About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).

Thursday, March 29, 2007

Singapura Akan Terus Gugat Kita

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan dan perkauman tidak akan disiarkan.]

UPDATE, 30 MAC

TENGKU Razaleigh Hamzah berucap. Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar dan kemudian mengulas.

Dua veteran politik tanah air yang pernah bermusuh hari ini berkongsi pentas di Universiti Malaya. Tengku Razaleigh memberi ceramah bertajuk “Pemikiran dan Visi Tun Abdul Razak Dalam Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia Merentas Sempatan Etnik” anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu.


Bekas Menteri Kewangan itu, antara lain, berhujah: “Memang bukan tugas kerajaan untuk berniaga. Tanggung jawab kerajaan, antara lain, adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara, misalnya dengan mewujudkan keadaan yang boleh menarik pelabur asing untuk melabur di negara ini.


Gambar ihsan: Malaysia Today

“Tetapi kerajaan yang dipilih oleh rakyat juga mempunyai tanggungjawab moral dan tanggungjawab memelihara kedaulatan negara dan maruah atau jati diri bangsa. Ini bererti bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa bumi atau kawasan ekonomi kita ini tidak dijadikan milik ekonomi kuasa-kuasa asing sehingga kita nanti akan menjadi tawanan kuasa-kuasa ekonomi dan politik luar, dan rakyat yang memilih kerajaan itu seolah-olah menumpang di kawasan ekonomi milik asing di tanah air mereka sendiri.

“Saya kebetulan terbaca sebuah artikel yang tersiar di dalam sebuah akhbar di Bangkok sewaktu saya berada di sana baru-baru ini. Tajuknya ialah “From Money Politics to Moral Politics’. Menurut artikel itu, negara Thai sedang pulih daripada kerosakan politik wang atau rasuah politik pentadbiran Thaksin. Penulisnya berkata “While Thailand recovers from the excesses of the previous administration, our people need to be shown that modesty, honesty, hard work and moderation are the keys to a harmonious society”.

“Tun Razak cuba mewujudkan masyarakatnya yang harmonious itu, baik dari segi kemakmuran ekonominya, lebih-lebih lagi dari segi keharmonian etnik yang cuba dibina melalui dasar pelajaran, dasar pembangunan ekonomi dan dasar kebudayaan kebangsaan seperti yang telah kita jelaskan sebelum ini. Tetapi jika ‘kemajuan ekonomi’ atau pelaburan asing digalakkan oleh politik wang seperti yang berlaku di Thailand itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab moral politik untuk mencegah perkembangannya sebelum keharmonian masyarakat dan keselamatan negara ini tergugat.

“Kita tidak perlu takut kepada pelabur asing asal sahaja pelabur asing itu tidak dibiarkan menakluki kawasan kita seperti yang dilakukan oleh Israel yang menakluki kawasan Tebing Barat dan kawasan-kawasan lain Palestin melalui pencerobohan tentera. Pelaburan asing jangan dibiarkan berkembang menjadi penceroboh atau perampas ekonomi di negara ini.

“Yang kita khuatir ialah politik wang dan amalan rasuah yang datang dari dalam diri bangsa kita sendiri – bangsa kita yang berkuasa menentukan nasib bangsa dan negara menurut kehendak mereka (pihak yang memimpin) (dan) tidak menurut kehendak rakyat, sehingga anak cucu kita nanti tidak mempunyai apa-apa harta lagi untuk meneruskan kehidupan mereka di tanah air sendiri.”

Kebetulan Dr Mahathir juga bercakap panjang lebar mengenai bahawa memberi hak keluar-masuk tanpa pasport dan menjual hartanah kepada orang asing di dua kawasan khas di Johor dalam dialognya dengan ahli Umno dan penduduk Kulai Besar kelmarin (29 Mac).

Posting Asal

ATAS nama globalisasi, perdagangan bebas, persaingan sihat dan survival, Singapura akan terus “mensabotaj” ekonomi Malaysia.

