Implikasi Penggabungan NST-Utusan
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]
DALAM dunia korporat tidak apa yang mustahil atau luar biasa, khasnya mengenai kegiatan penggabungan dan pengambilan alih (merger and acquisition -- M&A).
Segala bentuk urus niaga adalah “halal” asalkan ada pihak yang membuat keuntungan atau percaya bahawa keuntungan boleh dibuat. Sama ada keuntungan benar-benar dibuat atau tidak, itu perkara yang berasingan.
Malah M&A yang sebenar tidak pun perlu berlaku sebelum seseorang atau sesuatu pihak boleh membuat keuntungan. Ambil ura-ura penggabungan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai contoh.
Sebelum ura-ura penggabungan, saham NSTP diniagakan di Bursa Malaysia sekitar RM2 seunit. Malah ia pernah jatuh di bawah paras itu. Manakala saham Utusan pula berlegar di sekitar RM1. Sebaik sahaja berita penggabungan itu bersebar, harga saham NSTP naik hampir RM3 dan Utusan hampir RM2.
Sesiapa sahaja yang membeli saham dua syarikat akhbar itu sebelum ura-ura penggabungan dan menjualkan sekarang akan membuat keuntungan yang lumayan sama ada penggabungan berlaku atau tidak.
Bertitik tolak daripada hakikat itu, urusan pengambilan alih dan penggabungan yang membabitkan NSTP dan Utusan Melayu masih berkemungkinan berlaku walaupun buat waktu ini terpaksa ditangguhkan kerana bantahan oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi Umno.
Umno adalah pemegang saham utama dan terbesar Utusan Melayu dan ahli MT dikatakan bimbang penggabungan itu akan menjejaskan kepentingan Umno dan kedudukan Utusan Malaysia sebagai akhbar berbahasa Melayu utama di negara ini.
Dari sudut politik, pendirian MT itu bercanggah dengan pandangan Presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menyokong cadangan itu.
Menurut sebuah laporan Bernama, kebimbangan mengenai identiti dan kebebasan jabatan pengarang Utusan Melayu mungkin dapat diatasi di bawah struktur baru yang sedang diusahakan.
Di bawah struktur terbaru itu, pengarah eksekutif Utusan Melayu, Nasir Ali, mungkin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan bagi entiti baru yang akan mengambil alih NSTP dan Utusan Melayu.
Memetik sumber-sumber yang arif mengenai urusan penggabungan dan pengambilan alih korporat, Bernama berkata di bawah rangka kerja itu, sebuah syarikat baru (newco) akan mengambil operasi NSTP dan Utusan Melayu. Pemegang saham Utusan Melayu (iaitu Umno) akan menjadi pemegang saham utama dalam syarikat baru itu.
Di bawah rangka kerja asal (yang ditolak oleh MT), Media Prima Bhd iaitu syarikat induk NSTP akan menjadi syarikat induk kepada entiti yang digabungkan itu. Media Prima adalah juga pemilik TV3, NTV7, Channel 8 dan Channel 9.
Jika struktur baru ini diterima oleh pemenang saham syarikat-syarikat yang terbabit dan diluluskan oleh badan-badan kawalan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Utusan Melayu akan melakukan pengambilan alih songsang (reversed takeover) terhadap NSTP yang lebih besar daripadanya.
Apa pun bentuk atau struktur M&A yang akhirnya dilaksanakan, faktor, ciri dan pertimbangan berikut pasti telah dan sedang difikirkan oleh pihak-pihak yang terbabit, khasnya pemegang saham dan pengurusan syarikat-syarikat yang terbabit:-
1. Siapakah akhirnya menjadi pemegang saham utama (controlling shareholder) syarikat baru ini?
Buat masa ini, pemegang saham utama Utusan Melayu adalah Umno. Umno dan pihak-pihak yang bersekutu dengannya dianggarkan memegang kira-kira 50 peratus saham Utusan Melayu Berhad.
NSTP pula dikuasai oleh Media Prima Berhad yang pemilik mutakhirnya adalah Realmild Sendirian Berhad. Umno tidak diketahui mempunyai pegangan saham di dalam Realmild.
Sejak diasaskan pada awal tahun 1990-an sebagai jentera (vehicle) pembelian oleh pengurusan (management buy-out -- MBO) yang membabitkan empat eksekutif kanan NSTP, Realmild “dikaitkan” dengan Presiden Umno.
[Pengambilan alih itu membabitkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), NSTP dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3). Pasukan MBO itu mula mengundurkan diri pada akhir tahun 1998 dan kesemua mereka telah keluar dari Realmild menjelang tahun 2000.]
2. Manakala penggabungan itu mungkin tidak akan menjejaskan struktur dan “kebebasan” jabatan pengarang NSTP dan Utusan Melayu Berhad, namun persepsi pembaca dan pengiklan mungkin berubah.
Mereka mungkin menolak atau menyusun semula keutamaan mereka apabila menimbangkan perbelanjaan mereka di dua kumpulan akhbar ini.
Kita telah melihat bagaimana pembaca Cina memprotes dengan “menolak” akhbar Nanyang Siang Pau apabila pemilikannya diambil alih oleh MCA melalui syarikat pelaburannya Huaren Holdings Sdn Berhad pada tahun 2001.
Mengakui bahawa pemilikannya membebankan Nanyang dan menyebabkan perpecahan di dalam parti, MCA baru-baru ini mengambil keputusan menjual saham Nanyang Press Holdings Berhad yang dimilikinya kepada syarikat milik pengusaha balak Sarawak Tan Sri Tiong Hiew King.
Masyarakat Cina yang dulunya memprotes pengambilan alih Nanyang Press oleh MCA dengan menolak akhbar Nanyang kini memprotes pembelian oleh oleh Tiong kerana dia sudah pun mengawal akhbar terbesar di negara ini iaitu Sin Chew Daily.
Orang Cina khuatir pemusatan pemilikan akhbar berbahasa Cina di dalam tangan seorang individu akan memberi kesan negatif kepada masa depan media massa berbahasa Cina, khasnya keupayaan memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Malaysia.
Masyarakat Cina Malaysia sentiasa menganggap kepelbagaian suara sebagai cara terbaik mempertahankan kepentingan mereka. Serentak itu, akhbar-akhbar Cina adalah yang paling “bebas” dan sensasi di negara ini.
[Huaren juga adalah pemegang saham terbesar Star Publications Berhad, penerbit akhbar berbahasa Inggeris terbesar The Star manakala Nanyang Press turut menerbitkan akhbar China Press.]
3. Bagi pelabur, sesuatu penggabungan tidak dianggap menarik jika tidak menjanjikan penyusunan semula dan rasionalisasi perniagaan yang membabitkan produk, guna tenaga dan yang penting sekali penjimatan kos. Bagi pelabur yang mutakhir adalah keuntungan bukan kebajikan.
Seperti kita maklum NSTP dan Utusan Melayu menerbitkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang hampir-hampir serupa dan bersaing antara satu sama lain.
Utusan Melayu menerbitkan Utusan Malaysia yang bersaing terus dengan Berita Harian terbitan NSTP. NSTP menerbitkan akhbar tabloid berbahasa Melayu Harian Metro dan Utusan Melayu melancarkan tabloid Kosmo untuk melawannya.
