A Kadir Jasin
MUTAKHIR, 6
Sept – Dalam kita berbincang mengenai kebun pisang 1MDB, berikut adalah
pemikiran awal saya mengenai pertemuan di mahkamah antara Tun Dr Mahathir dan
Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam seperti yang saya muatkan
dalam Facebook saya.
1. Tun Dr
Mahathir hadir mahkamah menyokong permohonan injunksi Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyekat penguatkuasaan Akta MKN.
2. Mereka bersalaman. Di sebalik yang
tersurat tentu ada yg tersirat atau akan disiratkan.
3. The court
meeting could contribute towards the opposition’s consensus building to topple
the BN in the coming GE.
4. Political
and institutional reforms are an integral part of the Deklarasi Rakyat and key
elements in the emerging political consensus.
5. Alhamdulillah ada akhbar tulen yang berani
siar gambar luar biasa pertemuan di mahkamah Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri
Anwar Ibrahim semalam. Tahniah Sinar Harian.
POSTING ASAL
SEORANG bekas wartawan Bernama
bagi tahu saya Sabtu lalu (3 September) orang kampung tak faham cerita 1MBD.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan.
Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Saya tahu. Bukan orang kampung
saja tak faham. Orang bandar dan orang berpelajaran pun tak faham melainkan
yang arif urus niaga korporat dan kewangan canggih.
Saya pun dah cerita macam-macam
cara. Saya yakin ramai yang faham tetapi lebih ramai yang masih tak faham atau
samar-samar.
Pernah juga saya ceritakan
kepada beberapa orang rakan blogger secara kiasan. Izinkan saya kongsi cerita
kiasan itu dengan para pembaca dan pembahas sekalian. Saudara saudari pula
boleh kongsi dengan orang lain kalau ada kesempatan.
Saya ibaratkan sebagai cerita
dongeng orang berniaga pisang. Minta maaf kalau panjang sikit. Ceritanya macam
ini.
1. Ada seorang saudagar minyak
unta yang kononnya sangat pandai berniaga. Kalau dia jual batu yang dikutip
tepi jalan pun laku. Dulu ada banyak peniaga macam ini di pekan-pekan sehari.
Orang putih gelar wheeler dealer atau snake oil salesman. Lebih kurang macam
penaja skim cepat kaya Pak Man Telo dan labu peram. Dia Cina. Nama dia Joe Hai.
2. Mula-mula dia pergi ke sebuah
kampung nama Kampung Terang. Dia pujuk
ketua kampung kongsi tanam pisang. Mereka pun tubuh syarikat Tanaman Istimewa
Antarabangsa. Singkatannya TIA.
3. Punyalah hebat putar belit si
Joe Hai ini dengan modal hanya RM1 dia boleh pinjam RM5,000 dari bank dalam dan
luar negara. Ertinya dia pinjam lima ribu kali ganda daripada modal.
4. Tak pernah jadi dalam dunia
di mana beza di antara modal dengan hutang 5,000 kali ganda. Selalunya bank bagi
pinjam 50 peratus daripada modal saja. Itu pun dah dikira tinggi dan bahaya.
Pernah kah kita dengar orang yang ada modal RM1 boleh pinjam sampai RM5,000?
Along dan ceti pun tak bagi hutang sebanyak itu.
5. Yang banyak orang tak sedar,
dalam diam-diam Joe Hai gadai tanah orang Kampung Terang yang nak dijadikan
tapak projek pisang itu.
6. Perkara ini berlaku pada tahun
2008. Masa tu tak banyak orang sedar. Hanya ketua kampung dan beberapa orang
suruhan dia saja tahu. Ikut cerita, tak lama lepas itu Joe Hai lesap dari
Kampung Terang. Apa yang jadi dengan tanah orang kampung yang Joe Hai gadai
sampai hari ini masih dipertikai.
