Monday, May 30, 2011

Dunia Muslim Ibarat Kembiri Tanpa Kepemimpinan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RAMAI pembahas dalam posting bertajuk Suharto Popular, Pegawai Awam Kita “Derhaka” menyalahkan sistem pemerintahan (Islam vs Kapitalisme Barat) sebagai penyebab kepada ketidaksejahteraan hidup, khasnya di kalangan umat Islam.

Saya tidak bercadang memanjangkan polemik ini. Apa yang lebih merisaukan saya adalah ketidakupayaan negara-negara berpenduduk majoriti Muslim menangani masalah dalaman dan antarabangsa.

(Saya tidak mahu menggunakan istilah Negara Islam kerana boleh kata hampir semua negara yang majoriti penduduknya Muslim, tidak mengamalkan pemerintahan Islam. Saya akan guna istilah negara-negara Muslim (Muslim nations)).

Ketidakupayaan yang paling ketara di kalangan negara Muslim adalah menggunakan kekayaan alam yang dianugerahkan Allah dengan baik. Ini diikuti oleh kegagalan mereka membebaskan diri daripada hegemoni ekonomi dan ketenteraan Barat.

Akibatnya, walaupun ada negara Muslim yang kaya dengan hasil bumi, mereka membazirkannya. Hanya segelintir golongan atasan yang kaya raya manakala rakyat jelata menderita. Golongan atasan ini pula sanggup menjadi boneka Barat semata-mata untuk menjaga kekayaan dan kedudukan istimewa mereka.

Jadi, apabila Amerika dan sekutu Eropahnya menggunakan kuasa veto mereka dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa bersatu untuk melanggar dan menduduki negara-negara Muslim, majoriti negara Muslim menyokongnya dan ada yang membenarkan wilayah mereka dijadikan pangkalan tentera bersekutu Barat untuk tujuan itu.

Apabila ada rakyat yang benci penaklukan Barat bangun menentang atau memberontak, mereka akan dilabelkan pelampau dan pengganas. Tidak cukup dengan pasukan keselamatan sendiri, mereka membenarkan perisik Barat mengebom wilayah mereka sendiri dan penangkap rakyat mereka untuk dibawa macam binatang ke Teluk Guantanamo di Cuba.

Sikap pro-Barat yang melampau ini sudah pun mula meracuni fikiran sesetengah pembesar Muslim kita yang menyokong setiap langkah Barat dan menjadi burung kakak tua yang melaungkan slogan anti-keganasan ala Bara.

Pemikiran mereka ini terlalu dangkal dan simplistic untuk membuat analisis dan mencapai kesepakatan bahawa punca kepada kebangkitan dan pemberontakan umat Islam hari adalah hegemoni dan monopoli ekonomi oleh Barat.

Ramai rakyat Pakistan bersimpati dengan Al-Qaeda dan Taliban di samping menentang kerajaan mereka kerana mereka benci dengan “penaklukan” Amerika ke atas negara mereka dan ke atas Afghanistan.

Pakistan adalah negara satelit Amerika ketika Perang Dingin. Amerika menggunakan sengketa India-Pakistan untuk mencengkam negara Muslim itu. Amerika membekalkan senjata kepada jeneral-jeneral Pakistan kerana Kesatuan Soviet membekalkan senjata kepada India.

Amerika menyokong pemerintahan tentera di Pakistan dan mengganggu-gugat mana-mana pembesar Pakistan yang tidak menyokong dasarnya atau cuba menegakkan pemerintahan Islam.

Amerika menyokong pemerintah-pemerintah negara Muslim yang autokratik, korup dan sasau dengan menggunakan kuasa politik, diplomasi, wang ringgit dan senjata. Syaratnya mudah saja – mereka membenarkan syarikat Amerika mengeksploitasi hasil bumi mereka.

Tetapi syarat paling penting adalah mereka mengiktiraf kedaulatan Israel dan tidak bermusuh dengannya. Contoh klasik eksploitasi Amerika adalah layanannya terhadap Muammar Gaddaffi, Libya.

Pada mulanya mereka memusuhi beliau kerana beliau pro-Russia dan memiliknegarakan aset syarikat minyak Barat. Kemudian mereka berbaik-baik dengannya apabila beliau membuka ekonomi Libya kepada Barat.

