Tuesday, June 29, 2010

Azmin Lwn Khalid: Yang Tersurat dan Tersirat

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PENGGUGURAN Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Selangor dan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti memberi kesan besar kepada dua pemuka PKR itu.

Sekali gus ia memperkukuhkan kedudukan Mohamed Azmin dan di masa yang sama mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan politik Abdul Khalid.

Gabungan jawatan naib-presiden dan pengerusi PKR Selangor menjadikan Mohamed Azmin pemuka terkuat parti itu selepas ketua umumnya Anwar Ibrahim dan presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Prestij Mohamed Azmin sebagai sekutu akrab dan “loyalist” Anwar mendapat anjakan kerana sekarang beliau juga menjadi supremo politik Selangor, sebuah negeri maju di mana PKR adalah peneraju.

Sejak awal lagi, Mohamed Azmin dianggap penyandang jawatan Menteri Besar Selangor yang paling sesuai, tetapi tidak dipilih kerana beberapa sebab. Antaranya, Anwar tidak mahu Mohamed Azmin terpisah jauh daripadanya dan kedua dia tidak mahu dituduh mengamalkan pilih kasih dengan melantik Mohamed Azmin.

Di pihak lain, Anwar terpaksa memberi muka kepada Abdul Khalid yang banyak membantu imej PKR apabila dia menyeberang daripada Umno dan pada masa yang sama memainkan peranan penting sebagai Bendahari PKR.

Tetapi Anwar tentu sejak awal lagi sedar bahawa watak dan latar belakang politik Abdul Khalid boleh menjadi beban kepada PKR kerana mereka sama-sama dalam Umno dan kenal rapat antara satu sama lain.

Abdul Khalid bukanlah watak yang popular. Sama ada dalam dunia korporat sebagai eksekutif kanan PNB dan kemudian “pemilik/pengurus” Kumpulan Guthrie atau sebagai penggiat Umno, dia kurang disenangi.

Dalam PNB, beliau diketahui sangat akrab dengan pengerusi PNB ketika itu, Allahyarham (Tun) Ismail Mohd Ali, tetapi percubaannya memenuhi aspirasi politiknya melalui Umno Selangor tidak menyerlah. Setelah hilang “kawalan” ke atas Kumpulan Guthrie, beliau meninggalkan Umno untuk mencuba nasib dengan PKR, di mana nasibnya nyata lebih baik.

Mohamed Azmin mempunyai watak yang lebih disenangi dan mempunyai ramai kawan serta orang yang bersimpati dengannya kerana untuk sekian lama dia bertugas sebagai pembantu khas dan orang “cofidante” Anwar ketika Anwar dalam kerajaan. Ketika itu, Mohamed Azmin adalah penjaga pintu (gatekeeper) yang berkuasa.

Walaupun Anwar mendapat kawan dan penyokong baru selepas dipecat daripada kerajaan pada akhir 1998, namun Mohamed Azmin kekal istimewa dan akrab.

Anwar sedar bahawa tanpa campur tangan beliau melindungi Abdul Khalid, Menteri Besar Selangor itu pasti tidak mampu menangkis serangan penyokong Mohamed Azmin. Di masa yang sama, dia tidak boleh lagi menyekat kemaraan Mohamed Azmin, lebih-lebih lagi dalam suasana di mana beliau sendiri menghadapi tekanan akibat tuduhan liwat terhadapnya.

Sekiranya Mohamed Azmin tidak dibenarkan memenuhi potensinya untuk mara dalam kepemimpinan PKR sekarang, masa depannya mungkin tidak secerah sekarang memandangkan kemasukan beberapa pemuka baru yang bercita-cita besar. Mereka ini boleh membantut dan seterusnya menamatkan riwayat politik Mohamed Azmin.

Anwar tentu tidak mahu atau tidak mampu membenarkan kemungkinan ini berlaku kerana bukan sahaja Mohamed Azmin terlalu istimewa kepada beliau, tetapi masa depan PKR sebagai “creature” ciptaan Anwar dan untuk Anwar, akan terancam jika kepemimpinan parti itu terlepas daripada tangan para “loyalist”nya. Buat masa ini, Mohamed Azmin adalah orang setia Anwar yang paling kanan dalam PKR.

