Sunday, October 27, 2019

Najib dan Rogol Beramai-ramai Ke atas Felda



A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Peter Sondakh (kanan sekali) dapat banyak keistimewaan daripada bekas PM
CERITA ini panjang dan kompleks kerana ia melibatkan rogol beramai-ramai dan berulang kali oleh kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) serta konco-konconya ke atas Felda.

Perbuatan hina dan khianat mereka meninggalkan kesan yang amat buruk ke atas agensi pembasmian kemiskinan itu dan para penerokanya.

Malangnya masih banyak peneroka, khasnya dan orang ramai, amnya tidak faham atau tidak percaya rogol korporat yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak itu.

Mereka masih menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun kerajaan PH telah menyelamatkan Felda dengan memberi suntikan kewangan sebanyak RM6.3 bilion. Tanpa suntikan itu Felda sudah bankrup.

Saya difahamkan yang kerajaan PH kini sedang berusaha untuk mendapatkan balik duit hasil daripada melacurkan Felda oleh Mohd Najib atau setidak-tidaknya pun mengurangkan beban Felda.

Bagi saya, bala yang menimpa Felda dan peneroka tidak langsung mengejutkan kerana sejak tahun 2012 lagi saya telah menulis berulang kali bagi memberi amaran mengenai apa yang saya lihat sebagai kegiatan memperalatkan Felda untuk tujuan yang tidak serasi dengan matlamat asalnya.

Ini bermula dengan pemindahan dan penggadaian harta Felda dan ladang peneroka kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad atau lebih dikenali sebagai FGV pada tahun 2012.

Saya banyak menulis memberi amaran bahaya memindahkan harta Felda dan ladang peneroka kepada FGV semata-mata untuk melakukan tawaran awam permulaan (IPO) yang kononnya akan melahirkan syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia.

Sebaliknya saya mengesyaki langkah itu sebagai mainan korporat Mohd Najib bagi mencari modal untuk Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, khususnya bagi memberi sogokan politik kepada peneroka agar mengundi BN.

Antara lain, saya mengatakan bahawa langkah memperdagangkan harta Felda dan peneroka melaui IPO FGV tidak menampakkan ciri-ciri kelestarian jangka panjang.

Ramalan saya itu menjadi kenyataan. Bukan saja pencapaian kewangan FGV tidak membanggakan – lebih kerap rugi daripada untung – tetapi turut menarik turun prestasi kewangan Felda.

Pertimbangkan fakta berikut:

1. Pada tahun 2012, Felda mencatat keuntungan bersih RM5.8 bilion di mana RM4.7 bilion daripadanya adalah pendapatan luar biasa hasil penjualan aset kepada FGV.

2. Sejak itu Felda mencatat kerugian yang berterusan sebanyak RM2 bilion pada tahun 2013, RM1 bilion (2014), RM1.1 bilion (2015), RM700 juta (2016) dan RM4.9 bilion (2017).

3. Sehingga 31 Disember 2017, tanggungan (hutang) Felda berjumlah RM14.4 bilion di mana RM12.1 bilion adalah hutang daripada institusi kewangan.

4. Antara tahun 2007 dan 2011, iaitu sebelum Mohd Najib menubuhkan FGV, Felda mempunyai wang tunai bersih antara RM1.8 juta dan RM3.9 bilion tetapi jatuh merudum kepada hanya RM400 juta pada tahun 2017. 

Ini hanyalah pra-tayang kepada malapetaka dan konspirasi seterusnya.

Faktor Sondakh


Dia sahabat akrab keluarga Mohd Najib. Dia cuba jual 37 peratus saham ladangnya yang bernama Eagle High Plantations kepada FGV.

Ini berlaku pada tahun 2014. Tetapi tidak berjaya kerana sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV terpaksa berterus terang sedangkan penjualan saham Eagle High itu menyanggah amalan pasaran.

Sebelum itu, Sondakh dan syarikat komodi Perancis, Louis Dreyfus telah mengambil alih kawalan ke atas Eagle High dengan membayar AS$509.6 juta atau kira-kira RM2 bilion pada kadar tukaran hari ini.

