Monday, May 14, 2012

Setiap Hari Adalah Hari Ibu

A Kadir Jasin

PERAYAAN Hari Ibu baru berlalu. Emak saya, Hajah Che’ Ah binti Said, tidak tahu hari itu. Saya pun tidak pernah mengucapkan kepadanya selamat hari ibu. Kalau emak tidak tahu, maka saya pula berasa tidak perlu.

Bukan kerana tidak sayang atau tidak pedulikan ibu, tetapi kerana tidak ada ucapan dan tidak ada hari khas yang boleh menggambarkan betapa istimewa dan agungnya ibu.

Bagi generasi emak saya, menjadi ibu adalah penghormatan tertinggi. Membela dan membelai anak-anak tugas suci. Tidak diuar-uarkan sebagai pengorbanan atau mengharapkan sanjungan. Waktu itu, wanita dilahirkan untuk menjadi ibu.

[PERINGATAN. Kalau mengulas guna “anonymous,” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tanpa nama tidak akan disiarkan.]

Generasi saya dididik menyayangi dan menghormati ibu bukan dengan hadiah dan ucapan. Bukan juga dengan hari keraian, cenderahati dan jamuan. Kita diajar menyayangi ibu dengan membantunya di rumah, taat perintahnya dan sentiasa mendengar nasihatnya.

Tanpa ibu dan arwah ayah saya yang mendidik saya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, saya tidak akan berada di mana saya kini berada. Saya sangat bertuah.

Pesan dan motivasi ayah mudah saja (dengan izin). “Kalau hang tak mau ikut pungkur kerbau macam aku, hang kena mengaji pandai-pandai.”

Bukan saya tidak sukakan kerbau. Jauh sekali. Sebaliknya saya amat gemarkan haiwan ternakan dan haiwan kesayangan.

Saya menolong ayah memelihara kerbau, lembu dan kambing. Menolong emak memelihara ayam dan itik. Dan saya mempunyai banyak haiwan kesayangan (pets) – kucing, burung kiau (atau burung gembala kerbau), kura-kura dan ular air.

Seperti pernah saya ceritakan, ayah “mengaji” pondok empat tahun dan sekolah jawi (sekolah Melayu) empat tahun juga. Ikut standard orang kampung waktu itu, ayah dikira orang berpelajaran.

Emak sangat cerdik dan pandai walaupun buta huruf. Waktu itu, bersekolah tidak dianggap perlu bagi kanak-kanak perempuan dan emak terlalu sibuk membesarkan kami untuk menyertai Kelas Dewasa ala Pendekar Bujang Lapuk.

Dia melahirkan sembilan orang anak. Kecuali seorang yang meninggal ketika lahir yang lain membesar dan hidup sampai hari ini. Semua dilahirkan di rumah dengan bantuan bidan kampung sebelum ada bidan kerajaan.

Dari kecil lagi kami diajar tanggungjawab. Yang besar jaga yang kecil. Waktu itu, kain lampin diperbuat daripada kain lama atau kain buruk. Antara tugas saya adalah membersihkan kain lampin di pangkalan pinggir Sungai Pendang dengan bantuan ikan seluang dan temekong yang berebut-rebut makan najis.

Emak berdiang selama 44 hari. Kita membina tempat berdiang (macam fireplace di rumah orang putih) dan menyalakan api sepanjang malam. Siang hari emak bertungku.

Oleh kerana emak mandi di atas rumah, kawasan di bawah rumah bertakung air. Bagi mengelakkan ayam, itik dan budak-budak pengotor mengotorkan lagi persekitaran, kita mencampakkan pokok mengkuang ke dalamnya.

Kita diberitahu, mengkuang itu adalah untuk memerangkap hantu langsuir yang cuba masuk rumah untuk menghisap darah orang baru bersalin dan bayinya. Sebenarnya, ada muslihat lain. Kaki mengendap dan budak-budak nakal ada mana-mana!

Orang baru bersalin sangat pantang makan. Rahsia di sebaliknya adalah pada waktu itu makanan dan persekitaran tidak begitu bersih dan selamat. Ibu baru bersalin yang lemah daya tahannya mudah dijangkiti penyakit.

Jadi emak hanya makan ikan talang dan haruan kering yang dibakar, sambal lada hitam, ulam temu lawak, pegaga dan pucuk mengkudu rebus. Ubat-ubatan moden tidak ada. Jadi emak amalkan ubat-ubatan kampung. Kalau bayi kembung perut, dia akan dituam dengan daun sirih yang dilayur guna pelita minyak tanah.

Selain bertungku, emak juga berbengkung untuk menjaga kecantikan badan. Alhamdulillah, berkat amalan kesihatan dan pemakanan yang seimbang dan sederhana, emak tetap sihat walaupun sudah lebih 80 tahun.

