A Kadir Jasin
[KALAU mengulas menggunakan
pengenalan “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan
penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]
BILA saya muncul di
TV al-Hijrah baru-baru ini, pengacara mudanya, antara lain, merumuskan agar
kita jangan memandang ke belakang lagi. Kita hanya memandang ke hadapan.
Dalam
perbincangan panel mengenai cadangan pemansuhan ISA itu, saya membahasakan diri
saya haiwan purba yang tidak pupus – the living dinosaur.
Jadi saya
sarankan kepada beliau supaya membuang semua cermin pandang belakang keretanya
dan cuba pandu dengan tidak ada rear view mirror. Sejarah ada cermin pandang
belakang kehidupan dan tamadun manusia.
Kalau kita buta
sejarah, samalah dengan memandu tanpa cermin pandang belakang. Tapi kalau kita
asyik tengok cermin pandang belakang masa memandu, kita boleh langgar pokok
atau jatuh sungai.
Jadi dalam
posting kali ini, saya hendak ajak pembaca tengok cermin pandang belakang sebab
saya baru baca balik buku Tingkatan Enam Rendah saya (tahun 1967) bertajuk
“Adat Isti’adat Melayu” karangan Syed Alwi Bin Syed Sheikh Al-Hadi dan
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dalam buku itu,
ada macam-macam adat istiadat serta amalan orang Melayu yang diceritakan.
Antara yang saya, sebagai dinosaur, boleh fahami betul-betul ialah adat
istiadat bersunat. Pada zaman saya, ia berupa adat istiadat meriah bagi orang
dewasa dan sangat-sangat menakutkan bagi yang akan disunatkan.
Tak ada doktor.
Tak ada bius. Tak ada oksigen. Tak ada ubat. Yang ada tok mudim, pisau cukur
sepanjang enam inci, batang pisang dan abu dapur. Untuk kebaskan badan supaya
tak sakit sangat, kita berendam dalam telaga sepanjang pagi. Lepas itu
dipakaikan kain sarung dan diusung atas bahu untuk disunatkan.
Lepas disunatkan,
kita duduk terkangkang atas abu dapur yang tadah darah kita. Abu dapur digunakan sebab ia kering dan
bersih. Kita buat “dressing” sendiri guna kertas alas kotak rokok. Ada tak ada
ubat hanyalah iodin.
Tiga minggu tak
sembuh lagi. Silap-silap, kata orang Kedah, meliau – septik. Yang paling seksa
bila saudara mara perempuan yang sudah tua selak untuk tengok dah baik atau
belum. Itu tak masuk lagi upacara dilagakan dengan ayam jantan. Malu tak
terkira.
Mengenai adat
istiadat bersunat, Syed Alwi, antara lain,
menulis: “Kemudian maka budak itu pun di-dudokkan berchelapak di-atas
batang pisang, dan to’ mudim itu pun dengan pantas menyunatkan dia, dan
sa-habis sahaja di-chantas-nya maka dengan chepat to’ mudim itu mengambil bapak
ayam itu dan di-acu2kan-nya kepala bapak ayam itu kepada kemaluan budak itu dan
jika nampak kembang tengkok ayam itu tatkala di-acu2kan maka yang demikian itu
konon, menandakan budak itu garang dan akan berbini banyak.”
Saya tak
dilagakan dengan ayam jantan semasa bersunat, tapi bila sudah hampir sembuh,
dengan ihsan abang-abang sepupu yang suka melawak. Kita malu tak terkira,
mereka gelak terdekah-dekah. Syukur, segala-galanya berjalan lancar.
Hari ini, bagi
ramai orang Melayu, bersunat bukan istiadat lagi. Ia tidak lebih daripada
pembedahan kecil yang selesai dalam setengah jam. Malah dua orang cucu saya
disunatkan sebaik saja lahir.
Nak lagakan
dengan ayam jantan pun dah susah. Nak cari ayam jantan yang jaguh bukan mudah,
kena cari Wak Jawa yang bela ayam sabung untuk judi haram di kongsi.
Silap-silap kena cekup polis.
Sekarang banyak
ayam jantan dah jadi ayam “ponen” atau ayam "darai" sebab kena suntik hormon ayam betina. Badan
besar, kukuh nyaring tapi kena hambat ayam betina lari lintang pukang. Lagipun,
ayam betina tak perlukan ayam jantan untuk bertelur, cuma telur yang tidak
disenyawakan oleh ayam jantan tak menetas. Wallahualam.
Nota kaki: 1.
Syed Alwi menulis permata ilmu itu pada tahun 1959 dan DBP menerbitkannya pada
tahun 1960. 2. A hen does not need a rooster to lay an egg. Hens ovulate
regularly, regardless of whether there is contact with a male or not. Most
grocery store eggs come from hens that have never seen a rooster.