Sunday, November 05, 2017

Dakwaan Hidup Mewah Pemimpin PAS di Mahkamah Inggeris



A Kadir Jasin


KEMEWAHAN hidup golongan nouveau riche (orang kaya baru) Parti Islam Se Malaysia (PAS) sedang didedahkan di mahkamah Inggeris di London akibat saman malu (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang ke atas Clare Rewcastle-Brown.


Peguam PAS dengan dokumen Saman Terhadap Sarawak Report
Dalam dokumen pembelaannya, Clare Brown telah mendedahkan kekayaan pemimpin elit PAS yang didakwanya diperoleh hasil sumbangan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Pengarang portal berita Sarawak Report itu mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Najib. Abdul Hadi menafikan tuduhan itu dan menuntut supaya Clare Brown memohon maaf. Apabila Clare Brown enggan, Abdul Hadi mengemukakan saman fitnah terhadapnya.

Kekayaan dan gaya hidup mewah bapak-bapak kepala PAS hasil “sedekah” Najib itu disenaraikan dengan panjang lebar oleh Clare Brown dalam kenyataan pembelaannya.

Bagi pihaknya pula, setelah membisu sekian lama, Najib, pada hari Sabtu (4 November), memecah kesunyian dengan membuat kenyataan “mana de?” bagi menafikan dakwaan Clare Brown itu.

“Mana ada saya buat, sebab Clare pun dah gelabah sekarang,” katanya dalam satu perhimpunan Umno di ibu negara.

Hadi Buka Pintu Kuala

Tidak kurang menarik ialah saman Abdul Hadi itu memberi peluang kepada Clare Brown menceritakan dengan panjang lebar kepada Mahkamah Inggeris asal usul 1MDB dan skandal yang melandanya.

Malah kisah pembelian kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu pun turut dinukilkannya.

Begitu teliti dan panjang lebar hujah balas Clare Brown itu sehingga nama Ahmad Maslan 3.8, Ahmad Bashah (lena) Hanipah dan ramai lagi penyokong tegar Najib pun dibabitkan sama.

Hendak mudahkan cerita, sekiranya ada pembahas dan pelawat yang berminat dan ada masa bolehlah cuba baca dokumen Clare Brown itu DI SINI.

Apa pun saya tabik spring kepada Tuan Guru kerana mengotakan apa yang dia kata. Dia kemukakan saman ke atas Clare Brown dan Sarawak Report -  tidak macam Pahlawan Bugis Najib yang ancam saman Wall Street Journal sudah lebih 120 Selasa tapi tidak buat apa-apa.

Jelaslah Abdul Hadi lebih jantan daripada Najib tapi saya tidak berani kata siapa lebih cerdik.

Abdul Hadi lebih berani daripada Najib
Percubaan Sekat

Tapi ada percubaan oleh PAS bagi menakutkan media massa dan peserta media sosial dengan ancaman akan saman sesiapa yang siarkan hujah Clare Brown itu.

Tak tahulah sama ada PAS tak tahu atau sekadar gempar. Kalau PAS parti yang alim (berilmu), ia tentu tahu bahawa segala-gala yang berlaku dalam mahkamah boleh dilaporkan melainkan ditegah oleh hakim perbicaraan.

Malah wartawan yang buat liputan mendapat keistimewaan bersyarat (qualified privilege) daripada mahkamah macam juga apabila mereka membuat laporan sidang Parlimen.

Tapi saya fahamlah percubaan menakut-nakutkan itu sebab apa yang didedahkan oleh Clare Brown dalam pembelaannya sangatlah mengejutkan kerana nampaknya ramai ketua PAS kaya dan mengamalkan gaya hidup mewah yang luar biasa.

Orang PAS yang hidup susah dan terpaksa pula menggali kocek menderma kepada parti tentulah tertanya-tanya daripada mana ketua-ketua mereka dapat duit begitu banyak untuk hidup sedemikian mewah.

Atau mereka mungkin berasa tertipu selama ini menderma kerana menganggap parti mereka miskin sedangkan ketua-ketua mereka hidup mewah dengan kereta mahal dan rumah jutaan ringgit.

