About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).

Sunday, July 29, 2012

Kesan Penarikan Diri Lajim Kepada BN

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

MUTAKHIR - KUALA LUMPUR, 29 Julai — Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional dan akan menyertai Pakatan Rakyat dipercayai melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu PR memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. - Malaysian Insider

Posting Asal

PENGUMUMAN Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lajim Ukin yang beliau menarik diri daripada Umno dan akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang pastinya bukan berita yang diharapkan oleh Perdana Menteri merangkap presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak.

Tetapi tindakan Lajim itu tidaklah pula sesuatu yang baru atau memeranjatkan. Ramalan mengenai kemungkinan beliau menarik diri daripada Barisan Nasional dan menyertai pembangkang sudah berbulan lamanya.

Beberapa bulan lalu, timbul cakap-cakap bahawa beberapa pihak yang tidak puas hati dengan Mohd Najib di Sarawak dan Sabah akan berpakat bagi menentang BN di dua buah negeri itu.

Bagaimanapun, perselisihan pendapat antara Mohd Najib dan kepemimpinan BN Sarawak, khususnya mengenai kedudukan Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, telah diatasi. Ramalan mengatakan Abdul Taib tidak akan dipaksa meletakkan jawatan.

Penarikan diri Lajim daripada semua jawatan dalam Umno adalah tamparan hebat terhadap Mohd Najib yang cuba mewujudkan gambaran bahawa beliau mempunyai kawalan penuh ke atas politik di dua buah negeri Borneo itu. Selain menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno, Lajim adalah juga ketua bahagian Umno Beufort dan pengerusi BN Beufort.

Mohd Najib sendiri berkata yang peletakan jawatan Lajim adalah sesuatu yang dijangkakan buat beberapa ketika dan beliau akan membuat keputusan esok (Isnin) mengenai kedudukan Lajim sebagai Timbalan Menteri.

Sebaik mana pun Perdana Menteri cuba menyembunyikan kehampaannya terhadap perkembangan di Sabah itu, hakikatnya ia adalah petanda yang tidak positif bagi BN, khasnya di Sabah.

Sambil merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Onn Jaafar sebagai presiden Umno, Mohd Najib berkata penarikan diri oleh ahli Umno bukanlah sesuatu yang baru. Yang lebih penting, kata beliau, adalah kesetiaan kepada parti.

Setelah kehilangan pengaruh di kawasan-kawasan Cina pada pilihan raya negeri (PRN) Sawarak pada April tahun lalu, pergantungan BN kepada Sabah menjadi lebih besar. Dua buah negeri Borneo itu sering disebut sebagai “fixed deposit” atau simpanan tetap kerana jaminan sokongan yang padu kepada BN.

Pada PRU 2008, BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 24 daripada 25 di Sabah berbanding 85 yang dimenangi di Semenanjung dan sebuah di Labuan.

Tetapi, selepas kemaraan besar DAP dalam PRN Sarawak adalah dikhuatiri yang BN mungkin kehilangan sehingga enam kerusi Parlimen di Sarawak jika trend PRN itu berterusan.

Dengan penarikan diri Lajim, tabung simpanan tetap BN di Sabah telah retak dan jika merebak, pergantungan BN terhadap negeri bawah bayu itu akan menjalin lebih tidak terjamin.

Di Sabah, taat setia politik bolehlah diumpamakan seperti pasir di pinggir pantai – sentiasa berubah. Penarikan diri Lajim boleh membawa kepada pemberontakan besar-besaran seperti yang terjadi pada PRU 1990.

Soalnya, masalah Mohd Najib dan BN di Sabah tidak terhad kepada Lajim seorang saja. Beliau juga perlu membuat keputusan mengenai kedudukan Ketua Menteri, Musa Aman, dan pergiliran jawatan Ketua Menteri antara Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina yang dimansuhkan oleh pendahulunya, Abdullah Ahmad Badawi.

Kesimpulannya, perkembangan terbaru di Sabah itu merumitkan lagi tugas Mohd Najib membuat keputusan mengenai tarikh PRU akan datang kerana tabung simpanan tetap BN mungkin sudah retak. Wallahualam.

Sunday, July 22, 2012

Puasa di Malaysia dan Tempat Lain Tak Sama

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

TERIMA kasih kepada semua yang mengucapkan salam Ramadan kepada saya melalui blog ini dan SMS. Moga-moga puasa kita tahun ini dipermudahkan dan diberkati Allah.

Ramadan tahun ini saya “pegang” puasa di suatu tempat di mana waktu berpuasa adalah antara jam 3.23 pagi hingga 9.13 malam – lebih 17 jam.

Tempat yang saya maksudkan ialah Zurich, Switzerland yang sedang melalui musim panas (summer) di mana siang hari panjang dan malam pendek.

Seperti pernah saya nyatakan, migrasi tahunan ini adalah untuk melawat anak, menantu dan tiga orang cucu. Buat masa ini, ada seorang lagi anak di Switzerland. Dia sedang membuat pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Institute for Management Development (IMD), Laussane. Seorang lagi belajar akaun dan kewangan di Australia. Jadi, masa berupa perkara yang relevan kepada saya, terutama ketika Ramadan dan raya.

Bagi kebanyakan kita, oleh sebab kita terlalu biasa dengan amalan puasa di negara kita yang terletak hampir dengan Khatulistiwa, kita hampir-hampir tidak peduli mengenai perubahan masa. Waktu puasa kita hampir sama sepanjang masa.