Tidak dapat dinafikan iaitu jika PKR mahu terus mengekal dan memperkuatkan sokongan orang Melayu, parti itu memerlukan pemuka yang berjiwa dan berwajah Melayu yang sekali lagi diwakili oleh Mohamed Azmin.

Jadi, walaupun perubahan jawatan yang membabitkan dua pemuka Selangor ini nampak kecil dan diuar-uarkan sebagai perubahan biasa, namun apa yang tersirat sebenarnya lebih besar dan mendalam.

Sekalipun Abdul Khalid tidak dijangka mempunyai pengaruh untuk mensabotaj Mohamed Azmin, tetapi pihak-pihak lain yang mahu menyekat kemaraan Mohamed Azmin atau cemburu terhadap keakrabannya dengan Anwar, mungkin mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Sebaliknya, kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar belum tentu selamat kerana, mengikut laporan media massa, penentangan terhadap beliau masih berterusan.

Friday, June 25, 2010

Perangi Judi Haram Atau Tambah Lesen Judi?

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[MUTAKHIR, 26 Jun] -- UTUSAN Malaysia melaporkan yang kerajaan membuat keputusan muktamad tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik.

Ia melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat yang secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di peringkat dasar untuk memberi kelulusan sebelum ini.

“Walaupun ada pihak menyokong dan menentang perkara itu, kerajaan mendapati secara jelas majoriti masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut dikeluarkan.

“Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.

[Posting Asal]

SETELAH meneliti debat dan polemik menganai cadangan mengeluarkan semula lesan judi bola sepak, saya berasa yakin kita boleh membuat beberapa kesimpulan.

Pertama, Mohd Najib Abdul Razak, sebagai Pengerusi Barisan Nasional, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh meluluskan lesen judi bola sepak atau apa-apa judi sekalipun. Itu hak dan budi-bicaranya.

Kedua, parti-parti bukan Islam dalam BN mungkin bersetuju atau tidak menentang keras pelesenan judi manakala parti-parti lawan, termasuk Pas dan PKR, akan bermain wayang dan menangguk di air keruh. Itu hak mereka.

Ketiga, sebagai seorang Islam dan Presiden Umno, Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati. Di sisi Islam, judi sama ada dilesenkan atau dijalankan secara haram adalah HARAM.

Keempat, sebagai Presiden Umno – sebuah parti yang berjuang atas nama agama (Islam), bangsa dan negara – Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati.

Kelima, dia berkuasa mengarah dan memujuk menteri-menteri Islam, ketua-ketua Umno dan media massa arus perdana melancarkan perang saraf bagi menyokong pelesenan judi bola sepak. Atau pihak-pihak ini berasa perlu untuk mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan.

Keenam, Mohd Najib harus berhati-hati menongkah arus kerana ramai dalam Umno telah secara terbuka dan terus terang menyatakan bantahan mereka terhadap pengeluaran lesen judi bola sepak.

[Umno Johor – tonggak kekuatan Umno Malaysia buat masa ini – telah mengatakan “tidak” kepada lesen tambahan perjudian. Umno Perak yang dalam perjuangan hidup mati pun mengatakan “tidak” dan begitu jugalah Umno Kedah yang cuba bangkit semula. Semuanya berkata “tidak”.

Pemuda Umno pun menyatakan pendirian yang sama. Bernama pada 24 Jun memetik ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, sebagai berkata Pemuda Umno menentang cadangan mengeluarkan lesen judi bola sepak.

Katanya, pelesenan judi bola sepak akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

"Selepas beberapa minggu mendapatkan pandangan ahli akar umbi dan melihat usaha polis mencegah judi (haram), Pemuda Umno mengambil pendirian membantah jika kerajaan mahu mengeluarkan lesen judi bola sepak,” tegas beliau.]

