Sunday, July 22, 2012

Puasa di Malaysia dan Tempat Lain Tak Sama

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

TERIMA kasih kepada semua yang mengucapkan salam Ramadan kepada saya melalui blog ini dan SMS. Moga-moga puasa kita tahun ini dipermudahkan dan diberkati Allah.

Ramadan tahun ini saya “pegang” puasa di suatu tempat di mana waktu berpuasa adalah antara jam 3.23 pagi hingga 9.13 malam – lebih 17 jam.

Tempat yang saya maksudkan ialah Zurich, Switzerland yang sedang melalui musim panas (summer) di mana siang hari panjang dan malam pendek.

Seperti pernah saya nyatakan, migrasi tahunan ini adalah untuk melawat anak, menantu dan tiga orang cucu. Buat masa ini, ada seorang lagi anak di Switzerland. Dia sedang membuat pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Institute for Management Development (IMD), Laussane. Seorang lagi belajar akaun dan kewangan di Australia. Jadi, masa berupa perkara yang relevan kepada saya, terutama ketika Ramadan dan raya.

Bagi kebanyakan kita, oleh sebab kita terlalu biasa dengan amalan puasa di negara kita yang terletak hampir dengan Khatulistiwa, kita hampir-hampir tidak peduli mengenai perubahan masa. Waktu puasa kita hampir sama sepanjang masa.

Bagi banyak orang Islam Malaysia, mereka mula menyedari perbezaan masa secara peribadi hanyalah apabila mengerjakan haji atau umrah dengan menaiki kapal terbang. Masa pergi dengan kapal laut, perbezaan masa tidak penting dan tidak ketara.

Di tempat-tempat bermusim, macam Eropah dan Australia, waktu berpuasa berubah mengikut musim - musim panas panjang, musim sejuk pendek. Di Australia, yang sedang mengalami musim sejuk (winter), waktu berpuasa pendek iaitu daripada jam 5.50 pagi hingga 5.25 petang.

Apabila kita berpuasa dan solat lima waktu, soal fajar sangat penting, tetapi oleh kerana negara kita tidak bermusim, maka kita tidak peduli sangat mengenai erti sebenar fajar. Maka banyak orang samakan fajar dengan naik matahari.

Fajar dan naik matahari tak sama. Fajar ditakrifkan sebagai tempoh sebelum matahari naik atau selepas matahari terbenam apabila pusat matahari tidak lebih daripada 12 darjah di bawah ufuk (horizon).

Di Zurich, di mana saya memulakan puasa, pada hari Sabtu, 21 Julai, waktu fajar ialah 3.23 pagi. Matahari naik pada jam 5.51 pagi dan waktu Maghrib 9.13 malam. Masuk zuhur jam 1.33 petang, asar 5.42 petang dan isyak 11.33 malam.

Kalau ini mengelirukan, bayangkan pula berpuasa ketika dalam perjalanan atau berada di utara Garisan Artik dan di selatan Garisan Antartik di mana matahari berada di langit selama 24 jam pada masa tertentu? Adakah kita berpuasa 24 jam juga?

Kalau kita ketahui dan sedari hal yang saya sebutkan ini, kita akan mengakui betapa mudah dan selesanya menjadi orang Islam di Malaysia. Boleh kata segala-galanya mudah, tersedia dan disediakan – masjid dan surau di merata tempat, waktu sembahyang dihebahkan melalui azan dan kedudukan Islam dijamin.

Tetapi, janganlah kerana segala-galanya mudah di negara kita, kita memandang remeh kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam yang saling kait-mengait.

Jangan ingat apa yang orang Melayu dan orang Islam nikmati di Malaysia hari ini akan kekal selama-lamanya dan tidak boleh diganggu-gugat.

Lihatlah bagaimana orang Islam Palestin hilang negara dan hilang kuasa ke Baitul Muqaddis kepada Zionis akibat kelemahan mereka sendiri dan tipu-helah Barat. Wallahualam.

21 comments:

  1. Salam Dato,



    Bab fajar tu memang bagus di`ingatkan' untuk terus jadi panduan.



    Kat malaysia dah jadi macam `adat' buka puasa bila AZAN magrib, tetapi masuk waktu berbuka adalah sebelum azan itu..kalau yang lagi `lebai' dia tunggu sampai habis azan baru buka puasa...kan tu dah lambat dah?..lagi lambat kalau azan tu `panjang' `lagu' nya.



