Tuesday, September 22, 2020

Catatan Sejarah: KWSP Ambil Saham MRCB Tahun 2005

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Kenyataan Bursa: Berlaku pada Zaman Abdullah

MUKHADIMAH: Tuduhan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib bin Abdul Razak terhadap saya dan, dengan itu juga, terhadap tiga orang lagi bekas eksekutif kanan New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) yang melakukan Pembelian Oleh Pengurusan (MBO) ke atas NSTP dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) adalah bohong.

 

Sebaliknya, yang menyebabkan Umno hilang kawalan ke atas Media Prima Berhad, iaitu gabungan NSTP dan STMB, adalah Najib sendiri.

 

Ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno antara tahun 2009 dan 2018, saham Media Prima yang dipegang secara proksi bagi pihak Umno telah dijual atau dipindahkan kepada beberapa buah syarikat dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC). 

 

Akhir sekali apabila Umno/BN kalah pilihan raya umum 2018, baki saham Media Prima milik Umno dijual kepada Aurora Mulia Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar Albukhary. 

 

Dengan itu berakhirlah riwayat pemilikan NSTP dan TV3 oleh Umno yang bermula pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak. Bukan setakat hilang kawalan ke atas Media Prima malah Umno juga hilang kawalan ke atas kumpulan Utusan Melayu. Tetapi macam biasa, Najib akan berbohong dan menyalahkan orang lain.

 

Anatomi Realmild-MRCB

 

1. MBO oleh empat eksekutif kanan NSTP – yang digelar empat budak Melayu - dilakukan pada tahun 1993. Mengikut nisbah pegangan saham - daripada paling besar kepada paling kecil - mereka adalah Ahmad Nazri Abdullah (Pengarang Kumpulan Berita Harian), Mohd Nor Mutalib (akauntan), A Kadir Jasin (Pengarang Kumpulan New Straits Times) dan Abdul Khalid Ahmad (akauntan).

 

2. Mereka menubuhkan syarikat pegangan (holding company) bernama Realmild Sdn Bhd dan meminjam RM800 juta daripada bank bagi membeli Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk dijadikan syarikat tujuan khas (SPV) bagi membeli saham NSTP dan STMB daripada Tan Sri Abdul Halim Saad.

 

3. Berikutan pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan pada tahun 1998, Ahmad Nazri, Mohd Nor dan Abdul Khalid menyerahkan saham mereka dalam Realmild kepada Abdul Rahman Maidin. Abdul Rahman memegang 95 peratus dan saya, lima peratus.

 

4. Pada tahun 2001, saya serahkan pegangan saham saya dalam Realmild sebanyak lima peratus kepada Abdul Rahman dan keluar daripada syarikat itu serta meletak semua jawatan korporat dalam syarikat-syarikat berkaitan Realmild, iaitu NSTP, STMB dan MRCB. Serentak itu saya juga meletak jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP.

 

5. Pada ketika itu MRCB masih dimiliki oleh Realmild. Ia tidak dijual kepada sesiapa. Maka terbuktilah yang Najib berbohong bila dia kata saya jual MRCB dan tidak bagi duit kepada Umno.

 

6. Abdul Rahman kemudian diarah memindahkan Realmild kepada Tan Sri Anwar Jamalullail dan keluar daripada Realmild pada tahun 2002. Pada waktu itu MRCB masih milik Realmild. Ertinya masih dalam tangan Umno melalui proksi.

 

7. Perlu disebutkan bahawa dalam hampir semua urusan bersangkut-paut dengan Realmild selepas pemecatan Anwar melibatkan Nor Mohamed Yakcop. Dialah yang menjadi “puppeteer” (dalang) menyusun semula syarikat-syarikat milik Bumiputera pasca-Krisis Kewangan Asia 1997/98 dengan dibantu oleh dua, tiga orang “wunderkinder” (budak-budak cerdik). Mereka amat berkuasa dan ditakuti. Nor Mohamed cukup ajaib. Dia berpengaruh ke atas semua Perdana Menteri bermula dengan Dr Mahathir.

 

8. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri mulai 31 Oktober 2003, Realmild diambil alih pula oleh Abdul Latif Abdullah sebagai Pengerusi Eksekutif.

 

9. Mengikut rekod, dalam tempoh itulah berlaku pemindahan saham MRCB daripada Realmild kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Hal itu dimaklumkan kepada Bursa Malaysia oleh MRCB pada 7 Januari 2005 seperti dalam gambar di atas. Jumlah saham MRCB yang dipindahkan adalah sebanyak 155,555,555.

 

10. Tetapi sebelum itu pun KWSP sudah melabur dalam MRCB kerana sejak dijadikan SPV untuk melakukan MBO ke atas NSTP dan TV3, MRCB menjadi sebuah syarikat yang berpotensi dan harga sahamnya kukuh. Ia mendapat beberapa buah projek besar termasuk membangunkan KL Sentral. Saham-saham MRCB itu tidak dijual tetapi diambil alih kerana MRCB berhutang kepada KWSP untuk membeli 20 peratus saham RHB Bank. Sebab itulah hari ini, selain menguasai MRCB, KWSP juga ada saham dalam RHB Bank. Tidak ada apa yang hilang dan tidak ada siapa yang curi. Sekarang MRCB milik semua pencarum KWSP.

 

11. Habis macam mana Najib tuduh saya, rakan-rakan saya dan Dr Mahathir Mohamad jual saham MRCB dan curi duit? Pada tahun 2005 saya sudah keluar Realmild, MRCB, NSTP dan STMB hampir empat tahun. Kalau pun nama kami tersenarai sebagai pemegang saham MRCB, ini adalah kerana kedudukan kami sebagai pemegang saham Realmild. Kami tidak ada pegangan terus (direct holdings) dalam MRCB.

 

12. Kemudian apabila Najib naik jadi Perdana Menteri pada 4 April 2009, dia lantik Zulkifly Rafique jadi Pengerusi Eksekutif Realmild. Pada tahun berikutnya (2010) KWSP membuat tawaran membeli baki saham MRCB, tetapi tidak berjaya.

 

13. Pada zaman Najib juga nama Realmild ditukar kepada Radimax Group Sdn Bhd dan sedikit demi sedikit hilang kawalan ke atas Media Prima.

 

14. Boleh jadi sebab banyak sangat hal-hal yang menakutkan dalam kepala Najib atau dia memang kaki putar-belit maka dia buat cerita yang bukan-bukan, termasuk memfitnah dan berbohong.

 

15. Yang jadi mangsa adalah rakyat jelata yang tidak tahu apa-apa dan tidak faham hal-hal kompleks berkenaan dunia korporat. Maka atas prinsip itu juga, Najib melakukan konspirasi penipuan 1MDB dan membuat kenyataan yang bukan-bukan.

 

16. Saya tidak menjawab fitnah Najib lebih awal kerana saya perlu membuat penyelidikan dan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak-pihak yang terlibat dengan Realmild dan MRCB kerana saya sudah hampir 20 tahun keluar daripada kumpulan itu.

 

Wallahuaklam. Terima kasih.