Monday, July 29, 2019

Nada Suara Yang Meyakinkan Daripada Al-Sultan Abdullah


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Nada suara yang meyakinkan daripada Al-Sultan Abdullah
ESOK, Selasa, 30 Julai 2019, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Pahang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Daulat Tuanku.

Dalam temu ramah dengan akhbar The Star yang disiarkan pada Ahad, 28 Julai, Al-Sultan Abdullah melahirkan harapan untuk melihat Malaysia yang bersatu, aman, stabil dan harmoni sepanjang pemerintahan baginda.

Namun begitu, baginda mengakui bahawa harapan tersebut mungkin tidak tercapai dalam masa yang singkat.

Bagi diri saya, walaupun saya kritikal terhadap tindak-tanduk dan kelakuan sesetengah raja Melayu, namun saya amat yakin bahawa seorang raja yang adil dan bijaksana boleh membantu menjadikan Malaysia bersatu, aman, stabil dan harmoni.

Sekiranya hari ini negara kita tidak mencerminkan ciri-ciri yang Al-Sultan Abdullah sebutkan itu, boleh jadi sebahagiannya disebabkan oleh tindak-tanduk dan kelakuan sebilangan kecil raja-raja kita juga.

Justeru itu, saya amat yakin sekiranya Al-Sultan Abdullah menunaikan tanggungjawab baginda seperti yang baginda janjikan dan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan maka kebimbangan baginda yang Malaysia menjadi kacau-bilau akan dijauhkan Tuhan.

Insya Allah jika baginda dan Raja-raja Melayu yang lain boleh memberi kerjasama kepada kerajaan pilihan rakyat jelata, ekonomi negara akan pulih dan kesejahteraan rakyat jelata, khususnya yang memerlukan pembelaan, akan menjadi bertambah baik.

Sebab itulah saya selalu kata bahawa tempat raja adalah di atas takhta dan bukan di dalam bilik lembaga atau di dalam hutan belantara mencari balak dan emas suasa.

Saya telah sebutkan banyak kali dan saya ulang sekali lagi, iaitu raja-raja tidak boleh berniaga, bersaing dengan rakyat jelata dan diseret ke mahkamah macam orang biasa.

Tidak mengapa kalau kerajaan pusat dan negeri hendak mengkaji semula peruntukan diraja supaya raja-raja kita boleh hidup selesa tanpa keperluan berniaga atau membuat kerja-kerja yang merendahkan martabat istana.

Begitu jugalah kalau perbelanjaan raja terlalu besar dan mewah seperti memiliki istana gergasi atau jet peribadi yang memerlukan belanja penyelenggaraan yang besar maka kerajaan berhak mengehadkannya.

Al-Sultan Abdullah yakin kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir mampu memulihkan ekonomi negara dan kebajikan rakyat jelata.

Di sini, saya amat yakin, Raja-raja Melayu boleh memainkan peranan menasihati pemimpin politik agar menumpukan perhatian kepada tugas yang diamanahkan dan bukan membuat kerja-kerja yang dilarang.

Berkenaan ulasan Al-Sultan Abdullah berkaitan serangan ke atas istana dalam media sosial, saya rasa serangan yang tidak berasas dan melampau wajib disekat dan ditangani mengikut lunas undang-undang.

Saya berkata begitu kerana saya sendiri sudah dua kali disiasat oleh polis berikutan aduan orang ramai ke atas tulisan saya mengenai raja-raja walaupun saya berhati-hati dengan fakta dan bahasa.

Bercakap bagi pihak Istana Pahang, Al-Sultan Abdullah berkata, keluarga diraja tidak berbeza daripada institusi atau istana lain yang sentiasa diperhatikan oleh rakyat jelata.

Amat tepat kata Al-Sultan Abdullah, iaitu istana akan dikecam hebat apabila dilihat cuba mempolitikkan sesuatu.

Al-Sultan Abdullah berkata, baginda sentiasa diingatkan tentang perlunya institusi raja kekal relevan dalam suasana politik negara yang lebih terbuka dan demokratik sekarang.

Saya juga tertarik dengan komen baginda bahawa jika (raja-raja) berasa mereka adalah bahan muzium maka mereka akan berakhir di dalam muzium.

Tetapi jika kehadiran (raja-raja) adalah untuk berkhidmat kepada rakyat jelata dan berada bersama mereka, baginda yakin rakyat jelata tahu bagaimana menghargainya.

Kesimpulannya, saya amat yakin kita akan melalui zaman yang lebih tenteram dan membanggakan di bawah pemerintahan Al-Sultan Abdullah berbanding dengan zaman pemerintahan raja sebelum ini.

