Monday, February 27, 2017

BR1M Duit Kita Sendiri


A Kadir Jasin


SEKARANG musim Brim. Sebenarnya bukan Brim tapi BR1M, singkatan bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia.

[MOHON guna nama sebenar atau nama samaran. Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan.]

Berita media arus perdana bagi gambaran BR1M adalah contoh kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak.

Kejayaan macam mana? Kejayaan bagi rakyat miskin di antara RM450 dan RM1,200 sekeluarga setahun?

Kalau tengok bilangan yang minta dan dapat, kita terpaksa tanya adakah rakyat jelata kita tambah miskin tahun demi tahun atau tambah tamak.

Pasal apa saya kata macam itu? Pasal, tahun lepas 7.2 juta orang minta BR1M tapi tahun ini 8.2 juta.  Naik satu juta orang. Boleh baca di sini.

Maksudnya dalam masa 12 bulan sejuta orang rakyat jelata kita jatuh ke dalam bakul kemiskinan BR1M (diperbetul, bukan 1MDB).

Apabila rakyat jelata jatuh miskin, mereka tentulah gembira terima apa saja bantuan walaupun tak banyak mana.


BR1M Kayu Ukur Baru Kemiskinan Rakyat Jelata
Pasal apa saya kata macam itu? Jawabnya, pasal apa yang mereka dapat dalam bentuk BR1M adalah sangat sedikit berbanding kenaikan kos sara hidup.

Pasal apa kos sara hidup melambung? Jawabnya, antara lain, adalah sebab subsidi dihapuskan, tambang pengangkutan naik, tol naik, tarif elektrik naik, bayaran hospital kerajaan naik, tambang bas sekolah naik, harga petrol naik, harga ikan kembung naik. Senarainya berterusan.

Oh ya, jangan lupa kesan nilai tukaran duit kita yang jatuh lebih 20 peratus berbanding dolar Amerika sejak dua tahun lepas.

Bila nilai RM jatuh, harga semua harga barang import naik. Yang terbaru harga beras untuk Sabah dan Sarawak.

GST Selamatkan Siapa?

Najib kata GST selamatkan negara. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sokong. Biasalah. Dia kata, GST penggerak utama ekonomi negara.

Saya tak mahu bahas dengan Abdul Hadi pasal pengetahuan agama saya ibarat kail panjang sejengkal. Tentu tak terlawan pengetahuan agama Abdul Hadi yang sedalam lautan.
GST: Abdul Hadi setuju dengan Najib

Tapi saya tahu sedikit sebanyak berkenaan ekonomi. Mana yang saya tak tahu, saya tanya orang yang tahu.

Baru-baru ini saya tanya seorang ahli ekonomi dan penyelidik muda yang sedang naik namanya, apakah BR1M boleh atasi kesan GST ke atas orang miskin?

Dia jawab macam ini:

"Kutipan GST tahun 2016 kira-kira RM39 bilion. Bilangan isi rumah di Malaysia 6.35 juta. Jadi bayaran purata GST setiap isi rumah kira-kira RM6,141 setahun.

“Ini anggaran kasar sebab perniagaan pun bayar GST. Saya tidak tahu peratusan GST yang dibayar oleh pengguna dan perniagaan."


BR1M dijangka akan dinikmati oleh tujuh juta penerima dengan jumlah besar RM6.8 bilion (diperbetul).

Maksudnya apa yang dibagi sebagai BR1M hanyalah sebahagian kecil saja daripada beban GST yang ditanggung oleh rakyat jelata. Kerajaan kutip RM39 bilion tapi bagi balik RM6.8 bilion (diperbetul).


Itu belum lagi dikira kenaikan harga barang dlan perkhidmatan macam saya sebutkan di atas.

Jadi kalau kita kaji dan halusi, susah kita nak telan hujah yang kata GST selamatkan negara dan BR1M bantu rakyat jelata atasi kos sara hidup yang melambung.

Pasal apa saya kata macam itu? Pasal kutipan GST sekadar tampung sebahagian kecik hasil kerajaan yang jatuh merudum akibat kemerosotan harga minyak dan komoditi.


Sebaliknya, beban yang ditanggung oleh rakyat jelata akibat pengurusan ekonomi yang terlalu sangat utamakan sistem pasaran bebas bebankan rakyat jelata, khususnya golongan pendapatan rendah.

