Thursday, January 31, 2013

Masjid Ditentang, Universiti Ditatang


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

TAMPALAN ini sekadar menyuarakan ketakjuban saya terhadap sikap dan pemikiran sesetengah orang Malaysia mengenai dua perkembangan yang berasingan tetapi dengan kata kunci yang sama atau hampir sama iaitu Cina/China.

Apabila Persatuan Cina Islam Malaysia mengumumkan cadangan membina sebuah masjid sendiri di Kuala Lumpur dengan bercirikan reka bentuk Cina tidak berapa lama dulu, ada pihak menentangnya.

Alhamdulillah, bukan semua orang Islam yang tertutup hatinya dan Masjid Cina Islam Malaysia itu, insya-Allah, akan jadi kenyataan.

Orang yang menentang atau tidak menyetujui cadangan itu sama ada tidak tahu apa-apa mengenai Islam atau buta sejarah. Islam bukan untuk bangsa dan orang tertentu sahaja. Islam untuk semua yang beriman kepada Allah, Tuhan yang satu.

Hanya orang yang buta sejarah saja menentang cadangan masjid itu semata-mata kerana reka bentuk Cinanya. Mungkin mereka tidak tahu yang antara masjid tertua dan tercantik di dunia adalah di China.

Mungkin mereka juga tidak tahu bahawa Islam sampai ke China seawal 616-18 Masihi dibawa oleh sahabat-sahabat Rasulullah sendiri dan bilangan umat Islam China lebih ramai daripada orang Islam Malaysia. Menurut pusat penyelidikan Pew, berdasarkan bancian kerajaan China, ada kira-kira 22 juta orang Islam di negara itu.

Alhamdulillah, saya berkesempatan melawat beberapa buah masjid lama di Beijing dan sekitarnya beberapa tahun lalu. Saya amat kagum dengan sejarah dan reka bentuknya.

(Pemandangan di dalam sebuah masjid di Negeri China)

Anehnya, apabila Universiti Xiamen, China, mengumumkan cadangan membuka kampus di Malaysia, pelbagai pihak mengalu-alukannya. Saya tidak pula terbaca ada pihak yang membantah. Menurut laporan media, kampus di Salak Tinggi, Selangor, itu berupa kampus seberang laut pertama bagi sebuah institusi pengajian tinggi China.

Saya lebih selesa dengan sebuah masjid yang berekabentuk Cina dan dimiliki oleh orang Cina Islam Malaysia daripada sebuah institusi pengajian tinggi China atau mana-mana negara pun.

Saya tahu, semua orang Islam babas keluar masuk mengerjakan ibadat di sebuah masjid Cina Islam, tetapi sebuah universiti asing tentu ada agenda dan seleranya sendiri walaupun kampusnya di Malaysia.  Wallahualam.

Saturday, January 26, 2013

Mengapa RCI Untuk Satu Malaysia Tidak Boleh?


 A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

WAKTU saya membesar di kampung pada tahun 1950-an dan 60-an, ramai orang Melayu pelihara anjing. Lagi-lagilah kalau rumah mereka di pinggir hutan atau terpencil.

Tidak ingat pula orang kata yang orang Islam tidak boleh pelihara anjing atau diperbesar-besarkan soal najis dan samak. Kita diajar dan disuruh amalkan samak. 

Jadi, sedikit sebanyak saya tahulah tabiat dan sifat anjing. Salah satunya, jangan ganggu anjing yang sedang tidur. Silap-silap kena terkam dan kena gigit. Kalau anjing itu dijangkiti kuman penyakit anjing gila (rabies), kita pun kena juga. Dulu tidak ada ubat. Jawapannya maut.

Peribahasa Inggeris ada mengatakan “let the sleeping dogs lie” yang maksudnya janganlah dibangkitkan sesuatu yang akan membawa bencana dan keburukan.

Tetapi nampaknya bukan sahaja ada orang kita yang mengganggu anjing sedang tidur malah mengacah dan mengusiknya pula. Itulah analogi yang terlintas dalam fikiran saya apabila membaca berita mengenai reaksi banyak pihak terhadap hari-hari awal sidang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bersabit pendatang asing di Sabah.

Jadi Apa Salah RCI Untuk Satu Malaysia?

Kalau begitu banyak pihak, khasnya parti-parti pembangkang, mahu RCI Sabah itu ditubuhkan dan kerajaan Barisan Nasional Mohd Najib Abdul Razak akur, apalah salahnya bagi (Tun) Dr Mahathir “the Wizard” Mohamad, mencadangkan supaya suruhanjaya yang serupa ditubuhkan bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan kepada sejuta orang keturunan Cina dan India menjelang kemerdekaan 1957?

