About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).

Thursday, June 28, 2012

Saham FGVH Dibuka Tinggi

A Kadir Jasin

MASIH ada lagi pembahas yang guna pengenalan “Anonymous”. Kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila
guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.

DI MANA penginktirafan, pujian dan penghargaan wajar diberikan, maka kita berikanlah. Dalam konteks itu, pengasas IPO Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) patut diberi pengiktirafan, setidaknya berkaitan permulaan perniagaan saham syarikat itu di Bursa Malaysia pagi ini.

Saham FGVH dibuka lebih tinggi daripada harga tawaran runcit RM4.55. Ia naik hingga RM5.43 pada satu peringkat. Ini bermakna, pelabur yang ada satu lot atau 1,000 unit saham sudah boleh mendapat keuntungan modal RM880 kalau dia menjual pegangannya.

Palabur yang arif mengenai pelaburan saham, tentu tahu yang keuntungan RM880 itu adalah jauh lebih baik daripada menunggu dividen setahun atau enam bulan dari sekarang.

Katakan FGVH bayar dividen 10 peratus, pelabur yang ada 1,000 saham akan dapat RM100 sahaja. Pelabur yang guna wang sendiri, bolehlah simpan saham mereka sebagai pelaburan jangka panjang untuk dapat dividen.

Tetapi pelabur yang beli saham melalui pinjaman, mereka mungkin terpaksa jual, kalau tidak semua pun, sebahagian untuk bayar balik hutang mereka.

Bayangkan pula kalau pelabur yang ada 1,000 saham boleh dapat keuntungan modal RM980, berapa pula keuntungan modal pelabur yang ada berpuluh atau beratus juta saham? Wallahualam.

Tuesday, June 26, 2012

Tak Perlu Emo Dengan Kehadiran Diplomat S'pura

A Kadir Jasin


MASIH ada lagi pembahas yang guna pengenalan “Anonymous”. Kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.

SAYA rasa kita tidaklah perlu “emo” sangat mengenai kehadiran diplomat Singapura dalam tunjuk perasaan Bersih pada 28 April lalu.

Saya yakin banyak lagi Suruhanjaya dan Kedutaan yang hantar wakil untuk meninjau, memantau dan membuat laporan diplomatik peristiwa itu.

Apalah yang hendak dihebohkan sangat. Bukankah sejak bertahun-tahun mereka menghantar wakil untuk meninjau, memantau dan membuat laporan mengenai mesyuarat agung Umno, PAS, DAP, PKR dan bermacam-macam kegiatan politik lagi?

Itu kerja mereka. Melainkanlah mereka sah pakai kemeja T kuning Bersih, berarak kutuk kerajaan Malaysia dan buat laporan yang memihak kepada Bersih. Yang kita patut risau adalah diplomat kita di luar negara tidak buat macam diplomat Singapura buat di Malaysia.

Singapura Tahu "Rahsia" Kita

Yang kita perlu berhati-hati - macam sudah saya tuliskan beberapa kali - adalah kegiatan perisikan sulit Singapura ke Malaysia. Maksud saya bukan hadir dalam tunjuk perasaan atau berjumpa wartawan dan pengarang, tetapi mencari rahsia sebenar.

Itu pun kita di Malaysia tidak perlu peningkan kepala dan tidak lena tidur kerana memang pun Singapura lebih hebat daripada kita dalam hal ini. Tentera dan perisik mereka dilatih dan bekerjasama rapat dengan Amerika dan Israel.

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mempunyai empat buah kapal terbang pengintip dan amaran awal jenis Gulfstream G550-AEW buatan Amerika/Israel yang boleh mengesan, mengenal pasti dan mengekori sasaran udara lebih 200 batu nautika dari Singapura (370.4 kilometer), iaitu melepasi Kuala Lumpur.

Ia juga mempunyai pesawat pengintip kawalan jauh (UAV) jenis Elbit Hermes 450, IAI Heron, Searcher dan Scout yang semuanya buatan Israel. UAV Elbit Hermes 450 boleh dikawal dari bumi sehingga 200 kilometer dan terbang selama 20 jam tanpa henti.

