Saturday, August 31, 2019

Merdeka: Perjuangan Yang Belum Selesai


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

1957: Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman, isytihar merdeka
MERDEKA!
Merdeka!
Merdeka!

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62.

Mengikut takrif asal daripada bahasa Sanskrit “maharddhika”, merdeka membawa maksud kekayaan, keagungan dan kekuasaan.

Soalnya, adakah kita telah merdeka seperti yang dimaksudkan dengan istilah “maharddhika” itu?

Adakah kita kaya dari segi harta benda, ilmu dan budi pekerti?

Ya dan tidak. Kita lebih kaya daripada zaman penjajahan. Tetapi bukan semua. Ada yang kaya sehingga tidak terkira hartanya. Tapi ada yang miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ramai Bumiputera masih dalam kategori “sarung index” yang dikisahkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Masih hidup sehelai sepinggang.

Macam itu juga dengan ilmu. Ada sebahagian yang setanding dengan yang terbaik dan terunggul di dunia.Mampu melancarkan satelit ke angkasa.

Cambridge, Ofxord, Harvard, Yale dan IMD adalah padang permainan mereka.

Tetapi masih ramai yang tercicir dari sekolah rendah dan menengah atau yang ijazahnya hanya mampu mendapatkan mereka kerja dengan kerajaan sahaja.

Budi pekerti? Mohon ampun dari hujung rambut sampai ke hujung ibu jari kaki kalau saya katakan, budi pekerti apa yang hendak kita banggakan?

Merompak, menyamun, melakukan rasuah, menipu, tidak bayar balik hutang, curi tulang, tidur di surau atas alasan sembahyang, tidak hormat undang-undang, tidak hormat orang tua.

Tetapi bercakap tentang bangsa dialah wira. Bercakap tentang agama kalah ulama.

Keagungan dan kekuasaan? Pun serupa. Ya dan tidak.  Apa ukuran keagungan kita? Kekayaan yang tidak terkira atau ketinggian ilmu dan harga diri?

Sebutir bintang di langit gelap. Pancaran cahaya pada hari mendung. Saya mendengar cerita ada seorang raja agung yang bercakap tentang “conscience”, tentang hati kecil, tentang betul dan salah. Alhamdulillah.

Demi anak, cucu dan cicit kita
Ada harapan bahawa demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan masih boleh menjadi jaminan masa depan.

Saya berbual dengan seorang ulama Melayu yang berpangkalan di Universiti Oxford agar menasihati raja-raja supaya menjadi khalifah di muka bumi seperti diunjurkan oleh Quran dan hadis.

Manalah tahu akan muncul sekali lagi ulama besar seperti Sheikh Abdullah Fahim yang memberi amaran: “Bila kita dah merdeka nanti jangan ada pemimpin ambil kesempatan buat kekayaan di atas belakang rakyat.”

Sheikh Abdullah Fahim juga diingati kerana satu lagi amaran beliau yang amat tajam yang boleh jadi sudah separuh terjadi.

Kata Almarhum: “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”

(Dipetik daripada buku “Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos ‘57” oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).

Menurut cerita popular, ketika beliau dikunjungi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan para pemimpin UMNO lain untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi mengisytiharkan kemerdekaan, Abdullah Fahim mencadangkan dua tarikh.

Satu pada 31 Ogos 1957 dan satu lagi 31 Ogos 1962. Pada pendapat beliau, tarikh 31 Ogos 1957 paling sesuai memandangkan segala usaha dan perjuangan rakyat Malaya sudah sampai kepada masanya untuk membuat tuntutan.

Tetapi sekiranya pihak British tidak bersetuju dengan tarikh itu, maka satu lagi tarikh yang sesuai dan baik ialah 31 Ogos 1962.

Apabila kedua-dua tarikh tersebut dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi UMNO, Ketua Pemuda ketika itu, Almarhum Tun Saadon Jubir, menolak 31 Ogos 1962 dan bertekad sekiranya British tidak setuju dengan 31 Ogos 1957 maka pemuda akan bertindak habis-habisan untuk menentangnya.

Kita bernasib baik kerana seorang pejuang kemerdekaan masih bersama kita – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baca autobiografi beliau – Doktor Umum – dan kita akan tahu lebih banyak ceritanya.

Wallahuaklam.

