Friday, February 18, 2011

Mencintai Alam Anugerah Tuhan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TAK kenal maka tak cinta. Kita di Malaysia hidup dalam alam ciptaan Allah yang sangat kaya dengan flora (tumbuh-tumbuhan) dan fauna (hidup-hidupan). Dalam bahasa asalnya, fauna disebut fo-na bukan fau-na. Tetapi kerana tidak kenal maka ramai yang tidak cinta.

Saya budak kampung. Cinta saya yang pertama selain ibu dan bapa adalah alam sekitar saya – sawah, ladang dan huma, kerbau dan lembu, ayam dan itik, ikan dan burung, berbagai-bagai flora.

Ketika membesar di kampung pinggir sungai, alam sekitar saya masih kaya dengan flora dan fauna. Hatta harimau kumbang dan haiwan rimba lain masih turun ke kampung kami pada musim kemarau untuk mencari air.

Tetapi dengan kedatangan senjata api dan kejahilan mengenai alam ciptaan Allah, habis haiwan dan mergastua diburu dan dibunuh. Ada untuk dimakan dan banyak untuk bersuka-suka.

Majoriti manusia Malaysia terus jahil mengenai alam anugerah Allah, tetapi Alhamdulillah, sedikit sebanyak alam semula jadi masih berupaya mengubati luka dan keracunan yang dilakukan manusia.

Burung bangau, pucung, ruak-ruak, ayam-ayam, kedidi dan burung tukang kembali ke sawah dan tebing-tebing sungai yang masih ditumbuhi belukar, menerong dan kiambang. Kebanyakan jenis ikan sudah pupus. Yang masih ada itu pun tidak banyak adalah keli, haruan, puyu, sepat dan lampam.

Jadi saya sangat gembira dan sekadar yang mampu membantu apabila ada usaha menyekat kepupusan dan menghidupkan semula dunia kita yang semakin pudar (mengolah semula lirik lagu Zainal Abidin, Hijau).

Dua projek yang saya sangat kagumi dan cuba libatkan diri adalah Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah dan Yayasan Pulau Banding, kedua-duanya di Perak dan diilhamkan oleh usahawan Mustapha Kamal Abu Bakar (Tan Sri), tuan punya syarikat hartanah M K Land Holdings Berhad.













Salah seekor daripada tiga orang utan di Pulau BJ


Sebagai budak kampung yang lahir di Papan, Perak, Mustapha Kamal amat berminat dan prihatin terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna. Saya berterima kasih kerana diajak bersama melibatkan diri sedikit sebanyak dalam kegiatan-kegiatan ini.

Pada 15 Februari lalu, projek Orang Utan Bukit Merah melangkah setapak lagi ke hadapan apabila tiga Orang Utan dilepaskan ke sebuah pulau dalam Tasik Bukit Merah untuk menjalani fasa keenam pemulihan mereka.

Duta Jepun Masahiko Horie (kiri) dan Pengarah Institut Kajian Primat Universiti Kyoto, Jepun, Naib Profesor Dr Misato Hayashi melihat gelagat Nicky ketika dilepaskan ke Pulau BJ.















Sonia lapan tahun, Ah Ling 17 dan Nicky 23 dilepaskan ke pulau yang diberi nama BJ seluas 5.6 hektar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi selama enam tahun sebelum dikembalikan ke tempat asal mereka di rimba belantara Sarawak.

Fasa ini ditaja bersama oleh Yayasan dan Institut Kajian Primat Universiti Kyoto, Jepun yang diketuai oleh Naib Profesor Dr Misato Hayashi.

Kalau projek Orang Utan Bukit Merah bermanfaat kepada Orang Utan, ia juga bermanfaat kepada para penyelidik tempatan dan luar negara kerana ia melibatkan institusi pengajian tinggi, khasnya Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Bermula dengan pasangan Orang Utan yang dipinjam dari Sarawak dan Zoo Melaka, bilangan Orang Utan Bukit Merah kini berjumlah 26 dengan 17 daripadanya dilahirkan di situ.