Jadi apakah bentuk penyusunan semula korporat dan rasionalisasi perniagaan yang boleh dilakukan oleh Nasir Ali dan pasukannya tanpa menjelaskan kedudukan akhbar-akhbar ini dan kakitangan mereka yang melebihi 3,000 orang?
4. Tidak kurang pentingnya ialah “timing” penggabungan ini. Apakah ini masa yang unggul untuk melakukannya?
Industri penerbitan kini mengalami tekanan kepada kedua-dua sumber utama pendapatannya iaitu iklan dan penjualan akhbar dan majalah. Walaupun perangkaan kasar menunjukkan perbelanjaan iklan (adex) terus meningkat, tetapi hasil sebenar (yield) adalah rendah kerana penerbit memberikan diskaun yang tinggi kepada pengiklan.
Mungkin inilah aspek perniagaan yang hendak dirasionalisasikan oleh pihak-pihak yang mencadangkan penggabungan ini. Mereka mahu memberhentikan persaingan yang merugikan.
Tetapi yang lebih mencabar dan sukar diatasi adalah penjualan dan pembacaan akhbar yang semakin menurun, khasnya akhbar-akhbar Melayu, akibat persaingan daripada televisyen dan radio dan keadaan ekonomi pengguna yang tidak merangsangkan.
Sumber:The Star, 7 Disember 2006
Perangkaan terbaru pembaca (Oktober 2005-September 2006) yang dikeluarkan oleh firma pemantauan media massa Nielsen Media Research, menunjukkan jumlah pembaca Utusan Malaysia merosot 13 peratus kepada 1.2 juta dan Berita Harian 21 peratus kepada 1.15 juta. Tabloid sensasi Harian Metro meningkat 24 peratus kepada 1.8 juta.
Bagi akhbar-akhbar berbahasa Inggeris pula, pembaca The Star bertambah sembilan peratus kepada 1.14 juta dan New Straits Times 0.3 peratus kepada 319,000 manakala The Sun jatuh 12 peratus kepada 171,000 dan The Malay Mail yang dilancarkan semula merosot 36 peratus kepada 78,000.
Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulation) dijangka mengumumkan perangkaan terbaru penjualan akhbar dan majalah yang mempamerkan trend yang serupa.
Dari sudut kepenggunaan, akhbar dan majalah tidak disenaraikan sebagai barangan perlu. Antara sekotak rokok dengan senaskhah akhbar, pengguna memilih rokok daripada akhbar.
Setiap kali harga rokok naik kerana kenaikan cukai, penjualan akhbar, khasnya akhbar Melayu, jatuh kerana pengguna mengutamakan menghisap rokok daripada membaca akhbar. Lagipun orang jarang berkongsi rokok tetapi mereka berkongsi akhbar.
Kebimbangannya ialah pembeli dan pembaca yang kini membeli dan membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian mungkin menggugurkan salah satu daripada akhbar itu kerana kedua-duanya diterbitkan oleh pemilik yang sama. Begitu juga dengan yang kini membeli Harian Metro dan Kosmo.
Walaupun pembelian dan pembacaan bertindih ini tidak besar, namun dalam suasana sekarang kedua-dua buah syarikat itu memerlukan setiap sen pendapatan yang boleh mereka peroleh.
Yang lebih mengancam ialah pembaca mungkin menolak akhbar-akhbar terbitan syarikat yang digabungkan itu dan berpindah kepada akhbar-akhbar bebas atau kepada laman berita Internet dan blog.
Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan kerana yang akan membuat penilaian kritikal ke atas implikasi penggabungan ini adalah mereka yang membaca lebih daripada sebuah akhbar dan mempunyai akses kepada media baru seperti laman berita Internet dan blog.
Kesimpulannya, penggabungan mega ini mungkin berlaku dalam masa terdekat, Majlis Tertinggi Umno boleh “dipujuk” untuk mengubah fikiran atau bantahannya dipatahkan dengan mengemukakan cadangan baru, ada pihak akan membuat keuntungan modal yang lumayan, penyusunan semula struktur korporat dan rasionalisasi operasi mungkin menjelaskan produk dan guna tenaga, persaingan yang merugikan mungkin boleh dihadkan dan sentimen pengguna akan menentukan untung rugi penggabungan ini.
Akhir sekali (dan mungkin yang terpenting) ialah hakikat bahawa sesiapa juga yang muncul sebagai “pemilik mutakhir” (ultimate owner) syarikat baru ini akan menjadi maharaja (emperor) dunia media massa Malaysia. Kuasa politik dan korporatnya “menakutkan”.
terima kasih datuk di atas info ini.
ReplyDeleteDato,
ReplyDeleteSaya ada satu komen sahaja. Penurunan mendadak readership akhbar2 untuk orang melayu samada dalam bahasa inggeris atau pun dalam bahasa malaysia adalah kerana persepsi yang meningkat di kalangan rakyat (terutama yang menyokong pembangkang dan yang berfikiran bebas ie. independent) bahawa suratkhabar2 ini tidak mempunyai kredibiliti dalam memberikan berita yang tepat dan adil. Jadi, saya menjangkakan apa pun usaha dan strategi yang dibuat untuk meningkatkan penjualan dan pendapatan akhbar2 ini tidak akan berjaya selagi persepsi itu tidak dikurangkan atau dikikis habis. Tambah2 lagi rakyat yang berfikiran bebas kini mempunyai alternatif yang banyak untuk mendapatkan maklumat yang mereka perceive sebagai tepat dan adil, terutama dari media internet, blog dsb.
Wassalam
Dato'
ReplyDeletedaripada apa yang diterangkan dengan panjang lebar dan dengan ayat yang mudah difahami disini, amat mudah untuk orang ramai memahami apa yang sebenarnya cuba dilakukan oleh orang kuat UMNO. tak susah nak 'membaca' apa yang sedang bermain di dalam kotak fikiran mereka. cuma yang jadi kemusykilan, macamane boleh terjadi anggota MT UMNO ada yang membantah usul PM dan TPM ni. adakah mereka yang membantah ini akan diambil tindakan sebagaimana yang diterima oleh Mukhriz.
tunggu dan lihat...
Dato' dan pembahas sekalian,
ReplyDeletePergabungan dilihat sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan masalah berniaga kebelakangan ini. Macam dah tak ada alternatif lain lagi. Puas dah saya pujuk diri saya ni untuk terima kualiti pembesar kita yang ada pada hari ini seadanya malangnya saya macam mempersendakan diri saya sendiri.
Ini saja cuak-cuak sendiri di dalam hati...mungkinkah suatu hari nanti datang idea kepada pembesar kita untuk mengabungkan Malaysia dengan Singapura pula?
Saya turut berterima kasih kpd Dato krn informasi terkini dunia akhbar Malaysia.
ReplyDeleteBesar maknanya.
"Pemusatan Kuasa" suratkhabar akan membahayakan rakyat Malaysia bagi jangkamasa panjang.
Maka tidaklah menjadi satu kemustahilan apabila Editor Ditaktor bakal dilahirkan...
na'uzubillah.
i think utusan should make some noise about this.
ReplyDeleteutusan is well-placed to be heard with their history and influence.
now, it's the test for it's editors.
what are they gonna do about it?
what's their price?
for the record, this is just my opinion i am not trying to incite riots etc.
if i was an utusan editor, i would definitely protest.
