A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
|
Mempelopori pelancaran akhbar Business Times tahun 1976 |
HARI ini, 16 Jun 2019
genaplah 50 tahun saya menjadi wartawan.
Begitu cepat masa berlalu, seolah-olah semalam saya mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa, kakak
dan adik-adik saya pada petang 15 Jun 1969 untuk memulakan “kebangsatan” saya.
Dalam loghat Kedah, “membangsat”
adalah sinonim dengan mengembara ke tempat asing untuk mencari makan.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
“Dia orang bangsat”,
ertinya dia orang yang mengembara. Tidak ada kehinaan pada ungkapan itu sebaliknya orang seperti itu dianggap berani dan gigih.
Apatah lagi apabila orang yang membangsat selalunya lebih
berjaya daripada yang menetap di satu tempat.
Berbekalkan duit kocek
RM25, doa daripada ayah dan surat pengakuan watak daripada bekas Ahli Perlimen Kota Setar Selatan, Dr Mahathir Mohamad,
saya menaiki bas Mara ke Alor Setar.
Dari Alor Setar menumpang bas United
Transport Company (UTC) ke Butterworth bagi menaiki kereta api mel malam ke
Kuala Lumpur.
Saya tidak menoleh ke
belakang kerana tidak sampai hati melihat linangan air mata emak dan tangisan
kakak dan adik-adik.
Untuk segala maksud dan
tujuan, perjalanan petang itu adalah perjalanan yang tidak ada istilah undur.
Tidak ada pilihan melainkan berjaya atau malu yang tidak terhingga.
Sampai hari ini terus
terngiang di telinga pesanan ayah: “Ingat Tuhan. Kerja kuat. Jangan bagi malu
keturunan. Hantar duit balik kampung.”
|
Bergambar ramai bersama keluarga sebalum berpisah "membangsat" |
Keturunan yang ayah mahu
saya pertahankan itu siapa pun tidak tahu. Keturunan yang tidak ada darjah dan
darjat namun tidak ternilai harganya bagi ayah. Nama baik keluarga – biar
sekecil mana – wajib dijaga.
Perjalanan dari
Butterworth ke Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih lapan jam sarat dengan emosi; bercampur-aduk di antara ketakutan dan harapan.
Walaupun saya pernah
sekali-sekala berjauhan dengan keluarga ketika bersekolah, tetapi perpisahan
kali ini kekal sifatnya.
Tiba di Stesen Kereta
Api Kuala Lumpur awal pagi 16 Jun, saya terus menaiki teksi ke ibu pejabat
Bernama di Jalan Tun Abdul Razak yang ketika itu masih dikenali sebagai
Circular Road atau Jalan Pekeliling.
Bermula di Bernama
Ibu pejabat Bernama
sekadar sebuah banglo dua tingkat yang diperbuat daripada bata dan kapur
peninggalan Inggeris dengan beberapa pohon rambutan memayunginya. Jelas ia bekas
kediaman pegawai Inggeris sebelum merdeka.
Ia dikawal oleh beberapa
orang belia berpakaian seragam tanpa senjata yang kemudiannya saya kenali
sebagai pelatih Pusat Belia Dusun Tua di Hulu Langat.
Mereka dikerah untuk
mengawal pejabat Bernama dan beberapa bangunan awam yang lain berikutan
peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei.
Ketika melalui Jalan
Campbell yang kini dikenali sebagai Jalan Dang Wangi dan Kampung Baru, saya
lihat banyak bangunan yang dibakar ketika pergaduhan sebulan sebelumnya.
Ketika itu Bernama baru
berusia lebih sedikit setahun. Ia diasaskan pada 20 Mei 1968. Saya adalah
daripada kumpulan kedua pemberita kadet yang diambil bekerja.
