Tuesday, February 26, 2013

Taktik Lembut PR Pujuk Pengundi


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

KETIKA melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum 2013 Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata matlamat menakluki Putrajaya bukanlah untuk membalas dendam tetapi bagi memenuhi harapan rakyat jelata.

Katanya, apa yang rakyat jelata harapkan adalah sebuah kerajaan yang adil dan berkesan.

Anwar dilaporkan oleh media atas talian sebagai berkata, sekiranya PR berjaya menakluki Putrajaya, matlamatnya bukanlah memenjarakan atau menghukum musuh politik secara tidak adil.

Seperti dijangkakan, media arus perdana yang membuat liputan peristiwa itu menyifatkan Manifesto PR tersebut sebagai janji kosong yang sudah lapuk dan tidak praktikal.

Sekali pun beliau mungkin menyimpan rasa dendam, beliau tentulah tidak mahu menzahirkannya kerana ia boleh menjejaskan matlamat beliau yang lebih besar iaitu menjadi Perdana Menteri selepas PRU ini.

Lagipun, beliau tidak perlu melakukannya sendiri. Sekiranya beliau cerdik, beliau boleh menggunakan gerakan masyarakat sivil pro-PR bagi mencapai matlamat itu.

Mereka ini boleh mendesak agar tuduhan terhadap musuh politik mereka dibahaskan di Parlimen. Mereka boleh melaporkannya kepada polis atau membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.
Kalau Anwar sendiri yang melakukannya, pastilah ada pihak yang akan menuduh beliau membalas dendam.

Saya yakin, maksud kenyataan Anwar itu, sama ada secara tersurat atau tersirat, akan mendapat perhatian rapi pemimpin dan pembesar Barisan Nasional.

Taktik Lembut Memikat Pengundi

Kenyataan beliau itu juga mempunyai mesej yang lebih luas dan psikologi yang mendalam iaitu beliau mahu melembutkan hati pengundi atas pagar dan melegakan perasaan aktivis bawahan BN serta kakitangan awam yang mereka bukanlah sasaran utama PR.

Anwar faham hal ini kerana beliau lama belajar daripada Umno dan BN. Politik parti Anwar bermula dengan Umno, apabila beliau menyertai parti itu pada tahun 1982. dan kekal sebagai Putera Mahkota hingga dipecat pada tahun 1998.

Taktik berlembut ini mungkin lebih berkesan di kalangan pengundi tidak berparti dan di kalangan penyokong bawahan Umno/BN serta di kalangan kakitangan awam, polis dan tentera peringkat rendah dan menengah.

Dalam konteks ini, saya rasa BN tidak boleh terlalu yakin atau mengandaikan yang semua kakitangan awam akan menyokongnya di peti undi.

Andaian umum ialah Anwar akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PR menang. Tetapi umum juga tahu yang pemilihan Anwar belum mutakhir kerana ada elemen dalam PR, khasnya PAS, yang kurang selesa dengan beliau sebagai calon Perdana Menteri akibat isu-isu peribadi.

Dilema PR ialah ia tidak mempunyai parti komponen yang dominan manakala ideologi parti-parti anggota pula terlalu berbeza malah saling bercanggah antara satu sama lain.

Manakala PR telah mendahului BN dalam pelancaran manifesto, Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, seperti digambarkan oleh media arus perdana, semakin yakin dengan kepopularitian beliau dan dengan penerimaan rakyat terdapat rancangan-rancangan transformasi yang beliau lancarkan.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, beliau akan mengumumkan tarikh PRU setelah beliau yakin yang rakyat sudah menerima kebaikan transformasi dan menikmati hasilnya. Wallahualam.

Monday, February 25, 2013

Adakah Lagi Tempat Melayu Bergantung?


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

SEORANG usahawan Melayu yang pada suatu ketika dulu amat berjaya dan tersohor dengan mainan pasaran sahamnya yang sangat licik, tetapi sudah lebih sedekad terpelanting daripada perniagaan arus perdana di Malaysia kerana politik, bertanya saya kepada siapakah orang Melayu boleh bergantung.

Bukan alang kepalang punya soalan itu. Orang putih kata, a million-dollar question (soalan sejuta dolar). Saya kata, soalan yang tidak ada jawapan. Lagi hebat, dia bertanya soalan itu (melalui sistem pesanan ringkas/SMS) dari Milan, Itali yang berupa ibu kota fesyen dunia.

