Friday, April 07, 2006

PM Kata Ada Pihak Sebar Fitnah

A Kadir Jasin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mendedahkan tentang kumpulan orang yang menyebarkan pembohongan terhadap projek-projek Kerajaan dengan tujuan mengkhianatinya, demikian menurut laporan akhbar The Star 7 April.

Katanya kumpulan itu wujud di mana-mana saja. Walaupun kontrak telah diberikan kepada mereka, namun mereka terus bersungut dan mengata orang lain.

Kalau betul projek sudah diberikan tetapi mereka masih bersungut dan membuat fitnah juga, Abdullah tidak mempunyai masalah.
Inilah yang kita hendak dengar iaitu Kerajaan terus memberikan kontrak. Maksud kita Kerajaan sekaranglah bukan Kerajaan dulu.

Kalau Kerajaan sudah beri kontrak tapi mereka buat kacau juga, dedahkan saja identiti mereka, nama projek mereka dan nilai kerja yang mereka dapat. Atau tarik balik kontrak dan bagi kepada orang yang tahu bersyukur dan berterima kasih.

Cara paling mudah tangkis tohmahan macam ini adalah dengan Kerajaan mengumumkan nama individu dan syarikat yang mendapat kontrak, francais dan saham daripada Kerajaan.

Kalau benar ada orang yang sudah diberikan projek tetapi cakap jahat juga, Kerajaan tidak perlu bimbang. Bukankah kita selalu diingatkan yang Tuhan bersama orang yang benar?

Saya teringat kepada amanat ulama besar Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim yang pernah dipetik oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang berbunyi;

“Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam menjaga tanah air kita.”

Dapat Kontrak Bersungut Juga

ORANG yang sudah diberikan kontrak tetapi masih bersungut dan membuat dakwaan tentang cucu orang itu dan ini dapat projek memang orang jahat.

Apa salahnya anak, menantu, cucu, adik, kakak dan kawan orang itu dan ini dapat projek Kerajaan kalau melalui tender terbuka dan mereka sah mempunyai kepakaran dan rekod prestasi yang baik?

Yang ditakuti ialah ada kontrak raksasa yang diberikan secara rundingan tertutup dan dengan syarat-syarat “tersembunyi” yang menguntungkan orang tengah.

Atau lebih dikhuatiri kontrak diberikan kepada anak, menantu, cucu, adik, kakak dan suku sakat orang tertentu secara diam-diam dengan menggunakan maklumat dalam (inside information).

Kalau ini berlaku, kita semua wajib bersuara sebab pihak-pihak yang berbuat begitu sudah mengkhianati Perdana Menteri dan Kerajaan. Perdana Menteri dan Kerajaan sudah janji yang semua kontrak akan dibagi secara “open tender” (tender terbuka).

Jangan Malukan Kerajaan

KALAU ada juga orang yang curi-curi beri kontrak atau curi-curi dapatkan projek, maka jelaslah sudah ada penyelewengan dan sudah ada orang yang memalukan Perdana Menteri dan Kerajaan.

Macam mana Perdana Menteri, Kerajaan dan media massa arus perdana menjanjikan ketelusan dan kebertanggungjawaban kalau ada lagi kontrak, francais dan pengagihan saham diberikan secara senyap-senyap?

Tak kiralah untuk bina landasan kapal terbang ka, jambatan ka, terminal ka atau macam-macam lagi. Kalau kita tak boleh pegang cakap Kerajaan, cakap siapa lagi kita nak pegang?

Buat masa ini, sabarlah dulu. Tak lama lagi tentu Kerajaan akan umumkan melalui media massa jemputan mengemukakan tender bagi kontrak membina Jambatan Kedua Pulau Pinang, mengintegrasikan pengangkutan awam Kuala Lumpur dan macam-macam projek raksasa lagi.

Kontraktor kecil pula bolehlah dapat kontrak bina jalan kampung, bangunan tambahan sekolah dan hospital, stor-stor pertanian dan pangkalan nelayan atau jadi subkontraktor. Bolehlah mereka cari makan balik.

Kalau tak puas hati, boleh buat aduan terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, kerana dia adalah ketua kepada segala para pemantau Rancangan Malaysia Kesembilan yang ada di bumi Malaysia ini.

Tapi sambil-sambil tu, dia kenalah luangkan sikit masa untuk pantau kes mahkamah syariah dengan bekas isteri dia supaya dia tidak diancam sekali lagi untuk dipenjarakan kerana didakwa tak laksanakan arahan mahkamah.

Rakyat Tengok Gerak-geri Menteri

KALAU para mamanda Menteri tak urus hal peribadi mereka dengan baik, susah sikitlah kita nak percaya yang mereka akan uruskan hal rakyat jelata dengan baik. Ini, fasal kita percaya kepada konsep kepemimpinan melalui teladan.

Rakyat tengok gerak-geri Menteri. Jadi bila dua pembantu rumah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang seorang lagi, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, lari dan melarikan barang kemas bernilai RM350,000, tentulah rakyat jelata bertambah gusar.

Kalau mamanda Menteri yang ada pengawal pun jadi mangsa jenayah, apa halnya dengan rakyat biasa. Ya lah, mereka tentulah tak ada barang emas banyak macam tu. Tapi kalau motosikal buruk kena curi pun mereka dah susah.