Bagi banyak orang Islam Malaysia, mereka mula menyedari perbezaan masa secara peribadi hanyalah apabila mengerjakan haji atau umrah dengan menaiki kapal terbang. Masa pergi dengan kapal laut, perbezaan masa tidak penting dan tidak ketara.

Di tempat-tempat bermusim, macam Eropah dan Australia, waktu berpuasa berubah mengikut musim - musim panas panjang, musim sejuk pendek. Di Australia, yang sedang mengalami musim sejuk (winter), waktu berpuasa pendek iaitu daripada jam 5.50 pagi hingga 5.25 petang.

Apabila kita berpuasa dan solat lima waktu, soal fajar sangat penting, tetapi oleh kerana negara kita tidak bermusim, maka kita tidak peduli sangat mengenai erti sebenar fajar. Maka banyak orang samakan fajar dengan naik matahari.

Fajar dan naik matahari tak sama. Fajar ditakrifkan sebagai tempoh sebelum matahari naik atau selepas matahari terbenam apabila pusat matahari tidak lebih daripada 12 darjah di bawah ufuk (horizon).

Di Zurich, di mana saya memulakan puasa, pada hari Sabtu, 21 Julai, waktu fajar ialah 3.23 pagi. Matahari naik pada jam 5.51 pagi dan waktu Maghrib 9.13 malam. Masuk zuhur jam 1.33 petang, asar 5.42 petang dan isyak 11.33 malam.

Kalau ini mengelirukan, bayangkan pula berpuasa ketika dalam perjalanan atau berada di utara Garisan Artik dan di selatan Garisan Antartik di mana matahari berada di langit selama 24 jam pada masa tertentu? Adakah kita berpuasa 24 jam juga?

Kalau kita ketahui dan sedari hal yang saya sebutkan ini, kita akan mengakui betapa mudah dan selesanya menjadi orang Islam di Malaysia. Boleh kata segala-galanya mudah, tersedia dan disediakan – masjid dan surau di merata tempat, waktu sembahyang dihebahkan melalui azan dan kedudukan Islam dijamin.

Tetapi, janganlah kerana segala-galanya mudah di negara kita, kita memandang remeh kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam yang saling kait-mengait.

Jangan ingat apa yang orang Melayu dan orang Islam nikmati di Malaysia hari ini akan kekal selama-lamanya dan tidak boleh diganggu-gugat.

Lihatlah bagaimana orang Islam Palestin hilang negara dan hilang kuasa ke Baitul Muqaddis kepada Zionis akibat kelemahan mereka sendiri dan tipu-helah Barat. Wallahualam.

Friday, July 20, 2012

Tak Tumbuh Tak Melata

A Kadir Jasin

[MASIH ada lagi pembahas yang guna pengenalan “Anonymous”. Kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

SEPERTI yang saya nyatakan dalam posting yang lepas, saya telah dianugerahkan gelaran Tokoh Wartawan Negara oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pembahas yang menghantarkan ucapan tahniah dan mendoakan kesejahteraan saya. Saya amat terharu dan terhutang budi.

Namun, ada seorang dua pembahas yang kurang jelas atau keliru mengenai anugerah itu. Bagi memperjelas dan memperbetulkan persepsi serta menghargai ketelitian Panel Hakim, izinkan saya menyiarkan teks pidato Pengisytiharan Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2011 oleh Profesor Dr. Ahmad Murad Merican, Ketua Panel Pemilih.

“Tak tumbuh tak melata

Tak sungguh saya tak kata

“Itulah yang akan saya sampaikan dalam Ucapan Anugerah meraikan tokoh kita pada hari ini.

“Karya-karya kewartawanan ialah bayangan kehidupan, gambaran sejarah dan jiwa tukang cerita itu sendiri. Akan tetapi tukang cerita itu mempunyai banyak pilihan dalam menentukan arah tuju kerjayanya. Dan kerjayanya itu menjurus kepada satu kewajipan yang berat lagi murni. Inilah yang tersurat dan yang tersirat dalam kehidupan dan kerjaya Datuk A. Kadir Jasin.

“Sejak tahun 1969, Datuk Kadir telah menulis untuk hampir semua genre kewartawanan dari berita dan rencana, komentar dan lidah pengarang, ulasan dan kritikan, blog dan buku. Panel Pemilih sependapat bahawa Datuk Kadir ialah satu-satunya nama besar dalam kewartawanan dwi bahasa di Malaysia.

“Datuk Kadir telah melalui pelbagai era perubahan sosial, kepimpinan dan politik negara. Beliau adalah pencatat dan perakam zaman yang setia dan dipercayai.

Malah, beliau ialah seorang daripada yang tidak ramai yang masih gigih dan aktif memberikan sumbangan penulisan yang bertenaga dan semasa kepada pembaca.

“Datuk Kadir ialah tukang cerita yang cemerlang dan terbilang. Dalam era media baru, Datuk Kadir melalui ‘The Scribe’ merupakan wartawan yang unggul. Blog tersebut memperlihatkan kesedaran akan peranan beliau dalam pembinaan masyarakat dan negara bangsa. Suara ‘Kunta Kinte’ terus berkumandang dalam ruang siber. Beliau merupakan salah seorang peneroka penulisan blog di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, Datuk Kadir, yang dilahirkan pada tahun 1947 di Kedah, yang kini menjawat Ketua Pengarang syarikat penerbitan Berita Publishing Sdn. Bhd., mewakili antara generasi terakhir wartawan dalam era yang semakin berakhir.