NSTP also should la. But how? Everyone wants to jaga their rice bowl.
Sigh. It's true, people who have too much to lose, lose their balls on the way there.
We need some leaders with more balls man...
Datuk,
ReplyDeleteBagaimana pula desas-desus, Singapura bakal berkuasa mewarnai editorial dengan penggabungan ini?
Dato' dan rakan sekaliannya,
ReplyDeleteSecara peribadi saya memang tidak bersetuju dengan proses M&A dua entiti akhbar ini...
Apa yg saya gusarkan:
* Pemusatan pengaruh pihak-pihak tertentu akan mencapai tahap yang tidak boleh dibendung
* Kemungkinan pengurangan kos akan mengakibatkan banyak yang dibuang kerja
* Identiti 2 akhbar Melayu utama ini akan terhakis... Lebih saya geruni, proses PENTABLOIDAN yang akan mengakibatkan kualiti dan 'suara kualiti' akhbar itu sendiri makin menguncup
* Tanpa persaingan yang betul betul bersifat 'musuh' sesama akhbar, dikhuatiri ini akan menyebabkan 'martabat' akhbar itu sendiri makin menjunam dan sambil lewa pengisiannya....
asslamualaikum dato' and bloggers semua. cuma yg saya nak katakan di sini ialah dengan penggabungan ini satu masa nanti akan timbul satu situasi di mana sejumlah penerbitan akan menerbitkan suratan yang berlainan dan siratan yang sama. ibarat syampu all in one.
ReplyDeletejika penggabungan itu berlaku, saya hanya akan membeli satu akhbar sahaja, tentu laporannya sama sahaja seperti yang datuk sebutkan.
ReplyDeleteDato' dan bloggers,
ReplyDeleteSaya bersetuju dengan pendapat Kluangman, "melihat kepada Singapura yang maju apakah tidak mungkin kita gunakan perkongsikan minda, sikap dan kepintaran mereka untuk memacu negara ke Wawasan 2020. Terlalu jahatkah Singaprua atau kita sendiri yang takut dengan bayang-bayang".
Hemm..."terlalu jahatkah Singapura atau kita sendiri yang takut dengan bayang-bayang" adalah suatu simpulan pendapat yang tak perlu ulasan yang panjang lebar rasanya, cukuplah kita melihat kepada peristiwa Pulau Batu Putih, tragedi harga air, menambak selat, pencerobohan ruang udara etc...itu yang kita nampak dengan mata kasar.
Yang terselindung dan tersurat? Masakan kita mengetahuinya? Strategi geraksaraf mereka cukup hebat. Cukup-cukup hebat. Percayalah. 22 tahun Singapua mengeruni Malaysia tetapi bayangkanlah hanya dengan sebatang kayu golf aje Singapura berjaya 'membeli' Malaysia selepas itu.
Maka wajarlah kita cuak dengan minda, sikap dan kepintaran mereka yang maju itu.
Terimakasih.
Saya melihat orang surat khabar sekarang begitu pasif. Mereka tidak berani memberi penjelasan.kami tau Pengerusi Utusan Hashim Makaruddin sudah tidak lagi dihormati di Utusan kerana sikapnya yang lidah bercabang dan opportunis. Bayangkan dia tak oernah pergi majlis DrM sedangkan dia mendapat Tan Sri sebab Tun. Dalam isu gabung ini dia gagal meyakinkan petugas Utusan tentang banyak hal. Di NSTP, Syed Faizal dan Aun tak tau apa-apa pun. Patutnya brieflah eksekutif dan staff dulu tapi dia junpa union dulu. Asas ini pun dah salah. Kami cabar semua mereka ni buat dialog terbuka supaya kita boleh sama-sama hadir dan aju soalan. Itu pun. Kalau berani berdepan dengan khalayak umum. Saya berani kata ini MUSTAHIL berlaku.
ReplyDeleteYBhg Dato,
ReplyDeleteKalau saya la duduk dalam kasut PL saya akan panggil semua yang bijakpandai di sini bercakap dan bagi proposal dari idea2 mereka yang bernas untuk di implementasi..tapi jangan pulak ada yang cakap apa apa hal PL hang la tanggung jawab hang PM..pulak!
Saya kata..buat la PL apa saja yang hang suka..ambik semua la..(meminjam dari seorang pembesar zaman DSAI)
Bukan keciwa putus asa..saja nak tengok berapa term boleh pi. Apa takut kita yang pilih depa. 2008 pilih la mana suka tak perlu nak menyorok..pilihan itu rahsia..setuju YBhg Dato?
Tk wasalam
Pembahas Tun Fatimah berkata: " Datuk, bagaimana pula desas-desus, Singapura bakal berkuasa mewarnai editorial dengan penggabungan ini?"
ReplyDeleteSaya rasa Singapura tidak mungkin mampu berbuat demikian melainkan ia mempunyai pegangan majoriti di dalam entiti yang digabungkan itu.
Ini tidak mungkin terjadi kerana Umno dan proksi Presiden Umno akan terus menguasai syarikat itu.
Yang banyak diperkatakan sekarang adalah pengaruh bekas-bekas wartawan Straits Times Singapura yang kini mempunyai kedudukan istimewa di NSTP. NSTP juga kerap megggunakan bekas-bekas petugas ST Singapura untuk melatih wartawannya.
Mengenai pemilikan asing, NSTP sejak dulu lagi mempunyai pemegang saham asing yang agak ramai/besar, ada masanya sehingga melepasi 30 peratus. Ini tidak mengapa kerana mereka hanyalah pelabur dan tidak ada suara di dalam lembaga pengarah atau jabatan pengarang.
Pembahas Nor'aini berkata: "Jika penggabungan itu berlaku, saya hanya akan membeli satu akhbar sahaja, tentu laporannya sama sahaja seperti yang datuk sebutkan."
Saya tidak kata laporan mereka akan sama. Yang saya kata ialah persepsi umum. Umum mungkin membuat kesimpulan bahawa akhbar dari pemilik yang sama akan mempunyai dasar pemberitaan yang serupa.
Pembahas Fendy Ahmad berkata: "Identiti 2 akhbar Melayu utama ini akan terhakis... Lebih saya geruni, proses PENTABLOIDAN yang akan mengakibatkan kualiti dan 'suara kualiti' akhbar itu sendiri makin menguncup."
Berita Harian dan Utusan Malaysia bukan lagi akhbar berbahasa Melayu terbesar. Mereka sudah lama dikalahkan oleh tabloid sensasi Harian Metro.
Proses "pendangkalan" kandungan media massa sudah menjadi trend sejak dua tiga tahun ini.
Menteri lebih kerap mengulas mengenai kemalangan jalan raya daripada isu-isu yang lebih rumit dan mendesak.
Terima Kasih.