Ranting zaitun yang pemerintah kita hulurkan dengan begitu mesra kepada negara satu parti itu tidak bermakna; ibarat bertepuk sebelah tangan.

Beberapa hari sebelum kita menjadi tuan rumah Perlumbaan F1 di Sepang, Reuters melaporkan bahawa Jumaat ini Singapura akan mengumumkan bidanya untuk menjadi tuan rumah F1.

Apa akan terjadi kepada F1 Sepang?

Kalau kita masih ingat tindak tanduk Singapura ketika krisis matawang 1997, kita tidak boleh terlalu yakin dengan masa depan F1 Sepang.

Kini mereka bersaing dengan membuka kasino mereka sendiri dan mereka mungkin setuju projek kereta api laju YTL kerana mereka maju memajukan tanah Keretapi Tanah Melayu di bumi mereka.

Tatapi meraka tidak mahu berunding mengenai perjanjian air kerana perjanjian sekarang menguntungkan mereka. Mereka mendapat bekalan air murah daripada kita.

Adakah Ini balasan sebuah negara jiran yang kononnya sangat akrab dengan kita setelah pemerintah kita menjajikan kunci emas kepada mereka di bumi Johor dengan mewujudkan SJER?

Di mana maruah dan kebijaksanaan kita?

Tuesday, March 20, 2007

Bunuh Diri Jika Najib Cabar Abdullah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]

NAJIB cabar Abdullah?

Satu tajuk yang menarik yang pada akhir-akhir ini menjadi bahan perbualan umum.

Apakah ada kebenaran kepada cakap-cakap ini atau sekadar penyedap mulut sahaja?

Cakap-cakap seumpama ini cukup hangat sekarang sehingga memaksa Najib menafikannya.

Namun, dalam politik tiada apa yang mustahil. Ungkapan Inggeris menyifatkan politik sebagai “the art of the possible” – segala-galanya mungkin terjadi dan boleh terjadi.

Kita tidak perlu memandang jauh ke dalam sejarah. Sebelum tahun
1998 tiada banyak yang menyangka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir tahun itu, Abdullah tiada berada dalam radar pewarisan. Umum, pada waktu itu, beranggapan selepas Mahathir adalah Anwar dan selepas Anwar adalah Najib.

Tiada terlintas di fikiran mereka bahawa cinta lara Mahathir-Anwar akan porak-peranda, Abdullah dibawa balik dari pinggiran dan Najib dipinggirkan.

Takdir yang memainkan peranan mengembalikan Abdullah dari pinggiran dan meminggirkan Najib telah juga bertanggungjawab meminggirkan Mahathir dari arus perdana politik Umno dan negara.

“Keperdana-menterian” Abdullah adalah penentuan mutlak dan mutakhir takdir.

Apakah takdir sedang atau akan menentukan yang Najib akan mencabar Abdullah seperti Anwar mencabar Mahathir?

Pandangan peribadi saya (saya ulangi pandangan peribadi) mengatakan bahawa Najib tidak akan mencabar Abdullah kerana Najib bukan Anwar dan Abdullah bukan Mahathir.

Najib tidak mempunyai perwatakan peribadi dan politik seperti Anwar. Apa pun yang dikatakan mengenai Anwar, dia adalah seorang aktivis politik yang gigih, berani dan karismatik.

Anwar datang dari akar umbi. Dia membina kerjaya politiknya melalui gerakan belia, khususnya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Dia keluar masuk penjara akibat politik.

Daripada politik akar umbi inilah Anwar, secara revolusi, melahirkan banyak penyokong dan pengikut. Mereka tidak segan silu menyatakan taat setia kepada beliau dan beliau tidak segan silu mengiktiraf kesetiaan mereka.

Maka Anwar mengelilingi dirinya dengan penggerak politik, korporat, akademik, pentadbiran dan kemasyarakatan yang komited dan berani.