Jadi sebab itulah kita mahu polis kita lebih cekap (macam mereka tangkap pembantu rumah Nazri dan dapatkan balik barang kemas yang dilarikan) dan semua orang ada kerja jadi tak payahlah mereka mencuri dan menyamun.

Itulah yang kita harapkan daripada RMK-9 agar segala projek dan perbelanjaan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengurangkan lagi kadar kemiskinan dan mengagihkan kekayaan negara dengan lebih saksama.

8 comments:

  1. Anonymous10:12 PM

    Pemimpin memang selalu kena fitnah. Kalau Paklah berkata yang benar, beliau bukanlah pemimpin pertama mengalaminya. Adalah lebih elok Paklah jelaskan siapa yang memfitnah beliau dan apa fitnah yang telah dibuat. Sekarang ni pandangan umum terhadap Paklah memang tak berapa memberangsangkan. Akar umbi UMNO pun tak terkecuali mengkritik Paklah. Oleh itu Paklah perlu memeriksa apakah yang sebenarnya berlaku. Dan beliau harus berani menghadapi cabaran berkenaan dengan penuh ketelusan dan tanggungjawab. Paklah sebenarnya membiarkan banyak isu tergantung tidak berjawab. Selain dari mahu orang mendengar cakap beliau, beliau perlulah juga mendengar cakap orang...

    ReplyDelete
  2. Anonymous10:54 AM

    rumah menteri kena rompak tak payah gusar sangat. PDRM akan dapat tangkap. Gerenti. Kadang2 tk sampai 1 minggu dh jumpa.

    Yang patut risau orang biasa je. Kena rompak pun, polis akan kata, orang lain kena rompak lagi banyak (my own experience). Kalau jumpa, kira nasib baik sgt2. Kalau tak jumpa, siapa nk tolong?

    Pandai2 la...Bukannya ada title Datuk ke apa...

    ReplyDelete
  3. Anonymous7:59 PM

    Mengenai kes rumah menteri, timbalan menteri, Exco dan bekas-bekas menteri, timbalan menteri dan Exco dipecah masuk atau mengalami kecurian, jumlah kerugian yang dialami biasanya beratus ribu hingga berjuta ringgit nilainya. Mengikut ingatan saya, selain Nazri Aziz, Saidin Thamby kena rompak RM500,000; semasa dia sedang menghadapi kes rasuah. Seorang bekas menteri (wanita) pula pernah hilang harta benda dan wang tunai lebih RM1juta. Itu amaun yang disimpan di rumah. Berapa pula jumlah yang disimpan di bank, harta dalam bentuk saham dll.

    Saya fikir sdr Kadir ada simpan rekod VIP ini yang pernah mengalami kes kecurian dan jumlah nilainya kerugian sekali. Diharap sdr dapat sediakan satu artikel mengenainya.

    ReplyDelete
  4. Anonymous10:48 AM

    Datuk effendi tu bukan saja kena jenguk mahkamah selesaikan hal dalaman dia, tapi kenalah juga tegur bini tu, cukup-cukuplah berkemban dulu-dulu, toksahlah berkemban lagi pegi majlis....ni pun rakyat tengok jugak...bak kata datuk kadir tu, kepemimpinan melalu teladan.hormatlah org lain, Islam Hadhari ....

    ReplyDelete
  5. Anonymous11:13 AM

    Wah! Satu meja penuh yg nampak dlm TV tu, barang kemas yg dicuri dr rumah Pak Menteri tu ke?

    -AwangJPJ

    ReplyDelete
  6. Pertame sekali, saya ingin mengucapkan 'Tahniah!' kepada anggota Polis yang telah bertungkis-lumus menyelesaikan kes samun D. Nazri.

    But the question is:
    Kalau saya yang buat report, adakah saya akan mendapat layanan 'extra-special' seperti YB?

    We need IPCMC.

    ReplyDelete
  7. Anonymous3:41 PM

    saya teruja yang amat sangat apabila mendapat berita bahawa pihak polis dapat menyelesaikan masalah kecurian ini dengan kadar yang sangat pantas dengan tertangkapnya pesalah-pesalah tersebut. hebat pihak polis negara kita.
    saya harap segala kes-kes jenayah terhadap rakyat maarhain jelata raya negara ini dan juga negara-negara lain dapat juga diselesaikan dengan sepantas dan sehebat ini.
    tak adalah nanti cakap-cakap serong yang mempertikaikan kepakaran pihak yang berkuasa. jangan ada pilih kasih pulak.
    ye lah seperti yang rakyat jelata selalu katakan golongan bangsawan berharta selalu mendapat perhatian.
    rakyat yang menumpang kasih ehsan bangsawan dipinggirkan keadilan.

    ReplyDelete
  8. SAya terfikir, selalunya kalau polis tahu siapa yang buat kerja jenayah itu, tindakan mengesan mereka lebeh senang. Sebab itu penjenayah yang terlibat cepat dapat di tangkap. Sebab itu, kedua-dua maid Nazri cepat ditangkap

    Kemungkinan kes2 yang disebut oleh asri, roman dan khaidir melibatkan penjenayah yang tak dikenali, memanglah susah nak siasat dan tangkap.

    Misalnya, kalau saya tumbuk awak bertiga dan awak bertiga kenal saya, bila awak buat report polis, its a matter of a short time je polis dapat mengesan saya. Tapi yang tumbuk awak itu awak tak kenali, susahla.

    Yang susahnya nak kenalpasti susspect. Itu yang mengambil masa.

    Logik tak?

    ReplyDelete