Bagi seorang ibu, tiada yang lebih menggembirakan daripada mempunyai anak-anak yang berjaya, mengenang budi dan mengambil peduli. Bagi seorang ibu, anaknya tidak pernah tua. Dialah anak yang dibuai dan dibelai ketika masih merah berdarah.

Sampai hari ini pun, emak saya masih mengusap rambut saya dan mencium saya. Begitulah istimewanya kasih seorang ibu. Tepat sekali kata seniman agung Allahyarham P Ramlee, “ibu, engkaulah ratu hatiku”. Marilah sama-sama kita abadikan sebuah lagu, sebuah puisi atau sebuah prosa buat ibu kita. Insya-Allah.

20 comments:

  1. Anonymous6:48 PM

    Salam Tok,
    Huwaaa...emak saya tak jaga saya. Emak saya kasi saya kat Tok Wan. Tok Wan yang jaga dan beri segala kasih sayang pada saya. Bila emak ambik balik saya dari Tok Wan (ketika itu saya sudah besar)..saya selalu kena marah-marah. Sedih Tok bila baca imbasan kenangan Datuk yng indah yang tidak dimiliki oleh saya.

    Batu Sungai.

    ReplyDelete
  2. Salam Dato,




    Sambutan/Menyambut Hari Ibu (Mother's day)ni, kut mana mai ni pulak dato?



    Ikut sejarahnya zaman orang greek,depa merayakan `mak tuhan' rhea,the mother of all dieties.


    Lepas tu orang roman teruskan sambutan ini, sambutan untuk cyebele,mak tuhan depa...


    Lepas tu,orang kristian sambung pulak perayaan menghormati virgin mary,mak christ...



    Dalam tahun 1600an kat england depa `modified' sikit,lepas sembahyang untuk virgin mary, depa minta kanak kanak beri hadiah dan bunga kat emak mereka..mula buat bisness sikit untuk sambutan Mothering Sunday. Yang bekerja disuruh cuti,pi melawat dan beri hadiah pada ibu ibu mereka.


    Mothering sunday ni lepas tu mati macam tu saja dieropah dikurun 19 .



    Di USA pada 1870an,Julia W H ,seorang activist anti perang, mulakan sambutan Mother's Day, UNTUK PROMOTE keamanan,anti perang...tak kena mengena dengan ibu ka, emak tuhan ka,ugama ka..



    Lepas tu pada 1900an Anna Jarvis, ubah pulak, dia menghargai mak dia yang dah mati,dengan hantar kalungan bunga kat gereja di virgina..untuk menghargai ibunya. Dah tu,dia dan kawan kawan dia tulis surat kat pelobi dikongres amerika, minta rasmikan(official declaration) hari ibu. Presiden USA, W wilson mengistiharkan bahawa minggu kedua bulan may adalah MOTHER'S DAY...kat amerika laa!.


    Tapi Anna Jarvis ni tak kawin dan tak ada anak...dia betui betui sayang mak dia!.


    Massive commercialisation of the mother's day has nothing to do with
    Anna Jarvis.



    SO kalau anda sambut/merayakan mother's day..hampa pikiaq la yang mana satu hampa ikut, macam kat atas tu.!.



    Negara negara ditimur tengah pun ikut macam tu juga dah!( arab saudi,UEA,yemen,bahrain,kuwait,lebanon,mesir,palastin,qatar, iraq,sudan dll..)



    TETAPI, menyayangi dan menghormati ibu setiap hari/masa,semasa depa hidup dan mendoakan rohnya setiap masa selepas mereka mati adalah islam...



    Abu Bakar Ab Rahman

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum Uncle,
      Mohon share.

      Regards,
      Hazil SS

      Delete
  3. Cerita, pengalaman dan perhargaan kepada ibu. Antara yang terbaik. Terima kasih di atas posting menarik ini.
    SJW

    ReplyDelete
  4. Zaidi8:10 AM

    Kalau orang buat Hari Ibu itu bermakna ada hari untuk di"tema"kan. Tanpa hari ibupun kita tetap letakkan ibu ditempat istimewa. Betul kata Datuk, pada mata ibu, kita sebagai anak sentiasa kecil. Sehebat manapun kita, ibu tetap memandang kita itu "kecil" dan perlukan perhatian. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman Datuk itu..amat berharga dan penuh warna.

    ReplyDelete
  5. Salam hormat DAKJ,

    Saudara Abu Bakar Ab Rahman,

    Orang kita suka sangat 'meniru' tanpa mengkaji betul-betul.

    Dato,

    Betul tu pasal mengkuang berduri, tapi remaja kita tak kenal mengkuang berduri sebab specie hampir pupus.
    Ceruk-ceruk kampung adalah sebatang dua. Di kampung mereka kenal apa itu mengkuang berduri.