7. Tiba-tiba, pada tahun 2009,
Joe Hai timbul di Kuala Lumpur dan pakat dengan seorang pawang buaya yang
tersohor nama Mat Nujum. Dalam kerja dia mudik hulu hilir tangkap buaya ganas,
Mat Nujum tahu siapa ada tanah, di mana dan berapa luas. Joe Hai pakat dengan
Mat Nujum tukar TIA kepada syarikat baru dengan nama Satu Melayu Dan Baba atau
singkatannya 1MDB.
 |
| Haji Kader Pawang Buaya Tersohor Pahang (blog Koi Anak Pahang) |
8. Mat Nujum tahu ramai suku
sakat dia ada tanah. 1MDB “beli” tanah itu dengan harga murah dan lepas itu
jual atau gadai dengan harga mahal. Kerja mereka ambil tanah, pecah lot, gadai
atau jual. Tak cukup dengan jual tanah mereka berhutang pula.
9. Nasib mereka baik pasal suku-sakat Mat Nujum tak berapa cerdik dan Mat Nujum pandai reka cerita. Dia kata, mereka akan untung juta-juta bila
tanah mereka dah jadi projek raksasa.
10. Dia ambil hati mereka dengan
guna duit hutang dan duit pinjam hantar mereka naik haji dan belanja anak-anak
mereka mengaji dalam dan luar negara. Sekali-sekala mereka anjur majlis suka
ria sampai bawa masuk artis top dari Korea.
11. Mat Nujum dan Joe Hai gadai
sana pajak sini, hutang sana pinjam sini. Bila tak cukup nak bayar bunga dan
pokok, mereka berhutang lagi. Kerja mereka korek lubang kambus lubang macam
dalam skim cepat kaya.
12. Joe Hai dia pandai. Dia main
dari belakang. Dia sendiri orang tak nampak. Dia duduk nun jauh di Amerika. Dia
guna Mat Nujum sebagai orang depan. Semua Mat Nujum arah dan tandatangan. Mat
Nujum jadi sangat berkuasa dalam kampung pasal duit banyak. Dia kata jalan,
jalan. Tak ada siapa nak lawan pasal dah dapat habuan. Macam ayam dapat dedak.
Yang tak setuju boleh jalan atau tunggu kena tendang. Pendek kata, Joe Hai jerit
ayuh, Mat Nujum pun kayuh.
13. Walaupun Joe Hai ni muda,
dia banyak tipu helah. Hasil pakatan dengan Mat Nujum dia jadi kaya-raya dalam
sekelip mata walaupun projek pisang tak banyak hasil. Nak bayar bunga pun tak
cukup.
14. Dia bagi tahu orang dia
usahawan, dermawan, karyawan dan jadi kawan kepada anak tiri Mat Nujum. Dia pun
baik dengan pak-pak Arab. Dia tahu, orang Melayu jadi lemah bila berdepan
dengan orang Arab. Arab bela unta pun mereka sanjung macam ulama dari Makkah.
15. Dengan hasil perniagaan atas
angin itu mereka pun berpesta, beli harta, joli sini joli sana. Nak cepat
tunjuk hasil mereka beli kebun pisang orang lain yang pokok-pokok dah tua. Bila
sesak tak boleh bayar balik hutang, mereka jual. Ada yang mereka beli mahal
tapi jual murah. Beli mahal dari tauke tempatan jual murah kepada tauke Negeri
China.
 |
| Bagus, beli mahal jual rumah kepada China |
16. Mana pergi duit yang mereka pinjam, tuan tanah dan orang kampung tak tahu. Mat Nujum dan Joe Hai tak bagi
tahu. Tiap-tiap tahun buku kira-kira lambat tutup. Bila juruaudit tanya atau
tak mahu sahkan akaun, mereka kena tendang. Bila ditanya, Mat Nujum kata rahsia.
