Tuesday, July 17, 2018

Sidang Parlimen Uji Malaysia Baru


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

 
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir angkat sumpah Parlimen
SEMALAM, Parlimen Malaysia mencipta sejarah apabila ia memulakan mesyuarat pertamanya selepas pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.

Inilah kali pertama dalam masa 60 tahun sejak merdeka pada tahun 1957 dan setelah melalui 14 PRU, Dewan Rakyat dikuasai oleh parti lain daripada Perikatan/Barisan Nasional.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Jadi tidak hairanlah antara ahli pembangkang yang bertindak keluar dewan kerana membantah “point of order” pelantikan Speaker adalah daripada BN. Ahli-ahli BN itu mengikut apa yang dilakukan oleh perwakilan PAS.

Patut sangatlah. Sebagai parti yang baru menjadi pembangkang, BN kenalah belajar daripada parti pembangkang veteran macam PAS. Tapi janganlah pula sampai ponteng dewan seperti yang sudah menjadi amalan salah seorang ahli Yang Berhormat parti tersebut.

Ahli pembangkang yang riuh-rendah keluar dewan itu akhirnya terpaksa jilat ludah sendiri apabila masuk semula untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan yang mereka bangkang - Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. Mohamad Ariff adalah bekas hakim mahkamah rayuan.

Ahli Yang Berhormat BN dan PAS itu angkat sumpah juga sebab kalau tak angkat sumpah tak sah jadi anggota dewan. Bila tak sah jadi anggota dewan, taklah dapat elaun. Jadi terpaksalah juga tanggung aib dan angkat sumpah. 

Bukan mudah bagi BN – atau lebih tepat Umno – menukar peranan daripada kerajaan kepada pembangkang.

Mengikut kiraan sehingga 24 Jun, terdapat 116 wakil Pakatan Harapan (PH) dalam dewan. Mereka disertai dan disokong oleh lapan wakil Warisan dan seorang UPKO sebagai ahli “confidence & supply”.

Kalau kiraan kepala itu tepat, PH dan rakan-rakan sekutunya kini menguasai 126 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Ini bermakna ada 96 orang ahli pembangkang yang terdiri daripada 54 BN (51 Umno, 2 MIC dan 1 MCA), 19 Parti Gabungan Sarawak (GPS), 18 PAS, dua United Alliance (PBS dan STAR), 1 PBRS dan 3 bebas.

Khairy Jamaluddin dan Anifah Aman tidak sertai protes BN-PAS
Angka ini mungkin tidak tepat 100 peratus kerana klasifikasi masih boleh berubah disebabkan ahli keluar atau bertukar parti.

Misalnya, portal rasmi Parlimen Malaysia telah mentakrifkan wakil BN Masjid Tanah, Melaka, (Datuk Wira) Mas Ermieyati Samsudin, sebagai ahli bebas. Beliau isytihar keluar Umno 1 Julai lalu.

Perbahasan dan pengundian pun mungkin mengalami perubahan dan kejutan. Ini adalah kerana sudah ada kalangan ahli pembangkang dan bebas - seperti GPS – yang membayangkan bahawa mereka mesra PH.

GPS bertanding PRU 9 Mei lalu sebagai BN Sarawak tetapi keluar BN pada 12 Jun. Ia terdiri daripada PBB dengan 13 kerusi, PRS 3, PDP 2 dan SUPP 1.

Dengan ini, PH dan sekutunya dijangka tidak akan mengalami masalah besar untuk meluluskan rang undang-undang biasa yang tidak memerlukan suara dua pertiga.

Parlimen kita dibentuk berasaskan sistem Westminster Inggeris. Ia mengandungi dua dewan - Dewan Rakyat dengan seramai 222 ahli yang dipilih dan Dewan Negara dengan 70 ahli yang dilantik.

PH mungkin menghadapi masalah di Dewan Negara kerana ia dikuasai oleh Umno/BN serta parti-parti yang dulunya bergabung atau bersimpati dengan BN.

Sehingga 12 Jun lalu, 30 daripada 70 ahli Dewan Negara adalah wakil BN (22 Umno, 5 MCA dan 3 MIC). GPS ada 3, bebas 3, Gerakan 2, PAS 2 manakala PLF, United Alliance, PBS dan LDP seorang ahli setiap satu.