(Rakan Orang Utan saya dalam gambar blog ini adalah Atan yang berasal dari Zoo Melaka. Atan adalah antara baka projek ini. Ia telah dipulangkan semula ke Zoo Melaka).

Dalam lawatan ke Bukit Merah, saya juga bertemu Profesor Emeritus Niels Jacobsen dari Universiti Copenhagen, Denmark yang cintanya di Malaysia adalah Cryptocoryne minima.

Tumbuhan air jenis keladi inilah yang membawa beliau ke Malaysia berulang kali. Tumbuhan paya ini hanya didapati di utara Semenanjung dan di Sumatra. Ia sangat popular di merata dunia sebagi penghias akuarium tropika.

Begitulah bermaknanya hidup orang bercinta, apatah lagi jika kekasihnya itu adalah ilmu dan alam ciptaan Tuhan.

Kita pun boleh menjadi sebahagian daripada pencinta ilmu dan alam anugerah Allah dengan membantu projek-projek ini melalui derma, menjadi sukarelawan atau paling-paling kurang pun mengunjunginya.

30 comments:

saji said...

Salam Dato'

1.Cryptocoryne Minima.

Isteri saya kata sebutan kedua(nama spesifik) mula dengan huruf kecik- minima. Dia kata orang selalu buat silap he he he

Anonymous said...

Datuk Kadir

Ada setengah orang tu apa kisah tentang tumbuhan atau margastua kalau orang pun dia sanggup hapuskan.
Ada pulak orang Malaysia yang tak serik kena denda dan penjara kerana jual spesis dikawal.

Ada orang pulak jual hutan simpan sewaktu berkuiasa. Semasa menghala ke Seremban saya semoat tenguk Hutan Simpan di Bukit Mantin. Bukit itu sudah gondol dan di tumbuhi semAk belukar. Setahu saya bukan senang nak ubah status , kalau dah gazet jadi hutan simpan . Kalau nak kata kawasan itu diterokai secara haram memeng tidak mungkin kerana kawasan itu di tepi jalan. Tidak mugkin juga kawasan itu diceroboh pembalak haram kerana kawasan itu sangat mudah dipantau. Jadi siapa puinya angkara kalau bukan pembesar negeri yang ada kuasa mutlak. Kalau ada orang yg rosakkan sedikit alam sekitar suoaya tidak kebulur kita maklum. Ini merosakkan alam sejkitar kerana ketamakan. Memang hantu raya punya jenis orang macam ini.
Aku Sakit Hati

Anonymous said...

Dear Dato' or Datuk ... please correct me.

MasyaALLAH, AlhamduLILLAH. aman benar rasanya hari ini membaca artikel mengenai alam anugerah ALLAH SWT. hari-hari kita disuapkan dengan pelbagai sesak. sesak alam-alam buatan manusia ... alam politik dunia dan tempatan, alam pendidikan, alam rumahtangga dan keluarga dan pelbagainya... cabaran yang tak mungkin putus, kerana begitulah kejadian alam ini. tetapi ALLAH SWT juga memberi anugerah penawarNya melalui alam semula jadiNya yang maha luas ini. penawar dan jawapan-jawapan kepada pelbagai permasalahan kehidupan terbentang luas bagi kita yang berfikir. Hatta Nabi Ibrahim AS, kekasih ALLAH SWT pun mencari PenciptaNya dengan merenung alam.

tergamak kah kita berjahat, berasuah, berzalim, berdengki, dalam alam ALLAH SWT yang Maha Pemurah ini. menitis air mata memikirkan kezaliman diri sendiri.

thank you dato' for the reminder.

XERONINE

Competente said...