Untuk sama-sama memahami dan memikirkan jawapan kepada soalan berkenaan, izinkan saya mengemukakan beberapa fakta, andaian dan keluhan sebagai asas perbahasan:

1. Pada saat-saat kedudukan orang Melayu semakin terdesak dan terancam, kepemimpinan Melayu di kedua-dua belah sempadan politik dilemparkan pelbagai dakwaan, tuduhan dan insinuasi yang sangat dahsyat. Ada tuduhan sudah terbukti. Ada tuduhan sekadar sensasi. Ada tuduhan disangkal sepenuh hati. Ada yang pucat kesing, murung berdiam diri. Apabila tuduhan tidak dibalas, tentu ada yang percaya ia berasas.

2. Persepsi yang semakin negatif di kalangan orang Melayu sendiri terhadap jati diri, integriti dan moral pemimpin politik Melayu.

3. Yang malu, rugi dan dicaci adalah orang Melayu. Dan Melayu bukanlah ramai sangat di Malaysia ini. Menurut Bancian 2010, penduduk Malaysia seramai 27,484,596 orang. Daripada jumlah itu, Melayu 50.1%, Cina 22.5%, Bumiputera bukan Melayu 11.8%, India 6.7%, kaum-kaum lain 0.7% dan orang asing 2.25 juta atau 8.2%.

4. Jadi hanya separuh penduduk Malaysia orang Melayu dan orang Melayu pula, secara purata lebih daif daripada orang Cina dan India dari segi ekonomi. Orang Melayu dan Bumiputera adalah warga ekonomi kelas tiga

5. Orang Melayu semakin lemah dari segi politik kerana berpecah tiga - antara Umno, Pas dan PKR. Hanya Umno boleh dianggap parti yang berorientasikan Melayu. Itu pun azam Melayunya semakin luntur. Pas mengaku parti Islam dan PKR parti pelbagai kaum.

6. Kepemimpinan Melayu, sama ada dalam Umno, Pas atau PKR tidak lagi komited 100% mempertahan dan memperluaskan kuasa politik dan ekonomi Melayu/Bumiputera kerana berlumba-lumba memikat hati pengundi Cina dan India.

7. Sikap orang Melayu yang semakin lemah dan negatif terhadap jati diri bangsa, penerokaan ilmu, komitmen kepada kerjaya, mencari kejayaan dan mengumpul harta. Orang Melayu tidak malu lagi menjadi peminta bantuan dan penerima subsidi. Mereka semakin tidak berdaya berdikari, sesat dan hilang arah tujuan.

8. Mungkin benarlah kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia. Tetapi kita tidak pernah pula mendengar Hang Tuah berkata, takkan Melayu hilang di Tanah Melayu. Hari ini, ke mana pun kita pergi di dunia, kita akan berjumpa orang Melayu yang boleh hidup senang di perantauan.

9. Saya sangat komited kepada pendirian bahawa zaman orang Melayu bergantung semata-mata kepada kepemimpinan politik Melayu sudah berlalu. Kalau orang Melayu masih berasa perlu mempertahankan bangsa mereka, mereka perlu mewujudkan suara atau kuasa ketiga di luar kerangka politik dengan berpayungkan Raja-raja mereka.

10. Dan dalam jangka masa singkat, saya tidak nampak wujud jalan pintas yang akan membolehkan orang Melayu mengembalikan kedudukan dominan mereka sebagai bangsa induk Malaysia. Kuasa ekonomi orang Melayu tidak pernah ada. Kini kuasa politik semakin terancam. Wallahualam.

Wednesday, February 20, 2013

BN Is Hoping For A Big Win


A Kadir Jasin

[ATTENTION, anonymous comments will not be published. Please use Google Account, OpenID or Name/URL to comment. Thank you]

A COUPLE of weeks ago, I asked one of the Prime Minister’s media handlers the wisdom of the Barisan Nasional bragging about “menang besar” (big victory) in the coming general election at the time, when, in my opinion, it is wiser for the ruling coalition to play the underdog.

I told him that the bragging by several low-ranking Umno and BN trumpeters would alert and deepen the resolve of the opposition Pakatan Rakyat.

He said: “It is part of the strategy to boost the “winning mentality” among party members and supporters.”