Ada 24 kekosongan yang perlu diisi. Semalam enam calon senator yang pro-PH diumumkan dan akan mengangkat sumpah hari ini.

Parlimen Bukan Sarkas

Setelah membuat perubahan pada 9 Mei lalu, pengundi khasnya dan rakyat jelata amnya tentulah mahu melihat pembaikan dalam perbahasan di Parlimen.

Sekali-sekala berlawak jenaka, ketawa dan menepuk meja bolehlah. Tapi kita tidak mahu sarkas dan bahas ala Raja Lawak seperti berlaku semalam diteruskan. Kita mahu perbahasan yang berkualiti, bernas, berhemah dan bijaksana.

Bahaya jika abai ikrar dan janji kepada pengundi
Wakil-wakil PH wajib berani bertanya dan menegur kerajaan mereka sendiri dan wakil-wakil pembangkang menyokong kerajaan dalam hal-hal kepentingan negara.

Wajib ada dikotomi atau pemisahan di antara parti dan kerajaan di kalangan ahli PH. Yang tidak menjadi menteri atau timbalan menteri wajib berani menegakkan pendirian parti dan mengkritik kerajaan jika ia menyimpang daripada ikrar dan janji.

Di pihak yang lain pula, kita mahu melihat Parlimen menjadi lebih bipartisan dalam isu-isu pokok seperti reformasi institusi, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Proses reformasi telah pun bermula dengan Parlimen diberikan kuasa yang lebih besar di mana sembilan institusi utama negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Audit Negara telah diletakkan di bawah kawalannya.

Badan-badan lain yang bertanggungjawab terus kepada Parlimen adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Saya cadangkan agar hal-hal berkaitan Raja-raja Melayu juga dipertanggungjawabkan kepada Parlimen supaya kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada raja serta negara, seperti termaktub dalam Rukun Negara, boleh kita jadikan amalan harian. Ini boleh dimulakan dengan peruntukan diraja dibentang dan dibahaskan secara terbuka di Parlimen.

Selamat bersidang.

Wallahuaklam.

11 comments:

azhar rangkuti said...

Setiap rakyat impikan suasana dewan yg sarat dengan perbahasan & hujah berdasarkan ILMU & FAKTA oleh setiap ahli Parlimen; bukannya sentimen & omongan kosong seperti di kedai kopi

Selamat Bersidang!

Quantum Metal Consultant said...

Sila duduk, jangan lari...

Buah Kerdas said...

Itulah harapan rakyat Malaysia selama ini. Sayangnya, belum apa-apa MP PAS dan UMNO, kecuali KJ, sudah tunjuk perangai hodoh keluar dewan beramai-ramai.

Sg.Kandis said...

Dear Datuk,
it was reported in Malaysiakini KR president Wan Azizah Wan Ismail has apparently decided to field a relatively unknown candidate for the Sungai Kandis by-election, contrary to suggestions by Selangor PKR.

A PKR leader close to its Selangor chief and former state menteri besar Mohd Azmin Ali confirmed to Malaysiakini a media report which stated that local candidate Zawawi Mughni is set to be fielded to contest the by-election.

This, according to two high-ranking party leaders who were not named, who told the Malay Mail that the name was put forth by the PKR leader, in spite of the state party division having picked Kota Damansara coordinator Mohd Razlan Jalaluddin to contest.

All we can say is that Azizah better make sure that her proposed candidate win the Sg.Kandis seat. Otherwise leave it to the Selangor PKR chief whose nose is to the ground to make the decision. PKR cannot afford to lose this sea to UMNO.

Jojo said...

1. Saya amat berharap wakil2 rakyat dapat bincang dan beri penyelesaian kepada semua perkara melibatkan rakyat. Tak perlu bincang perkara peribadi yang berlaku lama dahulu dikuasai emosi seperti Ramkarpal buat. Nasib baik Tuan Speaker tegas.

2. Saya setuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa "Manifesto is not a bible. It's a guide". Jadi perkara2 yang tak dipersetujui perlulah dibantah dan diberi penyelesaian terbaik sama ada dari pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan sendiri.

