Sunday, March 12, 2006

Jangan Asyik Sangat Dengan FTA

A Kadir Jasin

DUA perkembangan penting dalam dunia global dan globalisasi yang sangat hebat diuar-uarkan sekarang berlaku di Washington DC, ibu negara Amerika Syarikat, yang secara langsung dan tidak langsung membabitkan negara kita.

Pertama, permulaan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade Agreement -- FTA) di antara Malaysia dan Amerika dan kedua, pembatalan kontrak menyelenggaraan pelabuhan Amerika oleh sebuah syarikat yang beribu pejabat di Dubai.

Kontrak kepada syarikat Dubai yang bernama Dubai Ports (DP) World itu dibatalkan setelah mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk Pentadbiran George W Bush.

Perdagangan bebas, globalisasi dan padang permainan yang rata (level playing field) yang menjadi mantera kepada Washington dan yang makin disanjung di negara kita sendiri tiba-tiba senyap sepi, tidak bermakna malah dianggap bahaya apabila kepentingan Amerika terancam.

Menggunakan alasan keselamatan (security), Jawatankuasa Peruntukan Wang Negara (Appropriations Committee) Kongres yang dikuasai oleh Parti Republikan, mengundi 62 lawan dua menyekat kontrak firma Dubai itu.

Kalau DP World berpangkalan di Israel atau dimiliki oleh pelabur Yahudi, reaksi pemerintah Amerika dan dewan perundangannya pasti berbeza.

Tetapi disebabkan DP World sebuah syarikat Arab dan dimiliki pula oleh sebuah negara Islam iaitu Emiriah Arab Bersatu, ia serta-merta menjadi ancaman kepada keselamatan Amerika walaupun kontrak yang dimenanginya itu sudah beroperasi sekian lama.

Awasi Hipokrasi Amerika

Sikap hipokrit dan pembohongan Amerika sangat jelas. DP World disekat daripada meneruskan pengurusan enam buah pelabuhan Amerika yang dulunya dikendalikan oleh syarikat Inggeris, Peninsular and Oriental Steam Navigation Company atau lebih terkenal sebagai P&O. DP World terbabit hanya apabila ia membeli P&O.

Beberapa bulan sebelum itu, Kongres Amerika juga menyekat percubaan China National Offshore Oil Company (CNOOC) untuk mengambil alih syarikat minyaknya, Unocal Corporation dengan bayaran US$18.5 bilion (kira-kira RM68.64 bilion) -- juga atas alasan keselamatan negara.

Jadi siapa kata ekonomi Amerika bebas? Siapa kata Kerajaan Amerika tidak campur tangan dalam urusan perniagaan? Siapa kata ekonomi Amerika bebas subsidi. Tahun lalu, subsidi pertanian sahaja berjumlah US$21.4 bilion (RM79.18 bilion) dan berbilion lagi diberi kepada sektor pembuatan dengan bertopengkan penyelidikan.

Industri petroliam Amerika adalah industri yang paling banyak mendapat subsidi dan pelepasan cukai. Sebab itulah harga minyak di Amerika antara yang termurah di dunia mengikut ukuran Pendapatan Negara Kasar (GNP) per kapita pariti kuasa membeli (GNP per capita purchasing power parity (PPP)).

Kita Gembira Jual Aset Negara

Tetapi di manakah Parlimen Malaysia pada ketika aset-aset negara, termasuk projek-projek penswastaan seperti Fomema dan Pantai Medivest, dijual kawalannya kepada Parkway Holdings Singapura?

Hanya selepas dikejutkan oleh media massa, khasnya TV3, barulah Ahli Parlimen kita, termasuk beberapa orang mamanda Menteri Umno, terjaga dan dalam nada lantang bertanya, macam mana kami tak tahu?

Jual-beli korporat di Malaysia memerlukan kelulusan bermacam-macam pihak --- Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia. Itu pun ada lagi mamak-mamak Menteri kata mereka tak tahu.

Tak tahu atau tak ambil tahu? Tak diberitahu atau sengaja tak mahu tahu? Atau sekadar buat bising ketika Perhimpunan Agung Tahunan Umno saja?