Clare Brown mendakwa sumber kekayaan itu datangnya Presiden Umno Najib Abdul Razak hasil skandal 1MDB.

Kalau betul dakwaan itu, sekarang fahamlah kita pasal apa Tuan Guru Haji Abdul Hadi sangat akrab dengan “Bapa Pembangunan India” itu.

Najib dan Khalifah Baghdad

Kisah cinta lara Najib-Abdul Hadi ini mengingatkan saya kepada cerita-cerita yang saya baca mengenai serangan dan pemusnahan kota Baghdad oleh tentera Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan pada tahun 1258. Hulagu adalah cucu Genghis Khan.

Khalifah Abbasiyah pada waktu itu ialah Al-Musta’sim yang keturunannya telah memerintah selama 626 tahun sejak Masihi 632.

Dia digambarkan sebagai seorang pemerintah yang tidak berkesan dan dikelilingi oleh penasihat yang saling bertelingkah antara satu sama lain.
Malah pada hari-hari terakhir pemerintahannya – ketika dikepung oleh tentera Mongol - dia dikhianati oleh Perdana Menterinya sendiri.

Ada dua versi mengenai kematian Al-Musta’sim. Pertama, apabila Hulagu masuk istana Al-Musta’sim, dia mendapati ia dipenuhi emas permata. Dalam perkiraan Hulagu, kekayaan itu sepatutnya digunakan untuk memperkukuhkan pertahanan kota Bahghad.

Lantas Hulagu mengurung Al-Musta’sim di dalam bilik di mana dia menyimpan emas permatanya. Hulagu menyuruhnya makan emas pertama di dalam bilik itu. Al-Musta’sim akhirnya mati kebuluran.

Kedua, Hulagu tidak mahu menumpahkan darah seorang pemerintah maka dia mengarahkan askarnya membungkus Al-Musta’sim dengan permaidani paling mahal dalam istananya dan mengarahkan askar berkuda memijaknya sampai mati.

Kerana lemah dan dikelilingi oleh penasihat yang bergaduh sesama sendiri, Al-Musta’ṣim hilang peluang untuk selamatkan Baghdad.

Dia tidak mempedulikan beberapa tuntutan yang dibuat oleh Hulagu sebaliknya membalas dengan cakap besar dan ancaman kosong.

Moral cerita kejatuhan Baghdad ialah seorang khalifah (ketua) boleh mengelilingi dirinya dengan ramai penasihat dan emas permata.

Tetapi kalau penasihat yang ramai itu daripada jenis yang mementingkan diri sendiri dan kekayaan negara digunakan untuk kesenangan diri atau memberi rasuah, pemerintah itu lambat laun akan jatuh dalam kehinaan.

Apabila mendengar berita Al-Musta’sim sudah mati, 300 orang pembesarnya menyerah diri dan mengakui setia kepada Mongol. Hulagu menerima penyerahan diri mereka dan memerintahkan supaya mereka dipancung.

Ahli falsafah George Santayana berkata, “those who do not remember the past are condemned to repeat it”. Mereka yang lupa masa lampau akan mengulangi kesilapan masa lalu.

Wallahuaklam.

33 comments:

antiwala'un said...


Salam Dato,

Terimakasih kerana sudi berkongsi maklumat terkini tentang parti wawasan politik matang sejahtera @PAS.

Zaman kepimpinan Almarhum TGNA dan Almarhum Ustaz Fadhil, parti lebai sangat komited dengan ilmu "kitab hijau" atas prinsip membangun bersama Islam dan prinsip amar maaruf, nahi mungkar.

Akibat terpengaruh dengan ejen ejen umno/bn yang mengelilingi pimpinan PAS pada hari ini wawasan politik matang-sejahtera direkacipta, maka parti lebai sudah berubah hala tuju dan berubah selera dengan kemewahan dan nafsu. Berbagai justifikasi dan dalil dicari untuk menghalalkan kehendak nafsu mereka. Maka sebahagian dari lebai lebai dalam PAS terpaksa meneroka "kitab biru" yang mereka tolak selama ini. Prinsip matlamat menghalalkan cara digunakan untuk menyingkir sesiapa yang berbeda pendapat dengan kelompok mereka.