Dato AKJ, sebagai orang media yang pernah menyeberangi senario yang hampir sama, saya anggap ia adalah realiti daripada pengalaman. Sebagai rakyat pula, mereka tidak tahu sebenarnya matlamat penggabubungan NSTP-Utusan Melayu ini dan ramai juga tak tau apa-apa pun.Matlamat penggabungan tertera dalam dokumen perjanjian tetapi niat penggabungan hanya diketahui oleh orang tertentu. Cuma di Malaysia kita sudah mengalami banyak proses yang dinilai dari semasa ke semasa. Kita juga ada orang media yang mampu mendedahkan rasional penggabungan ini sama ada ia mempnyai tujuan tersurat yang lebih prominen atau niat tersirat yang lebih unggul. Bagi media, orang bercakap soal kuasa melebihi soal keuntungan. Jika penggabungan ini lebih mengemukakab faktor perniagaan ia adalah matlamat tersurat. Matlamat tersirat tetap kepada soal mengawal kuasa.Mengawal maklumat bermakna mengawal pemikiran rakyat.Perkara yang perlu diberi perhatian ialah apakah akhbar-akhbar yang akan diterbitkan nanti dapat ditinbgkatkan dari segi mutu? Jawapannya ialah antara ia dan tidak. Mampukah orang-orang di NSTP meninbgkatkan jualan semua akhbarnya sedangkan berasaskan angka sedia ada, jualan dan perniagaan akhbar sedia pun ibarat hidup segan mati tak mau. Macam mana ia boleh membantu Utusan sedangkan ia sendiri pun kelam kabut. Ini berlaku kerana faktor idea bisnes dan kandungan media.Mengapa tidak tukarkan CEO NSTP dan GEIC kumpulan media itu dinilai dari segi keberkesanannya. Ramai orang di luar boleh menilai mereka sama ada dari kalangan profesional korporat dan media.
ReplyDeletegabungan dua syarikat yang sakit. ia akan menghasilkan syarikat yang lebih besar dan yang lebih banyak penyakitnya. gabungan ini pun dibuat secara paksa, jadi ramai yang akan menentangnya. ini pun suatu penyakit jugak. dah pulak tu, tak telus langsung. kita tak diberi butiran langsung. yang arif ialah analis saham yang juga akrab dengan kalimullah, rahman dan tan sri hashim makaruddin. bayangkan, di kalangan wartawan pun, yang pertama mendedahkan isu gabungan nstp-utusan ialah seorang penulis dari sebuah akhbar di singapura. bukan lah suatu kebetulan yang kalimullah, abang angkat khairi jamaluddin, pernah menjadi wartawan akhbar tersebut. dan bukan suatu kebetulan juga yang penulis yang dimaksudkan adalah kenalan lama kalimullah.
ReplyDeletesaudara-saudari buat sendiri kesimpulan dari fakta ini.
salam.
Dato', mengapa NSTP-Utusan Melayu perlu bergabung?. Elok rasanya kedua-dua pihak diberi peluang enam bulan untuk menibgkatkan prestasi masibg-nasing untuk mewajarkan gabungan ini. Saya ingin mencadangkan:
ReplyDelete1.NST kembali kepada saiz asal broadsheet untuk menjadi akhbar tunggal Inggeris broadsheet. Mengapa perlu compact yang sekarang ni dah jadi macam akhbar komik. Ramai kata NST macam majalah terutama halaman satunya tapi saya kata akhbar itu dah jadi komik era 1960-an lebih kurang macam Beano dan Bambino.
2.Perkuatkan bisnes reporting menandingi akhbar saingan the Star dan The Edge.
3.Untuk BH dan semua akhbar lain, banyak benda yang boleh dibuat. Tapi eloklah editor-editornya fikirkan sendiri sebab itu kerja mereka. Yang pasti akhbar gagal memenuhi cita-cita pembaca. NSTP ada pertalian. Dengan TV dan radio tapi minta maaf cakap, penerajunya tidak nampak potensi ini atau masing-masing tebal dengan boundry masibg-masing. Saya tak nampak gabungan yang membabitkan NSTP itu perlu tetapi kalau Utusan-Star atau Utusan-Sun ada juga logiknya untuk menjadi saingan sihat kepada NSTP.
Kawan dari Utusan hantaq SMS ni masa saya dok minum teh tarik di restoran Mamak pagi tadi:
ReplyDeletekawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi
- Allahyarham Datuk Usman Awang (daripada sajak Duri dan Api yang ditulis semasa mogok Utusan 1961)
Kesimpulan Penggabungan NST-Utusan : 1.Untuk kepentingan UMNO 2. Untuk mendapat(dijangka) keuntungan.
ReplyDeleteItu saja jawapannya.....
Dicadang oleh ?AAB, disokong oleh ?NTR(Najib Tun Razak), ditentang oleh MT UMNO. Pelik juga bunyinya seolah-olah AAB "bincang dalam selimut" dengan NTR!
Kalau untuk kepentingan UMNO, kenapa MT tentang?
Sejak diasaskan pada awal tahun 1990-an sebagai jentera (vehicle) pembelian oleh pengurusan (management buy-out -- MBO) yang membabitkan empat eksekutif kanan NSTP, Realmild “dikaitkan” dengan Presiden Umno.....Kalau 1990,maka kita boleh tanya Tun DrM. Boleh tak Dato' jelaskan lebih lanjut “dikaitkan” ?
Penggabungan ini kalau untuk kepentingan UMNO dan untuk mendapat keuntungan, maka ianya takkan kemana.....akan tersungkur menyembah bumi.
Dato' AKJ, minta maaf..dalam komen saya yang awal, banyak salah ejaan...dah rabun dan tergopoh- gapah. Apa pun, saya cuma nak komen sekali lagi pasal gabungan ini.
ReplyDeleteBagi sebuah syarikat media yang besar, NSTP dengan apa cara sekali pun kena tingkatkan keuntungannya berpuluh kali ganda. Kalau setakat untung RM10 atau RM15 juta bagi setiap tahun kewangan, ia menunjukkan kegagalan pihak pengurusan memajukan syarikat. Dulu, NSTP pernah mencatat keuntungan beratus juta setahun. Mesti ada sebabnya?
Kos operasi harian NSTP amat besar dan jika ada apa-apa masalah, ia boleh membawa padah. Itulah sebabnya syarikat itu memerlukan kepemimpinan yang benar-benar mampu mengubah kedudukan syarikat. Janganlah pakai firasat je dan pakai rasa-rasa" saja sebab cara itu syarikat tidak akan ke mana. Pada saya masalah utama hari ini NSTP sudah tidak ada wawasan. Kalau ada pun saya anggap ia sebagai "wawasan merapu". Kalau setakat untuk menjaga kepentingan itu dan ini, ia bukanlah wawasan namanya. Pemimpin di NSTP hari ini adalah golongan yang menerima apa saja yang disediakan oleh pengurusan terdahulu. Mereka tidak pernah berada dalam zaman perancangan mega bagi memajukan NSTP bermula 1980-1990-an. Bagi mereka, segala keperluan seperti pejabat, kilang, peralatan, sistem operasi dan segalanya sudah tersedia. Mereka hanya perlu menjalankan saja. Mereka ini betul-betul macam tukang masak juga lah. Tapi, kalau masakan tak sedap, rencak tak kena, siapa nak makan, siapa nak beli. Bila rasa memerlukan wang, apa yang tersedia, dijual saja untuk buat modal baru, termasuklah anak-anak syarikat dan hartanah seperti bangunan di dalam dan di luar negara dan sebagainya. Itu pun tak boleh jalan juga. Bila rasa pekerja ramai, buat VSS lepas itu lantik kakaitangan baru. Pengurusan apa ini?. Jangan salahkan hutang kerana tanpa hutang, kemudahan yang digunakan hari ini, tidak wujud.