Apa salahnya kita siasat sama ada mereka diberikan kerakyatan dengan cara yang betul dan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan?

Elok dibuat sekarang sebelum terlambat kerana tidak berapa ramai lagi orang Cina dan India yang dapat kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu waktu itu masih hidup. Orang Melayu yang tahu hal itu pun sudah tua-tua belaka.

Demi sejarah dan demi ketelusan yang menjadi mantera zaman ini, saya pun hendak tahu juga, misalnya, masa mereka dibagi kerakyatan, adakah mereka boleh menguasai bahasa Melayu atau Inggeris dengan baik seperti disyaratkan?

Atau adakah mereka bersumpah taat setia kepada raja dan negara serta memenuhi syarat-syarat mastautin?

Bahagian 12 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mengenai kerakyatan menyebut:-

Kerakyatan Persekutuan pada dan kemudian daripada hari yang ditetapkan itu orang-orang yang tersebut di bawah ini hendaklah menjadi rakyat Persekutuan:



(a)Mana-mana rakyat Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sama ada diperanakkan dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan.


(b)Mana-mana rakyat British yang diperanakkan di Negeri-negeri Selat sama ada dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan.


(c)Mana-mana orang yang diperanakkan dahulu, pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan itu dalam mana-mana negeri yang sekarang akan terkandung dalam Persekutuan dan bertabiat bercakap bahasa Melayu dan mengikut adat resam Melayu.


(d)Mana-mana orang yang lain diperanakkan dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan dalam mana-mana negeri yang akan terkandung dalam Persekutuan yang ibu bapa kedua-duanya diperanakkan dalam mana-mana negeri itu dan pada masa diperanakkan itu telah atau akan tinggal tetap dalam negeri-negeri itu.


(e)Mana-mana orang yang bapanya pada tarikh diperanakkan orang itu ia sedia menjadi rakyat Persekutuan.



Kerakyatan Secara Permohonan:



(a)Ia telah diperanakkan dan telah tinggal dalam mana-mana negeri-negeri dalam Persekutuan selama 8 daripada 12 tahun terdahulu daripada permintaannya.


(b)Telah tinggal 15 tahun daripada 20 tahun awal daripada permintaannya dengan syarat berperangai baik, mempunyai pengetahuan yang cukup tentang bahasa Melayu atau Inggeris, membuat pengakuan akan tinggal tetap dan mengangkat sumpah taat setia kepada Persekutuan.

Ada Lagi Tidak Boleh Cakap Melayu

Kita tahulah, sampai hari ini pun ada lagi “rakyat” Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu. Malah semakin ramai tidak berasa perlu belajar atau menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Jadi, apalah salahnya Dr Mahathir atau sesiapa sahaja mendesak ditubuhkan RCI bagi menyiasat pemberian kerakyatan kepada orang Cina dan India ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan?

Pengalaman saya dengan anjing banyak. Sewaktu belajar dan melawat luar negara serta tinggal dengan keluarga angkat orang Eropah, saya terpaksa berbaik-baik dan menjaga anjing mereka.

Anjing adalah haiwan yang sangat mereka sayangi dan anjing mereka cerdik. Jadi, kalau kita hendak menguasai anjing mereka yang cerdik itu, kita kena lebih cerdik daripadanya.

Saya pernah menjaga seekor anjing jenis German Shepperd (sama macam gambar di atas) milik sepasang suami-isteri Amerika di bandar Springfield, Illinois pada tahun 1980-an. Pada mulanya anjing itu menyalak dan menunjuk garang, tetapi apabila saya berdepan dengannya dan tidak menunjukkan takut ia berhenti menyalak dan akhirnya kami jadi kawan.

Kalau kita dikejar anjing, jangan lari. Anjing lebih pantas daripada kita. Kita berhenti, tunduk seolah-olah kita mengambil sesuatu dan menyergahnya. Itulah yang saya pelajari dan lakukan sewaktu berulang-alik melintasi kampung Cina di pekan Pendang ketika bersekolah dahulu.

Kita juga belajar menendang anjing yang mengejar kita ketika menunggang basikal. Wallahualam.