    Semalam saya kena `jeggei' kat surau,sebab saya tanya beberapa `lebai' tentang alquran diturunkan `secara total' pada bulan ramadhan....



    Depa kata diturunkan sikit sikit ,saya kata diberitahu dalam alquran,bahawa alquran `diturunkan total'dalam bulan ramadhan...dah jadi kecoh bincang kisah tu.....


    SEBABNYA ialah SEMUA TAK FAHAM BAHASA ARAB laa!



    RUPA RUPA NYA dah lama dah hai ni, belum la ada `maklumat umum' tentang hai ni kat negara ini, bila la lagi majlis mufti dan yang setarafnya nak terangkan untuk umat umat kat malaysia ni...yang umumnya buta huruf arab,tak tau tulis dan tak tau baca arab.

    Dan `pekak' bahasa arab...dengaq seribu kali pun tak faham faham punya telinga telinga!.


    Yang tau dan faham tu baguih la...


    NAK kena terangkan sebab alquran is `the ultimate knowledge'...bila allah `mengkalamkanya kita tak tau,
    tetapi allah telah menurunkan alquran `secara total' di`langit' sekali atau dua kali pun kita tak tau, dan kemudian diturunkan pulak kat malaikat,dan diwahyukan kepada rasullulah sikit sikit sampai hampir wafatnya....


    Bab kiamulai pun satu hai jugak. Saya kata yang saya faham rasulullah bersembahyang tahajuj dan diikuti dengan bacaan quran dengan malaikat setiap malam sampai habis...saya diberitahu hai ni salah pulak, qiamualai tu mengenai amalan sembahyang saja,(kat malaysia ni)...


    Elok juga yang tinggi ilmu islam dan fahamnya terangkan kepada kami ni,supaya jadi lagi `baik' ilmunya ...



    Betui tajuk dato tu, puasa dimalaysia dan tempat lain tak sama....TAPI JANGAN SAMPAI TAK SAMA MACAM YANG dibuat rasullulah udah la, tak gitu dato?....


    Abu Bakar Ab Rahman

    ReplyDelete
  2. Hanezam12:40 PM

    Datuk dan Pembaca-pembaca Datuk,

    Selamat berpuasa Ramadhan, moga-moga Allah terima.

    Datuk,
    Selamat berpuasa di perantauan bersama ahli-ahli keluarga Datuk. Dan tahniah untuk anugerah Tokoh Wartawan Negara.

    ReplyDelete
  3. abdullahngah5:15 PM

    Memang orang Islam Palestin hilang negara dan hilang kuasa ke Baitul Muqaddis kepada Zionis akibat kelemahan mereka sendiri dan tipu-helah Barat.

    pertama, mereka tinggal ajaran Islam yang syumul dan ambil islam lebral fahaman oreantalis barat.

    Tidak mustahil orang Islam Malaysia akan jadi sama macam orang Islam Plestin suatu masa nanti.

    Kekuatan orang Islam duduk pada solat. Bayangkan orang Islam yang mengaku Islam 83 peratus tak solat lima waktu sehari semalam.

    Apa akan jadi suatu masa nanti jika orang Islam tak kuat.Pasti akan hilang serba serbi.

    kepada ab saib,

    waktu berbuka puasa masuk waktu "maghrib" dan waktu berpuasa (tak boleh makan) masuk waktu "subuh".

    Saya kurang setuju mengatakan adat berbuka puasa orang malaysia bila azan dikumandangkan.

    Sangat keliru mengatakan waktu berbuka puasa malaysia sebelum azan mangrib, kerana zan mesti dikumandangkan cukup waktu atau masuk waktu pada jam yang ada dlam masjid.

    Mungkin jam didinding masjid tak sama dengan jam di tangan atau dirumah masing masing.

    Oleh itu ada yang berbuka sebelum azan dikumandangkan bilal, kerana mereka ikut jam didinding rumah atau ditangan mereka.

    ReplyDelete
  4. Lahuma7:29 AM

    Dato.

    Perbandingan ialah suatu ilmu yang mempunyai teorinya yg tersendiri.

    Manusia yg taksub dia tidak akan ada nilai-nilai perbandingan.

    Orang yg berjaya ialah orang yang sentiasa mengamalkan ilmu perbandingan secara positif.