17. Satu dunia tahu cerita buruk
dan busuk syarikat pisang 1MDB. Tapi dalam kampung semua orang diam. Ada yang
diam pasal tak tahu apa-apa tapi ramai yang diam sebab sudah kenyang terbahak
macam ayam dibagi makan dedak.
18. Sekonyong-konyong muncul Tok
Pendeta yang bertapa di dalam gua. Dia tilik, dia renung dan dia buat congak. Dia
tanya, macam mana habis tanah orang kampung kena gadai? Dibeli murah dijual
mahal tapi perniagaan tak untung, hutang melambung. Bila sesak jual kepada
tauke dari Negeri China dengan potongan harga.
19. Dia kata hutang projek
pisang 1MDB dah naik jadi RM42 bilion. Satu bilion (1,000,000,000) bersamaan
satu ribu juta. Jadi 42 bilion ringgit bersamaan 42 ribu juta ringgit. Kalau
tulis jadi macam ini RM42,000,000,000.
20. Berapa Banyak RM42 bilion?
Seorang bekas pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM) kata, RM1
bilion boleh buat 100 buah sekolah rendah, jalan tanah merah 6,600 kilometer
dan 500 buah jambatan biasa.
21. Ikut laman web Finance
Twitter, RM42 bilion boleh beli sebuah Apple iPad Air bagi setiap orang
daripada 30 juta penduduk Malaysia atau boleh bagi makan 100,000 orang hidangan
McDonald selama 99 tahun. Boleh beli antara 105,000 hingga 420,000 buah rumah
PR1MA. Tapi kalau tukar RM42 bilion jadi beban hutang, setiap orang rakyat
Malaysia, termasuk bayi baru lahir, akan tanggung RM1,400 hutang 1MDB tiap
seorang tak termasuk faedah.
 |
| Cukup jamu rakyat makan McDonald selama 99 tahun |
22. Apakah yang boleh kita
tengok hasil hutang RM42 bilion itu? Lubang di tapak TRX Jalan Tun Razak, tanah
pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang dah dijual
kepada syarikat usaha sama Malaysia-China dan penjana elektrik bebas (IPP) yang
dijual kepada kompeni negeri China.
23. Tapi hutang projek pisang
atas angin rekaan Mat Nujum dan Joe Hai bukan RM42 bilion lagi. Dah naik jadi
RM50 bilion pada bulan Januari tahun ini. Ini bukan Tok Pendeta yang kata. Ini
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kata. Takkan auta. Orang yang
jadi ketua PAC Mat Nujum sendiri lantik.
24. Orang cerdik dah tahu mana
pergi baki duit projek pisang atas angin 1MDB itu. Dah kena songlap. Dah pusing
satu dunia. Dari Malaysia ke negeri Arab, dari negeri Arab ke Pulau Caymans,
dari Pulau Caymans ke Pulau British Virgin Islands (BVI), dari BVI ke
Singapura, Hong Kong, Switzerland, England, Australia dan Amerika.
25. Macam-macam tipu helah dan
cerita dongeng Mat Nujum serta konco-konco dia buat untuk lesapkan duit projek
pisang atas angin 1MDB. Mula-mula mereka kata duit itu akan dibawa balik. Lepas itu kata kena simpan di Singapura pasal nak atasi syarat Bank Negara. Mula-mula
duit tunai dolar Amerika. Lepas itu jadi sijil pelaburan. Kemudian tukar jadi
unit. Akhir sekali lesap.
26. Dok tak dok, khabar dari
luar negeri kata Mat Nujum terima RM2.6 bilion dalam buku bank dia. Mula-mula
Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata, bohong. Mereka kata fitnah. Kerja
orang dengki haram zadah.
 |
| Peguam Negara Switzerland kata duit 1MDB kena songlap |
27. Tapi bila temberang mereka
pecah, mereka kata duit derma Tok Arab. Kata mereka, Tok Arab itu sangat teruja
dengan kerja Mat Nujum majukan Islam dan lawan pelampau agama. Ada budak-budak
suruhan Mat Nujum bagi gelaran Pahlawan Islam kepada dia. Sama taraf dengan
Salahuddin Al-Ayubi perwira Islam dulu kala.