Saturday, January 19, 2013

Anwar: Exorcising The Ghost of His Umno Past


A Kadir Jasin

[ATTENTION, anonymous comments will not be published. Please use Google Account, OpenID or Name/URL to comment. Thank you]

SHOULD we be curious that Parti Keadilan Rakyat’s deputy president, Mohd Azmin Ali, is so worried about the so-called attempts to implicate his boss, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, in the Sabah immigrant issue or is there something more than meets the eye?

After all, the Royal Commission of Inquiry (RCI) had just started its work.

Or is there something intimate that he knows about Anwar’s alleged involvement in the Sabah’s immigrant issue that many young Malaysians are not aware of?

Older Malaysians who know Anwar from his student days may be less surprised about his many political and social involvements and the evolution that he went through before, during and after his Umno days.

Azmin had alleged that the PKR had received information about a plot to implicate Anwar in the on-going inquiry.

The Malaysiakini news portal quoted him as saying: “[And] I also received information (the) ultimate goal will relate to Datuk Seri Anwar Ibrahim also.
“All the problems in this country is burdened on the de-facto leader and we also expect (this).”

I would not dare advise Anwar and Azmin, although I knew both of them well during the years that they were the power duo in the Barisan Nasional administration, to acknowledge that they were responsible for some of the key decisions that took place during that period or, at the very least, admit that they were fait accompli.

I Know They know What I Know

I was there for all of the 16 years that Anwar was the crown prince of Umno and Azmin, as his principle private secretary, was the envy of many ambitious civil servants and political operators. The braver ones called him names and the gung-ho ones mishandled him. I salute him for his undying loyalty to his boss.

In the case of Sabah politics, in which the immigrants play a major socio-economic and political role, Anwar was for many years its key handler. Because he was one of the most trusted and ambitious allies of then Prime Minister, (Tun) Dr Mahathir ‘the Wizard’ Mohamad , he got to handle not only Sabah politics but also money that went with it – government as well as party money.

Being the young leader most closely identified with Dr Mahathir, Anwar was in the thick of all things important and strategic – things that earned him juicy political dividends. Let us not pretend.

Since Anwar continues the dream of becoming Malaysia’s Prime Minister and has the best shot at it in the coming general election, and Azmin surely would not want to be left far behind, perhaps it is time for them to face the ghost of their Umno and BN past. What is so terribly wrong about it?

Anwar would not be where he is today had he remained an Abim leader or opted to join Pas as some of his Abim’s contemporaries did. For good or evil, the 16 years that he was in Umno, he gained premium political branding so much so he is today able to sell it to Pas and the DAP.

Immigrant Issue Is As Old As the Country

Let us be brave and frank. In a way or another, we are all implicated in all issues pertaining to immigration and citizenship. So we should not politicise the work of the RCI for short-term political gains, more so if we are interested to solve the issue once and for all.

I remember discussing the issue of Filipino immigrants in Sabah back in 1981 with then Deputy Prime Minister and Minister of Home Affairs, (Tun) Musa Hitam, while flying with him in a government jet from Kuala Lumpur to Kuala Terengganu and back.

Even then, the influx of Muslim Filipinos into Sabah was not a new thing. It started long before that. When North Borneo became Sabah and joined Malaysia in 1963, the Filipinos were already free to come and go. Like Malaya during the British time, this was not an issue. And like the immigrant Chinese and Indians who were given Malayan Citizenship in 1957, many Filipinos settled down and gained citizenship when Sabah became part of Malaysia.

The fact that they are Muslims appears to be an issue with some people. That they are useful to the non-Bumiputera controlled economy has never been an issue. Perhaps Chinese traders in the state should be asked if they want the Filipinos to be stripped of their Malaysian citizenship and booted out.

Let us also not forget about the region’s geo-politics during the time Malaysia was born and the fact that before the arrival of the European colonizers, Malaysia, Indonesia, the Philippines and Southern Thailand were one common geographical region called Nusantara, also referred to as the Malay World.

People living in this region were free to move from one part to another. There wasn’t the notion of boundaries. It was only when the European powers divided up the region for their selfish interest that boundaries were created.

Even then, immigrants as far away as China and India were free to come and go, although most decided to stay on and were offered citizenship of the new South East Asian nations.

It is also interesting that the issue of the Filipino immigrants in Sabah should reach the crescendo at the time when the Christians are demanding that they be allowed to use the term “Allah” in their Malay language Bible in the Peninsula and also the time when the Malays and Muslims are perceived be divided and weak.

