Thursday, September 21, 2017

Najib Berjenaka Dengan Amerika Ketika Rakyat Menderita



A Kadir Jasin


TUN Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan “dawn raid” ke atas Pasaran Saham London (LSE) pada 7 September 1981 bagi merampas dan membawa balik syarikat perladangan Guthrie ke Malaysia.

Kita tak heboh lakukan Dawn Raid
Ketika itu Guthrie beribu pejabat di London dan sahamnya diniagakan di LSE sedangkan ladang dan kilangnya berada di Malaysia, dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah di antara pemegang sahamnya.

Operasi awal pagi yang dikenali sebagai serangan waktu fajar itu dilakukan dalam suasana penuh kerahsiaan dan dengan perancangan yang amat rapi.

[REMINDER. Anonymous comments will not be published.]

Apabila pengurusan LSE, para pelabur dan pihak berkuasa Inggeris menyedari serangan itu empat jam kemudian, Guthrie telah pun jatuh ke tangan PNB.

Masa itu PNB buat bidaan untuk membeli ladang bukan membeli nombor plat kenderaan bermotor istimewa!

Serangan korporat ala-komando itu begitu mengejutkan sehingga pihak berkuasa Inggeris meminda syarat dan peraturan LSE supaya operasi seperti itu tidak boleh dilakukan lagi.

Itu 36 tahun lalu. Kita tidak hebahkan bila dan di mana kita akan melabur. Kalau kita bising atau bagi tahu Perdana Menteri British (masa itu Dame Margaret Thatcher) dia mungkin sekat.

Ditakdirkan para pelabur di LSE pula tahu juga, mereka boleh buat spekulasi hingga menyebabkan harga saham Guthrie naik. Bila harga naik, kita sama ada tidak mampu membeli atau terpaksa membayar harga yang tinggi. Jadi kita berahsia.

Tapi 36 tahun kemudian, Perdana Menteri Malaysia, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, dengan bangganya mengumumkan kepada Presiden Amerika, Donald J. Trump, dan media massa dunia bahawa KWSP dan Khazanah akan melabur puluhan bilion ringgit untuk kukuhkan ekonomi Amerika.

Perbuatan Najib itu jelas menyebabkan KWSP dan Khazanah kecut perut kerana boleh menghakis keyakinan pencarum dan pelabur terhadap ketelitian dan mutu urus tadbir korporat mereka.

Mereka bergegas mengeluarkan kenyataan bagi memberi jaminan yang mereka akan teliti dalam urus niaga mereka. Mereka tahu rakyat jelata dan masyarakat pelaburan tidak percaya dan tidak yakin kepada bos nombor satu mereka.

Melabur Di Luar

Saya sentiasa menyokong langkah tabung pelaburan tempatan mempelbagaikan portfolio mereka di dalam dan luar negara untuk menjana keuntungan tapi bukan untuk bantu perkukuhkan ekonomi mana-mana negara.

Kalau ekonomi mereka kukuh kerana kita melabur, ia hal lain. Tapi menggunakan duit pencarum KWSP dan duit Khazanah untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika itu salah. Ia bukan tugas dan kerja mereka.

Secara kecil-kecilan saya pun melabur juga dalam dana bersama (mutual fund) luar negara yang dipasarkan di Malaysia. Sesetengah daripada dana bersama asing ini memberi pulangan lebih tinggi daripada dana bersama tempatan.

Orang yang tahu tentang ekonomi tentu geli hati dan ketawa terhadap cakap Mat Jenin Najib nak bantu pulihkan ekonomi Amerika. Orang bodoh dan orang gila mungkin percaya.

Realiti ada di sebaliknya. Ekonomi negara luar bantu perkukuhkan ekonomi kita. Kita ambil contoh pelaburan KWSP.

Walaupun Najib berkokok macam ayam jantan baru baligh kononnya ekonomi negara hebat di bawah pemerintahan beliau, realitinya pulangan ke atas pelaburan (ROI) KWSP daripada pelaburan di luar negara adalah lebih tinggi daripada pelaburan dalam negara.

