A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila
guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama
samaran.]
DISEMASAKAN dan DIROMBAK
SEORANG pelawat blog ini yang berupa seorang usahawan/kapitalis Melayu yang berjaya bertanya saya, mengapa lama tidak menampalkan rencana baru.
SEORANG pelawat blog ini yang berupa seorang usahawan/kapitalis Melayu yang berjaya bertanya saya, mengapa lama tidak menampalkan rencana baru.
Saya katakan kepada beliau, fikiran saya buntu. Buntu bukan kerana ketiadaan idea, tetapi kerana lambakan
maklumat yang berlebihan. Susah memilih yang mana satu hendak didahulukan.
Kalau kita membaca, mendengar dan menonton
media arus perdana (MAP), semuanya baik dan lancar bagi Barisan Nasional (BN)
dan semuanya buruk dan buntu bagi Pakatan Rakyat (PR). BN akan menang besar dan PR kalah teruk.
Kalau baca Rocket, Suara Keadilan,
Harakah dan Selangor Times tentulah semua yang berkaitan PR baik dan harum; semua
mengenai BN buruk dan busuk. Akhbar percuma The Sun dan akhbar-akhbar Cina
lebih seimbang.
Portal berita utama memberi
liputan yang lebih saksama walaupun pengulas dan pembaca mereka mirip kepada
PR.
Di kalangan blogger pula, kurang
sekali yang bebas dan tidak memihak. Hampir sama dengan dikotomi dalam MAP –
pro atau anti - tidak ada laluan tengah. Maki hamun menjadi hidangan utama oleh pemblog dan pembahas
mereka. Demokrasi alam siber bertukar menjadi anarki.
Maka tidak hairanlah kalau
banyak pembaca, pendengar, penonton, pengulas dan pembahas tidak ketahuan lagi
apa yang hendak dihujahkan sehingga pilihan raya nampak seolah-olah ibu kepada
segala matlamat dan bukan lagi cara untuk mencapai matlamat, iaitu pemerintahan
yang unggul.
Apa Isunya?
Saya pun tidak pasti lagi apakah
yang dikehendaki pengundi atau apa yang ditawarkan kepada mereka oleh
parti-parti yang bertanding. Terlalu banyak dan bercelaru.
Jadi saya tidak berani dan
berasa sangat tidak layak untuk bercakap bagi pihak orang lain. Justeru itu,
saya hanya berani bercakap bagi pihak diri saya sendiri kerana akhirnya setiap orang daripada kita terpaksa putuskan sendiri apakah isu dan perkara yang akan
mempengaruhi cara kita membuat pilihan.
Bagi saya, berikut adalah isu, hal dan ketetapan yang akan mempengaruhi pilihan saya:
1. Falsafah memilih kerajaan. Kita pilih kerajaan untuk buat
kebaikan. Kita tidak pilih kerajaan untuk buat keburukan. Apabila kerajaan yang
kita pilih melakukan kebaikan kita tidak perlu memujinya melangit atau berasa
terhutang budi. Tetapi kalau kerajaan yang kita pilih itu melakukan keburukan,
kita wajib menegur dan mengkritik. Kalau ia tidak berubah, kita tarik balik sokongan
kita dan kita gugurkannya apabila tiba pilihan raya.
2. Kita bukan hamba Wakil Rakyat,
Menteri dan Perdana Menteri. Merekalah “hamba” kita kerana kitalah yang memilih
mereka dan memberikan gajian kepada mereka dengan duit cukai kita. Tanpa undi
kita, mereka tidak akan menjadi Wakil Rakyat, Menteri, Menteri Besar, Ketua
Menteri dan Perdana Menteri.
3. Secara peribadi, batang jerami
pertama yang mematahkan belakang kerbau (meminjam dan memadankan ungkapan the
straw that breaks the camel’s back) adalah penghapusan Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan disusuli oleh pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan Akta Buang Daerah. (Tanggungan
Kerajaan Pusat dan Parlimen).
4. Bandar dan pekan yang kotor
penuh sampah-sarap, tikus dan anjing liar. Longkang yang ditutup dan dilupakan
– busuk dan melimpah apabila hujan lebat. Pokok ditumbangkan ribut tidak
dipindahkan berbulan-bulan lamanya (Jalan Klang Lama) kerana pegawai tinggi kerajaan lebih sibuk ampu Yang Berhormat daripada berkhidmat untuk rakyat. (Kerajaan Pusat dan
negeri).
5. Keselamatan awam yang semakin
meruncing. Jenayah yang semakin menjadi-jadi walaupun KPI dan NKRA kononnya tercapai. Pengarah Kastam mati ditembak siang
hari buta di Putrajaya dan Pengarang Urusan akhbar arus perdana yang menguar-uarkan negara aman, negara selamat, KPI hebat, NKRA mencapai matlamat, dirompak di khalayak di kawasan kelas menengah Taman Tun Dr Ismail. Apakah kita sudah lupa kepada janji SAM – selamat, aman
dan makmur ketika PRU lalu? (Kerajaan Pusat).
6. Kalau kita makmur dan KDNK berkembang pesat, inflasi rendah dan mata wang Ringgit kuat, mengapakah
ratusan ribu rakyat jelata berpusu-pusu berebut mendapatkan BR1M, orang
merempat semakin banyak di ibu kota dan roti canai semakin kecil ukurannya? (Kerajaan Pusat).
7. Terowong kenderaan di bawah NKVE
berhampiran Tropicana banjir setiap kali hujan lebat sejak dibuka untuk kegunaan umum lebih dua tahun
lalu dan Jalan Syed Putra bersebelahan Sekolah Kuen Cheng berubah menjadi tasik setiap kali hujan lebat sudah bertahun-tahun lamanya. Alahai hebatnya jurutera JKR dan Bandaraya Kuala Lumpur. (Kerajaan Pusat dan Negeri Selangor).
8. Keamanan negara dinodai oleh
penceroboh bersenjata Filipina dan pemubunuh upahan bermaharajalela kerana ada Menteri-Menteri yang terlena. Tauke judi haram, pengusaha rumah pelacuran, ketua sindiket along dan samseng jalanan yang bebas lepas kerana tidak ada Akta Buang Daerah dan Ordinan Darurat kini, saling berbunuhan dan memangsakan rakyat jelata. (Kerajaan
Pusat).
9. Dan campur tangan anak bini, peniaga
permaidani, tukang serapah dan tukang jampi, kawan rakan dan teman dan taulan dalam
urusan pentadbiran.
Sekatan dan Imbangan Penting
Zaman kerajaan kuat dan
monopolistik sudah berlalu. Semakin maju negara, semakin kita memerlukan sistem
sekatan dan imbangan (checks and balances) yang kuat bermula dengan Parlimen
dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.
Kalau ada pindaan Perlembagaan
atau undang-undang yang memerlukan sokongan dua pertiga, eloklah dilakukan melalui proses tolak ansur dua pihak (bipartisan). Itulah antara beberapa isu yang akan menjadi pertimbangan saya menjelang tibanya hari mengundi 5 Mei. Undi katanya rahsia walaupun nombor siri ada. Nombor siri saya ialah Ee Say Say (244). Kalau nak tikam ekor bolehlah cuba. Tapi orang Islam tak boleh, berdosa.
Saya mengundi di Selangor di mana kerusi DUN ditandingi BN (Umno) dan PAS. Dalam PRU 2008, PAS menang. Bagi Parlimen, BN (MCA) bertemu DAP. Pada 2008, DAP menang. Siapa akan menang kali ini? Wallahualam.