Back to the power duo, it is time for them to stop giving a partisan twist to the Filipino immigrant issue and to other issues like it, and to stare their Umno and government past in the face. They may not be able to exorcise the ghost of their Umno past, but they may at least be able to sleep more peacefully. Wallahualam.

Thursday, January 17, 2013

Yang Mana Satu Kita Hendak Percaya?


A Kadir Jasin
 
[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

ZAMAN saya kanak-kanak dan remaja dulu, hidup susah tetapi hati kita umumnya senang. Ada makan, ada pakai dan ada rumah robek cukuplah. Itu zaman penjajah dan zaman awal merdeka.

Alhamdulillah, hasil kemerdekaan hidup menjadi lebih senang. Makan lebih daripada mencukupi. Kita tidak sehelai sepinggang lagi. Rumah robek masih ada, tetapi tidaklah sebanyak zaman dulu. Robek-robek pun rumah kita juga. Yang kita takuti adalah semakin ramai orang kita tidak mampu lagi memiliki sebarang bentuk kediaman – terpaksa menyewa sepanjang usia.

Hari ini, yang nampak lebih ketara adalah ramai orang mengeluh, tidak senang hati, marah dan menyampah. Rasa ketidakberdayaan seperti ini adalah negatif dan berbahaya. Boleh membawa kepada gangguan mental.

Mungkin punca ramai orang celaru adalah maklumat yang terlalu banyak, terlalu pelbagai, terlalu pantas dan disalurkan pula melalui terlalu banyak medium – arus perdana, propemerintah, antipemerintah, propembangkang, antipembangkang, bebas, berkecuali dan macam-macam lagi. Zaman saya hanya ada Radio Malaya, Utusan Melayu, Warta Negara, Straits Times dan Straits Echo.

Kemelut Nilai RM

Ambil contoh akhbar arus perdana The Star hari ini. Satu laporan mengatakan harga keperluan perayaan Tahun Baru Cina (TBC) naik kerana kadar tukaran mata wang ringgit.

Antara lain, laporan dari Georgetown itu berkata, harga barangan perayaan TBC yang diimport dari China dan Negeri Thai naik antara 5% dan 10% “kerana perbezaan mata wang”.

Kalaulah laporan itu tepat, kesimpulan yang boleh kita buat adalah harga naik kerana nilai ringgit Malaysia lebih rendah daripada renminbi (yuan) China dan baht Thai.

Tetapi dalam laporan lain bertajuk “Ringgit strengthens and emerges as Asia’s 2nd Best” diberitakan yang RM muncul sebagai mata wang kedua terbaik di Asia sejak permulaan tahun ini.

Awal minggu ini, nilai ringgit mencatat paras tertinggi dalam dagangan harian pada kadar 3.0032 bagi setiap satu dolar, iaitu paras paling tinggi dalam tempoh sembilan bulan sejak 12 Mac lalu.

Kita pun hairanlah sikit apabila Bank Negara kata bagus nilai ringgit naik. Tetapi apabila nilai ringgit merosot, Bank Negara kata bagus juga. Memang betul, sebagai negara perdagangan yang eksport dan import barangan, kita untung. Apabila nilai ringgit naik, kos import turun. Tetapi bagi orang yang import barangan kita, kos import naik dan mereka mungkin kurangkan import.

Lagipun, kalau ringgit naik berbanding dolar saja tidak memadai kerana memang nilai dolar jatuh disebabkan ekonomi Amerika meleset dan kerajaannya pula sedang hadapi masalah belanjawan yang sangat rumit.

Seperkara lagi, kita pun hairan apabila pihak berkuasa berdiam diri mengenai dakwaan kononnya berbilion dolar mengalir keluar dari negara kita secara haram. Peliknya, yang sama apabila masuk ke Singapura atau Hong Kong tidak haram lagi.

Yang saya tahu, harga makanan ikan, burung dan ayam naik. Pelihara ikan dan ayam serta beri makan burung liar adalah kegemaran saya. Jadi, sedikit sebanyak saya tahulah keadaan harga barangan import.

Harga makanan di restoran dan gerai pun sudah banyak naik. Ada yang naik dari segi harga manakala yang lain pula “naik” melalui pengecilan hidangan. Dulu sebungkus nasi lemak sudah kenyang. Sekarang dua bungkus pun tidak sekenyang mana. Roti canai dan hidangan lain pun macam itu juga.

Ramal dan Tilik Pilihan Raya

Tak sah kalau tak cakap sikit fasal politik. Makin hampir pilihan raya umum, makin panas dan makin pelbagai ramalan.