Sebab itu lah bilangan pemohon dan penerima BR1M melambung.

BR1M Rebat Cukai

Nak bagi mudah faham, saya kata macam ini: Kerajaan ambil banyak duit rakyat melalui GST dengan tangan kanan dan bagi balik sikit melalui BR1M dengan tangan kiri.

Apa yang rakyat dapat dalam bentuk BR1M adalah duit mereka sendiri. Dalam bahasa perniagaan dan percukaian dipanggil rebat (rebate).

Jawapan jangka sederhana dan panjang kepada masalah ekonomi negara kita sekarang adalah kita berusaha kembalikan kepercayaan (trust) pelabur dan pengguna kepada pentadbiran negara.

Kepercayaan pelabur asing dan tempatan merudum akibat skandal macam 1MDB, SRC International, hutang negara dan hutang kerajaan yang terlalu tinggi dan  manipulasi institusi-institusi negara bagi melindungi Najib.


Pelabur dalam dan luar negara bukan tak percaya kepada kita pasal kita pencuri, penyamun, penyangak, kawar dan  jemuan haramzada.

Orang tak percaya kepada kita pasal Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) kata, MO1 (Malaysian Official 1) atau Pegawai Nombor 1 Malaysia adalah seorang kleptokrat.

Kleptokrat adalah daripada bahasa Greek bererti pemimpin yang curi duit negara dan duit rakyat jelata.

Jadi DoJ guna KARI - Kleptocracy Asset Recovery Initiative - untuk rampas duit 1MDB yang kleptokrat curi.

Mula-mula kita tak tahu atau tak berapa jelas siapa MO1. Tapi, Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang sahkan kepada Badan Penyiaran British (BBC) bahawa MO1 itu ialah Najib.

Abdul Rahman tunjuk Najib sebagai MO1
Pelabur bodoh atau pelabur yang rasuah saja akan datang melabur di negara kita selagi kita diperintah oleh seorang kleptokrat.

Oleh kerana itu, kita janganlah jadi rakyat jelata kelas dedak yang gadai negara dengan sebab dibagi BR1M yang sebenarnya adalah duit kita sendiri.

Ambil dan belanja dengan bermanfaat.

Wallahuaklam.

Monday, February 20, 2017

The Making of China Monopoly in Malaysia



A Kadir Jasin

WHEN Tun Dr Mahathir Mohamad warned of the dangers of being too dependent on China economically and militarily, the pro-Najib propaganda machines pounded on him.

[REMINDER. Anonymous comments will not be published.]

But the proofs to his warning are everywhere. China treats every nation that owes it money as its slave and subordinate. It’s a harsh indictment but it’s true.

China’s way of doing business in monopolistic and is founded on the concept of “China first” – a throwback of ancient times when the Chinese believed they were the centre of the earth.

Dr Mahathir’s fear that China companies and workers would monopolize China-funded projects in our country is not unfounded.

See what I found in Penang as I went hunting for “teh tarik” in the vicinity of Jalan Pengkalan Weld a few days ago?

Look at the picture below.

Bank of China signboard in Penang
What do you see?

You see a very tastefully done signboard announcing the rehabilitation work of a heritage building that will soon become the Penang branch of the Malaysian incorporated Bank of China (BoC).

Except for the bank’s Chinese name, the signboard uses bahasa Melayu and English.

But look carefully at the companies involved in the “pemuliharaan” (rehabilitation) project. Remember, this in a small, everyday construction project.

Who is the principal architect? Lo and behold it’s none other than the Pei Partnership Architects of Park Avenue, New York. The principal of Pei Partnership is none other than the China-born Ieoh Ming Pei of the Le Grand Louvre fame.

Had it been a lesser known foreign architect of Chinese origin, I would have suspected that the BoC is subtly engaging in racial chauvinism of global proportion.

China born Pei and his Le Grand Louvre
But with Pei as the principal architect, I salute the BoC instead. Those of us who know who I.M. Pei and his world famous structures, cannot fault BoC for the choice.

I cannot say much about the rest of the professional groups contracted by BoC for the project. They sound Malaysian enough.

Now look carefully at the last column that says “contractor”. Remember this is not a billion ringgit job; maybe at the most RM15 million. But who is the contractor?

It’s the China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd.

This Malaysian incorporated company is the subsidiary of the China State Construction Engineering Corporation, which according to Wikipedia, is the 3rd largest construction company in the world and the 20th largest general contractor in terms of overseas sales.