Betul saudara saji;

Cara penulisannya Cryptocoryne minima dalam format italic untuk menandakan ia adalah nama saintifik. Cryptocoryne adalah nama genus, jadi ia bermula dengan huruf besar. Manakala, minima adalah nama species (bukan spesifik) menggunakan huruk kecil sahaja. C. minima adalah sejenis tumbuhan akuatik.

A KADIR JASIN said...

1. Sdra Saji, terima kasih kepada isteri sdr atas maklumat. Elok kalau isteri sdr boleh tulis sikit mengenai tumbuhan ini.

2. Saya masa di kampung dulu gemar makan keladi agas yang tumbuh dalam sawah, parit dan paya. Sekarang dah susah nak dapat. Keladi agas digoreng dengan udang kering yummy!

3. Sdr/Sdri Xenonie, memang kita kejam kepada diri sendiri. Ada yang kerana tamak haloba dan ada yang kerana jahil. Kita akan bayar harga yang sangat mahal ke atas kekejaman kita kepada alam ciptaan Tuhan.

4. Sdr/Sdri Aku Sakit Hati, pemusnah alam sekitar lebih teruk daripada hantu raya. Mereka pelesit yang rasuah dan tamak.

5. Kita boleh bantu segarkan sikit alam sekitar. Saya suka bercucuk tanam. Atas tanah dan dalam pasu. Macam-macam saya tanam -- buah-buahan, sayur-sayuran, bunga dan herba. Saya buat rumah makan burung. Saya beri padi dan sekoi. Ada burung tekukur, merbuk, ciak, pipit. Kadang-kadang burung ruak-ruak pun datang juga. Biawak, ular dan tupai tanah haiwan biasa dalam taman saya. Taman dalam bandar.

Terima kasih.

Queen Latifah said...

Yang Berbahagia Dato'

Alhamdulillah, masih ramai orang yang macam dato'. Saya sendiri teramat suka dengan 'nature', maklumlah orang kampung. Semakin meningkat umur saya, semakin saya mencintai alam anugerah Tuhan ini. Saya juga suka bercucuk tanam dan sangat suka pada haiwan, terutama burung. Di depan rumah saya memang macam ada 'santuari burung', kadang-kadang ada burung bangau pelbagai warna yang datang tumpang minum air. Dalam blog saya juga sudah berkali-kali saya bercerita tentang hal-hal alam anugerah Tuhan ini. Saya dan suami memang buat 'standing donation' untuk pelbagai kumpulan yang melindungi haiwan ini, termasuk juga kanak-kanak. Kalau tidak kita orang-orang yang dah matang ini, siapa lagi yang nak mengajak yang muda turut sekali mencintai alam cipataan Tuhan ini? Mungkin kerana ini, setiap pelosok yang boleh saya kunjungi, saya akan sampai. Sudah banyak pos orang asli yang saya kunjungi (Sebabnya kerana ingin dekatkan diri dengan alam hijau ini), di Kuala Lipis, Ulu Geroh, Cameron Highlands, Hutan Belum... antara tempat-tempat 'lepak' saya.
Maaf, dato'... saya pulak yang terlebih bercerita. Semoga dato' sentiasa sihat dan teruskan aktiviti yang murni ini. Amin.

rozais al-anamy said...

Salam Dato',
Tulisan Dato' membuatkan saya kembali ke hutan kenangan,zaman kanak-kanak di sebuah kampung dalam Kuala Terengganu.

Indahnya "berkubang" cari ikan dalam bendang usai musim menuai, mengail puyu dia tali air dan bermacam aktiviti kampung (cari-cari makan).

Sayangnya semua ini sudah semakin dilupakan oleh generasi kita, sehingga kadangkala kita terasa amat jauh dengan alam.

Kerana itulah saya fikir ramai yang kering jiwa dan tidak dapat menghargai alam kerana kita telah diikat pancaindera kepada alat-alat elektronik yang menghiburkan sehingga lupa melembutkan jiwa dengan "ayat-ayat Allah" ini yang membuatkan kita terfikir akan kebesaran-Nya.

