Monday, October 14, 2019

Penyelamatan Akhbar: Antara Penjimatan Kos dan Mutu Kewartawanan


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Kontradiksi Maruah: Dulu belasah sekarang minta tolong
DALAM suasana yang tragik, sedikit khabar baik boleh melegakan dan memberi harapan.

Demikianlah berita jaminan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa sebahagian pekerja Utusan Melayu Berhad akan diambil bekerja semula. Namun Perdana Menteri sekadar berkata yang logik.

Ada beberapa peristiwa saling kait-mengait yang berlaku di Utusan.

1. Pemilik terbesarnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar/Umno) tidak lagi mampu atau mahu membiayai penerbitan akhbar serta majalahnya.

2. Utusan secara sukarela mengisytiharkan dirinya “insolvent” dan melantik pentadbir luar untuk menjaga kepentingannya. Dalam bahasa perniagaan, “insolvent” bererti kehabisan wang atau dalam bahasa harian, bankrup.

3. Ia memberhentikan semua kira-kira 800 pekerja mulai 9 Oktober lalu dan sekaligus menggantung penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

4. Sebuah syarikat bernama Aurora Mulia Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan “billionaire” (bilionwan?) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, dilaporkan telah mengambil alih kawalan ke atas kumpulan tersebut.

Harapan tentulah tinggi sehingga ada pengulas yang mengisytiharkan permulaan era baru yang cemerlang bagi Utusan.

Tetapi saya ingin menasihatkan agar kita berhati-hati dan realistik kerana tidak ada lagi batu azimat atau air jampi dengan kuasa ajaib bagi menyembuhkan maladi yang dihadapi oleh media cetak, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Cuma dalam kes Utusan Malaysia khususnya dan Kumpulan Utusan Melayu amnya, sebahagian derita yang ditanggung hari ini adalah kerana perbuatan sendiri.

Lembaga Pengarah, pengurusan dan jabatan pengarang Utusan mengambil tindakan bunuh diri dengan menyerahkan seluruh jiwa raga untuk menjadi orang suruhan Umno, amnya dan bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, khasnya.

Utusan memilih untuk tidak mengamalkan profesionalisme kewartawanan sebaliknya menjadi mesin propaganda Umno.

Kempen propagandanya memburuk-burukkan pembangkang yang dipimpin oleh Dr Mahathir menjadi senjata makan tuan apabila Umno/Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Tindakan bunuh diri Utusan itu menjadi mutakhir apabila ia enggan atau tidak tahu menyesuaikan diri dengan kekalahan Umno dan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Pemulihan

Dalam proses pemulihan oleh pemilik baru ini, para pengarang dan wartawan yang menjadi orang suruhan Umno dan budak tingkat empat Pejabat Perdana Menteri zaman Najib tentulah tidak ada tempat.

Mereka tidak layak dan tidak sesuai untuk menghidupkan semula Utusan. Seandainya pemilik baru masih hendak menggunakan mereka, langkah menghidupkan semula Utusan mungkin tidak akan diterima pembaca.

Berita palsu: Akibat propaganda keterlaluan
Suka tidak suka, kita terpaksa terima hakikat bahawa tidak semua kakitangan – dianggarkan seramai 800 orang itu - akan diambil semula.

Yang sudah pasti, operasi baru Utusan itu akan mempunyai bilangan pekerja yang lebih kecil.

Ini adalah biasa dalam operasi penyelamatan mana-mana juga perniagaan yang rugi. Penjimatan adalah pertimbangan utama dan kos kakitangan menjadi sasaran.

Cuma pemilik dan pengurusan baru Utusan perlu cekap dan faham secara mendalam hal-hal berkaitan operasi media.

Mereka perlu mengetahui apakah bilangan pekerja yang optimum, khususnya di jabatan pengarang, bagi membolehkan akhbar-akhbar dalam kumpulan itu beroperasi secara lestari dan boleh dirasai oleh pembaca serta pengiklan.

Dalam banyak percubaan pemulihan dan konsolidasi media di negara kita dan di tempat-tempat lain juga, kesilapan paling besar adalah menguncupkan bilangan kakitangan dalam usaha menjimatkan kos.

Bilangan petugas dikurangkan daripada sudut jumlah, kos dan pengalaman. Wartawan kanan ditawarkan skim pemberhentian sukarela kerana kos perjawatan mereka tinggi. Yang tinggal adalah wartawan pertengahan dan junior yang tidak cukup pengalaman dan pengetahuan.

