam yang tidak saya sebutkan..Mr Richard, Miss Kang, Mr Nair, Mrs Nair, Mr Charrian, Cikgu Ayob.....

Terima kasih kepada mereka. Anak cucu mereka boleh berbangga.

2. Tok Mila, saya pun pi Maha Klinik minta ubat kudis buta dan batuk. Terima kasih Tun Dr Mahathir.

3. Cikgu Ateh, itulah semangat yang kita hendak. Guru yang cemerlang melahirkan murid yang gemilang.

4. Anak murid yang berjaya selalunya lebih berbudi dan mengenang jasa guru. Murid yang gagal itu yang selalunya membenci guru.

Terima kasiga

bungaraya said...

Saya ada setitis pengalaman.
Mengenai seorang Guru Besar yang mulia
serta beberapa Guru Besar yang hanya suka mengarah sahaja.
Saya hanya suka bercerita seorang Guru Besar yang mulia sahaja. Jadi ia kisah yang tidak mengaibkan sesama manusia.
Selama ia bertugas selaku Guru Besar Sekolah Rendahku.
8 orang anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran ke Luar Negeri.
Guru-Guru Besar yang lain...habuk pun tak ada.
Mereka juga spt rakyat biasa,
Kadang melakukan kesilapan
Mungkin juga yang tersengaja.

sawit futures trader said...

Salam Dato',

Besar hati mengenangkan guru-guru saya dahulu.

Sesak dada mengenangkan sesi persekolahan akan bermula tiga minggu lagi.

Unknown said...

The Chinese Educationist has clearly sabotaged the government’s effort to teach Maths and Science in English.

Only students from Chinese vernacular schools scored between 1–3% in student support towards the system; Tamil and Sekolah Kebangsaan both registered more than 60% preference towards the English by their students.

Even the passing and achievement rate increases in ALL AREAS.

BUT THE CHINESE COMMUNITY ARRAGONTLY USING ‘THEIR STATISTIC’ TO SUPPORT THEIR FALSE CLAIM.

How can you register such a low percentage point?

The only logical answer to that is SABOTAGE!

Ignore and do not teach both subjects in English, and then SCREAM FAILURE!

If I am wrong, then tell me what actually happened? Please give me an excuse that doesn’t make you look stupid, as it is!

NOW THEY EVEN THREATHENING TO STAGE A MAMMOTH DEMO!

In the mean time, THOSE BANGSA MALAYSIA CHAMPIONS from MCA, GERAKAN & DAP are keeping their mouth shut and pretending not to be involved!

Ong Tee Keat, Chua Soi Lek, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng and Koh Tsu Koon should make their stand as a man; NOT AS A TONGUE TWISTER COWARDS!

MY TAKE: Support Mukhriz idea of only ONE NATIONAL SCHOOL. Let us make a wise decision and build the REAL BANGSA MALAYSIA.

TO THE GOVERNMENT: Do the right things and do not let these people fool you!

TO CHINESE EDUCATIONIST: Bring on your mammoth RACIST demo!

Anonymous said...

guru (cikgu) adalah segala-galanya. Gurulah ada orang jadi doktor, ada orang jadi jurutera, ada orang hakim ada yang jadi mufti, ada orang jadi profesor, ada orang jadi perdana menteri dan sebagainya

pendek kata gurulah segala-galanya. Kalau tidak ada guru msutahil ada orang yang disebut di atas, kecuali para nabi mereka berguru dengan Allah dan malaikat tetapi ini tidak boleh kita kata guru (cikgu)

Tapi kita kena ingat dengan apa yang dilabelkan guru umpama permata nilam, kerana guru (cikgu) itu adalah manusia yang tidak terlepas daripada membuat dosa.

Allah ada menyebut manusia boleh jadi jahat lebih jahat daripada binatang.

Maka betullah apa yang dikatakan guru umpama permata nilam, tetapi tidak semua ia bak permata nilam.

Guru manusia biasa manakala permata nilam pula ada yang "asli" dan ada yang 'palsu' .