Najib pula dibentuk dan dicanai oleh politik kerana dia adalah anak seorang Perdana Menteri dan Orang Besar Negeri (Pahang). Dalam erti kata lain, politik membentuk Najib. Ledakan emosi akibat kematian awal Tun Abdul Razak Hussain memudahkan kemasukan Najib ke dalam arena politik.

Kalau Anwar membina landasan politiknya melalui revolusi, Najib memilih jalan evolusi. Perjalanannya dipermudahkan oleh Almarhum Tun Hussein Onn yang berupa bapa saudaranya (melalui perkahwinan) dan oleh Dr Mahathir yang terhutang budi kepada bapanya.

Melalui jalan selamat itu Najib menyemai dan membajai jaringan politiknya sehingga menjadi Naib Presiden Umno paling popular dari aspek undi.

Tetapi tidak seperti Anwar, Najib tidak mempunyai penyokong dan pengikut yang fanatik. Buat waktu ini saya tidak nampak Najib mempunyai “penyokong berani mati.” Ini tidak bermakna saya menafikan kewujudan sokongan yang tersembunyi dan meluas untuk beliau.

Najib bukan Anwar dan Abdullah bukan Mahathir. Tanpa sokongan menyeluruh dan terbuka, Najib mustahil akan atau boleh mencabar Abdullah.

Abdullah bukan Mahathir kerana sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah lebih kuat daripada Mahathir. Kuat dalam konteks ini menjurus khusus kepada kuasa politik, pentadbiran dan kewangan.

Ya, Abdullah lebih kuat daripada Mahathir kerana Mahathir secara sedar memperkuatkan kedudukan sesiapa sahaja yang menyusuri beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Ini berlaku apabila Dr Mahathir dan anggota pasukannya yang dilabelkan sebagai "Team A
terselamat dalam perebutan kuasa tahun 1987 telah meminda perlembagaan parti untuk menyukarkan cabaran terhadap penyandang, khasnya Presiden dan Timbalan Presiden.

Selaras dengan sifatnya sebagai “political survivor” yang bijak memanipulasikan suasana politik, Abdullah memperkukuhkan kedudukannya dengan memusatkan kuasa eksekutif di sekeliling jawatan Perdana Menteri dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Inilah kali pertama dalam sejarah di mana Perdana Menteri memegang dua portfolio utama yang lain, khususnya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Ini diperkuatkan lagi dengan pelaksanaan “sistem presiden” (presidential system) di mana beliau melantik pegawai-pegawai khas dan pembantu-pembantu peribadi yang bukan dari Perkhidmatan Awam, Umno atau ikhtisas.

“Pembantu-pembantu Presiden” ini sangat berpengaruh di Jabatan Perdana Menteri, kementerian-kementerian, badan-badan korporat, khasnya GLC, dan organisasi-organisasi maklumat dan propaganda.

Justeru itu, adalah jelas bahawa Najib bukan sahaja tidak berupaya untuk mencabar Abdullah malah beliau tidak pun berkemampuan untuk berbeza pendapat dengan Perdana Menteri secara terbuka.

Malah sejak dua tahun kebelakangan ini Najib terpaksa memainkan peranan sebagai pelindung (defender) dasar-dasar dan tindakan-tindakan kerajaan yang tidak popular seperti menaikkan harga petrol, diesel, gas memasak, tarif elektrik dan tol lebuh raya.

Ini adalah kerana beliau lebih berkemampuan untuk berartikulasi mempertahankan dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang ditentang ramai itu. Adalah hakikat bahawa Najib mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang boleh dikatakan menyeluruh mengenai isu-isu ekonomi dan perniagaan.

Apa pun emosi dan tanggapan umum mengenai pentadbiran sekarang, baik dan buruk untung dan rugi nasib rakyat masa ini dan pada masa akan datang bergantung kepada keupayaan Najib menerima nasib dirinya sebagai orang nombor dua parti dan kerajaan.

Dia tidak boleh mengatakan tidak kerana dia juga terbabit meminda Perlembagaan Umno yang memberikan kuasa yang begitu besar kepada Presiden dan justeru itu Perdana Menteri.