Sondakh: Beli murah tapi jaul mahal kepada Felda
Pada harga tersebut, urus niaga berkenaan menilai saham Eagle High sebanyak 301 rupiah setiap satu atau lebih kurang 21 peratus di bawah harga pasaran. Ini adalah kerana jual-beli tersebut berdasarkan suka sama suka dan sesama pemilik.

Urusan itu berlaku pada bulan November 2014. Tidak sampai setahun kemudian, iaitu pada bulan Jun 2015, masuklah FGV dengan tawaran membeli 37 peratus saham Eagle Plantation.

Harga pembukaan adalah 890 rupiah satu saham atau 113.94 peratus di atas harga Pasaran Saham Indonesia. Sondakh beli di bawah harga pasaran hendak jual kepada FGV di atas harga pasaran.

Sondakh beli saham Eagle High dengan potongan harga 21 peratus tapi dia hendak jual kepada FGV tujuh bulan kemudian dengan premium 113.94 peratus. Maknanya dia untung 137.94 peratus.

Dia belanja RM2 bilion untuk kuasai semua saham Eagle High tapi dia akan dapat RM3.1 bilion (AS$778.9 juta) dengan menjual hanya 37 peratus kepada FGV. Bunyi macam berniaga atas angin!

Sebagai syarikat milik awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV tidak boleh berbuat sesuka hati. Setiap keputusan wajib dimaklumkan kepada pelabur melalui pengumuman pasaran saham.

Mohd Najib pun tahu bahaya kalau terus guna FGV sebab lambat-laun rahsia akan pecah. Maka selamatlah FGV. Tapi apa yang berlaku selepas itu lebih teruk sebab yang menggantikan FGV adalah Felda.

Felda adalah milik kerajaan dan tidak diniagakan di Bursa Malaysia jadi lebih mudah diperalatkan. Masa itu Pengerusinya adalah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Dalam tempoh rundingan dengan FGV dan kemudian Felda, harga saham Eagle High terus jatuh. Rundingan dengan Felda dibuka pada kadar 645 rupiah sesaham atau bersamaan AS$551.8 juta (kira-kira RM2.3 bilion).

Itu pun masih tinggi kerana pada kadar harga itu ia hampir 160 peratus lebih mahal daripada harga saham Eagle High di Bursa Indonesia.

Sepatutnya bila ada orang hendak beli saham sesebuah syarikat dengan banyak, harganya naik. Tapi dengan Eagle High yang sebaliknya berlaku. Ini adalah kerana pelabur tahu nilai sebenar perniagaannya.

Tawar-menawar berjalan sampailah pada bulan Disember 2016 apabila persetujuan dicapai. Felda setuju bayar AS$505.4 juta. Tapi oleh sebab kadar tukaran ringgit jatuh ketika itu, nilai dalam ringgit naik kepada kira-kira RMRM2.4 billion atau 584 rupiah sesaham.

Pada harga itu ia adalah 96 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran. Premium pada kadar itu adalah amat tinggi dan jarang berlaku dalam urusan jual beli saham.

Penyiasatan forensik bebas yang diarahkan oleh pengurusan baru Felda selepas PH mengambil alih 9 Mei tahun lalu dikatakan telah mendapati beberapa watak dalam kerajaan BN dan pengurusan kanan Felda terlibat memesongkan urus niaga tersebut.

Singkatan seperti MNAR, MIAS, JAG dan DRI yang semuanya berupa pemimpin BN muncul di sana sini sebagai watak-watak yang memainkan perasan utama dalam urus niaga celaka itu.

Carian saya mendapati MNAR adalah Mohd Najib Abdul Razak, MIAS (Mohd Isa Abdul Samad), JAG (Johari Abdul Ghani) dan DRI (Datuk Razali Ibrahim). Kita tahu siapa MNAR dan MIAS tapi mungkin tidak berapa kenal dengan JAG, bekas Menteri Kewangan ll dan DRI, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kemudian pembabitan anggota lembaga pengarah dan pengurusan kanan Felda dan FGV yang sepatutnya tidak menyokong urus niaga tersebut atau setidak-tidaknya pun memberi amaran mengenai bahaya pelaburan tersebut.