Kalau ia asli alhamdulillah lah, tapi kalau ia palsu bagaimana.

Inilah yang menyebabkan generasi sekarang kadang kadang jadi macam hantu pelsit.

Apabila jadi hakim -hakim jahat, apabila jadi profesor - profesor kangkong. apabila jadi doktor doktor jual dadah. Apabila jadi menteri mesnteri rasuah.

Apa bila jadi pemimpin - pemimpin yang khianat. Apabila jadi perdana menteri perdana menteri yang tiada intergeriti.apabila jadi mufti mufti syaitan bisu. Apabila jadi pengarah pengarah yang makan rasuah.

Betul guru umpama permata nilam, tetapi permata nilam ada yang palsu dan ada yang asli.

kebanyakan permata nilam hari ini adalah palsu dijual dengan harga yang mahal.

maaf.

mut said...

Salam,

Satu masa dulu, guru ni memainkan peranan cukup besar dalam masyarakat. Maklumlah, ayah dan ibu saya pun cikgu, dah pencen masa lewat 80an lagi. Selain mengajar, mendidik meurid-murid menjadi baik dan berakhlak tinggi merupakan penekanan yang diberi oleh generasi tua kepada generasi kanak-kanak.

Dalam masyarakat kita sendiri pun, guru ni dianggap ketua, pembimbing kepada masayarakat. Mereka mengambil tahu masalah masayarakat dan memegang jawatan-jawatan penting dalam masyarakat atau kampung. Rata-ratanya mereka menjalankan tugas dengan baik.

Dengan peranan diatas, gurulah yang mejadi penghubung kepada orang bawahan dan golongan pemerintah yang tidak dapat mendampingi orang-orang bawahan ni dalam mengharungi kehidupan mereka. Pada zaman 60an, golongan cikgu ini lah yang menjadi penggerak dan penyokong utama menggesa minda dan tenaga untuk menuntut kemerdekaan tanahair. Maktab-maktab merupakan pencetus kesedaran politik yang cukup penting yang kemudiannya dikembangkan ke serata pelusuk menerusi kesedaran, komitmen dan usaha tenaga guru-guru. Kalau membuat rally dan sebagainya, meeka begitu komited merancang, mengatur himpunan besar-besaran tanpa mengharapkan apa-apa balasan - generasi ni tahu apa itu perjuangan, pengorbanan dan makna sebenar frasa "demi untuk masa depan".

Malah suatu ketika dulu, guru-guru merupakan komponen ahli utama dalam mana-mana pergerakan politik sebagai penggerak, pencetus idea dan penghubung aspirasi masyarakat. Keakraban guru dengan penduduk kampung mereka memastikan mereka ni faham dan dapat merasai apa yang dirasakan oleh orang dibawah, kerana mereka pun terdiri dari golongan kebanyakan.

Sekarang ni dah berubah, sebut sahaja kedudukan guru dahulu, sudah dipenuhi dengan bermacam-macam jenis "mercenaries" yang berkiblatkan perut dan suku-sakat.

Tauke-tauke lebih penting dari guru, maka tinggallah beberapa award dan keraian tahunan buat melepaskan batuk ditangga - itulah legasi perkembangan politik berteraskan wang dan bukan masyarakat yang kita lihat di Malaysia ini.

Kalau saya ajukan soalan kepada anda di Malaysia ni, di manakah kedudukan guru sekarang berbanding dengan kontraktor kelas F?

Yang manakah lebih mencerminkan hasrat dan harapan kita untuk masyarakat dan masa depan?

Anonymous said...

Dato',

Pengalaman zaman persekolahan Dato' telah membuat saya mengimbau kembali zaman persekolahan saya sendiri suatu waktu dahulu.

Teringat akan saya akan bengisnya sesetengah guru yang pernah mengajar saya. Dan mana mampu saya terlupa jasa beberapa orang guru yang masih kekal di dalam memori ini, seolah-olah kehadiran mereka masih terasa di dalam diri ini.

Hari ini saya sendiri seorang pendidik yang masih berusaha untuk menabur bakti kepada anak-anak bangsa sendiri.