“Beliau ialah tukang cerita yang ‘versatile’ – menulis melalui pelbagai media, dan menggunakan pelbagai teknologi. Sepanjang zaman, peranan sesorang tukang cerita tidak akan lengkap tanpa penulisan buku. Beliau telah menulis sekurang-kurangnya sebanyak sembilan buah buku, antaranya Membangun Bangsa dengan Pena (2009), Komedi & Trajedi – Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009), PRU 2008 – Rakyat Sahut Cabaran (2008), Blogger (2006), Damned that Thots (2006), Mencari Dugalia Huso (2006), The Wings of an Eagle (2003), Other ThotsOpinions and Observations 1992-2001 (2001), dan Biar Putih Tulang (1998).

“Datuk Kadir ialah tukang cerita yang rajin berkongsi pendirian dan pengalamannya melalui pelbagai seminar dan persidangan mengenai media dan kewartawanan. Dalam penampilan beliau melalui pelbagai forum, kita dapat lihat kemahiran ekspresi dan penulisan, kejelasan penghujahan dan logik pemikirannya. Beliau adalah tukang cerita moden.

“Jika pada suatu masa dulu Penghulu Mukim Chenderiang, Perak, Raja haji Yahaya memperkenalkan penglipur lara Pawang Ana kepada Pentadbir Kolonial Richard Winsted, yang kemudian merakamkan certia-cerita rakyat, Datuk Kadir tidak perlu diperkenalkan lagi. Kita telah diperkenalkan dengan Datuk Kadir melalui pelbagai avatar dan medium – antara nya ‘Kunta Kinte,’ ‘Other Thots,’ dan ‘The Scribe.’ Beliau berfungsi sebagai penglipur lara.

“Datuk Kadir banyak terlibat dalam pentas wacana awam dengan melontar dan menyebar ideanya untuk disambut, dibincang dan dicabar. Penulisan dalam blog ‘The Scribe’ – yang mengambil makna asal kegiatan kewartawanan dan melihat wartawan sebagai pencatat tanpa nilai kepentingan melainkan ketepatan dan kebenaran. Blog itu pernah mencatat hits sebanyak 5.27 juta – satu angka yang membuktikan keberkesanan wacana beliau yang jarang kita lihat di kalangan wartawan tempatan.

“Dalam satu sesi temubual pada bulan Julai 2009, Datuk Kadir ditanya mengapa beliau memulakan kegiatan penulisan blog. Jawapannya ialah beliau ialah seorang pencatat (penulis), dan blog merupakan satu lagi ruang yang boleh diterokai. Beliau mempunyai kepercayaan kepada media baru.

“Visi Datuk Kadir mengenai kewartawanan media baru telah dengan sendirinya menjadikan ‘The Scribe’ salah satu blog yang berpengaruh di Malaysia. Dalam hal ini saya terpanggil untuk menyatakan satu contoh pengaruh beliau kepada masyarakat awam melalui kolum ‘Kunta Kinte.’ Tidak lama dulu terdapat kekeliruan tentang penggunaan nama ‘Kunta Kinte.’

“Penulis laman ‘Kunta Kinte Malaysia’ (bukan Datuk kadir) menjelaskan bahawa beliau menggunakan nama tersebut bagi membezakannya dengan nama pena ‘Kunta Kinte’ yang asal. Nama samaran tersebut digunakan oleh Datuk Kadir semasa beliau menerajui Berita Harian antara tahun 1987 hingga 1988.

“Penulis ‘Kunta Kinte’ tiruan itu mengaku bahawa beliau adalah “antara anak muda yang ‘membesar’ dalam pemikiran dan pemahaman ke atas masyarakat melalui pandangan alam ‘Kunta Kinte’ (Kadir Jasin).” Dari catatan itu kita dapati bahawa Datuk Kadir amat berpengaruh:

“Nostalgiknya gelaran abdi ini kerana ia digunakan oleh kolumnis yang cukup mempengaruhi penulis ketika sekolah, biar pun tidak mengetahui siapa sebenarnya di sebalik nama ‘Kunta Kinte’ di Berita Harian.

“Kalau ditanya siapa guru atau mentor paling berpengaruh dalam hidup penulis, nescaya ‘Kunta Kinte’ di Berita Harian itulah guru dan mentor terbaik penulis, biarpun beliau tidak pernah menjadi guru atau mentor penulis secara langsung

“Sememangnya, seseorang wartawan yang unggul lazimnya dianggap sebagai mentor dan guru. Datuk Kadir banyak memberi panduan, dan ‘mencerahkan’ kekusutan kekeliruan di kalangan masyarakat pembaca. Datuk Kadir bukan hanya menulis dan menerbit, tetapi juga menelusuri penulisan kewartawanan yang membentuk negara bangsa Malaysia.

Ramai yang kurang maklum akan kepentingan buku The Early Years: 1947-1972 yang disusun dan disuntingan oleh Datuk Kadir. Diterbitkan pertama kali pada tahun 1995, dan diterbitkan semula dengan tajuk baru The Writer: The Early Years 1947-1972, dan dengan Pengenalan baru, buku tersebut merangkumi koleksi rencana C.H.E. Det dalam Straits Times dan Sunday Times di Singapura pada ketika itu.

“Jika bukan kerana usaha dan sensitiviti beliau, kita tidak dapat mengenali Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang penulis. Kepada Datuk Kadir, penulisan-penulisan awal Dr. Mahathir bukan hanya karya seorang pemerhati sosial yang kemudiannya menjadi perdana menteri, tetapi juga karya kewartawanan yang unggul yang perlu diketahui dan diteliti oleh warganegara Malaysia.

“Sebagai tukang cerita, wartawan yang hebat amat mengawal tatabahasanya dan penggunaan istilah untuk memelihara kualiti ilmiah tulisannya dan penyampaian pemikiranya. Berkali-kali beliau memperingati pembacanya mengenai kepentingan integriti dalam penulisan.

