Friday, February 16, 2018

Malaysia, Israel dan Yahudi: Benteng Sudah Pecah?



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

NEGARA Yahudi Israel mengaku yang Malaysia adalah “country tough to crack”. Dalam bahasa Melayu, “negara yang  sukar ditundukkan’.

Adakah Malaysia telah akibat tekanan Israel?
Jadi mereka cukup gembira apabila seorang diplomat mereka, David Roet (Daud Roet), dan dua orang yang lain menghadiri persidangan habitat Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Akhbar Israel, The Jerusalem Post, melaporkan pada 13 Februari bahawa Malaysia yang amat kuat dasar anti-Israelnya telah membenarkan penyertaan delegasi Israel hanya setelah negara Yahudi itu mengenakan tekanan diplomatik yang sampai hingga ke pejabat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Pokok pangkalnya Malaysia tunduk kepada tekanan Israel itu. Satu gol untuk Israel, kosong untuk Malaysia.
Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak), dan para penasihat serta penyokongnya - termasuk Tuan Guru (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang - mungkin gembira menjadi tuan rumah persidangan itu.

Tetapi adakah mereka sedar implikasinya? Mungkin ia dan mungkin tidak.

Pengajarannya ialah persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan PBB boleh menjadi laluan untuk Israel/Yahudi menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

Roet memberitahu akhbar itu bahawa Israel berjuang mati-matian untuk menghantar wakil ke persidangan itu atas dasar bahawa adalah menjadi tangggungjawab Malaysia  sebagai penganjur membenarkan peserta daripada semua negara anggota PBB menghadirinya.

 
David (Daud) Roet: Persetujuan Malaysia jadi duluan
“Kita menuntut apa yang menjadi hak kita,” kata Roet sambil menambah yang tindakan Israel itu menjadi duluan (precedent) bagi negara-negara lain yang menjadi tuan rumah persidangan yang berkaitan dengan PBB.

Persidangan UN Habitat yang akan datang pada tahun 2020 akan diadakan di Abu Dhabi. Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel tetapi pada tahun 2008 Israel berjaya membuka pejabat perwakilan Pertubuhan Antarabangsa Tenaga Boleh Baharu di Abu Dhabi.

Sejak itu ia menggunakan perwakilan tersebut untuk melakukan lawatan diplomtaik dan memperluaskan hubungan dagang dengan UAE dan negara-negara Arab berdekatan.

Kesimpulannya, benteng pertahanan Malaysia pecah apabila ia menjadi tuan rumah persidangan UN Habitat dan dengan itu terpaksa tunduk kepada tekanan Israel dalam rangka perjanjian PBB.
Menurut The Jerusalem Post lagi, inilah kali pertama dalam masa 53 tahun seorang diplomat Israel berjaya melawat Malaysia. Kali terakhir ialah pada tahun 1965.

Kali ini Israel berjaya memecahkan tembok anti-Israel Malaysia dengan menggunakan pintu belakang.

Jadi eloklah kita lebih berhati-hati dengan kegiatan antarabangsa kita kecualilah kita sengaja membuka pintu belakang untuk menjalin perhubungan dengan negara Yahudi itu.

Wallahuaklam.
                        

Thursday, February 08, 2018

Pulangan Sebenar Hibah TH Turun?



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ



MUTAKHIR – Saya dimaklumkan - tetapi bukan oleh Tabung Haji – bahawa kaedah kiraan hibah 2017 telah dikembalikan kepada formula asal seperti yang digunakan bagi tahun 2016 yang berasaskan baki purata minimum bulanan.

Siaran akhbar TH hari ini
Walaupun pegawai bahagian perhubungan awam TH yang saya hubungi tidak memberi apa-apa maklum balas selain mengatakan “okay kami akan baca”, namun jelaslah daripada kenyataan akhbar di atas bahawa TH telah mengubah formula baru yang sangat-sangat merugikan penyimpan itu kepada formula asal.

Dalam konteks ini, saya menyokong penuh cadangan pembahas yang menggunakan nama samaran “Group 8” yang berbunyi: “Seharusnya seluruh ahli lembaga pengarah dan ahli lembaga pelaburan harus meletak jawatan serta merta kerana tidak bersikap jujur.”

Saya setuju dengan beliau bahawa ahli lembaga pengarah dan ahli lembaga pelaburan TH  tidak bersikap jujur. Tetapi saya tidak yakin sedikit pun yang mereka akan meletakkan jawatan.

Soalnya mengapakah mereka mengubah kepada formula yang merugikan pendeposit? Adakah kerana TH mengalami masalah kewangan seperti yang pernah diberi amaran oleh Bank Negara?

