Monday, August 14, 2017

1MDB: Daripada Sivil Kepada Jenayah



A Kadir Jasin


DALAM tampalan 4 Ogos bertajuk “Kecuaian Jenayah 1MDB” saya, antara lain, menulis: “Tapi kalau bon RM2.5 bilion itu adalah untuk bayar hutang 1MDB, ia bukan perkara biasa malah boleh dianggap kecuaian jenayah (criminal negligence) dalam pengurusan kewangan negara.”

"Who prosecutes on behalf of Lady Justice"
Saya merujuk kepada kes bekas Perdana Menteri Thai, Yingluck Shinawatra, yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan “criminal negligence” kerana menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (lebih kurang RM4.3 bilion) dalam pelaksanaan subsidi padi.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
 
Jumlah ini amatlah kecil berbanding duit 1MDB yang lesap dan kesalahan Yingluck ringan berbanding jenayah kewangan 1MDB. Yingluck dituduh buat salah dalam pemberian subsidi kepada penanam padi. Duit 1MDB masuk akaun Najib dan untuk anak bini serta Jho Low berfoya-foya.

Kita tahu bahawa tindakan macam yang berlaku di Thailand itu tidak akan berlaku di Malaysia – setidak-tidaknya selagi kerajaan Umno/BN pimpinan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, berkuasa. Insya Allah selepas itu lain cerita.

Tidak ada sesiapa pun di muka bumi ini menongkat langit. Kuasa akan hilang dan nafas akan terhenti. Hatta Firaun yang mengaku Tuhan dan mahu hidup selama-lamanya itu pun akhirnya mati dan kering dibakar padang pasir.

Secara kebetulan, pada 11 Ogos agensi berita ekonomi Bloomberg melaporkan yang pihak berkuasa Amerika sedang menaikkan taraf siasatan skandal 1MDB daripada sivil kepada jenayah.

Bagi kita mungkin kebetulan tetapi ialah adalah kehendak dan perancangan Allah. Doa rakyat jelata yang teraniaya lambat laun akan dimakbulkan.

Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) dilaporkan meminta mahkamah di Los Angeles menangguhkan kes sivil terhadap 1MDB, khususnya ke atas Jho Low dan konco-konconya - termasuklah anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz - agar tidak mengganggu siasatan jenayah.

The Family: Jho Low (kiri sekali), Riza (dua dari kanan)
Maksudnya, pihak berkuasa Amerika telah menaikkan taraf tindakan ke atas pencurian duit 1MDB dan penggunaan duit haram itu di bumi Amerika daripada kes sivil kepada jenayah.

Ini adalah proses biasa di Amerika. Mereka mulakan dengan penyiasatan dan tuduhan sivil (civil indictment) kemudian apabila tindakan sivil itu berjaya atau menghasilkan bukti yang kukuh, mereka naikkan tarafnya kepada tuduhan jenayah (criminal indictment).

Itulah antara kaedah yang digunakan oleh Rudolph Giuliani ketika beliau menjadi Peguam Negara Amerika bagi Daerah New York Selatan pada tahun 1980-an bagi memusnahkan rangkaian jenayah Mafia di bandar raya itu. Giuliani kemudiannya menjadi Datuk Bandar New York.

Ironinya, tidak banyak beza di antara jenayah ganas Mafia seperti yang didramatisasikan dalam siri filem “The Godfather” dengan jenayah korporat yang diabadikan oleh Riza dalam filem terbitan bersamanya “The Wolf of New York”.

Penyiasatan jenayah 1MDB di Amerika itu melibatkan wang yang dicuri daripada 1MDB yang didakwa digunakan untuk membeli hartanah, lukisan, emas pertama, jet eksekutif, kapal layar dan menerbitkan filem.

Nilai harta curi itu dianggarkan kira-kira AS$1.7 bilion atau lebih kurang RM7.3 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang dilakukan di bumi Amerika sahaja.

Siasatan jenayah di Amerika itu menyusuli tindakan jenayah yang sudah pun diambil oleh Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) yang menyebabkan beberapa orang eksekutif yang terlibat mengubah wang haram 1MDB didenda dan dipenjarakan, dan dua buah bank ditutup.

Inilah ironinya. Negara-negara yang orang kita hina sebagai negara kafir telah atau sedang bertindak terhadap “jenayah abad” (crime of the century) ini tetapi negara kita yang kononnya Islam menyapunya ke bawah permaidani.

Tetapi kita semua tahu bahawa bangkai gajah mustahil boleh disembunyikan selama-lamanya apatah lagi apabila baunya semakin hari semakin meloyakan.

Dalam usaha menimbus bangkai itu, imej Malaysia menjadi amat buruk, ringgit terus lemah, hutang negara melambung dan kebolehpercayaan kerajaan jatuh merudum.

