Friday, December 05, 2014

Isu Kepemimpinan: Cakap Benar Mengenai Ekonomi


A Kadir Jasin

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Dalam blog kita ini, pembahas WAJIB ada nama. Nama samaran dan nama pena pun tak apa. Angka pun boleh. Guna nama sendiri macam saya lagilah bagus.]

DALAM siri isu kepemimpinan kali ini, marilah kita berbincang sedikit mengenai ekonomi semasa. Tajuk ini mungkin berat tetapi sangat afdal kepada kelangsungan (survival) negara kita.

Saya tidak menyalahkan pemerintah dan media massa kawalannya kerana menghebahkan berita baik dan menguar-uarkan prestasi ekonomi yang dikatakan baik sehingga mendapat pujian pemimpin dunia.

Saya akui bahawa angka kasar menunjukkan ekonomi kita sihat. Pertumbuhannya jika diukur daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) adalah memuaskan. 

Tetapi angka kasar boleh memesongkan. Misalnya, banyak rumah, kedai dan ruang pejabat didirikan. Pembinaan rumah, kedai dan pejabat yang banyak itu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK.

Tauke simen, pasir dan keluli buat duit. Perunding dalam dan luar negara buat duit. Pekerja binaan Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar buat duit. Penjaja nasi lemak Melayu di bahu jalan pun buat duit.

Tetapi kita juga tahu dan lihat banyak rumah, kedai dan pejabat tidak dijual atau disewakan, tidak didiami dan digunakan. Ada yang ditenggelami lalang, ditumbuhi pokok jejawi atau roboh terus. Iklan untuk dijual dan disewa menyakitkan mata.

Inilah yang ahli ekonomi sebut sebagai pertumbuhan yang tidak berkualiti atau penyalahuntukan sumber (misallocation of resources). Bila rumah, kedai dan ruang pejabat tidak digunakan maka tidak berlakulah penokokan nilai (value added) dan kesan serapan (trickle down effect).

Kalau rumah dijual dan didiami, kedai disewa dan perniagaan dijalankan, pejabat dibuka dan kakitangan diambil barulah berlaku penokokan nilai dan kesan serapan.

Tidak salah Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hazadlah, menyatakan keyakinan yang matlamat mengurangkan defisit belanjawan 2014 kepada 3.5% KDNK masih boleh dicapai walaupun harga minyak jatuh teruk. Begitu jugalah kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Zafrul Aziz bahawa asas ekonomi (economic fundamentals) negara terus kukuh dan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid melihat prospeks ekonomi sebagai bercampur (mixed).

Malangnya, bukan harga minyak mentah saja jatuh. Harga minyak kelapa sawit dan getah sudah lama merudum. Permintaan ke atas komponen elektronik masih kukuh. Tetapi dengan ekonomi dunia diramalkan beku tahun hadapan, permintaan mungkin tidak kekal.

Petronas telah pun mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan memberi amaran mungkin tidak boleh membayar dividen yang tinggi kepada kerajaan. Tetapi kalau dipaksa, Petronas akan tambah dividen dan  kurangkan lagi capex.

Kredibiliti Maklumat Rasmi

Soalnya, bolehkah kita percaya kepada dakwaan bahawa fundamental ekonomi kita kukuh apabila bukan saja harga komoditi utama kita jatuh malah kadar tukaran mata wang kita pun jatuh juga?

Sangat mengelirukan apabila Gabenor Bank Negara, Zeti Aktar Aziz, berkata bagus apabila nilai ringgit naik dan bagus juga apabila ia jatuh.

Harga saham dan jumlah dagangan di Bursa Malaysia semakin menurun. Prestasi syarikat-syarikat yang disenaraikan dengannya lebih banyak yang negatif daripada positif. Boleh kata majoriti melaporkan penurunan keuntungan.

Pada 1 Disember, kadar tukaran ringgit jatuh paling banyak dalam sehari sejak Krisis Kewangan Asia 1997-98 kepada RM3.4320 bagi satu dolar Amerika.

Pada 3 Disember, akhbar The Star (milik MCA dan mewakili sentimen masyarakat perniagaan Cina) menyiarkan analisis pendapatan suku ketiga tahun ini (Julai-September) bagi syarikat-syarikat Bursa Malaysia.

Ia mendapati hanya dua daripada lima sektor utama ekonomi meningkat. Automotif naik 18.2% dan perbankan 1.6%, tetapi perkhidmatan jatuh 58.5%, komoditi jatuh 37.7% dan minyak&Gas jatuh 29.3%. Perkhidmatan menyumbang lebih daripada 50% kepada kegiatan ekonomi negara.