It was founded in 1957 (the year we became independent), has its headquarters in Beijing and its parent organization is the Asset Supervision and Administration of the State Council.

State Council is the chief administrative authority of the People's Republic of China.

So if the contract for a sundry, everyday project like the rehabilitation and conversion of a heritage building into a bank premise is given to a China company, would China award the RM50-billion East Coast Railway Line (ECRL) and other billion-ringgit projects it has secured in Malaysia to local companies?

Unless we are fools or are commission agents to China companies, we surely know that doing business with China is not the same as doing business with the USA, Europe and Japan. Or for that matter with any country practicing multi-party democracy.

In China there only one party – the Chinese Communist Party (CCP) - and it rules supreme.  Everybody is answerable to the it and it owns almost all economic and industrial assets in China.

In recent decades the CCP has become the biggest business conglomerate in the world.

CCP is the biggest business conglomerate in the world
It does business with the rest of the world very much like the way it controls the government and the military in China.

Remember again, the Chinese People's Liberation Army (PLA) is the armed forces of the Communist Party of China. It owes its loyalty to the party.

Wallahuaklam. I am not sure if the Prime Minister, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, and his henchmen and women understand this very simple truth about the real China.

Saturday, February 18, 2017

Task Force Forex Idea Najib Yang Hebat


A Kadir Jasin


ELOK sangatlah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, menubuhkan Task Force (Badan Petugas) menyiasat kegiatan perdagangan tukaran asing (forex) Bank Negara tahun 1990-an.

[MOHON guna nama sebenar atau nama samaran. Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan.]

Tindakan ini boleh kita jadikan sebagai kajian sejarah kerana ramai yang tua dah lupa dan yang muda tak tahu peristiwa itu.

Dengan itu, rakyat jelata boleh tahu iaitu apa yang berlaku dalam perniagaan forex lebih 20 tahun lalu masih berlaku hari ini.

Perniagaan forex adalah kegiatan biasa bank-bank pusat macam Bank Negara Malaysia.

Misalnya pada 8 Disember lalu, Bank Negara mengaku rizab asingnya jatuh sebanyak AS$1.9 bilion (kira-kira RM8.4 bilion) daripada AS$98.3 bilion (RM442.35 bilion) kepada AS$96.4 bilion (RM433.8 bilion).

Kerugian lebih RM8 bilion itu berlaku sebab Bank Negara guna rizabnya untuk sekat kejatuhan kadar tukaran ringgit tapi tak berjaya.

Jadi selain menyiasat kegiatan forex tahun 1990-an itu, pihak-pihak yang kena siasat boleh tanya mengenai kegiatan forex yang sedang berlaku sekarang.

Nak tanya pasal skandal 1MDB dan SRC International pun boleh juga sebab dua skandal bilion ringgit itu adalah antara punca nilai ringgit jatuh. Bila Bank Negara cuba nak sekat kajatuhan ringgit, Bank Negara pula rugi.

Tapi kena buat cepat-cepat pasal orang yang terlibat dengan perniagaan forex tahun 1990-an itu atau tahu mengenainya tak ramai lagi yang ada.

Seingat saya ada dua orang saja lagi iaitu (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop dan (Datuk) Abdul Murad Khalid. Nor Mohamed jaga forex Bank Negara dan Murad, kalau tak silap, jaga pematuhan (compliance) Bank Negara.

Gambar hiasan: Nor Mohamed dengan peniaga forex tersohor George Soros
(Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz pun boleh jadi tahu juga. Mereka bertiga pegawai kanan Bank Negara masa itu. Bank Negara ni badan bebas. Kerajaan tak boleh kacau.  Gabenor masa itu, (Tan Sri) Jaffar Hussein, dah lama meninggal dunia.

Murad Khalid Penolong Gabenor masa kerugian forex
Yang jadi masa lampau adalah sejarah. Tapi yang sedang berlaku sekarang lebih penting sebab ia sedang bebankan kehidupan rakyat jelata.

Pada 30 Disember baru lepas, rizab Bank Negara tinggal AS$94.6 bilion saja. Ini adalah paras paling rendah sejak tahun 2010. Najib jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sejak tahun 2009.

