A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]
MANTAN Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dilaporkan berikrar menyatupadukan pembangkang bagi menentang Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut agensi berita Perancis AFP yang menemu ramah beliau baru-baru ini, matlamat beliau adalah “menyekat Abdullah daripada memperoleh kelebihan suara majoriti.”
Anwar memberitahu AFP bahawa harapan ini mungkin menjadi kenyataan jika parti-parti pembangkang bersetuju untuk tidak bertanding melawan satu sama lain.
Apa pun yang dikatakan dan apa pun yang terjadi, apatah lagi dalam konteks politik semasa yang kabur, Anwar terus berupa orang terbaik untuk menyatupadukan pembangkang.
Malah hakikat bahawa beliau mewakili parti terkecil dalam gagasan pembangkang, berkedudukan hanya sebagai penasihat parti dan goyang kabur di segi undang-undang boleh menjadi beliau orang terbaik memainkan peranan sebagai “unifier” atau penyatu padu.
Pada pemilihan PKR Sabtu lalu (26 Mei), Anwar menarik diri di saat-saat akhir daripada bertanding jawatan presiden melawan Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berupa penyandang dan isteri beliau.
Parti-parti pembangkang memerlukan pakatan yang lebih kuat dan padu daripada yang pernah dijalin sebelum ini jika mereka mahu menafikan majoriti dua pertiga BN. Matlamat ini tidak mustahil walaupun sukar dicapai.
Dalam sejarah, hanya pada pilihan raya umum 1969 sahaja pembangkang berjaya menafikan kelebihan kerusi dua pertiga parti kerajaan.
Tetapi ia berlaku dalam suasana politik perkauman dan agama yang sangat dahsyat di mana Perikatan cuba mempertahankan Perlembagaan dan kontrak sosial manakala Pas mahukan keutamaan untuk Islam dan orang Melayu dan parti-parti majoriti Cina seperti DAP dan Gerakan mahukan kesamarataan dan, justeru itu, menolak beberapa peruntukan Perlembagaan.
Daripada 144 kerusi Parlimen waktu itu, Perikatan memenangi 95 atau 66 peratus dan pembangkang 49 atau 34 peratus. Undi popular pembangkang mengatasi Perikatan dengan memperoleh 50.7 peratus berbanding 49.3 peratus.
Tetapi akibat peristiwa berdarah 13 Mei yang berlaku tiga hari kemudian, keputusan itu menjadi sia-sia kerana Parlimen digantung.
Gerakan dan Pas akhirnya menyertai Perikatan untuk menubuhkan parti campuran yang baru yang dikenali sebagai Barisan Nasional. Pas dipecat daripada BN pada tahun 1977.
Ini mungkin masa terbaik bagi pembangkang mencuba mengubah untung nasib mereka setelah kalah teruk pada pilihan raya umum 2004. Pada pilihan raya itulah BN mencatatkan prestasi terbaik dan pembangkang terburuk dalam sejarah.
Pada pilihan raya itu, pembangkang memenangi hanya 21 daripada 198 kerusi Parlimen atau 9.59 peratus bilangan kerusi walaupun undi yang mereka peroleh adalah 36.1 peratus. Undi popular paling sedikit pernah mereka peroleh ialah pada tahun 1995 iaitu 34.8 peratus.
Prestasi berbaik pembangkang selepas 1969 adalah pada tahun 1990 apabila gagasan mereka diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu memimpin Parti Semangat 46. Mereka memenangi 53 atau 29.45 peratus daripada kerusi parlimen dan 46.6 peratus undi popular.
Daripada aspek psikologi dan perangkaan, keputusan pilihan raya umum 2004 adalah luar biasa. Pengundi menjadi begitu taasub terhadap BN kerana dua faktor. Pertama menyambut era baru Abdullah Badawi, orang baik dan berlatar-belakangkan Islam dan kedua hadiah persaraan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tetapi sejak itu, keadaan sudah banyak berubah. Abdullah telah memagari dirinya dengan penasihat dan pentadbir yang umumnya di luar kerangka Umno.
Dia telah membatalkan banyak projek era Mahathir dan menggantikannya dengan projek raksasa beliau sendiri seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Jambatan Pulau Pinang Kedua, Projek Monoril Pulau Pinang dan Wilayah Pembangunan Utara.
Jentera politik dan propagandanya secara sistematik dan terbuka menjalankan kempen menyekat Mahathir daripada bersuara dan menghapuskan legasi beliau.
Islam di Malaysia di labelkan sebagai “Islam Hadhari”, Mahathir secara terbuka mahu Abdullah disingkirkan dan parti-parti komponen BN, selain Umno, semakin lantang memperjuangkan kepentingan kaum yang mereka wakili.
Harga barang dan perkhidmatan terus meningkat atas persetujuan kerajaan yang tidak mahu lagi menanggung kos subsidi. Kerajaan mendakwa inflasi rendah tetapi gaji kakitangan awam dinaikkan hingga 35 peratus dan kos sara hidup (cola) 100 peratus.
Pengaliran masuk modal terus dari luar (FDI) semakin tidak ketentuan. Di masa yang sama semakin banyak pelabur tempatan membawa keluar modal. Walaupun kenaikan harga saham di Bursa Malaysia mencatat rekod tetapi semakin banyak syarikat menarik diri dan ada di antaranya berhijrah ke Bursa Saham Singapura.
Ini tidak termasuk perkembangan sensasi seperti pembubuhan wanita jelita dari Mongolia yang membabitkan penasihat Timbalan Perdana Menteri dan dua orang anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK), penglibatan anggota keluarga Perdana Menteri dalam politik dan perniagaan, dan kadar jenayah yang semakin meningkat yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini.
Pendek kata di segi isu, pembangkang tidak kekurangan bahan untuk menyerang kerajaan. Sebaliknya kerajaan mempunyai banyak soalan yang perlu dijawab, termasuk janji-janji pilihan raya umum 2004 yang belum ditunaikan.
Soalnya, kalau pembangkang gagal memperbaiki prestasi, puncanya bukanlah kerajaan atau parti BN, tetapi ketidakupayaan mereka sendiri untuk mewujudkan pakatan yang kukuh.
BN tentulah akan menggunakan segala kekuatan dan taktik yang ada kepadanya untuk menggagalkan pakatan pembangkang, apatah lagi jika ia dipimpin oleh Anwar. Kepulangan Anwar dalam bentuk apa sekalipun adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh BN, khasnya Umno.
Anwar bukan sekadar musuh bagi BN. Dia adalah musuh yang berkarisma yang tahu banyak rahsia dan taktik Umno dan BN kerana selama 16 tahun dia menganggotai dan memimpinnya.
Sepanjang kehadirannya di dalam Umno dan kerajaan, dia adalah anak emas Dr Mahathir. Tetapi hari ini, satu-satunya kepentingan yang masih dikongsi bersama tetapi secara berasingan oleh Mahathir dan Abdullah adalah menyekat kepulangan Anwar.
Ringkasnya, walaupun Anwar tiada berjawatan tinggi dalam PKR dan mungkin tidak boleh menyertai pilihan raya sebagai calon, namun beliau terus berupa orang terbaik untuk mewujudkan pakatan di kalangan parti-parti pembangkang.
Malah pembabitan beliau yang tidak terlalu cergas dalam PKR dan kemungkinan beliau tidak boleh menjadi calon pilihan raya membuatkan peranan beliau sebagai “unifier” barisan pembangkang sesuatu yang cukup menarik.