POSTING ASAL


SAYA yakin ramai orang Islam sudah baca atau dengar berita Tabung Haji (TH) mengisytiharkan hibah yang lebih tinggi untuk penyimpan bagi tahun kewangan 2017 berbanding tahun 2016.

Jamil Khir di majlis pengumuman hibah TH 2017
Semua penyimpan dibayar hibah tahunan 4.50 peratus manakala yang belum mengerjakan haji dibagi hibah tambahan (hibah haji) 1.75 peratus.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Itulah yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Jamil Khir Baharom seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada 7 Februari.

"Bayaran hibah sebanyak 6.25 peratus ini akan memberi manfaat kepada 93 peratus atau 8.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji. Bagi 600,000 pendeposit yang telah menunaikan haji akan menerima hibah sebanyak 4.50 peratus," kata menteri agama itu.

Bagi tahun kewangan 2016, TH mengumumkan hibah 4.25 peratus kepada semua pendeposit dan hibah haji 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji. (Berita penuh di sini).

Tetapi hari ini seorang  kawan yang berupa ahli ekonomi dan penyelidik terkenal menggesa saya membuat analisis dan meminta pengesahan TH mengenai kaedah pengiraan hibah tahun 2017.

Jadi saya minta sangat-sangatlah agar TH memberi maklum balas pasal saya bimbang analisis saya salah atau kurang tepat. Sebagai blogger bebas, saya tidak ada akses kepada sumber asal berita. Saya mengasaskan analisis saya kepada maklumat tempat awam (public domain information) saja.

Menurut ahli ekonomi itu, kaedah pengiraan hibah bagi tahun kewangan 2017 mungkin akan memberi pulangan sebenar yang lebih rendah kepada penyimpan.

Maksudnya, walaupun dari segi peratusan kadar hibah naik setengah peratus, tetapi pulangan mutlak kepada penyimpan lebih rendah daripada tahun 2016.

Kaedah Kiraan Berubah?

Ini adalah kerana pengiraan hibah dibuat berasaskan kepada baki minimum tahunan darab kadar hibah tahunan 4.50 peratus.Ini adalah kadar yang diberikan kepada pendeposit yang sudah menunaikan haji.

Kaedah kiraan hibah 2017
Saya berikan andaian seorang pendeposit yang saya beri nama Awang bin Lebai Man mempunyai baki RM100 pada 1 Januari 2017. Kemudian setiap bulan dia tambah RM100.

Katakan dia tidak membuat sebarang pengeluaran sepanjang tempoh itu maka baki simpanannya pada 31 Disember 2017 adalah RM1,300.

Berdasarkan pengumuman oleh Jamil Khir, perolehan hibah dia hanyalah RM4.50 iaitu berasaskan pulangan 4.50 peratus ke atas baki minimum tahunan RM100 (RM100 x 4.50 peratus) walaupun simpanannya yang sebenar adalah RM1,300.

Kiraan ini berasaskan andaian Awang sudah pun mengerjakan haji jadi hanya berhak mendapat hibah 4.50 peratus.

Hatta kalau Awang memasukkan RM2 juta pada 2-1-2017 sekali pun, pendapatan hibah dia tetap RM4.50 sebab baki minimum simpanan dia adalah RM100.

Ini berbeza dengan hibah tahun kewangan 2016 yang diasaskan kepada baki purata minimum bulanan.

Kaedah kiraan hibah 2016Add caption
Kalau formula 2016 dikekalkan, Awang akan dapat pulangan RM33.75 berdasarkan baki purata minimum RM750 (RM750 x 4.50 peratus). Simpanan purata bulanan sebanyak RM750 itu adalah baki minimum bulanan.

Saya sendiri tidak begitu pasti ketepatan analisis saya ini dan dengan penerangan ahli ekonomi itu sebab kalau kami betul, penyimpan TH sebenarnya mengalami penyusutan pulangan 650 peratus apabila formula baru ini diperkenalkan.

Adakah hal seperti ini boleh terjadi?

Jadi saya wajib tanya TH adakah andaian dan analisis saya ini tepat? Kalau tepat bererti pendeposit TH mendapat pulangan yang sangat rendah.

Tetapi kalau saya silap, saya mohon berbanyak-banyak maaf dan memberi ruang secukupnya di dalam blog ini kepada TH untuk menafikannya dan membuat penjelasan.

Wallahuaklam.

Monday, February 05, 2018

Babi Haram, Duit 1MDB Macam Mana Pula?



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

DI NEGARA kafir Swirzerland, pihak berkuasanya hukum bank yang  ubah duit haram dari sumber 1MDB.
.
Isu haram halal: Najib dengan bakal haji tajaan Yayasan 1MDB
Di Malaysia yang kononnya Islam, Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak), mengaku 1MDB gagal dan berhutang RM42 bilion tapi hantar orang pergi haji guna duit 1MDB.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Baru dua tiga hari lepas, pihak berkuasa pengawasan pasaran kewangan Switzerland (FINMA) hukum bank persendirian Coutts & Co Ltd sebanyak CHF6.5 juta (kira-kira RM27.3 juta) kerana langgar undang-undang pengalihan duit haram melibatkan duit curi 1MDB.