Kumpulan kami terdiri
daripada pelbagai kaum, latar belakang dan taraf pendidikan. Turut melaporkan
diri pada hari yang sama adalah Hashim Makaruddin (kini Tan Sri dan bekas
Setiausaha Akhbar Tun Dr Mahathir), Mervin Nambiar (bekas Pengurus
Besar AFP, Hong Kong) dan Tan Jooi Long.
Tan adalah rakan
sedarjah saya di Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC), Alor Setar. Ketika di
Tingkatan Enam Atas, dia menjadi pengarang bahasa Inggeris majalah sekolah dan
saya pengarang bahasa Melayu.
Majoriti kami lulus
Sijil Tinggi Pelajaran atau ketika itu dikenali dengan nama Inggerisnya Higher
School Certificate (HSC) dan Sijil Pelajaran Seberang Laut yang nama
Inggerisnya Overseas School Certificate.
Saya memohon menyertai
Bernama setelah lulus HSC, tetapi gagal memasuki universiti. Ketika itu ada
sebuah universiti sahaja, iaitu Universiti Malaya dan pengajian memerlukan
bayaran. Yang tidak mempunyai sokongan biasiswa selalunya tidak mampu.
Walaupun saya gemar
menulis dan cergas dalam kegiatan bahasa tetapi menjadi wartawan atau penulis bukanlah
pilihan utama.
Pilihan pertama adalah menjadi
pegawai tadbir kerajaan Kedah – KCS – dan kedua, guru. Waktu itu, KCS dianggap kerjaya
paling terjamin manakala guru dianggap bawah sedikit daripada Penolong Pegawai
Daerah (ADO) dan di atas kerani atau penghulu.
Menjadi wartawan atau
penulis tidak diketahui ramai, justeru itu tidak dianggap kerjaya yang menjamin
masa depan.
Memang benar. Ramai
wartawan ketika itu bekerja sambilan tanpa gaji tetap. Kerja berat, skim gaji
tidak menarik dan peluang kenaikan pangkat terhad.
Tetapi bagi saya, apa
saja kerja adalah lebih baik daripada mengikut jejak ayah menjadi petani dan
peniaga sambilan.
Dalam loghat Kedah, ayah
sering berkata: “Kalu hang tak mau ikut pungkoq kerbau macam aku, hang mengaji
pandai-pandai.”
Mengaji dalam loghat
Kedah bermaksud belajar. Saya belajar hingga darjah lima di Sekolah Melayu
Pendang, lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael dan dua tahun
di SAHC, Alor Setar.
|
Menungkat dagu dan bersongkok di Sekolah Menengah Saint Michael |
Mesti Berjaya
Saya tidak ada pilihan
melainkan berjaya. Untuk berjaya, saya terpaksa bersusah-susah menumpang
saudara-mara di kawasan setinggan Kampung Kerinchi dan Kampung Pandan.
Mandi air tadahan atau
di anak sungai yang mengalir di antara Lebuh Raya Persekutuan dan sempadan Universiti
Malaya.
Waktu itu Lebuh Raya
Persekutuan dikenali sebagai Federal Highway dan mengandungi dua laluan saja.
Kenderaan pun tidak banyak. Jadi tidak bahaya berjalan kaki menyeberanginya.
Lantaran itu, menjadi
pengembara dengan sebuah beg pakaian atau tinggal di bilik hotel RM16 semalam
bertemankan pijat dan beratur macam dalam filem P Ramlee untuk menggunakan
tandas, bukan masalah besar bagi saya. Hidup di kampung lebih teruk daripada
itu.
Kerana kesediaan
berpindah-randah dan menerima tugasan yang orang lain keberatan menjalankannya,
kemajuan kerjaya saya boleh dikira pantas. Selepas tidak sampai
enam bulan, saya dipindahkan ke Biro Bernama Pulau Pinang di Lebuh Light.
Mula-mula tinggal di sebuah bilik sewa dengan rakan sekerja, Nik Mohammed Omar, di
sebuah hotel usang di Jalan Datuk Keramat tidak jauh dari kedai makan Craven A,
Simpang Enam dan kilang pelebur timah Datuk Keramat Tin Smelting sehinggalah
dihambat pijat.