Dalam satu laporan terbaru, KWSP berkata walaupun pelaburannya di luar negara hanya berupa 29 peratus daripada keseluruhan pelaburan, ia menghasilkan 32.5 peratus daripada keseluruhan pulangan.

Laporan lain pula mengatakan, bagi tahun 2016 kadar pulangan pelaburan KWSP di luar negara adalah 9.73 peratus berbanding 6.18 peratus bagi pelaburan domestik.

Jadi, jika KWSP atau mana-mana juga tabung pelaburan Malaysia melabur di Amerika, tujuannya bukanlah untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika tetapi untuk mencari keuntungan yang lebih tinggi.

Najib, konco-konco, para penasihat (ada orang kata punahsihat) dan laskar siber beliau bolehlah mendabik dada dan menipu rakyat jelata yang jahil ekonomi, tetapi perangkaan global mengatakan bahawa ekonomi Malaysia tidaklah sehebat yang mereka canangkan.

Media massa Amerika menggambarkan Trump sebagai seorang presiden yang dangkal dan kasar. Tetapi dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jadi saya yakin dalam hati, beliau ketawa terhadap tawaran Najib memperkukuhkan ekonomi negaranya. Tapi kalau Najib bagi, walaupun kecil, dia sapulah.

Najib tidak akan berhenti bercakap besar dan berangan-angan Mat Jenin kerana itu sajalah modal yang masih ada kepada beliau.

Angka tunjuk harga pengguna terbaru dari Jabatan Perangkaan menunjukkan indeks harga pengguna bulan Ogos lepas naik 3.7 peratus daripada bulan sebelumnya akibat kenaikan harga minyak dan tambang pengangkutan.

Rakyat jelata terus menderita.

Jadi kita lupakan saja Najib dengan angan-angan beliau hendak membantu memperkukuhkan ekonomi Amerika kerana ekonomi kita rakyat jelata Malaysia semakin hari semakin tidak menentu.

Najib lebih berminat memberi susu kepada kera di hutan daripada kepada anak di rumah yang semakin kebuluran.

Wallahuaklam.

Friday, September 15, 2017

Don’t Make Monkey of the Country




A Kadir Jasin

IF you haven’t yet been sufficiently entertained by the PM’s Mat Jenin offer of assistance to President Donald Trump to strengthen the US economy during his recent trip to the White House, allow me to share with you the story of a lonely male monkey and his desperate quest for love.

(For illustration purposes only)
As fate would have it, Sam, the male kera (long tail macaque), lost a fight for dominance and was banished from his troop. He had to escape with his life to a monkeyless forest. 

Life of solace and solitude wasn’t bad in the beginning. He had all the fig trees in the forest all to himself. He was the monkey king of the forest.

[REMINDER. Anonymous comments will not be published.]

But soon his longing for the company of female monkeys – the very reason leading to his banishment - overtook the joy of having the canopy all to himself. 

His sperm sac was filled to the brim and his libido started to drive him nuts.

He lost all inhibition – in the Malaysian protocal parlance, kesipuan – and begged every creature he bumped into to give him a chance to release his overflowing love juice.

Not every animal refused his advances politely. He was nearly ravaged (buggered) by a boorish drunken boar.  Some wild fruits, when naturally fermented, could lead to drunkardness among forest dwellers.

A female elephant, likewise lonely, took pity on him and invited him to “ride” along as she took her daily trudge to the river, through a lush coconut grove, to drink and bathe.

The grateful sex craved kera jumped onto her back and immediately did what a sex craved kera would do. He engaged himself in an impossible inter-species copulation.

When he was hard at work, the female elephant gave a thunderous scream. The whole forest reverberated with the sound. The kera was himself startled and immediately ceased his amorous activity.

He walked across to the elephant’s ear and romantically whispered: “I’m sorry if I was a bit rough!”

