A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
| Ikut cara PM: Luangkan masa untuk orang ramai |
SEKIRANYA kerajaan
Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh tidak mahu menjadi kerajaan satu
penggal maka anggota Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan timbalan menteri
wajiblah segera melaksanakan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Saya rasa adalah tidak
adil dan sia-sia beliau mempertahankan mereka apabila dikritik atau ditanya
oleh media massa kalau mereka sendiri tidak berusaha memperbaiki diri.
Seelok-eloknya mereka
secara kolektif dan berkesan mempertahankan kerajaan bukan memaksa Perdana Menteri mempertahankan mereka.
Janganlah terlalu seronok, gembira, selesa dan mendabik dada apabila beliau memberi pelbagai alasan mempertahan dan melindungi mereka.
Menteri, timbalan
Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh membuktikan bahawa mereka bukan
badut dan watak jenaka dengan laksanakan nasihat beliau.
Yang terbaru Dr Mahathir
menasihatkan mereka belajar mengurus secara mikro (micro-manage) dengan turun
sendiri ke padang untuk melawat dan memantau projek.
Hanya dengan melakukan
lawatan mengejut tanpa diiringi oleh kakitangan yang ramai dan dikepung oleh
pengawal keselamatan barulah mereka dapat melihat keadaan sebenar.
Inilah cara Dr Mahathir.
Oleh sebab itulah kita sering melihat beliau memandu sendiri, khususnya pada
hujung minggu, untuk melihat dan meninjau pelbagai tempat dan perkara yang
menarik minat beliau atau yang memerlukan perhatian beliau.
Cerita beliau tiba-tiba
muncul di tapak projek menyebabkan kakitangan awam, eksekutif sektor swasta dan kontraktor sentiasa berjaga-jaga dan tidak curi tulang.
Inilah yang berlaku ketika
pembinaan Menara Kembar Petronas, Putrajaya, KLIA dan banyak lagi projek utama.
Rungutan Rakyat
Antara sungutan dan
rungutan yang sering kita dengar mengenai Menteri, timbalan Menteri, Menteri
Besar dan Ketua Menteri PH ialah mereka tidak cukup kerap turun padang melawat
projek dan bertemu rakyat jelata.
Malah saya lihat dengan
mata kepala saya sendiri betapa kekoknya sesetengah daripada mereka apabila bersama rakyat jelata. Ada yang seolah-olah mahu dipagari oleh pegawai dan pengawal supaya boleh
mengelak daripada mendengar keluh kesah rakyat jelata.
Saya kata, kalau setakat
hendak disambut, dikerumuni dan diraikan oleh pegawai dan pengawal supaya
nampak cantik dalam berita televisyen, surat khabar dan media sosial, tak
payahlah susah-susah habiskan duit kerajaan turun padang.
![]() |
| Tun Razak lawat luar bandar: Dr Mahathir belajar daripada beliau |
Kalau turun padang,
duduklah dan bermesralah dengan rakyat jelata – dengan tok penghulu dan tok penggawa,
ketua kampung, tok iman, wakil peneroka, wakil nelayan dan wakil badan-badan
bukan kerajaan.
Dalam era media sosial
ini, gambar sangat penting. Kalau dulu gambar menceritakan seribu perkataan, dalam zaman media sosial ini sekeping gambar boleh menceritakan sejuta
perkataan.
Mohon berhentikan segera
amalan menampal gambar menteri dengan pegawai peribadi dan pegawai khas dengan pelbagai lakonan “free style” yang kebudak-badakan.
Orang ramai menyampah.
Malah penyokong parti sendiri marah bila Menteri, timbalan Menteri, Menteri
Besar dan Ketua Menteri nampak lebih mengutamakan kakitangan peribadi daripada
ahli parti, orang ramai dan kakitangan awam.
Khusus buat Setiausaha
Akhbar kepada Menteri, timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, terutama
sekali yang tidak terlatih dalam bidang komunikasi dan kewartawanan, cubalah
lebih mesra dengan media dan kalau tidak tahu belajarlah daripada yang tahu. Jangan
jadi bodoh sombong.
Ingatlah kamu memainkan
peranan penting menentukan sama ada bos kamu mendapat “good press” atau “bad
press”, khususnya menjelang ulang tahun pertama pemerintahan PH pada 9 Mei
nanti.
Perkhidmatan Awam
Kemudian nasihat Perdana
Menteri supaya Menteri, timbalan Menteri, Menteri besar, Ketua Menteri dan
semua orang politik serta kakitangan mereka agar belajar bekerjasama dengan anggota
perkhidmatan awam.
Tawan hati mereka dan
dapatkan keyakinan mereka. Ia akan memakan sedikit masa kerana sebelum ini
mereka hanya kenal dan biasa dengan satu kerajaan sahaja iaitu BN.
Perdana Menteri tidak
mahu Menteri, timbalan Menteri, Menteri besar dan Ketua Menteri menubuhkan apa
yang beliau sifatkan sebagai “government within the government” atau kerajaan
dalam kerajaan iaitu dengan membawa masuk
kawan-kawan sendiri dan ketepikan kakitangan.
Saya pula kata,
kakitangan awam pun cubalah sesuaikan diri dan kerja dengan kerajaan baru demi
kebaikan rakyat jelata. Kesetiaan kakitangan awam adalah kepada kerajaan yang memerintah - the government of the day.
Tetapi kalau ditakdirkan
ada kakitangan awam yang ingkar, bersekongkol dengan anggota kerajaan lama atau
membentuk pakatan mereka sendiri (cabal, cartel) dengan tujuan mensabotaj
kerajaan atau membuat keuntungan peribadi maka tindakan paling tegas wajib
dikenakan.
Kadang-kadang benda yang
kecil dan remeh menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan. Misalnya Menteri
ke hulu hilir diiringi “outrider” polis atau polis tentera dengan bunyi
siren dan lampu amaran sedangkan orang ramai tersekat dan tersangkut dalam kesesakan
lalu lintas.
Yang tak ada pengiring polis tu tak payahlah nyalakan lampu "strobe light" biru kamu. Menyakitkan hati orang rama saja! Lebih
baik bersusah payah sikit daripada dimaki hamun oleh rakyat jelata.
Seelok-eloknya kerajaan PH ini hendaklah lebih egalitarian (sama rata) dan elak
meniru sifat berkasta kerajaan dahulu. Tak payahlah bos sana bos sini. Bukankah panggilan YB lebih sedap?
Kurangkan protokol dan lebihkan
bermesra dengan rakyat jelata seperti yang diamalkan oleh Perdana Menteri
sendiri.
Wallahuaklam.