Antara jiran kami adalah
sepasang suami isteri muda Cina, dua orang Punjabi yang “besar, kuat dan mesra”
dan seorang ibu tunggal penari kelab malam dengan anaknya.
Akibat tidak tahan digigit pijat dan mahukan
sedikit keselesaan, kami berpindah ke pangsapuri Kampung Melayu, Jalan Ayer
Itam di mana kami dialu-alukan oleh kejadian histeria yang
dipertanggungjawabkan ke atas seorang perempuan tua.
Dia dituduh memelihara
pelesit dan akhirnya dinyahkan dari bangunan itu. Saya lebih mirip mempercayai
teori bahawa ramai wanita menderita gangguan itu kerana perubahan persekitaran
yang mendadak – daripada rumah robek dan jiran tetangga kepada rumah pencakar
langit yang padat dan jiran yang tidak dikenali.
Tidak berapa lama di
Pulau Pinang, saya ditukarkan ke Alor Setar bagi membuka pejabat Bernama
Kedah/Perlis. Waktu itu, Kedah dan Perlis berkongsi banyak perkhidmatan kerana
Perlis tidak mempunyai penduduk cukup ramai untuk mempunyai perkhidmatan
sendiri.
Saya amat bernasib baik
kerana bergurukan watak-watak besar dunia kewartawanan waktu itu seperti
Almarhum Tan Sri A Samad Ismail, Tan Sri Melan Abdullah, Mendiang Tan Sri Lee
Siew Yee, S.H. Tan dan Almarhum Tan Sri Mazlan Nordin serta wartawan kanan
seperti Almarhum Tan Sri Zainuddin Maidin dan di Alor Setar Almarhum Mansor
Tobeng dan Tan Sri Azahari Taib.
Mungkin kerana kesediaan
saya berpindah-randah itu maka saya ditawarkan salah satu daripada dua Biasiswa
Rancangan Colombo (Colombo Plan) kerajaan New Zealand yang diberikan kepada
Bernama. Satu lagi diberikan kepada Hashim.
Maka pada tahun 1971,
saya berangkat ke New Zealand untuk belajar kewartawanan di Wellington
Polytechnic (kini cawangan Universiti Massey).
Itulah satu-satunya
pengajian dan kelulusan formal kewartawanan yang saya ada – sekadar sijil.
Tetapi ilmu dan
pengalaman yang sedikit itu memberi manfaat yang sangat besar kepada saya untuk
tahun-tahun seterusnya. Benarlah ungkapan “jauh perjalanan luas pemandangan". Ia
membuka minda dan menyemai keyakinan.
Belajar Ekonomi
Sekembali dari New
Zealand, saya ditugaskan di Perkhidmatan Ekonomi Bernama yang baru ditubuhkan,
dan bermulalah perjalanan ekonomi saya.
Bermula dengan menulis
berita-berita ekonomi umum, saya mempelajari dan memanfaatkan aspek-aspek
ekonomi yang lebih rumit dan khusus seperti pasaran saham dan kewangan.
Apabila ditugaskan
membuat laporan kegiatan urus niaga harian di Pasaran Saham Malaysia-Singapura
saya mendapati ia tidak sesukar mana.
Bilik dagangannya
terletak di Bangunan Bangkok Bank, Leboh Pasar Besar, tidak jauh daripada Pasar
Besar (kini Pasar Seni).
Adalah kebiasaan bagi
amah – tukang masak orang kaya dan eksekutif Inggeris – singgah di bilik niaga
pasaran untuk membeli dan menjual saham.
Ada yang kata mereka mendapat tip atau
petunjuk daripada majikan mereka.