Namun jauh di sudut hati, terkilan juga di hati kerana ada sebahagian rakan-rakan seperjuangan yang secara sengaja mahupun tidak, telah mencemarkan imej perguruan.

Realiti hari ini menunjuk ke arah bidang perguruan ini menjadi sebuah profesion yang dianggap sebagai "last resort" untuk ramai para graduan yang gagal untuk mencari pekerjaan lain di luar sana.

Akibatnya,semakin ramai guru-guru pada hari ini terjun ke dalam bidang perguruan sekadar untuk "mencari makan".

Tanpa keikhlasan dan juga "passion" terhadap kerjaya sebagai seorang guru, golongan "bidan terjun" ini gagal untuk mengeluarkan karisma sebagai seorang pembimbing, mentor dan juga "role model" kepada murid-murid mereka.

Sebaliknya, semakin ramai pelajar di luar sana yang semakin hilang hormat terhadap guru-guru mereka. Malah semakin ramai para guru yang di"buli" oleh para pelajar mereka.

Namun, harus diingat bahawa "respect cannot be bought but to be rightfully earned".

Dalam erti kata lain, jika semakin ramai guru-guru di luar sana yang semakin terhakis jati diri, maka janganlah harap akan generasi mendatang untuk menjiwai semangat seorang pendidik yang sejati.

sujini said...

Pak Kadir,

Sesungguhnya pekerjaan yang paling mulia adalah seorang pendidik. Seorang pendidik itu menurunkan ilmu yang diperolehinya kepada anak-anak muridnya.
Anak-anak muridnya pula akan membesar dan membuat nama mereka sendiri. Anak kepada anak-anak murid ini pula akan melalui pusingan yang sama.
Samada anak-anak ini menuruti jejak langkah ibu bapa mereka atau tidak terpulang juga kepada keberkesanan pendidik tadi.
Begitulah kesan dan jasa seorang pendidik yang membawa sehingga ke akhir hayat.
Yang pasti jasa seorang pendidik tidak ada noktah.

Anonymous said...

Tok,

Cikgu ni pangkat dia dapat bawak sampai ke mati. Saya jadi cikgu sementara pun sampai sekarang bekas anak murid jumpa, depa dok panggil cikgu.

Lagi satu, gelaran cikgu ni, takdak sapa yang boleh tarik macam gelaran dato' dsbgnya.

Bila pikir-pikir balik, memang cikgu-cikgu ni banyak jasa. Ibubapa hanya boleh membantu dalam pelajaran. Yang besar tanggungjawabnya ialah guru-guru.

Kepada warga pendidik, didiklah anak2 muda tak kira bangsa dengan penuh tekun, ikhlas dan bersemangat. Pengorbanan anda mungkin tidak terbalas di dunia ini. Buat mereka yang beragama Islam, percayalah bahawa ilmu yang bermanfaat yang telah, sedang dan akan anda taburkan, insyaallah pahalanya berterusan sampai kiamat.

Tapi satu ja tok, saya rasa rotan di khalayak ramai tu kena diadakan semula. Sebab saya membesar dengan libasan rotan. Kalau tak kena rotan, silap haribulan saya jadi 'jemuan'. Alhamdulillah, saya setakat la ni masih lagi jadi manusia, berkat kesabaran mak-ayah dan para guru yang telah mendidik saya dengan penuh kesabaran.

Saya masih ingat libasan rotan ustaz Salleh di sekolah Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar. Dia ni guru yang paling garang, dan libasan rotannya boleh membuihkan mulut sesiapa yang terkena rotan. Dia ni pi sekolah pakai kain pelikat. Tiap kali dia lakukan libasan, kainnya akan terangkat (macam Marilyn Monroe, cuma kainnya tidaklah setinggi itu dan dia tidaklah se'cun' Marilyn Monroe yang membuat 'posing' menggoda).

Memang mimpi ngeri 40 hari 40 malam buat sesiapa yang buat salah dan dijatuhkan hukuman. Walau apapun, terima kasih buat ustaz Salleh dan para guru yang merotan dengan kasih-sayang, untuk mendidik dan bukannya melepaskan geram.