Jadi, memang Singapura tahu pergerakan tentera dan strategik yang berlaku di sebahagian besar Semenanjung Malaysia siang dan malam, sama ada dengan menggunakan kelengkapan pengintipannya sendiri atau dengan bantuan Amerika/Israel. Secara kebetulan, kerjasama tentera di antara Singapura dan Israel bermula pada 1965, iaitu sebaik saja Singapura disingkir daripada Malaysia.

Masalahnya, ramai orang kita jahil mengenai geopolitik, pertahanan dan perisikan. Yang mereka tahu adalah buat bising mengenai pembelian senjata sehingga satu dunia tahu kekuatan dan kelemahan kita.

Singapura Bimbang Perkembangan di Malaysia

Berbalik kepada kehadiran diplomat Singapura dalam tunjuk perasaan Bersih, saya rasa tujuan sebenar mereka adalah membuat laporan mengenai peristiwa itu kerana Singapura sangat bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia.

Semua orang tahu yang supremo Singapura, Lee Kuan Yew dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) amat bimbang dengan kemungkinan PAS berkuasa di Malaysia, sama ada dengan sendirinya atau melalui kerjasama dengan parti-parti lain.

Kedua, mereka hendak tahu psikologi penunjuk perasaan dan respons pihak berkuasa kerana mereka bimbang hal yang sama lambat laun akan berlaku di Singapura. Jadi mereka mahu bersiap sedia.

Harus diketahui bahawa sebelum merdeka (dari tahun 1940-an hingga 1960-an), Singapura mengalami banyak tunjuk perasaan ganas oleh Barisan Bersekutu Komunis (Communist United Front).

Dan ketiga, mereka perlu tahu kesan perkembangan politik di Malaysia ke atas keselamatan pelaburan dan rakyat jelata mereka di Malaysia. Apatah lagi sekarang apabila kerajaan Malaysia begitu beria-ia memujuk pelabur dan pelancong Singapura.

Namun begitu, kita tidak boleh menolak bulat-bulat kemungkinan adanya parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik tertentu di Malaysia yang menggunakan perwakilan asing untuk tujuan politik mereka, termasuk memburuk-burukkan imej Malaysia di mata dunia.

Bagi saya, mereka inilah yang lebih berbahaya dan perlu diawasi kerana mereka boleh diperalatkan oleh agen-agen perisik luar untuk mendapatkan rahsia negara kita dengan tujuan melemahkan kita dan menjadikan kita boneka mereka. Wallahualam.

Tuesday, June 19, 2012

Flip Flop MAS-AirAsia: Siapa Rugi, Siapa Untung?

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

SIAPA rugi apabila kerajaan flip flop mengenai pertukaran saham (share swap) yang melibatkan pemilik utama MAS dan AirAsia?

Kesatuan sekerja dan persatuan kakitangan MAS tentu gembira. Mereka menentang urus niaga itu. Pengurusan MAS pun mungkin gembira. Mereka tidak perlu lagi ambil kira pendapat rakan kongsi mereka.

Pengasas bersama AirAsia (baru), Tony Fernandez tidak berkata dia gembira. Dia berkata dia lega.

Bagi saya, inilah flip flop rasmi era Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak yang sangat negatif kesannya.

Kalau (Tun) Abdullah Ahmad Badawi flip flop mengenai Jambatan Bengkok, beliau ubah fikiran ke atas projek zaman (Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi apabila Mohd Najib flip-flop ke atas pertukaran saham MAS-AirAsia, beliau flip-flop ke atas rancangan beliau sendiri.

Macam mana kerajaan boleh melaksanakan share swap antara MAS dan AirAsia tanpa berunding atau mengambil kira sentimen kesatuan sekerja dan persatuan kakitangan MAS adalah di luar kemampuan saya memikirkannya.

Apakah kerajaan tidak sedar bahawa kesatuan sekerja dan persatuan kakitangan MAS berpengaruh dan ada ciri-ciri militan yang tersembunyi?

Menjawab soalan di Dewan Rakyat, Mohd Najib berkata usaha menggabungkan kekuatan MAS-AirAsia gagal kerana penentangan kakitangan MAS.