“No worry,” said the elephant nonchalantly.

“I did not know what you were doing back there, but that falling coconut did hurt my head a lot.”

The moral of the story is, if you are monkey don’t dream of making love to an elephant and even if, by the smallest of chance, you do, please don’t think that elephant would be screaming in ecstasy.

End of the story.

Wednesday, September 13, 2017

Najib Ikrar Kukuhkan Ekonomi Amerika



A Kadir Jasin

MUTAKHIR, 14 September: Newsweek guna label "Malaysian Crook Najib". Malu kita.
Posting asal

IKUT laporan Berita Harian Online yang memetik Bernama, Malaysia akan guna duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.

Trump (kiri) dapat jamiman Najib
Inilah yang Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, kata dia janji kepada Presiden Amerika, Donald Trump, dalam pertemuan di Rumah Putih pada 13 September.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Najib berkata, KWSP sahaja dijangka melabur di antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion (kira-kira RM13 bilion dan RM17.2 bilion) di negara itu.

MAB akan membeli lebih banyak pesawat Boeing. Kata Najib, MAB komited untuk membeli 25 buah 737-MAX-10 dan lapan 787 Dreamliners serta menambah 24 atau 25 buah lagi 737-MAX-10 dalam masa terdekat bernilai AS$10 billion (RM43 bilion). (Boleh baca lanjut di sini).

Apa kata rakyat jelata Malaysia?

Adakah patut dan termampu oleh kita untuk guna duit negara kita bantu perkukuhkan ekonomi Amerika?

Nak melabur di negara sendiri pun kita tak berapa mampu sehingga terpaksa berhutang berpuluh bilion ringgit daripada China, apa halnya kita nak bantu kukuhkan ekonomi Amerika?

Kalau melabur untuk cari keuntungan atau beli kapal terbang untuk MAB itu logiklah. Tapi nak bantu kukuhkan ekonomi Amerika bunyi macam cerita Mat Jenin.

Ekonomi Malaysia terlalu kecil untuk bercita-cita besar bantu ekonomi Amerika. Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kita tahun ini dianggarkan AS$309 bilion (kira-kira RM1,359.6 bilion) saja berbanding Amerika sebanyak AS$19.4 trilion (RM85.36 trilion).

Yang sepatutnya berlaku ialah Amerika bantu kita dengan menambah pelaburan di negara kita. Sebaliknya makin banyak pelabur Amerika tarik keluar modal mereka dan berpindah ke China, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Tak tahulah mungkin Bernama tak lapor yang Najib lobi Trump supaya Amerika labur semula di Malaysia!

Mengenai keganasan, Bernama petik Trump sebagai berkata: “Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar  Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu.

"Jadi itu amat penting bagi Amerika Syarikat."

Bagaimanapun saya mungkin terlepas pandang hasil perbincangan Najib-Trump mengenai pembersihan etnik ke atas orang Rohingya oleh rejim Burma yang media massa arus perdana kata antara sebab mengapa Najib pergi jumpa Trump.


Kalau sesiapa ada maklumat tolong panjangkan kepada saya supaya kita boleh kongsi bersama. Terima kasih.

Wallahuaklam.

Wednesday, September 06, 2017

Teka-teki Pendirian PAS Dalam PRU Ke-14



A Kadir Jasin


FRASA yang digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan akhbarnya selepas mesyuarat Majlis Presidennya pada 28 Ogos lalu ialah “tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14”.

Pakatan Harapan sekata tidak bekerjasama dengan PAS
Itu adalah bahasa lembutnya. Dalam pengertian sebenar, maksud yang hendak disampaikan ialah mustahil bagi PH kerjasama dengan PAS.