Earlier, I asked an Umno insider what “menang besar” amounted to.

He said: “Getting back the two third parliamentary majority and recapturing states held by the opposition.”

So it does not come as a surprise when, on Feb 16 the Malaysian Insider reported that the BN is confident of winning at least 145 parliamentary seats, including recapturing several Umno seats lost in 2008.

The projection, according to the news portal, was about 10 seats higher than the outcome of surveys done by Malaysian intelligence agencies, which say the ruling coalition is only sure of 135 seats - five below 140 it won in Election 2008. BN now has 136 seats in the 222-seat Parliament.

At 145, the BN is three seats short of the two-third majority.

Unless there has been a decisive swing in favour of the BN in the last one year, the projection could be a tat too optimistic bearing in mind that the BN had lost additional seats since the 2008 General Election and took a pretty severe beating in the 2011 Sarawak state election.

                                       Mohd Najib looking forward to a big win
                               Anwar: Pointing the way towards Putrajaya

Voices of the People

Away from the seat of power and, depending on who we listen to, the feelings vary vastly. Here are some examples that I had picked up.

A retired Punjabi Lt. Col. of the Malaysian Armed Forces: “There will not be a general election. Close to the expiry date of the Parliament, an emergency will be declared and election is postponed.”

It sounded a bit over the edge. I told him: “We are dead if parliamentary democracy is suspended for whatever reason.”

An Indian dermatologist: “Najib (Mohd Najib Abdul Razak, the Prime Minister) is popular. He works hard and is doing a good job. But are the BN and Umno popular? What about the people around him?”

A Chinese consultant working for a government-linked company and an ardent supporter of the Prime Minister: “There is an improvement in Chinese support for the BN – maybe two or three per cent more.”

A Malay executive of a BN-linked company: “Isn’t this an election for Anwar (Anwar Ibrahim, the parliamentary opposition leader) to lose?”

(He also told me that his mosque in Kajang received extraordinarily high donations soon after the disbursement of the BR1M allocation and some members of the congregation told him that they had donated their BR1M for mosque activities.)

A Malay driver: “I asked my form three son to go to a Pakatan Rakyat ceramah near my flat and tell me what they said. He came back and told me ‘they talked about the submarine and Rosmah’s ring.’” Rosmah Mansor is the Prime Minister’s influential wife.

A bank clerk whose bank distributed BR1M: “They came to collect their money wearing their party shirts.”

(She was referring to people wearing Pas and PKR shirts and t-shirts when collecting their BR1M allocation.)

An expatriate Malaysian upon being told that she received a letter from the BN signed by Mohd Najib: “Ha ha, after all these years? How much are they offering me?”

A Kedah Umno operator: “We are going to work closely with the pondoks. They have rejected Anwar.”

A Malay student of a private university and a first time elector: “The Federal Territory Minister sent me a postcard welcoming me as a voter, but nobody has come to solicit my vote and the votes of the people in my area.”

An influential Umno veteran: “If Najib win big, he will become even more arrogant. So are the people around him. We must be prepared to criticise him. I will. If he does not do well, Umno will show him the door like Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi, the Prime Minister Mohd Najib succeeded.)

I asked him what he meant by Mohd Najib being arrogant.

He said: “When he first became PM I could tell him things. Now he tells me things. He is very confident of himself.”

Wallahualam.

Thursday, February 14, 2013

Antara Fenomena PSY dan Loman Penjual Ubat


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

TERINGIN juga menulis mengenai konsert Hari Raya Cina PSY di Pulau Pinang dan percubaan pembesar Barisan Nasional menangguk di air jernih.

Orang yang tahu selok-belok menangguk tidak akan menangguk di tempat yang jernih airnya sebab ikan nampak tangguk dan lari. Sebab itu orang yang pandai menangkap ikan akan menangguk, memukat dan menjala di air keruh. Lagipun, air jernih selalunya tidak ada ikan. Air boleh jadi keruh apabila banyak ikan berkumpul.

Orang yang baca media massa arus semasa seperti portal berita dan blog tentu sudah mengetahui apa yang berlaku di konsert itu.

                                                  "Are you ready for PSY? --"YES!"

Dalam bahasa Inggeris basahan, ia bolehlah disifatkan sebagai “daft”. Oleh kerana tindakan itu “daft” maka tidak perlulah kita menghabiskan masa membincangkannya.