Ketujuh, dalam isu judi ini, politiking ada hadnya. Umno, Pas dan elemen Islam dalam PKR boleh bermain wayang dengan membuat kenyataan politik untuk menyedapkan hati penyokong masing-masing sambil cuba mengambil hati orang bukan Islam, tetapi mereka tidak boleh bermain wayang dengan hukum agama dan tentunya tidak semua orang bukan Islam mahu lebih banyak lesen dan kegiatan judi diwujudkan kononnya kerana menghormati hak dan kebebasan orang bukan Islam.

Kelapan, tidak semua orang bukan Islam kaki judi dan bukan semua yang berjudi halal itu orang bukan Islam. Ramai orang bukan Islam menentang judi dan ramai juga orang Islam mencuri berjudi menggunakan perantara dan proksi.

Kesembilan, judi bukan sahaja haram kepada orang Islam, tetapi ia juga buruk kepada orang bukan Islam. Ramai kaki judi yang muflis, diburu along, mengabaikan anak bini dan sekali sekala terjun bangunan, gantung diri dan minum racun.

Kesepuluh, keberkesanan alasan melesenkan judi bagi melawan judi haram ada hadnya. Hakikat yang wajib diakui ialah judi haram tetap berleluasa di negara kita walaupun pelbagai jenis judi telah dilesenkan. Sebabnya ialah kerana ramai kaki judi dan ramai penjenayah di negara kita. Ada kaum dan individu di negara ini yang berpaksikan keuntungan dan materialisme semata-mata, di mana maruah diukur dengan wang ringgit dan segala-galanya boleh asalkan mendapat untung.

Kesebelas, lebih baik kita memerangi judi haram. Gunakan segala peruntukan undang-undang – buang daerah, cukai pendapatan, money laundering dan pembekuan harta – untuk melawan penjenayah judi ini. Takkanlah polis kita haprak sangat sampai tidak tahu siapa penyangak di sebalik judi haram dan kegiatan underworld ini?

Akhir kalam, jangan kerana mahu mengambil hati seorang dua pengusaha judi, Presiden Umno melukakan hati berjuta-juta ahli dan penyokong Umno. Ingatlah, ahli Umno dan orang Melayu tidak lagi mengikut dan menyokong membabi-buta.

Tuesday, June 22, 2010

Anak Tun Razak: Matlamat DEB Masih Relevan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SARANAN eksekutif kanan perbankan, Mohd Nazir Abdul Razak, anak Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, agar matlamat yang diwarisi daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikaji semula dan diperkuatkan adalah sangat penting dan menarik.

Bukan kerana ia datang daripada anak Tun Abdul Razak dan adik kepada Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tetapi kerana ia mengubah persepsi umum yang beliau kritikal terhadap DEB dan mahu ianya dihapuskan.

Dalam temu ramah eksklusif dengan Mingguan Malaysia 20 Jun, Ketua Eksekutif Kumpulan perbankan CIMB itu, antara lain berkata:

“Bagi saya, matlamat DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat masih relevan dan perlu dikekalkan, tapi pada masa sama kita perlu menambah satu lagi matlamat (iaitu) membina dan mewujudkan masyarakat Bumiputera yang lebih kompetitif. Ini sangat penting untuk memastikan kelangsungan orang Melayu…”

Saranan Mohd Nazir itu selari dengan kenyataan Mohd Najib baru-baru ini bahawa matlamat 30 peratus pemilikan Bumiputera serta penubuhan masyarakat perniagaan dan perindustrian Bumiputera (BCIC) akan diteruskan.

Kenyataan Perdana Menteri itu dikatakan telah menimbulkan kehampaan dan kekeliruan di kalangan sesetengah ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang mahu matlamat DEB dihapuskan dan Malaysia mengamalkan ekonomi kompetitif tanpa subsidi atau kuota di bawah Model Baru Ekonomi (MBE).