Mungkin benar apa yang pernah saya baca dalam komentar seorang pengunjung blog Dato, izinkzn saya ulangi nukilan pantun pengunjung tersebut....

Syaitan sedang berpesta,
SiPenguasa menipu dan berdusta,
SiAlim tersenyum untuk bermuka muka,
Rakyat marhain tertipu semakin derita.

Seri Nara al-Diraja said...

Sumber clare mak cik ambiga...tak leh pakai..kikiki

Waghih said...

AsSalam ...Datuk.

Apolah salah ehh pemimpin Pas ni meraso sedikit kemewahan dunio.
Dah dinamokan pemimpin ... makno ehh dah lamo kojo , dah sampai penghujung ... epf pun dah banyak.
Gunokan lah ...

Tak macam Turn M and gang.
Maso berkuaso dulu ..anak copek2 jadi direktor sano sini.
Lopeh bersaro ..anak2 jadi billionair .

Sey ghaso elok datuk buek buku tontang mcm mano anak2 Turn M bolih jadi billionair pado maso mudo.
Bolihlah jadikan texbook untuk universiti nnti untuk anak2 mudo benchmark .

Apo macam datuk ? ... OK tak ?

Waghih

Zed-85 said...

Sallam Dato’

Pada pandangan saya, perjuangan PAS era zaman Nik Aziz agak berbeza dengan yang ada sekarang. Perjuangan PAS dahulu lebih tertumpu kepada akhirat semata-mata.

Perjuangan PAS sekarang lebih menyeluruh iaitu perjuangan dunia dan akhirat.

Tidak dinafikan di akhirat nanti ada bidadari indah yang menunggu ulama-ulama dan ahli PAS.

Tetapi, keindahan dunia sekarang ini tidak kurang menarik juga.

Umpamanya, ramai ulamak-ulamak sekarang berpakaian jubah tetapi menggunakan Iphone7 yang terbaru dan sekarang ini sudah keluar IphoneX termahal yang berharga ribuan ringgit.

Tidak kurang juga ulama PAS yang mempunyai kereta mewah seperti Toyota Vellfire, Audi Q7, Mercedes yang lengkap dan alat hala tuju GPS (Navigation), kawalan traksi (traction control), assymetrical wheel drive (paju 4 tayar), ABS, dan lain-lain.

Ulama-ulama pun tidak ketinggalan juga mahu merasa.

Rumah Banglo sekarang sudah dilengkapi dengan kolam renang. Selepas baca doa dan zikir, bolehlah ulamak-ulamak ramai-ramai terjun masuk dalam kolam renang.

Keindahan dunia sekarang agak menarik juga dan disebabkan ulamak-ulamak PAS adalah manusia dan bukanlah dari kejadian malaikat, perjuangan PAS sudah beralih kepada perjuangan untuk dunia dan boleh jadi akhirat.

Memang tidak dinafikan ramai ahli-ahli biasa PAS yang hidup serba dhaif dan miskin, ditambah lagi dengan zaman sekarang, harga barang semakin tinggi. Apabila tengok pemimpin mereka dengan rumah besar dan kereta-kereta mewah, agaknya sejuklah hati ahli PAS dan hilang segala kesusahan dan penderitaan yang ada.

rahman jpc said...

HIDUP RUU 355 !

BILA AGAMA CUBA D LACURKAN, MAKA INI LAH AKIBAT NYA - HANCUSSS!

RD. said...

Hebat Dato AKJ.

Posting Dato kali ini sudah tentu akan memecah-balahkan lagi PAS. Sudah tentu, penyokong dan kepimpinan PAS yang tidak 'merasa' dan akibat malu menyokong pemimpin mereka yang hidup mewah dan bergaya, malah ada yang tambah bini... akan istihar keluar Party PAS.

Maka, dengan saman Haji Hadi ini, kebarangkalian besar juga, Najib akan di 'subpoena' untuk beri keterangan di Mahkamah England.