“Datuk Kadir telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak tahun 1969 lagi. Selama 43 tahun, beliau telah berganding bahu dan menjalin rangkaian yang akrab dengan pemimpin, penggubal dasar serta cendekiawan negara.

“Kecendekiaan yang ada padanya itu telah menyerlahkan dirinya sebagai peneroka kewartawanan ekonomi Melayu di Malaysia. Ini terjadi dengan penghijrahan beliau ke Business Times daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). Perjuangan ‘kewartawanan ekonomi’ dimantapkan apabila beliau menyertai “Business Times dari tahun 1976 hingga 1984. Ia diteruskan sehingga kini melalui Berita Publishing.

Malah, Datuk Kadir telah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam memperkasakan liputan ekonomi negara, terutama sekali dalam konteks pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada tahun-tahun 1970an dan 1980an. Beliau mampu melihat sesuatu isu itu dalam perspektif yang sesuai lalu mendekati dan menganalisis pelbagai sektor ekonomi termasuk dunia korporat.

“Dalam penulisannya, beliau membayangi pengaruh ekonomi ke atas perjalanan politik negara, serta ke atas ideologi dan amalan kewartawanan di Malaysia.

“Datuk Kadir adalah antara wartawan di Malaysia yang memimpin banyak organisasi suratkhabar. Setelah memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times, beliau dilantik ke jawatan penolong pengarang kumpulan Berita Harian dan seterusnya pengarang kumpulan Berita Harian pada tahun 1986.

“Pada tahun 1988 selama 10 tahun, Datuk Kadir menerajui The New Straits Times sebagai Pengarang Kumpulan dan seterusnya Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd dari tahun 1998 ke 2000. Sebagai Ketua Pengarang Kumpulan, beliau bertanggungjawab ke atas semua penerbitan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kumpulan akhbar tersebut.

“Selain dari itu, Datuk Kadir juga banyak terlibat dalam membangunkan beberapa jalinan dan institusi. Atas kepercayaan yang diberi berdasarkan kepada kebolehan, kepakaran dan kewibawaan beliau, Datuk Kadir, antaranya telah terlibat sebagai ahli kepada beberapa pertubuhan termasuk Ahli Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council), Ahli Asia-Australia Institute, University of New South Wales, Ahli Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaaan (National Information Technology Council), Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ahli Majlis Perundingan Perpaduan Negara, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Press Foundation of Asia yang berpusat di Manila.

“Pada tahun 1978, ketika berusia 31 tahun, beliau menerima anugerah Editor of the Year untuk Asia daripada Mitsubishi/Press Foundation of Asia. Dua puluh tahun kemudian, semasa beliau berumur 51 tahun, Datuk Kadir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia atas sumbangan beliau kepada alam kewartawanan di negara ini.

“Pada tahun 1971, Datuk Kadir memenangi biasiswa Colombo Plan untuk melanjutkan pelajaran ke Wellington Polytechnic, New Zealand, dalam bidang kewartawanan. Seterusnya pada tahun 1977, beliau dihantar ke Berlin International Institute of Journalism untuk kursus ‘Advance Journalism.’

“Semasa saya baru menjadi ahli akademik yang mengkaji kewartawanan dan media, saya teringat dalam pertengahan tahun 1980an di mana Datuk Kadir menerajui inisiatif menubuhkkan Organisation of Newspaper Editors (ONE/Pertubuhan Editor-editor Suratkhabar) dalam usaha memperkukuhkan fraterniti kewartawanan di Malaysia serta mewujudkan saluran aduan terhadap wartawan dan akhbar. Walaupun, ONE tidak kelihatan mengambil langkah seterusnya, idea dan inisiatif itu amat kritikal pada profesion kewartawanan. Dan Datuk Kadir amat akur mengenai persekitaran dan keperluan profesionnya itu. Usaha mewujudkan saluran aduan keatas kewartawanan dan persuratkhabaran di Malaysia, seharusnya perlu diteruskan.

“Pemerhatian Datuk Kadir amat tajam dan mendalam. Seketika dulu saya pernah bertanya beliau tentang sikap Tun Dr. Mahatir mengenai dunia Barat. Jawabnya, Tun Mahatir memuji Barat kerana kebijaksanaan dan kemajuannya, tetapi mengeji Barat kerana nilai moralnya yang rendah.

“Sebagai tukang cerita, Datuk Kadir sentiasa peka dan berperanan sebagai penterjemah dan mentafsir isu, idea dan tema semasa. Mungkin juga inilah sebabnya Datuk Kadir diberi kepercayaan oleh Tun Dr. Mahathir untuk menterjemah memoir Doctor in the House ke Bahasa Melayu dari karya asal bahasa Inggeris.

“Doktor Umum bukan hanya dapat dilihat sekadar suatu terjemahan oleh seseorang yang menguasai dua bahasa tetapi ia menampakkan terjemahan seseorang yang memahami dan menghayati pemikiran dan perwatakan penulisnya. Hanya seorang wartawan yang berfikiran sebagai tukang cerita yang dapat mengikuti sebuah cerita yang lebih besar.

“Usaha Datuk Kadir merupakan sumbangan terjemahan (dan tafsiran) besar dan amat bernilai dalam dunia kewartawanan dan persuratan tanah air.

“Baru-baru ini pada 16 Jun, Datuk Kadir mencatat dalam blognya ‘The Scribe’ sempena genap 43 tahun beliau menjadi wartawan.