Tidak hairanlah tatkala sesekali alam berbicara dengan bahasanya, kita menjadi sungguh tidak mengerti.

Terima kasih sekali lagi kerana menyejukkan jiwa setelah sekian lama dipanggang kemelut politik dan sosial negara.

anakbuah said...

Dato',

Saya tinggal tidak jauh drp kawasan hutan (Bukit Lanjan) yg kemungkinan paling dekat dengan kediaman puncak bukit Mustapha Kamal (MK)serta kawasan yg dimajukan oleh beliau - Damansara Damai. Pejabat saya sendiri di atas kompleks Menara Mustapha Kamal di Damansara Perdana. Jadi kami di sini kenal/faham sangat dengan beliau dan pembangunan yang dilakukan di sini.

Seperti yang diketahui umum, pembangunan Kota Damansara sudah sampai ke tahap keterlaluan sehinggakan hutan yang tinggal entah berapa hektar itu, kalaulah bukan disebabkan protes dan usaha komuniti di sini, sudah tentu lenyap 'ditumbuhi' konkrit. Mujur baru2 ini saya akhirnya terpandang papan tanda yg mengesahkan hutan sempadan Kota D'sara, Bukit Lanjan dan Sungai Buloh ini sudah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal. Entah kekal berapa lama tak tahulah. Harapan kami biarlah selama-lamanya.

Selama lebih kurang 10 tahun, depan mata saya sendiri pinggir2 hutan ini di-bulldozer dan diratakan untuk pembinaan lot-lot bungalow. Kalau dahulu, pagi penuh dengan kabus tapi sekarang sudah kurang. W/pun begitu, kami masih beruntung, sisa2 hutan itu masih ada dan kami akan pertahankan.

Damansara Damai tidak payah dicerita lagi - kalau ada seinchi tanah pun akan dimajukan. Baru2 ini rakan saya yg tinggal di bawah kediaman MK mengeluh mengenai hutan bersebelahan apartmentnya. Dalam 2 tahun lepas semasa mula2 berpindah, kelihatan banyak monyet dan unggas berkeliaran di tepi jalan masuk tetapi sekarang sudah tiada lagi. Hutan tersebut telah diratakan utk pembinaan rumah serta bangunan lain. Dan sekarang penuh dengan habuk serta lecak bila hujan.

Saya dengar baru2 ini tanah RRI diantara Kota D'sara dan Subang/Sg.Buloh juga bakal dimajukan. Saya tidak tahu apa nak dikatakan lagi. Saya cuma berharap sisa2 hutan Kota D'sara, Bukit Lanjan dan Sungai Buloh terus kekal. Itu sajalah tinggalan 'Amazon' kami.

kunakpress.blogspot said...

alam sekitar perlu dilindungi. Untuk generasi akan datang.
saya suka story ini

saji said...

Dakj, antara lain, berkata'"Kita boleh bantu segarkan sikit alam sekitar."

Komen:
Apa yang saya cadangkan dalam artikal saya di UTUSAN MALAYSIA berjodol: Terusan atasi banjir kilat ialah;
Hentikan perbuatan menyemen kawasan hijau depan rumah teres dan mengetar kawasan hijau masjid dan pencawang TNB

saji said...

Salam Dakj

Buat masa ini isteri saya kata baca artikal bekas pensyarah beliau pasal Bukit Merah baru dipostingkan dalam http://www.pakteh 48.blogspot.com/

saji said...

Salam Dato'

"Dalam lawatan ke Bukit Merah, saya juga bertemu Profesor Emeritus Niels Jacobsen dari Universiti Copenhagen, Denmark yang cintanya di Malaysia adalah Cryptocoryne minima.

Tumbuhan air jenis keladi inilah yang membawa beliau ke Malaysia berulang kali. Tumbuhan paya ini hanya didapati di utara Semenanjung dan di Sumatra. Ia sangat popular di merata dunia sebagi penghias akuarium tropika."