Loman Penjual Ubat

Jadi kali ini saya akan menulis mengenai seorang penjual ubat yang sudah meninggal dunia yang sangat terkenal masa saya kanak-kanak dan remaja bernama Loman – singkatan kepada Abdul Rahman dalam loghat Thai.

Abdul Rahman mendakwa dia mualaf dan nama Abdul Rahman itu mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaya/Malaysia waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra. Malah Loman mendakwa dia anak angkat Tunku. Masuk akal juga sebab Tunku memang cergas dalam kegiatan dakwah Islamiah melalui Perkim.

Loman yang bercakap Melayu pelat Siam menjual ubat di merata pekan sehari di Kedah dan Perlis. Dia menjual pelbagai ubat, tetapi yang paling terkenal adalah ubat sakit gigi dan ubat cacing ramu. Cacing lamu, kata Loman. Dalam bahasa baku, cacing ramu dikenali sebagai cacing kerawit (Enterobius vermicularis). Ia adalah antara jenis cacing yang menjangkiti ramai orang kampung waktu itu.

Kempen jualan ubat cacing kerawit Loman berbunyi lebih kurang begini (dengan izin dan berbanyak-banyak maaf): “Cacin lamu dia tak kela pungkok sapa. Pungkok Loman pun dia kolek. Pungkok Tunku Abdul Rahman pun dia kolek. Pungkok laja pun dia kolek.”

Memang betul. Anggota badan kita yang paling kerap diserang cacing kerawit adalah dubur. Sesiapa yang pernah kena serangan cacing itu fahamlah penderitaannya. Duduk tak sedap. Hendak tidur pun susah.

                                                                     Cacing kerawit
Tetapi ia tidak susah diubati. Ada banyak ubat tradisional yang boleh membunuh cacing itu. Ubat paling mujarab sekarang berjenama Zentel. Ia boleh dibeli tanpa kebenaran doktor di farmasi.

Semua Untuk Jualan Kecuali Sang Isteri

Selepas mempromosikan keberkesanan ubat "cacin lamu"nya, Loman akan berjenaka: “Adik-adik, abang-abang mai la beli ubat Loman. Kalu tak hilang nyakit hilang det (duit). Minta det balik, Loman dah makan.”

Dia kerap membawa isterinya, seorang perempuan yang jauh lebih muda daripadanya. Dia boleh dikatakan cantik dan bergaya. Loman tahu ramai juga yang datang bukan untuk membeli ubat, tetapi untuk melihat isterinya.

Sambil menudingkan jari, Loman berkata: “Hat ni yuai (jual). Hat tu yuai. Semua yuai.”

Apabila sampai kepada isterinya, dia dengan senyum simpul berkata: “Hat tu tak yuai!”

Kalau Loman masih hidup, orang politik boleh belajar daripadanya. Loman tahu macam mana menarik minat pelanggan sebab dia ambil berat “mood” dan kehendak mereka.

Misalnya, dia tahu jangkitan cacing kerawit paling meluas pada musim hujan apabila tanah lembap dan kekotoran di mana saja. Dia tahu jangan sekali-kali berjenaka dengan orang sakit gigi.

Wallahualam.

Saturday, February 09, 2013

Ular Dalam Mitos Cina


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

DALAM mitos Cina, ular lazimnya dikaitkan dengan raksasa atau raksasa yang hidup semula. Raksasa pula dikaitkan dengan keburukan.

Maka tidak hairanlah kalau ahli nujum Taiwan, Tsai Shang-chi mengaitkan tahun ular dengan pergolakan politik. Taiwan adalah antara negara yang paling bergelora politiknya walaupun boleh dikatakan semua penduduknya Cina.

Penulis agensi berita Associated Press (AP), Annie Huang mengingatkan pembaca bahawa dalam dua putaran terakhir almanak Cina, tahun ular membawa bencana besar.

Pada tahun 1989 berlaku tindakan kejam pemerintah komunis ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi di Dataran Tiananmen, Beijing. Pada tahun 2001, berlaku  serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia serta Pentagon di Amerika.

Di negara kita pun politik bergelora, tetapi patut jugalah. Kalau Taiwan yang homogen penduduknya itu pun bergelora, apalah kita yang mempunyai penduduk berbagai-bagai bangsa, kaum, suku kaum, agama, budaya, bahasa dan status ekonomi.