Sekarang khabarnya usaha sedang dibuat untuk beli balik Fomema dan Pantai Medivest. Harap-harap tak betullah khabar-khabar angin yang mengatakan ada pihak yang berkaitan dengan Kerajaan Malaysia atau individu-individu tertentu yang akrab dengan Kerajaan menawarkan RM400 juta untuk membeli Fomema saja.

Kalau ini benar, kita tak tahu apa muslihat mereka. Yang kita tahu, Parkway hanya membayar RM312 juta untuk membeli Pantai Holdings Berhad, termasuk tujuh buah hospital, Fomema, Pantai Medivest dan aset-aset lain.

Dalam dunia korporat macam-macam boleh berlaku kerana pada akhir-akhirnya akan ada pihak yang mengaut keuntungan serta-merta. Kalau duit individu itu hal lain. Yang kita takut duit pembayar cukai atau duit GLC digunakan untuk membayar harga yang tinggi. Jadi mintalah Ahli Parlimen kita tengok hal ini dengan teliti. Jangan tertidur lagi.

Makan besarlah Parkway kalau ada pihak di Malaysia mahu beli balik Fomema dengan harga RM400 juta. Yang ini pun saya dah ulas dan buat tekaan dalam kolum “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business.

Kata Manis Amerika Beracun

Berbalik kepada rundingan FTA dengan Amerika, kita harap Menteri MITI, Datuk Seri Rafidah Aziz yang mengetuai pasukan Malaysia di Washington mengambil tindak-tanduk Amerika terhadap DP World dan CNOOC sebagai amaran dan panduan.

Kalau Rafidah dan para perunding Malaysia termakan janji-janji dan kata-kata manis Amerika, jahanamlah kita. Kita akan menjadi negara jajahan perdagangan Amerika.

Mereka akan guna apa saja pujuk rayu, tipu helah dan ancaman halus untuk mendapat yang terbaik daripada kita, termasuk memuji Islam Hadhari dan sebagainya. Ini taktik mereka.

Sampai hari ini pun kita masih samar-samar mengenai buruk baik perjanjian yang sama, yang Perdana Menteri kita meterai dengan Perdana Menteri Jepun Disember lalu. Yang kita baca dalam surat khabar, banyak syarikat kereta Jepun kini berpusu-pusu ambil kesempatan daripada perjanjian itu. Kita tak tahu banyak mana buah durian, pisang dan manggis kita Jepun dah import!

Kalau pisang berbuah dua kali tak apa. Sekurang-kurangnya banyak pisang kita boleh makan. Yang takut jadi si luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya.

Yang jelas, sudah ada syarikat Amerika menggunakan taktik peras ugut untuk memaksa kita membuka pasaran barangan dan perkhidmatan kita kepada mereka.

Akhbar Malay Mail baru-baru ini melaporkan bagaimana syarikat pembuat motosikal Amerika, Harley Davidson mengancam menarik diri dari Malaysia atas alasan cukai import yang kita kenakan terlalu tinggi.

Syarikat itu atau pihak-pihak yang mewakilinya di Malaysia sangka semua kita jahil. Mereka ingat kita tak tahu yang Harley Davidson terselamat daripada menjadi muflis kerana Presiden Reagan mengenakan cukai import yang tinggi ke atas motosikal import, khasnya motosikal Jepun, pada tahun 1980an.

Hari ini, semata-mata kerana ia sudah kuat dan menjadi jenama global, Harley Davidson mahu semua negara membuka pintu kepadanya. Sebenarnya inilah sikap universal syarikat dan pelabur Amerika. Mereka mahu padang permainan yang rata di negara orang lain, tapi mereka mengenakan pelbagai halangan di negara mereka sendiri.

Itu pun ada lagi orang kita yang anggap Amerika macam Tuhan. Jiwa mereka terus terjajah.

7 comments:

  1. Anonymous6:28 AM

    betul.. sokong sangat dengan tulisan ini.. kecuali prasa "mamak-mamak menteri" . kenapa guna "mamak-mamak" ????

    ReplyDelete
  2. Anonymous11:11 AM

    mamak Mamak Menteri? hehe, cam golongan konservartif yg control Ekons US lak.

    ReplyDelete
  3. Maksud Mamak dan Mananda

    Mamak atau mamanda dalam konteks yang saya gunakan adalah istilah sastera Melayu lama.