Dalam tempoh 2015-2016 rizab Bank Negara merosot daripada lebih kurang AS$140 bilion (RM630 bilion) kepada AS$94.6 bilion (RM433.8 bilion). Ertinya dah jatuh AS$45 bilion lebih atau RM202.5 bilion.

Kerugian forex tahun 1990-an adalah RM30 bilion pada kadar tukaran masa itu .

Bila rizab jatuh, nilai ringgit pun jatuh. Bila nilai ringgit jatuh, harga import naik harga eksport turun. Pasal itu harga barang-barang import macam beras, gandum, jagung, susu dan daging naik.

Hari ini masalah paling besar rakyat jelata adalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kejatuhan nilai ringgit serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah dua punca utama kenaikan harga pengguna.

Tapi adakah nilai ringgit merudum dan harga barang melambung bila Bank Negara rugi AS$12 bilion (RM30 bilion) pada tahun 1990-an?

Jawabnya tidak. Malah rakyat jelata tak tahu dan tak rasa pun pasal masa itu nilai duit tak merudum dan harga barang tak melambung.

Bawah kelolaan transformasi Najib, ringgit merudum harga melambung. Rakyat jelata susah. Ikan kembung yang dulu makanan orang miskin sekarang naik sampai RM20 sekilo. Itu Utusan Malaysia yang lapor dari Sungai Petani.


Badan Petugas Najib tak mulakan lagi kerja yang nawaitunya nak londeh Dr Mahathir tapi yang terlondeh adalah Najib sendiri.

Inilah bahana buat kerja niat songsang, strategi lintang-pukang dan penasihat bangang. (Bangang tu saya pinjam daripada Najib).

Pasal Menteri Nak Berhenti

Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Azmin Ali kata ada menteri Najib nak cabut pasal tak tahan kena maki dan caci. Spekulasi kata menteri itu (Datuk Seri) Anifah Aman, Menteri Luar. Najib tentulah nafi.

Tapi saya nak tanya, apa kata bukan Anifah tapi (Datuk Seri) Mustapa Mohamed? Sebabnya dia pun dah tak berapa uuump lagi bila Donald Trump tendang keluar TPPA.

Atau (Datuk) Johari Abdul Ghani yang kata kakitangan awam ramai sangat pasal itulah kewangan kerajaan teruk. Ini kenyataan bunuh diri sebab kalau kakitangan awam marah dan tak undil Barisan Nasional, Najib boleh henyut.

Tapi boleh jadi juga Johari sengaja buat harakiri pasal dia dah tengok dengan mata kepala sendiri kedudukan kewangan kerajaan sampai dia surrender.

Atau (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi? Tapi Timbalan Perdana Menteri itu pun dah nafi.

Wallahuaklam.

Tuesday, February 14, 2017

Mursyidul Am PAS Tak Ada Tiga Kolam Renang


A Kadir Jasin


KALAU media massa lapor hujah Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, dengan betul, kesimpulan yang boleh saya buat ialah PAS tak terima RM90 juta daripada Umno.

[MOHON guna nama sebenar atau nama samaran. Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan.]

Saya kata “kalau”. Saya tak kata PAS atau orang tertentu dalam PAS tak terima rasuah daripada Umno atau daripada orang tertentu dalam Umno.

Kalau ikut cakap Hashim, PAS tak terima rasuah pasal dia (Hashim) masih pakai kereta Proton Saga dan tinggal di rumah yang nilainya di antara RM50,000 dengan RM60,000 saja.

Jadi dakwaan Ahli Dewan Undangan (Adun) Amanah bagi kerusi Salor, Kelantan, (Datuk Seri) Husam Musa yang PAS terima derma RM90 juta daripada Umno tak betullah.

Hashim Pakai Kereta Proton Saga saja
Kalau PAS terima duit macam tu punya banyak, kita akan nampak pasal gaya hidup Hashim akan berubah. Ini bukan saya kata tapi tuan tubuh sendiri yang kata.

Hashim kata macam ini kepada pemberita lepas Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 12 Februari lalu:

“Saya ni Mursyidul Am dan (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang Presiden PAS. Saya pakai kereta (Proton) Saga saja. Kalau ada RM90 juta, tak kan saya pakai kereta Saga saja. Itu terjawablah rasanya.

“Rumah saya pun dalam nilai RM50,000 hingga RM60,000 sahaja. Kalau kami (PAS) ada RM100 juta, apa nak jadi, kolam renang tiga saya akan buat.”