Insya Allah.

Tuesday, July 23, 2019

Perpaduan dan Kepahlawanan Melayu - Realiti atau Mitos?


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Malayan Union: Hamba Melayu bangkit menyelamatkan raja-raja mereka
IZINKAN saya mengulas panjang sikit mengenai inti pati amanat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Luar Biasa parti itu di Serdang, Selangor, Sabtu lalu.

Ada dua tema utama dalam ucapan beliau. Pertama, orang Melayu bersatu hati bangkit menentang Malayan Union (Kesatuan Malaya) pada tahun 1946 yang sekali gus menyelamatkan institusi raja daripada menjadi hamba British.

Kedua, orang Melayu gagal memanfaatkan hasil perjuangan mereka sendiri kerana mabuk kuasa dan gila harta.

Sebagai pemerhati tua yang mengikuti jatuh bangun perjuangan Dr Mahathir sejak tahun 1964, saya perhatikan yang dua tema ini tidak lekang daripada pemikiran dan tindakan beliau.

Setiap analisis beliau tentang bangsa Melayu akan dimulakan dengan menyebut dua perkara ini.

Sayugia diingatkan ada perbezaan di antara orang Melayu dan bangsa Melayu. Satu Melayu kerana keturunannya dan satu lagi Melayu kerana perlembagaan.

Kalau ikut darah keturunan, orang Filipina juga Melayu. Tetapi di Malaysia, ikut perlembagaan, sesiapa saja  yang beragama Islam, amal adat resam Melayu dan bertutur bahasa Melayu maka Melayulah dia.

Melayu dan Raja

Sebelum zaman penjajahan Barat yang bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, Raja-raja Melayu berkuasa mutlak. Rakyat jelata adalah hamba abdi.

Tetapi pada tahun 1946, hamba abdi itulah yang bangun menentang Malayan Union dan sekali gus menyelamatkan kesultanan Melayu sedangkan pada ketika itu raja-raja sudah menyetujui konspirasi Inggeris itu.

Malah apabila orang Melayu mula menuntut kemerdekaan, sesetengah raja Melayu menentangnya kerana mereka selesa dengan kemakmuran dan kedudukan yang dijanjikan Inggeris walaupun kuasa mereka dihadkan kepada hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Namun begitu, apabila kita merdeka pada 31 Ogos 1957, kita mengekalkan raja-raja kita dan mendaulatkan kedudukan mereka.

Kita tidak ikut tindakan banyak negara bekas tanah jajahan yang merdeka lebih awal daripada kita, seperti India dan Indonesia, yang membuang raja-raja mereka.

Asas Kelangsungan

Untuk terus berperanan dan diterima umum, institusi raja wajiblah bersama-sama dengan rakyat jelata mengamalkan semangat dan piawaian yang terkandung dalam Rukun Negara:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada raja dan negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan kesusilaan.

Adalah amat janggal bagi seorang Raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam dan adat resam Melayu di negerinya apabila baginda bercerai talak tiga dengan isterinya, hal itu disahkan oleh sebuah syarikat guaman Singapura den seorang peguam Cina.

Menurut laporan media massa tempatan dan antarabangsa, peguam Koh Tien Hua, yang mewakili firma Eversheds Harry Elias LLP mengesahkan perceraian raja itu dengan isterinya seorang bekas peserta ratu cantik Bandaraya Moscow, Rusia.

Daripada laporan yang saya baca, percubaan wartawan tempatan mengesahkan hal itu dengan istana dan kerajaan negeri “kesenangan dan kenikmatan” itu gagal.

Tetapi cerita itu tidak berakhir di situ saja. Media massa antarabangsa terus menyiarkan pelbagai fakta mengiurkan dan cerita sensasi mengenai perkahwinan setahun itu.

Melayu dan Hantu

Sekarang ini, orang Melayu yang besar bilangannya di Malaysia nampak sangat benci dan takut kepada orang Cina dan menyalahkan segala-galanya kepada DAP.

Mungkin benarlah anggapan bahawa perpaduan dan kepahlawanan Melayu yang diuar-uarkan selama ini lebih berupa mitos daripada realiti.

Kalau Melayu bersatu padu dan berani, mengapakan mereka nampak begitu takut kepada orang bukan Melayu yang sedikit?

Mungkin oleh sebab orang Melayu tidak berpadulah maka lahir banyak empayar, negara dan negeri Melayu di Nusantara.

Persaingan dan permusuhan di kalangan mereka ini juga yang memudahkan campur tangan dan seterusnya penaklukan oleh kuasa-kuasa penjajah Barat.