Dato' minta maaf kalau saya katakan, saya juga pernah bekerja dengan Datuk Seri Rahman Mydin sewaktu beliau memimpin NSTP dan MRCB. Pada waktu dia, saya dapat melihat wawasan beliau terhadap akhbar dan syarikat-syarikat media di bawah naungannya ketika itu. Saya pernah berbincang dengan beliau dan dapat merasakan bahawa beliau ada wawasan tertentu, bukan saja kepada syarikat, tetapi juga bangsa dan negara. Beliau memulakannya dengan cuba membawa akhbar untuk memainkan peranan menyemai bibit-bibit partiotisme dan nasionalisme sebagai satu perjuangan ketika itu. Selebihnya, saya simpanlah. Badrulhisham Mahzan, you boleh sahkan atau nafikan kenyataan saya ini. Cuma, Datuk Seri Rahman bukan orang editorial tetapi orang perniagaaan. Kesilapan beliau nampak ketara terutamanya apabila tempat beliau memang menjadi idaman orang lain ketika itu. Saya tidak mahu bercakap soal percaturan politik ketika itu, ketika ia penuh dengan ceritanya tersendiri.
Datuk A Kadir J
ReplyDelete"Yang lebih mengancam ialah pembaca mungkin menolak akhbar-akhbar terbitan syarikat yang digabungkan itu dan berpindah kepada akhbar-akhbar bebas atau kepada laman berita Internet dan blog...Akhir sekali (dan mungkin yang terpenting) ialah hakikat bahawa sesiapa juga yang muncul sebagai “pemilik mutakhir” (ultimate owner) syarikat baru ini akan menjadi maharaja (emperor) dunia media massa Malaysia. Kuasa politik dan korporatnya “menakutkan”."
Merger Utusan-NSTP ini, bagi saya adalah 'honda prelude' sebelum cerita besar Bently Continental GT TIGA SERANGKAI PNB itu jadi tatapan.
Kita sedia maklum, natijah dari merger yang akan berlaku ini akan hanya mendekatkan lagi kita ke pertanyaan "where do we go from here?"
Dalam hal Utusan-NSTP dan etika kewartawanan, saya cuma dapat mengatakan bahawa saya baca Utusan untuk cerita politik UMNO tempatan yang selalunya tidak dicetak dalam Berita Harian atau Harakah - sesuatu yang 'extra'.
Adakalanya, berita-berita itu terlalu remeh. Utusan izinkan lebih exposure dalam hal ini. Utusan adalah akhbar komplimentari pro-kerajaan.
Cuba bayangkan, suara Ketua Bahagian cabok yang membawa isu bernas tidak dapat peluang langsung di gembar-gemburkan. Ini adalah satu modus operandi yang telah lapok.
Bukankah semua ahli UMNO(Baru) dinasihatkan yakni orang UMNO(Baru) lebih tertib dan segala yang harus di bangkitkan eloklah ianya melalui suluran partai yang betul?
Ini mungkin kenapa majority MT tidak setuju dengan cadangan merger ini. Peluang muka comel lote terpapar di muka akhbar dan bukannya sangat isu-isu bernas dan beras siam.
Mungkin bantahan itu saringan kepada harga 'bounty' yang hendak diberi sebagai mengesat air mata MT dan algojo mereka harus lebih dari RM tiga juta seorang. 'Compensatory Payment due to loss of probable income due to advertisings' saperti kes Fauziah-'Daim'
It's a jungle out there and the rule is survival for the fittest.
Cuma Fittest = meritocracy = strongest = smartest = d lucky ones?
Bukankah Tun pernah katakan Iraq memerlukan seorang diktator yang berhati perut?
Jadi merger-merger yang akan datang perlukan PM yang serupa tetapi tidak sama?
NST masih ada 0.3% growth which is a bit strange.
Dato' dan warga prihatin sekaliannya,
ReplyDeleteAda yang mencadangkan supaya NST kembali kepada saiz broadsheet dan bukannya 'kelihatan seperti akhbar komik atau tabloid..'
Saya rasa keseimbangan dalam membicarakan isu ini perlu dilakukan secara berhati-hati dan menyeluruh....
Kualiti pemberitaan dan terjemahan paparan berita dan isu adalah komponen terpenting untuk sesebuah akhbar bertaraf nasional TETAPI aspek pemasaran dan kuasa pasaran haruslah ditelusuri mendalam....Saiz kompak sebenarnya lebih dekat di hati para pembaca muda dan yang meningkat dewasa....
Agak lawak untuk saya timbulkan di sini tetapi ada logikanya...
--> Ketika saya memulakan pekerjaan pertama di KL dahulu, di pagi hari ketika menaiki LRT sudah pastinya akhbar kompak seperti THE STAR atau THE SUN yang menjadi pilihan untuk dibaca.... mudah dibuka di dalam kenderaan...
Sebagai generasi 20-an dan berdepan dengan pelajar IPT yg berusia akhir belasan tahun saya selalu menyaksikan betapa 95% daripada rakan-rakan dan pelajar saya memilih THE STAR berbanding NST... Mengapa? Banyak yg mengeluarkan kenyataan spontan:
1) The Star lebih padat...
2) The Star kurang merepek
3) The Star lebih "adil"
4) The Star lebih nampak moden
5) The Star lagi berjiwa rakyat...
Konklusinya, THE STAR lagi bagus... Mengapa dan apa sebabnya mereka menyatakan demikian, sukar untuk saya cari di mana sebabnya....
Terus terang saya katakan....sebelum awal 2004, saya menyokong NST....
Secara peribadi, saya cukup suka dengan gaya rencana di zaman Dato' A Kadir Jasin dan Tan Sri Abdullah Ahmad....
Dollah Kok Lanas itu walau banyak yg 'memburukkan' beliau tapi secara adil saya nampak bahawa ILMUnya luas, rencana dan pandangannya JELAS dan KONKRIT....Hilangnya Dato' Kadir dan muculnya Abdullah Ahmad di NSTP pada 2000 tidak menjejaskan sokongan padu saya pada NST dan Berita....
Saya akan membeli Berita MInggu dan Sunday Times di awal pagi AHAD ketika era sekolah menengah dan Universiti dan TANPA berlengah akan membaca KOLUM KAdir JAsin dan Abdullah Ahmad....
TAPI APA MUTU KOLUM Kalimullah dan HISHAMUDIN AUN??? Bagi saya andai penulisan seorang yang bertaraf KETUA SEGALA PEMBERITA DAN KOLUMNIS tidak mempunyai AURA, NYAWA dan SEMANGAT, maka hilanglah DARJAT akhbar itu sendiri....
SEJAK hilangnya kolum2 Abdullah Ahmad dan kolumnis tetap Berita Minggu bermula 2004....Tumpuan saya di pagi ahad bukan lagi BERITA MINGGU dan SUNDAY TIMES tapi pencabar mereka pula....
Sdra Fendy_ahmad,
ReplyDeleteRasanya saudara tidak berbeza pandangan dengan sdra miorkamarul. miorkamarul mencadangkan NST kembali kepada bentuk asalnya bagi menjadikannya akhbar tunggal broadsheet, bermakna tidak ada saingan dengan akhbar tabloit atau kompak berbahasa Inggeris. Sebaliknya, saudara mengatakan ia cita rasa golongan muda hari ini. Tapi, kalau kita lihat Utusan dan Berita Harian, apakah ia tidak dibaca olah golongan muda. Di mana-mana pun, akhbar bersaiz besar masih wujud kerana ia adalah simbol media serius. Pasal teguran miorkamarul yang NST dah jadi akhbar komik, saudara sendiri sudah pun memberi jawapanny dengan mengatakan (1)The Star lebih padat...