3. Sistem sedia ada kadar 0% GST (zero rated GST) boleh digunapakai untuk perlaksanaan SST. Kekalkan dan buat penambahbaikan untuk SST sahaja. Tidak membazir dan senang dikawal.

4. Bayaran PTPTN perlu dibuat tanpa menunggu sehingga gaji mencapai RM4000. Cuma diberi kelonggaran untuk buat bayaran mengikut kadar yang mampu pada kadar faedah yang sama.

5. Selama ini begitu ramai lepasan SPM yang berjaya memasuki universiti2 terbaik dunia. SPM merupakan syarat untuk memasuki IPTA. Pelajar2 tahfiz pun kena ambil SPM untuk masuk IPTA.

6. UEC tidak perlu diiktiraf kerajaan. Tidak perlu dikaji pun. Ia hanya peperiksaan swasta untuk golongan yang tidak mahu ikut sistem pelajaran di negara ini. Sila baca apa kata professor2 cina di bawah ini untuk yang kurang membaca....

i) http://www.utusan.com.my/berita/nasional/iktiraf-uec-akan-turut-jejaskan-kepentingan-kaum-cina-1.706518

ii) http://temp.malaysiagazette.com/v2/blog/2018/07/18/jahil-perlembagaan-punca-sokong-uec/

iii) https://www.ismaweb.net/2018/07/16/naifnya-kita-memahami-uec/

7) Kerajaan kena perkasakan sekolah kebangsaan. Bangunan dan kemudahan sekolah perlu ditingkatkan. Setiap sekolah mesti ada bahasa mandarin/tamil. Supaya pelajar kira boleh banyak bahasa. Selain akademik perlu lebihkan aktiviti kokurikulum & sukan serta kemahiran untuk pelajar2 yang tak minat akademik.

8) Tolonglah pantau pusat2 tahfiz dan rumah2 anak yatim yang terlalu banyak dan hidup atas ihsan dan sedekah saja. Kerajaan boleh saja buat pusat tahfiz atau rumah anak yatim yang sistematik.

9) Gaji minima RM1000 untuk pekerja tidak/kurang mahir adalah membebankan bagi perniagaan kecil/sederhana. Harap pihak kerajaan dapat buat sesuatu.

10) Ini adalah antara perkara2 yang saya harap wakil2 rakyat kita bincangkan. Sekian.





Pak Yop said...

Ki ki ki..hari pertama bn kluar dewan..ada ka patut ph keluar dewan.petang semalam.sapa2 bole bagi pencerahan..parlimen apa ni weii

High treason by words and deeds said...

Datuk,
Najib and his team lost the GE14 in spite of their unwavering belief that they would win, albeit by a narrow margin.
Notwithstanding that, the Research Department in his administration had allegedly sent to US's Central Intelligence Agency (CIA)a letter five days before the G14 elections urging the US Govt to support him.

This is high treason and Najib cannot deny not knowing about it.
PH parties and Malaysians must lodge police reports against Najib and the Research Dept heads.

Unknown said...

Assalamualaikum

Datuk

Ketua PAS yg suka dan selalu pobtebg itu seharus nya jgn di beri elaun. As a matter of fact all MPs that frequently absent themselves should hv their allowances cut or stopped altogether.

Parliament shud set a precedent

Wallahualan

Anonymous said...

I still cannot quite assume that I could be one of those reading the important ideas found on your site.
My family and I are sincerely thankful on your generosity and for providing me the opportunity to pursue my own chosen profession path.
Many thanks for the important information I obtained from your web page.

Unknown said...

rindu pd hujah rafizi dlm parlimen

A KADIR JASIN said...

Assamualikum,

1. Saya mohon sangat-sangat kepada sesiapa saja yang ingin berbahas di sini, MINTALAH guna bahasa yang baik dan sempurna.

2. Selain hujah yang baik, elok sangatlah kita menggunakan bahasa yang baik juga.Saya tidak akan layan bahasa WhatsApp yang penuh singkatan dan bahasa basahan.

3. Bahasa mencerminkan pekerti dan mutu pemikiran kita. Bahasa ko, aku dan sya ni tak sesuai untuk perbahasan berkualiti.

4. Mohon maaf. Terima kasih.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).