Ketika perjuangan kemerdekaan dan beberapa ketika selepas itu semangat orang Melayu kental. Mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Tetapi tidak lama selepas itu, akibat berebut kuasa dan kekayaan, perpaduan Melayu retak dan akhirnya pecah.

Pada tahun1953 Umno pecah apabila golongan agama keluar dan menubuhkan Parti Islam Se-Malaya (Pas).

Melayu akan terus lemah dan jauh ketinggalan jika mereka membiarkan hantu, iblis dan jembalang bertakhta di hati mereka.

Untuk kembali kuat, mereka wajib menghambat keluar hantu, iblis dan jembalang dari hati mereka dan menggantikannya dengan budi dan iman, keberanian dan ketekunan, keunggulan dan keikhlasan.

Wallahuaklam.

Friday, July 19, 2019

Jangan Biarkan Isu Dalaman PKR Jangkiti PH


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Konvensyen PH 2018 letak batu asas perkongsian kuasa dan tanggungjawab.
ADA dua isu berlainan, tetapi kait mengait yang menyuburkan imaginasi orang ramai kebelakangan ini.
Pertama, bahas yang berterusan mengenai peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua, skandal filem homoseksual yang melibatkan seorang penggiat muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan “seorang yang tidak dapat dicamkan” yang dikatakan pemimpin kanan PKR dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua isu itu memberi kesan kepada PKR, khasnya dan PH, amnya.

Sepatutnya isu peralihan kuasa ini tidak timbul atau ditimbulkan manakala skandal filem homoseksual tidak berlaku.

Isu pertama telah diputuskan dan dihebahkan kepada umum dalam Konvensyen PH di Shah Alam pada 7 Januari 2018, iaitu:

1.Dr Mahathir calon Perdana Menteri;

2. Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail calon Timbalan Perdana Menteri;

3. Anwar Perdana Menteri ke-8 dengan kefahaman bahawa Dr Mahathir dan Anwar akan berkongsi penggal ini (2018-2023) sebagai Perdana Menteri.

Itulah alasan yang menunjangi hujah saya di majlis diskusi buku karya blogger Shahbuddin Husin - “Anwar PM Ke-8” - di Shah Alam 17 Julai lalu bahawa Anwar akan ambil alih sebagai Perdana Menteri.

Isu memihak atau memilih kasih tidak timbul. Ini adalah realiti hitam-putih.

Masalahnya adalah, Dr Mahathir baru melalui 14 bulan daripada tempoh itu, tetapi sudah ada orang yang tidak sabar sehingga secara terbuka dan kasar menuntut beliau menetapkan masa bila Anwar akan mengambil alih.

Majlis Presiden PH

Isu peralihan kuasa ini boleh berubah hanya jika Majlis Presiden PH berubah selera.

Itu pun mereka masih terikat dengan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang telah disokong oleh majoriti pengundi.

Buat masa ini, yang wajib Majlis Presiden PH beri perhatian adalah memastikan pertelingkahan dalam PKR tidak merebak sehingga menjangkiti PH.

Dalam konteks itu, saya mengiktiraf pendirian Dr Mahathir tidak masuk campur hal dalaman PKR.

Begitu juga dengan sentimen Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menaruh harapan agar isu skandal seks PKR itu reda demi keutuhan keseluruhan PH.

Rakyat jelata sudah mula jemu dengan berita, peristiwa dan tindak-tanduk pemimpin PH yang tidak menguntungkan sebaliknya menyusahkan mereka.

Pemimpin PH sepatutnya ingat bahawa mereka diberi mandat oleh rakyat jelata tidak lain tidak bukan untuk mentadbir negara dengan lebih baik daripada sebelum ini.

Siasatan Polis

Berkenaan siasatan polis terhadap video homoseksual itu pula, kenyataan mengenainya yang dirujukkan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, semalam menjadikannya lebih misteri dan menyuburkan imaginasi.

Saya tidak menyalahkan orang ramai jika mereka tidak boleh berhenti di situ saja dengan menelan bulat-bulat kenyataan pihak polis mengenainya.

Ini adalah kerana seorang daripada dua pelakon dalam video Sandakan itu telah tampil ke hadapan dan menyatakan siapa seorang lagi yang bercumbu-cumbuan dengannya.

Malah dia sanggup masuk lokap kerana mempertahankan dakwaannya.