Syirik atau tidak, satu hal. Yang sahih, antara ramalan itu banyak yang karut-marut dan syirik. Anehnya, ramalan karut-marut lebih selamat daripada ramalan berdasarkan simulasi berkomputer. Silap-silap kena buang kerja.

Ada yang kata tengok bintang dan cakerawala. Ada yang suruh tanya tukang tilik. Ada yang kata sami Buddha dan Hindu lagi tahu. Ada yang yakin pembaca daun teh lebih tepat. Ada yang tanya sami wanita dari Burma, Kiai Jawa dan bomoh Siam dari Songkla.

Yang pergi berdoa di Makkah dan Madinah itu biasalah. Tidak mengapa kerana orang Islam digalakkan berdoa. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai ramalan dan tilik nasib, bacalah The Star. Wallahualam.

Saturday, January 12, 2013

Simulasi Pilihan Raya: Antara Altruisme dan Cinta Demi Cinta


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

MUTAKHIR (15 Jan) - Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Azrul Azwar Ahmad Tajudin hari ini mengakui spekulasi  tentang penggantunganny dari tugas oleh bank tersebut disebabkan oleh pandangannya mengenai keputusan pilihan raya 2013.

Minggu lalu, Straits Times Singapura melaporkan Azrul memberi ramalan pilihan raya umum ke 13 dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) dengan majoriti tipis sebagai salah satu daripada tiga senario yang mungkin berlaku.
Apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider hari ini, Azrul mengesahkan beliau telah digantung.

“Ya, itu benar,” katanya. – Malaysian Insider


POSTING ASAL

SALAH satu kaedah terbaru dan canggih meramalkan atau memastikan sesuatu peristiwa adalah simulasi berkomputer atau dalam bahasa Inggeris, computer simulation. Kaedah ini juga dikenali sebagai permodelan berkomputer atau computer modelling.

Hari ini, pelbagai peristiwa dan kegiatan boleh disimulasikan. Misalnya penerbangan. Juruterbang dan juruterbang pelatih kini menghabiskan sama banyak masa “terbang” di dalam kamar simulasi dengan di dalam kapal terbang.

Jadi, apabila ketua ahli ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin menggunakan kaedah itu dan meramalkan yang Pakatan Rakyat (PR) akan mengatasi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, kesannya tentulah menggegarkan, terutama bagi sesiapa sahaja yang faham kaedah tersebut.

Beliau memberitahu sebuah forum ekonomi di Singapura bahawa menurut kiraannya, PR berkemungkinan memperoleh 97 hingga 107 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, tetapi tidak cukup untuk membentuk Kerajaan.

Ramalan beliau disiarkan oleh akhbar The Straits Times, Singapura dan dipetik beberapa portal berita alternatif di Malaysia. Seperti dijangka, Bank Islam secara tegas menjauhkan diri daripada ramalan ketua pegawai ekonominya itu.

Saya yakin, bukan Azrul Azwar seorang sahaja yang mempunyai kepakaran, perangkaan dan komputer yang cukup kuat untuk membuat simulasi seperti itu. Mungkin ramai yang lain telah melakukannya cuma tidak menghebahkan penemuan mereka.

Beliau turut meramalkan yang kemenangan tipis PR itu akan menyebabkan pasaran saham jatuh akibat tindak balas sentak lutut (knee-jerk) dan kebimbangan jangka panjang mengenai kestabilan.

Saya telah pun sedikit sebanyak menyentuh hal ini. Pertama, cakap-cakap pilihan raya yang meleret dan berpanjangan telah pun mempengaruhi harga di Bursa Malaysia, khasnya dan dalam arena ekonomi, amnya.

Pada mulanya, pasaran saham bertindak positif. Harga dan jumlah dagangan naik. Tetapi apabila PRU tidak berlaku dan cakap-cakap mengenainya berlarutan, pasaran mula “bimbang” dan harga menjadi tidak menentu.

Contoh klasik kepada ketidaktentuan ini adalah kejatuhan harga saham Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Felda Global Ventures Berhad yang diuar-uarkan sebagai mercu kejayaan dasar ekonomi Barisan Nasional.

Selain itu, pasaran juga menyaksikan banyak usahawan tergesa-gesa mengapungkan syarikat mereka melalui tawaran permulaan awam (IPO) manakala yang lain pula membeli balik saham syarikat mereka daripada orang ramai melalui privatisation.