Kalau betul sudah boleh
dikira “insider trading” yang hari ini berupa kesalahan besar dunia korporat yang
boleh dijatuhi hukum penjara dan denda jutaan ringgit. Tetapi waktu itu
piawaian pasaran masih longgar.
Pasaran saham dijadikan
kasino oleh sesetengah spekulator. Ada yang menjadi kaya raya dalam sekelip
mata dan ada juga yang papa hingga bunuh diri.
Bermula saat itulah saya
mencuba-cuba nasib melabur atau, dalam bahasa mudah, main saham, dengan membeli
dan menjual saham-saham murah (third liner) menggunakan kaedah “short selling” yang
tidak memerlukan banyak modal.
Ini pada tahun 1972.
Pasaran saham kecil dan kuno. Tidak banyak syarikat menyenaraikan saham mereka dan
yang menyenaraikan terdiri daripada syarikat milik Inggeris dan Singapura yang
bergiat di bidang perladangan, perlombongan dan pengurusan ladang.
Hanya ada beberapa
syarikat pengilangan seperti Fusan Net yang membuat pukat dan Tong Ming Industries
yang mengeluarkan periuk belanga aluminium.
Urusan jual-beli
dicatatkan di papan hitam menggunakan kapur. Saya banyak mempelajari
selok-belok pasaran daripada wartawan kanan dan “floor trader” khususnya yang
mewakili Amanah Saham Mara (ASM).
Mereka adalah
budak-budak Melayu yang membeli dan menjual saham bagi pihak Mara yang berupa
pengendali saham amanah Bumiputera pertama di negara kita - lama sebelum Permodalan
Nasional Berhad (PNB) melancarkan Amanah Saham Bumiputera pada tahun 1981.
Saya meletakkan jawatan
daripada Bernama pada 1 Oktober 1976 setelah berkhidmat tujuh tahun untuk
menyertai Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).
Saya tidak menyertai
mana-mana akhbar yang sedia ada dalam kumpulan sebaliknya menjadi antara pengasas
kepada akhbar perdagangan Business Times (BT).
Ia adalah usaha sama
antara NSTP, Singapore Publishing House (SPH) dan Dow Jones & Company, New
York.
Saya rasa di akhbar
itulah saya menyedari potensi saya sebagai pengulas politik dan ekonomi hasil didikan
dua orang pengarang ekspatriat – Kevin Rafferty dari Financial Times, London,
dan Dilip Mukherjee dari The Times of India, New Delhi.
Saya mendapat banyak
peluang membuat liputan di luar negara serta memperoleh pelbagai peluang
latihan. Misalnya, pada tahun 1977 saya mendapat biasiswa Kerajaan Persekutuan Jerman
(Jerman Barat) dan Senat Berlin Barat untuk mengikuti kursus kewartawanan
peringkat tinggi di Institut Kewartawanan Antarabangsa Berlin atau nama
Jermannya Internationales Institut fur Journalismus selama tiga bulan.
Waktu itu Perang Dingin
tengah memuncak dan kursus itu secara tersirat cuba mempromosi kewartawanan
yang berpaksikan demokrasi kapitalis.
Sejak mula menyertai
Business Times, saya banyak membuat liputan berita dan menulis analisis
mengenai proses memalaysiakan industri petroleum yang sebelum itu dikuasai oleh
syarikat multinasional Inggeris, Belanda dan Amerika.
Ia dipelopori oleh
Petronas yang pada ketika itu dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah
dengan Rastam Hadi (adik aktivis politik haluan kiri Hasnul Hadi) sebagai
Pengarah Urusan.
Ketika itulah saya
berjumpa buat kali pertama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri I
Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib
Abdul Razak, yang menjadi murid kepada Ku Li dan bertugas di jabatan komunikasi
korporat.
Dia masih bujang tetapi
sudah pun menjadi Ahli Parlimen Pekan setelah menang tanpa bertanding berikutan
kematian bapanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pada bulan Januari, 1976,
di London.