Terima kasih buat ibubapaku, guru-guru dan rakan-rakan 'blogger' yang menjadi 'guru' buat saya. Terima kasih!

Anonymous said...

assalamualaikum wbt dan salam sejahtera....

ketika jepun baru diranapkan oleh perang dan 2 bom atom di hiroshima dan nagasaki, maharaja jepun ketika itu tidak bertanya brapa tentera kita yg tinggal atau berapa engineer kita yang tinggal..tetapi beliau bertanya berapa orang guru yang masih tinggal di negeri ini...

guru ibarat lilin yg membakar diri demi kepentingan org lain..


-karim-

Azuan wan said...

akm...
Saya baru jerr lepas salam ngan TUN kat MPH Book store mid valley,sayang kamera tinggal kat umah,kalau tak boleh gak tangkap gambaq boh dalam blog saya.
Terasa kedut tangan TUN tapi dari pada perhatian saya sukar nak tandingi semangat juang TUN.Semangat yg tinggi ini lah yang membuatkan TUN senantiasa
sihat,ceria dan panjang usia.
Saya dok tunggu bersama Dato kat luaq sementara TUN nak sampai

Anonymous said...

Salaam, Dato'

I must confess that I had the benefits of an all-English education at the then Johor English College, which, back in the 1950s and 60s, was one of the premier schools in the country (alongside Victoria Institution, Penang Free School, St John's Institution, Anderson School, Malacca High School, Malay College and the Bukit Nanas Convent).

The common denominators of all these premier schools: an English-based education, dedicated headmasters and headmistresses and teachers (often expatriate British), an uncompromising emphasis on academic standards, externally moderated examinations (the Cambridge School Certificate and Higher School Certificate) and a balanced focus on sporting excellence (it was the norm then for all schools to have at least one school field for sports and games).

Who can forget Malaysian Malay, Chinese and Indian teachers who were trained in Britain at the teacher training colleges of Kirkby and Brinsford Lodge and who came back to the country to become inspiring and dedicated teachers?

It was a sound education legacy that the British passed on to us at the time of independence in 1957.

Something that we then had in common with Singapore.

At that time, the top schools in Malaya and Singapore were on par. I remember debates with students from Raffles Institution and Raffles Girls' School in Singapore when the Johor English College debating teams gave as good as they got.

Somewhere after 1957, and as a result of the traumas of 1969, our education system was substantially modified to meet "national aspirations". Never mind that the education system inherited from the British had served Malaya (and Malaysia) well.

Lee Kuan Yew, in one of his prescient decisions, faced down the Chinese nationalists in Singapore and decided to retain English as the medium of instruction in Singapore's education system.

40 years down the road, the benefits of that decision by Lee Kuan Yew are there for all to see. In that the Singapore education system, from pre-school to university, is regarded as among the best in the world.

Siti Khadijah said...

Dear Dato AKJ,

Yes good teachers are the poeple we remember for life. How can I forget Mrs Jothi who taught us from Std 1-6 (over 5 years as we were in the express class). She was one in a million. Took us on nature walks. She even paired us up. The boys had to take care of the girls. The other classes used to laugh and singger at us as we were would line-up for assembly with our respective partners :) We did square dancing. All of us in that class till today have beautiful handwriting. She laid the solid foundation for all of us to excel in our later life.

Wherever you are Mrs Jothi I wish to say thank you for your passion. Now, I try to reach the same standard that you have set for me when I lecture to my students.

Other teachers who made an impression on me: Mrs Pareira, Mr Anthony Warren (Elvis of Malaysia), Chikgu Zainuddin, Mrs Bhupalan, Puan Khalipah, Dr. Lawrence, Dr Fields, the late Prof. McAuliffe, Dr. Tyler and Prof. David Rice. To all these wonderful people who gave their all to make me what I am today. THANK YOU.