‘Pada pagi hari ini, dalam tahun 1969, saya melaporkan diri di Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sebuah banglo lama di Jalan Tun Abdul Razak. Ketika itu, lebuh hias ikonik itu lebih dikenali sebagai Circular Road atau sekali-sekala disebut Jalan Pekeliling.

‘Saya datang dengan bas dan kereta api. Dengan bas dari kampung saya, Tanah Merah, Mukim Guar Kepayang, Pendang (ketika itu Kota Star) ke Butterworth. Dari situ, dengan Kereta api Tanah Melayu menggunakan waran kelas tiga yang dikeluarkan oleh Bernama.

‘Allahyarham ayah memberi pesan sambil menadah tangan ke langit memohon keberkatan. Dia memberikan saya duit saku RM25. Pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan.’

“Seterusnya, Datuk Kadir menceritakan pengalaman awalnya sebagai seorang wartawan.

‘Peristiwa 13 Mei baru sebulan berlalu dan Kuala Lumpur masih dalam ketakutan. Pergaduhan kecil dan perbuatan membakar masih berlaku di sana sini.

‘Di rumah mayat Hospital Besar Kuala Lumpur masih ada mayat mangsa pergaduhan yang belum dituntut. Sesetengahnya kerana tidak dapat dicamkan manakala yang lain tidak diketahui siapa warisnya.

‘Di situlah saya melihat iaitu, di saat-saat tragis dan duka, manusia tidak kenal bangsa. Saya melihat ibu Melayu, Cina dan India sama-sama meratap dan berpelukan apabila datang menuntut mayat anak-anak mereka yang beberapa hari sebelum itu saling berbunuhan.

‘Asap dan abu mengalu-alukan pelawat dan orang yang lalu-lalang di jalan dan lorong yang memisahkan Melayu dan Cina di Kampung Baru, Setapak dan Kampung Pandan.’

“Perjalanan Datuk Kadir sudah lama dan jauh – dari pinggir Sungai Pendang ke Sungai Danube di Eropah dan Sungai Mississippi di Amerika Syarikat. Sebagai tukang cerita, beliau telah menyaksi, mengalami dan mencatat pelbagai perubahan teknologi

“Dari era mesin taip Royal dan Olivetti kepada mesin taip elektrik IBM dan komputer riba. Dari era telefon awam kepada teleprinter telefon pintar dan komunikasi Internet.

“Beliau juga menyaksi , mengalami dan mencatat pelbagai transformasi dan revolusi besar dunia. Dari era Perang Dingin yang tegang dan berideologi kepada era pasca-Perang Dingin yang anarkis dan penuh pertumpahan darah.

“Di atas semua itu, kata Kadir: ‘Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya keselamatan, kesihatan dan kecekalan, dan berterima kasih kepada begitu ramai ahli keluarga, guru dan mentor, penyelia dan ketua, kawan dan taulan, pekerja dan majikan DAN, yang paling utama, pembaca setia. Terima kasih.’

“Kewartawanan tidak boleh wujud tanpa kemanusiaan. Malah, kewartawanan juga adalah ‘agama’ Datuk A Kadir Jasin.

“Saya akhiri dengan serangkap pantun:

Pucuk pauh delima batu

Sayang selasih hamba lurutkan

Sumbangan Datuk Kadir diakui wartawan baru

Menjadi Ikutan zaman berzaman.”

Nota kaki: Seperti kata pembahas CT TANJUNG PERAK, Panel pemilihnya, yang dipilih oleh pihak MPI sendiri, terdiri daripada Profesor Dr Ahmad Murad Merican, UiTM (sic) (Universiti Petronas); Prof Madya Dr Adnan Hashim, UiTM; Profesor Dr Mohd Safar Hashim, UKM; Dato' Dr Syed Arabi Syed Abdullah Idid, UIA; Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Datuk Johan Jaaffar.

Mereka adalah pakar dan tokoh tersendiri dalam bidang masing-masing.

Wallahualam.

Tuesday, July 17, 2012

Anugerah Yang Sangat Mencabar

A Kadir Jasin

[MASIH ada lagi pembahas yang guna pengenalan “Anonymous”. Kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

PETANG semalam, 16 Julai, saya menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara daripada Institut Akhbar Malaysia (AIM). Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin (Tan Sri).

Dengan izin, saya ingin berkongsi dengan pembaca dan pembahas teks penuh ucap balas saya di majlis itu dengan harapan ia sedikit sebanyak memberi manfaat.

1. Adalah kebiasaan dalam upacara seperti ini bagi hadiran mengharapkan penerima menyatakan sesuatu yang mendalam – profound – dan si penerima pula berasa perlu mempamerkan kehebatannya.

2. Kalau andaian saya itu tepat dan saudara saudari mengharapkan sesuatu yang “profound”, saya mohon maaf. Saya tidak akan menyatakan apa-apa pun yang mendalam.

3. Saya sekadar hendak bercerita, mengucapkan syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada begitu banyak orang dan pihak yang menolong meletakkan saya di mana saya berada hari ini, bersama nama-nama besar dunia kewartawanan Malaysia – A Samad Ismail, Lee Siew Yee, Ishak Haji Muhammad, Mohd Fuad Stephans, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin dan Liew Chen Chuan. Berada di kalangan mereka, yang sesetengahnya adalah guru, ketua dan mentor saya, adalah penghormatan yang sangat mencabar.

