Tuesday, June 19, 2018

Buat Ayahku Jasin Ibni Tahir


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

 
Terima kunjungan Tun Dr Mahathir sekitar 1990-an
AYAHKU sudah lama pergi
(Pada 2 Jun 2009)
Aku ingat lagi
Yang sembahyangkan jenazahnya
Ramai sekali
Dari dapur hingga serambi
Kemuliaan yang diberi
Melebihi statusnya seorang petani.

Ayahku banyak jasanya
Dialah aktivis politik desa
Dialah imam surau kampungnya
Dialah penternak dan peniaga
Home Guard pengawal desa.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Mengaji madrasah
Sedikit bersekolah
Tapi mindanya terasah
Surat khabar, buku dan kitab
ditelaah
Inteleknya buat cendekiawan
kalah.

Dia mengajar aku keunggulan
Mendidik aku tentang keberanian
Katanya,
Jangan takut kepada manusia
Takut kepada Tuhan saja.

Maka aku membesar berani
Walaupun tubuhku kerdil
Di sekolah dibuli
Namun aku melawan
Tidak menyerah
Walaupun akhirnya kalah
Sakit kerap sekali
Sehingga namaku ditukar
Kononnya tidak serasi
Kata ibu,
Aku hampir mati
Lelah, cacing, batuk
Tidak berhenti.

Tapi aku membesar berani
Yakin kepada diri
Tengah malam menombak ikan
Ketika guruh dan hujan
Mengayuh basikal sendirian
Setiap pagi Jumaat
Ke sekolah Kristian
Melihat tahi bintang
Yang dikatakan syaitan
Tidur di sawah menjaga padi
Takut dilarikan pencuri.

Pohon ayah mati menjadi tempat burung berhenti
Ayah dan aku
Berbahas selalu
Kami sering tidak setuju
Dia memanggilku
Pemberontak
Aku memanggilnya
Monarkis
Dia menuduh aku
Komunis dan sosialis
Aku memanggilnya
Tradisionalis dan feudalis.

Dia mengajarku ilmu
Menunjuk hala tuju
Katanya,
Jangan takutkan manusia
Takutkan Tuhan saja
Jangan mengemis meminta
Kalau bukan rezeki kita
Pakai apa yang ada
Makan apa yang tersedia
Berkongsi dengan yang tiada.

Maka aku ikutlah katanya
Aku tidak takut kepada manusia
Biar setinggi mana darjatnya
Yang baik aku sanjung
Yang buruk aku sembung
Yang mulia aku puji
Yang zalim aku caci.

Mengapa harus kita
takutkan manusia?
Kita semua sama saja
Hamba Allah belaka
Yang kaya
Yang hina
Si papa
Si raja
Sama saja
Yang mulia pekerti
Yang tinggi budi.

 
Ayah penyuluh jalan penunjuk haluan
Damailah ayah
Di alam barzakh
Dalam gelap malam
Bintangmu menyerlah
Menunjuk arah.

Terima kasih ayah.

 (Sempena Hari Bapa 2018)

Wallahuaklam.

Saturday, June 16, 2018

Ku Li Penyelamat Umno


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Ku Li (kiri) tahu banyak rahsia Najib (kanan)
SAYA mulakan tampalan kali ini dengan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada saya serta mendoakan keselamatan saya.

Saya tidak melakukan apa-apa pun yang istimewa atau kepahlawanan. Saya sekadar menyuarakan apa yang terbuku di hati saya sebagai seorang penulis.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Kalau saya yang akan berusia 71 tahun Ogos ini dan tidak membuat kerja lain selain menulis – kebetulan hari ini genaplah 49 tahun saya menjadi wartawan – tidak boleh bersuara dan tidak boleh memanfaatkan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, siapa lagi yang boleh?

Lagi pun, macam saya nyatakan dalam tulisan saya, kalau saya silap tolong perbetulkan dan saya akan memohon maaf.

Dalam tampalan 7 Jun, saya antara lain menulis: “Berkenaan dengan apa yang Anwar maksudkan sebagai “fakta yang boleh dipertikaikan” itu, silalah pertikai dan berikanlah fakta yang betul. Kalau saya silap saya akan buat pembetulan dan saya mohon ampun.”