Kalau tidak kerana tabiat, saya pun tidak mahu lagi membaca surat khabar kerana mutunya daripada segala sudut – tata bahasa, gaya penulisan, ketepatan maklumat dan analisis – telah merosot dengan teruk sekali.

Kepimpinan

Saya kurang pasti siapa yang mengepalai perluasan kepentingan dan pembabitan Syed Mokhtar dalam Utusan dan Media Prima Berhad.

Tetapi apabila saya cuba menyelidik, saya dimaklumkan yang “orang kanan” dalam operasi ini adalah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

Percubaan saya menghubungi beliau melalui telefon, WhatsApp dan SMS sehingga ini gagal. Turut disebut adalah Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima dan Syed Danial Albukhary, anak Syed Mokhtar.

Saya mendapat maklumat bahawa operasi penyususan semula yang melibatkan pengurangan kakitangan jabatan pengarang akan turut berlaku di Media Prima.

Apa-apa pun kita terpaksa akui bahawa dalam perniagaan, modal adalah utama dan untung rugi adalah ukuran. Tidak ada pelabur yang boleh tanggung kerugian selama-lamanya.

Namun untuk sesebuah akhbar berfungsi secara optimum, perimbangan di antara keberkesanan kos dan kecukupan kakitangan adalah penting.

Penjimatan kos yang menjurus ke arah pengurangan atau pemotongan kakitangan jabatan pengarang akan menyebabkan segala usaha penambahbaikan hanya sekadar cakap kosong.

Kalau tidak ada modal, akhbar tidak boleh diterbitkan. Tetapi kalau akbar tidak memenuhi selera dan ekspektasi pembaca ia tidak akan laku dijual.

Sekiranya pembaca berasa akhbar-akhbar yang dihidupkan semula atau ditambahbaik itu tidak mencapai tahap yang mereka harapkan, operasi tersebut menjadi sia-sia.

Keputusan memberhentikan sementara penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo itu pun sudah menjadi satu beban ke atas usaha menghidupkan semula dua akhbar tersebut.

Dalam tempoh pemberhentian itu, pembaca mungkin berpindah ke akhbar lain atau berasa mereka boleh mendapat maklumat daripada sumber lain yang sama baik.

Kesimpulannya, menghidupkan semula akhbar yang sudah ditutup bukanlah mudah tetapi dalam hal Utusan Malaysia ini, unsur sejarah dan emosi mungkin sedikit membantu.

Itu pun kalau ada perubahan yang nyata dan orang Melayu berasa membaca adalah penting. Bagi saya, tanpa membaca seseorang itu tidak akan mampu berfikir apatah lagi berkarya atau berhujah dengan baik. 

Jadi bacalah!

Wallahuaklam.

8 comments:

  1. Rasa terkilan kerana tidak dapat lagi membaca KOSMO yg padat dengan rencana berbentuk human interest dan bermanfaat serta gambar2 yg berwarna warni

    Semoga dapat diterbitkan semula

    ReplyDelete
  2. Patah tumbuh hilang berganti. Biarlah Utusan Malaysia terkubur bersama-sama dengan sejarah silamnya. Buat apa hendak ungkit-mengungkit kisah lama yang jelas sekali tiada berkesudahan
    itu. Diharapkan operasi baharu nanti bakal menjanjikan suatu imej dan dimensi baru yang benar-benar bebas daripada sebarang cengkaman kuasa parti politik. Sama-sama kita tunggu dan lihat. Cuma, kesian akan bekas warga Utusan yang tidak dapat ditawarkan kerja di syarikat baru nanti. Di sini, ingin saya merakamkan ribuan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana membolehkan saya mengikuti dan mempelajari Tulisan Jawi yang pernah disiarkan setiap hari kecuali hujung minggu sekitar pertengahan tahun 80an. Jasamu tetap dikenang.

    ReplyDelete
  3. Salam Dato Kadir Jasin

    Bagi sayalah, Utusan dah buat kesilapan yg sangat besar dgn menjadi tali barut Najib nombor 3 selepas Saleh Keruak dan Rahman Dahlan semasa Najib berkuasa penuh dulu. Habis etika kewartawanan dicampak ke longkang. Memang cukup kesian dgn pekerja Utusan tetapi itu adalah pilihan mereka sendiri.