Anonymous said...

datuk,
bila baca posting datuk,memang mengimbas kembali zaman persekolahan,
2 orang cikgu yang saya tak boleh lupakan,cikgu mad yatim,cikgu ibrahim,
1)cikgu mad yatim (TH 4445),ingat lagi time dia bagi kasut, stoking,maklumlah orang susah,acapkali waktu rehat perut ini berisi makanan kernanya,almaklumlah tiada wang saku maupun bekal dibawa,sampai di bilang rakan2 bapa angkat,
itu masa sekolah rendah.
2)bila sekolah menengah, cikgu ibrahim lah yang menjadikan agak cemerlag dalam metematik,belajar pengurusan kedai,kerana aku dipilihnya menjaga koop.sek.dari ting.1 hingga ting.5,dengar cerita sekarang dah jadi pewagai di pej.pel.daerah setiu.
thank to all guru2ku semua SEK.KEB.FELDA BELARA,SEK.MEN.SG TONG.(1978-1988)

Anonymous said...

Dato Kadir.

Tulisan awak amat baik sekali.Saya hanya lah nak komen yang peranan guru yang satu ketika dulu amat kuat dalam UMNO,sekarang ini mereka sudah di pinggirkan.

Lihatlah betapa kuatnya pengaroh wang dalam UMNO.Ahli2 perniagaan yang menjadi king maker sekaran.Guru dah tak di indahkan.

Amat sedeh sekali,Pak Lah yang naik dalam UMNO kerana sikongan guru,bila ia jadi PM,mereka ini di ketepikan langsong.

Guru2 sekarang ini hanyut macam sabut.Ramai di antara mereka hidup sengsara,oleh itu tak hairan lah,ramai guru sekarang menyokong PAS.

Sekali lagi Kadir.Terima Kaseh kerana maeeh mengenang jaSA GURU2.

affendi hussain said...

Guru zaman dulu majoriti mengajar atas sbb rasa tanggungjawab kpd anak bangsa. Malah perjuangan org2 Melayu zaman pra-merdeka pun ditunjangi para guru.

Guru zaman skrg majoriti mengajar atas sbb tiada peluang jadi profession lain kerana faktor persaingan pasaran kerja...berebut-rebutlah ambil KPLI.. huhuhu..

Jadi paham2lah kenapa zmn skrg bukan setakat anak murid kencing berlari, malah dah lebih pandai kencing menari.. Yang lagi teruk mak bapak pun turut sama menari..!

("/)

p/s: Dato'..sekolah kelas 2 atau kelas 8 pun bukan faktor penentu utama reputasi institusi itu..sekolah/universiti tu hanya bangunan2 batu tak bernyawa saja..

Yg penting apa jenis kelas produk2 bernyawa didikannnya diukur dlm kehidupan sebenar..

Ibarat nak banding masakan rumah ibu sendiri dikampung yg dimasak dgn ramuan serba lengkap, kaedah tersendiri & sentuhan penuh kasih sayang dgn masakan yg sama oleh chef di restoran/hotel 5 bintang..

"Too subjective" la Dato'.. itupun ramai yg masih tak faham2 nak bermegah2 tak kena arah.

Diajar hidup dlm domain yg terlalu "idealistic & theoretical" yg sebenarnya tak wujud pun di dunia nyata...itulah sistem pendidikan beroreantasikan hafalan & ikutan semata-mata.

Anonymous said...

