A Kadir Jasin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Lapan puluh peratus rakyat dijanjikan vaksin
1. Tidak syak lagi, tahun 2020 yang baru tiga hari berlalu adalah "annus horribilis" dalam sejarah dunia pasca-Perang Dunia Kedua.
2. Dalam bahasa Latin is bermaksud tahun yang teruk atau celaka. Tidak ada yang lebih teruk dan tragis bagi tahun 2020 daripada wabak besar Covid-19.
3. Setelah lebih sedikit setahun dunia bertarung dengan pandemik ini barulah nampak cahaya di hujung terowong dengan penemuan penawar untuknya. Sehingga 31 Disember lalu, lebih 7.2 juta kes telah dilaporkan di seluruh dunia dengan 411,000 kematian. Maksudnya dalam 5 atau 6 orang mati bagi setiap 100 yang dijangkiti.
4. Sehingga 1 Januari 2021, negara kita telah mencatatkan 115,078 kes dengan 474 kematian atau 2.42 kematian dalam setiap 100 jangkitan. Syabas dan terima kasih tidak terhingga kepada setiap petugas barisan hadapan, khususnya kakitangan perubatan.
5. Maka dengan menadah tangan ke langit, kita memohon kepada Tuhan agar tahun baru 2021 ini akan menjadi tahun "annus mirabilis" - tahun sejahtera.
6. Insya Allah jika wabak rasuah tidak menjangkiti usaha mengawal dan seterusnya menyekat pandemik ini, 80 peratus rakyat Malaysia akan mendapat suntikan vaksin mencegah virus Corona baru tidak lama lagi. Ada laporan mengatakan seawal bulan depan.
7. Vaksin adalah ubat pencegah jangkitan yang mengandungi bahagian yang lemah atau tidak aktif sesuatu organisme (antigen). Fungsinya adalah menggerakkan sistem pertahanan badan apabila berlaku serangan.
8. Vaksin terbaru, termasuk untuk Covid-19, mengandungi "blueprint" bagi menggalakkan (atau mengajar) badan penerima menghasilkan antigen sendiri bagi melawan jangkitan. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan antigen sebagai bahan (protein atau toksin) yang merangsang pembentukan atau pengeluaran antibodi. Antibodi adalah kemampuan badan mempertahankan diri daripada serangan penyakit.
9. Maka sekali lagi kita menadah tangan ke langit memohon kepada Tuhan agar cakap-cakap mengenai rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pencarian keuntungan melampau dalam pembelian vaksin Covid-19 ini adalah khabar angin semata-mata.
10. Tetapi secara peribadi saya memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar membuka mata kerana belanja lebih RM2 bilion bagi membeli vaksin itu boleh menyebabkan ramai dewa, dewi dan manusia biasa gelap mata.
11. Pada 28 Disember, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, dilaporkan berkata Malaysia membayar RM2.05 bilion untuk membeli 26.5 juta dos vaksin Covid-19.
12. Tapi tugas dan tanggungjawab kita bukan sekadar menangani pandemik Covid-19 tetapi juga ekonomi dan politik yang juga dalam kegawatan. Ekonomi akan pulih seiring dengan kejayaan mengawal Covid-19 tetapi kemelut politik lebih sukar untuk diatasi.
Sekian. Terima kasih.