Nampak jelas yang kakitangan MAS tidak dibawa berunding. Nampak terang yang pemerintah gagal memahami kekuatan dan keazaman kesatuan dan persatuan kakitangan MAS.

Indonesia Pangkalan Rantau AirAsia

Sejak itu, beberapa orang anggota pengurusan kanan MAS telah meletakkan jawatan atau tidak memanjangkan kontrak perkhidmatan. Diberitakan yang beberapa orang daripada mereka akan menyertai AirAsia.

MAS pula telah meminjam RM2.5 bilion dari pasaran kewangan melalui Sijil Kewangan Islam atau, dalam bahasa Arab, Sukuk bagi membiayai operasinya. Jumlah itu hampir bersamaan dengan kerugian MAS bagi tahun 2011.

AirAsia pula nampaknya telah mempercepatkan rancangan menjadikan Jakarta sebagai hab serantau yang sekali gus merendahkan taraf Kuala Lumpur sebagai pangkalan utamanya.

AirAsia mengelakkan Malaysia sebagai ibu pejabat korporat, tetapi menjadikan Indonesia sebagai pusat operasi Asean.

Sama ada dia merajuk kerana flip flop kerajaan Malaysia atau dia komited kepada potensi Indonesia sebagai gergasi ekonomi masa depan, pengasas bersama AirAsia (baru), Tony Fernandes akan “berhijrah” ke Jakarta untuk mengetuai operasi Indonesia.

Pada 18 Jun, AirAsia mengumumkan pelantikan Aireen Omar sebagai peneraju operasi tempatan AirAsia bagi menggantikan Fernandes.

Fernandes dan rakan kongsinya, Kamarudin Meranun, memuji Aireen sebagai orang belakang tabir yang berjaya mengelak AirAsia daripada mengalami masalah teruk ketika krisis kewangan akibat kenaikan harga minyak tidak lama dulu.

AirAsia mempunyai rancangan yang menarik untuk Indonesia. Antaranya, ia akan menjual sahamnya melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) pada suku pertama tahun hadapan. Ia sudah pun melakukan IPO untuk anak syarikatnya di Thailand.

Kesan Kepada KLIA

Adalah amat menarik melihat sama ada AirAsia akan memindahkan sebahagian kapal terbangnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta atau akan menggunakan pesawat baru yang dipesan daripada Airbus Industries, Perancis.

AirAsia ada 62 buah kapal terbang jenis Airbus A320 di Malaysia, 24 di Thailand dan 19 di Indonesia. Kumpulan AirAsia ada dalam pesanan 77 buah Airbus A320-200 dan 200 buah Airbus A320-Neo. Manakala penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X mempunyai 11 kapal terbang – sembilan Airbus A330 dan dua A340.

Perkembangan terbaru ini memberi cabaran tambahan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang sedang membina terminal tambang murah berharga lebih RM2.5 bilion di KLIA kerana AirAsia adalah pengguna utamanya.

Pada masa yang sama, adalah baik bagi AirAsia berhati-hati dalam usaha niaganya di Indonesia kerana negara itu masih dalam proses mengemaskinikan undang-undang dan peraturan pelaburan asingnya. Hal ini sudah pun menjejas pelaburan asing dalam sektor perbankan.

Kesimpulannya, flip flop yang berlaku ke atas pertukaran saham MAS-AirAsia boleh merugikan industri penerbangan Malaysia kalau pemilihan Jakarta sebagai hab Asean oleh AirAsia akan mengurangkan penggunaan KLIA dan lapangan-lapangan terbang lain di negara kita.

Pelabur akan pergi ke mana peluang dan layanan lebih baik, apatah lagi jika wujud faktor tolakan (push factor) di negara mereka sendiri. Wallahualam

Saturday, June 16, 2012

Bermula 43 Tahun Yang Lalu

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

HARI ini, 16 Jun genaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.

Pada pagi hari ini, dalam tahun 1969, saya melaporkan diri di Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sebuah banglo lama di Jalan Tun Abdul Razak.