Pada tahun berikutnya –
1977 – saya membuat temu bual eksklusif dengannya di rumah keluarganya di Jalan
Eaton, Kuala Lumpur, sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen.
Pada tahun 1984, ketika
memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times, saya dipindahkan ke Berita
Harian sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan – mungkin kerana kedwibahasaan saya.
Sejak menyertai Bernama
pada tahun 1969, saya menulis dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris - secara
berterusan.
Pada tahun 1986 saya
dinaikkan pangkat menjadi Pengarang Kumpulan Berita Harian dan pada tahun 1988,
berikutan Operasi Lalang, saya dilantik menjadi Pengarang Kumpulan New Straits
Times.
Saya memegang jawatan
itu selama 11 tahun sebelum dilantik bagi mengisi semula jawatan Ketua
Pengarang Kumpulan NSTP yang dihapuskan apabila jabatan pengarang akhbar
berbahasa Melayu dan Inggeris dipisahkan.
Pewujudan semula jawatan
Ketua Pengarang Kumpulan itu ada kaitannya dengan krisis politik 1997-98 yang berkesudahan
dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno.
Saya sedar pelantikan ke
jawatan tertinggi Jabatan Pengarang itu membawa bersamanya risiko yang tinggi.
Selepas daripada itu tidak ada destinasi lain kecuali kejatuhan dan itulah yang
berlaku akibat pendirian saya mengenai cara menangani isu Anwar sebelum dan
ketika Pilihan Raya Umum 1999.
|
Menemuramah Dr Mahathir pada tahun 1998 menganai capital control |
Walaupun Barisan Nasional
(BN) mengekalkan suara dua pertiga di Parlimen tetapi undi popularnya jatuh dan
ia kehilangan Terengganu.
Pendirian saya ialah
Anwar sudah masuk penjara maka tidak perlulah dia dihebohkan lagi. Sebaliknya
BN, khususnya Umno, perlu terus ke hadapan dengan yakin bahawa tanpa Anwar ia
masih kuat dan diyakini.
Tetapi ada pendapat dalam
kepimpinan yang berasa legasi Anwar selama 16 tahun dalam Umno -1982-1998 - wajib
dipadamkan dan sesiapa saja yang disyaki sebagai penyokong dan simpatisan beliau
dalam Kumpulan NSTP dikenakan tindakan.
Ini diburukkan lagi oleh
wujudnya beberapa orang dan pihak yang bercita-cita mengambil alih dan
menguasai aset media milik Umno.
Saya tidak bersetuju dan
tidak dapat melakukannya kerana sebarang tindakan ke atas penyokong dan
simpatisan Anwar samalah dengan bertindak menyingkirkan diri saya sendiri kerana
sayalah yang melantik mereka dan merestui sokongan mereka kepada Anwar atas
dasar bahawa Anwar adalah bakal pengganti Dr Mahathir.
Maka pada pertengahan
tahun 2000 saya berhenti daripada NSTP selepas berkhidmat selama lebih kurang
24 tahun dengannya.
Saya terus menulis dalam
akhbar-akhbar NSTP sehinggalah diberhentikan satu persatu kerana pendirian dan
pendekatan kewartawanan saya tidak secocok dengan pengarang atau sedikit
sebanyak mencabar kewibawaan mereka sebagai pengganti saya.
Akhirnya, apabila
saluran tradisional semakin kering dan saluran baru atas talian (Internet) semakin
meluas, maka pada awal tahun 2006 saya memulakan blog ini.
Insya Allah, selagi ada
kesihatan dan kemampuan minda, saya akan terus menulis untuk berkongsi maklumat
dan pendapat dengan masyarakat tanpa mengiri yang menyokong atau menentang idea
saya.
Akhir kalam, terima
kasih tidak terhingga kerana membaca tulisan saya dan berkongsi pandangan dengan
saya.
Lima puluh tahun tidaklah
lama apabila kita gembira mengisinya.
Wallahuaklam.