15 comments:

  1. “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”

    Benar kata Almahrum Sheikh Abdullah Fahim.
    Benar juga kata Dato AKJ, "... yang boleh jadi sudah separuh terjadi"... jika dalam konteks hari ini. Namun jika dikaji sejarah, ia bermula ketika Tumasek dijual, selagi ada bulan & bintang, kepada Penjajah British. Semasa cadangan Malayan Union oleh penjajah dulu pun, depa tergamak tanda-tangan setuju tanpa mengambil-kira pendapat Rakyat.

    Namun, yang paling saya risau adalah nasib masa depan anak-cucu kita... 50 ~ 100 tahun nanti. Ketika itu, kemungkinan-besar sudah ada yang berdarah bekas-penjajah, ditabal sebagai Raja Melayu. Lama-kelamaan, kita nak sebut 'Raja-Raja Melayu' pun, akan jadi janggal kerana raut-wajah Raja kita sudah jadi macam MatSalleh, bukan lagi 'berwajah' Melayu seperti President Rodrigo Duterte.

    ReplyDelete
  2. saya tak ingat apa2 dlm Doktor Umum,yang saya tahu petikan kata2 ini..Saya mengaku mungkin banyak kesilapan yang saya buat sepanjang pemerintahahan saya,tapi menyingkirkan Anwar daripada kabinet
    sy pasti bukan satu kesilapan

    ReplyDelete
  3. Kita keluar dari rumah menuju kebahagiaan, tetapi kita kesasar dan sesat lalu menjajar entah ke lorong gelap mana. Kita perlu melakukan pusingan U setelah mendapat kembali isyarat, kompas, atau waze-wezan.

    Itu kita lakukan pada tahun lalu. Negeri ini sedang melesat laju tetapi melencong sesat dan kita keluar beramai-ramai melakukan pusingan U untuk kembali menuju kebahagiaan.

    Kita buangkan pemandu sesat yang korup. Kita talakan punggung dan pungkok berbulu merah sang bedebah itu ke bangku kayu yang keras. Biar kematu bontot merah itu. Akan tetapi kita kemudian juga menyedari kita mengalami siri pusingan U yang menjengkelkan.

    Saat kita sudah mendapatkan lokasi untuk dituju, akan ada banyak suara bertingkah, lalu masing-masing mencadang jalan lain menurut pandai sendiri. Lantas masing-masing mencadang malapetaka untuk mengambus diri sendiri, dan kita ditimpa pusingan U berkali-kali.

    Akan tetapi mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini tidak tahu semua ini kerana apa pun pusingan U; saham mereka naik, kelamin juga naik dan niaga berjalan maju.

    Di manakah ada dongengan yang didengar mengenai kemiskinan? Itu negeri hulu. Jauh di hulu-huluan.

    Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana anak-anak mereka hanya bertutur dalam bahasa inggeris. Bukan Mandarin, Tamil apatah lagi Melayu.

    Di dalam bahasa Inggeris yang standar, perihal miskin dan kemelaratan tidak didengar. Mungkin ada kisah dalam bahasa Inggeris seputar beberapa aktivis bukan Melayu yang gigih berjuang kerana itu tuntutan Jesus, atau kerana mereka memang humanis. Tetapi selagi kita menyorot Twitter atau IG kaum bangsawan, semua cerita-ceriti kaum murbawan adalah dongeng tentang pengabdi setan.

    Syok sekali kalau orang miskin seperti kita saat berlanggaran kemek atau terbalik kenderaan, akan dibujuk oleh satu dua kata dewata, yang konon kesungguhan.

    Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini akan menggeleng dan berdecit melihat kita yang miskin-miskin ini saling menerpa dengan kayu besbol sambil hamun seranah berhamburan.

    Pada 31 Ogos, mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini akan dengan berani menempik kemerdekaan. Merdeka adalah kerana mereka bebas mengaut kekayaan sepolos-polosnya.

    Kita, yang menjadi muatan dan fantasi dongengan mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini juga terhegeh-hegeh menyahut lelah kemerdekaan.

    Bahawa negeri ini serba-serbi miskin sudah terlalu jelas.

    Bahawa mereka yang tidak mahu mengakui dan mendongengkannya adalah mereka yang terpisah dari kenyataan.

    Ini kerana kenyataan itu juga, buat mereka, adalah satu dongengan.

