A Kadir Jasin
MUTAKHIR, 10
Mei – Perdana Menteri hari ini nafi
pembelian tanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji adalah tindakan menyelamat atau
“bailout” 1MDB.
Mohd Najib berkata ia diputarbelit bagi menggambarkan seolah-olah Tabung
Haji menggunakan wang pendeposit untuk menyelamatkan 1MDB daripada masalah
kewangan.
Soalnya, kalau urus
niaga itu telus dan menguntungkan Tabung Haji, apa pasal beliau kecut perut
dan suruh Tabung Haji jual tanah itu?
Nampak sangat PM kita mudah diancam atau sekali lagi beliau cuba menegakkan benang
basah.
MUTAKHIR, 9 Mei – Siapa main kayu tiga dan siapa yang cemarkan nama Tabung Haji?
Inilah akibat “nawaitu” yang tidak baik dan buat kerja curi-curi. Abdul Azeez hari ini mengumumkan bahawa atas “nasihat” Mohd Najib, Tabung Haji akan jual tanah yang dibeli sebulan lalu daripada 1MDB.
Inilah kerja mengarut dan kerja tidak ikhlas. Kalau tidak didedahkan dan dibelasah oleh orang ramai, pasti semua beres.
Kalau Mohd Najib tidak terlibat dalam jual beli ini dan beliau tidak mahu nama Tabung Haji tercemar, kita cabar beliau melucutkan jawatan Abdul Azeez dan semua orang yang terlibat dengan pembelian tanah 1MDB itu.
Kita mahu lihat keberanian dan keikhlisan Pahlawan Bugis itu dan kita mahu tahu kepada siapa tanah itu akan dijual serta berapa keuntungan Tabung Haji akan peroleh.
ORIGINAL POST
APAPUN dan alasan dan helah yang diberikan oleh Tabung Haji mengenai pembelian tanah RM188.5 juta daripada 1MDB, ia tetap akan dilihat sebagai satu lagi tipu daya untuk menyelamatkan IMDB.
[PERINGATAN: Komen
guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL.
Boleh pakai nama samaran.]
Tabung Haji boleh memberi
pelbagai justifikasi, tetapi orang ramai yang tahu mengenai perniagaan dan
mengenali 1MDB akan menghidu ciri-ciri “bailout” (penyelamatan) dalam pembelian
tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX) itu.
Kita semua tahu tidak ada banyak kegiatan yang berjalan di TRX. Jadi pembelian tanah oleh Tabung Haji itu amat diperlukan oleh 1MDB bagi meyakinkan pihak-pihak lain. Sebelum ini ia menjual 17 ekar di tapak yang sama kepada syarikat pemaju hartanah Australia, Land Lease, untuk tujuan usaha sama.
Dari sudut korporat, alasan yang
diberikan oleh pengurusan tinggi Tabung Haji mungkin masuk akal. Tetapi cuba
memisahkan urus niaga itu daripada penyelamatan 1MDB adalah mustahil.
Ini adalah kerana dalam tempoh
tidak sampai dua bulan hampir RM3 bilion telah dibelanjakan untuk menyelamatkan
1MDB daripada mungkir janji kepada bank dan bagi memenuhi keperluan pembiayaan
semasa.
Dalam operasi penyelamatan
pertama, 1MDB akhirnya terpaksa mengaku yang ia menerima pinjaman RM2 bilion daripada
usahawan T Ananda Krishnan (melalui Tanjong Energy) dan selepas itu sebanyak
RM950 juta lagi daripada Kementerian Kewangan.
Serentak itu media massa juga
melaporkan bahawa beberapa buah syarikat swasta, termasuk milik bukan
Bumiputera, telah menyatakan minat untuk membeli aset-aset 1MDB.
Dalam tulisan saya dalam blog
ini dan di tempat-tempat lain, saya berulang kali memberi amaran agar
syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak dipaksa memberi
hutang kepada 1MDB atau menyelamatkannya.
Kita telah lihat sebelum ini
bagaimana dua institusi kewangan yang berkaitan GLIC memberi pinjaman kepada
1MDB, tetapi hampir-hampir tidak mendapat balik hutang mereka kerana 1MDB tidak
mempunyai wang.
Institusi yang saya maksudkan
adalah Maybank yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan RHB Capital
yang dipunyai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Conflict of Interest" dalam Tabung Haji
Adalah sukar untuk mempercayai
bahawa Tabung Haji secara sukarela mahu turut terjerumus ke dalam kontroversi
dan krisis 1MDB jika tidak “dipujuk” atau “dipaksa” oleh sesiapa.
Seyogia diingatkan pengerusi Tabung Haji, (Datuk Seri Panglima) Abdul Azeez Abdul Rahim adalah wakil rakyat Barisan Nasional (Umno) dan Ahli Majlis Tertinggi Umno yang diketahui amat akrab dengan Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak. Mohd Najib adalah pengasas 1MDB dan pengerusi Lembaga Penasihatnya.
![]() |
| Abdul Azeez Akrab Dengan Mohd Najib |
Dalam situasi ini, adalah sukar
untuk kita tidak mengesyaki wujudnya “conflict of interest” (percanggahan
kepentingan) melibatkan ketiga-tiga watak berkenaan – Mohd Najib, Abdul Azeez
dan Ismee.
![]() |
| Ismee Juga Ahli Lembaga 1MDB |
Timbalan Perdana Menteri
merangkap Timbalan Presiden Umno, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin dipetik
sebagai berkata bahawa isu 1MDB akan meletup di muka Umno.
Pemuda Umno turut mempertikaikan urus niaga itu. Ketuanya, Khairy Jamaluddin mahu Kementerian Kewangan (MOF) dan Tabung Haji menjawab enam soalan untuk memberi penjelasan kepada orang ramai, khususnya kepada pencarum Tabung Haji, mengenai pembelian itu. (Baca selanjutnya)
Saya tidak hairan jika lebih banyak urusan seperti ini dilakukan dalam masa terdekat dengan restu Perdana Menteri kerana 1MDB nyata kekeringan wang untuk menampung pembayaran balik hutang dan membiayai urus niaganya.
Hakikat bahawa 1MDB dalam keadaan terdesak diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Abdul Wahid Omar yang baru-baru berkata urus niaga 1MDB tidak lestari kerana ia berhutang terlalu banyak dan pengaliran tunainya tidak cukup untuk membayar balik hutang.
Apa yang berlaku dengan 1MDB sekarang mengingatkan kita kepada kegiatan “asset stripping” yang dilabelkan sebagai “asset unbundling” oleh (Datuk Seri) Idris Jala ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MAS. Boleh kata hampir semua aset MAS dijual bagi menunjukkan keuntungan luar biasa. Tidak lama selepas itu MAS rugi semula.
Daripada aspek politik, krisis
1MDB sudah pun meletup di muka Umno ketika Pilihan Raya Kecil Rompin dan
Permatang. Kalau ahli Umno tidak nampak juga, patutlah mata mereka buta dan
hidung mereka putus.
Tetapi apa yang lebih
membimbangkan dalam jangka masa singkat ialah kesan krisis 1MDB terhadap prestasi
ekonomi dan penarafan antarabangsa kita. Selain kejatuhan harga minyak, skandal
1MDB telah dikenal pasti sebagai faktor yang menyebabkan nilai ringgit jatuh.
Wallahuaklam.