    Kedua, apa kata Dato’ jelah jadi CEO Utusan bila diterbitkan kembali. Lagipun, Dato’ kena tebus kesilapan Dato’ dulu. Dato’ juga kena tunjukkan apakah standard kewartawanan yg sebenar yg jauh dari formula ABC – ampu, bodek dan cucuk yg sinonim dgn budaya kerja kita. Sentiasa berkata benar dan berani mengkritik pemerintah termasuk Tun sendiri jika terpesong. Jangan cakap je lebih, bila bab pratical, berkubur segala teori.

    Dan terakhir, kenapa pula nak lantik Jo sombong dalam Utusan. Beliau sendiri kalah di Titiwangsa. Dulu masa jadi Menteri Kewangan kedua dulu bukan main berlagak dan sombong lagi terhadap peniaga, macam macam tax dikenakan. Orang macam ini ke kita nak naikkan semula? Macam manapun, diharap bukan Jo yang samalah ye. Kalau tak, dua kali lima jelah. Akhir kata, sekian TQ.

    ReplyDelete
  4. sangat munasabah kata Dr Syed Husein Ali bahawa Tun Dr mahathir mohammad sedang kumpul harta semula.

    1. Saham kerajaan Proton dijual kepada Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhary kroni Tun M membuat proton bukan lagi milik kerajaan.

    2. Tun M beri jamin bahawa pekerja utusan malaysia akan di ambil semula apabila Tan Sri Syed Mukhtar al Bukhary membeli utusan Melayu.

    itu baru proton dijual kepada tan Sri Syed Mukhtar al Bukhary dan syarikat utusan melayu dibeli dan akan beroperasi semula.

    3.dikatakan sebuah pusat perjudian akan dibuka disebuah pulau pulau Langkawi oleh kroni akrab Tun Dr mMhathir yang pasti akan menerima saham kosong untuk kumpul semula harta setelah begitu banyak harta yang dikumpul sepanjang 22 tahun jadi perdana menteri dahulu.

    ReplyDelete
  5. Dulu pun Utusan jadi tali barut PM4. Nasib baik zaman tu belum ada internet lagi. Huhu.

    ReplyDelete
  6. Untuk hidup subur dan merendang, tumbuhan harus dipatahkan terlebih dahulu. Itulah lumrah alam. Begitulah juga dengan Utusan. Semoga tunas baru yang muncul akan lebih subur dan merendang. Insyaallah kalau kena caranya.

    ReplyDelete
  7. Salam Datuk

    Kalau Utusan Baru dihidupkan nanti boleh tak Datuk cadangkan supaya diadakan ruangan belajar tulisan jawi semula. Dan adakan juga ruangan berita dalam tulis jawi supaya pembaca Melayu tidak mahir berlatih membaca. Ini akan memudahkan lagi mereka mempelajari Al Quran pula.

    Sekian terima kasih

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum wbt

    Sebagai sebuah syarikat surat khabar (nama pun jelas yg membawa maksud memberi khabar berita)ianya jelas sekali tentang tanggungjawabnya. Yang utama sekali, adalah berita kepada Rakyat. Tidak kira lah tentang berita apa pun, yang penting adalah kebenaran beeita yg dalam erti kata sebenar adalah Maklumat. Samada berita tentang Sukan maupun Hiburan semuanya mesti benar. Yang paling UTAMA sekali adalah berita yang membabitkan tentang POLITIK dan Parti-parti Politik dan Ahli-Ahlinya. Lebih lagi tentang Menteri-Menteri, sebab ianya adalah berkait rapat dengan KEHIDUPAN Rakyat. Jika rakyat yg kini sudah terdedah dgn pelbagai maklumat daripada lain-lain Sumber (apa yg rakyat cari ialah maklumat benar) maka hilanglah minat utk membeli surat khabar. Pada pandangan sayalah (pernah bermastautin di Eropah khasnya England) surat khabar perlulah NEUTRAL, tidak terikat dengan mana-mana pihak lebih-lebih lagi Parti-parti Politik. Harus bersifat BEBAS dan benar-benar bebas. Rakyat akan tahu apabila sesuatu berita itu tidak benar maka hilanglah Kepercayaan mereka, maka tiada lagi orang yang mahu mengeluarkan duit untuk membeli surat khabar lagi.

    ReplyDelete