Ini ditambah pula oleh pengaliran keluar modal/wang, selain daripada pengaliran pembayaran biasa. Ada tanda-tanda menunjukkan ramai juga usahawan dan pemodal tempatan yang menghantar keluar modal/wang mereka ke luar negara setiap kali PRU diadakan.

Hal ini berlaku kerana kita mengamalkan dasar pasaran bebas dan dasar tukaran mata wang terbuka, yang membolehkan usahawan dan pemodal membawa masuk dan keluar wang dengan mudah.

Lagipun, taat setia sesetengah usahawan dan pemodal kita kepada negara bukanlah altruisme (bukan semata-mata kerana cinta demi cinta) tetapi kerana Malaysia memberikan mereka peluang mengumpul kekayaan.

Di mana-mana negara pun, khasnya yang mempunyai sistem politik stabil seperti Malaysia, usahawan dan pemodal akan berasa bimbang kalau ada tanda-tanda mungkin berlaku perubahan besar dan mendadak.

Seperkara lagi, usahawan dan pemodal sama ada tempatan atau asing akan membandingkan dasar dan rancangan kerajaan yang sedia ada dengan apa yang dijanjikan oleh pembangkang.

Tidak seperti masyarakat umum yang tidak banyak mengetahui mengenai ekonomi, usahawan dan pemodal bukan sahaja membaca daripada media arus perdana dan alternatif, tetapi mereka juga mempunyai pelbagai saluran untuk memperoleh maklumat mutakhir dan membuat perbandingan serta penilaian.

Kesimpulannya, apa yang dilaporkan oleh The Straits Times dan media alternatif mengenai ramalan dan unjuran Azrul Azwar itu bukanlah sesuatu yang luar biasa atau di luar dugaan. PRU yang bakal menjelang menjanjikan persaingan yang hebat di antara BN dan PR. Wallahualam.

Monday, January 07, 2013

Privatisation of Government Land: Ways of Skinning the Cat


A Kadir Jasin

[ATTENTION, anonymous comments will not be published. Please use Google Account, OpenID or Name/URL to comment. Thank you]

THERE are many ways to skin a cat, so goes an English saying. Since a fair number of today’s political bigwigs are English educated, some spending many years in England, I believe they know its meaning.

I believe that the cat refers not to our lovable tabbies at home but to the big cats that the colonials loved to hunt – the tigers, lions, leopards, cheetahs and jaguars.

So when the government granted the privatisation of a 223.33-acre military land in Bukit Raja, Selangor, to a little-known private company, Awan Megah Sdn Bhd, which belongs to the Selangor Wanita Umno chief, Raja Ropiaah Raja Abdullah, turned into a mischief, it appears that it had not skinned the cat the right way.

And its silence on the vicious allegations that the family of the Prime Minister, Mohd Najib Abdul Razak, was involved with carpet dealer, Deepak Jaikishan, is deafening.

The spat between the Umno bigwig and Jaikishan, who claimed ownership of the land, saw the ghost of murdered Altantuya Shaariibuu and the second statutory declaration by the mysterious PI Bala being brought to live just as the General Election is around the corner.

In the process, carpet trader sued his business partner Raja Ropiaah (which he recently claimed had been withdrawn) and published an online book about the deal in which dragged members of Mohd Najib’s immediate family into the cesspool -- something that the opposition loves to embrace and the Barisan Nasional could not afford as the GE looms.

The sad thing is, the iconic Armed Forces Fund Board (LTAT) had been dragged in as well or, more appropriately, had been used to solve the problem of the smelly carcass of the badly skinned big cat.

Its property development arm, Boustead Holdings Berhad, had stepped in to buy the land and the concession that goes with it for a combined price tag of RM160 million.

I would not dare claim to know much about land appropriation and property development. But when I was briefly involved (as a junior partner) in the Management Buyout (MBO) of the New Straits Times Press Berhad (NSTP) and Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) back in the early 1990s, we were involved in the privatisation of the Kuala Lumpur Railway Station land that is today known as KL Sentral via the Bursa Malaysia-listed property developer, the Malaysian Resources Corporation Berhad. Today, MRCB is owned by the Employees Provident Fund (EPF) and KL Sentral has become the showpiece of urban renewal. (I left NSTP and severed all relationship with MRCB/NSTP/TV3 groups in 2000).

Better Ways Of Privatising Government Land

There are certainly other better ways of privatising the Bukit Raja land and, for that matter, all military and government-owned landed properties. I have seen companies offering better terms for military land. For instance, from the outset they roped in the LTAT by forming or proposing to form joint venture companies in which the LTAT is the majority shareholder. The private sector companies that made these proposals are reputable Bursa Malaysia-listed companies.