    ReplyDelete
  4. I hope our Minister of Education will read this. Being academic in public university I am so puzzled with his move and decision. He appointed a Vice Chancellor with 0 H index (H index determine how well your scholarly work among your peers, higher H index indicates higher citation of your work), and renew university chairperson who is so concerns about getting new car. So tell what so special about him that our beloved Tun keep him as Minister Education/

    ReplyDelete
    Replies
    1. Time to replace maslee with rafidah..at least she has guts !

      Delete
  5. Salam sejahtera Pak Kadir.

    Pada tahun 1946 ketika UMNO ditubuhkan, Tun Mahathir sudah pun dewasa dan terlibat di dalam perjuangan kemerdekaan. Hari ini selepas puluhan tahun dan di usia menghampiri usia intan, Tun kekal di medan perjuangan.

    Sekiranya dulu sebelum 1957, Tun berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, kini dia berjuang pula untuk mengisi kemerdekaan itu, selepas dia berjaya memimpin pasukannya memerdekakan negara ini buat kali kedua pada Mei 2018, iaitulah kemerdekaan daripada kleptokrasi.

    Apakah satu perkara yang menjadi penanda Tun Mahathir sepanjang jalan perjuangannya? Jawapannya ialah; pasukan pimpinannya tidak pernah tewas walau siapapun yang berada di pihak lawan.

    Mari lihat sebahagian rekod orang-orang yang tewas kepada pasukan yang ia pimpin.

    Rekod Tun M bersama Pasukan Orang-orang Yang Beriman (Aamanu) iaitu UMNO sehinggalah pasukan ini bertukar menjadi Kaum Yang Berpaling di bawah Najib :-

    1. Tunku Abdul Rahman; Tun mencabar ketua pasukan dan ketua pasukan berundur. Tun kembali menjadi ahli pasukan.

    2. Tun Hussein Onn; ketua pasukan tercabar oleh Tun, ketua pasukan berundur dan Tun naik menjadi ketua pasukan.

    3. Tengku Razaleigh Hamzah; sebagai ketua pasukan Tun dicabar, pencabar tewas dan Tun kekal sbg ketua pasukan.

    4. Tun Musa Hitam; Tun Musa mahu mencabar Tun, gagal mendapatkan sokongan dan Tun Musa berundur.

    5. DS Anwar Ibrahim; mahu mencabar Tun di dalam PAU melalui dakwaan KKN tetapi tersentot, menentang Tun melalui gerakan Reformasi dan PKR tetapi sentiasa tewas. Hanya kembali merasai kemenangan apabila berada di dalam pasukan Tun pada PRU14.

    6. Tun Abdullah Badawi; meletakkan jawatan PM @ ketua pasukan selepas diasak Tun.

    7. DS Najib Razak; PM @ ketua pasukan yang berkeras tidak mahu meletakkan jawatan apabila diasak Tun. Tun bermufaraqah daripada pasukan, menubuhkan pasukan baru, mengasaskan dan mengetuai satu pasukan gabungan baru menentangnya. DSNR tewas dan Terusungkur Di Persada Takhta.

    Rekod kemenangan Tun M ke atas individu dan pasukan-pasukan lain selain UMNO :-

    1. Tiga serangkai yang menggelar diri mereka 'Kepimpinan Ulamak'. Daripada 3, kemudian 2 dan kini 1, mereka tewas di dalam semua PRU apabila bertembung dengan pasukan Tun.

    2. Ibrahim Libya dan para pemberontak Memali. Mereka membunuh polis tanpa hak akibat takfir dan dibunuh balas, sedang Tun kekal sebagai PM pilihan majoriti Muslimin beberapa PRU selepas itu.

    3. Tun Salleh Abbas; Ketua Hakim Negara. Ditamatkan perkhidmatan melalui Suruhanjaya Diraja akibat pelakuan kurang sopan kepada YDPA, dan menyalahkan Tun M. Tun kekal PM sedang dia ditamatkan khidmat oleh rakan-rakan hakimnya sendiri.

    4. Shahnon Ahmad; sasterawan negara. Mencarut dan mencaci Tun melalui bukunya SHIT@PM@P*kimak. Tun kekal PM beberapa penggal dan kembali menjadi PM, dan dia pula hanya menjadi sejarah.