Salam Dato',
Terima kasih kerana membawa topik ini walau pun bulan mei masih lama lagi. Benarlah spt yg dato tuliskan, selain dpd ibu-bapa maka gurulah antara insan paling berjasa dlm hidup kita. Saya fikir guru, sama yg dulu atau yg sekarang, sama saja jiwanya, iaitu mahukan murid2nya berjaya dan menjadi insan berguna. Cabaran guru dulu tak sama dgn cabaran guru sekarang. Dulu ibubapa kebanyakannya buta huruf tp sekarang tidak lg. Dulu kebanyakan murid dtg drp keluarga yg lebih rendah taraf ekonominya berbanding guru tp sekarang ramai yg dtg kesekolah menaiki kereta yg jauh lebih mahal drp kereta milik guru. Nakal murid dulu lain tp sekarang aduh...sangat menekan perasaan..Kalau tak silap ingatan, tahun 2004 saya pernah menyelia guru pelatih di SM Green Lane Kuching. Guru disiplin sekolah tu sebaya saya (maksudnya dah berumur setengah abad). Sayu hati saya melihat beliau memegang rotan duduk dibangku berdekatan pagar sekolah semata2 nak mempastikan tiada murid yg panjat pagar cabut balik (atau menyelinap ke tempat lain) waktu rehat. Beliau sanggup berbuat begitu kerana naluri gurunya yg kuat utk anak bangsanya, kalau nak ambil mudah cukup dgn memberi peringatan waktu assembly dan santai membaca akhbar semasa waktu rehat. Silap haribulan, kereta kena guris atau pancit tayar, atau ibu-bapa datang meyerang atau datang surat saman. Bayangkan, ada keluarga yg SEMUA anak2 lelaki nya menjadi graduan pusat serenti, ertinya anak yg boleh dibilang dgn jari pun tak mampu nak kawal. Macamnana perasaan cikgu dgn anak murid yg tak cukup semua jari kat badan nak membilangnya...
Org Melayu memang menghormati guru tapi mereka menghormati org berharta lebih drp segala2 yg lain. Sambil kita berkata pekerjaan guru itu mulia tp mulut kita juga memantunkan " puas sudah ku tanam budi, emas juga dipandang orang". Itulah psychae bangsa kita; rendah ke atau tinggi ke tahap kolektif "self-actualization" bangsa kita ni bukan satu perkara yg mudah utk dirungkaikan. Dulu (sebelum 1960an), lanskap sosio-ekonomi melayu berkisar pada ekonomi desa (subsistence economy) tp sekarang kita mula kenal dgn iks, glc, sektor korporat (bantuan kerajaan), profesional, dst dst..maka profesion perguruan itu bukan lagi antara yg mewah maka pandangan org melayu kpd guru pun turut turun dibawah yg lain2 yg membawa pulang pendapatan bulanan 5 dan 6 angka.
Allah memandang manusia bukan kerana paras rupa, kekayaan atau pangkat darjatnya, tapi kerana taqwanya. Marilah kita sama2 memandang guru bukan kerana harta dan gajinya, tapi kerana jasanya mendidik anak2 kita.
Pak Hj JB.

delara said...

Dato', salam

Sekali lagi posting yang amat menarik dan membuat saya untuk sekian kalinya berharap saya bersekolah dan membesar di era awal 70an sebab saya rasa itu adalah era di mana bangsa dan jiwa Malaysia betul-betul wujud. Guru-guru bukan Melayu mengajar anak murid Melayu dengan ikhlas, dan penuh kasih sayang. Anak murid Melayu meletak guru-guru bukan Melayu seperti ibubapa sendiri, perlu dihormati dan tidah disyaki niatnya. Tiada sekolah jenis kebangsaan, Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Walaupun posting Dato’ kali ini pasal guru saya nampak ada beberapa isu yang boleh ditimbulkan dari topik posting kali ini. Antaranya yang saya nampak: 1. Profession guru. 2. Pengajaran subjek-subjek di sekolah dalam bahasa Inggeris. 3. Bangsa Malaysia.

1. Profession guru pada saya sangat mulia, ialah pendidik. Tak kiralah guru bahasa ke, guru sains ke, guru matematik ke, sekalipun guru mengaji Quran. Gurulah yang mendidik setiap dari kita untuk menjadi siapa diri kita sekarang. Saya selalu cakap pada sesiapa yang sudi mendengar kalau tak kerana guru-guru di sekolah rendah saya yang mengajar dan mendisplinkan saya, saya tak jadi "orang". Saya cakap begitu kerana saya dapat merasakan keikhlasan dan kasih sayang setiap dari mereka, tak kira guru Melayu atau bukan Melayu. Kadang-kadang saya dengar cakap mereka lebih dari orang tua sendiri.