Koemn:

Bercakap pasal keladi, monyang orang Melayu kita sekadar berperibahasa berbunyi: Jangan mencurahkan air ke daun keladi.

Orang putih di Australia buat kajian pasal daun keladi hingga menghasilkan bahan rawatan bangunan jenis cecair kalis air/ liquid water proofning yang diperlukan bagi merawat bangunan yang mengalami masalah berikut:

a/Kerja2 konservasi/pemuliharaan bangunan bersejarah membabitkan masalah dinding bata berkulat kesan daripada masalah rising damp

b/Binaan dinding konkrit basement yang menghadapi masalah ketirisan air bumi

c/ Binaan dinding bata mengalami masalah berkulat kesan dripada masalah rising damp.

maae said...

Salam Datuk,

1.Ini lah kebesaran Allah Taala. Kita di suruh peka,baca dan kaji. Hargai semua ciptaan dan anugerah Nya. Buka dan renung Surah Ali Imran - ayat 190/191 dan seterus nya berkaitan.

2.Maka Allah Subhanawataala juga menyeru kita sentiasa mempunyai hubungan dengan Nya, hubungan kita dengan Alam dan hubungan kita sesama Manusia.Begitu teratur dan indah sekali.

3.Keindahan Ayat-Ayat Allah bila di terjemah dalam garapan artikel Datuk, sungguh harmoni sekali gandingan nya.Siapa yang menghayati boleh merasakan nikmat keindahan nya, walaupun tidak berada di sana. Maha Suci Allah.

4.Malang nya manusia ini angkuh, riak,sombong dan takbur. Kerap mendabik dada.Teruja mengikut nafsu dan bisikan syaitan.Kemusnahan, menzalimi diri sendiri,menzalimi orang lain dan alam semesta, tanda hilang nya nilai-nilai keimanan.

5.Sifat paling keji ialah menjual manusia lain untuk kesenangan diri.

Tidak silu di laknat Allah SWT.

6.Maka sebutan zikrillah menjadi sepi dan alam menjadi saksi seolah nya menggambarkan jiwa yang sudah mati.

A KADIR JASIN said...

Ya Sdr Saji, Prof Emeritus Abdul Latiff (Pak Teh) pun ada dalam majlis itu. Saya bertuah berkenalan dengannya sejak terbabit dengan projek Orang Utan dan Pulau Banding. A good man. Saya baca blog beliau. Seorang lagi Prof Mashor dari USM.

Benar tu Sdr Maae. Semua baca Quran, tapi sedikit yang baca terjemahan. Lagi sikit yang mentafsirkan terjemahan itu kepada ilmu, petunjuk dan panduan membuat kajian.

Marilah sama-sama kita manfaatkan ilmu agar umat Islam kuat dan tidak tertindas.

Terima kasih.

abdullahngah said...

Nampak sangat manusia yang dicipta oleh Allah itu derhaka, kerana bukit bukau diruntuhkan demi mendapat habuan kemewahan hidup yang melampau batas tanpa menyedari bukit bukau itu adalah paku alam yang dipasak agar bumi jadi kukuh.

Inilah punca Allah menghancur bumi ciptaannya sehancur hancurnya sepertimana pernah belaku diseluruh atas muka bumi Allah ini, termasuk tsunami di Ancheh tak lama dahulu.

Oleh itu tunggulah masanya akan ditimpa kecelakaan jika kita bertindak tidak mencintai alam anugerah Allah ini.

Anonymous said...

Sama ada ianya zarah mahupun molekul, struktur bersel/tidak bersel, yang bernyawa atau tidak, bergerak atau statik adalah ciptaan Tuhan. Dalam kata lain seluruh cakerawala dan isinya adalah anugerah tuhan untuk sekalian makhluknya.