4. Mula-mula sekali saya ucapkan terima kasih kepada Siti Sarah, anak tok panglima yang cantik jelita. Kerana kerinduan kepadanyalah, berkesudahan dengan saya menjadi seorang pemberita. Kepada jiwa remaja saya, dialah gadis Melayu paling jelita. Kerana kejelitaan dan ketinggian pangkalan sosialnya, maka rindu saya kepadanya kelu, tidak terucapkan. Sah, sampai hari ini pun dia tidak tahu tentang rindu dan berahi saya kepadanya.

5. Pada suatu senja, pada bulan Mei tahun 1969, ketika mengayuh basikal lima kilometer pulang ke rumah setelah mencuri pandang Siti Sarah menyapu sampah di halaman rumahnya, sepupu merangkap teman akrab saya, Nawawi memberitahu mengenai iklan jawatan wartawan oleh Bernama dalam akhbar Utusan Malaysia. Mungkin itulah tuah Siti Sarah. Saya memohon dan memperoleh jawatan pemberita percubaan. Tepat sebulan lalu, pada 16 Jun, gelaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.

6. Cinta lara saya terhadap Siti Sarah kekal bisu sebagai legasi jiwa remaja yang sarat dengan asmara. Terima kasih Siti Sarah, di mana pun anda berada.

7. Dan kepada Allahyarham ayah saya, yang kalau tidak kerana kata dua dan aspirasinya, saya mungkin meneruskan cita-cita zaman kanak-kanak untuk menjadi penjerat burung yang terhebat di kampung saya, sehebat datuk saya. Kata ayah (dengan izin): “Hang mengaji pandai-pandai atau jadi macam aku ikut pungkur kerbau.”

8. Ayah lulus darjah empat sekolah rumi dan empat tahun sekolah pondok, menjadi pesawah, peniaga kecil, anggota Home Guard and politikus kampung. Tetapi dia seorang Melayu yang intelektual yang mendahului zaman serta tempat mastautinnya.

9. Dia memperkenalkan saya kepada Gamal Abdel Nasir, Soekarno, Dr Muhamed Hatta, Kwame Nkrumah, Jomo Kenyatta, Fidel Castro, Ho Chi Minh dan Marshall Tito dan kepada hikayat erotik Seribu Satu Malam yang saya curi baca. Dia juga, dengan izin, seorang “buffalo whisperer” - pembisik kerbau - yang hebat. Dia boleh memerintah kerbau yang membantunya di bendang untuk berjalan, berhenti, pusing kanan dan kiri. Terima kasih ayah, moga-moga rohmu sentiasa dirahmati.

10. Kepada emak yang tidak kenal abc dan alif ba ta. Wanita kampung yang buta huruf inilah yang melahirkan dan membesarkan lapan orang anak dalam suasana yang serba kekurangan. Wanita yang masih mengusap rambut saya dan mencium saya seolah-olah saya tidak pernah dewasa. Terima kasih emak. Moga-moga Allah panjangkan usiamu.

11. Dalam suasana dunia baru tanpa sempadan di mana ramai ibu bapa lebih berupa “pembuat dan pengeluar” daripada pendidik, mempunyai ibu bapa yang peka dan peduli adalah rahmat yang sangat besar.

12. Kerana itu jugalah dalam penulisan saya, saya kerap menyentuh tentang peri perlunya amalan keibubapaan yang sempurna dan unggul.

13. Saya juga, seperti banyak saudara saudari di sini, tidak akan berada di mana kita berada kalau tidak kerana guru-guru kita yang peduli, komited dan penuh pengorbanan seperti Allahyarham Cikgu Datuk Shaari Abu Bakar, guru besar saya di Sekolah Melayu Pendang pada tahun 50-an yang telah saya ceritakan berulang kali.

14. Dialah guru dan dialah bapa pengganti (surrogate father) pendidikan saya. Saya telah menceritakan bagaimana pada suatu hari dia menyatakan yang dia akan membawa saya menduduki satu peperiksaan di Alor Setar. Dengan kereta Morris Minornya, dia membawa 5 orang murid darjah 4 untuk menduduki peperiksaan Special Malay Class Entrance Examination.

15. Kerana tidak tahu hujung pangkal saya gagal. Pada tahun berikutnya, beliau membawa saya sekali lagi untuk menduduki peperiksaan yang sama. Kali ini saya berjaya. Maka bermulalah pendidikan aliran Inggeris saya.

16. Cikgu Shaari telah lama kembali ke rahmatullah. Tetapi bersama kita hari ini ada seorang lagi guru seperti itu yang mengajar saya bahasa dan sastera Melayu dan lebih daripada itu, mengenai kesederhanaan dan dedikasi. Terima kasih Cikgu Datuk Wan Shamsuddin Wan Mohd Yusof, Tokoh Guru Kedah, Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Maal Hijrah Kedah.

17. Banyak lagi orang seperti itu dalam hidup saya - daripada gadis-gadis jelita yang buat mereka saya tuliskan puisi dan seloka cinta kepada orang politik yang mengajar saya bahawa kebenaran (truth) tidak semestinya fakta tetapi apa yang umum percaya dan Dugalia Huso, mangsa pembersihan etnik orang Serbia di Bosnia Herzegovina Serbia yang diseksa semata-mata kerana dilahirkan tidak sempurna.

18. Kepada Allahyarham Tun Ghazali Shafie aka King Ghaz yang menengking saya di hadapan ratusan orang besar di Lapangan Antarabangsa Subang pada 1981. Akibat tengkingan itu saya mendalami hal-hal berkaitan perang saraf dan dasar luar Malaysia.

19. Saya bertuah kerana perjalanan kewartawanan saya telah mencakupi zaman semua Perdana Menteri Malaysia – bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, anak raja yang jiwanya bersama rakyat jelata. Tunku yang tidak berpura-pura tentang dirinya dan tidak membezakan antara seorang wartawan veteran dengan pemberita muda seperti saya.