Masya-Allah tiga buah kolam renang? Dua cukuplah. Satu untuk Muslimin dan satu untuk Muslimat. Buat apa sampai tiga. Baki tu buatlah kebajikan dan gunalah untuk pilihan raya.

Jangan masuk akaun sendiri macam Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak. PAS parti Islam tak bagus buat kerja mungkar macam Umno.

Benda macam ni jangan buat lawak. Orang Utara kata, jangan buat kelolo. Kalau orang percaya susah. Nak buat sampai tiga buah kolam renang?

Husam pula sangat yakin maklumat PAS terima duit daripada Umno itu betul sampai dia sanggup kena saman. Tapi PAS tak saman lagi.

Setakat ini, PAS hanya mulakan langkah awal saman terhadap laman berita Sarawak Report yang buat tuduhan yang sama.

Jadi kalau kita percaya laporan media, apa yang Hashim nak kata ialah PAS tak terima duit daripada Umno. Kalau terima, takkan dia masih pakai Proton Saga dan duduk di rumah yang murah harganya.

Itu cerita Mursyidul Am PAS. Sama ada dia nafi atau tidak, buat pusingan U atau tidak, tak berapa penting. Cuma hujah macam yang macam dia buat itu tak sepatutnya keluar dari mulut seorang Mursyidul Am kecualilah dia tak tahu apa-apa.
 

Abdul Hadi Tolak PPBM

Lepas itu cerita Presiden PAS, Abdul Hadi pula. Dia kata tak payah tunggu sebulan untuk bagi jawapan kepada Parti Bribumi Persatu Malaysia (PPBM) berkenaan kerjasama.

Abdul Hadi kata, PAS tak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang kerjasama dengan Amanah dan DAP.

Jadi kalau kita ikut logik amanat terbaru Abdul Hadi itu, PAS bukan saja tak akan kerjasama dengan PPBM tapi juga dengan PKR sebab PKR adalah ahli Pakatan Harapan yang anggotanya terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Kalau nak kerjasama pun boleh jadi dengan Umno pasal Umno tak kerjasama dengan DAP dan Amanah. Tapi dengan Barisan Nasional susah sikit sebab ada parti BN yang tak sokong RUU355 Abdul Hadi.

Tolak campur darab bahagi kita sampai ke tempat yang sama iaitu PAS sama ada bersendirian atau berpakat dengan Umno.

Umno tentu tak mahu satu lawan satu dengan gabungan PPBM-Pakatan Harapan. Bertanding satu lawan satu, Umno mungkin kalah teruk. Jadi tak hairan langsung kalau Umno akan upah PAS untuk jadi "spoiler".


Penganalisis dan peramal politik kata, sikap Abdul Hadi terhadap Umno atau lebih tepat terhadap Najib berubah menjadi sangat mesra selepas dia jatuh sakit di Turki pada bulan Mei tahun 2014. Sejak itu perhubungan Abdul Hadi dan Najib macam kembar Siam.

U-Turn Shahrir Samad

Bila Pengerusi baru Felda, Shahrir Abdul Samad (tak ada kena mengena dengan Mohd Isa Abdul Samad yang dia ganti) dilapor bertanya ke mana pergi RM4.3 bilion duit simpanan Felda, ramailah yang terkejut.

Satu pasal dia nampak berani dan dua pasal itulah soalan yang banyak orang tanya sejak sekian lama. Ke mana pergi rizab tunai Felda yang berbilion ringgit itu?

Saya tak terkejut tapi hairan. Orang putih kata, berita pertanyaan Shahrir itu “too good to be true” – khabar yang terlalu indah untuk dipercayai!

Menang betul pun. Tak sampai dua hari dia buat U-turn dengan alasan basi orang politik iaitu media massa putar-belit kenyataan dia.

Soalnya, takkanlah begitu banyak saluran media putar-belit kenyataan dia. Atau memang helah Shahrir guna taktik baling batu sembunyi tangan? Taktik licik.

Orang yang lama kenal Shahrir tahu siapa dia. Dia ini anak didik (Tun) Musa Hitam. Orang Utara kata, dia ni banyak akai. Macam Musa dia sinis dan skeptis.
Saya yakin dia memang sengaja timbulkan isu itu untuk tarik perhatian.