2) The Star kurang merepek
3) The Star lebih "adil"
4) The Star lebih nampak moden
5) The Star lagi berjiwa rakyat...
Jadi, kalau ciri-ciri itu tidak ada pada NST maka ia bolehlah dianggap komik. Sebetulnya banyak ciri-ciri lain yang boleh disebut yang NST sudah menjadi akhbar komik.
Dato,
ReplyDeleteAl-Kisah wujud tujuh budak hitam- opps, mereka lebih suka dikenali sebagai Tujuh Budak Nakal di dalam utusan- terdiri daripada editor-editor kanan yang kini sedang berkempen hebat untuk menghalang satu lagi kumpulan yang dinamakan kumpulan NeSTUM (mencadangkan dan melancarkan usaha penggabungan antara NST-UM), ageda Tujuh Budak Nakal ini untuk menyelamatkan maruah Utusan Melayu- yang masih lagi unggul sebagai suara keramat orang Melayu- dari ditelan oleh penjarah-penjarah penjajah di NST, Tingkat 4 dan kumpulan NeSTUM di dalam Utusan Malaysia.
Saya berdoa usaha mereka berjaya. Kalau Tidak maka muncullah cerita: Hatta maka bermulalah ceria, ada akhbar Utusan Malaysia yang telah terkubur setelah berjuang mempertahankan Tanah Melayu, Malaysia sejak dari zaman penjajah.
Merujuk kepada Saudara/saudari Yanaamsidi,
ReplyDeleteSaya tidak nampak bezanya antara kualiti 'broadsheet' ataupun 'kompak'...
Isu utama yang harus didepani oleh NST ialah bagaimana untuk memantapkan pengisian dan persembahan akhbar tersebut. Tidak ada bukti menunjukkan bahawa bentuk 'broadsheet' itu lebih kualiti atau lebih 'auranya'
apabila saudara/saudari mengatakan bahawa golongan muda/remaja juga membaca Berita Harian dan Utusan yang bersaiz 'broadsheet,' Ya, kita akui memang golongan ini juga membacanya termasuklah saya....
Tetapi saya kira majoriti (majoriti tidaklah mmbawa maksud 100%) golongan ini telah beralih kepada akhbar kompak seperti Metro dan Kosmo...
Dan buktinya, akhbar Inggeris terlaris adalah THE STAR manakala akhbar Melayu terlaris adalah HARIAN METRO..kedua duanya bersaiz kompak....Itu realitinya
Datuk
ReplyDeleteTerlepas Dari Sangkar
Gopoh dan gapah!
Luka lama
berdarah kembali
Gopoh dan gapah!
Maka tinggalkan
cerita yang lama
biarkanlah nama
dan ceritakanlah
yang baru
Gopoh dan gapah!
Kisah pemburu tua
dibaham rimau
cerdik cedera
Gopoh dan gapah!
Kerana memburu
terburu-buru
Gopoh dan gapah!
Pemburu mati
tinggalkan senapang
patah
Gopoh dan gapah
berjalan seiring
saperti aku
Sebagai pembaca akhbar Malaysia saya kurang bersetuju dengan pergabungan diantara Utusan dengan NST.
ReplyDeleteKecuali kalau pergabungan ini memberi manfaat yang besar kpd rakyat keseluruhan dan demokrasi di negara saya.
Dan yang paling besar sudah tentu kepada Agama Rasmi Negara : ISLAM.
Inilah pandangan saya. Terima Kasih.
Ikhlas,
Hamba Allah.
Saya fikir sama ada Utusan akan bergabung dengan NST atau tidak,akhbar yang diterbitkannya akan tetap merupakan akhbar yang "prokerajaan", dan tidak mungkin menjadi akhbar "bebas".
ReplyDeleteJadi bagi UNNO dan kerajaan, saya tidak nampak apa yang perlu dirisaukan dengan cadangan penggabungan itu.
Sekiranya penggabungan itu akan membawa keuntungan, dan malah boleh menyelamatkan kedua-dua Utusan dan NST, lambat atau cepat, saya kira penggabungan akan berlaku juga.Ini barangkali "logik perniagaan" yang terpaksa diterima juga.
Mungkin ada orang yang bimbang penggabungan itu akan menghilangkan identiti Utusan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan perjuangan orang Melayu dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri, tetapi ini lebih merupakan emosi dan nostalgia sahaja, dan akan kalah juga dengan "logik perniagaan" yang lebih mementingkan keuntungan.
Datuk,
ReplyDeleteSaya tidak nampak dan tidak yakin bagaimana penyatuan NSTP dan Utusan akan membawa kehebatan dalam kewartawanan tanah air. NSTP dan Utusan sudah bersaing begitu lama dan masing2 mempunyai citi2, kekuatan dan kelemahan mereka tersendiri. Bagi penyatuan dua syarikat yang mempunyai 'ideologi sama tapi tak serupa' ini untuk benar2 berjaya, ia memerlukan masa yang panjang. Sebaik-baiknya, proses penyatuan ini hendaklah 'seamless' atau berlangsung dalam keadaan yang cukup licin dan harmonis.
Tapi saya nak tanya:
1 - Bagaimana penyatuan ini boleh licin dan harmonis sedangkan ia mendapat tentangan kuat, terutama di kalangan beberapa wartawan kanan dan pengarang di Utusan. Kebanyakan wartawan dan pengarang di NSTP terutamanya di Berita Harian sudah hilang semangat kewartawanan dan menjadi pak turut kepada sesuatu yang mereka sendiri tidak faham.
2 - Bagaimana dua buah syarikat yang tidak begitu kukuh boleh berganding bahu dan menjadi gagah perkara sejurus selepas penyatuan? Mungkin syarikat baru ekoran penyatuan ini mempunyai "market capitalisation" atau "modal pasaran" yang lebih besar tetapi ini tidak membawa apa2 kebaikan jika tidak ada "buy in" atau sokongan kuat dan tidak berbelah bagi dari pekerja?
3 - Apakah penyatuan ini akan memberi pembaca mutu pemberitaan yang lebih mantap,sedangkan NSTP rata2 dilihat sebagai jentera memutarbelitkan kenyataan atau isu(spinning and distortion agency) sedangkan Utusan sudah tidak lagi dilihat sebagai suara tulen orang Melayu. Apa jaminan yang pembaca akan mendapat pemberitaan yang bermutu tinggi dengan penyatuan dua akhbar ini?
4 - Penyatuan akan menyebabkan pembungan sebahagian pekerja. Ini boleh menyebabkan masalah sosial yang baru.
5 - Monopoli berita bukanlah satu perkara yang baik bagi sesebuah negara atau masyarakat. Blog seperti yang Datuk kendalikan ini akan menjadi lebih berguna dan popular. Kesimpulannya, penyatuan ini baik untuk bloggers!!
6 - Pengendalian akhbar, iaitu sesuah alat intelek, oleh akauntan akan membawa kesan yang negatif terhadap akhbar ini.
