A Kadir Jasin
BERITA terbaru mengatakan bilion-wan (billionaire) nombor dua terkaya di
Malaysia, T. Ananda Krishnan atau lebih terkenal dengan singkatan AK
bersedia memberi pinjaman RM2 bilion untuk atasi masalah hutang 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak
akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama
samaran.]
Sesiapa saja yang kenal atau tahu modus operandi perniagaan AK akan
bertanya: Apakah 1MDB yang ditubuhkan sebagai tabung berdaulat (sovereign fund)
negara akhirnya menjadi hak milik AK?
|
AK mungkin ketawa ke bank kerana 1MDB |
Tidak banyak dilaporkan dan dibahaskan secara terperinci mengenai syarikat
tabung berdaulat itu dalam media berbahasa Melayu berbanding media berbahasa
Inggeris.
Jadi izinkan saya bercerita selengkap yang mungkin mengenainya agar orang
Melayu khususnya dan pengguna bahasa Melayu amnya boleh memahami isu ini dengan
lebih mendalam. Berikut adalah maklumat dan isu pokok mengenainya:-
1. 1MDB dilaporkan bertaraf tabung
berdaulat Malaysia. Ertinya ia milik negara. Sebarang kecelakaan yang berlaku ke atasnya menjadi tanggungan negara dan rakyat jelata.
2. Asal 1MDB adalah Terengganu Investment Authority (TIA atau Lembaga Pelaburan
Terengganu) yang bertujuan menjamin pembangunan ekonomi Terengganu secara
jangka panjang dan lestari sambil memelihara kebajikan ekonomi rakyat
Terengganu.
3. Ia
ditubuhkan pada tahun 2008 ketika pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan
pada waktu (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Kewangan.
4. Diberitakan TIA mempunyai dana (modal) permulaan RM500 juta, tetapi tidak
jelas apa yang terjadi dengan wang itu. Ada yang mengatakan ia hangus.
5. TIA diubahkan menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada bulan
Januari 2009. Pada 22 Julai tahun itu, Mohd Najib, sebagai Perdana Menteri,
berkata keputusan menjadikan TIA badan kerajaan pusat bertujuan memperluaskan
manfaatnya kepada seluruh rakyat Malaysia.
6. 1MDB bolehlah dianggap anak didik Mohd Najib. Beliau adalah Pengerusi
Lembaga Penasihat 1MDB yang berupa badan pembuat dasar tertingginya.
7. Dalam temu ramah dengan TV3 pada 21 Januari lepas, Mohd Najib berkata
kerajaan hanya memperuntukkan sebanyak RM1 juta sebagai modal kepada 1MDB.
8. Mohd Najib
adalah ketua eksekutif de facto 1MDB dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi
Lembaga Penasihat.
9. Pada 30 September 2009, 1MDB dan rakan strategiknya, PetroSaudi
International Limited mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama AS$2.5 bilion
yang bertujuan mempelopori pengaliran masuk pelaburan terus Arab ke Malaysia.
10. 1MDB berkembang pesat di Malaysia dan luar negara dengan membeli
aset-aset prasarana seperti penjana elektrik, membeli konsesi perlombongan dan
memajukan hartanah. Ia meminjam (berhutang) dengan banyak dengan menjual bon di
dalam dan luar negara.
11. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 ia mempunyai harta bernilai RM51.4
bilion, hutang RM49.97 bilion dan menderita kerugian RM665.4 juta.
12. Ia menjadi kontroversi apabila parti-parti pembangkang, media atas talian,
media ekonomi dan penganalisis pasaran mula melaporkan kegiatan luar biasa yang
melibatkan seorang misteri bernama Jho Lo (Jho Taek Lo), anak seorang tauke
Cina Pulau Pinang. Jho Lo dan beberapa orang rakan Arabnya dari PetroSaudi
dikatakan menjadi“otak” (brain) di sebalik kegiatan luar biasa1MDB.
|
Jho Low anak tauke Cina Pulau Pinang berparti |
13. Mereka ini pula menjalani kehidupan mewah (high life) di pusat-pusat
hiburan Amerika dengan melibatkan tetamu-tetamu bintang filem, termasuk pelakon
filem lucah, dan mendakwa akrab dengan “mogul” filem Hollywood.