Manusia sebagai salah satu kelompok makhluk ciptaan Tuhan di berikan keistimewaan bukan saja untuk mendiami bumi tetapi meneroka dan menggunakan apa yang ada untuk kenikmatan dan kemakmuran. Namun semua itu diberikan secara bersyarat yakni ada peraturan dan had-had yang ditentukan.

Sekiranya manusia tidak menggunakan akal untuk memikirkan dan untuk sedar siapa diri mereka yang sebenarnya, siapa penciptanya, apa yang dituntut dari mereka, apa yang ditugaskan buat mereka dan apa yang dilarang maka, manusia yang dianugerahkan dengan nafsu akan memuaskan nafsu secara tidak beretika dan tanpa batas.

Justeru, disebabkan pemuasan nafsu secara tidak beretika, tidak mengikut peraturan, tanpa ada disiplin dan tanpa batas maka lahirlah gangguan dan kerosakan bukan saja ke atas diri manusia itu sendiri tetapi bumi tempat dia berpijak, bergantung, bernaung dan mengekalkan kelangsungan.

Chinglot

ab said...

Salam dato,



Bagus Malaysia masih penuh dengan hutan belantara...70-80 peratus dari keseluruhan muka bumi kalau saya tak silap.

Tahniah dan terima kasih juga kepada kerajaan kerana GDP tahun 2010 7% lebih kurang, dan pokok kelapa sawit dan getah jadi penyumbang utama pendapatan negara disamping hasil perkilangan dan petrolium...


Harga bijih timah juga melambung tinggi, tapi kita tak banyak lagi bijih timah dah ni...




Satu lagi produk negara yang tersangat banyak tetapi tidak dimenafaatkan ialah monyet,terlalu banyak bilangannya di kawasan-kawasan perumahan( bukan semua)dan dikawasan belukar dan hutan sekunder....


Takdak ka kajian untuk guna kulit monyet untuk peralatan kasut,beg tangan,beg dsb, daging monyet untuk jadikan makan ternakan dan lain lain yang berkaitan??..tentu ada menafaat monyet ni kepada manusia,kalau tidak tentu tuhan tidak jadikannya...


Keladi Cryptocoryne minima tu nampak cantik betul, bolih jadi sumber pendapatan untuk tanaman perhiasan rumah/taman seperti orkid.....bolih buat ubat aprodiasic tak ni?


Abu Bakar Ab Rahman

OKJ said...

Salam DAKJ

Satu artikel yg bagus. Dan gambar Dato’dengan pembesar Jepun pun nampak setaraf. Saya pun suka kepada alam semulajadi. Rasa sejuk, tenang menusup kalbu. Fauna dan Flora hutan kita memang pelbagai dan kaya dengan khasiat. Seni ukiran kayu berasaskan hidupan menjalar pun cantik. Orang Utan kita pun dah terkenal dan selalu masuk Discovery channel. Cuma viagra semulajadi seperti tongkat ali dan kacip fatimah masih menjadi rahsia dari dunia luar. Juga jarum mas, ikan linang dan beberapa lagi.

Bab sponsor ni, Yelah, macam saudara Fed Up kata, kalau ada lebih kita sponsor, kalau tiada, nak buat macam mana sebab takut jadi haram pulak. Jadi, saya sponsor setakat yg mampu jelah, sekurang-kurangnya saya bayar RM5 setiap kali masuk taman tema laut. Kenalah ukur baju dibadan sendiri jugak sebab nama depan pun tiada gelaran Dato’, maknanya tak ada duitlah tu. Dan kereta yg saya cakap dulu yg orang marah-marah itu pun saya cuma tengok dalam motor trader je. Cuma saje je nak menyakat sikit….. Nak berguraulah katakan.

Walau bagaimanapun, kalaulah ada 100 orang lagi Dato’-Dato’ di Malaysia ni yg berwawasan, pencinta alam, pemurah dan POKET PENUH macam Dato’, rasanya Malaysia akan menjadi Syurga Tropika. Syabas Dato’. Sekian TQ.