In one case that I came across, a Bursa Malaysia-listed property developer proposed to acquire a piece of Ministry of Defence land and replace it with a piece of land of equal size elsewhere and build on it whatever is required by Mindef.

It also pledged to build a military enclave on the privatised site whereby serving and retired military personnel would be offered special discounts to buy houses and apartments.

But they were not always successful. People linked to political parties or have access to the inner circles were more likely to receive the privatisation and they would then sell the projects to developers for quick profits.

In the case of the Bukit Raja land, it was sold to Boustead. If indeed Boustead had been eyeing the land since 2005, as it was reported telling Bursa Malaysia, it should have made the bid itself instead of buying it from a vendor.

The moral of the story is, you either skin the big cat well or you will get scratched. In the worse case scenario, the dying cat may bite off your head.

The Manik Koran Peddlers

This brings back memories of the time past when we had less conspicuous sleigh-of-hand traders, who, we in the north of the Peninsula, called tukang silap mata.

They were usually Hindu Indians who claimed to have special powers stored in their tangkal (amulets). The Malay peddlers, on the other hand, had azimat. Many unwary, gullible and greedy people lost fortunes to them.

Then there were the Manik Koran traders. They were usually middle aged Pakistani men who peddled trinkets and Koran on bicycles in villages and small towns.

The unique combination of trinkets (manik) and Koran gave them the title Manik Koran traders. Some also sold carpets and prayer mats.

Having left their wives in Punjab or Sind in Pakistan, one could not blame these Manik Koran traders if they were sometimes randy. Many village women fell for their charm, fair complexion and generosity.

Some went on to marry local women and settled down permanently in Malaya, but were still referred to as “kling” (from the ancient Hindu Empire of Kalinga). Hence we had a Pakistani shopkeeper we called kling Ibrahim in our village.

Further back into time, the Malacca Empire fell to the Portuguese in 1511 when an Indian aide of the Sultan, Kitol, betrayed his boss by siding with the attackers.

Wallahualam.

Friday, January 04, 2013

Faktor Calon Lebih Penting


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

KITA sudah bincang hal “Salah Pilih Kawan Hidup Tak Keruan” yang nampaknya makin sensasi dan sarat dengan teori konspirasi. Ramai mungkin mendapati jalan cerita dan watak-watak dalam “reality show” itu memualkan, tetapi itulah realiti “pertunjukan sebenar”.

Terima kasih kepada pembahas kerana tekun membincangkan tajuk “Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Ketiga”. Seperti biasa dan seperti dijangka, tidak ada jawapan atau respons daripada pihak berkuasa. Tidak mengapa. Sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai, kita ada hak dan kita ada jalan. Ada ubi ada batas...

Keheningan pagi pasca subuh di desa tengah sawah dipecahkan oleh cerita ibu kepada jiran saya yang menjadi mangsa ragut di dalam kedai mamak Maidin ketika tengah hari buta beberapa hari lalu. Kota atau desa, Malaya sama saja. Janji sana janji sini, jenayah dan kemelaratan menjadi-jadi. Masya-Allah.

Dalam tampalan kali ini, mari kita bincang mengenai satu tajuk yang hangat diperkatakan, iaitu yang mana lebih penting - parti atau calon?

Saya mulakan dengan bertanya yang mana datang dulu – manusia atau parti politik? Tentunyalah manusia yang datang dulu, bermula dengan Nabi Allah Adam. Allah cipta Nabi Adam dan daripada Baginda, Allah ciptakan Hawa. Lepas itu bermulalah keturunan manusia dan evolusi yang dilaluinya.

Jadi bagi saya, manusialah yang lebih penting. Parti, persatuan dan pertubuhan adalah ciptaan manusia. Kalau manusia yang menubuhkan dan menganggotai sesebuah organisasi itu baik, maka baiklah organisasi itu. Tapi kalau orang yang menubuhkan organisasi itu jahat maka jahatlah organisasi itu. Contohnya, kongsi gelap dan sindiket jenayah.

Tujuan Parti Politik Asalnya Baik


Asal-usulnya, orang baiklah yang menubuhkan parti politik. Pada zaman penjajahan, mereka tubuh parti politik untuk tuntut kemerdekaan. Mereka bukan saja orang baik, tetapi juga cerdik, berwawasan dan kental semangat perjuangan. Mereka tubuh parti politik atas landasan perjuangan.

