A Kadir
Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
1957: Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman, isytihar merdeka |
MERDEKA!
Merdeka!
Merdeka!
Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang
ke-62.
Mengikut takrif asal daripada bahasa Sanskrit “maharddhika”,
merdeka membawa maksud kekayaan, keagungan dan kekuasaan.
Soalnya, adakah kita telah merdeka seperti yang
dimaksudkan dengan istilah “maharddhika” itu?
Adakah kita kaya dari segi harta benda, ilmu
dan budi pekerti?
Ya dan tidak. Kita lebih kaya daripada
zaman penjajahan. Tetapi bukan semua. Ada yang kaya sehingga tidak terkira hartanya.
Tapi ada yang miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Ramai Bumiputera masih dalam kategori
“sarung index” yang dikisahkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Masih hidup sehelai
sepinggang.
Macam itu juga dengan ilmu. Ada sebahagian
yang setanding dengan yang terbaik dan terunggul di dunia.Mampu melancarkan satelit ke angkasa.
Cambridge, Ofxord, Harvard, Yale dan
IMD adalah padang permainan mereka.
Tetapi masih ramai yang tercicir
dari sekolah rendah dan menengah atau yang ijazahnya hanya mampu mendapatkan
mereka kerja dengan kerajaan sahaja.
Budi pekerti? Mohon ampun dari hujung
rambut sampai ke hujung ibu jari kaki kalau saya katakan, budi pekerti apa yang
hendak kita banggakan?
Merompak, menyamun, melakukan rasuah,
menipu, tidak bayar balik hutang, curi tulang, tidur di surau atas alasan sembahyang,
tidak hormat undang-undang, tidak hormat orang tua.
Tetapi bercakap tentang bangsa dialah
wira. Bercakap tentang agama kalah ulama.
Keagungan dan kekuasaan? Pun serupa. Ya dan
tidak. Apa ukuran keagungan kita? Kekayaan
yang tidak terkira atau ketinggian ilmu dan harga diri?
Sebutir bintang di langit gelap. Pancaran cahaya
pada hari mendung. Saya mendengar cerita ada seorang raja agung yang
bercakap tentang “conscience”, tentang hati kecil, tentang betul dan salah. Alhamdulillah.
Demi anak, cucu dan cicit kita |
Ada harapan bahawa demokrasi berparlimen dan
raja berperlembagaan masih boleh menjadi jaminan masa depan.
Saya berbual dengan seorang ulama Melayu yang
berpangkalan di Universiti Oxford agar menasihati raja-raja supaya menjadi
khalifah di muka bumi seperti diunjurkan oleh Quran dan hadis.
Manalah tahu akan muncul sekali lagi ulama besar
seperti Sheikh Abdullah Fahim yang memberi amaran: “Bila kita dah merdeka nanti
jangan ada pemimpin ambil kesempatan buat kekayaan di atas belakang rakyat.”
Sheikh Abdullah Fahim juga diingati kerana satu
lagi amaran beliau yang amat tajam yang boleh jadi sudah separuh terjadi.
Kata Almarhum: “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik
sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan
tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang)
beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan
(dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”
(Dipetik daripada buku “Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos ‘57” oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).
(Dipetik daripada buku “Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos ‘57” oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).
Menurut cerita popular, ketika beliau dikunjungi
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan para pemimpin UMNO lain untuk mendapatkan tarikh sesuai
bagi mengisytiharkan kemerdekaan, Abdullah Fahim mencadangkan dua tarikh.
Satu pada 31 Ogos 1957 dan satu lagi 31 Ogos 1962. Pada
pendapat beliau, tarikh 31 Ogos 1957 paling sesuai memandangkan segala usaha
dan perjuangan rakyat Malaya sudah sampai kepada masanya untuk membuat tuntutan.
Tetapi sekiranya pihak British tidak bersetuju
dengan tarikh itu, maka satu lagi tarikh yang sesuai dan baik ialah 31 Ogos
1962.
Apabila kedua-dua tarikh tersebut dibincangkan
pada mesyuarat peringkat tertinggi UMNO, Ketua Pemuda ketika itu, Almarhum Tun Saadon Jubir,
menolak 31 Ogos 1962 dan bertekad sekiranya British tidak setuju dengan 31
Ogos 1957 maka pemuda akan bertindak habis-habisan untuk menentangnya.
Kita bernasib baik kerana seorang
pejuang kemerdekaan masih bersama kita – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Baca autobiografi beliau – Doktor Umum
– dan kita akan tahu lebih banyak ceritanya.
Wallahuaklam.