    Insya Allah.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Salam DAKJ

    Selamat bercuti bersama anak menantu dan cucu-cucu di Zurich. Cuma, saya nak update Dato’ tentang keputusan debat antara Ketua Pemuda PAS Dgn CEO Ulama UMNO (Ustaz Fathul Bahri). KP PAS kata Ustaz Fathul dah outdated sebab tak update dimana Karpal Singh sekarang dah paham tentang Hudud.

    Alhamdulillah. Allah maha adil dan maha mengetahui. Keputusan secara ‘cash’ ditujukkan pada keesokan harinya. Nak dijadikan cerita, besoknya, Karpal Singh kata jangan nak memandai-mandai kepada KP PAS. Bila diminta komen Ustaz Fathul Bari disebabkan perbezaan fakta antara Nasrudin (Ketua pemuda PAS) dgn Karpal Singh, beliau berkata, salah seorang daripada mereka berbohong. Agak-agaknya siapa yg berbohong dan pendusta ye??????

    Sebab itulah saya katakan, berdebat ni menghabiskan masa saje. Nak-nak, bila fakta palsu yg diketengahkan dgn tujuan nak menyedapkan cerita dan memberi persepsi yg palsu. Tak tahu ke MENIPU tu berdosa?????

    Saya akhiri dgn serangkap pantun. Ikan kembong, ikan duri, mula-mula bercakap bohong, lama-lama mencuri. Sekian, TQ. Kalau ada cerita baru, saya akan ‘update’kan.

    ReplyDelete
  6. Salam Dato’ Kadir

    Maaf Dato’ sebab menganggu pukul 2.00 pagi di Zurich. Biasanya musim panas dekat sana, malam 16oC dan siang pula 27oC. Nama je musim panas tapi lagi sejuk dari Malaysia. Saya nak update sikit lagi tentang isu debat.

    Semalam, Karpal Singh sekali lagi menegaskan Nasruddin Tantawi hanya pemimpin kecil dalam PAS dan Pakatan hanya menerima buku jingga jika Berjaya memerintah. Hudud katanya tiada dalam buku jingga. Nasruddin Tantawi pula masih lagi cuba menegakkan benang basah dgn mengatakan sebaliknya iaitu Karpal dah paham tentang hudud. Keduanya, beliau juga berkata, fakta tersebut dikeluarkan dalam gelanggang debat dan hanya boleh dipatahkan semasa debat, bukannya buat bising di luar gelanggang.

    Nampaknya Dato’, debat adalah satu platform utk MENIPU pendengar dgn memberi persepsi PALSU. Dan fakta kesahihannya tak boleh dipersoalkan selepas debat. Saya berasa amat sedih bila ada pemimpin kononnya lebih Islam yg berkata begitu. Saya ingat beliau nak minta maaf tapi rupanya cuba menghalalkan apa yg haram. Dah tak tahu dosa pahala. Segan seganlah sikit pada Allah terutama pada bulan Ramadhan ni.

    OKlah, sampai sini saja saya update Dato’ supaya Dato’ uptodate perkembangan semasa. Sekian TQ.

    ReplyDelete
  7. Mohd Taib Kamin9:30 AM

    Assalamualaikum Dato'

    Terima kasih kerana berkongsi pengalaman berpuasa dinegara orang. Sudah pasti terlalu banyak perbezaanya kan? Disana tidak ada Bazr Ramadhan seperti yang terdapat di Malaysia.

    Saya pasti disana juga tidak ada 'tazkirah' Ramadhan yang kononnya sebagai majlis ilmu tetapi hakikatnya merupakan 'majlis merapu'.

    Entah sampai bila perbuatan sesat ini akan berterusan. Wallahualam.

    ReplyDelete
  8. tajam ingatan tok kadiaq ... selamat berposa dan tahniah atas anugerah tempoh hari.

    ReplyDelete
  9. abdullahngah5:29 PM

    Pelik juga, macam mana dia boleh kata karpal Singh faham Islam.Sedang faham itu petunjuk dan hidayah daripada Allah.

    Bukankah itu bercanggah dengan Islam yang mana Allah pernah nyatakan, tidak beri hidayah kepada orang kafir.

    Seperkara lagi, menipu dan berbohong masuk neraka.

    Mana munkin orang pas beramal dengan ahli neraka.lainlah orang umno memang sejak dulu beramal dengan ahli neraka.

    macam ni.Betulke begitu?