Dan kalau takdir masih menghendakinya, dia masih ada harapan menjadi Perdana Menteri menggantikan Abdullah, mungkin tidak setahun dua ini tetapi satu atau dua penggal lagi.

Thursday, March 15, 2007

Bukan Penembak Curi Yang Ditakuti

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]

UPDATE, 18 Mac

PORTAL berita Malaysiakini melaporkan bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah mengarahkan akhbar di bawah kawalannya agar “tidak mencetak atau memberi sebarang pertimbangan kepada makalah Internet yang didapati tidak berasas atau berasaskan kepada spekulasi semata-mata.”

Arahan bertanggal 13 Mac memberi amaran kepada media massa arus perdana agar tidak memetik atau menyiarkan rencana portal berita dan blog yang “anti-Kerajaan.”

Malaysiakini mendakwa memperoleh salinan surat yang ditandatangani oleh seorang pegawai Unit Kawalan Penerbitan dan Al-Quran bernama Che Din Yusof bagi pihak Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan.

Ini adalah satu lagi contoh kebimbangan pemerintah terhadap pengaruh saluran maklumat Internet seperti portal berita dan blog, dan kawalan yang semakin ketat ke atas media massa arus perdana.

Namun ada juga kebaikan kepada arahan terbaru ini. Ia memaksa media massa arus perdana agar memberi perhatian kepada maklumat Internet dan mendalami kesahihannya.

Kesimpulannya media massa arus perdana boleh menyiarkan bahan portal berita dan blog jika didapati berasas seperti pendedahan bahawa Kerajaan membeli jet mewah berharga RM200 juta untuk kegunaan pembesar negara baru baru ini.

Sekadar kegusaran --- apakah baik bagi media massa arus perdana, kepada kebebasan akhbar dan kepada kewibawaan pengarang media arus perdana menerima “warkah” sedemikian dari pemerintah?


POSTING ASAL

PERBUATAN memburuk-burukkan blog dan laman berita web di akhir-akhir ini bukan kebetulan.

Ia adalah satu kempen yang diilhamkan oleh pemilik dan pengendali jentera maklumat dan propaganda rasmi.

Kalau kita masih ingat, tembakan pertama terhadap blogger dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Air, Datuk Shaziman Abu Mansor Ogos lalu. Beliau menyifatkan sesetengah blogger dan pengulas blog sebagai penembak curi.

Saya yakin walaupun Shaziman mengherdik blogger dan pengulas blog yang menembak curi, beliau sebenarnya lebih takut kepada blogger dan pengulas blok yang memperkenalkan diri mereka.

Walaupun majoriti blogger adalah orang biasa yang mengguna Internet sebagai tempat menyimpan catatan (log) peribadi, semakin banyak wartawan dan golongan profesional lain kini menggunakan blog sebagai saluran komunikasi.

Inilah yang ditakuti oleh pemerintah dan elit politik. Mereka bimbang keupayaan mereka membentuk dan menguasai pendapat umum melalui saluran tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen dihakis oleh saluran baru maklumat ini.

Tuduhan rambang Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor bahawa blogger umumnya wanita, menganggur dan berbohong adalah manifestasi “ketakutan” elit politik parti pemerintah terhadap pengaruh blog dan laman berita web yang semakin ketara.

Bukti kebimbangan mereka menjadi mutakhir dan sahih apabila akhbar New Straits Times berasa perlu mengerah seorang penulis kolum untuk membelasah blogger.

Penulis yang diupah itu (yang makan gaji) antara lain berkata sfera blog tempatan adalah tempat bermastautin orang yang cacat kehidupan dan ahli tilik yang terpinggir.

Katanya hujah-hujah bodoh dan melulu mereka membuktikan mereka tidak berdaya dan tidak berhak untuk mendapat kerja sepenuh masa.

Penulis yang diupah itu menambah, khabar angin, tuduhan melulu, separa-kebenaran dan pembohongan mutakhir adalah barang jualan mereka dan piawaian, prinsip dan etika diketepikan.