Teringat saya, kisah Anwar Ibrahim dulu. Dia tegas tidak mahu berikan sample DNA. Lepas tu dia buat dakwaan pula, yang Polis cuba meracun beliau dengan arsenic atau virus HIV. Dengan demikian, Mahkamah terpaksa lah mengeluarkan perintah supaya Anwar 'merelakan' darahnya diambil untuk mengesahkan dakwaan beliau itu.

Ehmmm...

raksa said...

Apakah yang tertaruh dalam kes saman fitnah ini?

Jika Presiden PAS menang, kemenangannya itu adalah kemenangan Pyrrhus: kemenangan yang jauh tak setimpal dengan kerugian yang (tanpa sedar) dialami. Walaupun gagal mengajukan bukti sahih penerimaan dana UMNO RM90j, namun persepsi bobrok berdasarkan jenis-jenis kereta yang mustahil untuk dipunyai mana-mana pemimpin PAS di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz jika beliau masih hidup kekal. Tak perlu disebut macam manakah gambaran yang akan terpalit balik ke muka Presiden UMNO.

CRB kalah hanya dari segi hilang wang ganti rugi. Itu sahaja. Yang penting beliau berjaya memaparkan kebobrokan kedua-dua Presiden ke seluruh dunia.

Sebaliknya jika Presiden PAS kalah natijahnya adalah lebih berat: bak kata-kata sudah jatuh ditimpa tangga pula. Terpulanglah kepada masing-masing untuk membuat tafsiran macam mana bentuk natijah yang lebih berat itu mungkin berlaku. Begitu juga bagi Presiden UMNO.

Jadi macam mana CRB menang? Jika dia kalah pun ada sesuatu yang tercapai, apabila beliau menang maka itu mestilah bonus, kan?

Aku said...

Kadiag, السلام عليكم (assalāa/ mu/ 'alaikum),
Yg aku paham, kita tak digalak buat spekulasi tapi kalu nak buat jugak, aku rasa kemewahan luag biasa (ostentatious)
sesetengah pimpinan parti agama tak akan kesan para pengikut/penyokong2 depa yg 'fanatik'.
Cara hidop menjuruih ke 'zuhud' yg dipamirkan oleh almarhum Tok Guru dah di buang jauh2,
seakan akan tak pernah ada. Bukan nak kata almarhum gagai bawa perubahan
tapi orang parti agamalah yg gagai ambik kesempatan akan keberadaan Tok Guru dikalangan depa,
namun aliran2 (elements) dlm parti Amanah munkin akan memanjangkan 'legasi' yg cuba diterapkan oleh almarhum.
Dan kalu almarhum gagai sekalipon, aku yakin Allah S.W.T. tak tanya pasai apa gagai,
tapi samaada Tok Guru ada cuba ka dak...
Munkin untuk kita yg masih ada ni, sekali lagi dihidang depan mata, bagaimana susahnya nak ubah orang
yg ada telinga tapi tak mau dengag, ada mata tapi tak mau tengok, ada hati tapi tak mau peduli....
Dan macam mana upaya untuk mengubah hati2 manusia adalah semata mata milik Allah S.W.T.
Sebagian besag penyokong2 tegag lainnya, munkin macam rakyat biasa bukan parti agama, turut begelut dgn kos sara hidop yg meningkat,
masaalah pengangguran, masaalah kesihatan dan mendapat rawatan, masaalah bayag hutang, masaalah sosial dan sebagainya.
Dan 'kepedulian' depa pada gejala 'orang kaya baru' ni tak seberapa.
Hanyasanya yg kita bulih buat, teruihkan mentebagkan maklumat, munkin yg sebaiknya yg betoi2
bulih terjah dan tembuih perasaan dan jatidiri rakyat.

Mintak maghap Kadiag no.
Aku

tano kemalak said...

Deep...

Pak Pandir said...

Saya pulak teringat kesah Lebai Malang..

ketum official said...