27. Bila Tok Pendeta minta
tunjuk Tok Arab peniaga unta yang kaya dan baik hati itu, Mat Nujum dan
budak-budak suruhan dia kata rahsia. Mereka kata bukan seorang tapi beberapa.
Ada yang kata mereka jumpa sendiri Tok Arab itu di Tanah Suci.
28. Banyak tak percaya. Mereka syak
duit itu adalah duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai
songlap. Pejabat Peguam Negara Switzerland syak sebanyak AS$4 bilion (kira-kira
RM16 bilion) telah kena songlap.
29. Sekonyong-konyong, seorang
budak suruhan Mat Nujum kata, Mat Nujum dah bagi balik RM2.08 bilion duit
sedekah Tok Arab itu. Pelik sungguh. Tok Arab yang baik hati dan pemurah bagi
derma (sedekah) kepada Mat Nujum untuk tegakkan agama dan majukan ekonomi orang
Islam Malaysia, pasal apa Mat Nujum bagi balik pula? Tak masuk akal. Di
Malaysia ni ramai lagi orang Islam yang susah.
30. Pasal apa tak guna duit
sedekah Tok Arab itu bantu orang Islam yang susah atau buat projek ekonomi
untuk mereka? Sebabnya duit itu bukan sedekah Raja atau Tok Syeikh Arab tapi
duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap.
31. Pengaruh Mat Nujum dalam
kampung kuat. Semua dia jaga, semua dia bela. Yang ada kuasa dia bagi satu, dua
juta. Yang miskin dia bagi dedak dan serdak. Jadi tak ramai berani bangkit atau
angkat muka. Yang berani lawan dia ugut, dia surah polis siasat dan pecat.
32. Tapi di luar kampung, projek
pisang atas angin Mat Nujum dan Joe Hai dah kena londeh. Satu dunia dah tahu
rahsia kotor mereka. Dah kena siasat, duit mereka dah kena beku dan orang yang
subahat pindah duit haram mereka dah kena tangkap dan bank yang pindahkan duit
haram kena tutup. Seorang dah kena tuduh di mahkamah di Singapura. Singapura
tahu banyak rahsia Mat Nujum. Pasal itulah dia sangat takut kepada Singapura.
33. Tahun lepas kerajaan Amerika
tubuh badan penyiasat Juri Agung (Grand Jury) dan pada bulan Julai
lalu, Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) kemukakan saman KARI (Kleptocracy Assets
Recovery Initiative) ke atas lima orang termasuk anak tiri Perdana Menteri,
Riza Shahriz Abdul Aziz, di Los Angeles untuk rampas harta yang mereka beli
dengan duit yang disonglap dari 1MDB. Kleptokrasi maksudnya kerajaan yang
mencuri.
34. Cerita macam mana Joe Hai
pujuk Mat Nujum berniaga, macam mana mereka kelentong orang kampung, karut-marut
berkenaan Tok Arab dan beban yang mereka hempap ke atas kepala rakyat jelata
tak boleh sembunyi lagi. Bangkai gajah Tok Miah tak boleh dikambus lagi.
35. Angkara Mat Nujum dan Joe
Hai dah sebabkan nama Malaysia busuk satu dunia. Dah jadi bahan lawak jenaka.
Orang yang tahu dah tak percaya kepada kita. Kaki sapu ambil kesempatan beli
harta benda kita dengan harga istimewa. Sikit demi sikit, kedaulatan dan
ekonomi kita dijajah semula. Kalau kita masih tak akur, masih nak santai dan
tidur, satu hari tak lama lagi negara kita akan jadi padang jarak padang
tekukur. Kera di hutang terbahak kekenyangan anak di rumah menangis kelaparan.
Wallahuaklam.