China yang diperintah secara kuku besi oleh Parti Komunis China pun makin hari makin gelora. Orang bakar diri, orang bunuh diri, orang kaya tambah kaya, orang miskin papa kedana.

Di Singapura yang sudah berdekad-dekad tidak ada pemogokan tiba-tiba dilanda mogok oleh pemandu-pemandu bas dari Negara China.

Dalam pilihan raya kecil Ponggol East pada 26 Januari lepas, Parti Buruh mengalahkan parti pemerintah (Parti Tindakan Rakyat/PAP). Calon Parti Buruh memperoleh 54.5% undi. Dalam pilihan raya 2011, PAP menang dengan 54% undi.

Fahami Mitos Nyonya Ular Putih

Kita di Malaysia akan menghadapi pilihan raya umum tidak berapa lama lagi.

Jadi eloklah mana-mana juga parti yang sangat-sangat mengharapkan undi orang Cina tahu sedikit sebanyak mengenai mitos Nyonya Ular Putih.

                                          Lukisan Cina mengenai Nyonya Ular Putih

Manalah tahu Madam White Snake akan muncul menguasai minda dan mentaliti pengundi Cina untuk memilih siapa yang hendak dipangkah dan siapa pula yang hendak dibelasah.

Mengikut mitos Cina, Nyonya Ular Putih mempunyai kuasa mengubah dirinya daripada ular kepada manusia dan kembali semula kepada ular atau sebaliknya.

Sesiapa yang percaya kepada feng-shui atau daun teh bolehlah minta bantuan pakar feng-shui dan pembaca daun teh. Tetapi yang beragama Islam kenalah berwaspada kerana perbuatan seperti itu khurafat dan besar dosanya.

Ular Dalam Kehidupan Saya

Secara peribadi, ular jauh sekali daripada mitos bagi saya. Ia adalah realiti. Ular adalah sebahagian daripada kehidupan saya sejak kecil. Nenek saya hampir mati dipatuk ular tedung yang bersembunyi di dalam guri tempat dia menyimpan beras.

Di kampung saya ada ular tedung (senduk dan selar), ular kapak, ular punti, ular katam tebu, ular sawa, ular guni buruk, ular daun, ular lidi, ular air dan macam-macam jenis lagi. Sekarang di bandar pun banyak ular.

Tidak sampai tiga bulan lalu, ular tedung senduk masuk kandang burung saya dan makan dua ekor burung – seekor pipit jawa dan seekor budgerigar (berasal dari Australia).

Ia masuk melalui lubang kecil di lantai. Setelah menelan dua ekor burung itu, badannya terlalu besar untuk bolos melalui lubang itu. Saya mengetuk kepalanya perlahan-lahan dengan buluh panjang. Ia memuntahkan kedua-dua ekor burung yang ditelannya itu. Saya menjerut lehernya dan melepaskannya di padang golf.

Kalau boleh, saya tidak sekali-kali akan membunuh ular. Masa kecil, saya pernah simpan ular air sebagai binatang kesayangan (pet). Kita boleh mengelak bahaya dipatuk ular kalau kita berhati-hati, tahu tabiat ular dan melayannya dengan berhemah. Insya-Allah, kalau kita dalami alam ciptaan Allah, dengan ular pun kita boleh hidup bersama – coexist.

Monday, February 04, 2013

Punca Penarafan Media Malaysia Merosot


Punca Penarafan Media Malaysia Rendah

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

HAKIKAT tidak berlaku pembaikan penarafan media massa Malaysia dalam kajian persepsi Reporters Without Border (RWB/Pemberita Tanpa Sempadan) bagi tahun 2011/2012 tidaklah memeranjatkan.

Dalam penarafan terbaru itu, RWB meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara yang dikaji selidik. Ini meletakkan Malaysia setaraf dengan Algeria dan Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.

Sebenarnya kita tidak perlu dipandu oleh kajian pertubuhan-pertubuhan luar seperti RWB untuk merasai yang media massa Malaysia menjadi semakin tidak bebas dan tidak seimbang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Jadi, tidak hairanlah kalau penarafan media massa Malaysia kekal di anak tangga ke-122 tahun lalu - sama seperti tahun 2011.