Dah la kaya dia dgn bini dgn kroni je.orang lain setengah mati try nak survive.

abu_ibrahim said...

nak tuduh memang mudah tapi bila minta dibuktikan mula terkapai.
memfitnah satu perkara, percaya kepada fitnah seperkara yang lain
sekadar contoh ( sama kes dengan 'kononnya' tuduhan yang lain ) :

http://hajihassanomar.blogspot.my/2017/06/kalau-inilah-cara-pemikiran-penyokong.html

kena jumpa tuan badan sendiri bukan sumber syok sendiri
pembelaan itu sebenarnya membawa kepada lebih banyak pendakwaan fitnah yang baru

sukasamasuka said...

Datuk,

1. Setiap manusia ada harga nya.

2. Ada yang murah dan ada yang mahal.

3. Yang murah dapat dedak murahan...tangki air biru BN, nasi lemak bungkus, beras sekampit, gula sebungkus, enjin sangkut dan sikit2 duit dekat2 pilihanraya.

4. Yang mahal pula...dapat la pangkat, kedudukan, jam tangan mahal, batu berlian merah jambu, beg Hermes Birkin, cash berjuta2, kereta mewah dan banglo.

5. Sebenarnya tak salah siapa mau ambil semua ni...ikut selera masing2...tak kira ulama atau orang bawahan.

6. Tidak salah PAS ambil RM90 juta dari UMNO sebab tidak menyalahi undang2 kita atau undang2 di UK.

7. Hadi malu sebab dituduh ambil duit UMNO...itu saja...dia malu...tapi, itu bukan perkara besar.

8. Apatah lagi, pemimpin2 PAS dah lamo kojo , dah sampai penghujung ...epf pun dah banyak...Gunokan lah...betul juga cakap saudara kita ni...memang bijak.

9. Tetapi, kalau iya pun jangan la pemimpin2 tersebut dengan serentak tiba tiba membeli dan memakai barang2 mewah....bebulu la mata si Datuk...pintar2 la kalau dapat duit macam durian runtuh tu...esok kan masih ada.

10. Tetapi, aku tak hairan, Melayu memang begitu...kalau dapat duit atas angin...ish ish ish...

Waghih said...

Ahli falsafah George Santayana berkata ; " .. Those who do not remember the past are condemned to repeat it .."
- Mereka yg lupa masa lampau akan mengulangi kesilapan masa lalu .

Sohih tu datuk ...

Dah ado yg lupo dah ...
# Turn M dah lupo BNM rugi Rm30 billion
# Turn M dah lupo Memali.
# Turn M dah lupo BMF
# Turn M dah lupo Perwaja
# Turn M dah lupo MAS
# Turn M dah lupo Maminco
# Turn M dah lupo Proton

Oochh banyak laiee...

So ..maksud Santayana iolah ...
Turn M akan ulangi BLUNDER yg disobut dan yg tak disobut sekironyo PH berkuaso nnti .

So... macam mano nak hayati falsafah George Santayana ni dlm realiti sekarang ..?

Waghih.

kampong lad said...

melayu; baik & budiman tak kena tempat, jantan, berani & cenge pun tak kena tempat, dua2 merugikan. same difference.

banggoi petai said...

Idup lg malaun ni ..ingatkan kojol dah tercekik dedak ...waghih o waghih lama menghilang kebongokan masih tak hilang2 ..bawak2 la bertobat waghih oii....

Tanduk Dua said...

Gambar menarik...ingatkan senapang yang dipegang keluar dari dalam kainnya?? patutlah jantan sangat...takut tertembak salah sasaran

ayamkampung said...

SPRM & LHDN diam je? mana si tukang kira2 bila diperlukan?

Cik Minah said...

Waghih, SEMUA DUIT BERATUS JUTA TU ada masuk ke dalam akaun pribadi
Tun Mahadir.......??????
TUNJUKKANLAH ALIRAN PEERGERAKAN DUIT TU MASUK KE AKAUN TUN
ANAK BERANAK, baru boleh aku pangkah BN.
Otherwise, kamu ini memang kuat omong kosong.
Siapa nak percaya.

sukasamasuka said...