Kenyataan Abdul Hamid itu membuka ruang kepada beberapa kemungkinan:

1. Mengenakan tuduhan jenayah ke atas orang atau orang-orang yang melakukan hubungan seks songsang dalam video tersebut;

2. Mengenakan tuduhan jenayah ke atas orang atau orang-orang yang menyiar dan/atau mengedarkan video lucah itu; dan

3. Orang atau orang-orang yang berasa mereka telah diaibkan boleh mengambil tindakan sivil melalui saman malu.

Pemimpin PH tidak boleh tunggu sehingga rakyat jelata jelak dengan kelakuan mereka dan pelabur hilang keyakinan kepada negara kita.

Pelabur mahukan kesahihan bahawa peralihan kuasa akan berlaku dengan lancar dan dasar serta program yang dipersetuji diteruskan tidak kira siapa menjadi Perdana Menteri.

Kalau tidak boleh juga, berhentilah. Jangan jadi nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.

Berkenaan seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit, itu perkara biasa. Kerbau suka berkubang. Jadi dipalit lumpur adalah perkara biasa. Tetapi kita bukan kerbau. Kita manusia.

Wallahuaklam.

Tuesday, July 16, 2019

Kesan Gabungan Najib-Zahid Kepada Umno


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Najib, Zahid dan Adnan: Burung sewarna berkumpul bersama
 1. PELANTIKAN bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) tidak memeranjatkan.

2. Ungkapan Inggeris berkata, “birds of a feather flock together” atau kalau dipadankan ke bahasa Melayu lebih kurang “burung sewarna berkumpul bersama”.

3. Macamlah kata anak raja dari negeri selatan, “pipit sama pipit, helang sama helang”. Walaupun yang sepatutnya ialah pipit sama pipit, enggang sama enggang.

4. Inilah cara pengerusi BN dan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mencari burung sewarna di kalangan orang kena tuduh (OKT).

5. Kalau kita tengok gambar yang disiarkan oleh media massa, ada tiga OKT di dalamnya – Najib, Zahid dan Datuk Seri Adnan Mansor.

6. Zahid perlukan Najib sebagai rakan oleh sebab dia tentunya tidak berasa selamat bersama pemimpin Umno/BN yang bebas tuduhan.

7. Pelantikan Najib berlaku sebaik saja Zahid kembali bertugas sebagai presiden Umno pada 30 Jun lalu setelah bercuti mulai 18 Disember lepas.

8. Zahid perlukan Najib kerana amat jelas yang kepulangannya tidak dialu-alukan oleh sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno.

9. Ramai pemimpin dan ahli yang bersikap sederhana, waras dan berpandangan jauh mahu timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, terus pangku tugas presiden.

10. Zahid tentunya berasa cemburu dan terancam dengan penerimaan baik ahli dan pemimpin Umno terhadap Mohamad, termasuk pemimpin senegeri Khairy Jamaluddin. Saya melihat Khairy sebagai watak menanti yang penting dalam politik Umno dan negara.

11. Faktor Mohamad-Khairy ini telah mula menyuburkan imaginasi banyak pihak dalam dan luar Umno yang melihat gandingan mereka sebagai menjanjikan harapan perubahan dan pemulihan kepada Umno.

12. Zahid tentu tidak berasa terancam dengan Najib bukan sahaja kerana mereka sama-sama OKT, tetapi mungkin dalam perkiraan Zahid tuduhan terhadap Najib adalah lebih berat daripada tuduhan terhadapnya.

13. Zahid juga terpengaruh dengan reaksi dan penerimaan terhadap kempen “Bossku” dan mahu tumpang sekaki.

14. Untuk kekal relevan kepada kelompok Melayu tradisional dan merapatkan diri dengan Pas, Zahid perlu terus menampilkan dirinya sebagai jaguh Melayu dan Islam.

15. Tetapi Pas nampak lebih selesa dengan Mohamad daripada Najib atau Zahid. Ini mungkin kerana Pas tidak mahu terpalit dengan kes mahkamah Najib dan Zahid.

16. Di masa yang sama, Zahid tahu dia kena jaga hati MCA dan MIC yang berupa ahli pelengkap bilangan bagi BN. MCA dan MIC lebih percaya kepada Najib daripada Zahid.

17. Umno masih memerlukan MCA dan MIC walaupun kedua-dua buah parti itu ibarat rumput di tengah jalan. Tanpa MCA dan MIC, gabungan Umno-Pas tidak ada perwakilan bukan Melayu.

18. Buat masa ini, kepulangan Zahid dan pelantikan Najib tidak menampakkan hasil positif. Sebaliknya Umno yang mula bersatu di bawah Mohamad, kembali berpecah, berpuak dan saling tuduh-menuduh.

19. Nampak jelas yang ramai pemimpin dan ahli Umno serta orang Melayu yang boleh berfikir tidak setuju dengan gabungan Zahid-Najib ini.

Wallahuaklam. Terima kasih.