Pada 4 Disember, akhbar yang sama menyiarkan analisis prestasi mata wang ringgit. Ia mendapati ringgit jatuh berbanding kebanyakan mata wang rakan perdagangan utama kita.

Ringgit jatuh 5.61% berbanding dolar Amerika, 5.58% berbanding dolar Hong Kong, 3.93% berbanding Baht, 2.93% berbanding Rupee, 2.44% berbanding dolar Taiwan dan 0.95% berbanding dolar Singapura. Duit kita naik berbanding Yen (9.40%), Euro (5.91%), dolar Australia (4.32%), pound Inggeris (2.31%) dan Rupiah (0.73%).

The Star juga meramalkan yang kelembapan eksport mungkin mengakibatkan Malaysia mengalami defisit kembar (twin deficit), iaitu defisit akaun semasa dan defisit perdagangan. Ia memetik ketua ahli ekonomi AllianceDBS (bank), Manokaran Mottain.

Lebih Baik Terus Terang

Banyak lagi fakta dan ramalan ekonomi yang menjurus ke arah keadaan yang sukar dan mencabar bagi ekonomi negara tahun ini dan tahun hadapan. Ekonomi Eropah diramalkan menguncup tahun hadapan. Ekonomi Australia sudah mula menurun. Hatta ekonomi China yang perkasa itu pun sudah mula dingin.

Jadi, bukankah lebih elok bagi kerajaan mengakui realiti semasa dan berterus terang kepada rakyat jelata. Lebih baik membuatkan mereka kurang gembira dengan menyatakan kebenaran daripada membuatkan mereka marah apabila malapetaka ekonomi melanda mereka.

Sama ada ekonomi kita akan mengalami krisis atau tidak tahun hadapan, satu hal. Itulah yang sedang diramalkan oleh pembangkang pusat.

Yang utama sekarang adalah berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat jelata. Bukan berdolak-dalik dengan mereka apatah lagi memesongkan mereka dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan.

Rakyat tidak “bangang”. Mereka tahu “practical economy.” Mereka sudah rasa kenaikan harga akibat pemansuhan subsidi. Mereka tahu harga petrol turun, tapi harga diesel naik. Mereka rasa pelik. GST belum dilaksanakan, tetapi sudah ada barang yang naik harga kononnya kerana cukai baru itu.

Mereka tahu harga getah dan kelapa sawit merudum kerana mereka yang mengeluarkannya. Mereka tahu ringgit Malaysia tidak bernilai seperti dulu lagi kerana hari-hari mereka beli-belah sendiri. Jangan tunggu mereka marah. Terus teranglah dengan mereka. Jangan sekali-kali anggap mereka bangang, bodoh, dungu, tongong dan bahlul.

Wallahuaklam.

26 comments:

  1. Joe Black7:53 AM

    Dato'

    Terima kasih Dato' kerana memberi maklumat maklumat yang penting bagi rakyat yang mungkin telah "dilupai" olih kerajaan.

    Adakah mereka tahu bahawa apa sahaja yang telah "dilupai" olih pemerintah sudah tentu akan dirasai dan tidak akan dilupai olih rakyat.

    Bolih dikatakan "The Truth is Out There" dan bukan dilidah lidah penyokong kerajaan. Jadi bercakaplah benar kerana apabila berlakunya kepincangan economi disebabkan olih kelupaan maka rakyat akan menuduh kerajaan tidak memberi maklumat yang sepenuhnya kepada mereka.

    Kita diambang Tahun Baru 2015...Marilah kita lihat jika apa yang disarankan olih mereka untuk tahun 2015 akan menjadi benar atau tidak.

    ReplyDelete
  2. Analisa yang mantap.. Bravo2..he3

    ReplyDelete
  3. Can feel the emotional here!

    ReplyDelete
  4. att: wahid perkapita
    cc: i. mamak money changer
    ii. adik maslan kamsen
    iii. husni limau tambun
    iv hassan al pi-lah

    ReplyDelete
  5. rahimlpp@yahoo.com12:52 PM

    Y.Bhg Dato'@ Sebagai seorang pemimpin, Perdana Menteri tidak boleh bersifat pesimistik dalam menghadapi cabaran-cabaran akibat dari kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi walaupun banyak indicators menunjukan kemungkinan berlaku kemelesetan akibat daripada penurunan harga minyak.