Saya dimaklumkan berkenaan nama-nama seperti Rahmat Bivi Yusoff, Dr Yusof Ismail, Noor Ehsanuddin Harun Narrashid, Hanafi Suhada, Dr Omar Salim, Mohd Khusairi Taib, Samsudin Othman, Dr Yusof Ismail, Mohd Isa Abu Kasim, Mohd Suhaili Said dan Abu Bakar Harun.

Juga Mohd Emir Mavani Abdullah, Faizoull Ahmad, Farisan Mokhtar, Norizah Bahari, Mohd Zafer Hashim, Dr Sulaiman Mahbob, Ahmad Tifli Taha, Yahaya Abdul Jabar, Mohammed Suffian Awang, Steve Clayton, Novan Amirudin dan Ahmad Tifli Talha.

Perbuatan dan peranan mereka menyebabkan Felda mengalami beban kewangan dan kerugian yang teruk.

Pada 25 Oktober 2019 harga saham Eagle High hanya tinggal 126 rupiah. Ini bermakna nilai pelaburan Felda telah jatuh merudum kepada RM440 juta atau kerugian dalam buku sebanyak RM2 bilion. Ini adalah duit peneroka.

Perogol-perogol Felda, sama ada yang sudah dikenal pasti atau yang akan dikorek dari lubang cacing, wajib dikenakan tindakan sewajarnya. Ini adalah sabotaj ekonomi.

Jual Balik

Salah satu cara yang boleh dicuba bagi mendapatkan balik duit Felda itu adalah dengan meminta atau memaksa Sondakh membeli balik saham yang dijual kepada Felda.

Ini boleh dilakukan kerana ada satu syarat penting dalam pembelian oleh Felda tersebut.

Sondakh dikatakan telah berjanji membeli balik saham yang dijual kepada Felda itu melalui proses “put option” jika Eagle High gagal memenuhi syarat dan persijilan “Roundtable on Sustainable Palm Oil” (RSPO) bagi semua ladang Eagle High.

Setakat ini, menurut laporan media, dia hanya berjaya mendapatkan sijil RSPO untuk sebuah ladang saja.

Penganalisis pasaran rata-rata setuju bahawa Felda telah diperalatkan oleh Najib bagi membantu perniagaan sahabatnya Peter Sondakh dan dalam proses itu berlaku pelanggaran tadbir urus serta pengabaian tanggungjawab fidusiari yang serius.

Maka dalam usaha mendapatkan balik duit Felda atau setidak-tidaknya mengurangkan kerugian serta memberhentikan pendarahan, aset serta kepentingan Sondakh di Malaysia wajib diambil kira.


Dia ada banyak harta di Malaysia termasuk beberapa buah hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan, dan perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad.

Wallahuaklam.


13 comments:

  1. Tak terfikir dek akal andaikata GE14 yang lepas tetap dimenangi oleh Gerombolan bini Rosmah...
    P/s: incik mursyidul am paspispus pun nak tumpang glamer dengan menegaskan memang paspispus pun nak Gerombolan bini Rosmah kalah pada ibu segala PRU itu... dunia dunia!

    ReplyDelete
  2. What his father built, he demolised. The family has no legacy.

    ReplyDelete
  3. Nampaknya makin berkerutlah dahi Presiden ANAK, Mazlan Aliman, bila dapat tahu bahawa saham FGV di Bursa Malaysia mencapai keuntungan berlipat ganda di luar jangkauan para penganalisa saham sebanyak RM904 juta.

    Menurut analisa pakar pelaburan, Earnings Before Interest and Deductible Allowances (EBITDA) menjangkakan bahawa perkembangan syarikat FGV akan berkembang tinggi sehingga mencapai nilai RM1.35 bilion.