Hatta parti-parti dan pemimpin-pemimpin PH yang bersedia tertolak ansur dengan PAS pun akhirnya mengaku kalah. Pendirian luar biasa pemimpin-pemimpin PAS membingungkan mereka.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Kelmarin cakap lain. Hari ini cakap lain. Esok entah apa akan dicakapkan. Lain pemimpin lain cakapnya. Malah pemimpin yang sama pun bertukar cara dan selera mengikut apa yang lebih popular dan selesa.

Mohon maaflah kalau saya kata, amat sukar membezakan yang mana satu cakap orang agama dan yang mana satu cakap gedebe politik.

Ramai pemimpin PH pada awalnya memberi muka kepada PAS. Malah ada beberapa orang yang sanggup berjumpa, berbincang dan bersetuju itu dan ini dengan PAS.

Dalam proses itu mereka mengorbankan kelancaran, perluasan dan perjalanan PH.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) misalnya menangguhkan keputusan menyertai PH kerana mahu memberi masa dan peluang kepada PAS membuat kata putus.

Penyokong kerjasama dengan PAS dalam PKR dan PPBM mengambil risiko kerana bukan semua dalam parti mereka mahu bekerjasama dengan PAS. Malah ramai yang daripada awal lagi menolak kerjasama dengan PAS.

Setelah melihat perceraian dalam rumah tangga PAS  pada Muktamar 2015 yang disusuli dengan cerai talak tiga dengan DAP dan perpisahan tanpa talak dengan PKR, ramai pemimpin PPBM berasa adalah sukar menjalin kerjasama dengan PAS.

Namun begitu, sampai hari ini pun masih ada sisa-sisa harapan bahawa PAS boleh dibawa berunding. Pintu rundingan mungkin sudah tertutup tetapi, seperti kata sesetengah pemimpin PH, tingkap masih terbuka.

Dalam politik tidak ada istilah mustahil. Misalnya, PAS boleh berpecah mengikut negeri dan menjalin kerjasama dengan PKR atau PPBM.

Misteri Agamawan

Saya yakin banyak orang dan pihak cuba mendalami dan memahami apa yang sebenarnya berlegar di dalam benak kepimpinan PAS yang kini didominasi oleh golongan agama.

Walaupun saya sudah mengenali PAS sejak zaman remaja saya pada tahun 1960-an, ikhlas saya katakan bahawa adalah lebih rumit memahami tindak-tanduk agamawan PAS daripada memahami golongan bukan agama yang telah ditendang keluar pada pemilihan pucuk pimpinan 2015.

Muktamar PAS 2015 tolak kepimpinan profesional
Mungkin saya terlalu jahil untuk memahami roh suci agamawan PAS maka saya keliru dengan usik-mengusik dan cinta berahi yang semakin semerbak di antara ketua-ketua PAS dengan para pembesar Umno/Barisan Nasional.

Saya faham tindakan agamawan PAS menggunakan ortodoksi dan retorik agama untuk menyingkirkan golongan profesional. Mereka berasa terancam oleh kecanggihan golongan ini dan peningkatan pengaruh mereka di kalangan ahli dan penyokong parti.

Selepas kematian Tok Guru (Datuk Seri) Nik Abdul Aziz Nik Mat pada bulan Februari 2015, golongan agamawan PAS yang diketuai Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang bimbang mereka tidak dapat lagi mengawal golongan profesional yang semakin berpengaruh.

Kumpulan profesional ini amat berjaya menjalin kerjasama dengan parti-parti Pakatan Rakyat (PR) dan pada masa yang sama menarik sokongan golongan bukan agama untuk menjadi ahli dan penyokong PAS.

Ini mencetuskan kebimbangan di kalangan agamawan bahawa pengaruh mereka mungkin terhakis dan pada satu masa nanti PAS akan diambil alih oleh golongan bukan agama.

Dalam kaitan ini, amat jelas perbezaan martabat ilmu, pegangan agama dan keyakinan diri di antara Nik Abdul Aziz dengan Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz mengamalkan dasar keterangkuman ummah manakala Abdul Hadi mengamalkan dasar eksklusif golongan agamawan.