Semakin hari kita semakin terjajah kerana mengemis hutang, khususnya daripada regim komunis di Beijing, untuk membayar hutang 1MDB yang telah mencapai RM50 bilion pada awal tahun 2016.

Nothing To Hide 2.0

Mengenai tindakan ganas para penghasut di forum di atas yang diadakan di Shah Alam semalam, saya membuat catatan berikut dalam laman Facebook saya:

“Saya ada di satu dari awal hinggalah para pengacau mula bertindak menjerit kemudian membaling capal, botol air dan kerusi serta menembak "flare".

Pengacau melepaskan tembakan suar (flare) dalam dewan
Ini berlaku di penghujung sessi soal jawab di mana beberapa soalan yang jelas ditanam oleh penaja kumpulan penghasut berjaya ditangkis oleh Tun Dr Mahathir.

Ini termasuklah soalan mengenai DAP menjadi parti utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir meminta maaf kepada Datuk Seri Anwar dan peristiwa Memali.

Sesetengah penghasut nampaknya tidak puas hati apabila jawapan Tun kepada soalan mereka disambut dengan tepukan dah teriakan "hidup Tun".

Saya nampak ada penghasut yang ditahan oleh ahli Armada dan orang ramai manakala yang lain lari bertempiaran sambil menanggalkan kemeja-T PPBM/Armada yang mereka pakai untuk menyamar.

Jelas tindakan provokasi kumpulan penghasut itu membayangkan keterdesakan penaja mereka yang mengakui bahawa majlis-majlis anjuran PPBM dan Pakatan Harapan mendapat sambutan sukarela rakyat jelata.

Sekarang semakin jelaslah kepada kita operasi ganas yang sanggup mereka lakukan demi mempertahankan kuasa yang semakin terlepas. Di satu pihak mereka berdoa dengan nama Allah di pihak yang lain mereka mengganas. Wallahuaklam.”

Thursday, August 10, 2017

Panji-Panji Simbol Hegemoni Politik Bentuk Baru



A Kadir Jasin


PANJI-PANJI bukan sebarang panji-panji. Bahasanya bukan bahasa ibu pertiwa. Cogan katanya tidak banyak yang mengerti.

Panji-panji pasak bumi bukan dalam bahasa ibu pertiwi
Ini adalah panji-panji yang menjadi manifestasi kepada hegemoni politik dan ekonomi empayar komunis terulung di dunia – Republik Rakyat China.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Gambar panji-panji ini menjadi tarikan dan menular dalam media sosial selepas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, merasmikan upacara pecah tanah projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Kota SAS, Pahang semalam.

Panji-panji itu adalah pratayang (preview) kepada apa yang akan datang bersama projek ERCL yang dibiayai oleh hutang RM55 bilion dari China.

Bukan panji-panji bahasa Mandarin itu saja datang dengan projek tersebut. Daripada paparan media massa arus perdana, kita juga lihat turut sama datang adalah tenaga manusia, modal, jentera pembinaan dan kereta api.

Najib melancarkan projek kebanggaannya
Maksudnya, sebahgian besar daripada pinjaman RM55 bilion itu akan dibelanjakan di negeri China untuk menjana ekonomi negeri China. China sudah pun menikmati  faedah projek itu sedangkan kita sendiri belum pasti apakah keuntungan yang akan kita peroleh.

Malah kita jangan terperanjat jika sebahagian atau kesemua daripada pinjaman RM55 bilion itu akan dijana di negara kita sendiri dengan meminjam daripada institusi-institusi kewangan kita.

Dalam bahasa yang mudah, China sudah memacak bendera dan mengibarkan panji-panji di bumi kita melalui ECRL dan projek-projek lain yang dibiayai atau didirikannya.

Jentera dan tenaga manusia diimport dari negeri China
Kecemperaan Cina adalah realiti sejarah. Tidak dapat tidak China terpaksa berkembang ke luar daripada sempadan politiknya. “The Middle Kingdom” sedang meledak.

Penduduk China makin bertambah. Kini China menampung 18.4 peratus daripada penduduk dunia sedangkan tanah pertaniannya hanya 10 peratus keluasan tanah pertanian dunia.

China terpaksa meluaskan wilayah ekonominya untuk memanpung keperluan makanan, pekerjaan dan tempat tinggal rakyat jelatanya.

Bagi negara seperti kita, pilihannya ialah menjadi rakan kongsi yang berdaulat atau menjadi tanah jajahan ekonomi China.

Dalam gambar media, nampak ramai juga Melayu dijemput untuk bertepuk dan bersorak. Harap-harap janganlah sorakan mereka akan menyebabkan kampung tergadai. 

Wallahuaklam.