    ReplyDelete
  6. awang batuburok9:17 AM

    Salam Sejahtera Dato'dan Bonda yang sangat dikasihi,

    Saya sangat bersetuju dengan pandangan Dato, kasih ibu mesti dihargai 365hari setahun.Cara sambutan hari ibu sekarang lebih terikut-ikut budaya barat, sangat tidak sesuai untuk kita masyarakat melayu-islam, kerana banyak aturcara yang dibuat lebih condong kpd budaya menunjuk-menunjuk yg tidak MENDIDIK generasi muda tentang erti pengorbanan dlm kehidupan dan tidak menggambarkan keikhlasan. Lebih malang lagi masih ramai ibu-ibu, terutamanya ibu tunggal yg terbiar dan tidak terbela nasib kehidupan mereka ditengah-tengah kemewahan golongan yg berkuasa spt yg dipromosikan dalam media arus perdana. Apa khabar Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga?
    Masih sibuk dgn lembu-lembu lagi ke?

    Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  7. Anonymous9:51 AM

    Assalamualaikum Dato'.
    Emak dan abah saya sentiasa bersama2 saya setiap detik kerana darah yang mengalir dalam tubuh saya adalah gabungan darah mereka berdua. Walau pun mereka sudah kembali menemui Pencintanya , mereka masih berada 'dekat' dengan saya setiap saat dan saya sentiasa bedoa untuk kesejahteraan mereka berdua.
    Saya terdidik dalam suasana dimana kehidupan agak sukar tetapi saya adik beradik tidak pernah kelaparan. Kami adik beradik didik untuk menghormati yang lebih tua, jangam berlagak sombong, sentiasa merendah diri dan segala2 yang positif.
    Saya tidak pernah mengabaikan emak dan abah saya ketika hayatnya.
    Alhamduliilah sehingga hari ini dan Insya-Allah sehingga saya mati pun nilai2 baik itu tetap menjadi amalan saya. Malah saya dapat menurunkankanya kepada anak saya dan Alhamdulillah anak saya dapat menerimanya dengan baik. Saya tidak ada masaalah mendidik anak saya kerana berkat dari mematuhi nasihat abah dan mak saya.
    Hari ini keadaan berubah, komunikasi semakin canggih. Itu pun masih ada anak2 yang tidak 'mampu' menjaga ibu dan bapa. Nilai kebendaan mengatasi nilai kasih sayang itu sendiri. Mereka akan mengingati ibu pada 'hari ibu' yang diraikan setahun sekali. Itu pu ada yang lupa atau buat2 lupa.
    Ada yang mempersoalkan bahawa sambutan 'hari ibu' adalah haram kerana mengikut tradisi 'mother's day' yang dikaitkan dengan ritual keagamaan. Namun secara peribadi saya berpendapat ianya bergantung kepada niat siperainya. Dalam konteks orang Islam di Malaysia saya fikir sambutan hari ibu adalah berlainan sama sekali dengan 'Mother's day' seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.
    Saya fikir adalah tidak salah kecuali difatwakan salah untuk menyambut jhari ibu dengan niat meraikan ibu kita dan peryataan rasa kasih sayang anak2 terhadap ibu mereka. Wallahua'lam.

    MOHD TAIB KAMIN

    ReplyDelete
  8. Anonymous11:07 AM

    Aslkum Dakj

    Peringatan sabda nabi....banyak mana redha Allah pd kita bergantung sebanyak mana redhanya ibu bapa kita kepada kita.

    Banyak sudah contoh depan mata yg menjadi saksi kpd kebenaran hadis ini.

    Din klang

    ReplyDelete
  9. salam, tok scribe.

    terima kasih atas masukan yang bukan sahaja menarik tetapi menginsafkan. betul, setiap hari adalah hari ibu!

    ReplyDelete
  10. Anonymous12:07 PM

    Abu Bakar Abd Rahman,

    Terima kasih atas pencerahan dari sdr.

    Walau bagaimanapun sambutan hari ibu dalam keluarga saya tidak ada kena mengena dengan asal-usul "Mother's Day".

    Saya dididik oleh ayah (dan juga mendidik anak saya sendiri), hari ibu adalah hari dimana anaknya itu dilahirkan.

    Jadinya, tak adalah anak itu asyik fikir hadiah hari jadinya sahaja; hadiah hari ibu pun kena congak juga.

    Isteri saya ada 4 kali hari ibu dalam setahun.

    Fed Up

    ReplyDelete
  11. Anonymous12:35 PM

    Sdr Jaja

    Cerita pasal pokok mengkuang yang hampir pupus, saya bercadang untuk menanam pokok mengkuang sebagai pokok landskap. Satu hari saya cuba mencarinya di sepanjang Jalan Mengkuang, Telok Panglima Garang, tetapi tak jumpa.