    5. Ashaari Muhammad dan Al-Arqam. Pernah menyangka dirinya adalah Pembawa Panji Hitam dan mengatakan ia akan menjadi PM-5 bagi membolehkan dia menjalankan tugas akhir Pembawa Panji Hitam. Tersungkur Di Pintu Syurga di tangan pasukan Tun dan kini dia dan pasukannya kedua-duanya hanya tinggal sejarah, sedang Tun kembali sebagai PM-7.

    Sepanjang jalan perjuangannya, Tun telah dua kali meminda perlembagaan bagi menghilangkan sifat veto dan juga kekebalan golongan helang ke atas pipit, bagi memastikan pipit tidak teraniaya oleh helang tanpa perlindungan dan pembelaan.

    Di dalam setiap kemenangannya, Tun telah menyelamatkan agamanya, bangsanya dan negaranya daripada kebinasaan sekiranya dia telah tewas di dalam mana-mana satu pertempuran yang ia ketuai.

    Seperti Pak Kadir, saya juga telah berada bersama-sama Tun di belakang Tun di dalam setiap pertempuran yang ia ketuai sejak saya mumayyiz sehinggalah hari ini sudah mencecah 4 series.

    In shaa Allah, saya akan kekal bersamanya sehingga dia benar-benar menyelesaikan perjuangannya.

    Perjuangan kita belum selesai..
    Kerana hanya yang cekal dan tabah..
    Dapat membina mercutanda..
    Bangsanya yang berjaya..

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam dan syabas saudara John Doe...seperti selalu,padat dan tepat.

      Delete
    2. John doe....I am convinced

      Delete
  6. Salam Dato A. Kadir Jasin

    Salam Maal Hijrah. Sempena tahun baru ni saya ingin meminta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki jikalau komen-komen saya menyinggung perasaan Dato’. Mungkin saya terkasar sedikit semasa berbahas tetapi itulah adat berbahas. Tapi macam mana pun, Insyaallah saya tidak akan berbohong bila berbicara. Itu prinsip saya dan prinsip Islam.

    Akhir kata, sekali lagi saya minta maaf banyak-banyak jika Dato’ tersinggung dengan apa yg saya tuliskan sebelum ini walaupun saya tahu artikel ini ditujukan tak kena mengena pun dengan saya tapi lebih kepada utk orang-orang, pemimpin-pemimpin dan VIP VIP yg tertentu. Sekian TQ.

    ReplyDelete
  7. Salam Dato Kadir

    Kuasa Membeli

    Banyak pulak isu-isu panas sekarang terutama isu boikot barang kafir. Dato’ tak nak komen sikit ke. Izinkan saya memberi sedikit pendapat ye. Bukannya berniat nak jadi pendekar Melayu atau tunjuk alim mengalahkan ulama tersohor.

    Beginilah, sebenarnya bukannya orang Islam nak boikot barangan kafir tetapi Orang Melayu sekarang telah mula menggunakan kuasa membeli mereka. Tengok je bagaimana hypermarket, Md Donald, KFC dan mall-mall sunyi dibulan Ramadhan. Jadi, apa salahnya mereka menggunakan kuasa mereka utk membeli barangan halal dari sesama muslim dulu. Bukannya boikot tetapi baru sedikit menggunakan hak mereka sebagai pengguna yg berwibawa.

    Walau bagaimanapun, tidak dinafikan memang ada perasaan terluka dari setiap hati orang Melayu amnya dengan layanan kerajaan PH dan bukan Melayu terhadap mereka. Contohnya, harga barang yg berbeza beza ditawarkan mengikut ethnic. Saya yg berniaga ini pun amat terkilan dengan harga yg jauh berbeza dari supplier mengikut ethnic. Rasanya Dato’ pun pernah menyuarakan masalah yg sama dimana Ayah Dato’ sendiri pernah merasainya. Itu 30 – 40 tahun dahulu tetapi masalah, ianya berpanjangan sehingga sekarang. Sebab itulah harga kedai Melayu menjadi lebih mahal. Tapi orang Melayu diam membisu dan buat-buat macam tak tahu je. Begitulah mulianya hati Melayu demi menjaga hati kaum lain.