Datuk,

- Waghih 12.00PM...Datuk ni wartawan Melayu...jadi kita maafkan la dia bila buat translation George Santayana itu macam ada yang tak kena.

Dan kita pun maafkan kamu juga sebab kamu hanya faham versi Bahasa Melayu George Santayana.

Sebenarnya, contoh yang kau berikan disini tu pun semuanya salah...out of context...tetapi, itu perkara kecil saja.

- Tidak ada orang yang bernama Turn M...setahu aku.

Yang ada dan yang kita tau ialah Tun M.

Tun bukan nama atau keturunan, tetapi darjat kebesaran yang dianugerahkan olih Agong.

Kalau kamu tak suka, kamu kena jumpa Agong suruh tarik balik.

Kalau mau hina Tun M, ini bukan caranya...ada cara lain...jangan dihina Agong, nanti kamu susah.

- Tiada sikit pun bukti yang mengatakan Tun M lupa pasal perkara yang kamu sebut itu.

Aku percaya kalau Tun jadi PM yang baru, walaupun untuk seketika, perkara sedemikian tidak akan berulang lagi...itu la makna sebenar nya “those who do not remember the past are condemned to repeat it”.

sukasamasuka said...

Datuk,

"Kalau betul dakwaan itu, sekarang fahamlah kita pasal apa Tuan Guru Haji Abdul Hadi sangat akrab dengan “Bapa Pembangunan India” itu."

1. Dakwaan itu ialah PAS menerima RM90 juta daripada Najib, tetapi bukan Hadi yang terima RM90 juta.

2. Mungkin Hadi sendiri pun hairan kenapa tiba2 saja pemimpin2 elit PAS suka sama Najib.

3. Aku rasa dalam diam2, Hadi sendiri pun rasa pelik juga dengan golongan ini yang tiba2 saja hidup dalam serba kemewahan...sedangkan dia masih lagi pakai kain pelekat memburu burung puyuh dengan senapang angin.

4. Hadi orang yang jujur...orang nya baik dan bukan senang mau dijual beli....itu Hadi, kita tau.

5. Tetapi, golongan elit PAS disekelilingnya bukan "Hadi"...itu pun kita tau...tak payah Clare yanga berada diLondon nak kasi tau kita...kita sudah lama tau...kalau mau cerita pun panjang sangat...Datuk lagi la tau, tapi pura2 saja tak tau...orang lama la katakan.

6. Terima kasih la Mattimung Karaeng...dengan sikit wang dan mata umpan RUU355 saja, PAS sudah tersungkur dengan sendirinya sebab Hadi jujur bukan nya cerdik.

7. Itu la harapan besar Mappadulung untuk ambil balik Kelantan...tidak ada cara lain.

8. Sekarang hanya tinggal Harapan lawan UMNO...itu pun kalau dapat keluluskan dari ROSmah.

9. Sebenarnya kan...susah sangat ke kerja si ROSmah ni nak luluskan Harapan?

Ini contoh saja la, kamu tau ke party yang paling bodoh di Sabah? Namanya Party Anak Negeri...ia diluluskan punya la cepat, belum pun Karaeng tanda tangan Presidennya sudah ada logo.

10. Aku rasa memang Karaeng la kamu menunggu bila la si Daeng mau luluskan logo Harapan...bila lagi mau tunjuk siapa ada kuasa.

Kluangman said...

Adalah penting Najib dan mana² pemimpin umno TIDAK dikekalkan menjadi kerajaan kerana segala yang salah hari ini seperti duit masuk ke akaun peribadi akan menjadi sah, halal, amalan dan budaya.
Semuanya akan ditafsirkan sebagai "derma" termasuklah yang dibawah katil, dalam almari dan yang terselit celah kain.

Lebih malang jika mereka menang, turut bersama lebai lebai yang "tapau" ugama untuk membeli dunia.

Pakcik said...

Teringin sgt nak tgk pemimpin2 korup dan penasihat mereka dihukum pancung

panglimo potaseh said...

Pak Kadir.

Baru saya perasan Benua Kecil China punya seramai 1.3 biliyun penduduk. Sama banyak bilangannya dengan umat Islam yang penganutnye banyak daripada Arab, Parsi, Utara Afrika, Benua Kecil India dan Kepulauan Nusantara.