Cukup mengenai diri saya. Kali ini saya ingin berbincang sikit mengenai parti Umno yang tersingkir daripada takhta kuasa pada Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu setelah mendominasi politik negara  bermula Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan tahun 1955.

Ku Li Sebagai Presiden

Tahun ini Umno akan mengadakan pemilihan kepemimpinan. Dengan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak sebagai Presiden Umno, gelanggang terbuka luas dan parti tua itu berpeluang membuat perubahan jika mahu.

Bagi saya, seorang pemimpin Umno yang berpeluang besar melakukan perubahan ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas Naik Presiden Umno.

Pada usia 81 tahun, beliau adalah muda. Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad yang 10 tahun lebih senior daripada beliau boleh memimpin Pakatan Harapan (PH) ke arah kemenangan dan menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, apalah salahnya Ku Li memimpin Umno.

Mungkin ini masa terbaik dan peluang terakhir buat beliau. Setelah gagal menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden Umno 30 tahun lalu, Ku Li mempunyai peluang terbaik dipilih menjadi Presiden Umno.

Walaupun putera diraja Kelantan itu dilaporkan masih menimbang sama ada mahu bertanding atau tidak, secara peribadi saya yakin beliau adalah calon terbaik untuk memimpin parti lama saya itu.

Kalau boleh saya nasihati Ku Li, yang saya kenal secara peribadi mulai tahun 1976 dan menjadi “bos mutakhir” saya buat seketika, cepat-cepatlah tawarkan diri.

Pada tahun 1976, saya menyertai Kumpulan New Straits Times sebagai “Bumiputera kanan” akhbar baru tajaan NSTP bernama “Business Times”. Waktu itu Ku Li Pengerusi Fleet Group, syarikat induk NSTP. Saya kerap ke kediaman beliau di Nombor 20 Jalan Pinang, Kuala Lumpur, dan Palm Manor, Kota Bharu.

Ini bukan cerita gila talak atau nostalgia. Saya keluar Umno “secara rasmi dan tertib” pada bulan Julai 2016. Saya hantar surat penarikan diri kepada Ketua Cawangan, Ketua Bahagian dan Setiausaha Kerja Umno pusat.

Dan bukan juga hendak masuk campur dalam politik Umno, tetapi kerana kita tetap memerlukan pembangkang yang berwibawa di dalam Parlimen.
Saya katakan berwibawa kerana Umno dengan hanya 55 kerusi (laman Web Rasmi Parlimen) tidak boleh menjadi pembangkang yang kuat dari segi bilangan, tetapi masih boleh menjadi pembangkang yang kuat dari segi minda.

Dalam konteks ini saya amat bersetuju dengan Ahli Parlimen PH (DAP) Segambut, Hannah Yeoh bahawa PH memerlukan barisan penyokong (backbenchers) yang cergas dan kritikal.

“Backbencher” PH wajib terus berani dan tekun berbahas seperti yang mereka lakukan sewaktu menjadi pembangkang dahulu. Mereka wajib ikhlas menasihati dan mengkritik kerajaan mereka sendiri.

Umno Tandus Pemimpin

Berbalik kepada parti pembangkang Umno, maaf cakaplah kalau saya kata, selain Kul Li saya tidak nampak calon lain yang boleh memulihkan Umno dan menjadi ketua pembangkang yang berwibawa.

Selain Dr Mahathir, tidak ada orang lain kecuali Ku Li yang lebih berpengalaman di dalam Dewan Rakyat dan dialah antara orang yang paling lama mengenali Perdana Menteri dalam arena politik tanah air.

Dr Mahathir memanggil Tengku Razaleigh “Li” dan Ku Li membahasakan Dr Mahathir “Doc”. Dr Mahathir masuk Parlimen tahun 1964 dan Ku Li mula menjadi wakil rakyat pada tahun 1969 sebagai Ahli Dewan Undangan Ulu Kelantan Barat. Dr Mahathir berusia 92 tahun dan Ku Li 81.