    2. Keyakinan umum atau public confidence harus diperkukuhkan bagi mengelakan berlakunya capital flight saperti orang ramai mengeluarkan simpanan ringgit dari sistem perbankan dalam negara untuk dibawa keluar saperti mana yang berlaku semasa krisis kewangan tahun 1998.

    3. Gevenor Bank Negara adalah insititusi terpenting bagi membantu Kerajaan bagi membina keyakinan ini.

    4. Ekonomi Negra boleh runtuh dalam masa yang singkat apabila orang ramai hilang keyakinan kepada Kerajaan. Contohnya apabila Petronas membuat pengumuman untuk memotong belanja modal, harga saham syarikat-syarikat yang berkaitan industri gas dan minyak mengalami kemerosotan yang mendadak.

    5. Saya yakin kalau Keraajaan terus komited untuk mengurangkan defisit ketahap 3.5% saperti diumumkan, keyakinan pasaran kepada ekonomi Negara dapat mengelakan capital flight dan boleh menstabilkan nilai ringgit.

    6. Bloger saperti Dato' harus berperanan untuk mengekalkan keyakinan pasaran kepada kebolehan Kerajaan mempertahankan ekonomi daripada menjurus kearah kemelesetan. Tetapi kalau dato' terus mencari kelemahan dan perkara yang negatif maka sudah pasti memberikan kesan yang sangat negatif kerana tulisan Dato' sangat berpengaruh kepada pasaran.

    7. Perkara yang paling membimbangkan saya sekarang adalah kesan dari keputusan PAU yang mengekalkan Akta hasutan. Duta Amerika di KL telah membuat kenyaatan yang tidak bagitu baik untuk di dengar dan menampakan campur tangan asing dalam isu politik Negara. Isu ini sekiranya tidak ditandatangani dengan baik akan boleh membawa padah kepada eknomi negara kerana kuasa besar ada keupayaan untuk menggunakan kuasa ekonomi bagi menentukan kehendak mereka diikuti.

    iklas,

    rahim

    ReplyDelete
  6. adion1:04 PM

    Dato

    mereka ini juga lah yg menghantar ramai org Melayu masuk universiti untuk menjadi tidak bangang.

    Jadi jangan lah pula kerap memberi alasan yang bengong.

    ReplyDelete
  7. Debaters and visitors,

    1. KUALA LUMPUR: Bank Negara has told lenders to guard against speculation in the ringgit after the currency fell to the weakest level in almost five years.

    All short-dated transactions requiring the exchange of ringgit for a foreign currency must be backed by underlying documentation, the central bank said in a “stern reminder” yesterday. Bank Negara confirmed the note.

    The timing of the central bank’s notice could mean it was “uncomfortable with the pace of the ringgit’s weakness”, Bloomberg quoted Nizam Idris, Singapore-based head of foreign exchange and fixed-income strategy at Macquarie Group Ltd, as saying.

    The ringgit dropped 1.9% this month, the most among 11 Asian exchange rates tracked by Bloomberg. The currency weakened 2.5% over Nov 28 and Dec 1, the biggest two-day decline in more than 16 years, and reached 3.4497 per dollar yesterday, the lowest since February 2010.

    At 5pm, it traded at 3.4460 – more than a five-year low – versus the previous close of 3.4435, Bloomberg reported.

    2. Asia Forex: Ringgit slips, won, Taiwan dlr, Philippine peso rise (Midday today).

    3. KUALA LUMPUR: Malaysia’s exports fell 3.1% to RM65.1bil in October from a year ago, which was below expectations of a 0.3% decline, the Statistics Department said.

    4. There is a possibility of an increase in the cost of medical careby between 1% and 2% when the Goods and Services Tax (GST) is implemented in April next year, said Health Minister Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

    5. The 65,000 ringgit question is, WILL THE PM, HIS MERRY MEN AND WOMEN GO ABROAD AGAIN FOR THE NEW YEAR (2015) AS THEY DID IN THE PREVIOUS NEW YEARS?

    Thank you.

    ReplyDelete
  8. Salam tok

    Angka angka yang hanya hanyalan peremajaan ekonomi

    Yang Pasti kita terhimpit

    ReplyDelete
  9. tajir3:45 PM

    Dah parah tok, ada agensi gomen dah tak bayar pembekal sejak april.!!

    Last year ap pun tertunggak.