[Malangnya dia tidak pula menyebut bahawa sampai hari ini NST tidak memohon maaf atau menyiarkan surat Tun Dr Mahathir Mohamad memperbetulkan kesilapan laporan mengenai pertemuan beliau dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Tokyo tahun lalu.)

Isunya lebih besar daripada blogger lawan media arus perdana atau Teuku Adnan lawan blogger wanita. Isunya ialah semakin banyak bekas wartawan media massa arus perdana kini menjadi blogger dan banyak wartawan media massa arus perdana membaca blog dan mencuri-curi mengulas dalam blog.

Dalam konteks yang lebih luas blog dan laman berita web berkemungkinan besar menjadi pemangkin kepada pertembungan generasi pada pilihan raya umum akan datang.

Adalah tidak mustahil bahawa pilihan raya umum nanti akan menjadi gelanggang perentapan generasi yang akan menyaksikan pertembungan antara generasi lama dengan generasi baru.

Manakala generasi lama terikat dengan norma tradisional seperti menyokong parti hidup atau mati, taasub kepada personaliti bergantung pada saluran maklumat tradisional dan buta IT, generasi baru pula bebas daripada politik kepartian, tidak bergantung pada saluran maklumat tradisional dan celek IT.

Pilihan politik generasi muda dijangka lebih menjurus kepada isu daripada taat setia kepada parti atau personaliti.

Inilah asas ketakutan yang menyebabkan orang seperti Shaziman, Teuku Adnan dan penulis kolum upahan memaki hamun blogger dan pengendali laman berita web.
Shaziman, Teuku Adnan dan elit politik tidak perlu takut kepada penembak curi yang “berbohong.” Kebenaran akan membebaskan mereka. Tetapi penembak sasar (sharpshooter) lain halnya!

Monday, March 12, 2007

Perihal GLC Yang Ingkar dan Blogger Pembohong

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]

TIGA pembesar Umno iaitu Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Encik Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Tertinggi, Tan Seri Abdul Rahim Tamby Chik – dilaporkan begitu berang.

Mereka dikatakan sangat marah kepada pengurusan kanan GLC kerana gagal hadir kongres yang bertujuan membuat anjakan kepada penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Pegawai-pegawai atasan syarikat yang berkaitan kerajaan itu tidak hadir kongres bertajuk Jihad Ekonomi Melayu anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Pemuda Umno dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Rahim adalah presiden Gabem.

Kongres juga mendengar bagaimana GLC tidak teragak-agak bersaing dengan usahawan Melayu/Bumiputera, menarik balik kontrak Bumiputera dan menggantikan pembekal Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Saya tidak bertujuan mengulas lanjut hal ini kerana ini cerita lama. Saya sekadar ingin bertanya:

1. Mengapakah GLC begitu berani mengingkari dasar-dasar kerajaan dan memandang remeh usaha memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan?

2. Bukanlah Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sendiri pada awal pentadbiran Hadharinya mengarahkan GLC agar tidak bersaingan dengan Bumiputera atau mengambil jalan mudah membuat keuntungan dengan mengambil alih usaha niaga Bumiputera yang berdaya maju?

3. Bukankah kerajaan sendiri yang mengenakan Indeks Kunci Prestasi (Key Performance Index) yang antara lain menjadi keuntungan sebagai misi utama GLC?

4. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah banyak daripada pengurus kanan GLC hari ini dikatakan begitu akrab dengan dan sangat hormati kepada Saudara Khairy?

5. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah Tingkat Empat JPM dan Sri Perdana dikatakan begitu berpengaruh ke atas GLC dan pengurusnya?

6. Dan adakah adil bagi pembesar politik negara, termasuk Hishammuddin, Khairy dan Rahim, mengherdik pengurusan GLC kerana bersaing dengan Bumiputera sedangkan kerajaan sendiri yang mengalih hala tuju GLC daripada “pembinaan kapasiti ekonomi” (economic capacity building) kepada mencari keuntungan?