Mohd Nazir menolak tanggapan bahawa dia kritikal terhadap DEB. Katanya: “Saya bukan pengkritik DEB kerana saya setuju bahawa dasar berkenaan telah membantu Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh selain kestabilan politik. Apa yang saya tegaskan adalah keperluan kepada kajian menyeluruh daripada aspek pelaksanaan...”

Pelaksanaan DEB Lemah

INILAH yang buat sekian lama diperkatakan. Pelaksanaan dua matlamat peninggalan DEB wajib dikaji semula kerana telah berlaku kekangan yang luas, khasnya daripada aspek pembahagian peluang-peluang ekonomi antara kaum dan wilayah.

Tidak ada siapa yang boleh mempertikaikan saranan Mohd Nazir agar diwujudkan masyarakat Bumiputera yang lebih kompetitif.

Kita wajib akui bahawa faktor-faktor politik, demografi, geografi, budaya dan pendidikan telah bersekongkol untuk melemahkan daya saing Bumiputera. Ramai yang masih hidup di hulu dan caruk tanpa kemudahan asas. Ramai yang masih dibelenggu kemiskinan dan berpaut kepada ekonomi cukup makan (subsistence economy).

Tanpa bantuan rasmi seperti biasiswa, pinjaman pelajaran, subsidi, pelesenan dan kawalan harga, kaum-kaum Bumiputera dan golongan miskin daripada semua bangsa akan menghadapi ancaman peminggiran yang lebih buruk dalam era globalisasi dan persaingan ini.

Majoriti bukan Bumiputera berjaya mengambil kesempatan daripada DEB untuk memanjat tangga kejayaan dalam bidang perniagaan dan profesional kerana dari awal lagi mereka lebih maju daripada Bumiputera. Di pihak yang lain pula, majoriti kaum Bumiputera masih berada di pinggiran ekonomi.

Jurang Antara Kaum dan Kelas Meluas

SEPERTI telah saya sebutkan berulang kali, jurang pendapatan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera dan antara yang kaya dengan yang miskin telah meruncing sejak sedekad lalu, khasnya selepas krisis kewangan serantau 1997/98.

Jika diukur mengikut skala Gini (Gini Coefficient), jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin di Malaysia adalah antara yang terburuk di dunia. Ini semestinya merisau dan memalukan kita apatah lagi dalam usaha melaksanakan dasar keterangkuman di bawah Model Baru Ekonomi.

Inilah yang selalu diungkit, iaitu yang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin.
Inilah akibatnya apabila yang kaya diberikan pelbagai lesen dan francais, termasuk judi, yang mempunyai nilai produktiviti yang rendah tetapi keuntungan yang tinggi bagi pemilik sedangkan industri yang produktif dan membuka banyak peluang pekerjaan terpaksa bersaing di arena tempatan dan global.

Situasi ini akan menjadi lebih buruk jika golongan bawahan tidak diberikan input ekonomi yang lebih besar dan dengan cara yang lebih berkesan bagi membolehkan mereka bersaing.

Inilah yang sedang dibahaskan di peringkat pembuatan dasar, termasuk oleh NEAC, iaitu bagaimana membantu kelompok-kelompok tertentu dalam struktur ekonomi dan pendapatan. NEAC misalnya, telah mengenal pasti tiga kategori pendapatan iaitu 40% yang berpendapatan rendah (low income), 40% berpendapatan sederhana (middle income) dan 20% berpendapatan tinggi (high income).

Malangnya, apa pun dasar yang hendak dilaksanakan, pasti ada yang menyokong dan mementangnya. Inilah yang berlaku dengan cadangan Mohd Nazir. Ada banyak pihak, khasnya dalam media massa bukan Bumiputera, yang memutarbelitkan kenyataan Mohd Nazir dengan memberi gambaran beliau menantang DEB dan mahu ianya dihapuskan.

Mereka ini sama ada buta atau lupa sejarah, tamak, tidak mengenang budi atau memang perkauman (racist) dalam erti kata mereka hanya peduli kaum mereka sahaja. Mereka lupa bahawa negara ini aman dan damai kerana sikap toleransi dan pengorbanan kaum majoriti iaitu Bumiputera.

