A Kadir
Jasin
بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Perjanjian Damai Tiga Pihak di Hatyai tahun 1989 |
Tetapi rasanya itulah perintah Allah yang paling diabaikan oleh orang Islam – tidak terkecuali orang Melayu Malaysia.
Orang Melayu Malaysia ini unik kerana mereka adalah anggota satu-satunya bangsa di dunia yang wajib beragama Islam.
Arab yang sebangsa dengan Rasul Allah itu pun tidak diwajibkan beragama Islam. Maka ada orang Arab yang beragama Kristian dan tinggal di negara-negara Arab sendiri.
Kalau orang Melayu Malaysia membaca, tidaklah perlu mereka bertegang leher berbahas secara tidak rasional mengenai debu Chin Peng yang dibawa balik ke Malaysia untuk disemadikan.
Tetapi betullah kesimpulan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor bahawa orang yang berbahas itu tidak pun membaca sejarah Perjanjian Hatyai tahun 1989.
Seperti kata Abdul Rahim, orang yang membantah pembawaan balik debu mayat Chin Peng patut baca baik-baik kandungan perjanjian tiga pihak yang membabitkan kerajaan Malaysia, Thailand dan bekas Parti Komunis Malaya (PKM) itu.
Malangnya orang Malaysia, khususnya orang Melayu, bukanlah manusia yang gemar membaca, utamakan sejarah dan berbahas secara rasional.
Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti orang Malaysia adalah manusia yang malas membaca, malas berfikir, tidak gemarkan sejarah dan sangat mudah lupa.
Sebab itulah saya berulang kali kata, Malaysia tidak akan menjadi negara maju atau amat sukar menjadi negara maju dalam pengertian sebenar.
Untuk menjadi negara maju, kita mestilah bertamadun. Untuk menjadi negara bertamadun, kita mestilah banyak membaca, kita mesti berilmu dan kita mesti berbudi pekerti tinggi.
Fakta Sejarah
Abdul Rahim seorang bangsa Malaysia yang amat patriotik. Kalau ada orang yang berhak membantah kepulangan debu Chin Peng, maka orang itu adalah Abdul Rahim.
Sebelum menjadi KPN, beliau adalah Pengarah Cawangan Khas yang sejak sebelum Merdeka lagi berada di barisan hadapan dalam peperangan melawan komunis.
Tetapi Abdul Rahim juga adalah orang yang diberi kepercayaan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada akhir tahun 1980-an untuk mencari penyelesaian mutakhir kepada isu PKM.
Untuk setahun lebih kami, para pengarang waktu itu, mendapat taklimat “off-the-record” daripada Abdul Rahim mengenai kemajuan rundingan dengan PKM. Kami kemudiannya pergi ke Hatyai bagi menyaksi dan melaporkan penandatangan perjanjian itu pada 2 Disember 1989.
Sekarang beliau diberikan pula tugas oleh Dr Mahathir untuk menjadi orang tengah dalam usaha membawa perdamaian dan keamanan ke Selatan Thai.
Malangnya, hari ini orang yang tidak tahu apa-apa mengenai peristiwa itu, termasuk sesetengah pengarang dan wartawan, bertindak seolah-olah mereka adalah pakar yang tahu segala-galanya.
Inilah masalah dan petanda kepada sebuah masyarakat yang tidak membaca, tidak berfikir dan tidak artikulat. Bangsa yang emosi dan naik angin tanpa sebab.
Minda Terjajah
Di sinilah saya sentiasa mengutuk Inggeris sebagai bangsa penjajah yang amat licik sehinggakan racun minda yang mereka suntikkan ke dalam jasad bangsa-bangsa yang mereka jajah masih berkesan sampai hari ini.
Minda ramai orang di negara-negara bekas tanah jajahan mereka, termasuk yang lahir selepas kemerdekaan, masih terjajah. Segala sesuatu mengenai Inggeris masih disanjung.
Realitinya adalah PKM menjadi parti politik sah dan bersenjata atas kehendak dan ikhsan Inggeris sendiri.
Inggerislah yang memberi senjata kepada PKM apabila ia berjuang bersama Inggeris menentang Jepun. Kemudian senjata itu digunakan untuk melawan Inggeris selepas Perang Dunia Kedua.
Tidak ada yang lebih jelas mengenai penaklukan minda oleh Inggeris ini daripada ketaksuban orang Malaysia terhadap bola Inggeris.
Walaupun bola Inggeris tidak cemerlang namun ia terus menjadi sanjungan orang kita. Mereka tidak peduli atau tahu bahawa bola Inggeris adalah jauh lebih inferior daripada negara-negara kecil di Eropah, Afrika, Amerika Selatan dan Asia.
Tapi mereka sanggup tidak tidur malam untuk melihat Manchester United yang tidak hebat mana pun berlawan dengan Liverpool atau Arsenal.
Manakala mereka kutuk kekejaman Israel dan Amerika Syarikat, mereka lupa atau tidak tahu pun bahawa yang merampas bumi Palestin dan memberikannya kepada orang Yahudi adalah Inggeris.
Inggeris pegang mandat ke atas Palestin tapi diserahkan kepada Yahudi |
Kalau tidak, janganlah marah atau kecewa seandainya mereka sekali lagi dijajah dan diperhambakan bukan oleh mana-mana bangsa penjajah tetapi oleh kebodohan mereka sendiri yang kian hari kian terserlah dipamerkan di media sosial.
Ketakutan atau kebencian terhadap debu Chin Peng dan perkara-perkara abstrak ini adalah simptomatik kepada sebuah masyarakat yang lemah sejarah, emosional dan, mungkin juga seperti kata Abdul Rahim, rasis.
Wallahuaklam.