    Tapi umat Melayu amat pantang apabila Islam dihina. Kemuncaknya, bagaimana pendakwah yg mengislamkan ribuan manusia, Dr Zakir Naik telah dihina sehina hinanya di bumi tanah Melayu sendiri. Cis !!! Begitu beraninya mereka terhadap umat Melayu sekarang dan pada masa yg sama, tiada satu pun tindakan yg dibuat oleh kerajaan PH malah sesetengah pemimpin Melayu PH sanggup menyokong mereka. Itulah dikatakan madu dibalas tuba.

    Akhir kata, fikir-fikirkanlah pemimpin Melayu PH. Sekian TQ.

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah..bangsa melayu sudah bangkit...bila bukan melayu membantu perniagaan bangsa mereka, itu dikatakan bersatu padu. Bila bangsa Melayu cuba membantu perniagaan sesama Melayu, itu dikatakan berfikiran sempit dan rasis. Andai kempen beli barangan muslim tidak berkesan, kenapa resah. Habis segala pak menteri melayu yg selama ini tidor bila melayu islam fitnah di cerca, dikerah keluar utk menyokong saranan mamak bendahara dan laksamana guan eng. Rupanya masih bernyawa pak2 menteri ini rupanya. Begitu juga dgn pak menteri agama, bila negeri johor dah merwartakan bahawa segala urusan rasmi majlis agama johor akan menggunakan tulisan jawi, selepas beberapa lama baru keluarkan kenyataan menyokong langkah tersebut. Beliau sendiri tidak ada lgsg initiatif utk memertabatkan tulisan jawi. Begitulah sebenarnya sikap menteri2 kjann ph-dap ni. Tiada idea baru. Kegagalan mentadbir negara dan merancakkan ekonomi, d salahkan pada kempen beli barangan muslim. Mmg benar la seperti mana dikatakan oleh beberapa penganalisa politik,, andai praya diadakan esok, pasti kjann ph-dap tumbang. Org Melayu (kecuali pemakan dedak DAP) pasti akan menghukum dan dan mengkuburkan kjaan ph-dap. Malah, sudah terlihat ada para ulamak yg selama ini tidak pernah bersuara, telah berani memberi amanat melalui mimbar khutbah bahawa adalah wajib bagi umat melayu islam hari ini utk menumbangkan kjaan ph-dap atas sikap prejudis mereka terhadap agama islam.

    ReplyDelete
  9. *** Pesanan khas kpd rakyat mysia, terutama kpd umat #Islam, sila ke link-link di bawah. Utk membawa perubahaan, di galakan membaca semua artikel dlm.bloc and group agar rakyat mysia menjadi rakyat yg matang dan dpt beri menafaat kpd umat dan negara. Yg selalu mengikuti perkembangan artikel-artikel saya selama tahu bahawa kritikan teguran saya amat pahit di terima. Jgn lari atau menafikan apa yg saya katakan dlm artikel-artikel saya itu. Byk artikel-artikel saya di tulis dlm usaha membawa kesedaraan kpd rakyat. Harap rakyat bijak cukup matang utk menilai usaha saya. Rajin membaca, agar anda jadi seorang rakyat yg matang dan bijak. Bkn jadi rakyat hipokrit.

    Bgsa membaca bgsa berjaya.
    Generasi berilmu penggerak wawasan, melangkah ke era siber teruskan membaca, ilmu merintis kecemerlangan minda

    https://m.facebook.com/groups/599236240252494?view=permalink&id=1266738050168973

    https://m.facebook.com/groups/599236240252494?view=permalink&id=1272951766214268.

    https://www.facebook.com/groups/599236240252494/permalink/1284852658357512/

    https://m.facebook.com/groups/1807506876235051?view=permalink&id=2415168695468863

    Ikhlas dari saya,
    Harjit.

    ReplyDelete
  10. Salam Datuk!
    Puas saya cari maklumat di internet mengenai bekas ketua pengarah BERNAMA yg. lepas,tapi tak jumpa.Beliau seorang lelaki cina yg. tembun tu.Tentu Datuk kenal orang yg. saya maksudkan ini.
    Bukan apa,...saya masih ingat ketika ibu beliau meninggal dunia,Najib menghantar Jho Low sebagai wakilnya menziarah.Ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia,yg. menyebut Jho Low sebagai pegawai Kementerian Kewangan yg. berasal dari P.Pinang.

    ReplyDelete
  11. Kalau datuk tak keberatan boleh tak ulas tentang Himpunan Penyatuan Ummah antara Pas dan Umno baru-baru ini

    ReplyDelete