Ketika itu, lebuh hias ikonik itu lebih dikenali sebagai Circular Road atau sekali-sekala disebut Jalan Pekeliling.

Saya datang dengan bas dan kereta api. Dengan bas dari kampung saya, Tanah Merah, Mukin Guar Kepayang, Pendang (ketika itu Kota Star) ke Butterworth. Dari situ, dengan Kereta api Tanah Melayu menggunakan waran kelas tiga yang dikeluarkan oleh Bernama.

Emak, kanak dan adik-adik menitiskan air mata. Allahyarham ayah memberi pesan sambil menadah tangan ke langit memohon keberkatan. Dia memberikan saya duit saku RM25.

Itulah yang dia mampu. Alhamdulillah, saya ada beberapa ratus ringgit dalam Post Office Savings Bank hasil lebihan biasiswa kecil Tingkatan Enam sebanyak RM50 sebulan.

Kalau hari ini ibu bapa berpesan kepada anak-anak mereka: “Buatkan kami berasa bangga” atau “Make us feel proud”, pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan.

Peristiwa 13 Mei baru sebulan berlalu dan Kuala Lumpur masih dalam ketakutan. Pergaduhan kecil dan perbuatan membakar masih berlaku di sana sini.

Di rumah mayat Hospital Besar Kuala Lumpur masih ada mayat mangsa pergaduhan yang belum dituntut. Sesetengahnya kerana tidak dapat dicamkan manakala yang lain tidak diketahui siapa warisnya.

Di situlah saya melihat iaitu, di saat-saat tragis dan duka, manusia tidak kenal bangsa. Saya melihat ibu Melayu, Cina dan India sama-sama meratap dan berpelukan apabila datang menuntut mayat anak-anak mereka yang beberapa hari sebelum itu saling berbunuhan.

Asap dan abu mengalu-alukan pelawat dan orang yang lalu-lalang di jalan dan lorong yang memisahkan Melayu dan Cina di Kampung Baru, Setapak dan Kampung Pandan.

Mula-mula saya tinggal dengan sepupu saya di rumah setinggan Kampung Pandan. Dia bekerja sebagai pengawal (jaga) syarikat perlombongan. Kita mandi dan mencuci pakaian di kolam lombong atau menggunakan air hujan yang ditakung.

Selepas itu, saya pindah ke rumah setinggan sepupu yang lain di Kampung Kerinchi. Untuk mandi, kita menyeberang jalan Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Federal Highway. Kita mandi di anak sungai yang mengalir di sempadan Universiti Malaya.

Itulah permulaan kerjaya kewartawanan saya 43 tahun lalu. Perjalanan sudah lama dan jauh; dari pinggir Sungai Pendang yang layu ke muara Rio de la Plata di Amerika Selatan, Sungai Danube di Eropah dan Mississippi, Amerika Syarikat.

Dari era mesin taip Royal dan Olivetti kepada mesin taip elektrik IBM dan komputer riba. Dari era telefon awam kepada teleprinter telefon pintar dan komunikasi Internet. Dari era Perang Dingin yang tegang dan berideologi kepada era pasca-Perang Dingin yang anarkis dan penuh pertumpahan darah.

Di atas semua itu, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya keselamatan, kesihatan dan kecekalan, dan berterima kasih kepada begitu ramai ahli keluarga, guru dan mentor, penyelia dan ketua, kawan dan taulan, pekerja dan majikan DAN, yang paling utama, pembaca setia. Terima kasih.

Tuesday, June 12, 2012

Pakatan Rakyat: Pakat Tetapi Tidak Terikat

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

GABUNGAN pilihan raya (election pact) DAP, PKR dan PAS telah membuktikan kemujarabannya pada pilihan raya umum 2008 dan dalam beberapa pilihan raya kecil selepas itu.

Bagaimanapun, sejak itu nampak yang tiga parti berkenaan seolah-olah hangat-hangat tahi ayam atau semakin tidak yakin yang pakatan mereka perlu atau boleh disahkan sebagai pakatan rasmi.