    Ekonomi stabil?? Huhu

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum,

    YBhg Dato dan Pembahas yang saya hormati. Pesan- memesan dengan kebenaran dan kesabaran adalah tuntutan ugama kita.

    Dato sudahpun membentang masalah yang dihadapi Negara dan adalah tanggungjawab kita bersama berfikir bagaimana hendak keluar dari masalah ini kerana Malaysia adalah Negara kita dimana jika ia maju maka majulah kita dan sebaliknya.

    Prinsip ekonomi serupa sahaja dari dahulu hingga masa kini. Hanya pemahamannya memberi perbezaan kepada hasilnya. Dalam hal ini terdapat perbezaan pendekatan pengendalian ekonomi Negara antara Allahyarham Tun Abdul Razak dengan YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

    Tun Abdul Razak mengelilingi diri beliau dengan anak bangsa untuk membantunya membangun ekononomi Negara. Beliau telah mengguna sumber dalaman membangun Negara. Rancangan FELDA umpamanya telah berjaya menahan ekonomi Negara jatuh dengan teruk semasa kemelesatan ekonomi dunia dalam tahun sembilan puluhan.Pendekatan Tun Abdul Razak adalah memaklumkan kepada rakyat apa yang berlaku dan meminta rakyat bersama-sama menyelesaikannya.

    Berbeza dengan amalan kepimpinan sekarang mereka merasa mereka adalah yang paling best dan jika memerlukan bantuan mereka memerlukan yang terbaik yang mereka sangka hanya terdapat dari orang luar. Begitu juga mereka berpegang kepada konsep out sourcing kerana mungkin beranggapan ianya lebih baik dari sumber dalaman.

    Apa yang telah berlaku saya kira adalah mereka telah meminta cara yang cepat bagi menunjukkan ekonomi Negara adalah diatas landasan betul dan berkembang dengan baik mengatasi kebanyakan Negara. Nasihat yang mereka dapat dari pensihat mereka adaah dengan berbelanja besar membangun projek mega. Apa yang mereka tidak tahu yang penting adalah projek-projek yang dibangunkan itu hendaklah menjana pendapatan apabila ia siap supaya pertumbuhan ekonomi akan berterusan selepas itu. Sebagai contoh selepas menanam sawit ianya mengeluarkan hasil berterusan selepas tiga tahun.

    Cadangan saya kita hendaklah menentukan dengan jatuhnya nilai ringgit dipasaran ianya tidak semistinya membenarkan kenaikkan harga barangan dalam negeri sewenang-wenangnya kerana naik turunnya nilai wang kebanyakkan berasas kepada spekulasi.

    Kita hendaklah berfikir bagaimana hendak menggunakan bangunan berlebihan yang telah dibena untuk menjana pendapatan atau sekurang-kurangannya memberi keselesaan kepada rakyat.

    Kita hendaklah mesra rakyat dan faham bagaimana untuk menstabilkan ekonomi. Barangan asas bagi kengsungan ekonomi dengan murah seperti minyak disel hendaklah dikawal. Kita misti faham sebarang peningkatan bahan api tersebut akan menaikkan harga barang disebabkan kenaikan harga pengangkutan dan perkilangan.

    Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain,
    Pencetus Stretegic Vision
    Petaling Jaya

    ReplyDelete
  11. Datuk...

    Saya rasa pendapat pembahas rahimlpp@yahoo.com ada kebenarannya.

    Datuk kita tak perlulah beremosi sangat pasal perkataan "bangang" yang ditujukan kepada blogger-blogger pro - Umno.
    Blogger pun apa kurangnya.. ada juga mengeluarkan kata - kata kesat.
    Oleh itu keadaan sekarang adalah 0-0

    Pada saat-saat ekonomi negara menuju kegetiran usahlah kita menjadi sokong bawak rebah.
    Seperti juga kata pembahas Rahim ...penulisan Datuk berpengaruh oleh itu terangkan saja fakta tanpa diselit sindiran.

    Keadaan ekonomi menurun akan dirasai seluruh dunia munkin.
    Apa yang rakyat Malaysia perlu buat jangan bertelingkah sesama kita..yang bijak pandai dalam ekonomi terangkan keadaan sebenar dan nasihat yang membangun bukan mencemoh.

    Itu saja yang kita boleh bantu rasanya.
    Harap maaf jika ada yang menyinggungkan.
    Wasaalam.