Kini, kerana Amerika dan Barat takut hilang pengaruh di negara-negara Arab yang sedang mengalami protes jalanan, mereka cuba memaksa Gaddafi meletakkan jawatan dengan “menyokong” pemberontak. Ditakdirkan pemberontak Libya berjaya, tidak dapat tidak mereka terpaksa “mengenang budi” Amerika dan sekutunya dalam Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Lihat pula apa yang berlaku kepada Hosni Mubarak di Mesir. Daripada sabat akrab Amerika dia kini menjadi paria di negaranya sendiri, ditahan dan dibicarakan atas tuduhan rasuah dan sabotaj ekonomi.

Ramai pembesar negara Muslim yang dangkal pemikirannya dan taasub kepada Washington, tidak sedar sikap dan dasar Amerika. Amerika adalah apa yang disebut sebagai “fair weather friend” atau kawan masa senang.

Bila politik Mubarak dan Suharto kuat dan disenangi rakyat jelata, Amerika menyokong mereka. Tetapi apabila segelintir rakyat bangun menentang mereka, Amerika cepat-cepat angkat kaki.

Hal ini amat disedari oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad (Tun). Sebab itulah beliau tidak taasub kepada Barat. Malah beliau amat kritikal terhadap tipu-helah dan hipokrasi Barat.

Hari ini, Dunia Muslim bukan sahaja tidak mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa, malah ia tidak lagi mempunyai seorang jurucakap seperti Dr Mahathir.

Dalam keadaan tersepit dan penuh kehampaan itu, ramai Muslim bersedia menerima kepemimpinan Osama bin Ladin atau, setidak-tidaknya pun, bersimpati dengan perjuangan beliau.

Selagi Dunia Muslim gagal kembali kepada persaudaraan Muslim dan mewujudkan pemerintahan yang cekap, adil dan bersih, selagi itulah hegemoni dan eksploitasi Barat akan mencengkam mereka dan kekallah mereka sebagai kembiri dan sida-sida politik.

Friday, May 20, 2011

Suharto Popular, Pegawai Awam Kita "Derhaka"

A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

AKHBAR Kompas, Indonesia pada 16 Mei melaporkan bahawa bekas presiden, Allahyarham Suharto, lebih popular daripada President Susilo Bambang Yudhoyono.

Kajian ke atas 1,200 responden oleh The Indo Barometer mendapati 40 peratus berpendapat keadaan lebih baik di bawah Suharto berbanding 23% yang menyebelahi Yudhoyono.

Sokongan lebih kuat kepada Suharto berlaku walaupun pemerintahan beliau dituduh korup dan menindas.

Lebih sepertiga responden memilih beliau sebagai presiden kesukaan mereka manakala 40% menganggapnya “paling berjaya menjalankan tugas sebagai seorang presiden Indonesia.”

Ini tidak menghairankan saya. Malah saya merasakan sendiri hal ini mulai awal tahun 1980-an apabila saya kerap dihantar untuk membuat liputan berita di republik raksasa itu.

Dalam masa tidak sampai 15 tahun mulai 1967, apabila beliau menggantikan Sukarno berikutan percubaan rampasan kuasa oleh Parti Komunis Indonesia (PKI), Indonesia bertukar daripada negara yang ramai rakyatnya kebuluran kepada negara yang menghasilkan cukup beras untuk kegunaan sendiri.

Kejayaan itu sahaja menyebabkan Suharto dihormati dan disayangi. Beliau juga membawa kemajuan lain sehinggalah reputasi beliau mula tercemar apabila isteri, anak-anak dan menantu-menantu beliau dibabitkan dengan rasuah dan monopoli ekonomi negara. Mereka diperalatkan oleh segelintir pembolot ekonomi yang umumnya berketurunan Cina.

Pada suatu ketika, isteri Suharto, Ibu Tien diberi gelaran Ibu Tien (10) Persen. Harapan Suharto bertahan habis berkecai apabila berlaku Krisis Kewangan Asia 1997/98. Indonesia muflis dan terpaksa mengemis kepada Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

Kejatuhan Suharto dan ramai lagi pemerintah autokrat yang berjaya dan berjasa wajib dijadikan teladan, khasnya oleh pemimpin yang dipilih secara demokratik, agar tidak mengabaikan kebajikan pengundi dan tidak sekali-kali membiarkan pemerintahan mereka dikotori oleh watak-watak ala “Ibu Tien Persen”.

Pegawai Kerajaan Ingkar Arahan Kabinet?

Kemudian mengenai ribut yang ditiupkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran merangkap Ketua Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong, apabila mendakwa kegagalan pegawai kerajaan melaksanakan arahan Kabinet menjadi punca pelajar terbaik tidak mendapat biasiswa.

