Tuesday, March 07, 2006

Sebelas Sebab Cukai MPPJ Tak Patut

SEBELUM Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr (gigi) Mohd Khir Toyo, mengisytiharkan Selangor negeri maju, saya memberi amaran dalam kolum “Other Thots” (majalah Malaysian Business) bahawa status negeri maju boleh membebankan rakyat.

Antara lain, saya menyebut bagaimana rakyat negara maju dipaksa membayar kadar cukai tempatan yang lebih tinggi.

Belum pun kering air liur dan boleh dikatakan serentak dengan Selangor Darul Ehsan – negeri kebajikan – dilabelkan “Selangor Maju”, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) menaikkan 10 peratus cukai pintu bagi tahun 2006.

Inilah hadiah tahun baru Kerajaan Selangor Maju pimpinan doktor gigi Khir Toya kepada pemilik harta dan penduduk Petaling Jaya. Terima kasih Mamanda Menteri!

Sebagai pembayar cukai pintu MPPJ yang menderita kenaikan cukai dan sekian lama menderita perkhidmatan yang hambar, saya menulis surat protes kepada Presiden MPPJ, Dato’ Tarmizi Putih. Saya bayar cukai pintu separuh tahun tetapi tidak termasuk tambah 10 peratus yang dikenakan.

Saya memberi 11 alasan mengapa saya membantah. Selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu “beritahu saya apa yang saya perlu tahu dan bukan apa yang saya suka dengar”, saya pun mengutus satu salinan kepada beliau.

Saya juga menghantar salinan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Besar Selangor dan Persekutuan Pengguna Kebangsaan. Tetapi seperti yang dijangkakan, tak siapa pun memberi jawapan. Memaklumkan pun tidak. Hilang dalam pos agaknya! Ada tak ada pun surat amaran daripada MPPJ – kalau tak bayar baki 10 peratus akan didenda.

Berikut adalah 11 alasan yang saya berikan:-

1. Kenaikan yang dikenakan tidak dibincangkan dengan pemilik-pemilik harta. Malah maklumat mengenainya tidak dihebahkan kepada umum. Ini bertentangan dengan dasar Kerajaan sekarang yang mengutamakan ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban;


2. Kenaikan yang dilakukan secara sebelah pihak (unilateral) dan sesuka hati (arbitrary) adalah bercanggah dengan dasar di atas;


3. Kenaikan unilateral dan arbitrari ini sedang dipertikai dan ditentang oleh banyak pemilik harta dalam kawasan kuasa MPPJ;


4. Tidak ada bukti yang konkrit untuk menyokong kenaikan ini. Apatah lagi kenaikan pada kadar 10 peratus ini jauh melebihi kadar inflasi yang diisytiharkan oleh Kerajaan (3.5 peratus) dan mengatasi pulangan pelaburan, termasuk dividen Tabung Simpanan Pekerja (EPF) (4.75 peratus bagi tahun 2005);


5. Kenaikan unilateral dan arbitrari yang tinggi ini akan menggalakkan dan memesatkan proses kenaikan harga yang seterusnya akan memburukkan lagi kadar inflasi;


6. Tidak wujud sebarang tanda bahawa kecekapan dan mutu perkhidmatan MPPJ telah meningkat. Sebaliknya wujud banyak tanda-tanda bahawa produktiviti MPPJ dan perkhidmatannya kepada pelanggan telah merosot, khasnya sejak skim kerja lima hari seminggu diperkenalkan;


7. Adalah satu eksploitasi dan penganiayaan memaksa pemilik harta membayar kadar taksiran yang lebih tinggi bagi menampung sebarang kemerosotan hasil (revenue) MPPJ akibat produktivitinya yang menurun;


8. Banyak janji-janji pilihan raya umum 2004 yang membabitkan MPPJ seperti menaikkan taraf jalan, membina terowong di bawah NKVE dan berbagai lagi belum dilaksanakan;


9. MPPJ membenarkan begitu banyak taman perumahan baru dan menaikkan densiti penduduk walaupun mendapat bantahan keras. Logiknya, MPPJ memungut hasil tambahan daripada pemilik-pemilik harta baru ini dan bukan membebankan pemilik harta yang sedia ada;


10. MPPJ patut terlebih dahulu melaksanakan langkah jimat cermat, mengurangkan pembaziran dan membanteras segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan bukan mengambil jalan mudah memeras hasil daripada pemilik harta dan pelanggan; dan


11. Apakah ini permulaan kepada satu siri kenaikan cukai tempatan (local taxation) kerana Selangor kini berupa negeri maju?

Kalau inilah sikap dan pendekatan jabatan-jabatan kerajaan yang ada kuasa memungut cukai, kebajikan rakyat jelata akan terancam.