Saya tak pernah berpeluang pergi tution walaupun masa saya di sekolah rendah trend hantar anak pergi tution sudah bermula kerana mak dan abah orang susah (walaupun saya masa kecil tak tahu saya ini orang susah). Gaji polis konstabel, duduk di KL, nasib mak pandai jahit baju kurung, jaga anak jiran dapat tampung belanja. Kalau tak kerana guru yang sanggup mengajar pada hujung minggu buat kelas tambahan untuk kami mungkin saya tak se"terror" mana. Guru yang membenarkan saya membawa pulang buku perpustakaan lebih dari yang sepatutnya. Guru yang memberikan kami hadiah dan ganjaran sekiranya kami menunjukkan prestasi yag cemerlang dari duit poket sendiri.

Kerana guru-guru inilah saya berdiri sama tinggi dengan budak-budak lain yang mak bapa nya peguam, doktor, guru dan lain-lain. Guru di sekolah menengah saya (saya sekolah asrama penuh) macam ada barrier antara mereka dengan anak murid. Saya dapat rasakan yang mereka tak memberikan sepenuh jiwa raga mereka kepada profession mereka. Walau tak dinafikan ada yang baik hati dan budi tapi tak ramai. Mungkin kerana itu saya sukar hendak mengingat nama-nama mereka. Mungkin juga masa itu ekonomi gawat, ada yang jadi guru sebab tak dapat kerja lain. Yang paling saya sedih ada guru yang memandang rendah profession sendiri. Ada kawan saya yang menjadi guru (bukan kerana tak ada kerja lain tapi dorongan minat) bila berjumpa guru lama yang sudah menjadi orang atasan bukannya dia berbangga yang kawan saya mengikut jejak langkah dia sebaliknya membayangkan yang mungkin dia ini tak pandai sebab itu jadi guru. Mungkin juga sebab anak-anak dia sendiri semua jadi doktor. Emak saya walaupun dalam adik beradik saya ada jurutera, ada doktor, ada banker masih merasa dia tak “berjaya” membesarkan anak-anaknya kerana masih mengidamkan salah seorang anaknya menjadi guru. Begitu sekali dia menyanjung profession guru.

2. Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Saya dapat merasa tempiasnya sahaja di sekolah rendah, dapat melihat bahan-bahan pengajaran di dinding yang masih di dalam bahasa Inggeris. Mungkin lebih mudah untuk saya belajar bahasa Inggeris masa di sekolah rendah sekiranya bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Satu subjek yang pada satu masa dahulu paling payah saya kuasai. Kedua ibu-bapa saya lulusan sekolah melayu sahaja. Mereka hanya tahu menyebut sesetengah objek yang biasa sahaja, macam chair, table…saya rasa cupboard pun mungkin mereka tak tahu. Apa tah lagi nak buat ayat dalam bahasa Inggeris. Tak hairanlah saya pernah dapat merah di report card untuk spelling dan dictionary. Dalam keluarga saya merah sama sekali tak diterima. Saya kena sebat dan kena janji memperbaiki markah saya. Bayangkan lah macam mana saya nak improve, kerana saya anak sulung saya selalunya belajar dengan abah atau mak, bila dia sebut perkataan “tongue” (abah cakap tong – guey) kita hendak mengeja pun tak tahu sebab tak paham. Tapi saya kuat semangat dan tak mahu kena sebat, saya dengan muka tak malu ketuk rumah-rumah jiran hampir setiap hari. Belajar dengan kakak-kakak yang pada masa itu ramai belajar di English stream – ambil MCE. Kalau mereka salah, maka saya pun salah juga. Abah pun membantu dengan membeli buku-buku cerita bahasa Inggeris dan kaset lagu Inggeris (kaset pertama saya Satuday Night Fever!). Sebab itu saya kalau ada peluang saya akan bercakap bahasa Inggeris, bukan nak tunjuk “action” saya hendak belajar. Selepas itu saya kalau dapat markah A untuk bahasa Inggeris, abah dah tak hairan. Dah tak excited. Saya kecil hati juga masa belajar di sekolah asrama penuh (sekolah ini untuk murid-murid luar bandar (majoriti) – tak macam TKC atau MCKK atau Alam Shah) bila saya dapat A1 untuk subjek bahasa Inggeris, kawan sebilik saya (dia pun bukannya dari luar bandar sangat, Kelang sahaja) kata “tak aci, sebab saya dari KL dan memang pandai subjek itu” Saya boleh lepas tangan untuk satu subjek itu. – dia terpaksa bertungkus lumus untuk bahasa Inggeris, dan juga subjek-subjek lain. Kalau dia tahulah kesusahan saya.