    Ia berupa gelaran yang diberikan oleh Raja-Raja kepada pembesar-pembesar negeri yang lebih tua daripada mereka. Contohnya Mamak Bendahara atau Mamanda Menteri.

    ReplyDelete
  4. Maksud Mamak dan Mananda

    Mamak atau mamanda dalam konteks yang saya gunakan adalah istilah sastera Melayu lama.

    Ia berupa gelaran yang diberikan oleh Raja-Raja kepada pembesar-pembesar negeri yang lebih tua daripada mereka. Contohnya Mamak Bendahara atau Mamanda Menteri.

    ReplyDelete
  5. Maksud Mamak dan Mamanda

    Mamak atau mamanda dalam konteks yang saya gunakan adalah istilah sastera Melayu lama.

    Ia berupa gelaran yang diberikan oleh Raja-Raja kepada pembesar-pembesar negeri yang lebih tua daripada mereka. Contohnya Mamak Bendahara atau Mamanda Menteri.

    ReplyDelete
  6. Saya bersetuju dengan pandangan Datuk. Di sebalik kekalutan kita untuk menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat, kita wajar melihat baik buruknya dengan menyeluruh.

    Saya pasti MITI dan Kerajaan telah membuat pertimbangan yang mendalam sebelum usaha untuk mengadakan perjanjian ini dilaksanakan. Saya berharap, pertimbangan itu tidak berat sebelah kepada kepentingan Amerika sahaja ataupun kepada kepentingan kumpulan tertentu di negara ini.

    Sesungguhnya, tanpa FTA pun kita sudah merupakan di antara 10 rakan dagang terpenting kepada Amerika Syarikat. Barang-barang kita boleh dieksport dengan mudah ke negara itu. Malahan sesiapa sahaja yang berminat untuk berniaga di negara ini boleh menubuhkan syarikat perniagaan dengan mudah. Saya ada beberapa orang kawan yang kini merupakan usahawan berjaya di Amerika Syarikat. Kenapa perlunya FTA kepada negara kita, saya kurang faham.

    Namun, apa yang membuatkan Amerika begitu berminat untuk menandatangani satu FTA dengan kita? Malaysia adalah sebuah negara Islama yang progresif. Malaysia dilihat sebagai mempunyai suara ke atas rakan-rakan negara Islam yang lain. Malaysia juga tidak dilihat sebagai sebuah negara yang "melawan" Amerika dalam banyak perkara, walaupun kita satu masa dahulu, merupakan antara negara yang bersuara lantang. Ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang menarik untuk bertapak bagi konglomerat besar dunia dari Amerika. Malaysia juga menyediakan pelbagai prasarana yang begitu menarik yang jika dikuasai boleh menjadi "launching pad" kepada Amerika Syarikat untuk meneroka negara-negara lain di perantauan ini dan juga negara-negara sukutu khususnya negara Islam.

    Namun apa yang saya benar-benar gusarkan ialah kemampuan kita untuk mempertahankan negara ini dan juga asset-assetnya apabila kita telah menandatangani FTA dengan Amerika kelak. Bolehkan kita mempertahankan industri kewangan kita daripada dikuasai oleh bank-bank besar AS? Bolehkan kita menjaga industri insuran kita? Industri pertahanan? Pertanian dan sebagainya lagi?

    Pada ketika persaingan menjadi sama rata, tidak ada lagi konsep Bumiputra, konsep Malaysia dan lain-lain konsep lagi. Persaingan menjadi sama rata dengan keuntungan menjadi fokus keutamaan.

    Adakah kita bersedia pada ketika itu? Semoga "Bibik Menteri" (mamak untuk lelaki/bibik untuk perempuan) kita mempertahankan kita daripada sebarang usaha menjajah ekonomi negara kita secara terancang dan halus.

    http://c-bok.blogspot.com

    ReplyDelete
  7. Mengenai FTA, kerajaan kita perlu lebih berhati-hati. Baru-baru ini kerajaan Australian juga menghadapi masalah mengenai perjanjian yang mereka tandatangani. Kita perlu belajar dari mereka dan awasi sikap Amerika Syarikat. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

    ReplyDelete