Barang di ingat 1.3 biliyun ini termasuk umat Islam yang dikena kafirkan. Contohnye kaum Syiah yang selama ini dianggap Islam .. malah diiktiraf keislamannye pada Persidangan Jordan. Tetiba pada era Sang Mappadulong.. sosok yang sangat akrab dengan Arab Saudi ini telah ngatakan yang Syiah tu sesat.

Apa yang saya nak katakan, walaupun di negara China penduduknye sama ramai dengan jumlah penganut Islam. Tetapi sejak 1975 kita tidak pernah kedengaran
mana2 bandar di China hancur di bom, orang tua dan kanak2 di bom atau di bagi gas beracun, raja dan pemimpinnye berjoli katak. Tetapi China dengan sumber bumi yang sedikit terus maju dan kuat.

Ini berbeza dengan umat Islam walaupun punya kitab yang dikatakan lengkap untuk dijadikan sebagai panduan hidup tetapi kita terus hanyut, mundur dan bercakaran. Katanya Islam tu indah .. mungkin??

Tu kata Cat Steven jika dia pandang pada perangai umat islam sekarang ini sampai bila dia kafir. Mujur ada Al Quran .. setelah dibaca dan faham dia jatuh cinta dengan Islam.

Zed-85 said...

Sallam Dato’

Baru-baru ini ada kempen Jihad besar-besaran menentang rasuah di negara Arab Saudi.

Para ulama Arab Saudi telah mengatakan rasuah adalah haram dan menjadi musuh negara Arab Saudi.

Ramai juga dikalangan kerabat di Raja Arab Saudi yang ditangkap termasuk Putera Al-Walid Talal yang merupakan antara orang yang paling kaya di dunia. Menteri-menteri juga ramai ditangkap.

Nampaknya in amat berbeza dengan tingkah laku PAS.

Sekarang ini Hadi Awang nampaknya kurang berminat dalam hal-hal rasuah. Dalam berita, ada pemimpin PAS yang mengatakan rasuah tidak boleh merosakkan negara.

Setahu saya Hadi Awang pun tak hadir pada belanjawan 2018. Persoalannya juga adakah Hadi Awang berminat tentang hal-hal kebajikan orang Islam.?

Kalau berkenaan hukum sebat orang Islam, nampaknya Hadi Awang berminat untuk datang ke Parlimen.

Apakah Agama Islam yang dibawa oleh PAS hanya tertumpu kepada menyebat orang di khalayak orang ramai?

Zed-85 said...

Sallam Dato'

Seingat saya, mengikut sejarah tentera Mongol Genghis Khan, Kublai Khan dan Hulagu iaitu cucu kepada Genghis Khan menjadi kuat kerana bergabung kuasa antara kabilah Mongol.

Tentera Mongol juga semakin kuat melalui penaklukan kuasa. Ramai antara tentera Mongol adalah daripada wilayah yang ditakluknya.

Kalau hendak menjadi kuat, mestilah bersatu dengan bergabung kuasa.

Hanya PAS saja yang mahu bertanding sorang-sorang.

Dalam Sejarah Islam pun, Nabi menggabungkan kaum-kaum di Madinah walaupun sebelum ini bermusuhan supaya orang Islam menjadi kuat.

Sebenarnya, Parti Bersatu mengikut sunnah Nabi, Parti PAS tak tahu saya ikut apa.

A KADIR JASIN said...

1. Terima kasih kepada para pembahas, khususnya yang membangkitkan soal penangkapan besar-besaran di Arab Saudi ke atas orang kenamaan yang disyaki terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.

2. Hal ini sangat releven kerana hubungan kita yang rapat dengan Arab Saudi. Apatah lagi ada di antara yang ditangkap itu terbabit dengan Perdana Menteri kita dalam skandal bilion ringgit 1MDB.