    ReplyDelete
  12. budak jawa7:01 PM

    Assalamualaikum DAKJ,

    pak menteri saja dok buat-buat tak faham. kalau depa kata ekonomi tak baguih, rakyat akan alert tentang perbelanjaan kerajaan dan perbelanjaan menteri2 termasuk projek2 yang banyak membazir. mungkin juga mereka tak rasa sebab semua perbelanjaan ditanggung, mereka tak tahu susah payah rakyat.

    rakyat kena rasionalisasi bagai, tapi ada pulak golongan yang dapat sokongan Kerajaan bagai, geranlah, soft loanlah, boleh pulak syarikat naik taarif semata2 tak mau rugi. ahli parlimen pun dapat kenaikan elaun, tang jaga teluq sendiri pandai pulak justify. memang tak tahu malu. Beban pada rakyat. memang rakyat malaysia kena con kiri kanan depan belakang oleh ahli politik kita. Masing-masing kem janji bulan dan bintang, hakikat ekonomi dunia, sapa nak citer.

    Bak kata kawan saya, kalau setakat nak bagi glc macam mas rugi atau defisit kerajaan meningkat, ambil orang tak sekolah jadi ceo/ menteri kewangan pun buleh.

    tentang soalan datuk mengenai perbelanjaan perjalanan najib dan konco2nya, saya percaya tiada perubahan kerana semua ini salah kita rakyat marhaen menyebabkan najib dan konco-konconya terpaksa berjalan ke seluruh negara untuk membetulkan keadaan. rakyat lah yang bangang, yang bertanggungjawab. najib tidak bersalah dan rakyat patut bersyukur.

    p/s: rasa macam nak maki dan mencarut pun ada datuk sekarang ni.

    budak jawa

    ReplyDelete
  13. Den pasaro11:19 PM

    Sabar Dato', bertenang, bawak mengucap..

    ReplyDelete
  14. Para pembahas dihormati,

    1.Wanitabukittinggi dan beberapa pembahas lain menasihati saya jangan “beremosi”. Adakah dengan menulis secara akademik dan berlandaskan fakta emosi? Setahu saya, orang yang maki hamun panggil orang bangang itu yang emosi atau kurang akal.

    2.Kalau nak tahu emosi dan maki hamun bacalah blog jenis maki hamun atau bacalah komen-komen dalam Malaysiakini setiap kali tulisan saya dalam blog ini mereka petik dan buka untuk perbincangan.

    3.WBT dan Den Pesaro, ini bukan emosi dan saya tidak tersinggung. Kalau mudah tersinggung, takkan lah sampai tua pun masih jadi pemberita cabuk. Kalau mahu dipuji saja jadilah film star. Itu pun belum tahu dapat pujian.

    4.Saya sekadar memberi petunjuk. Kalau betul, ambillah perhatian. Kalau silap mintalah perbetulkan. Kalau tak peduli pun tak apa. Dalam demokrasi, busuk-busuk pun rakyat boleh pilih empat atau lima tahun sekali.

    4.Kerajaan boleh atasi masalahnya dengan berbagai-bagai cara. Misalnya, untuk capai matlamat kurangkan defisit belanjawan, kerajaan hapuskan subsidi minyak dan kurangkan perbelanjaan.

    5.Tapi kalau sampai macam pembahas Tajir kata (Dah parah tok, ada agensi gomen dah tak bayar pembekal sejak april.!! Last year ap pun tertunggak.) jawabnya dah teruk dan melampau. Tak bayar hutang dan tak tunai janji amat dimurkai Allah.

    6.Kerajaan boleh selesaikan masalah belanjawan dan fiskal, tetapi kesannya akan ditanggung oleh rakyat jelata dan pengguna.

    7. Saya harap Menteri bukan orang politik macam Abdul Wahid Omar berani berterus terang. Saya sudah tanya beliau mengenai risiko keterdedahan (exposure)bank-bank tempatan kepada hutang 1MBD sebanyak lebih RM40 bilion itu.

    8. Kita berdoa agar GLIC macam PNB, EPF, Tabung Haji, Felda, LTAT dan Tabung Pencen tidak terdedah kepada hutang 1MBD.

    Wallahuaklam

    ReplyDelete
  15. din klang11:27 AM

    Dato,

    Najib patut belajar sesuatu dari Ceo baru Mas yg dia baru lantik.

    berikut prinsip yg diguna pakai oleh Christopher Muller untuk turn around sesabuah syarikat yg sedang tenat.

    You find out more from the shop floor than the boardroom. At the beginning of a business turnaround, I am down on the shop floor first thing in the morning, talking to people. They know the most about how bad the situation is – and they discover it faster too. They are also more reliable about telling you the truth than those in the boardroom. In fact, I think spending a lot of time on the shop floor is important for any kind of leader.