14. Dakwaan ini menjadi lebih berwibawa apabila salah seorang daripada mereka,
Riza Abdul Aziz, berkongsi menerbitkan filem berjudul “The Wolves of Wall
Street” pada tahun 2013 dengan belanja AS$100 juta (kira-kira RM330 juta). Riza
adalah anak (Datin Seri) Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.
|
(Dari kiri): Jho Low dan Riza Aziz di pelancaran Wolves of Wall Street |
15. 1MDB
sekali lagi menarik minat orang ramai apabila ia dilaporkan berbelanja mewah
menaja kempen Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2013, khususnya di Pulau
Pinang.
16. Enam hari
sebelum pengundian PRU 2013 ia membeli 234 ekar tanah pegangan bebas dengan
harga RM1.38 bilion di negeri itu. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,
dilaporkan berkata harga yang dibayar oleh 1MDB adalah 95% lebih tinggi
daripada penilaian bagi tanah di sekitar kawasan itu pada tahun 2011. Tanah
yang dibeli itu pula mempunyai ramai setinggan. Ini mencetuskan spekulasi yang
Jho Lo, sebagai anak tauke Pulau Pinang, berperanan dalam urus niaga itu.
17. Satu lagi berita sensasi ialah beberapa hari sebelum hari mengundi PRU
2013, 1MDB membawa keluar wang sebanyak RM7.18 bilion untuk dilaburkan dalam
bentuk Segregated Portfolio di pusat kewangan luar pantai Cayman
Islands.
18. Soal yang kerap ditanya ialah mengapa 1MDB tidak melabur wang itu di Labuan
yang setaraf dengan Pulau Cayman. Pengurusan 1MDB dilaporkan berkata Labuan
tidak mempunyai instrumen kewangan yang mereka idamkan. Kerajaan mendakwa pelaburan itu telah dilunaskan dan hasilnya dibawa
pulang. Tetapi pada 10 Januari lalu, Presiden dan Pengarah Eksekutif baru 1MDB,
Arul Kanda Kandasamy, dilaporkan berkata 1MDB gagal memenuhi jadual membawa
pulang kesemua wang tersebut.
19. Serentak itu, 1MDB juga gagal membayar balik hutang berjumlah RM5.5 bilion
yang diperolehnya daripada konsortium bank tempatan yang dikenal pasti sebagai
Maybank, AmBank dan RHB. [Rujukan kepada CIMB terpaksa dipadamkan kerana sebab-sebab tertentu. Sila ambil maklum.]
20. Saya juga menghantar SMS kepada seorang yang berkedudukan tinggi dalam
kerajaan dan pakar dalam hal kewangan serta perbankan. Jawapan beliau berbunyi:
“I think your info is inaccurate. You may want to refer to The Edge report.
Lots of details there. I believed Edge mentioned about the RM5.5 billion loans
from a consortium of five lenders. A portion of the long term debts is
supported by cash flow. Another portion of short term loan is to be paid from
IPO proceeds or capital injection. As part of credit risk management, banks
will normally structure financing based on sources of payment i.e what is the
first way out, second way out etc. Also the banks will rely on appropriate
covenants and security. Anyway, being a former banker, I can attest that
Malaysian banks are well capitalise, well managed with good risk management,
has good asset quality and are well supervised and regulated by Bank Negara.
Whatever risks they underwrite must be within their risk appetite and
guidelines. On the RM5-billion bonds guaranteed by government, the last
transacted price (January 26) was at a yield of 4.9% compared to 5.75% coupon,
meaning to say that they are traded at a premium. Hope this helps. Regards.” [Saya fikir maklumat anda tidak tepat. Anda mungkin mahu merujuk kepada
laporan The Edge. Ada banyak maklumat di situ. Saya percaya The Edge ada
menyebut jumlah kira-kira RM5.5 bilion (yang diperoleh) daripada konsortium
lima buah bank. Sebahagian daripada hutang jangka panjang itu disokong oleh
pengaliran tunai. Sebahagian lagi hutang jangka pendek akan dibayar balik
daripada pendapatan IPO (keluaran awam permulaan) atau suntikan modal baru.
Sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko pinjaman, bank-bank lazimnya akan
menyusun pembiayaan berdasarkan sumber pembayaran balik iaitu apakah jalan
keluar pertama, kedua dan seterusnya. Bank-bank juga akan bergantung pada
perjanjian dan jaminan yang bersesuaian. Apa pun, sebagai bekas eksekutif
perbankan, saya boleh memberi jaminan bahawa bank-bank Malaysia mempunyai modal
yang cukup besar dan diurus berasaskan amalan risiko yang baik, mempunyai aset
bermutu dan dikawal selia serta diawasi dengan rapi oleh Bank Negara. Apa jua
risiko yang mereka jamin haruslah dalam lingkungan selera dan garis panduan
mereka. Mengenai bon RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan, harga urus niaga
terakhir (Januari 26) membawa hasil 4.9% berbanding nilai kupon 5.75%. Ertinya,
bon-bon itu diniagakan pada kadar harga tinggi (premium). Harap penjelasan ini
membantu. Salam.”