FINMA juga bercadang memulakan langkah penguatkuasaan ke atas kakitangan bank tersebut yang terlibat dalam pengalihan duit haram 1MDB yang dikaitkan dengan Jho Low itu.

Tapi di Malaysia, tidak lama selepas Perdana Menteri mengaku yang 1MDB gagal dan berhutang RM42 bilion, dia juga dengan gembira menyerahkan surat tawaran menunaikan haji tahun 2018 kepada 1,200 penerima terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan tajaan Yayasan 1MDB.

Dari manakah Yayasan 1MDB ini dapat duit kalau 1MDB gagal dan berhutang RM42 bilion?

Adakah duit sebuah syarikat yang berhutang dan melakukan kesalahan jenayah di merata dunia boleh digunakan untuk menunaikan haji?

Mohon menteri agama (Datuk Seri) Jamil Khir Baharom, para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai di merata pelosok negara bagi petua?

Lagi elok kalau Majlis Fatwa Kebangsaan boleh beri fatwa! 

Tapi sebelum itu mintalah Jamil Khir, para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai pelajari dan fahami 1MDB ini macam yang Najib, Jho Low, Arul Azrul Kanda Kandasamy dan Nik Faisal Ariff Kamil faham.

Kabel Jho Low: Riza Shahriz Abdul Aziz (kanan) anak Rosmah Mansor
Mereka kena baca dan mengerti betul-betul asal usul 1MDB, urus niaganya, audit tahunan yang tertangguh dan berpuluh-puluh kes jenayah yang sudah dan sedang diambil tindakan di merata dunia.

Kalau orang kafir di Amerika, Singapura dan Swirzerland sudah ada bukti bahawa berpuluh bilion ringgit duit 1MDB tekah dicuri, takkan para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai yang takutkan Tuhan nak tutup mata kerana jawatan dan habuan?

Takut-takut duit curi dan duit hutang ini dicampuradukkan untuk tujuan agama Islam macam membiayai orang naik haji dan buat umrah.

Mereka juga kena tanya, macam mana anak tauke Cina Pulau Pinang ini boleh buat macam-macam dengan duit dan harta negara seolah-olah milik mak bapak dia tapi dia bebas sebebasnya.

Tapi bila polis pacak ambil rasuah RM50 dan ibu tunggal curi sebiji roti kerana anak lapar mereka disumbat ke dalam penjara?

Adakah Jho Low ini lebih hebat daripada (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad yang ditamatkan jawatan pengerusi Felda dan disiasat serta ditangkap oleh SPRM?

Apakah Jho Low ini lebih berjasa kepada negara daripada (Tun) Dr Mahathir Mohamad yang dikutuk dan dihina pasal dia membangkitkan skandal 1MDB dan kerajaan yang mencuri?

Pasal apa Jho Low ini sangat istimewa sampai tak boleh disentuh oleh undang-undang negara?

Adakah dia ini ejen perisik Israel, Amerika, China atau Singapura yang digunakan oleh melemahkan negara kita?

Jho Low (kiri sekali) dengan keluarga Najib dan Putera Turki (dua dari kiri)
Macam mana Jho Low boleh curi berpuluh bilion ringgit duit 1MBD sedangkan 1MDB diasaskan dan diterajui sendiri oleh Najib?

Akibat rompakan oleh Jho Low dan orang-orang yang bersubahat dengannya, 1MDB gagal dan kita serta anak cucu kita terpaksa tanggung beban hutang berpuluh-puluh tahun akan datang manakala harta negara terpaksa dijual dan digadai.

Adakah menteri agama yang berdisiplin tentera dan para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai yang banyak ilmu Islam tidak peduli harta negara dijual dan digadai kepada negara komunis China?

Dalam Islam mana boleh agah-agak. Jadi Jamil Khir, walaupun dia hanya bekas askar dan bukan orang korporat, wajib faham 1MDB.

Begitu juga dengan para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai. Mereka wajib faham mengenai 1MDB macam mereka kata mereka faham mengenai babi sebab silap-silap 1MBD ini lebih haram daripada babi.

Para imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK yang dapat tajaan 1MDB tentu tahu kalau kita termakan daging babi, kita boleh samak, bertaubat dan minta ampun daripada Tuhan.

Tapi guna duit yang kita tak pasti halal haramnya untuk buat ibadat pasti lebih berat hukumnya. Jadi berfikirlah.

Wallahuklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).