Mereka bermain dengan api jika mereka berasa bahawa atas nama globalisasi dan persaingan mereka boleh menolak hak kaum majoriti Bumiputera untuk sama-sama mendapat faedah daripada pembangunan negara.

Malangnya, mereka yang anti-Bumiputera dalam arena ekonomi ini termasuklah segelintir Melayu/Bumiputera yang menjadi kaya raya kerana DEB tetapi sudah menjadi kacang lupakan kulit dan kaduk naik junjung. Mereka ini pengkhianat bangsa dan negara.

Kemiskinan Melepasi Politik Kepartian

ADALAH wajar orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera melihat isu ekonomi, atau lebih tepat, kemunduran mereka dalam bidang ekonomi, sebagai isu yang melepasi politik kepartian kerana kelangsungan mereka sebenarnya dalam ancaman.

Kalau dasar ekonomi bebas laissez faire diamalkan semula seperti sebelum 13 Mei, 1969, besar kemungkinan kaum-kaum Bumiputera akan hilang tempat bergantung dan ketika itu kembalilah mereka menjadi buruh dan petani cukup makan sahaja.

Sekarang pun, majoriti Bumiputera berada dalam kategori buruh (labour) dalam struktur pengeluaran kerana modal dan pengurusan umumnya dikuasai oleh bukan Bumiputera. Walaupun Bumiputera menguasai gunatenaga sektor awam, tetapi 80 peratus pekerjaan adalah di sektor swasta.

Hatta tanah milik Bumiputera pun semakin hari semakin berkurangan kerana diambil alih untuk pembangunan atau terlepas ke tangan bukan Bumiputera.

Majoriti daripada 40 peratus dalam kategori berpendapatan rendah yang dikenal pasti oleh NEAC itu adalah Bumiputera.

Jadi adalah amat wajar kita memberi perhatian kepada saranan Mohd Nazir kerana dia adalah contoh Bumiputera yang berjaya, anak orang besar dan pengurus sebuah bank raksasa. Cakapnya bukan cakap kedai kopi.

Kalau beliau berkata matlamat DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat masih relevan dan perlu dikekalkan, saya tidak segan silu menyokongnya 100%.

Apatah lagi saranan beliau agar dibina dan diwujudkan masyarakat Bumiputera yang lebih kompetitif demi kelangsungan orang Melayu dan keamanan negara.

Tidak ada negara boleh dianggap bertamadun dan sejagat jika bangsa dan kaum majoriti tertindas dan terpinggir. Keamanan dan toleransi tidak wujud dengan sendirinya.

Sunday, June 20, 2010

Acquittals Of Corruption Cases Bad For MACC

A Kadir Jasin

[Please take note, ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

ON JUNE 17, the Temerloh Sessions Court threw out another high-profile Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) case, thereby freeing the former Federal Territory Umno Youth leader, Mohamad Norza Zakaria.

The court made the decision because eight witnesses in the case were deemed uncooperative. The witnesses had since been charged with giving false evidence during the trial of Norza and his agent Halimi Kamaruzzaman.

This is the latest in a series of dismal performance by the national anti-graft agency. It does not auger well for the fight against corruption and tarnishes the image of the commission and the Attorney General's Chamber.

Several debaters of this blog, had on a number of occasions, accused me of being soft on corruption. That’s not true. Maybe I had not discussed the issue often enough in this blog.

For the benefit of readers and debaters, allow me to reproduce an article I wrote in my “Other Thots” column that appeared in the May 1, 2010 issue of the Malaysian Business magazine.

I wrote:

“I SHARE the sentiments of the DAP secretary-general Lim Guan Eng, who is also Penang Chief Minister, that the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) has a lot to explain about the acquittal of two former Perak PKR State Executive Council members and three others for corruption.

Lim was responding to the acquittal of the Behrang State Assemblyman Jamaluddin Mohd Radzi and his Changkat Jering compatriot, Mohd Osman Jailu by the Ipoh Sessions Court on Apr. 23 without their defence being called.