3. Bangsa Malaysia – ini untuk ulasan waktu lainlah. Sebab isu ini pun rumit dan panjang. Saya dah banyak mengambil ruangan dan masa Dato’.

Azmi Ahmad said...

Salam Y.Bhg Dato'KJ,

Setinggi Tahniah kepada Dato' dan rakan-rakan kerana mengadakan majlis meraikan Dato' Dr.wan Shmsudin...saya pernah menjadi anak murid beliau pada tahun 1978 sewaktu mengambil STP di Yayasan Bimbingan, Alor Setar. Dato' Wan mengajar paper Sejarah Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru..Kebetulan lokasi tempat kami menumpang belajar ketika itu ialah di Sekolah St.Thomas iaitu bersebelahan dengan Sekolah St.Michael.
Kalau tak silap, saya juga pernah menjadi anak murid Ustaz Ahmad Saad semasa belajar di Sekolah Menengah Alor Merah dulu. Beliau tinggal di Suka Menanti dan menaiki Vespa ke sekolah..

Anonymous said...

Bila bercakap tentang cikgu, saya teringat akan cikgu perempuan di tingkatan 2 yang melempang saya 7 kali non-stop. Sampai sekarang (dah 40 thn) saya tak paham apa sebabnya...

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Tumpang nak ucap tahniah kat Pak Wan. Masyaallah, pernah sembang dengan dia masa pi cari bahan kat Muzium Negeri Kedah. Mak ooi, "humble" sungguh orangnya dan lembut tutur katanya. Orang yang yang kenal dia, tak tau dia orang hebat.... Gigih mengkaji sejarah dan orang kuat Persatuan Sejarah Kedah. Amat layak menerima penghargaan. Bertuah dia mendapat murid macam Dato'.

Ida Hariati Hashim said...

Salam Pak Kadir,

Cikgu dulu dan sekarang agak berbeza. Dulu para guru hanya fokus terhadap pelajar-pelajarnya. Masa banyak dihabiskan untuk mencurah ilmu dan berkongsi pengetahuan dengan murid-murid.

Ibu bapa pula amat hormat dengan guru-guru. Guru-guru diberi kepercayaan penuh mendidik anak-anak. Pelajar-pelajar pula amat hormat dengan guru.

Tetapi sekarang amat berbeza sekali, guru-guru dibeban dengan kerja-kerja remeh yang banyak menyamun masa mengajar. Segalanya perlu perlu 'paperwork', ialah..apa-apa program yang dijalankan perlu dokumentasi supaya the big ones up there dapat nama..

Tidak seperti di Jepun, di mana bakal-bakal guru betul-betul disaring kredibilitinya sebelum diterima mengajar, kita di sini, bagi pendapat saya tidak teliti memilih individu yang betul-betul layak untuk jadi guru. Hasilnya ada guru-guru yang kurang berkualiti, dan kerana nila setitik susu sebelanga rosak.

Saya adalah seorang guru yang secara peribadi berasa amat bersalah dengan pelajar-pelajar saya. Ini kerana sepanjang 2008 yang lepas, 60% masa saya di sekolah dihabiskan mengelolakan program-program yang tidak berunsurkan core business saya.

Penat dan stress yang amat sangat bila buat keja bukan mengajar ni, tak de nikmat. Menteri sibuk dengan jenama Sekolah Kluster, PPIP dan macam-macam lagi, tetapi hakikatnya?

Memang tak lama saya dalam profession ni.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).