7 - Penyatuan ini sama seperti perkahwinan seorang duda dan janda, di mana masing2 mempunyai tanggungan; dan tanggungan ini tidak suka malah tidak merestui perkahwinan ini.
8 - Apabila akhbar sudah tidak lagi bersaing dan dikuasai oleh satu monopoli, minda rakyat juga akan menjadi lebih sempit.
Umno dan Kerajaan harus berhati2 dalam hal ini. Ia berpotensi menjadi isu yang besar kerana umum mengetahui bahawa semangat '61 sudah mula membara kembali di Jalan Chan Sow Lin! Dan bara ini boleh merebak dengan mudah..
YBhg Dato'
ReplyDelete"Umno dan Kerajaan harus berhati2 dalam hal ini. Ia berpotensi menjadi isu yang besar kerana umum mengetahui bahawa semangat '61 sudah mula membara kembali di Jalan Chan Sow Lin! Dan bara ini boleh merebak dengan mudah.."
Anarkis
Light the fire!
Light the Fire!!
Light the FIRE!!!
Let's make it
a real big BONFIRE!!!
CEO:
Your Fired!!!
PM:
Where's the fire?
Datuk A Kadir Jasin
ReplyDeleteDari utusan.com.my/parlimen
"Menjawab pertanyaan Senator Tajul Urus Mat Zain sama ada penggabungan tiga gergasi dalam sektor perladangan iaitu Sime Darby Bhd., Kumpulan Guthrie dan Golden Hope juga akan menemui kegagalan, Norraesah berkata, penggabungan tersebut tidak sama seperti Utusan dan NSTP.
“Mereka mempunyai hala tuju dan kekuatan yang sama tetapi Utusan dan NSTP jelas berbeza dari segi misi dan tradisi. Saya tak rasa penggabungan ini akan membawa hasil yang baik ,” katanya lagi."
Terima kasih atas early warning system yang masih berfunsi baik, saya ucapkan kepada YBhg Senator.
Saya rasa kita boleh chingay bersama orang Utusan. Naik bendera gong jatuh.
Semangat Ada...Stamina?
Tengok dalam Berita Harian hari ini ABP - Anugerah Bintang Popular Berita Harian dapat tajaan hampir RM3 juta. Tengoklah Dato' apa dah jadi ni. Tajaan ini pula adalah untuk meneka penyanyi mana yang akan menang. Hadiah itu memang lumayan tu Dato'. Kalau program hiburan, sambutan sangat menggalakkan. Tapi, kalau program pendidikan, habuk pun tak ada. Bila nak jual surat khabar cari sekolah, cari penaja untuk taja surat khabar di sekolah-sekolah. Kemudian, mereka racuni pemikiran anak-anak dengan cerita hiburan. Dah rosak media kita ni Dato'. Ini semua kita kena tengok peranan media. Berita Harian dah jadi akhbar hiburan. Macam mana orang nak hormat lagi Dato'. Tengoklah gambar artis yang disiarkan dalam akhbar itu...mak Dato', besar-besar Dato'. lebih besar dari gambar raja. Apa bendanya ni Dato'. Orang nakkkan berita hiburan ke atau akhbar itu yang nak menghebuhkan cerita dan gambar hiburan. Jadi, eloklah NSTP dan Utusan Melayu ini tak payah bergabung
ReplyDeleteAkhirnya Mahathir akan peluk Soros di Kuala Lumpur
ReplyDeleteUtusan semalam 13 Disember melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bertemu dengan ‘musuh lamanya’, jutawan George Soros yang dijadual melawat Malaysia minggu ini.
Masih kita ingat lagi bagimana Dr. Mahathir menghentam Soros satu ketika kerana kemelesetan ekonomi Malaysia pada 1997 / 1998. Mahathir menyatakan kepada rakyat betapa soros mensabotaj ekonomi negara dan segala permasalahan rakyat berkaitan kegawatan ekonomi berpunca dari Soros dan rakyat perlu bersatu di belakangnya untuk menyelamatkan negara.
Bekas Perdana Menteri itu pernah menyifatkan Soros sebagai ‘penyangak’ dan menyalahkan Soros sebagai punca kejatuhan ekonomi Malaysia malah Asia dengan menyahstabilkan tukaran wang asing. Walaupun ketika itu ramai penganalisis dan pakar ekonomi mengatakan bahawa pembaziran yang dilakukan oleh negara dan amalan korupsi menjadikan ekonomi Malaysia lemah dan mudah diserang. Lebih parah lagi pada ketika itu Bank Negara sendiri turut terlibat dalam perniagaan spekulasi mata wang dan kerugian dalam jumlah yang amat besar.
Namum Utusan yang memetik laporan agensi berita asing AFP semalam melaporkan bahawa salah seorang pembantu kanan Mahathir telah mengakui akan berlaku pertemuan antara Soros dan Mahathir.
“Mereka memang akan bertemu, namun maklumat terperinci mengenainya masih belum dapat dipastikan” kata pembantu kanan Mahathir lapor AFP.
Tentu ramai bakal pelik dengan kejadian ini, mana mungkin Mahathir yang satu ketika dahulu bukan setakat menghentam tetapi mengajak seluruh rakyat menghentam jutawan kelahiran Hungary itu tetapi kini bakal bertemu mesra di Kuala Lumpur ?
Sebenarnya ia bukan satu yang pelik. Bagi mereka yang merasa pelik cuba ingatkan bagaimana peristiwa ucapan Dr. Mahathir dalam satu Perhimpunan Agung Umno yang kuat menghentam Yahudi dan Barat sebagai bangsa yang zalim dan sentiasa dengki akan kemajuan negara Islam seperti Malaysia. Ucapan tersebut mendapat kecaman dari perbagai pihak. Malah rumah Putih (US) menyuarakan rasa amat tidak selesa dengan ucapan beliau.
Dr. Mahathir yang ketakutan dengan perkembangan itu telah menggunakan jutaanduit negara membayar sebuah pertubuhan pelobi untuk membolehkan beliau berjumpa bush hanya untuk beberapa minit.
Seperti biasa semasa berada di tampuk kuasa beliau pasti akan menggunakan sentimen patriotik dan perkauman apabila berhadapan masalah khususnya berkaitan ekonomi untuk mengalihkan isu sebenar iaitu korupsi dan salah guna kuasa yang berleluasa melemahkan ekonomi negara.
Dan ketika tidak berada di tampuk kuasa khususnya apabila tidak lagi dipedulikan oleh parti yang di pimpinnya dahulu, beliau bakal berpeluk mesra dengan seorang yang beliau ajak rakyat musuhi satu masa dulu.
Soros dijadualkan akan tiba di sini hari ini dalam siri lawatan serantau untuk mempromosikan buku terbarunya, The Age of Fallibility.
Beliau juga akan menyampaikan ucapan di Persatuan Alumni London School of Economics Malaysia, Jumaat ini.
P / s : dulu Dr. Mahathir tuduh Anwar Ibrahim agen asing tetapi rakyat akan saksikan siapa yang sambut ‘penyangak matawang’ (berdasarkan tuduhan PM Malaysia ke 4) di Kuala Lumpur nanti…..