Blogger Pembohong

Laporan media massa, laman berita Internet dan blog memetik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor Khamis lalu (8 Mac) sebagai menyifatkan pengendali blog (bloggers) “pembohong” dan 80 peratus daripada mereka adalah wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Kesemua bloggers adalah pembohong, mereka menipu orang ramai dengan menggunakan pelbagai helah. Berdasarkan apa yang saya difahamkan, dari 10,000 bloggers yang menganggur, 8,000 adalah wanita."

Saya tidak ambil hati dan tidak marah kepada pembesar Umno itu. Sekarang zaman pembesar melatah, marah-marah dan berang-berang.

Malah saya bersimpati dengan mereka kerana bloggers dan laman berita web “are really getting on their nerves.”

Jahat sungguh para blogger ini!

Saya Cuma hendak tanya bapak menteri soalan-soalan berikut:

1. Megapa banyak rakyat jelata Malaysia, khasnya wanita, menganggur?

2. Bukankah lebih baik orang menganggur atau separuh menganggur (wanita atau lelaki) menjadi blogger daripada menjadi penyalahguna kuasa, perasuah, penyamun, penyangak dan penagih dadah?

3. Kalau semua blogger “pembohong” kenapakah pembesar seperti Tengku Adnan perlu layan atau takut kepada “pembohongan” mereka?

4. Kenapa pembesar perlu takut dengan apa yang dihujahkan oleh pembohong blog sedangkan para pembesar mempunyai media massa arus perdana untuk membela dan mempertahankan mereka?

5. Adakah para pembesar khuatir bahawa tidak semua blogger penganggur dan pembohong?

Sama-samalah kita fikirkan. Saya tidak hairan jika masanya tiba apabila mereka menafikan laporan media dan menyalahkan media kerana kononnya tersalah lapor atau memutar-belitkan hujah.

Sementara itu, Selamat Bercuti-Cuti Malaysia dan terima kasih.

Sunday, March 04, 2007

Ekonomi: Antara Fakta dan Spin Media

A Kadir Jasin

[APOLOGIES, comments may not be moderated for the next 20 hours or longer. Versi yang diperbetulkan. Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]


BERGANTUNG kepada siapa dan daripada sudut mana ekonomi negara dinilai dan dianalisis, perisytiharan pemerintah bahawa “the good times are here again” (hari-hari yang cerah kembali bertandang), mempunyai pelbagai erti dan implikasi.

Antara fakta yang meyakinkan para pembesar negara bahawa hari-hari yang semilang kembali bertandang adalah pemulihan ketara indeks komposit Bursa Malaysia (KLCI) sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan perdagangan negara yang melepasi RM1 trilion.

Antara 30 Disember 2005 dan 19 Februari lalu, indeks komposit meningkat 42.1 peratus kepada 1,278.2 mata. Tahun ini sahaja, harga di Bursa Malaysia meningkat 17 peratus menjadikan prestasinya dari aspek harga yang terbaik di Asia bagi dua bulan pertama 2007.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak kekal lama. Pada hari Selasa 27 Februari harga jatuh dengan teruk selaras dengan pasaran saham utama dunia akibat kebimbangan bahawa pertumbuhan ekonomi global mungkin merosot. Sewaktu rencana ini ditulis (Ahad 4 Mac) kejatuhan harga di Bursa Malaysia masih belum boleh disekat.

Walaupun prestasi Bursa Malaysia semakin cemerlang, namun ia tidaklah sehebat Negeri China yang meningkat 157.9 peratus, Indonesia 56.2 peratus, India 51 peratus tetapi lebih baik daripada Singapura yang naik 40.3 peratus, Hong Kong 38.8 peratus dan Taiwan 19.3 peratus.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dipetik oleh akhbar kewangan The Edge sebagai berkata asas (fundamental) ekonomi Malaysia tetap teguh dan kejatuhan harga di Bursa Malaysia tidak akan mencetuskan krisis kecairan (mata wang).