Apatah lagi wakil politik yang menjadi anggota majlis pentadbir penguasa-penguasa tempatan ini lebih memihak kepada pengurusan daripada kepada rakyat jelata. Mereka sudah jadi pagar yang makan padi.

5 comments:

  1. Datuk,

    Saya bersetuju dengan persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk. Kesemua fakta yang dibangkitkan sememangnya mempunyai asas untuk dipertimbangkan oleh MPPJ sebelum kenaikan itu dibebankan kepada rakyat.

    Saya ingin menambah, mana-mana PBT di negara ini sewajarnya telus di dalam menyenaraikan perbelanjaan mereka dan juga kutipan yang dibuat. Setiap ringgit yang dibelanjakan wajar diperincikan kepada masyarakat terbanyak untuk melihat samada perbelanjaan itu benar-benar perlu atau tidak.

    Kita tidak mahu mana-mana PBT yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kawasan kita dengan sewenang-wenangnya menaikkan kadar cukai tahunan atas alasan kenaikan kos operasi mereka. Kewajaran kenaikan kos itu perlu dipertimbangkan dengan teliti supaya perbelanjaan yang dibuat adalah perbelanjaan yang benar-benar perlu. Dan sekiranya kewajaran itu ada, adakah perolehannya dibuat dengan betul dan memenuhi ketelusan peraturan perolehan itu sendiri? Kita tidak mahu perbelajaan-perbelanjaan tidak perlu dibuat seperti membina arca, perhiasan yang berlebihan dan sebagainya yang tidak mendatangkan banyak kelebihan kepada masyarakat selain daripada hanya untuk mencantik sahaja. Yang lebih penting adalah kebersihan dan keselesaan berbanding dengan kecantikan.

    Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar perlu telus. Rakyat yang meletakkan mereka di kerusi empuk kepimpinan wajar dirundingi sebelum satu-satu keputusan yang melibatkan mereka diputuskan. Bukanlah susah sangat untuk menganjurkan dialog. Dan datanglah berdialog dengan fikiran dan option yang terbuka. Janganlah terlalu taksub dan jumud dengan kuasa yang ada di tangan tanpa memikirkan kewajaran serta kuasa yang ada di tangan rakyat.

    http://c-bok.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Anonymous9:05 AM

    Banyak sangat dah kejadian-kejadian yang merugikan rakyat dan alam sekitar berlaku apabila kerajaan negeri selangor berkuasa. Kalau dah protes rakyat tak didengar, jadi terpulang kepada rakyat negeri Selangor menyahkan Khir Toyo dan bala-balanya keluar dari kerusi empuk. Kalaulah mereka ni masih terpilih gak selepas pilihanraya, memang takleh nak cakap apa lagi, rakyat negeri selangor pun bodohlah. Ada kuasa tak reti nak gunakan. Jangan salahkan khir toyo.

    ReplyDelete
  3. Anonymous9:44 AM

    Saya tidak tahu sebarang masalah peribadi Datuk dengan MB Selangor. Namun untuk pengetahuan Datuk, bukan sahaja PBT di Selangor yang menaikkan cukai pintu malah Pulau Pinang dan Pahang juga turut menaikkannya sejak 1 Januari 2006.

    Adalah wajar untuk mengkritik kenaikan tetapi untuk menukar nama Khir Toyo kepada Khir Toya saya fikir adalah merendahkan standard penulisan.

    ReplyDelete
  4. Anonymous10:12 AM

    Cukai Pintu: Kenaikan dan Perkhidmatan PBT Harus Seiring


    Kenaikan cukai pintu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya tidak dapat dielakkan lagi dengan kos pengurusan yang melambung tinggi sekarang ini.
    Sungguhpun Akta Pihak Berkuasa Tempatan membenarkan kenaikan cukai pintu pada setiap lima tahun, ada PBT yang telah lebih sedekad tidak menaikan cukai pintu. Keadaan ini menyebabkan banyak aduan dan permintaan memperbaiki prasarana setempat tidak dapat dijalankan kerana kekurangan dana.

    Kos pengurusan sampah sahaja sudah memakan begitu banyak perbelanjaan PBT. Ini belum lagi termasuk kemudahan sukan dengan bayaran yang minima, taman reakreasi yang perlu diselenggara selalu dan jalan-jalan kerajaan tempatan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.


    Untuk menjadi lebih efisyen dan efektif juga pihak berkuasa tempatan perlu menambah kakitangan dan petugas. Ini sekaligus merupakan penambahan belanjawan kepada PBT.

    Kesemua PBT di Selangor akan menaikkan cukai pintu tidak lebih dari 10 peratus seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Selangor.

    Bagi sebahagian penduduk kenaikan tersebut diterima dengan rasional memandangkan ia bukanlah kenaikan yang selalu yang menindas. Bagi sesetengah yang lain akan terus merungut terhadap apa sahaja kenaikan kecuali kenaikan gaji kita sendiri.

