A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan
disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh
guna nama samaran.]
SAYA tidak kenal Ibdillah Ishak.
Saya mengenali beliau hanya daripada portal berita dan blog. Dikhabarkan yang
beliau adalah Pengerusi Biro Media Baru, Pemuda UMNO Malaysia.
Saya kenal Khairy Jamaluddin
sejak beliau pelajar universiti lagi dan juga kerana saya kenal ibu dan bapa mentuanya. Sudah bertahun-tahun tidak berjumpa
belia. Hanya mengikuti jejak beliau melalui media massa.
Ketika saya di New Straits Times, kita membantu kumpulan beliau (Ethos) mencetak beberapa keluaran majalah mereka. Saya turut menjadi penceramah kursus "Students for Vision 2020" yang melibatkan kumpulan beliau (termasuk Haji Omar Ong) pada awal 1990-an. Mereka dimentorkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Allahyarham Tan Sri Dr Nordin Sopiee.
Berkenaan Ibdillah, daripada apa
yang saya baca (dan sekiranya berita itu benar dan tepat) maka bolehlah saya
katakan yang beliau nampaknya faham peranan media baru dan kaedah yang wajar
digunakan bagi menarik sokongan. Begitu juga Khairy.
Saya membaca tulisan seorang
penulis yang memakai nom de plume Wenger Khairy dalam posting pada 10 Januari
bertajuk “Ibdillah dan PMO Harus Melawan Balik Serangan Blogger” dalam blog The
Rembau Times.
Antara lain Wenger Khairy
berkata:
“Kami juga bersetuju dengan
pandangan YBhg Sdr Ibdillah yang melahirkan rasa kurang senangnya dengan
gelagat bloggers pro UMNO yang suka meminta upah untuk menjatuhkan pemimpin dan
personaliti awam. Bloggers pro UMNO juga tiada pernah merasa bertanggung jawab
terhadap kesan posting-posting mereka yang dipenuhi dengan adegan lucah, seks
dan pekara-pekara (sic) yang tidak sehonoh
(sic).” (Baca laporan penuh di sini).
Pemerhatian penulis tepat. Ada
blogger pro-Umno atau yang bekerja untuk Umno atau pemuka-pemuka Umno yang sangat
peribadi (personal) dan keterlaluan serangan mereka. Malah ada yang boleh dikategorikan sebagai lucah.
Ia mesti ada kebenaran kerana
beberapa hari selepas itu, Khairy menyuarakan sentimen yang serupa dalam temu
ramah dengan Berita Harian Ahad 12 Januari.
Antara lain beliau berkata:
“.....itu membuktikan strategi media sosial yang kita gunakan selama ini
membuktikan ia tidak berkesan, cakap dalam kelompok sendiri, masih syok
sendiri, sedangkan pembangkang lebih kepada sasaran mendekati masyarakat umum.
Saya akui, strategi lama itu tidak berkesan.” (Baca di sini).
Mengapa Hal Ini Berlaku?
Pertama, sebagai blogger yang
bekerja untuk parti, ketua-ketua parti dan isteri mereka, tugas utama adalah
menyokong parti dan ketua-ketua parti yang menggunakan khidmat mereka.
Kedua, bukan semua blogger
politik ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewartawanan, penulisan dan
komunikasi. Majoriti adalah aktivis parti yang bukan wartawan atau penulis.
Ketiga, oleh kerana mereka tidak
berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang kewartawanan, penulisan dan
komunikasi maka mereka kurang arif mengenai undang-undang, etika dan psikologi
komunikasi.
Keempat, bukan semua blogger
yang khidmat mereka digunakan oleh parti-parti politik terdiri daripada orang
berpendidikan tinggi atau berpengetahuan luas dalam bidang politik, ekonomi, pengurusan dan pentadbiran.
Bukan Mudah Jadi Blogger Bartanggungjawab
Sebenarnya bukanlah mudah
menjadi blogger makan gaji yang baik dan bertanggungjawab. Bebannya boleh
dikira berat.
Pertama, kebebasannya terhad.
Dia hanya boleh menulis rencana (posting) menyokong majikannya. Kedua, rencana
yang ditulis hendaklah cukup baik untuk menarik minat pelayar Internet dan diyakini.
Ketiga, dia kena baca
komen-komen yang dihantar sebelum disiarkan. Dan keempat, dia perlu berbahas
dengan para pengulas bagi menjawab hujah yang tidak positif terhadap
majikannya.
Tetapi tidak adil menyalahkan
blogger saja. Turut menjadikan sfera blog kita tidak sihat adalah pembaca yang
menghantar komen. Sebenarnya merekalah yang lebih banyak menyebabkan unsur
negatif membanjiri dunia blog kita.
Mereka ini terdiri daripada tiga
kelompok utama. Pertama pembahas bebas tanpa afiliasi politik. Kedua pembahas
bebas yang pro parti-parti politik tertentu. Dan ketiga pembahas yang
ditugaskan oleh pihak-pihak tertentu, khasnya parti politik, untuk berbahas
dalam blog. Di kalangan mereka ada kakitangan awam, pengamal perhubungan awam,
petugas parti politik dan orang yang diupah khusus untuk berbahas yang kerap disebut sebagai cybertrooper atau laskar siber.
Dalam konteks inilah saya
melihat saranan Ibdillah dan Khairy sebagai penting dan wajar diberi perhatian.