    ReplyDelete
  10. YBhg The Scribe
    Salam Hormat

    Lihatlah bagaimana orang Islam Palestin hilang negara dan hilang kuasa ke Baitul Muqaddis kepada Zionis akibat kelemahan mereka sendiri dan tipu-helah Barat. Wallahualam.

    Alangkah ada nanti cerita benar dari mereka yang mengalami, melalui berpuasa di mukim dekat Garisan Artik dan Antartika, Dato'

    Namun, Tokoh Wartawan, cerita 'akibat kelemahan mereka' bukanlah kerana berpuasa 24 jam kalau tidak silap saya katakan malah 'left breathless':

    "The muslims were literally left breathless as one change followed another. No sooner do muslim counties adjust and adopt the new ideas and ideologies when another idea is conceived, promoted and forced upon the world by the Europeans", he said..."The challenge is to recognise them and to decide when to seize the opportunities crated by then and when to reject them", he said.
    Learn From The East, Mahathir Tells Islamic Nations

    Kembali kepada bulan puasa, bulan Ramadhan Jamil biarlah bertarawih di Tanah Swiss pun meriah. Sollu 'alan-nabi wassallimu-taslima bergemar di Tanah Swiss.

    Selamat Mengerjakan Ibadah Fardu Ramadhan Jamil.

    ReplyDelete
  11. DENGAN IZIN
    (jihad ekonomi jihad saya)

    The Challenge
    (mega islam bank halal-toyiban)

    CHEDET,
    Salam Ramadhan Jamil

    Timeline: Barclays’ widening Libor-fixing scandal
    Libor, the London inter-bank lending rate, is considered to be one of the most crucial interest rates in finance.
    It underpins trillions of pounds worth of loans and financial contracts.
    So, when Barclays was fined £290m last week after some of its derivatives traders were found to have attempted to rig this key rate, public confidence in banks was shattered.

    http://en.wikipedia.org/wiki/Libor_scandal
    The Libor scandal is a series of fraudulent actions connected to the Libor (London Interbank Offered Rate) and the resulting investigation and reaction. The Libor is an average interest rate calculated through submissions of interest rates by major banks in London. Libor underpins approximately $350 trillion in derivatives. It is controlled by the British Bankers’ Association (BBA).[3]
    The banks are supposed to submit the actual interest rates they are paying, or would expect to pay, for borrowing from other banks. The Libor is supposed to be an overall assessment of the health of the financial system because if the banks being polled feel confident about the state of things, they report a low number and if the member banks feel a low degree of confidence in the financial system, they report a higher interest rate number.
    Because Libor is used in U.S. derivatives markets, an attempt to manipulate Libor is an attempt to manipulate U.S. derivatives markets, and thus a violation of American law. Since mortgages, student loans, financial derivatives, and other financial products often rely on Libor as a reference rate, the manipulation of submissions used to calculate those rates can have significant negative effects on consumers and financial markets worldwide.

    (A joke: Where would you put the MEGA ISLAM BANK idea? The backburner with Kallim Jamal; beautiful words going nowhere…)

    Salaams

    ReplyDelete
  12. Sdr OKJ, pembahas dan pembaca yang berminat mengetahui pendirian saya mengenai bahas negara Islam Umno-Pas bolehlah baca ruangan pojok saya dalam Berita Harian Jumaat ini.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  13. Mustapha Ong2:34 AM

    Salam bro DAKJ,

    Tahniah dan semoga saudara kita ini dapat menghabiskan cuti Ramadhan beliau bersama-sama keluarga di luar negeri.

    Memang benar puasa di setengah negara adalah lebih mencabar tetapi kita tetap berpuasa mengikut keadaan yang berbedza. Saya pernah berpuasa lebih daripada 18 jam semasa bulan Ramadhan di Warsaw Poland. Pada masa musim panas (Summer) kita berpuasa panjang sehingga jam 10 malam barulah berbuka dan jam sebelum 4.30 pagi kita pun bersahur dan mula berpuasa lagi bagi hari yang berikutan itu.

    Tetapi oleh kerana kebsaran Allah kita tidak merasa apa-apa kesulitan atau masalah.Demikianlah ummah Islam yang sentiasa dilindungi Allah swt.

