A Kadir Jasin
﷽
MOHON keizinan membuat satu lagi
catatan peribadi yang sedikit sebanyak mencerminkan pergolakan politik tanah
air kita dan pilihan yang wajib kita lakukan demi kelangsungan (survival)
Malaysia.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Hari ini, 29 Jun 2016 genaplah
setahun saya menarik diri secara rasmi daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (Pekembar) atau nama Inggerisnya United Malays National Organisation
(Umno).
[Teruskan perjuangan rakyat. Tandatangani Deklarasi Rakyat buang
Najib di sini.]
Saya keluar hampir setahun lebih
awal daripada bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik diri pada
awal Mac lalu dan pembuangan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin
Mohd Yassin pada 24 Jun.
Saya menjadi ahli berkartu
(card-carrying member) Umno lebih tiga dekad. Saya lahir dan membesar dalam
keluarga Umno. Arwah ayah saya menyertai Umno sejak penubuhannya pada tahun
1946 dan pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian.
Umno bukan Umno saya lagi |
Tetapi menjelang pertengahan
tahun lepas, saya berasa amat yakin dengan kata-kata ayah saya sebelum dia
meninggal dunia tujuh tahun lalu. Katanya: “Umno hari ini bukan
Umno aku lagi.”
Tidak berapa lama sebelum dia
meninggal, dia juga memberhentikan langganan Utusan Malaysia. Utusan Melayu
(jawi) dan kemudiannya Utusan Malaysia adalah bacaan wajib keluarga kami.
Alasan pemberhentian langganan
Utusan Malaysia adalah ia “bukan surat khabar aku lagi.” Dia membaca Berita
Harian sebagai pilihan kedua hanyalah ketika saya menjadi pengarangnya.
Kopi, rokok dan Utusan
Melayu/Utusan Malaysia adalah permulaan harinya untuk berpuluh tahun lamanya. Dia
berhenti merokok dan membaca Utusan, tetapi terus meminum kopi. Dia juga tidak
keluar Umno secara rasmi seperti saya.
Melayu dan Umno
Ramai orang Melayu menjadi ahli
Umno kerana talian sejarah. Bagi mereka Umno adalah parti keturunan. Merekalah
ahli sebenar (tulen/original) Umno.
Mereka menjadi ahli kerana
altruisme. Mereka tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Bagi mereka, Umno
adalah parti merdeka, parti pembela bangsa dan parti yang membawa pembangunan.
Hari ini, ramai ahli Umno adalah
ahli rekrut. Ahli yang diheret masuk hinggakan ada yang tidak tahu pun yang
mereka ahli Umno. Nama mereka didaftarkan oleh Ketua Cawangan dan yuran dibayar
bagi pihak mereka.
Bilangan ahli keturunan semakin
hari semakin kecil. Secara literal, Umno mati bersama kematian mereka. Boleh
kata semua pendukung Umno dari generasi ayah saya sudah tidak ada lagi.
Ayah saya mewajibkan
anak-anaknya balik mengundi menggunakan “petua” (“fatwa”) derhaka kalau tidak
balik mengundi. Tapi pada Pilihan Raya Umum 2008, dia tidak mengeluarkan lagi
petua itu.
Adik saya yang tugasnya membawa
ibu dan ayah saya mengundi memberitahu mereka tidak keluar mengundi pada
pilihan raya Umum 2013.
Sejak beberapa hari lalu,
berikutan pembuangan Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ramai bertanya
pendapat saya mengenai kalau mereka juga perlu keluar Umno.
Saya kata, saya mungkin bukan
orang paling sesuai menjawabnya kerana saya tidak berkecuali. Saya tidak
berkecuali kerana saya telah mendahului mereka keluar Umno. Sentimen saya
diwarnai oleh tindakan itu.
Biar Najib Tahu
Cuma saya kata, kalau hendak
keluar eloklah buat secara rasmi macam saya buat supaya Presiden Umno, Datuk
Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone, Mohd Najib Abdul Razak,
tahu.
Biar Mohd Najib tahu kita keluar Umno. Dia tak peduli tak apa. |
Saya nyatakan sebab-sebab saya
tarik diri. Antaranya saya tidak dapat lagi menerima kepemimpinan Umno yang
dikepalai Mohd Najib dan kalau saya kekal pun, saya akan menjadi duri dalam
daging dengan kritikan-kritikan saya.
Dalam kes saya, Setiausaha Kerja
Umno pusat, Datuk Rauf Yusoh mengesahkan penarikan diri saya dan mengucapkan
terima kasih atas sumbangan saya kepada parti selama ini.
Saya kata lagi, mereka
(Muhyiddin dan Mukhriz) boleh kembali semula ke pangkuan Umno jika keadaan
berubah mengikut apa yang mereka idamkan.
Buat saat ini, apa yang boleh
saya katakan adalah amat menyedihkan bahawa Umno yang berjaya memperbaiki
kehidupan generasi ayah saya dan mengangkat generasi saya menjadi warga kelas menengah
kini tidak lagi mampu menjamin kehidupan generasi anak dan cucu saya.
Bagi saya, era Umno sudah
berlalu. Begitu juga PAS. Cara Umno dan PAS mengepung dan mengandangkan orang
Melayu-Islam dengan menggembar-gemburkan sentimen bangsa dan agama tidak boleh
diterima lagi.
Jika diteruskan ia akan
mengepung orang Melayu-Islam dalam penjara minda yang semakin hari semakin
sempit, mundur, jumud, tidak bertoleransi dan anti-kemajuan.
Kita perlu tabur angin perubahan
supaya kita boleh melayari ombak perubahan.
Wallahuaklam.