Katanya, ramai pelajar yang berhak tidak mendapat biasiswa manakala yang tidak layak diberikan biasiswa dan pinjaman.

Dr Wee berkata, kakitangan awam yang terbabit telah mengenakan kriteria mereka sendiri dan bukan apa yang telah diputuskan Kabinet.

Kalau akhbar The Star milik MCA melaporkan hujah Dr Wee dengan tepat, kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa ada pegawai kerajaan yang ingkar dan mengkhianati kerajaan. Ini satu tuduhan atau andaian yang sangat berat.

Itu hak Dr Wee. Saya tidak berhasrat mencetuskan kontroversi atau polemik mengenai hal ini. Yang saya pasti, ramai juga budak-budak Bumiputera yang cemerlang dan datang dari keluarga miskin di kampung dan pedalaman tidak mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran.

Yang saya hendak tengok dan hendak dengar berapa kerat “pejuang Melayu” khasnya dalam Umno, boleh menjawab dakwaan Dr Wee dan seterusnya memastikan penuntut Bumiputera tidak menjadi mangsa.

Sama ada mereka akur atau tidak kepada 1Malaysia (rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan), meritokrasi, keterangkuman dan persamaan, itu hak mereka.

Tetapi mereka tidak boleh lari daripada Perkara 153 (2) Perlembagaan Malaysia yang mengatakan:

“Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.”

Tidak apalah kalau Dr Wee atau mana-mana pembesar MCA hendak membuat tuntutan atau mencari pembelaan. Saya turut menyokong mereka jika ada budak-budak cemerlang, tidak kira Bumiputera atau bukan Bumiputera, teraniaya akibat “pengkhianatan” pegawai awam seperti yang didakwa itu.

Tetapi kalau ada pembesar Melayu, khasnya dalam Umno, yang takut atau sengaja tidak mahu mempertahankan Perkara 153, saya cap mereka pengecut dan pembelot bangsa kelas dunia.

Wednesday, May 18, 2011

Dr Mahathir Masuk IJN

A Kadir Jasin

BEKAS Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini untuk rawatan jangkitan paru-paru (chest infection).

Pegawai Akhbar beliau, Sufi Yusoff, dalam kenyataan akhbar berkata Dr Mahathir dimasukkan ke wad biasa IJN kira-kira jam 6 pagi setelah mengadu daman dan batuk sejak dua hari lalu.

Beliau kini menjalani rawatan suntikan antibiotik dan fisioterafi intensif dada. Dr Mahathir dijangka berada di IJN selama kira-kira se minggu.

Doktor menasihatkan beliau agar tidak menerima pelawat, kecuali ahli keluarga terdekat.

Kita berdoa agar beliau segera sihat.

Sunday, May 15, 2011

To Sir With Love And Madam Too

A Kadir Jasin


[Please take note, ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

IT was a happy coincidence that I bumped into two of my teachers from the Saint Michael School’s days in the 1960s as the Teachers’ Day approaches.

That was a Saturday ago when I was sending daughter, her husband, their three children and their family friend back to Switzerland.

As I was entertaining my grandchildren, somebody tapped me on my shoulder and called out my name. Embarrassingly I could not recognise him at first.

After a brief “do you know who I am?” game, the kindly gentleman turned to be my art teacher, Mr Tony Siebert. He then motioned me towards a handsome elderly chap, who was my general science teacher Mr Jeremiah.

We had a good laugh when I reminded them that they gave me some pretty hard knocks on the head with the sharp end of the rulers – something that could have caused today’s teacher a lot of trouble.

They and their spouses were on the way to Rome for a holiday. How romantic. Siebert’s wife, Constance, is the daughter of the late Mr Charles Alexander Westwood, our Head Master.

Siebert went on to become a successful lecturer at the Universiti Sains Malaysia in Penang and, in his retirement, he works for a private college. He’s active in the Malaysian Eurasian Association.

Not being particularly good in art and science, I often ran foul of these two teachers. But I thank them, nevertheless, for their patience and perseverance.

In several past postings I had paid tribute to Westwood, who, during the 1996 National Language Month, was christened Salleh Iskandar Kayubarat, and to others like Cikgu (Dato’) Wan Shamsuddin, the late Zainal Abidin and, the late (Dato’) Shaari Abu Bakar, the late Mr Dorairatnam aka Mohd Yusoff Abdullah and Dame Catherine Cole Catly, my teacher at the Wellington Polytechnic, New Zealand.