Dalam kepimpinan Umno, selepas Najib saya tak nampak sesiapa pun yang mampu menyekat keruntuhan Umno dan membinanya semula selain Ku Li. Selepas beliau MUNGKIN bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Tetapi imej Khairy teruk tercemar kerana “membodohkan” diri demi kuasa dan kedudukan pada zaman Najib serta kes penyelewengan RM100 juta duit KBS yang sampai hari ini belum dijelaskan atau diambil tindakan.

Hanya baru beberapa minggu ini dia mula bersuara menyatakan kekesalan menafikan realiti dan tidak bersuara sehingga Umno kalah teruk dalam PRU. Mungkin dalam pemilihan sekali lagi dia boleh menawarkan diri sebagai calon presiden atau busuk-busuk pun Timbalan Presiden. Kalau setakat Naib Presiden rasanya baik tidak bertanding langsung.

Yang menjadi soalan jutaan ringgit adalah, adakah Ku Li atau sesiapa saja mampu memulihkan Umno yang sudah sekian lama mabuk duit dan bergerak atas falsafah songsang “cash is king” (duit itu raja) ciptaan Najib?

Tanpa kuasa, sungai wang Umno kering. Malah ramai pemimpin dan bekas pemimpin Umno, termasuk Najib, sedang berdepan dengan kemungkinan didakwa dan dipenjarakan kerana rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.

Hatta duit yang kononnya milik Umno pun disorok oleh ketua-ketua Umno di rumah masing-masing sehinggalah ditemui dalam serbuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Maka tidaklah mustahil Umno akan benar-benar menjadi parti keramat apabila ia mati akibat politik wang, feudalisme dan kepentingan diri.

Wallahuaklam.


Thursday, June 14, 2018

Sunday, June 10, 2018

Media Arus Perdana Sudah Mati


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

 
Anwar jemput rakyat kritik
SAYA cukup berminat memberi tindak balas kepada  jemputan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim “go ahead and critise” (dipersilakan dan kritiklah) seperti yang ditajukberitakan oleh akhbar The Sunday Star hari ini.

Tetapi mengambil pengajaran daripada respons beliau kepada tulisan saya dalam blog ini bertajuk “Constitution: The King and The Pauper” serta menghormati nasihat sahabat seperjuangan saya di Kumpulan New Straits Times dulu, saya akan berdiam diri.

Tetapi ini tidak menghalang saudara saudari menyahut pelawaan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu. Boleh bahas (kritik) di sini kalau mahu.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sejak tahun 1980-an sampai sekarang sahabat saya itu sangat rapat dengan Anwar. Jadi bila dia berkata yang Anwar marah kepada saya pasal tulisan saya mengenai Yang di-Pertuan Agong, maka memanglah betul dia marah.

Almarhum ayah saya bagi nasihat, orang tengah marah jangan ditambah kemarahannya.

Lagipun saya ada mengulas mengenai kebebasan dan hak bersuara ini dalam tulisan di akhbar Sinar Harian hari ini. Kalau belum baca, boleh baca DI SINI.

Apa yang saya nak bincang kali ini dicetuskan oleh bekas Pengarang Kumpulan NST, Mustapha Kamil, dalam Facebook beliau hari mengenai dilema media massa yang dulu tegar menyokong Umno/Barisan Nasional.

Saya setuju dengan Mustapha yang kita perlu memahami apakah pendekatan dan hala tuju mereka selepas Umno/BN disingkirkan oleh rakyat jelata pada 9 Mei lalu.

Bukan Arus Perdana Lagi

Mula-mula sekali label apakah yang hendak kita bagi kepada mereka. Label media arus perdana (MAP) tentunya sudah tidak sesuai sebab mereka bukan perdana lagi.

Arus perdana yang menjadi monopoli Umno/BN selama lebih 60 tahun telah dipadamkan oleh tsunami rakyat pada 9 Mei lalu.

Umno/BN hanya dapat dalam 34 peratus saja undi. PH 48.31 peratus dan Gagasan Sejahtera (PAS) dapat dalam 17 peratus. Jadi Umno/BN bukan perdana lagi.

Pengarang media milik parti-parti BN seperti Utusan Melayu, Media Prima/NSTP dan The Star tentulah, kalau boleh, hendak mengaku diri mereka media bebas.