    Cakap-cakap PBT harus meningkatkan efisiensi kerja sebelum meningkatkan cukai pintu akan menjadi seperti satu perdebatan mana dahulu antara ayam dengan telur.

    Penduduk akan mempersoalkan kewajaran kenaikan sedangkan kualiti perkhidmatan tidak memuaskan hati mereka. Manakala PBT pula akan menyalahkan kekurangan pendapatan dan dana untuk menjadi lebih efisyen.

    Hakikatnya, kita akan membantah apa sahaja kenaikan kos hidup kita. Alasan menolak kenaikan cukai pintu kerana PBT gagal memberi perkhidmatan terbaik merupakan alasan yang berupa pandangan yang bias.

    Ini kerana soal perkhidmatan PBT terlalu subjektif. Jika longkang di hadapan rumah kita tersumbat sebulan atau dua bulan maka bagi kita inilah mercu tanda kelemahan PBT. Sebaliknya kita pula tidak mengetahui dalam sebulan atau dua bulan tersebut berapa pula aduan yang telah PBT selesaikan di tempat lain.

    Jika jalan berhampiran rumah kita gagal diturap dengan segera maka kita menunding jari menyatakan PBT tidak menjalankan tugas. Hakikatnya, pernahkah kita ambil tahu berapa banyak jalan yang telah diturap atau diperbaiki dalam masa yang sama. Jadi senarai ini akan terus berpanjangan berdasarkan pemerhatian setempat kita.

    Manakala PBT pula akan menyatakan kekurangan dana menyebabkan mereka terpaksa mengagih-agihkan kerja-kerja menyelesaikan aduan penduduk secara berperingkat-peringkat.

    Kekurangan dana juga dikatakan sebagai punca PBT kekurangan kakitangan sekaligus menyebabkan ia gagal menyelesaikan aduan penduduk dengan cepat.

    Tanggapan umum ialah PBT kurang cekap dan sambil lewa. Namun hakikatnya perkhidmatan PBT hari ini jauh lebih baik dan cekap berbanding sepuluh atau lima belas tahun lalu.

    Malahan dengan kira pertumbuhan pesat perbandaran, penghijrahan ke bandar secara besar-besaran, kepadatan penduduk yang lebih tinggi berbanding dahulu, prestasi PBT bulan seburuk yang disangka.

    Malah kecekapan kebanyakan PBT sebenarnya meningkat dengan drastik walaupun hanya bergantung kepada kadar cukai pintu yang lama berbanding pertumbuhan pesat perbandarannya - kepadatan penduduk, pertambahan kawasan baru dan kenaikan kos pengurusan akibat inflasi.

    Justeru perdebatan mana yang perlu didahulukan antara perkhidmatan yang lebih baik atau kenaikan cukai pintu adalah sukar diputuskan.

    Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.

    Ibarat menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, maka kenaikan cukai pintu dan kualiti perkhidmatan PBT haruslah bergerak seiring.

    Dengan kata lain, penduduk hendaklah mendapat kenaikan kualiti perkhidmatan yang setimpal dengan kenaikan cukai pintu.

    Serentak dengan kenaikan cukai pintu ini, kerajaan negeri wajar memastikan PBT bukan sahaja meningkatkan perkhidmatan mereka tetapi juga lebih profesional menangani aduan.

    Misalnya mengapa tidak setiap PBT menyiarkan secara online setiap aduan yang dibuat oleh orang ramai dan apa tindakan yang telah diambil, apa perkembangannya dan siapa pegawai yang bertanggungjawab.

    Jika jalan yang perlu diturap baru dibuka tender maka nyatakanlah ia dalam proses tender. Jika ia dalam proses pemeriksaan maka nyatakan keadaannya. Letakan tarikh dijangka selesai sesuatu aduan tersebut.

    Dengan cara ini penduduk dapat mengetahui perkembangan dan tidak tertanya-tanya. Sebahagian kemarahan orang ramai terhadap PBT ialah mereka dibiarkan tertanya-tanya dan teraba-raba apa terjadi kepada setiap aduan mereka.

    Sekiranya ini dapat diselesaikan maka sebahagian masalah komunikasi antara orang ramai dan PBT sudah selesai

    http://www.selangordaily.com/modules.php?name=News&file=article&sid=1644

    ReplyDelete
  5. Dear Sir,

    While I agree with you on your points, I do fear that the general public / the readers will miss the bigger picture - and that is the neccesity to hold local town council election.

    It is only then - could we hold organization "who at times acts as secret societies" - could be held accountable for every action / policy that they put forward.

    Just a thought Datuk,

    Mat Lentok

    ReplyDelete