Without these teachers and many more like them, I would not be where I am. I owe then an eternal debt of gratitude.

Of these selfless people, the poet Kahlil Gibran, in part, wrote:

“No man can reveal to you aught but that which already lies half asleep in the dawning of your knowledge.


The teacher who walks in the shadow of the temple, among his followers, gives not of his wisdom but rather of his faith and his lovingness.

If he is indeed wise he does not bid you enter the house of his wisdom, but rather leads you to the threshold of your own mind.”

Let us, as we say Selamat Hari Guru to the teachers, remember those surrogate mothers and fathers of ours by recalling our experiences during those good and trying school days in the spirit of “To Sir With Love.”

As the singer Lulu said:

“But how do you thank someone


who has taken you from crayons to perfume


It isn't easy but I'll try


If you wanted the sky I would write across the sky


in letters that would soar a thousand feet high


To Sir with love.”

On this occasion, I also remember and, at the same time wonder, about the Malaysian English teachers whom I met when I was in New Zealand in 1971. I remember Ghazali, Raja Akhiruddin, Miss Tan, Ali Pitchay, the two Alias and Norma, who were in Wellington to hone their English teaching skills.

Last but not least, I also thank all the teachers, past and present, who helped make my children what they are today. Terima kasih cikgu.

Saturday, May 07, 2011

Jemputan Najib Kepada Pas Langkah Taktikal

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

MUTAKHIR, 16 Mei -- OLEH sebab ada pembahas yang membangkitkan atau cuba membangkitan hal perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, tetapi sampai kini saya menolaknya, maka bagi mengatasi keadaan itu, saya "update" posting ini dengan menyiarkan berita terbaru mengenainya.

The Star Online melaporkan pagi ini yang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Anwar membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu khasnya tiga tahun lalu.

Posting Asal

SUDAH lebih seminggu Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengulang gesaan agar Pas menyertai Umno demi perpaduan Melayu dan berhenti daripada berpakat dengan DAP.

Gesaan itu diulang ucap dalam rangka lawatan pendek beliau ke Terengganu, negeri Presiden Pas, Abdul Haji Awang. Pemilihan Terengganu adalah tindakan strategik kerana wujud tanggapan dan gambaran bahawa Abdul Hadi lebih terbuka kepada idea perpaduan Melayu.

Paling-paling tidak pun, Mohd Najib dan para penasihatnya tentu tahu bahawa kenyataannya itu bukan sahaja akan memaksa Pas bertindak balas, malah seolah-olah mencurahkan lagi minyak ke dalam api.

Ini terbukti apabila Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Islam Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan pantas berkata Pas tidak bercadang memutuskan kerjasama dengan DAP.

Semua orang tahu Abdul Haji dan Nik Abdul Aziz tidak sekata dalam isu perpaduan Melayu dan kerjasama dengan Umno. Ini dituruti pula oleh Naib Presidennya, Mahfuz Omar, yang menyifatkan Umno sebagai musuh nombor satu negara dan menyamakan cadangan kerjasama Umno-Pas dengan kerjasama Fatah-Hamas.

Tindakan Taktikal Mohd Najib

Saya rasa Mohd Najib tahu kepemimpinan Pas tidak akan menyahut gesaannya. Tetapi beliau membuatnya juga bagi membebaskan Umno daripada ditutuh tidak mementingkan perpaduan Melayu.

Ia juga boleh dilihat sebagai reaksi kepada kemunculan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berjuang mempertahankan hak Melayu di luar kerangka politik seperti Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu.

Jika ditakdirkan Pas Pas menyahut seruan itu, namanya Mohd Najib dan Umno akan harum. Mohd Najib akan dilihat sebagai “unifier” seperti Allahyarham bapanya. Tetapi jika tidak, ia sekurang-kurangnya terus melagakan kepemimpinan Pas dalam isu perpaduan Melayu. Akhir sekali, Mohd Najib cuba meyakinkan Melayu yang hilang kepercayaan kepada politik kepartian bahawa Umno tetap mengutamakan perpaduan Melayu.

Percubaan Mohd Najib yang terbaru ini boleh juga dilihat sebagai reaksi kepada apa yang berlaku (atau lebih tepat, tidak berlaku), di majlis “makan malam perpaduan Melayu” di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur tidak berapa lama dulu.

Mungkin Mohd Najib ingin mencuba nasib kalau-kalau beliau lebih beruntung daripada bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang diuar-uarkan sebagai orang tengah pertemuan Umno-Pas di Istana Terengganu itu.

