A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Najib merasmikan pecah tanah projek ECRL di Pahang tahun 2017 |
MALAYSIA adalah negara
pertengahan dari segi keluasan wilayah, bilangan penduduk dan ukuran ekonomi.
Tetapi dalam beberapa
hal dan sudut, ia boleh dikatakan besar.
Misalnya, sebagai negara
yang ditakrif sebagai negara Islam kita adalah antara yang termaju.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Dalam banyak hal kita jauh
lebih maju dan progresif daripada negara-negara Islam yang lebih besar dan
kaya.
Tetapi yang benar-benar
membezakan Malaysia daripada negara Islam yang lain sehingga mendapat
pengiktirafan antarabangsa adalah keberanian kita mengambil pendirian dalam isu-isu
utama dunia.
Di bawah kepemimpinan
Tun Dr Mahathir Mohamad mulai awal tahun 1980-an, keberanian kita berhujah dan
menawarkan kepemimpinan dalam forum antarabangsa telah mendapat pengiktirafan
global.
Inilah antara punca yang
menyebabkan negera-negara raksasa seperti China dan Amerika berhati-hati dalam
perhubungan dengan Malaysia, khususnya apabila Dr Mahathir kembali menerajuinya.
Macam mana marah pun
mereka kepada beliau kerana dianggap “recalcitrant” – dalam bahasa yang mudah keras
kepala – namun mereka mengakui bahawa suara beliau mempunyai pengaruh ke atas
pendapat antarabangsa.
Dalam konteks projek Landasan
Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang masih hangat dibincangkan walaupun di
peringkat rasmi telah dikunci mulut, kita terpaksa mengambil tindakan tegas dan
bijaksana walaupun tujuan kita bukan sekali-kali menghukum atau memalukan
China.
Kita sekadar mengatakan
dengan ikhlas bahawa kita tidak mampu menanggung beban hutang membina landasan
itu dan membiayai penyelenggaraannya selepas itu.
Sebelum ditumbangkan
dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu, kerajaan BN telah membuat komitmen
kepada kerajaan China untuk berhutang RM55 bilion untuk membina ECRL dan memberikan kontrak
pembinaan kepada syarikat milik kerajaan China.
Sekarang sudah pun
diketahui umum bahawa pinjaman RM55 bilion itu bukan semata-mata untuk
membiayai ECRL tetapi juga untuk menolong menampung hutang dan penipuan
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Segala beban hutang,
penipuan dan pembaziran zaman bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung
Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak,kini
menjadi beban dan tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Masalah ECRL
Walaupun bukan sekali-kali
tujuan kita bermusuh dengan China atau juga mana-mana negara namun kepentingan
negara dan rakyat jelata adalah lebih utama.
Matlamat kerajaan PH dalam
isu ECRL ini adalah untuk meringankan beban hutang negara sebanyak yang
mungkin.
Maka dalam perkiraan
kerajaan PH adalah lebih baik menamatkan projek itu dan membayar ganti rugi
kepada China atau kalau terpaksa dilaksanakan juga ialah hendaklah dengan kos dan syarat
yang lebih ringan.
Ada sumber berkata,
walaupun hutang projek itu sekarang RM55 bilion tetapi apabila diambil kira kos
dan tanggungan jangka panjang ia mungkin mencapai RM100 bilion atau lebih.
Masalahnya sekarang kita
sudah disedut masuk ke dalam geopolitik China. Kita dalam dilema ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Kita memerlukan pasaran
China untuk barang-barang dan perkhidmatan kita manakala China pula takut
pembatalan ECRL akan berjangkit kepada negara-negara lain yang mempunyai perjanjian
yang sama dengannya.
Rasanya dunia lebih
mengambil berat perhubungan dengan kita sejak Dr Mahathir kembali menjadi Perdana
Menteri.
Selain rundingan di
belakang tabir, China baru-baru ini melancarkan apa yang saya istilahkan
sebagai “diplomasi opera”.
China terkenal dengan
opera atau di negara kita disebut wayang
Cina.
Kedutaan China di
Malaysia dilaporkan telah merakam dan mengedarkan sebuah lagu bagi memperingati
45 tahun perhubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.
(Boleh Tonton Di Sini).
Di dalam dunia di mana
diplomasi dan ekonomi tidak dapat dibezakan serta dipisahkan, kita tidak ada
pilihan selain mencari jalan keluar terbaik tanpa menjejaskan air muka, menoda kedaulatan dan membebankan kewangan negara.
Apa pun kesudahan kepada
episod ini, pengajaran dan iktibarnya amat jelas, iaitu di tangan sebuah
kerajaan, sebuah parti politik dan seorang pemimpin yang korup, negara boleh
menjadi muflis, tergadai dan terjajah.
Maka di bahu siapa pun
terpikul tanggung jawab untuk menyelesaikan kemelut ECRL ini, diharapkan
bahawa penyudahnya biarlah negara tidak muflis, bumi tidak tergadai dan negara
tidak dijajah.
Wallahuaklam.