20. Membuat liputan kegiatan Tunku pada tahun-tahun akhir pentadbirannya dan tahun-tahun awal kerjaya saya adalah pengalaman yang menjadi akar tunjang dan tiang seri karier saya. Pernah suatu ketika dalam lawatan ke Langkawi, wartawan-wartawan kanan meminta ulasan Tunku mengenai kenyataan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew. Tunku cuma menjawab dengan dua patah perkataan yang tidak sedap pada pendengaran.

21. Saya tidak melaporkannya. Sebaliknya saya menulis mengenai rancangan Tunku memajukan Langkawi menjadi destinasi pelancongan. Keesokan harinya saya terperanjat besar dan bos-bos saya di Kuala Lumpur marah besar kerana saya, dengan izin telah “missed” satu berita yang besar di mana Tunku dilaporkan telah mengecam hebat Encik Lee.

22. Saya bergegas ke pejabat Utusan Melayu di Alor Setar dan bertanya wartawan “eccentricnya”, Pak Mansor Tobeng bilakah Tunku menyatakan hal seperti yang dilaporkan oleh Utusan Melayu, Straits Times dan Straits Echo itu?

23. Pak Mansor menjawab, dengan Tunku kita boleh membuat interpretasi kenyataannya asalkan telahan kita itu tepat dan positif. Peristiwa itu memperkenalkan saya kepada “interpretative reporting” secara literal dan kepada keistimewaan – privilege - yang dinikmati oleh wartawan.

24. Seperkara lagi yang saya pelajari mengenai Tunku adalah masa terbaik mendapatkan maklumat dan ulasan daripada beliau adalah selepas beliau menang golf atau selepas tidur sebentar selepas makan tengah hari.

25. Sekali pernah Tunku memberikan saya interview eksklusif mengenai perjanjian pertahanan 5 negara yang membabitkan Malaysia, Singapura, Britain, Australia dan New Zealand. Interview ini berlangsung di bawah sayap kapal terbang di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.

26. Entahlah, mungkin saya nostalgia atau zaman sudah berubah dan yang berlalu itu tidak akan kembali lagi, tetapi pada awal-awal kemerdekaan tanah air kita sehingga beberapa dekad selepas itu, wartawan – tua dan muda – mudah berjumpa untuk bertanya dan mencari berita daripada pemimpin segenap lapisan sehinggalah Perdana Menteri.

27. Walaupun ancaman komunis bersenjata masih berlaku, Perdana Menteri awal seperti Tunku dan Tun Abdul Razak seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan peribadi mereka.

28. Ke mana pun mereka pergi, mereka dikelilingi rakyat. Polis dan tentera berada jauh, sekadar melihat dan mengawasi. Tidak wujud pada waktu itu istilah turun padang kerana pemimpin yang dipilih rakyat sentiasa berada di padang, sawah dan bendang, kebun dan ladang bersama rakyat jelata yang memilih mereka.

29. Kata pujangga, masa berlalu suasana berubah. Hari ini, sama ada kerana kesilapan menggunakan bahasa atau kecetekan pemikiran, kita setiap hari membaca tentang pemimpin dan pembesar turun ke padang seolah-olah wujud kekangan dan pemisahan di antara yang dipilih dan yang memilih.

30. Hari ini, wartawan tidak lagi perlu berkejar ke hulu-hilir berebut-rebut mencari telefon awam, meminjam telefon balai polis dan kedai kopi cina untuk menghantar berita.

31. Mereka tidak perlu lagi mengetuk kuat mesin taip Royal, Underwood atau Olivetti. Mereka tidak perlu lagi belajar menggunakan teleprinter dan membaca pita berlubang (perforated tape). Mereka tidak perlu lagi mencari pejabat Western Union di Wall Street, memberi wang saku kepada pengendali mesin teleprinter di Kantor Pos, Jalan Jeneral Sudirman di Jakarta atau membawa kad kredit International Telecommunication Union (ITU). Segala-galanya ada di hujung jari.

32. Mungkin kerana itu jugalah kreativiti seperti yang saya ketahui pada zaman saya dan diajarkan di kelas-kelas kewartawanan, mula menjadi sesuatu yang asing bagi banyak pengamal media.

33. Pembacaan, penyelidikan dan artikulasi telah digantikan oleh jalan pintas Google dan Yahoo di mana potong dan tampal sudah menjadi amalan. Tidak hairanlah kalau plagiarisme dan ciplak telah menggantikan kreativiti dan ketulenan.

34. Menjadi pemberita mudah. Tulis berita jadilah kita pemberita. Tetapi untuk menjadi wartawan yang unggul dan berguna kepada masyarakat, lebih sukar daripada itu. Sedikit sebanyak ia memerlukan ketekunan, keberanian dan pengorbanan. Ia memerlukan kecintaan kepada ilmu dan keinginan untuk berkongsi idea dengan khalayak.

35. Wartawan, hatta betapa baik dan mesra wataknya tidak mempunyai kawan. Kerana kawan boleh menjadi lawan dengan sebaris tulisan atau seminit ucapan. Wartawan hanya mempunyai kenalan.

36. Tetapi sekiranya kenalan boleh menjadi sahabat yang abadi, maka terbuktilah bahawa masyarakat sudah boleh menerima kritikan dan mengiktiraf peranan media sebagai pelapor, pengajar dan penghibur. Itulah suasana unggul yang saya rasa yang perlu diwujudkan iaitu wartawan bebas membuat laporan dan ulasan tanpa khalayak berasa bahawa ada agenda di sebaliknya.