Isyarat Daripada Pilihan Raya Sarawak

Tetapi Mohd Najib menanggung risiko dituduh terlalu ketara (obvious) dalam pelawaannya kepada Pas kerana Barisan Nasional baru saja dikejutkan oleh keputusan pilihan raya negeri Sarawak 16 April, dimana parti Cina BN dibelasah teruk oleh DAP.

Jika trend itu berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang, BN mungkin kalah antara lima dan tujuh kerusi Parlimen Sarawak berbanding dua sekarang.

Apa pun tujuan Mohd Najib yang tersurat dan tersirat,  kemungkinan Pas menyahutnya dengan positif adalah tipis. Pertama, pendirian Pas dalam hal ini berbelah bagi dan Mohd Najib tentu sedar reaksi mengenainya boleh memburukkan lagi dikotomi antara puak Abdul Hadi dan puak Nik Abdul Aziz.

Kedua, yang sebenarnya menjadi masalah kepada Umno pada PRU 2008 dan mungkin juga pada PRU akan datang bukanlah Pas tetapi PKR. Undi Melayu sejak 1955 lagi sudah berpecah antara Umno dan Pas. Masalah Umno sebenarnya adalah PKR. PKR adalah serpihan Umno, sama seperti Semangat 46.

PKR sekadar meniru taktik Semangat 46 tetapi dengan lebih berjaya. Kalau Semangat 46 menaja dua pakatan pilihan raya – satu dengan DAP dan satu lagi dengan Pas -- pada PRU 1990, PKR berjaya menggabungkan Pas dan DAP dalam satu pakatan.

Tanpa peranan PKR sebagai orang tengah dan pemangkin, kerjasama DAP-Pas mustahil berlaku. Perbezaan ideologi, dasar dan demografi antara Pas dan DAP terlalu luas. Jika PKR tidak lagi mampu memainkan peranan itu, kemungkinan DAP dan Pas berpisah adalah besar.

PKR pula  bergantung bulat-bulat kepada Anwar Ibrahim. Pemimpin pelapisnya tidak mempunyai kedudukan yang cukup berwibawa untuk memainkan peranan seperti yang Anwar lakukan. Mereka terlalu “junior” dan kurang pengalaman berbanding veteran DAP dan Pas. Sukar membayangkan Lim Kit Siang, Karpal Singh, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz duduk semeja dengan dipengerusikan oleh pemimpin PKR yang bukan Anwar.

MCA Tolak Negara Islam

Berbalik kepada jemputan Mohd Najib agar Pas menyertai Umno menyatupadukan semula orang  Melayu, hakikatnya bukan Nik Abdul Aziz sahaja yang mencurahkan air sejuk ke atas cadangan beliau.

Parti komponen BN sendiri, iaitu MCA, tidak mahu menerima Pas dalam BN selagi Pas tidak menggugurkan dasar Negara Islamnya. Pendirian MCA dan DAP dalam isu Negera Islam serupa. 

Ini adalah reaksi strategik. MCA tahu kalau Umno dan Pas bekerjasama, BN tidak memerlukan sangat undi Cina di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Dengan itu semakin hambar dan lemahlah MCA sebagai parti Cina nombor satu BN.

Malah sebarang bentuk kerjasama Umno-Pas, seandainya berlaku, belum tentu akan membantu MCA, Gerakan dan MIC. Orang bukan Melayu tidak akan membelakangkan DAP semata-mata kerana Pas berpaling tadah. Malah sokongan orang Cina kepada DAP mungkin menjadi lebih kuat. Boleh jadi tanpa persekongkolan dengan Pas, orang Cina akan lebih komited kepada DAP.

Yang Mohd Najib harapkan mudah dikesan iaitu beliau berharap bila Pas tidak bersekedudukan dengan DAP, harapan Pakatan Rakyat menakluki Parlimen semakin tipis. Bila ini disedari oleh orang Cina, mereka mungkin kembali menyokong BN kerana mahu kepentingan mereka terus terlindung dan terjamin.

Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Hakikat bahawa orang Cina akan menyokong “the winner” bukankah perkara baru. Tetapi itu dulu, sebelum DAP menjadi alternatif kepada MCA. Kini DAP bukan sahaja lebih kuat, malah telah menguasai Pulau Pinang dan semua kawasan bandar majoriti Cina.

Lagi pun pilihan pengundi tidak bergantung kepada pakatan pilihan raya semata-mata. Lebih penting adalah kredibiliti parti yang bertanding dan mutu calon.