Blogger Perlu Diberi Peluang
Belajar
Kalau saya boleh menambah, saya
sarankan agar Umno dan mana-mana parti politik juga yang ingin menggunakan
khidmat blogger secara berhemah, bermaruah
dan membina selaras dengan cita-cita kita menjadi negara maju dan bertamadun
tinggi agar mengambil langkah berikut:
Pertama, menaja blogger-blogger
bukan wartawan untuk menghadiri kursus asas penulisan, undang-undang dan etika;
Kedua, blogger-blogger politik
hendaklah menjawab hujah-hujah lawan dan bukan menyerang peribadi mereka,
apatah lagi memfitnah; dan
Ketiga, blogger politik tidak
akan dapat meyakinkan khalayak dan menarik sokongan kepada parti atau majikan
mereka kalau mereka gagal mematahkan hujah lawan mereka dengan mengemukakan
hujah yang kukuh dan bernas.
Kaedah membunuh pembawa khabar
(messenger) tidak akan berkesan kalau khabar (message) yang dibawanya tidak
dipatahkan. Pembawa khabar mungkin terkorban, tetapi khabar yang dibawanya akan
terus tersebar.
Saya harap berita Ibdillah
hendak “engage” (berbincang) dengan blogger bukan sekadar indah khabar daripada
rupa. Kalau Pemuda Umno dan Puteri Umno yang mewakili generasi celik ICT dalam
Umno tidak berani menjalin saringan dengan blogger dan pengamal media baru,
mereka dan parti mereka akan ketinggalan.
Sejak saya membuka blog ini pada
tahun bulan Mac 2006, saya boleh bilang dengan jari orang politik, wakil
kerajaan, kementerian dan agensi yang membuat jaringan dengan saya sebagai
blogger.
Seingat saya, hanya
dua orang menteri, iaitu Mustapa Mohamed dan Ahmad Shabery Chik yang menjemput
saya berbincang dalam kapasiti saya sebagai blogger.
Manakala di kalangan
agensi kerajaan pula, hanya Khazanah Nasional Berhad (mengenai TPPA) dan
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) yang mengiktiraf saya sebagai
blogger. Hanya Mustapa dan MACC sahaja mengadakan
pertemuan terancang dan berkala dengan blogger.
Khusus mengenai blogger Umno,
sama ada yang mendapat upahan atau yang menyokong parti secara sukarela, kini
muncul trend di mana ada antara mereka yang saling serang-menyerang dan
sabotaj-mensabotaj.
Ramai blogger wartawan dan bukan
wartawan menyedari bahawa pada akhir-akhir ini ada pihak yang membuka blog
tanpa nama (anonymous) yang nampak seakan-akan blog Pakatan Rakyat, tetapi
kandungannya adalah memburuk-burukkan Umno dan orang Umno sendiri. Kegiatan ini
lebih rancak ketika pemilihan parti.
Jika benar sangkaan bahawa ini
adalah kerja beberapa orang “handler” pemimpin Umno sendiri maka aliran ini
sangat berbahaya kepada Umno dan kerajaan.
Pentingnya Latihan dan Etika
Selama 24 tahun saya di New
Straits Times Press (1976-2000) latihan dan “mentoring” adalah antara keutamaan
saya. Alhamdulillah, hari ini ramai penggiat media adalah mereka yang saya
anggap sebagai anak buah dan anak didik.
Kita ada dua modul latihan. Satu
dipanggil Pre-Entry Training Scheme (PETS) yang berupa versi kita untuk Program Graduan
Menganggur yang dilancarkan oleh kerajaan ketika krisis ekonomi pertengahan
1980-an.
Kita memberi latihan
kewartawanan kepada lulusan sekolah menengah, pemegang diploma dan graduan.
Mereka diberikan elaun bulanan. Selepas tiga bulan, yang cemerlang diambil
bekerja dengan NSTP dan STMB (TV3) manakala yang lain menggunakan sijil yang
kami keluarkan untuk mencari kerja. Boleh dikatakan semua mendapat kerja.
Ramai pelatih PETS kini mendudiki tempat penting dan kerusi panas dalam banyak pertubuhan media massa, pejabat menteri, kementerian dan syarikat swasta.
Program kedua dikenali sebagai
Writers’ Blog. Melaluinya kami melatih remaja semuda 12 atau 13 tahun menulis.
Saya amat bangga dengan kejayaan ramai daripada mereka.
Hari ini, ada yang menjadi
penulis dan penerbit filem, personaliti TV, filem, muzik dan
pengiklanan seperti Amir Mohamad, Nadiah Hamzah, Syarifah Aleya, Kassandra
Kassim, Syarifah Armani, Angeline Ong, Joe Flizzow, Rina Omar, Fariz Azlan dan
banyak lagi.
Malah yang menjadi profesional bidang lain pun terus menulis
seperti Dr M Murali. Kemudian Tan Eng Seng yang khabarnya menjadi salah seorang Vice President di Sime
Darby, Ariff Salman (Agensi Angkasa Lepas Amerika, NASA) dan Johan Rozali
Watooth (akauntan).
Malangnya program dan projek
tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dimatikan atau dibekukan apabila Abdullah Ahmad Badawi
menghantar pasukannya untuk mengendalikan NSTP/TV3 ketika beliau menjadi
Perdana Menteri.
Dalam konteks latihan dan etika
inilah saya menaruh harapan kepada orang seperti Khairy dan Ibdillah untuk
mengembalikan kewarasan, etika dan ketamadunan kepada dunia penulisan dan
pemikiran, khususnya dalam sfera blog Umno dan pro-Umno.
Hanya dengan itu sahaja saluran
baru ini dapat dimanfaatkan demi agama, bangsa dan negara. Kebimbangan saya ialah mungkin bukan dalam penggunaan blog saja Umno dan kerajaan bermasalah. Percubaan menggunakan
Facebook dan Twitter pun mungkin belum mencapai matlamat yang diharapkan sebaliknya membawa padah menjadi senjata makan tuan.
Wallahuaklam.