Dato,
ReplyDeleteKalau Berita Harian boleh dapat tajaan RM3 juta untuk anugerah bintang popular akhbar itu, berapa banyak pula yang akhbar ini membelanjakan untuk kebajikan pekerjanya? Salah seorang bekas pengarang BH, Karim Sulaiman, terlantar menderita di rumahnya. Tapi tak siapa pun ambil tahu. Tak siapa pun peduli. Mana Hishamudin, Manja dan kaki bodek yang lain..?
Baca blog Pahit Manis untuk mengetahui kisah Karim Sulaiman - berat badan susut ke 35kg, tak bermaya dan terlantar. Fikir2kanlah...
Saya berpendapat, tiada apa-apa masalah dengan pengabungan ini, cuma apa yang penting identiti kedua-dua akhbar ini perlu dikekalkan.
ReplyDeleteSaya sebagai salah seorang yang pernah belajar menjadi seorang wartawan memahami setiap akhbar mempunyai cara penulisan, olahan dan identiti yang tersendiri.
Teori pengabunggan hanya untuk mencari keuntungan. Dalam era globalisasi kini, penggabunggan ada cara terbaik untuk menambahkan keuntungan selain menjana pelaburan pada masa akan datang.
Seperti yang saya nyatakan sebleum ini, jika identiti Utusan & NSTP dapat dikekalkan, kenapa tidak penggabungan ini diteruskan?
Sekian.
Datuk,
ReplyDeleteTol pulak dah naik lagi! Ulasan/Alasan dari Samy Vellu tentang kenaikan harga langsung tak boleh dipakai oleh MINDA penganggur macam saya ni!
Makin papa lah penganggur di Malaysia. Duit rakyat digunakan untuk membangunkan infrastruktur, rakyat juga harus membayar lagi bagi segala kemudahan yang diberi. Tak cukup dengan wang cukai yang dah diberi.
Apa ni? Kita hidup di Zaman FUEDAL ke?
Pening...Pening! Minta tolong jadikan isu tentang HARGA TOL ni Datuk...nak juga baca pandangan pembahas yang bijaksana tenang ni.
Terima Kasih.
http://penganggurpaksa.blogspot.com/
Ahm,
ReplyDeleteI take note of your response to che'gubard. I think we should confine to Tun Dr Mahathir meeting George Soros and not drag the PM.
I don't know if Soros had also wanted to meet the PM.
Thus it's not fair to make negative remarks about why Soros is not meeting the PM or what may happen if they meet.
The Star SMS service reports that Dr Mahathir accepts that Soros was not liable for the 1997 financial crisis and both agreed on Palestinian issue, saying wars are not the way to solve problem.
Thank You.
Dato,
ReplyDeleteSaya ada pandangan untuk Che'gubard.
Saudara nampaknya pesimis dengan pertemuan antara TDM dan Soros sebagaimana tulisan saudara yang sinis.
Jumpa tak semestinya 'peluk-peluk'...sebagaimana TDM jumpa Pak Lah walaupun 'berkonfrontasi' tak adalah 'tumbuk-tumbuk' kan.
Jumpa bukan bermakna menjilat ludah kembali. Kesediaan berjumpa setelah suatu 'pertikaman lidah' yang pernah menjadi tumpuan media dunia melambangkan suatu pemikiran terbuka dan berjiwa besar.
Soros dan TDM adalah contoh sebahagian individu yang berlapang dada dan berfikiran positif mendepani isu-isu di sekeliling mereka. Dan bukannya seperti sesetengah individu bila dipinjamkan pangkat dan kuasa oleh Yang Maha Berkuasa, dipulunnya sampai habis seperti kuasa itu diberi milik kepadanya hingga kiamat dunia.
YBhg Dato, sahabat2 seblogger,
ReplyDeleteSaya tidak mahu emosi, boleh tak sesiapa memberikan sebanyak2nya kebaikan dan keburukan penggabungan kedua2 entiti persuratkhabaran. Mudah2an akan lebih terserlah kebenaran.
Pada saya yang menjadi masalah ialah penyalahgunaan kuasa yang di beri..itu amat merunsingkan saya di zaman serba canggih yang mana kuasa dan wang adalah segala2nya.
Ringkasnya mereka dah tak ingat MATI..
assalamualaikum dato'
ReplyDeleteto dato'
Bolehkah dato' memberi sedikit pandangan ringkas dan padat berkaitan pertemuan TDM dan Soros.Bukan apa,bagi rakyat/pelajar/pekerja awam n swasta yang biasa2 macam kami ni,tak banyak pun sikit mesti mempunyai rasa musykil terutama pabila TDM macam berbaik pula dgn Soros ni.Mungkin dasar fikiran terbuka harus saya fahami,dan saya pun faham..mungkin Soros benar tidak bersalah,malahan berkongsi pendapat yang sama tentang isu Asia Barat dengan kita,jadi wajarlah dia diterima baik.Namun bagi sesetengah rakyat yang kurang membaca,kurang research diluar sana,saya fikir ia akan memberi impak kepada pemikiran dan hala tuju mereka.Tambahan pula,saya sendiri adalah penyokong kuat HUJAH2/SOALAN2 TDM kepada AAB..
sekian,terima kasih daun keladi
Datok,
ReplyDeleteTKasih diatas huraian yang jelas tentang motif dan beberapa implikasi jika berlaku M&A (penggabungan dan perolehan) antara NST dan Utusan Melayu.
Jika kita mahu memilih hujah utama untuk menolak M&A; hujah itu adalah persaingan dan kebebasan bersuara.
Dalam industri media massa dimana idea, berita adalah barangan yang diperniagakan oleh firma, maka persaingan adalah penggerak yang akan menyuburkan percambahan idea baru dan inovasi. M&A akan hanya memperkukuhkan kekuatan kuasa firma penerbit dan jalinan politik firma ini akan hanya mengherotkan orientasi firma (terutama barisan pengurusannya)
mengakuri telunjuk master politiknya. Di saat bibit ini berlaku, persaingan lenyap, apatah lagi kebebasan idea.
Idea unggul hanya muncul apabila ia diperdebatkan.Al-Jazeera – stesyen berita antarabangsa– memilih tema iklan ”mempromosikan debat” sebagai ungkapan untuk menarik pendengar kepada stesyennya. Dalam kata lain, Al-Jazeera mempromosikan debat untuk memperhalusi hujah, mengupas isu dan merumus rumusan.
Kehebatan sesuatu hujah bukan terletak kepada elemen sensasinya, tetapi kepada kupasan yang berlandaskan fakta dan hujah, dikupas habis-habisan, dalam dan luar, timur dan barat, melewati kritik dan debat. Semua ini akan hanya dapat dilahirkan di pentas forum yang bebas, terbuka dan bersaing.
Melihat data yang Dato sediakan, syer pembacaan akhbar Melayu adalah 36% (Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo dan Harian Metro). Namun, sejumlah 62% daripada pembacanya adalah pembaca akhbar yang lebih berorientasikan hiburan (Kosmo dan Harian Metro). Nyata, hanya Utusan Melayu merupakan akhbar tempatan Melayu yang berisi selain Berita Harian (akhabar terbitan NSTP). Nyata, masyarakat Melayu memerlukan pandangan dan perspektif alternatif. Utusan Melayu dan akbar tempatan yang lain boleh mengambil peranan ini untuk memberi dimensi yang lebih luas dan terbuka kepada masyarakat.
Salam mesra Datok.