    ReplyDelete
  16. Salam Dato’ Kadir

    Pertamanya, macam tak percaya pulak Dato’ Kadir terasa dgn apa yg diperkatakan oleh YAB Dato’ Najib tu. Bagi sayalah, mungkin beliau tujukan kpd orang lain, tapi yelah, bak kata pepatah melayu, siapa makan cili, dia akan rasa pedasnya. Jangan marah Dato’, bergurau je.

    Keduanya, dalam Islam pun telah ditetapkan akan ada orang kaya dan miskin. Akan ada orang yg buat duit dan tak cukup duit. Jadi apa masalahnya. Kalau semua org miskin, siapa yg nak bayar cukai pula nanti??? Sebabnya, Islam tu serba lengkap serta tahu kesemuanya isihati, naluri dan fitrah manusia. Juga sebab itulah saya tak bimbang pun.

    Ketiga, saya cukup suka apabila Dato’ menulis dgn menggunakan fakta dan sumber-sumber rujukan, iaitu kena dgn naluri falsafah hidup saya. Tahniah Dato’. Sekian TQ.

    ReplyDelete
  17. salam..
    saja nak share dengan Tok ..
    ada juga YB Menteri suka dan baca pendapat tok


    salam

    ReplyDelete
  18. abdullahngah8:46 PM

    Harga barang naik berpunca harga minyak desel naik dan terus naik apabila GST dilaksanakan nanti.

    Inilah yang dinamakan "rakyat didahulu" iaitu didahulukan menanggung beban sara hidup,yang semakin hari semakin tinggi dek angkara pemimpin yang berlumba lumba mengumpul harta.

    Lebih lebih lagi rakyat jelata hari ini kelihatan tak marah, jauh sekali membenci kerajaan yang memerintah.

    Mengapa? kerana mereka sudah disogok dengan BRIM RM 950 satu kepala setahun itu.

    Sebab itu para pemimpin kerajaan tidak kisah apa apa beban yang menimpa pada mereka macam juga para pemimpin yang memerintah negara.

    mengapa? kerana mereka jadi kayaraya setiap menteri ada ratsan juta harta. itu menteri. Bayangkan perdana menteri dan timbalan perdana memteri.

    Anwar Ibrahim pernah disebut ada harta RM 3 bilion. riuh seketika.

    Apabila Anwar Cabar Muhyiddin agar isytihar hartanya. senyap sepi.

    Jika Anwar ada harta RM 3 bilion bayangkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

    Macam mana mereka mahu berterus terang. Tak kan mereka akan isytuhar harta mereka punca kedudukan ekonomi negara jatuh begitu terus.

    Bukan macam zaman Saidina Omar yang berkata kepada rakyatnya, hendaklah anda sekalian menjadi rakyat yang taat dan patuh. maka seorang rakyat biasa tampil berkata, kami tidak mahu mematuh anda sehingga anda beritahu kami dari manakah anda ambil baju yang anda pakai sekarang ini. Khalifah Omar tidak merasa tersinggung dan marah dengan pertanyaaan itu, malah beliau melayani pertanyaaan dan menerangkan dengan jelas hingga orang itu berpuashati dan lantas berkata, sekarang barulah anda boleh perintah kami dan kami akan mematuhi perintah anda.

    Boelekah para pemimpin kerajaan berterus terang dengan rakyat jelata apabila ditanya dengan persoalan yang ditanya kepada Saidina Omar.

    Jika ada rakyat yang bertanya dengan persoalan demikian tunggu akan ditangkap sumbat dalam penjara dan tahan tanpa bicara selama 60 hari.

    Rakyat Pembangkang yang tak undi BN pun dilayan dengan zalim segala hak kemasyarakatan dinafikan. (tidak dinafikan rakyat pembangkang ramai yang dapat BRIM umpan untuk undi BN).untuk dapat rumah murah pun dinafikan. Bayangkan jika diminta untuk berterus terang apa apa yang berlaku pada negara ini.



    ReplyDelete
  19. Din Kalut9:34 PM



    Semasa di KL sehari dua yang lalu orang media heboh fasal Bernama TV pun gagal bayar gaji kakitangannya.

    Betul ke ni atau fitnah.

    ReplyDelete
  20. kundoq10:29 PM

    Apabila orang bercakap tidak serupa bikin,saya rasa beremosi,mungkin lebih dari respon yang Datuk tunjukkan.