Umno Menagguk

Kekacauan dalam Pas ini disedari oleh kepemimpinan Umno, khususnya (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Dasar dan pendekatan Abdul Hadi dan Mohd Najib sama. Kedua-duanya telah menyingkir golongan yang tidak sebulu dengan mereka daripada pucuk pimpinan parti dan menjadikan parti masing-masing khusus untuk yang setia dan dengar kata saja.

Dasar Najib dan Abdul Hadi serupa
Kedua-dua mereka memimpin parti yang pecah dan menghadapi pencabar baru yang tahu kelemahan mereka. PAS ditentang oleh Amanah dan Umno oleh PPBM.

PAS lega Umno berpecah dan Umno lega PAS berpecah. PAS yakin Umno lemah dan Umno yakin PAS lemah. Atas dasar itu, mereka yakin mereka kini boleh bekerjasama.

Umno tidak pernah mahu PAS berkembang dan menjadi kuat. Tanpa golongan profesional, sumber idea dan kewangan PAS kering. PAS terpaksa kembali mengemis sedekah dan derma.

Bagi Mohd Najib yang mengamalkan dasar “wang adalah raja”, masalah kewangan PAS ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Umno masih banyak duit – duit parti dan duit negara.

Tidak hairanlah kalau cinta berahi Mohd Najib-Abdul Hadi mekar umpama bunga lepas kemarau – sama bau dan sama warna.

Itulah sebabnya amat sukar bagi PKR dan PPBM membawa PAS ke meja perundingan walaupun ada pemimpin PAS yang menolak kemungkaran Umno/BN dan tahu kerjasama dengan parti Mohd Najib itu akan membawa kemudaratan kepada PAS.

Kemungkinan Ditolak

Sesiapa saja yang faham politik akar umbi Umno dan PAS tahu bahawa adalah mustahil bagi kedua-dua buah parti itu memujuk atau memaksa ahli dan penyokong mereka menerima satu sama lain.

Kewujudan Umno dan PAS adalah kerana mereka saling bermusuhan. Ramai orang Umno dan segelintir orang PAS menjadi kaya raya kerana permusuhan itu.

Kalau Umno dan PAS berpakat secara langsung atau secara taktikal melawan PH, belum tentu habuan itu berterusan atau menjadi lebih besar. Sebaliknya ia mungkin menguncup dan terpaksa dikongsi di antara Umno dan PAS.

Yang nampak jelas ialah Umno akan menggunakan kekayaannya untuk membeli PAS dalam usaha melagakan PAS dengan PH. Dengan cara itu Umno berharap boleh menyelam sambil minum air.

Agamawan PAS sendiri mungkin sudah menerima hakikat bahawa PAS akan kalah teruk kalau bertanding bersendirian. Bukan kepada PH tetapi kepada rakan kongsinya BN.

Di pihak yang lain pula, walaupun kerjasama dengan Umno tidak menjanjikan kemenangan tetapi sekurang-kurangnya mereka berpeluang mendapat duit daripada Umno dan kerajaan.

Duit sangat penting dalam PRU kali ini kerana itulah batu azimat Mohd Najib.

Setelah berjaya memiskinkan rakyat jelata dengan menghapuskan berpuluh bilion ringgit subsidi dan mencukai mereka melalui GST atas nama transformasi ekonomi, Mohd Najib berharap gula-gula pilihan raya seperti BR1M, bantuan khas dan penanak nasi akan memberikan beliau kemenangan.

PAS memerlukan duit dan tidak ada orang yang lebih berduit daripada Mohd Najib. Jadi hendak tak hendak, sama ada duit Mohd Najib itu haram, halal, sunat atau makruh, Abdul Hadi terpaksa menimbangkannya.

Kalau pada pendapat beliau, tidak ada empat orang saksi alim dan suci yang mengeluarkan fatwa mengatakan duit Mohd Najib itu haram, maka bolehlah PAS menerimanya kalau mahu.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).