Tapi kalaulah dia ikhlas nak bela nasib peneroka Felda dan nak tahu kalau ada duit rizab Felda yang lesap, caranya mudah saja. Lantik juruaudit luar buat audit forensik ke atas akaun Felda dan hebahkan hasilnya kepada orang ramai.

Tak payah putar lidah cakap berbelit-belit melainkanlah dia berangan-angan bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Kata orang ada udang di sebalik batu.

Akhir kalam, petikan dari blog bekas menteri Umno (Tan Sri) Zainuddin Maidin aka Zam berbunyi: “Nak mampus,mampuslah UMNO. Apa nak buat lagi nasihat semua pihak yang ikhlas,yang sayangkan UMNO, tak dipedulikan.”

Wallahuaklam.


Thursday, February 09, 2017

Kekal Berkecuali Atau Jadi Gundik China


A Kadir Jasin


ADA dua berita menarik baru-baru ini yang boleh jadi kita terlepas pandang atau tidak sedar kepentingannya.

[MOHON guna nama sebenar atau nama samaran. Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan.]

Nombor satu Menteri Luar China, Wang Yi bagi amaran kepada Setiausaha Negara Amerika Rex W. Tillerson, agar memahami sejarah Laut China Selatan.

Nombor dua kapal Tentera Laut China habis melawat empat buah negara Arab – Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perlumbaan kuasa dan senjata bukan lagi di antara Amerika dengan Rusia tapi di antara Amerika dengan China.

Tentera Laut China Pengarak Panji-Panji di lautan biru
Perang Dunia Ketiga (minta dijauhkan Tuhan) kalau berlaku adalah di antara China dengan Amerika dan gelanggangnya adalah Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

Kita akan jadi pelanduk yang tersepit di antara dua ekor gajah tumpah minyak.

China sedang meluaskan pengaruh ekonomi dan ketenteraannya secara agresif manakala Amerika di bawah Presiden Donald Trump pula sedang menyemarakkan semula patriotisme haluan kanan melalui cogan kata “make America great again”. Trump mahu mengembalikan keagungan Amerika.

China terpaksa kembangkan sayap demi kelangsungan (survival) dan Amerika mahu mematahkannya. China sedang kesempitan ruang dan Amerika kesempitan ekonomi. Kedua-duanya dalam keadaan terdesak.

Kelahiran bayi di negeri China dianggarkan 17.8 juta tahun lalu atau 1.31 juta lebih ramai daripada tahun 2015. Setahun selepas memansuhkan dasar satu keluarga seorang anak, kelahiran bayi mencatatkan rekod tertinggi sejak tahun 2000. Dianggarkan 40 peratus daripada kelahiran tahun lalu adalah anak kedua. Di pihak yang lain, bilangan orang tua pula sedang meningkat dengan pantas.

Rakyat jelata China sekarang berjumlah 1.4 bilion atau 22 peratus daripada penduduk dunia tetapi tanah pertanian China hanya 10 peratus daripada tanah pertanian dunia. 

Ceritanya mudah saja. China terpaksa cari sumber makanan dan tempat tinggal untuk rakyat jelatanya di luar sempadannya.


Perluasan pengaruh China ibarat fiksyen sains
China sedang berkembang menjadi negara maya (virtual nation) lebih kurang macam dalam filem fiksyen sains di mana makhluk angkasa lepas turun ke bumi untuk merampas air dan udara kita serta hisap darah kita untuk hidup sebab planet mereka sudah tandus sumber kehidupan.

Ekonomi China pesat berkembang, rakyat jelatanya semakin senang dan mereka perlukan lebih banyak makanan dan tempat tinggal.

Tanah pertanian semakin menguncup kerana digunakan untuk pembangunan dan ditelan oleh padang pasir. Padang pasir Gobi saja menelan 3,600 kilometer persegi padang rumput setiap tahun atau lebih dua kali ganda keluasan negeri Melaka.

Usaha menyekat kemaraan Padang Pasir Gobi
Sebab itulah China telah membeli atau menyewa berjuta hektar tanah pertanian di Afrika, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Utara serta membina penempatan raksasa untuk rakyatnya di luar negara.

Bandar Malaysia di tapak pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuala Lumpur dan Forest City di Johor adalah dua metropolis China terbesar di dunia.

Forest City boleh menampung 700,000 penduduk dan Bandar Malaysia yang asalnya milik 1MDB akan menjadi bandar bawah tanah buatan China yang terbesar di dunia dengan nilai kasar pembangunan (GDV) RM150 bilion.