Pemerintah juga gembira dan yakin saat yang gemilang kini kembali menemui kita berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik. Keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) dianggarkan berkembang antara 5.5 dan 5.9 peratus tahun lalu dan diramalkan 5.2 peratus tahun ini.

Rizab luar Bank Negara yang tinggi -- pada kadar RM290.4 bilion (pada 31 Disember 2006 lalu) -- dan indeks harga pengguna yang rendah (3.1 peratus) turut merangsang pemerintah membuat ramalan itu.

Manakala perangkaan asas dan petunjuk-petunjuk kasar ekonomi yang dikeluarkan oleh pemerintah menjurus ke arah yang positif, namun kesan sebenar kepada rakyat jelata masih menjadi tanda tanya.

Misalnya, berapa ramaikah rakyat jelata mendapat faedah daripada pemulihan pasaran saham, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan rizab negara?

Tidak dapat dinafikan bahawa pemulihan pasaran saham telah mula menampakkan kesan positif kepada pelabur saham, termasuk pelabur saham unit atau unit trust.

Tetapi majoriti pelabur jangka panjang yang membuat pelaburan sebelum krisis ekonomi serantau tahun 1997 masih menanggung kerugian yang besar.

Walaupun indeks komposit bursa meningkat tetapi kenaikan harga masih terhad kepada saham-saham komposit dan saham-saham blue chip. Banyak lagi saham barisan kedua dan ketiga, khasnya yang disenaraikan di Papan Kedua dan Mesdaq, masih berada di bawah paras sebelum krisis atau lebih rendah daripada itu.

Apa yang lebih utama kepada ekonomi adalah pengagihan kekayaan, produktiviti dan kuasa membeli. Kenaikan pasaran saham tidak akan memberi kesan yang menyeluruh kerana hanya sebahagian kecil sahaja rakyat jelata yang melabur. Lagipun majoriti daripada mereka melabur jumlah yang terlalu kecil untuk memberi kesan yang berbaloi.

Begitu juga dengan produktiviti. Walaupun produktiviti kasar meningkat, namun ia tidak menyeluruh. Malah dalam sektor-sektor tertentu seperti hartanah berlaku pembaziran sumber yang ketara.

Banyak unit kediaman, kedai, pejabat dan kilang sama ada tidak laku dijual atau tidak digunakan kerana kurang peluang perniagaan. Kita hanya perlu ke projek hartanah untuk melihat betapa banyaknya ruang perniagaan yang kosong dan mengemis penyewa.

Sebaliknya penarikan balik atau pengurangan subsidi telah mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sekali gus “memiskinkan” lagi golongan berpendapatan rendah.

Disebabkan itulah perangkaan rasmi mengenai indeks harga pengguna (CPI) yang digunakan untuk mengukur inflasi dan perangkaan guna tenaga terus dicurigai.

Persepsi ini diburukkan lagi oleh perkembangan semasa seperti pembatalan cadangan memperluaskan skim bantuan buku teks atas alasan ia memerlukan perbelanjaan tambahan, laporan berkaitan pengangguran siswazah dan kemuflisan kontraktor Kelas F.

Kesimpulannya, perangkaan yang lebih terperinci, fakta-fakta yang lebih konkrit dan kesan fizikal yang lebih ketara adalah diperlukan sebelum berita gembira ini akan diterima sebagai hakikat dan bukan satu lagi “spin” indah khabar dari berita oleh media massa arus perdana.

Footnote: I am on visit to a rural New Zealand town called Wanganui. It’s a quaint little riverside town --- the biggest passenger plane that lands here is the 19-seater Beech 1990D.

It was here that journalism got dirty for me, literally. The year was 1971 and the place was the office of the now defunct Wanganui Herald. As a journalism intern I was made to wait at the printing press for the first copies of the paper to come out every afternoon.

I was running errant for the paper’s News Editor, the late George Abbott. George was a fine teacher. Thanks to this mundane assignment I fell in love with printer’s ink.

I love the feel, sound and smell of the print shop. While working for the NSTP Group (1976-2000), the print shop was my favourite place away from the newsroom.