A KADIR JASIN said...

1. Sdr OKJ, terima kasihlah kalau kata poket saya penuh. Ya dan tidak. Ya kerana rezeki yang diberikan Allah selama ini dan hingga hari ini, Alhamdulillah, cukup untuk diri sendiri, keluarga, emak dan ada sikit-sikit lebih untuk sedekah dan derma. Syaratnya jangan kedekut dan jangan sekali-kali liat bayar hutang;

2. Sebelum ramai usahawan Melayu dirobohkan oleh Krisis Kewangan Asia 1997/98, sedekah dan derma melimpah. Saya tahu hal ini kerana secara peribadi dan melalui akhbar pimpinan saya, kita banyak menyalurkan sedekah dan derma mereka. Mereka pemurah dan boleh dengan mudah menderma kerana itu duit mereka. Tetapi pengurus GLC yang ambil alih syarikat mereka tidak boleh berbuat begitu kerana bukan dut mereka;

3. saya bercerita kepad Prof. Mashor USM mengenai Allahyarhaman nenek saya, Hajjah Putih, yang hidupnya sebati dengan alam sekitar. Bila pergi mengail ikan puyu, dia kata tanggap untuk cukup makan saja. Dia biakkan sediri variety baru benih padi dengan mengacukkan berbagai jenis padi di sawah. Dia antara yang terawal pergi Mekah tetapi dia juga hormat kepada "semangat padi." Prof Mashor jemput saya bercakap kepada pelajar Bio-Sciences USM mengenagi mengembalikan keharmonian antara alam dan keperluan manusia. Jadi saya akan cerita mengenai nenek saya.

Terima kasih

Roti Planta said...

Dato',

Baru-baru ini saya berkesempatan masuk kehutan di Sarawak untuk melihat Orang Utan di 'kampung asal' mereka. (kebetulan anak saudara saya bekerja dengan WWF). Terpegun dengan tingkah laku mereka tetapi sedih bila memikirkan pembalak dan pengusaha kelapa sawit membunuh Orang Utan hanya kerana mereka makan biji kepala sawit kerana terlalu lapar.

Orang Utan sepatutnya tidak turun ke tanah tetapi disebabkan terdesak kerana hutan mereka telah dipisahkan dengan tanaman kelapa sawit maka mereka turun ke tanah dan akhirnya dibunuh!

Pembunuh Orang Utan sepatutnya dihukum seperti membunuh manusia juga kerana 'Orang Utan juga orang'.

Bye/Roti Planta

Hanezam said...

wuuui, gambag pun ada, chek sukkaaaa..

Ikhlas said...

Salam Dato',

Kemusnahan hutan secara besar-besaran untuk penanaman kelapa sawit dan projek pembangunan menyebabkan ekosistem terganggu, walaupun hutan digantikan dengan ladang kelapa sawit, persekitaran dan kandungan air dalam tanah terganggu disebabkan pokok kelapa sawit menyerap air secara berlebihan dari tanah.
Sekiranya kelapa sawit ditanam dikawasan yang sebelum itu lembab, setelah sawit ditanam , kawasan itu akan menjadi kering.
Harga kelapa sawit yang tinggi menyebabkan pengusaha menjadi ghairah untuk menukar tanaman getah atau hutan menjadi ladang/kebun kelapa sawit.
Kerajaan perlu mengetatkan penanaman kelapa sawit secara tidak terancang kerana ia merosakkan alam sekitar, sekiranya banyak bukit/gunung digondolkan untuk penanaman sawit, kawasan tadahan hujan akan hilang disebabkan sifat semulajadi sawit yang menyerap air secara berlebihan dari tanah dan akhirnya sungai akan kering dan sumber air minuman akan hilang.

Berbeza dengan tanaman getah, pokok getah tidak menyebabkan tanah menjadi kontang kerana pokok getah tidak menyerap air secara berlebihan dari tanah.