Kedua-duanya akan disambung ke negeri China melalui jalan darat, laut dan udara di bawah konsep “one belt one road” – satu wilayah satu laluan - atau singkatannya OBOR.


Bekas pangkalan TUDM Sungai Besi sedang dirobohkan
Bagi melindungi harta dan rakyat jelatanya di luar negara serta menjamin pengangkutan keluar masuk barang-barang China, negara itu memerlukan tentera lautan biru (blue ocean navy) macam tentera laut Amerika hari ini.

Tidak dapat tidak dua negara gergasi itu akan bertembung di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

Sebab itulah tentera laut China cergas buat lawatan persahabatan di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi hingga ke pantai barat Afrika.

Untuk ulang alik dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi, kapal tentera dan dagang China terpaksa lalu di Selat Melaka.

Selat Melaka yang dulu penting bagi tentera laut Amerika, sekarang menjadi sama penting kepada tentera laut China.

Sebab itulah atas alasan membantu negara-negara serantau memperbaiki prasarana mereka, China giat membina pelabuhan di sekitar Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

China sudah pun membina pelabuhan di Sri Lanka. Tapi sekarang mereka bersengketa mengenainya kerana Sri Lanka tak ada duit nak bayar. China cergas cari tapak dan keizinan untuk membina kemudahan yang serupa di Kuantan dan di Melaka.

Pelabuhan di Kuantan akan jadi pangkalan hadapan (forward base) di Laut China Selatan. Ia akan menjadi pangkalan penyudah kepada rantaian pelabuhan yang sedang dibina dari tanah besar China ke Semenanjung Tanah Melayu melalui pulau-pulau dan terumbu yang sedang dituntut atau sudah pun dirampas oleh China di bawah strategi dua rantaian pulau.

Malaysia termasuk dalam dasar maritim China
Kemudian untuk mengawal Selat Melaka, China akan bina sebuah kompleks pelabuhan raksasa yang dianggarkan berharga RM43 bilion di Melaka.

China tetap akan berkembang. Kalau tidak ia akan menjadi kalau-bilau dan kembali menderita kekurangan makanan dan kebuluran. Kebuluran tahun 1959-61 dianggarkan membunuh lebih 15 juta rakyat China.

Yang menjadi persoalan adalah cara negara-negara serantau bertindak balas.

Adakah kita serah bulat-bulat kepada selera besar China dengan melacurkan negara kita kerana kita kemaruk duit atau kita bertindak secara terhormat selaras dengan kedudukan kita sebagai negara merdeka?

Perlukan kita memberi taraf pemilikan tetap (freehold) kepada hartanah yang sedang dibangunkan oleh China macam di Forest City sedangkan kepada rakyat jelata kita sendiri kita makin utamakan pajakan 99 tahun?

Kita tahu Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak sedang kelemasan akibat hutang 1MDB lebih RM50 bilion dan sedang mencari sumber kewangan baru bagi membiayai kegiatan politiknya.
Tetapi apakah sampai menjadikan Malaysia negara sundal dan gundik kepada negeri China?

Ini bukan isu emosi atau cauvinisme tetapi realiti geopolitik di mana China sedang membina sfera politiknya sendiri bagi melawan Amerika, India dan Eropah dalam perlumbaan menguasai sumber mentah dan pasaran.

Apakah kita akan membiarkan Najib dan konco-konco beliau mengorbankan dasar berkecuali dan bebas kita semata-mata untuk mencari duit bagi menimbus bangkai 1MDB yang beliau sendiri cipta?

Atau kita akan berusaha sedaya upaya mempertahankan dasar yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak itu?

Wallahuaklam.

Friday, February 03, 2017

Minyak: Banding Harga Ikut Pendapatan



A Kadir Jasin




PETROL di negara kita mahal.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Sesiapa yang kata murah, tidak bercakap benar atau tidak faham kaitan di antara kuasa membeli (purchasing power) dengan harga pengguna.

Mahal murah sesuatu barang bukan pada harganya, tapi kemampuan pengguna.

Kemampuan pengguna pula bergantung kepada pendapatan.

Atas dasar itu, harga bagi banyak barang pengguna di Malaysia mahal berbanding negara kaya.