    ...SAJI

    ReplyDelete
  12. Anonymous12:40 PM

    Awang batu buruk buat dah! Melencong cerita. Ini bukan cerita hari ibu lembu.
    Saya juga ada cerita seperti dato walaupun saya muda sikit dr dato. Bau hamis ibu dan tangan kasar ibu yang mengurut perut saya masih terasa sampai skrg. Walapun dia telah pergi hampir 15 tahun yang lalu. Al fatihah....

    Anak Mak dan Ayah

    ReplyDelete
  13. Saudara Dato Kadir,

    Apabila saya menulis dan mencurahkan isi hati melalui coretan ini bermakna saya mengucapkan hari ibu lah. Tapi sedihnya ibu saya sudah tidak ada.

    Bagi yang masih beribu, sayang-sayanglah kepada ibu. Tidak ada tolak bandingnya walau dalam segi mana sekalipun. Bila ibu sudah tidak ada, baru saya sedar bahawa saya amat memerlukan ' leter' seorang ibu. Kini baru saya sedar betapa nikmatnya mendengar leteran seorang ibu.

    Amat berbeza leteran seorang ibu dengan leteran seorang isteri!

    Kini ibu sudah tiada. Saya pun tidak pernah mengucapkan hari ibu kepada ibu ketika masih hidup, Tapi seingat saya tidak pernah derhaka walau sekcil mana seklaipun. Jikalau ibu marah ( diatas sifatnya untuk menjadikan kita seorang yang berguna) hanya 'menjawab' dengan linang air mata. Tidak pernah langsung membalas dengan meninggi suara. Itulah hubungan antara ibu dan anak secara 'orang dulu-dulu'

    Abu Hasan Adam

    ReplyDelete
  14. Lahuma4:52 PM

    Dato.

    Setiap hari adalah hari ibu.

    Tidak ada ibu dalam dunia ini yang mendoakan anaknya sengsara dan menderita.

    Kebanggaan seorang ibu ialah bila anaknya berjaya dal;am hidup.

    Ibulah satu-satu manusia yang tidak pernah iri hati atau cemburu melihat kajayaan anaknya.

    Ibulah insan yang boleh diharap semasa susah dan senang.

    Oleh itu kasih ibu memang tidak ada tolok bandingnya dalam hidup ini.

    Doa ibu amat mustajab.
    Restu ibu amat mulia.
    Kalau nak bahagia dalam hidup.

    Antara doa paling mustajab ialah doa seorang ibu.
    Doa orang miskin yg selalu mengingati Allah.
    Doa orang yang kena zalim.

    Setiap detik adalah hari ibu.

    Terima kasih..

    ReplyDelete
  15. McJenin11:28 PM

    salam Dato' KJ.

    Cerita nostalgia mcm ni lagi bagus dpd cerita2 politik yang tak kesudahan dan meloyakan kadangkalanya. Posting yang menarik.

    ReplyDelete
  16. Anonymous12:09 AM

    Setiap detik, sepanjang hari saban tahun Hari mengenang Ibu... Barat mencipta satu Hari Ibu, kemudian itu disambut sekali beberapa tahun akan datang, sedangkan seringkali balik kampung ibu yang tersayang.
    Ibu segala-gala walaupun saya kurang mampu menghadiah atau membawa makan-makan yang enak-enak walaupun bukan taste. Cuma ucapan seorang anak bertanya khabar dia bersemangat dibalut usia.

    ARMUS KHAMAL

    ReplyDelete
  17. sebak baca ... beruntung tok kadiaq sebab ada mak lagi ... saya muda lagi dah kehilangan mak sebab kenser ...

    ReplyDelete
  18. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu

    ReplyDelete
  19. Rahasia Ar-Rahiim
    (ar-rahmaan mengajar qur'an)

    bismillahir-rahmaanir-rahiim
    kata ibu ajar ibu kepada ku

    syurga itu di bawah telapak kaki ibu
    benar kata arab itu sarmakand dia
    ibu
    ibu
    ibu dan ayah mu

    ar-rahiim
    rahasia ibu

    ibu mengajar daku
    membuka pintu
    cahaya menyinari siroatol mustaqiim

    tuhan itu esa kata ibu
    muhammad pesuruh allah
    sembahyang puasa
    duit raya kuih raya
    selepas minta maaf ayah dan ibu

    demi masa
    ibu betelekan 'alal-aroa-ik
    ibu dan ayah dikalangan mukminuun

    setiap si-anak tahu darjat insan
    si-anak itu bumi
    ibu dan ayah itu langit

    kata anak melayu rawa
    omak itu ibu
    abah itu ayah
    ar-rahiim itu rahasia ibu
    syurga di bawah telapak kaki ibu

    ReplyDelete