Petunjuk terbaru yang tiga parti itu terus tidak yakin atau kurang berani untuk diijabkabulkan secara sah ialah pengumuman yang mereka akan bertanding PRU akan datang dengan menggunakan lambang parti masing-masing.

Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang aka Tian Chua dipetik oleh Sin Chew Daily sebagai berkata parti-parti PR akan menggunakan simbol masing-masing hatta jika Pendaftar Pertubuhan memberi pengiktirafan rasmi esok.

Kenyataan Tian Chua itu senada dengan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, akhir tahun kalu. Katanya, pembangkang tidak pernah berhasrat menukar lambang pada pilihan raya nanti, sebaliknya PAS, PKR dan DAP akan menggunakan lambang masing-masing pada kertas undi.

Tidak kira apa pun kedudukan sebenar, alasan kesuntukan masa untuk mendaftarkan PR sebagai sebuah parti politik campuran tidak boleh diterima lagi kerana keputusan merasmikan (formalise) PR dibuat hampir empat tahun lalu, iaitu beberapa hari selepas ia menang besar dalam PRU 2008.

Bukan itu saja, pada tahun 2009, PR telah melantik bekas menteri BN, peguam Mohd Zaid Ibrahim, yang ketika itu ahli majlis tertinggi PKR, sebagai penyelaras dan pengerusi jawatan kuasa sementara (protem committee) “parti” Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) dengan tugas mendaftarkannya secara rasmi.

Sentimen Halang Pengesahan PR

Nampaknya, bukan saja parti-parti PR kurang yakin dengan kelangsungan jangka panjang pakatan mereka, tetapi aspek sentimental masih kuat mempengaruhi tindak-tanduk mereka, khasnya PAS dan DAP yang berupa parti tua politik Malaysia.

Ahli dan penyokong kedua-dua buah parti itu mungkin akan tawar hati dengan pertubuhan masing-masing kalau lambang mereka yang ikonik lesap dari kertas undi dan digantikan dengan lambang baru yang asing.

Dalam konteks ini, PAS telah berpengalaman menanggung musibah kerana mengorbankan lambangnya ketika menjadi anggota BN dan bertanding menggunakan lambang BN dalam PRU 1974.

Lagipun, selain daripada kesepakatan untuk menjatuhkan BN, parti-parti PR tidak mempunyai banyak persamaan dan kata sepakat.

Selain itu, kehadiran ramai “free operator” yang kerap cakap celopar dan merapu dalam parti-parti itu memudaratkan satu sama lain, khasnya antara PAS dan DAP yang umpama langit dengan bumi.

Malah dalam PAS sendiri ada ramai ubi rebus tidak empuk yang menyukarkan usaha parti itu mengembangkan sayapnya melepasi negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung.

Kejadian terbaru ialah keceloparan mulut bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin, yang mempersoalkan pembidaan nombor plat WWW 1 oleh Sultan Johor.

Perbuatan pendek akal beliau itu memudarkan harapan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, dalam usahanya menggempur negeri Johor dalam PRU nanti.

Kalau benar DAP, PAS dan PKR mahu pakatan pilihan raya mereka dirasmikan sebagai pakatan formal, mereka tentulah sudah membuat bising satu Malaysia dan melemparkan berbagai tuduhan terhadap ROS kerana lambat mendaftarkan parti mereka.

Sebaliknya, selepas pengunduran Mohd Zaid daripada PKR pada tahun 2010, cakap-cakap mengenai pendaftaran PR amat jarang kedengaran. Salah satu sebabnya ialah DAP yang amat berpengaruh dalam PR, menaruh harapan terhadap Mohd Zaid sebagai orang yang berkemungkinan menggantikan Anwar Ibrahim sebagai ketua de fakto PR. Wallahualam.

Wednesday, June 06, 2012

A380: Era Baru, Cabaran Lama

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

BERAT maksimumnya ketika terbang naik (maximum takeoff weight/MTOW) adalah 560 tan metrik, iaitu bersamaan dengan berat 605 buah kereta Proton Saga baru tanpa muatan.