    ReplyDelete
  14. salam dakj

    jauh berjalan luas pandangan

    ReplyDelete
  15. Selamat berpuasa Ramadhan dan Salam Hormat DAKJ,

    Tersentuh saya di bahagian akhir nukilan Dato'. Bab masa.
    Di Malaysia memang cantik pembahagian masanya. Sama sahaja.

    Tapi Dato', sebahagian daripada penghuninya yang ramai tidak mengerti cara menggunakan masa. Paling tidak senang saya lihat ialah membazirkan masa.

    Yang pandai bermain dengan masa merekalah yang berjaya.
    Yang peliknya PATI pun pandai menggunakan masa.

    Saya pun ada masa untuk menziarahi adik beradik dan saudara-mara di kampung.

    Begitu juga Dato' ada masa menziarahi anak-anak jauh di mata.

    ReplyDelete
  16. Terima kasih atas doa dan kata mesra saudara dan saudari sekalian.

    Alhamdulillah, saya selamat kembali ke tanah air. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

    Hidup tanpa politik di bumi orang, di mana kita hanya tetamu, amat melegakan.

    Tetapi seperti hujan batu yang sekali sekala menghempat kepala kita, begitu jugalah politik. kita tidak boleh lari daripadanya.

    Oleh kerana itulah kita mahu dan impikan agar politik kita menjadi politik hujan emas yang berharga dan bukan politik hujan batu yang menjahanamkan.

    Wallahualam.

    ReplyDelete
  17. Banyak tanah simpanan melayu yang tergadai oleh pemerintah. Banyak belum diganti lagi,saya tak tahu apa yang bakal terjadi nanti, apakah orang melayu kan jadi seperti Red Indian?

    Dan kuil kuil hindu tumbuh bagai cendawan di tanah tanah kerajaan tanpa dihalang halang lagi. Kalo mau dikirakan , kuil lagi banyak dari masjid di malaysia ini. Dimana kah kedudukan islam sebagai agama rasmi persekutuan?

    ReplyDelete
  18. Semakin banyak tanah tanah simpanan melayu yang teldh digadai kepada orang bukan melayu semasa pemerintah umno sekarang ni. Tanah orang melayu semakin sedikit dan orang melayu ramai yang merempat. Kuil kuil hindu tumbuh seperti cendawan di musim hujan, Di manakah kedudukan islam sebagi agama rasmi persekutuan? Tidak ada langsung halangan untuk membina kuil kuil ini. Kalau negara lain jangan harap perkara ini berlaku. Jadi pemerintah Melayu mesti bertindak dengan segera sebelum nasi menjadi bubur.

    ReplyDelete
  19. Salam Dato’ Kadir

    Selepas Dato’ bercuti, nampaknya tiba giliran saya pula utk bercuti. Bersempena bulan Ramadhan bulan yg diberkati ini, saya ingin meminta ampun dan maaf jika terkasar bahasa ketika berbahas terhadap Dato’ dan semua pembahas blog. Janganlah disimpan di dalam hati dan ingatlah Islam sentiasa bersaudara. Dan harapan saya ialah setiap pembahas dapat menjadikan cogan kata “berkata benar apabila berbicara” sebagai fundamental berbahas. Dan diharap demonstrasi bersih yg betul-betul tidak bertanggungjawab (di Mekah dan Madinah tempohari), tidak menjejaskan sedikit pun peluang puluhan ribu bakal jemaah haji kita pada tahun ini. Sekian TQ.

    ReplyDelete
  20. mohd paizal11:39 PM

    dah terang siapa yang bawak islam takkan berjaya didunia, sebab dari zaman nabi2 lagi agama allah ni ditentang....jadi sebab tu masa pas nak bawak islam dia tak berjaya tapi bila nak bawak negara kebajikkan dia berjaya jadi undilah pas sekurang2nye dia dah tak boleh bawak islam....tapi bila buat macam tu dia punya ranking meningkat ini menunjukkan majoriti rakyat malaysia tak mahu dengan islam jadi tak payah lah pembahas nak berdebat pasal islam sangat sebab 2 kali 5 je.....

    mohd paizal

    ReplyDelete
  21. masalah nya sekarang umat islam sendiri tak nak islam. Kalo majoriti umat islam di Malaysia ni semua menyokong PAS, maka PAS boleh ubah perlembagaan tu. Tapi kalo menjadi minoriti macamana.

    ReplyDelete