21. Apa yang beliau katakan ialah lima buah bank tempatan telah memberi
pinjaman RM5.5 bilion kepada 1MDB. Walaupun 1MDB gagal bayar balik hutang itu
dalam jangka masa yang dijanjikan, ia mempunyai keupayaan untuk menjelaskannya.
22. Kalau 1MBD gagal membayar balik hutang itu, bebannya akan ditanggung oleh
kerajaan kerana ia memberi jaminan berjumlah RM5 bilion. Kesimpulannya rakyat
jelata dan pembayar cukailah yang akan tanggung bebannya.
23. 1MDB sudah
beberapa kali dapat sambungan dan tarikh terakhir menjelaskan hutang itu adalah
Jun ini. Kalau ia gagal juga, maka jadilah hutang lapuk (non-performing
loan/NPL) dan bank-bank yang memberi pinjaman terpaksa membuat peruntukan dalam
akaun untung-rugi mereka.
24. Bank yang paling teruk hadapi risiko itu adalah Maybank milik Permodalan
Nasional Berhad (PNB) dan RHB milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF).
Inilah yang saya ulangi berkali-kali. Kita tidak boleh membenarkan syarikat
bersangkutan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan bersangkutan kerajaan (GLIC)
dijadikan lubuk duit bagi membiayai 1MDB.
25. Selain itu, sistem kewangan dan perbankan negara terdedah kepada ancaman
sistemik (systemic risk) kalau 1MDB gagal membayar balik hutangnya yang begitu
besar. Ada sumber mengatakan keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB kini
bersamaan 4% keluaran dalam negara kasar (GDP) – hampir serupa dengan
konglomerat Renong-UEM ketika krisis kewangan Asia 1997/98 yang memaksa
kerajaan melakukan operasi penyelamatan dengan mengambilnya balik daripada (Tan
Sri) Abdul Halim Saad.
27. Kebimbangan mengenai kegagalan sistemik ini menjadi ketara apabila Gabenor
Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata Bank Negara tidak akan
sekali-kali membenarkan mana-mana syarikat menyebabkan wabak sistemik ke atas
sistem perbankan negara. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai
kegagalan 1MDB membayar balik hutang dalam masa yang dijanjikan.
28. Tanpa kegagalan sistemik pun, masalah hutang dan modus operandi perniagaan
1MDB berkemungkinan menyebabkan ancaman terhadap penarafan berdaulat (sovereign
rating) Malaysia. Akhbar The Star melaporkan pada 13 Januari lalu yang agensi
penarafan antarabangsa Fitch mengekalkan penarafan Malaysia sebagai “negatif” –
setaraf dengan Mongolia (negara mendiang Altantuya Shaariibuu) – sedangkan
lapan lagi negara pasaran membangun ditarafkan sebagai “stabil”.
29. Mana-mana orang yang faham ekonomi akan gementar apabila disebut “systemic
failure”. Itulah yang hampir-hampir melanda kita ketika krisis 1997/98 tetapi,
Alhamdulillah, berjaya disekat oleh Perdana Menteri ketika itu, (Tun) Dr
Mahathir Mohamad.
30. Sama ada 1MDB mampu membayar faedah dan seterusnya melunaskan hutangnya
bergantung kepada kejayaan menyenaraikan aset jana kuasa yang telah beberapa
kali ditangguhkan.
31. Pada 16 Januari lalu, media massa melaporkan bahawa Tawaran Awam Permulaan
(IPO) 1MDB yang pada mulanya dijadualkan April ini telah terpaksa ditangguhkan
sehingga separuh kedua tahun ini. Ia dijangka menghasilkan AS$3 bilion
(kira-kira RM10.74 bilion).
32. Kesimpulannya, sama ada kita suka atau tidak, isu 1MDB ini sudah menjadi
isu yang melibatkan kita semua dan sekiranya gagal ditangani akan membebankan
kita dan anak cucu kita untuk jangka masa yang lama. Jadi kita wajib faham dan
mendesak agar tindakan terbaik diambil bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.
Inilah antara beban besar yang menguji kewibawaan Mohd Najib sebagai Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan.
Wallahuaklam.
Nota Kaki: Penulis adalah juga Adjunct Professor, Othman Yeop Abdullah (OYA)
Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia, Kedah.