Punca Penarafan Media Malaysia
Rendah
[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen
saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL
untuk mengulas. Terima kasih.]
HAKIKAT tidak berlaku pembaikan
penarafan media massa Malaysia dalam kajian persepsi Reporters Without Border
(RWB/Pemberita Tanpa Sempadan) bagi tahun 2011/2012 tidaklah memeranjatkan.
Dalam penarafan terbaru itu, RWB
meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara yang dikaji
selidik. Ini meletakkan Malaysia setaraf dengan Algeria dan Tajikistan, tetapi
lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.
Sebenarnya kita tidak perlu
dipandu oleh kajian pertubuhan-pertubuhan luar seperti RWB untuk merasai yang
media massa Malaysia menjadi semakin tidak bebas dan tidak seimbang menjelang
Pilihan Raya Umum (PRU).
Jadi, tidak hairanlah kalau
penarafan media massa Malaysia kekal di anak tangga ke-122 tahun lalu - sama
seperti tahun 2011.
Akibat cakap-cakap PRU yang
berpanjangan, media massa Malaysia, khasnya media arus perdana (MAP) yang
dimiliki kerajaan atau oleh parti kerajaan menjadi lebih tidak seimbang dalam
laporan mereka.
Kajian penarafan RWB itu berupa
kaji selidik (questionnaire) persepsi
di kalangan organisasi sekutu yang meliputi 18 kumpulan kebebasan bersuara di
lima benua. Turut memberi maklumat adalah 150 wakilnya di seluruh dunia serta
wartawan, penyelidik, pakar perundangan dan aktivis hak asasi manusia. Soalan
yang dikemukakan merangkumi kepelbagaian dan kebebasan media, persekitaran
media, penapisan sendiri (self-censorship),
perundangan, ketelusan dan infrastruktur media. Turut dipantau adalah
pelanggaran hak wartawan, warga Internet (netizen),
jurugambar dan jurukamera.
Kesan Pilihan Raya Ke Atas Media Massa
Seperti telah saya hujahkan
beberapa kali sebelum ini, MAP menjadi lebih tidak bebas dan antipembangkang
menjelang PRU atas arahan pihak-pihak yang
menguasai mereka atau atas pilihan sendiri. Manakala media propembangkang anak
menjadi lebih antikerajaan.
Apa yang lebih menarik adalah pencapaian media massa Malaysia dalam jangka masa lebih panjang. Daripada perangkaan RWB sejak 2002, media
massa Malaysia diputuskan sebagai lebih bebas pada penghujung pentadbiran (Tun)
Dr Mahathir “the Wizard” Mohamad dan pada awal pemerintahan (Tun) Abdullah “Mr
Clean” Ahmad Badawi.
Pada tahun 2002 misalnya, Malaysia menduduki anak tangga ke-110 dan pada 2003, iaitu tahun akhir
pemerintahan Dr Mahathir, penarafan menjadi bertambah baik di anak tangga 104.
Pada tahun 2004, kedudukan
Malaysia merosot 18 anak tangga kepada 122 apabila Abdullah mula menampakkan
taringnya dengan melakukan rombakan besar terhadap media arus perdana, khususnya media milik Umno.
Sebaik saja perubahan itu
dilakukan, MAP mula menyerang Dr Mahathir dan tidak memberikan beliau ruang untuk membela diri.
Bagaimanapun, pada dua
tahun berikutnya – 2005 dan 2006 – penarafan menjadi bertambah baik apabila
Abdullah mula mempamerkan sikap yang lebih lembut. Serentak itu, kerajaan beliau mula dicabar pelbagai pihak, terutama oleh media alternatif. Penarafan Malaysia naik kepada 113 pada tahun 2005 dan pada 2006 mencatat aras terbaik di kedudukan
ke-92.
Pada tahun 2007, ia merosot semula kepada 124 akibat laporan berat sebelah MAP terhadap tunjuk perasaan Bersih dan
Hindraf serta menjadi
lebih buruk apabila PRU diadakan pada 2008. Kedudukan Malaysia jatuh ke nombor 132.
Penarafan media massa Malaysia
naik sedikit pada 2009 kepada
131 apabila Mohd Najib “Wira” Abdul Razak mengambil alih pentadbiran daripada
Abdullah.
Tetapi pada tahun berikutnya (2010),
prestasi media massa Malaysia jatuh ke paras terburuk, iaitu 141 akibat laporan media massa arus perdana
mengenai kes liwat kedua Anwar Ibrahim dan tunjuk perasaan Bersih.
Sedikit Kesan Pemansuhan ISA
Selepas itu, hasil tindakan
kerajaan membatalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa
undang-undang lain serta berjanji melonggarkan peruntukan Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan menyebabkan penarafan
media massa Malaysia naik sedikit kepada 122 pada 2011 dan kekal pada anak
tangga itu tahun lalu.
Penarafan Malaysia tidak menjadi
bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU timbul, media massa arus perdana
kembali membuat laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk-burukkan pembangkang.
Namun begitu, secara peribadi,
saya kurang setuju dengan penarafan RWB itu. Saya rasa mereka terlalu
terpengaruh dengan perlakuan MAP tanpa memberi pertimbangan yang lebih berat
dan positif kepada peranan media alternatif, khasnya yang berasaskan internet.
Media baru, alternatif dan internet semakin berpengaruh, lebih-lebih
lagi di kalangan audiens yang tidak
menggunakan MAP sebagai sumber maklumat. Kalau pengiktirafan sewajarnya
diberikan kepada media baru, saya rasa persekitaran media Malaysia cukup bebas.
Wallahualam.