Ia boleh memuatkan sehingga 853 penumpang, iaitu bersamaan dengan muatan 170 buah kereta Proton Saga dan terbang sejauh 15,400 kilometer, iaitu lebih dua kali ganda jarak antara Kuala Lumpur dan Jeddah.

Itulah kapal terbang Airbus A380 yang menjadi pesawat terbaru dan terbesar Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Semalam saya dijemput menyertai penerbangan ujian pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Langkawi tanpa mendarat. Turut serta adalah bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad, pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Jauhari Yahya, wakil media massa, ejen pelancongan, pelanggan istimewa dan kakitangan MAS.

(Tun Dr Mahathir melawat Kabin)

Menurut Kapten Kamarudin Kamilin, salah seorang daripada tiga pemandu yang bergilir menerbangkan pesawat itu, inilah kali pertama pesawat itu naik ke udara setelah sampai dari kilangnya di Perancis pada 29 Mei lalu.

Pesawat A380 MAS itu boleh memuat 496 penumpang dalam tiga kelas dan dijangka memulakan penerbangan antara KLIA dan Lapangan Terbang Heathrow, London 1 Julai ini.

Inilah kemajuan penerbangan sejak dua bersaudara Orville Wright dan Wilbur Wright menerbangkan pesawat Wright Flier di Kitty Hawk, North Carolina, Amerika Syarikat pada 17 Disember, 1903.

(Md Nor dengan Bruno Navet wakil EADS)

Hari ini, menjelajah dengan kapal terbang sudah menjadi perkara biasa. Bagi orang Islam Malaysia, paling-paling tidak pun untuk mengerjakan haji.

Pada waktu MAS memesan enam buah pesawat A380nya itu, harga sebuah adalah kira-kira AS$300 juta (RM950 juta) bersamaan harga 24,000 buah kereta Proton Saga FLX 1.3 atau 38,400 unit kondo rakyat Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada kadar harga tawaran. (Harga spekulasi dan lelong oleh bank sudah mencecah RM65,000).

Pengenalan pesawat raksasa termoden itu berlaku pada saat MAS sedang mengalami masalah perniagaan yang paling genting dalam 40 tahun sejarahnya. Bagi tahun 2011, MAS melaporkan kerugian RM2.52 bilion (kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua kira-kira RM3 bilion).

(Pemandangan Kabin Serba Canggih)

KdalaJadi, dalam MAS dan penumpang penerbangan ujian itu bergembira dan berbangga dapat terbang dengan pesawat komersial terbesar dalam sejarah, perkiraan yang lebih afdal adalah bagaimana menyelamatkan MAS.

Dalam keadaan di mana industri penerbangan menjadi semakin bersaing, harga minyak yang tinggi dan ekonomi dunia yang tidak menentu, menyelamatkan MAS menjadi semakin sukar dan mencabar.

Semua pihak yang terbabit dengannya – daripada kerajaan yang menjadi pemegang saham dan pembiaya utama MAS kepada pengurusan dan kakitangannya – perlulah realistik dan pragmatik kalau mereka mahu menjamin kelangsungan (survival) MAS.

Ingatlah, ada had dan batasan kepada kemampuan kerajaan dan pembayar cukai membantu MAS dan kesediaan pembiaya swasta terus membiayai MAS.

Ingatlah juga yang banyak syarikat penerbangan nasional dan swasta ikonik telah muflis dan hilang dari ruang udara. Pada 6 Feb lalu, syarikat penerbangan Hungary, Malev muflis dan berhenti terbang selepas beroperasi 66 tahun.

Saya sudah pun memberikan nasihat dan pandangan dua sen saya kepada kawan-kawan yang kini mengendalikan MAS yang dulunya bersama-sama saya dalam The New Straits Times Press Malaysia Berhad.

Bagi saya, dalam keadaan di mana MAS berada sekarang, penerbangan seronok-seronok (joyride) bukanlah istilah yang tepat. Lebih molek kalau disebut penerbangan ujian laluan (route proving), penerbangan penghargaan atau penerbangan apresiasi - beri penghargaan kepada yang menolong dan mengapresiasi kehebatan pesawat baru itu. Wallahualam.