Ia menjadi lebih mahal apabila nilai ringgit merudum kerana banyak barang yang kita guna, diimport.

Harga seliter petrol RON 95 di negara kita baru naik 20 sen atau hampir 10 peratus kepada RM2.30 pada 1 Februari.

(Bagi penduduk Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) anggaplah ini hadiah Hari Wilayah daripada menteri anda, Adnan Mansor.)

Per Kapita Kita Rendah

Pada harga itu, petrol di Malaysia lebih mahal daripada Singapura, Australia dan banyak negara kaya di dunia.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Malaysia AS$10,878  dan harga minyak dalam dolar Amerika yang perlu dibayar, AS$0.51 seliter.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Singapura AS$53,053 dan harga minyak dalam dolar Amerika AS$1.44 seliter.

Perbandingan kasar harga petrol. Carta The Star
Pendapatan per kapita nominal rakyat Australia AS$51,593 dan harga petrol AS$0.83 seliter.

Nak lebih mudah faham, saya katakan macam ini. Pendapatan seorang rakyat Singapura AS$50 dan dia kena bayar AS$1.44 untuk seliter.

Pendapatan seorang rakyat Australia lebih kurang sama dengan Singapura dan dia bayar hanya AS$0.80 seliter.

Tapi seorang rakyat Malaysia yang pendapatannya AS$10 kena bayar AS$0.51 seliter.
 
Pendapatan per kapita nominal Singapura 4.9 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Singapura hanya 2.82 kali lebih tinggi daripada di Malaysia.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Australia 4.7 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Australia hanya 1.62 kali ganda lebih mahal daripada Malaysia.

Kalau harga minyak di Singapura 4.9 kali ganda lebih mahal daripada di Malaysia barulah kita kata harga di Singapura mahal dan harga di Malaysia murah.

Beban Harga Minyak

Jadi berdasarkan pendapatan, rakyat Malaysia terpaksa belanja lebih banyak pendapatan mereka untuk beli petrol berbanding rakyat Singapura dan Australia.

Singapura dan Australia dekat lima kali ganda lebih kaya daripada Malaysia.

Begitu jugalah kalau kita banding dengan banyak negara yang selama ini pemakan dedak Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil kata harga petrolnya mahal.

Sebenarnya berdasarkan tahap pendapatan per kapita kita, sama ada nominal atau mengikut Pariti Kuasa Membeli (PPP), harga bagi banyak barang pengguna di negara kita lebih mahal daripada Singapura dan negara-negara maju lain.

Maksudnya kalau kita belanja 100 unit mata wang yang serupa untuk membeli-belah di Malaysia, Singapura dan Australia, kita akan dapat lebih banyak barang di Singapura dan Australia.

Tapi kalau kita banding diri kita dengan negara yang lebih rendah pendapatan per kapita macam Indonesia, Filipina dan Thailand, betullah harga petrol kita lebih murah.

Harga minyak mentah di pasaran dunia semakin naik. Itu kita tak nafi. Malah baik untuk kita kerana kita eksport minyak mentah. Tapi kenaikannya tidaklah sampai 9.5 peratus macam kenaikan harga petrol pada 1 Februari lalu.

Alasannya, harga runcit petrol kita bukan berasaskan harga minyak mentah tapi harga minyak yang diproses. Macam-macam pulalah alasan jenis dedak yang digunakan untuk tipu rakyat jelata.

Beratur tunggu petrol percuma
Selain kenaikan harga minyak mentah, kita juga tanggung beban kejatuhan kadar tukaran ringgit. Nilai ringgit sudah merosot lebih 20 peratus berbanding dolar.

Lagipun kita tak boleh banding dengan Singapura. Ia negara kecil. Rakyatnya kurang guna kenderaan sendiri. Mereka guna kenderaan awam. Kalau mereka guna kereta pun, jarak dari satu tempat ke satu tempat tidaklah jauh macam di Malaysia.

Jadi kalau kita kira semua faktor, khususnya tahap pendapatan, kita akan dapati harga petrol di negara kita tidaklah murah malah mahal.

Lagi mahal petrol dan lagi tinggi kos sara hidup lagi ramailah orang yang tak mampu duduk di bandar atau guna kereta. Lagi ramai duduk jauh dari bandar dan guna motosikal lagi ramailah mati atau cedera akibat kemalangan jalan raya.

Itulah yang sudah jadi dengan janji rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Wallahuaklam.