Jarang sangatlah orang tubuh parti untuk tujuan buruk. Tetapi kita perlu juga ingat, iaitu apa yang baik bagi seseorang, tidak semestinya baik bagi orang lain.

Misalnya, walaupun pergerakan Nazi dibenci kerana kekejamannya, tetapi masih ada orang di Barat yang cuba hidupkan semula ideologi Nazi dengan menubuhkan pergerakan Nazi baru (neo-Nazi) dan mengamalkan dasar keagungan orang kulit putih (white superemacy).

Di banyak negara bekas Empayar Soviet pula, parti komunis telah dibubarkan atau diharamkan, tetapi ada yang berjaya dihidupkan semula dan menang pilihan raya. Mereka berjaya kerana dasar dan calon mereka lebih diyakini.

Banyak juga parti yang ditubuhkan oleh orang baik dan berjasa kepada rakyat jelata akhirnya menjadi tidak baik apabila disusupi oleh orang tidak baik yang berjuang untuk diri sendiri dan abaikan rakyat jelata.

Pada zaman penjajahan, orang tak berapa kira sangat mutu pemimpin sebab yang mereka mahu adalah kemerdekaan. Masa itu, bukan orang cerdik dan baik saja menjadi pemimpin politik. Ramai yang tidak berapa cerdik dan tidak berapa baik turut menjadi pemimpin kerana mereka berani.

Hari ini, walaupun boleh kata semua negara tanah jajahan sudah merdeka, orang berani masih berguna, tetapi yang lebih kita perlukan adalah orang baik, orang cerdik dan orang bersih.

Idealisme Lawan Realiti


Namun, idealisme ini lebih mudah diucapkan daripada dilaksanakan kerana ramai orang baik, orang cerdik dan orang bersih tidak berminat menyertai politik atau mereka tidak diterima oleh kepemimpinan parti.

Tidak kurang pula bilangan orang baik, orang cerdik dan orang bersih menjadi korup apabila menyertai politik dan mendapat kuasa.

Jadi yang mana lebih utama, parti atau calon? Parti, persatuan dan pertubuhan akan baik kalau dipimpin oleh orang baik dan disokong oleh orang baik juga. Jawapannya, calonlah yang lebih utama.

Lagipun, dalam sistem pilihan raya kita, kita tidak pangkah parti, kita pangkah calon. Yang bertanding bukan parti tapi calon. Sebab itulah orang yang tidak berparti pun boleh jadi calon – calon bebas.

Semua parti baik. Setidak-tidaknya pun tidak melanggar undang-undang sebab itulah didaftarkan dan dibenarkan mengemukakan calon. Yang jadi masalah kepada parti adalah calon. Sebab itulah waktu penamaan calon, ada yang ditolak. Jadi dari awal lagi, faktor calon penting. Orang muflis atau yang ada rekod jenayah misalnya, tidak diterima menjadi calon.

Jadi, elok sangatlah proses penapisan calon diperketat dan dilaksanakan dengan telus dan diyakini. Seelok-eloknya calon mestilah bersih, sihat tubuh badan dan akal, baik budi pekerti dan berhemah tinggi.

Mana-mana parti pun akan kata mereka parti yang baik. Tapi kalau orang yang wakili parti tak baik, macam mana parti nak baik? Jadi, balik semula kepada hujah asal, iaitu kalau pemimpin baik, maka baiklah sesebuah parti atau pertubuhan. Tapi kalau pemimpin half-past six, macam mana parti nak jadi parti kelas dunia.

Inilah tugas berat dan dilema pengundi. Kalau mereka salah pilih kerana terlalu ketaasuban kepada parti dan kegilaan kepada pemimpin (cult) mereka juga akhirnya menderita.

Tetapi sekiranya pengundi menjadikan calon dan bukan parti sebagai faktor penentu, saya yakin parti-parti yang bertanding dan peka terhadap pemikiran semasa akan memilih calon-calon yang lebih baik, lebih bersih, lebih sihat badan dan akal, lebih muda dan lebih berwibawa.

Kayu reput, kayu hanyut, paku karat dan paku longgar bolehlah dibersarakan dan mereka duduklah diam-diam, jangan sabotaj dan bersyukurlah dengan pencen yang rakyat bagi. Pengundi, pembayar cukai dan rakyat jelata pula janganlah dewa-dewakan para Yang Berhormat dan anak bini mereka sampai mereka jadi kaduk naik junjung, lebih sudu daripada kuah. Wallahualam.