37. Untuk menyemarakkan suasana yang unggul itu, wartawan haruslah lebih gigih, lebih bersedia belajar, lebih berani menyatakan pandangan dan tidak terlalu akrab dengan kelompok-kelompok kuasa sehingga mereka menjadi terikat dan terhutang budi, dan kerana itu tidak dapat lagi berkarya dengan bebas dan terbuka.

Wallahualam.

Terima kasih.

Monday, July 09, 2012

Mitos Phoenix Dalam Debat Chua-Lim

A Kadir Jasin

MASIH ada lagi pembahas yang guna pengenalan “Anonymous”. Kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.

JIKALAU rakyat Malaysia peduli atau faham mentaliti serta psikologi politik rakan bangsa Cina mereka, mereka pasti tidak memandang remeh siri debat umum antara Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada pandangan saya, perkara-perkara berikut perlu disedari, difahami dan dianalisis sedalam-dalamnya dalam konteks politik pelbagai bangsa Malaysia:-

1. Debat tersebut membuktikan yang pembesar politik MCA dan DAP berani bersemuka secara terbuka. Mereka tidak berdolak-dalik macam Umno dan Pas dalam hal muzakarah;

2. Walaupun orang Cina berbeza pandangan dan afiliasi politik, namun mereka sepakat mengenai keperluan mencari jalan terbaik bagi memantapkan lagi kelangsungan bangsa mereka di segi politik dan ekonomi;

3. Bagi orang Cina, afiliasi mereka dengan parti-parti politik adalah praktikal dan realistik iaitu mengenal pasti parti dan pemimpin mana yang lebih komited dan berupaya memantapkan lagi kelangsungan bangsa mereka;

4. Debat DAP-MCA tidak memecahbelahkan orang Cina kerana mereka tetap sekata dan sepakat dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan bangsa mereka;

5. Kecuali segelintir pemuka dan aktivis tegar parti, taat setia majoriti orang Cina bukan kepada parti-parti politik tetapi kepada kedudukan dan kepentingan kolektif bangsa mereka. Yang berubah hanyalah pilihan mereka ketika pilihan raya;

6. Cara orang Cina mengundi adalah jauh lebih strategik daripada orang Melayu. Orang Cina mengutamakan janji dan ikrar jangka panjang berkaitan perkara pokok seperti penguasaan ekonomi dan kedaulatan bahasa, budaya dan pendidikan Cina. Majoriti pengundi Melayu/Bumiputera masih terpengaruh dengan bantuan, sumbangan dan janji-janji jangka pendek seperti Bantuan 1 Malaysia, saham, dividen, pencen polis dan tentera dan skim baru perkhidmatan awam;

7. Bagi orang Cina, debat terbuka Chua-Lim bukan sangat mengenai MCA atau DAP dan bukan juga mengenai Chua atau Lim, tetapi mengenai gabungan mana – Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat - yang lebih berpotensi menganjakkan kepentingan orang Cina ke tahap yang lebih tinggi; dan

8. Kepemimpinan politik Cina mungkin lebih bersedia daripada kepemimpinan Melayu/Bumiputera untuk mengorbankan diri dan politik mereka seperti mitos burung phoenix yang membakar dirinya menjadi abu dan daripada abu itu bangun semula dengan lebih gagah untuk hidup seribu tahun lagi.

Wednesday, July 04, 2012

Bukan Semua Orang Baik

A Kadir Jasin

MASIH ada lagi pembahas yang guna pengenalan “Anonymous”. Kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.

KERANA bukan semua orang baiklah, maka sejak dahulu kala lagi, orang baik buat undang-undang untuk lindungi orang baik dan hukum orang tidak baik.

Sebab itu jugalah, apabila undang-undang untuk lindungi orang baik dan hukum orang tidak baik dimansuhkan, orang tidak baik ambil kesempatan dan keselamatan orang baik terancam.


Undang-undang pencegahan bertujuan melindungi 99 peratus orang baik daripada 1% orang tidak baik.

Tetapi hari ini, atas alasan hak asasi manusia, nampakany hak satu peratus yang jahat itulah yang mendapat keutamaan sedangkan pandangan 99 peratus yang baik dan yang hormati undang-undang hampir-hampir tidak dipedulikan.

Yang ramai tidak tahu ialah, undang-undang perlindungan kadang kala memberi lebih banyak perlindungan kepada orang jahat daripada kepada orang baik.

Apabila orang yang ditahan di Simpang Renggam atau dibuang daerah dibebaskan kerana Akta Darurat dan Buang Daerah dimansuhkan, sudah ada beberapa orang daripada mereka yang diserang dan dibunuh oleh musuh mereka.

Masa dalam tahanan mereka selamat kerena dikawal dan dijaga. Yang tanggung mereka adalah orang baik yang cari rezeki halal dan bayar cukai.

Tetapi apabila dibebaskan mereka tak selamat. Mereka diserang dan dibunuh oleh musuh mereka. Bagi orang baik, hakikat bahawa orang tidak baik itu saling berbunuhan adalah berita baik.

Malangnya, yang tidak kena bunuh dan tidak bertaubat, mereka kembali mencuri, menyamun, merompak dan memeras ugut.

Wallahualam, tak tahulah apa lagi nak yang kita boleh kata selain berjaga-jaga kerana jadi orang baik belum tentu kita akan dibalas dengan kebaikan.

Susah hendak faham, hak asasi siapa yang lebih utama, 99 peratus yang patuhi undang-undang atau 1% yang langgar undang-undang?

Terima kasih