Pembukaan tanah secara berlebihan untuk projek perladangan/perumahan/pembangunan perlu dihentikan segera kerana ia menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna.

Cameron Highlands yang pada suatu ketika dulu amat sejuk, tetapi sekarang tidak lagi disebabkan penanaman sayur secara berleluasa.

Penjenayah alam sekitar samada secara haram atau secara tajaan pihak berkuasa yang merompak hasil bumi/hutan/flora menyebabkan bumi semakin panas dan tidak sesuai untuk didiami.

Kepanasan yang melampau dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh adalah disebabkan oleh manusia sendiri, oleh yang demikian kita akan menanggung akibat disebabkan perilaku kita.

Wallahualam Bissawab

Ikhlas

Anonymous said...

"Marilah sama-sama kita manfaatkan ilmu agar umat Islam kuat dan tidak tertindas."

Yes! InsyaALLAH. Ameen


XERONINE

Tinta Hitam said...

Datuk,

Bagus artikel ini.Kita sewajarnya lah mencintai alam kita.Bila disebut kita maknanya semua kita tanpa mngira latarbelakang.

Persoalannya adakah Kerajaan skg ini ambil peduli pasal amalan sekitar ini.Pembalakan dibuat secara berleluasa tanpa mengira tempat.Malahan kawasan tadahan air pun mereka tibai.Kebanykan pembalak ini adalah mempunyai hubungankait dgn UMNO.Tindqakan yg ingin diambil terhadap mereka akan mendapat halangan dair pihak atasan.

DiSarawak adalah salah satu bukti mutakhir yg boleh kita fikirkan.Sungai Rejang menjadi tesekat dgn ssampah sarap akibat balak.Siapa punya kerja ini.Pembalak haram takkan berani kalau tiada perlindungan dari pihak yg berkuasa.Nak curi balak bukan semudah curi duit.Duit boleh disorok dgn mudah tanpa dpt dikesan.Tapi balak kena ada talian hayat dgn pihak tertentu.

Alam sekitar boleh dijaga dgn baik jika pihak berkuasa adalah amanah dan cekap.Jika pihak berkuasa korup,akibatnya pd alam amat besar mudaratnya.

Kita kena pilih kerajaan yg tak korup dan menjaga kepantingan rakyat dan juga alam ini.Dlm perkara ini BN tidak menepati spesifikasi

saji said...

Sdr Ikhlas awak saintiske apabila awak buat hujah di bawah

"Kemusnahan hutan secara besar-besaran untuk penanaman kelapa sawit dan projek pembangunan menyebabkan ekosistem terganggu, walaupun hutan digantikan dengan ladang kelapa sawit, persekitaran dan kandungan air dalam tanah terganggu disebabkan pokok kelapa sawit menyerap air secara berlebihan dari tanah."

Ikhlas said...

Untuk Saji,

Tak perlu jadi saintis , hayati lah dan buat pemerhatian dan perbandingan, banyakkan membaca dari segala sumber, jangan hadkan skop pengetahuan pada sesuatu perkara sahaja.

banyakkkan membaca wahai tuan saji.

ikhlas.

saji said...

Sdr Ikhlas

Kalau guna, petik dan publishkan pandangan orang lain atau hasil kajian orang lain sebutkan sumbernya. Itu etika penulisan yang saya tahu.

Ikhlas said...

Saji,

Saya bukan buat tesis disini. Tak perlu tunjukkan bibliografi atau sebarang rujukan.

Ikhlas.

hang_nadim2 said...

Salam Datuk

Saya yang paling takut sekali ialah serangan jerebu dari negara jiran. Bandar KL yang cantik, hilang serinya. Serangan ini bertambah teruk kerana KL banyak hutan batu daripada hutan sebenarnya.

Sekian Terima Kssih
Harap Maaf
Wassalam

saji said...

Sdr Ikhlas

Pikirkan juga anak2 kita disekolah yang baca blog ini.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).