3. Najib sendiri secara rasmi membabitkan keluarga di raja Arab Saudi dengan duit AS$681 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadinya. Tangkapan di Arab Saudi itu mungkin memberi pencerahan yang kita tunggu-tunggu selama ini iatu betulkah duit dalam akaun Najib sedekah Raja Arab Saudi.

4. Sama ada tangkapan besar-besaran itu benar-benar kerana perang membasmi rasuah atau berupada "political purge" - pengurisan politik - implikasinya amat besar.

5. Mereka ditangkap itu boleh dijatuhkan hukuman pancung jika sabit kesalahan.

6. Saya lebih cenderung menganggap tindakan ini sebagai percubaan Putera Mahkota baru Arab Saudi memperkukuhkan kuasa dan mendapatkan balik mana-mana duit negara yang diseleweng kerana negara itu kini mengalami masalah kewangan akibat kejatuhan harga minyak.

7. Seperkara lagi, Arab Saudi kini terpaksa memantuhi peraturan antarabangsa setelah meminjam dengan banyak daripada pasaran kewangan dunia, termasuk daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), khususnya berkenaan pengubahan wang haram.

8. Boleh dikatakan semua yang ditangkap itu dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan dan pengubahan wang haram.

Wallahuaklam.

razip said...

The road to hell is paved with lots of deception...

Rich pastors (Christians, and now Muslims) are now blatantly evident

and their wala'uns shut their eyes, hearts and minds. And they blamed fate/ujian!


Kluangman said...

Dato'

Bukankah selama ini Raja Arab Saudi digambarkan akrab dan mesra dengan PM.

Kenapa tidak minta pinjamkan Putera Mahkota kepada Malaysia untuk seketika untuk tangani masalah rasuah negara apabila SPRM sendiri tercemar kerana setitik nila.

Lembah Tasnim said...

Salam Datuk..


Satu ungkapan yang menarik dalam post Datuk kali ini ialah "Bapa Pembangunan India", mungkin telah disentuh sebelum ini tapi sebagai anak bumi kalau Datuk dapat ulas sikit tentu lebih menarik..



JoeKincai said...

Kau ingat semua org dlm pas tu bangsat harta dunia..dan kau ingat kemewahan semua diorang tu hasil menyamun bukan hasil halal..dan kau ingat semua org pas kena hidup melarat miskin harta sebab dunia ini syurga bg org kafir dn neraka bg orang beriman? Cubalah belajar bersangka baik dlm hidup ni...

IdrisMdIsa said...

Pentaksub2 PAS ni, very typical, kalau parti dan pemimpin dihentam, dikritik, bukan nak jawab hentaman dan kritikan dan mencari kebenaran tetapi menghentam balik para pengkritik. Semua yang tuduhan yang dilemparkan disini berdasarkan fakta. kalau ikut undang2, setelah pihak mendakwa/menuduh mengemukakan dakwaan dengan bukti prima facie/asas, beban beralih kepada pihak yang didakwa/tuduh untuk menafikan dengan bukti atau membuktikan sebaliknya, bukannya menghentam pihak yang mendakwa. Bukti2 dakwaan yang dilemparkan disini ada bersepah2, carilah. kalau dah taksub tu, puak sendiri yang salah akan dibela mati2an. Aduhai pentaksub2 PAS, ketaksuban adalah satu cabang assobiyah. RasulUllah [saw] bersabda, bukan dari kalangan ku mereka yang mengamalkan assobiyah. patutlah PAS tak menang2 sampai hari ini, Allah tidak izinkan sehinggalah PAS dipimpin dan didokong oleh golongan2 yang ikhlas dan jujur, bukannya golongan assobiyah, fasiq dan munafiq. Melabel orang sebagai assobiyah bukan main lancang, tak sedar golongan sendiri yang mengamal assobiyah. Lu, pentaksub2 PAS, low class lah. Belajarlah berhujah secara bijaksana.

Waghih said...

AsSalam Datuk...

Gambaran yang sey dapek iolah samo dongan maso Turn M haramkam UMNO dan tubuh UMNO baru...
Tujuan ehh untuk hapuskan sumo penentang beliau yg berado dalam Tim B tu ...
Hasil eh Turn M berjayo ...

Waghih.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).