Betullah sejak kekalahan teruk Umno/BN dan kemenangan PH mereka mula memberi liputan kepada kerajaan baru PH. Dulu mereka bagi liputan kepada PH dengan tujuan mengutuk, menghina dan mempersendakan.

Selepas kemusnahan Umno/BN hatta TV3 yang menjadi ketua kepada gerombolan MAP ini pun sudah tukar kecenderungan ibarat sesumpah. Begitu juga dengan akhbar Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo, New Straits Times, Harian Metro dan The Star.

Tetapi bagi saya, mereka tidak layak mengaku diri mereka media bebas kerana masih dikuasai dan ditadbir oleh Umno/BN.

Akhbar percuma The Sun milik tauke Sports Toto (Tan Sri) Vincent Tan itu pun tidak boleh dikira bebas kerana kecondongan pemberitaannya memihak kepada kerajaan Umno/BN.

Begitu juga dengan The Malay Mail yang dimiliki oleh (Datuk) Siew Ka Wei. Siew diketahui umum sebagai kawan akrab bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Yang boleh dianggap media bebas adalah akhbar Sinar Harian dan The Edge, dan sedikit sebanyak saluran TV Astro Awani.

Hatta Bernama dan RTM pun banyak berbau politik Umno/BN walaupun mereka sepatutnya berkecuali 100 peratus kerana bukan milik parti tetapi milik negara.

Daripada apa yang saya hidu, TV3, Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo, New Straits Times, Harian Metro dan The Star masih mengamalkan dasar pro-Umno/BN.

Laporan mereka berkenaan kerajaan baru PH lebih bertujuan mengabui mata umum bahawa mereka telah berubah.

Mereka juga oportunis dengan mengambil kesempatan daripada sokongan besar kepada PH untuk melariskan semula jualan mereka yang merudum kerana kebencian pelanggan terhadap kerajaan kleptokrasi Najib Razak.

Media milik Umno/BN dan yang pro-Najib tidak akan mencapai kebebasan tulen dan berpanjangan selagi saham dan pengurusan mereka dikawal oleh parti-parti BN dan usahawan pro-Najib.

Soal masa depan pemilikan turut menjadi pertimbangan kritikal kerana boleh dikatakan semua media milik parti-parti BN, kecuali mungkin The Star, mengalami kerugian teruk.

Kerugian yang dideritai oleh Utusan Melayu semakin besar dan ia mungkin kehabisan modal dalam masa beberapa bulan berikutan kekalahan Umno. 

Selama ini Umno dan kerajaan BN memberikannya bantuan kewangan dan kontrak sebagai talian hayat.

Hatta Kumpulan Media Prima/NSTP yang suatu masa dulu amat hebat prestasinya sehingga mampu membiayai penubuhan bank, stesen TV, telekomunikasi, perhotelan, hartanah, insurans dan pelancongan kini bernyawa ikan.

GLIC Tanggung Rugi

Penyelesaian masalah kewangan mereka menjadi semakin mendesak kerana sebahagian pemegang saham utama mereka – selain Umno – adalah tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji.

Dalam kes Media Prima, ada laporan mengatakan Kerajaan Malaysia turut memiliki saham yang banyak. Kalau ini betul, maksudnya saham itu sekarang dimiliki Kerajaan PH. Secara peribadi saya rasa tidak wajar kerajaan memegang saham dalam syarikat media.

GLIC pula tidak boleh terus memodali syarikat-syarikat milik Umno/BN yang buruk prestasi kewangannya kerana ini akan memberi kesan negatif kepada pencarum dan pemegang unit mereka.

Kesimpulannya, oleh sebab kerajaan PH komited kepada kebebasan bersuara, maka adalah penting bagi kumpulan media milik parti-parti BN serta pengarang dan wartawan mereka memikirkan apakah peranan mereka dalam Malaysia baru ini.

Mereka perlu memikirkan harga diri, etika dan profesionalisme kewartawanan.
Mereka tidak boleh terus memperdagangkan mata pena mereka semata-mata kerana wang. Wartawan cari makan mungkin tidak ada tempat yang sah dalam dunia media era PH.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).