Taktik melemahkan lawan untuk menang pilihan raya mungkin berkesan, tetapi belum menjamin kemunculan pemerintahan bersih, telus dan berkesan.

Jadi, adalah lebih baik parti-parti politik melihat ke dalam diri mereka sendiri daripada hanya mencari kelemahan lawan. Pengundi perlu diberikan pilihan terbaik, bukan memilih yang terbaik di kalangan yang teruk dan hambar. Wallahualam. 

Wednesday, May 04, 2011

Hegemoni Amerika "Raison d'etre" kepada Fenomena Osama

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

MENGHARAPKAN dunia aman (atau lebih aman) semata-mata kerana Amerika mendakwa ia telah membunuh Osama Bin Laden adalah naif.

Osama adalah ciptaan Amerika untuk memerangi Rusia di Afghanistan pada tahun-tahun penutup Perang Dingin. Selagi Amerika bermaharajalela dengan hegemoninya, adalah tidak mustahil “Osama” lain akan muncul atau sudah pun muncul.

Hanya mereka yang pro-Amerika secara melulu dan cetek mengenai geopolitik sahaja percaya bahawa “kematian” Osama akan mengamankan dunia.

Dunia tidak akan aman dan tidak akan selamat selagi hegemoni politik, ketenteraan dan ekonomi Amerika menjadi punca ketidakadilan.

Amerika melabelkan Allahyarham Saddam Hussein pemilik senjata pemusnah massa (WMD) dan melanggar negaranya. Tidak ada WMD ditemui. Lebih ramai rakyat Iraq mati dan menderita akibat penaklukan Amerika daripada berdekad-dekad diperintah Saddam. Ramai rakyat negara itu membenci Amerika. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Berpuluh ribu orang muda, belia dan remaja Palestin membesar tanpa ibu bapa kerana dibunuh rejim Yahudi Israel yang dilindungi Amerika. Mereka hidup tanpa pendidikan dan pekerjaan. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Ratusan ribu orang muda, belia dan remaja Afghanistan hanya kenal peperangan dan hidup dengan hukum rimba “siapa yang bersenjata, dia berkuasa.” Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Ratusan ribu rakyat Pakistan menjadi radikal akibat kepemimpinan yang kalau-bilau ketika negara mereka menjadi negara satelit Amerika sewaktu Perang Dingin. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Ratusan ribu anggota masyarakat cempera (diaspora) Arab/Islam di Amerika dan Eropah hidup ibarat melukut di tepi gantang dan diprofilkan sebagai berpotensi menjadi pengganas. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Dunia tidak akan aman atau lebih aman semata-mata kerana Osama sudah “mati” kerana ramai umat Islam yang berfikiran sinis bertanya, kalau mati mana mayatnya. Ramai tidak percaya Osama “dikebumikan” di laut.

Kalau mati sekalipun, rohnya akan hidup di kalangan pengikutnya dan di kalangan orang yang berasa tertindas akibat hegemoni Amerika.

Dan sesiapa pun yang percaya Amerika mahu keamanan dan kedamaian mutlak adalah naif. Ideologi politik Amerika berpaksikan “managed chaos” di mana Amerika mengambil kesempatan daripada kacau-bilau dan ketidaktentuan antarabangsa untuk memperkukuhkan kelangsungannya.

Dalam suasana kacau-bilau yang terkawal itulah Amerika mengekalkan hegemoninya dan menjustifikasikan kewujudan kompleks perindustrian perangnya.

Setiap tahun, “military industrial complex” Amerika mendapat berbilion dolar subsidi daripada Pentagon bagi menyelidik dan mencipta kelengkapan perang baru sambil mewujudkan berpuluh juta pekerjaan. Untuk itu, Amerika memerlukan medan ujian.

Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Palestin adalah antara medan ujian hidup produk kompleks perindustrian perang Amerika masa ini. Orang Islam menjadi tikus makmal kepada “military industrial complex” Amerika.

Amerika mewujudkan Osama untuk memerangi Rusia di Afghanistan. Apabila Osama tidak diperlukan lagi, Amerika dan sekutu Baratnya menjadikan “war on terror” sebagai “raison d’etre” (alasan) untuk menakluki Iraq, menduduki Afghanistan dan memaksa negara-negara Islam tunduk kepada kehendaknya.

Malangnya, ada negara Islam dan pembesar mereka yang secara sukarela menyerah diri kepada Amerika semata-mata kerana mahu dijemput ke Rumah Putih untuk bergambar dengan Barrak Hussein Obama. Wallahualam.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).