Tuesday, August 08, 2017

Dr Mahathir Yang Dihina, Zahid Sendiri Yang Kena



A Kadir Jasin


ORANG kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi, (Datuk Seri) Reezal Merican Naina Merican kata,  berita  kononnya (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi berjumpa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk tagih simpati adalah pembohongan terbaharu Dr Mahathir.

Reezal Naina Merican tuduh Dr Mahathir bohong
 Alasan Reezal bahawa dakwaan Dr Mahathir itu bohong ialah kerana dia (Reezal) bersama (Datuk) Nur Jazlan Mohamed Rahmat  pernah dipanggil oleh Zahid untuk menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Presiden Parti.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Ada dua isu di sini. Satu, Reezal kata Dr Mahathir bohong dan dua, tajuk berita surat khabar yang kata tidak ada pertemuan di antara Dr Mahathir dan Zahid.
I
su ini bukanlah susah sangat untuk disahkan. Kalau Dr Mahathir bohong, Zahid boleh buktikan dengan menyiarkan rakaman yang kononnya dia buat semasa pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Zahid kata dia ada buat rakaman. Biasalah. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri tentu ada macam-macam kemudahan untuk intip dan rakam peristiwa sulit sama ada yang babitkan kegiatan beliau atau kegiatan orang lain, khususnya musuh politik beliau.

Tapi berkenaan tajuk berita yang menafikan pertemuan di antara Zahid dengan Dr Mahathir, saya keliru sikit sebab Zahid sendiri mengaku jumpa Dr Mahathir dan siap buat rakaman.

Siapa cakap benar dan siapa cakap bohong?
Bukan itu saja, Zahid berkata dia berjumpa Dr Mahathir 10 hari selepas dilantik menjadi TPM dan dengan izin restu Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sendiri.

Tapi semestinyalah dia menafikan yang tujuan pertemuan itu ada kena mengena dengan rancangan menjatuhkan Najib.

Reezal budak kanyir (hanyir) ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Tapi dia dewasa dan menceburi politik pada zaman Dr Mahathir. Namun itu tidak menghalangnya membuat tuduhan terhadap Dr Mahathir.

Mengutuk dan menghina Dr Mahathir kini modal utama ketua-ketua Umno. Tujuan mereka bukan lagi untuk meyakinkan rakyat jelata tetapi bagi melegakan hati Najib agar mereka terus diberikan dedak dan restu.

Tapi kita pun tahu Reezal dan Nur Jazlan adalah antara Ahli Parlimen Umno yang paling kritikal terhadap Najib apabila skandal 1MDB terbongkar. Bagaimana pun, mereka berubah menjadi penyokong tegar Najib apabila diberikan dedak melalui pelantikan sebagai timbalan menteri.

Saya yakin, kalau bukan Najib sendiri, penasihat Najib tahu bahawa Reezal dan Nur Jazlan tidak sukakan beliau dan mungkin terlibat dengan rancangan menjatuhkan beliau.

Jawapan Najib “the King of Cash” mudah saja – bagi mereka jawatan lebih tinggi.

Saya pun tidak salahkan mereka kalau mereka nampak macam orang mabuk todi. Memang pening dengan cerita Najib dan Zahid ni!


Kalau Najib kuat “spin”, Zahid lagi hebat putar-belit – sampai dia sendiri pening dan orang ramai susah nak bezakan yang mana satu cerita dogeng dan yang mana satu berita benar.

Macam putar-belit dia mengenai nama dan keturunan Dr Mahathir. Dia terlupa bahawa selain Jawa, Minang, Bugis dan Aceh, ramai dalam Umno adalah India Muslim. Reezal adalah salah seorang daripadanya.

Jadi apabila muncul dakwaan kononnya dia dilahirkan di Indonesia, banyak orang percaya. Saya tanya Setiausaha Akhbar beliau, (Datuk) Ibrahim (Tiger) Yahaya, melalui Facebook.

Dia kata palsu. Saya kata, pamerkan Sijil Kelahiran Zahid sebagai bukti. Saya tak pasti kalau sudah dipamerkan atau belum.
 
Menarik juga episod bodoh ini. Zahid hina keturunan Dr Mahathir tetapi akhirnya dia sendiri terpaksa sumpah ““Wallahi, wabillahi, watallahi” kerana takut Najib tak percaya kepada dia lagi.

Dalam tampalan Facebook, Zahid berkata: ““Wallahi, wabillahi, watallahi selagi saya diberi kepercayaan saya akan membantu yang amat berhormat presiden parti yang juga perdana menteri Malaysia. Saya akan terjemahkan kewalakan, ketaatsetiaan dan kerja keras untuk Datuk Seri Najib Abdul Razak, Insha Allah.”

Kalau dia tak buat macam budak jahat yang lastik sarang tabuan dengan mempersendakan nama dan keturunan Dr Mahathir, dia tidak akan dibelasah begitu teruk dan hina sekali. Tapi nampaknya mulut Zahid lebih laju daripada otaknya.