    Saya juga mengalamizaman meleset 1985 dan 1997 dahulu.

    Pada tempoh tersebut,saya hanya membaca kisah dan hal kemelesetan dan bekerja seperti biasa,belanja seperti biasa.Kini,dengan tanggungan seperti dulu,pendapatan sedikit baik.

    Apa yang saya tahu,ekonomi sekarang dikata kukuh,stabil dan kian bertambah baik.Dalam kedaan sebegitu,pendapatan sudah tidak sepadan dengan perbelanjaan kini.Boleh dikata mesti jimat untuk membeli apa apa barangan pun.Simpanan tidak pernah mampu dibuat dalam setahun dua ini.

    Persoalan saya ialah,inikah yang dikata ekonomi kukuh dan stabil?Padahal ketika tahun 1985 dan 1997 adalah kemelesetan ekonomi dunia,keadaan tidak teruk sebeginipun.

    Saya menyokong apa yang Datuk tulis kali ini.Tak banyak orang berani tulis kelaku kerajaan yang diketuai Umno Najib ini seperti Datuk.

    ReplyDelete
  21. kepimpinan sekarang terlampau ramai YES BOSS, tiada pemimpin yang berani bersuara untuk rakyat dan lantang mengkritik kepimpinan yang sedia ada, semua kaki jilat kaki kipas, masing-masing tau nak jaga pangkat dan poket masing-masing, di Indonesia rakyat mereka telah memulakan satu revolusi kepimpinan, memilih pemimpin yang mereka rasa layak umtuk menjadi presiden, tapi di malaysia masih di takuk lama. maaf saya katakan PM kita born with a silver spoon in his mouth, tidak pernah rasa kesusahan sejak dari kecil, mana mungkin beliau tahu susah perit menjadi rakyat marhaen yang perlu bekerja keras untuk mencari sesuap nasi. bagi saya UMNO is digging their own grave,bayangkan segala agenda yang diusahakan oleh pihak pemerintah seolah-olah ingin lihat rakyat menderita, kenapa perlu rakyat yang menangung segala kecuaian/ketirisan pengurusan kewangan pentadbiran kerajaan pemerintah? audit negara tiap-tiap tahun mengeluarkan angka ketirisan yang tinggi ,tapi apakah perancangan agar ketirisan ini dapat diminimakan? tiada! jika ini berterusan, saya percaya teori RAHMAN will really come true...just wait and see..

    ReplyDelete
  22. Assalamualaikum wbt pak Kadir...

    Saya tak pakar dalam ekonomi, tapi ingin juga bersuara, ini hujahan saya.

    Ada tangan ghaib dibelakang semua ini, dikatakan dalam kitab, akan datang dajjal dengan membawa syurga & neraka, & kita dipaksa untuk membuat pilihan..

    Diandaikan kita mendapat kerajaan baru dari pihak pembangkang sekarang, dengan dalam tempoh setahun negara kita akan mendapat taraf maju,mcm mana?.
    Pelaburan dari luar terutama dari amarika akan dtg berbondong masuk untuk melabur kerana kononya Malaysia adalah negara paling mesra pelabur.
    Bila ekonomi dikuasai, Malaysia tidak lagi mampu untuk mentadbir negsranya sendiri.

    Itulah kerja dajjal, dajjal boleh menawarkan syurga atau neraka. Dajjal kecil telah ada di negara kita, jangan kita tersirna oleh tipu dayanya..wallahualam..

    ReplyDelete
  23. Lahuma7:34 AM

    Dato.

    Setuju pemimpin kena cakap benar dalam apa keadaan pun.
    Sudah jadi lumrah pemimpin kerajaan pun cakap kurang betul.
    Pemimpin pembangkang pun banyak bengkok.
    Apa salahnya bentang dan pamer fakta sebenar.
    Pemerintah tegak benang basah.Pembangkang reka dan tambah untuk timbul rasa benci supaya dapat undi tambahan.

    Inilah puncanya isu kepimpinan yang tak mahu cakap benar dalam semua hal.

    Apa Dato ingat semua pihak cakap benar ke.Dua -dua pihak 2x5=5x2.

    Dengan keadaan sekarang memang terasa bahana kos sara hidup yang membebankan rakyat.

    Belum pun GST berjalan harga barang sudah naik mendahului GST.