Akibat cakap-cakap PRU yang berpanjangan, media massa Malaysia, khasnya media arus perdana (MAP) yang dimiliki kerajaan atau oleh parti kerajaan menjadi lebih tidak seimbang dalam laporan mereka.

Kajian penarafan RWB itu berupa kaji selidik (questionnaire) persepsi di kalangan organisasi sekutu yang meliputi 18 kumpulan kebebasan bersuara di lima benua. Turut memberi maklumat adalah 150 wakilnya di seluruh dunia serta wartawan, penyelidik, pakar perundangan dan aktivis hak asasi manusia. Soalan yang dikemukakan merangkumi kepelbagaian dan kebebasan media, persekitaran media, penapisan sendiri (self-censorship), perundangan, ketelusan dan infrastruktur media. Turut dipantau adalah pelanggaran hak wartawan, warga Internet (netizen), jurugambar dan jurukamera.

Kesan Pilihan Raya Ke Atas Media Massa

Seperti telah saya hujahkan beberapa kali sebelum ini, MAP menjadi lebih tidak bebas dan antipembangkang menjelang PRU atas arahan pihak-pihak yang menguasai mereka atau atas pilihan sendiri. Manakala media propembangkang anak menjadi lebih antikerajaan.

Apa yang lebih menarik adalah pencapaian media massa Malaysia dalam jangka masa lebih panjang. Daripada perangkaan RWB sejak 2002, media massa Malaysia diputuskan sebagai lebih bebas pada penghujung pentadbiran (Tun) Dr Mahathir “the Wizard” Mohamad dan pada awal pemerintahan (Tun) Abdullah “Mr Clean” Ahmad Badawi.

Pada tahun 2002 misalnya, Malaysia menduduki anak tangga ke-110 dan pada 2003, iaitu tahun akhir pemerintahan Dr Mahathir, penarafan menjadi bertambah baik di anak tangga 104.

Pada tahun 2004, kedudukan Malaysia merosot 18 anak tangga kepada 122 apabila Abdullah mula menampakkan taringnya dengan melakukan rombakan besar terhadap media arus perdana, khususnya media milik Umno.

Sebaik saja perubahan itu dilakukan, MAP mula menyerang Dr Mahathir dan tidak memberikan beliau ruang untuk membela diri.

Bagaimanapun, pada dua tahun berikutnya – 2005 dan 2006 – penarafan menjadi bertambah baik apabila Abdullah mula mempamerkan sikap yang lebih lembut. Serentak itu, kerajaan beliau mula dicabar pelbagai pihak, terutama oleh media alternatif. Penarafan Malaysia naik kepada 113 pada tahun 2005 dan pada 2006 mencatat aras terbaik di kedudukan ke-92.

Pada tahun 2007, ia merosot semula kepada 124 akibat laporan berat sebelah MAP terhadap tunjuk perasaan Bersih dan Hindraf serta menjadi lebih buruk apabila PRU diadakan pada 2008. Kedudukan Malaysia jatuh ke nombor 132.

Penarafan media massa Malaysia naik sedikit pada 2009 kepada 131 apabila Mohd Najib “Wira” Abdul Razak mengambil alih pentadbiran daripada Abdullah.

Tetapi pada tahun berikutnya (2010), prestasi media massa Malaysia jatuh ke paras terburuk, iaitu 141 akibat laporan media massa arus perdana mengenai kes liwat kedua Anwar Ibrahim dan tunjuk perasaan Bersih.

Sedikit Kesan Pemansuhan ISA

Selepas itu, hasil tindakan kerajaan membatalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang lain serta berjanji melonggarkan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan menyebabkan penarafan media massa Malaysia naik sedikit kepada 122 pada 2011 dan kekal pada anak tangga itu tahun lalu.

Penarafan Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU timbul, media massa arus perdana kembali membuat laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk-burukkan pembangkang.

Namun begitu, secara peribadi, saya kurang setuju dengan penarafan RWB itu. Saya rasa mereka terlalu terpengaruh dengan perlakuan MAP tanpa memberi pertimbangan yang lebih berat dan positif kepada peranan media alternatif, khasnya yang berasaskan internet.

Media baru, alternatif dan internet semakin berpengaruh, lebih-lebih lagi di kalangan audiens yang tidak menggunakan MAP sebagai sumber maklumat. Kalau pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada media baru, saya rasa persekitaran media Malaysia cukup bebas. Wallahualam.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).