Yang tersenyum lebar adalah musuh-musuh politik beliau dalam Umno. Rasanya mereka sedang mengasapkan keris untuk menikam beliau dari belakang.

Ingatlah, Najib sendiri berkata keris sudah diasah dan memerintahkan askar siber Umno supaya “attack, attack, attack”. Silap-silap Zahid yang jadi sasaran serangan mereka.

Wallahuaklam.

Friday, August 04, 2017

Kecuaian Jenayah 1MDB



A Kadir Jasin


SEPERTI saya catatkan kalam laman Facebook saya semalam, oleh sebab banyak sangat putar belit oleh kerajaan kleptokrasi, kita susah nak pastikan yang mana satu kebetulan dan yang mana satu perancangan atau penipuan.

Mulakan tindakan kecuaian jenayah dengan menangkap Jho Low
Pada ketika tersebar satu dunia berita 1MDB terlewat bayar ansuran hutang AS$602.73 juta (kira-kira RM2.56 bilion) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) Isnin lalu, tiba-tiba Bank Negara keluarkan bon 20 tahun sebanyak RM2.5 bilion.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Hutang tertangguh 1MDB RM2.56 bilion. Bon Bank Negara RM2.5 bilion. Kebetulan atau memang dirancang?

Tempoh tutup bon Bank Negara 4 Ogos. Tempoh akhir 1MDB kena bayar adalah lima hari kerja bermula 1 Ogos ( lebih kurang pada 6 Ogos). Kalau tak bayar juga, denda dan tindakan lain akan dikenakan.

1MDB kata duit untuk bayar hutang IPIC adalah daripada program rasionalisasi tapi terlewat sikit sebab peraturan dan kelulusan. Tak ramai orang percaya alasan rasionalisasi atau apa-apa pun hikayat daripada 1MDB.

Kemudian Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, kata kelewatan itu adalah perkara teknikal dan masalah 1MDB tak jejaskan ekonomi.

Adakah teknikal yang Najib maksudkan itu Bank Negara memerlukan masa untuk jual RM2.5 bilion bon dan serah duit itu kepada Kementerian Kewangan supaya Kementerian Kewangan boleh bagi kepada 1MDB untuk bayar kepada IPIC?

Bon Syariah Bank Negara: Kebetulan atau untuk 1MDB
OKlah. Bank Negara jual bon perkara biasa. KWSP, KWAP, PNB dan bank-bank beli bon pun perkara biasa. Pendapatan bon bagus dan terjamin pun perkara biasa.

Tapi kalau bon RM2.5 bilion itu adalah untuk bayar hutang 1MDB, ia bukan perkara biasa malah boleh dianggap kecuaian jenayah (criminal negligence) dalam pengurusan kewangan negara.

Di Thailand, bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan “criminal negligence” kerana menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (lebih kurang RM4.3 bilion) dalam pelaksanaan subsidi padi.

Jumlah ini amatlah kecil berbanding duit 1MDB yang lesap dan kesalahan Yingluck ringan berbanding jenayah kewangan 1MDB. Yingluck dituduh buat salah dalam pemberian subsidi kepada penanam padi. Duit 1MDB masuk akaun Najib dan untuk anak bini serta Jho Low berfoya-foya.

Penjualan bon oleh bank negara adalah perkara biasa. Kerajaan memperoleh pembiayaan melalui penjualan bon oleh Bank Negara pun perkara biasa.

Tetapi sekiranya bon RM2.5 bilion itu adalah untuk membayar hutang 1MDB dan sekali gus membebankan rakyat jelata untuk 20 tahun akan datang, ia adalah “criminal negligence” yang tidak boleh dipandang ringan.

Najib kata masalah 1MDB tidak jejaskan ekonomi negara. Ok, mungkin dia percaya ini benar atau dia sangka semua rakyat jelata bangang macam laskar siber Umno. Najib kata blogger Umno bangang.

Pada bulan Jun, 2015, Menteri Kewangan Kedua masa itu, (Datuk Seri) Ahmad Husni Hanadzlah, bagi amaran kalau masalah 1MDB tidak diselesaikan, kadar tukaran ringgit mungkin jatuh ke tahap tahun 1998 iaitu waktu Krisis Kewangan Asia.

Dua bulan kemudian pada 12 Ogos, ringgit jatuh ke bawah paras RM4 bagi satu dolar Amerika buat kali pertama sejak 1998 dan kekal hingga ke hari ini.

Jadi, marilah kita mulakan tindakan ke atas kecuaian jenayah 1MDB ini dengan menyokong laporan polis oleh Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali, agar Jho Low ditangkap dan dibawa balik ke Malaysia. 
Jho Low adalah dalang di belakang 1MDB.

Doa rakyat jelata yang teraniaya akan dimakbulkan. Isya Allah.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).