    Penoreh getah dan pak tani kita sengsara kerana kejatuhan harga getah dan harga makanan yang melonjak naik

    Kerajaan tahu atau tidak bahawa masih ada lagi peoreh getah dan tuan punya kebun kecil getah yang belum terima wang bantuan RM 500 yang dijanjikan dulu.Rupanya bukan semua yang dapat.Ada juga yang dalam senarai menunggu.

    Ini cerita orang kampung yang sekadar 70% sokong kerajaan

    Kerajaan ada pengalaman isu jatuh bangun ekonomi ini.Ambil tindakan terbaik.

    Kerajaan janganlah boros sangat.Joli masa mewah.

    Menteri dan pegawai kerajaan tak apa ada gaji tetap dan pencen yang bagus.

    Rakyat yang kerja sendiri lain ceritanya.

    Kadang -kadang nampak macam rakyat didahulukan.Kadang kadang nampak macam rakyat dikemudiankan.

    Terima kasih Dato.



    .

    ReplyDelete
  24. Joe Black3:30 PM

    Dato'

    Itulah dasar manusia, yang menuduh orang lain beremosi tetapi tidak menyedari bahawa merekalah yang dikuasai emosi sebab enggan menerima kebenaran(inilah dikatakan minda mereka dalam keadaan "in denial")

    Kita sering melihat bagaimana emosi mencengkam sesetengah penganut penganut agama. Apabila disoal siasat mereka menuduh sipenyoal beremosi sebab menentang kepercayaan mereka.

    ReplyDelete
  25. salam dato

    pada pemerhatian saya apabila berlaku kenaikan nilai ringgit berbanding dollar amerika ia nya berlaku sangat perlahan, tetapi apabila nilai ringgit jatuh berbanding dolar amerika ianya sangat laju.

    tindakan bank negara saya amat setuju.lebik banyak prosedur dan lebih ketat lebih baik.jangan sampai berlaku seperti pada tahun 1997/98 money changer bawa wang ringgit dalam nilai RM1000 berbeg bawa keluar dari malaysia pagi dan petang menuju keselatan malaysia.

    kenaikan harga rumah yang sangat mengila mula berlaku pada tahun 2009.kenaikan itu adalah sangat luarbiasa dan sekarang harga rumah sangat tinggi dan diluar kemampuan mereka yang bergaji RM7 hingga RM8 ribu sebulan.

    sekarang orang melayu adalah kaum yang terbesar yang bekerja ,yang sedang membina kekayaan dan ini menjadikan kaum melayu adalah potensi pembeli rumah/harta terbesar di Malaysia . kalau dah harga rumah tinggi ia adalah penghalang/ melambatkan /mengagal pemilikan harta yang berkualiti dikalangan bumiputra.harga rumah tinggi menjadikan kadar pinjaman dan pinjaman menjadi beban sepajang hayat.dan jika berlaku krisis ekonomi ia akan menjadi beban yang boleh membunuh kehidupan.

    mungkinkah negara kita sedang di sabotaj? dari dalam ? dari luar ?

    pada pandangan saya asas ekonomi kita kukuh.

    1MBD jika diuruskan dengan betul/baik/amanah/dan tanpa masalah ekonomi yang teruk boleh jadi GLC/ giant yang mendunia.cuma dalam sesuatu busines kita jangan terlalu ghairah,kita perlu berhati -hati dalam perbelanjaan dan perkembangan.berhutang membuatkan keuntungan kita menjadi hak orang yang memberi hutang.

    ReplyDelete
  26. Tinta Hitam8:23 PM

    Datuk,
    Sebahagian dari org org melayu mungkin tidak dungu tetapi ,majoriti org org melayu mmg dungu dan enggan berubah.Ianya bagus utk UMNO..Sebahagian besar kerusi UMNO dimenangi dikawasan kawasan melayu dungu..Kenapa saya kata dungu? Ianyntiada kena mengena dgn tahap kelayakan akademik seseorang.Ianya lebih sejauh mana mereka menggunakan otak atau "common sense" mereka..

    Bayangkan mereka menyalahkan DAP diatas kenaikkan harga barang,menyalahkan DAP kerana Johor Baharu hampir jatuh ketangan Singapura.Menganggap setiap butir nasi yg dimakan datangnya dari UMNO..Jadi macam mana kita tak mengatakan mereka tak dungu..mereka enggan menerima hakikat bahawa UMNO yg korup adalah punca sebahagian besar pmasalah masalah negara..

    Pada saya mereka wajar mendapat Kerajaan yg dungu..

    ReplyDelete