    Namun, mungkin kerana selalu diburuk-burukkan Mazlan Aliman sebelum ini, maka Allah “bayar cash” dengan memalukan AJK PAS Pusat itu dengan memberikan nilai perkembangan yang lebih tinggi jumlahnya, RM1.44 bilion! Baca seterusnya https://mykmu.net/2013/02/27/fgv-untung-rm1-13-bilion-mazlan-aliman-gigit-jari/

    ReplyDelete
  4. Dah tua pun bodoh

    ReplyDelete
  5. Kadiag : السَّلَامُ عَلَيْكُمْ‎ ,
    Terima kasih banyak pasai lakag satu babak ayag mata dlm dunia Malaya moden.
    Hang jugak nulih “ Malangnya masih banyak peneroka, khasnya dan orang ramai,
    amnya tidak faham atau tidak percaya rogol korporat yang dilakukan oleh bekas .....”
    ....
    Tetanya tanya aku pasai apa lagu tu....
    Teringat aku satu soalan dlm suroh al Hadid “ Ayat 16

    ۞ أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ

    Yg maksodnya lebih korang
    “ Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.”

    Sayu Kadiag,
    Dari jauh,
    Aku

    ReplyDelete
  6. Aslmkm. Datuk

    Terima kasih kerana mengolah skandal FELDA/FGV dengan bahasa dan isi yang mudah difahami oleh para peneroka. Cumanya, jika tiada tindakan konkrit dan segera diambil, yang buta mata hati akan kata ini semua fitnah. Semoga pihak kerajaan mengambil langkah segera membawa mereka semua yang terlibat ke muka pengadilan dan harta FELDA dikembalikan.

    ReplyDelete
  7. Penipu lar kau kadir jasin

    ReplyDelete
  8. Buat apa nak Main Racis perkauman...kata orang Indonesia itu Cina.....mengapa tak ajar Orand Supremacist Melayu islam Malaysia ..>Felda diURUS orang melayu islam Tak hina Allah??? Felda Patut di Bangkrupkan...itu sebab Semua orang malaysia Kena bagi Tol lagi sampai Mati dan generasi Cucu mereka....selagi tak racis, tak meritokrasi, adil, kebebasan beragama....akibat teruk melanda Malaysia akan jadi tak lama lagi...tunggu ya!!

    ReplyDelete
  9. Salam DAKJ

    Mudahnya Peter Sondakh ni buat duit. Samada dia terlalu pandai atau kita yang bodoh. Tapi saya rasa ramai yang pura-pura bodoh. Saya rasa dalam kes ini Dato, kena buat siasatan terperinci dan jika ada penyelewengan maka setiap seorangnya tanpa terkecuali WAJIB didedahkan ke pengetahuan umum, baru betui maruah Melayu.

    Kalau dak, kita boleh andaikan bahawa nama yang disebut adalah Pengkhianat Melayu dan kita harus labelkan mereka sebegitu.

    Isu Sondakh ini, harus kita susuli dengan tindakan undang-undang jika beliau menipu. ini adalah untuk masa depan beribu orang Felda yang diambang bankrupt.

    Bapa buat, anak pelingkup...tanya lagi malu apa?.

    ReplyDelete
  10. Panggilan 'perogol' untuk mereka2 yang terlibat dengan rompakkan yang dibuat kuncu2 kerajaan dulu maseh boleh di kira beralas.Bila kami bincang tentang hal FELDA ,1MDB, TH, LTAT dll di luar sana, maka penuh dengan sumpah seranah dan kata2 lucah.Terima kaseh DAKJ kerana sentiasa bagi pencerahan dengan bukti2 yang tepat kepada kami rakyat biasa

    ReplyDelete
  11. Salam dato
    Rasanya budak budak sekolah kampung pun faham. Kedai bapa datuk orang lain dah jaga. Puncanya pakcik kita yang gelap mata tu dah masukkan nama siapa siapa entah dalam kedai tu. Peratus untungnya, orang jaga kedai dapat sebab 'letihnya' jaga kedai itu. Habis yang kita ni, yang berpeluh ketiak sapu lantai kedai, punggah barangan jualan, menajak menyangkul serai kunyit untuk jualan kedai boleh dapat apa?

    ReplyDelete
  12. its all about doktrin-3P & the politic of felda

    ReplyDelete
  13. Kadir Yasin mmg pakar dlm bidang penulisan tetapi sangat dangkal drp sudut fakta.. penulisan diatas sama standard dgn penulisan penulis politik upahan...

    ReplyDelete