However, it’s convenient for Lim to omit the fact that the court on April 2 acquitted Wong Chuan How, the special officer to its Selangor Executive Council Member, Ronnie Liu on charges of submitting a falsified allocation form and invoice, without his defence being called, and three weeks later on April 21 he was freed of a charge of criminal breach of trust involving RM5,000.

The oppositions’ stance with regards to court cases is also predictable. When the courts ruled in favour of their members it was justice and fairness.

But when the same court ruled against them, it was injustice and unfairness.

The DAP and its Pakatan Rakyat allies did not make a huge fuss when the MACC cleared the BN Malacca Chief Minister, Datuk Mohd Ali Rustam, of corruption allegations.

That’s only because the agency also simultaneously cleared their Selangor Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, of similar allegations.

I think we should go a step further. We should insist that the MACC and the Attorney General’s Chamber explain why they failed to get convictions for many of the high-profile corruption and criminal breach of trust (CBT) cases taken to court.

When these cases were taken to court, they were celebrated as watertight and the state was almost certain to win. But so far, the cases taken to court in the opening days of Tun Abdullah Ahmad Badawi’s administration had been thrown out.

But the acquittal of the more recent cases does not auger well for the supposedly more powerful and independent MACC.

On June 27, 2007 the Kuala Lumpur Sessions Court found the late Tan Sri Eric Chia Eng Hock not guilty of CBT involving RM76.4mil, a case that made headline and one that had supposedly taken the Anti-Corruption Agency, the MACC’s predecessor, to faraway places like Japan and Switzerland.

In May 2009 the Kuala Lumpur High Court acquitted former Felcra director-general Datuk Mustapa Juman of criminal breach of trust involving RM40 million on May 6, 7 and 9, 1997.

Then on August 12, 2009, the former Land and Co-operative Development Minister, Tan Sri Kasitah Gaddam, was acquitted by the Kuala Lumpur High Court of charges of corrupt practice and cheating in 1996.

The court also freed the former Selangor State Executive Councillor, Datuk Saidin Thamby, of a corruption charge. He was charged with accepting a RM1 million cheque as gratification from Nusantara Network Sdn Bhd for assisting it to obtain approval from the state executive council for a piece of land.

There are many more corruption and CBT cases involving senior civil servants, top-ranking police officers and private sector executives that were thrown out by the court.

The more recent acquittals of high-profiled corruption and CBT cases do not auger well for the MACC and the AG’s Chamber since the latter is supposed to wield greater power and independence.

It has to be noted that although the MACC had been given wider power and independence to investigate corruption cases, the prosecution continues to be conducted by the AG’s Chamber.

Unless the MACC and the AG’s Chamber are able to get a higher conviction rate, the public should not be blamed if they once against lose confidence in the two key agencies that are in the forefront in the fight against corruption.”

Monday, June 14, 2010

Kemungkinan Menarik Bukan Islam Jadi Calon Pas

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[MUTAKHIR, 15 Jun.] - MALAYSIAN Insider melaporkan yang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi kerusi Malim Nawar, Keshvinder Singh, keluar parti dan mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional.

Dia adalah Adun kedua DAP yang keluar parti sejak Pilihan Raya Umum 2008. Keshvinder berkata beliau keluar kerana "mahu berkorban demi kepentingan rakyat".

Awal tahun lalu, tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti, sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan PR Perak. Mereka termasuklah Adun DAP Jelapang, Hee Yit Foong yang pada waktu itu Timbalan Speaker DUN.

[Posting Asal]

KEPUTUSAN Dewan Ulama PAS membenarkan parti Islam itu diwakili oleh calon bukan Islam dalam pilihan raya sangat menarik.

Akhbar atas talian Pas, Harakah Online pada 11 Jun memetik Bernama sebagai melaporkan yang parti itu akan membenarkan calon bukan Islam bertanding atas tiketnya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bernama memetik Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, sebagai berkata calon bukan Islam akan dibenarkan mengguna simbol parti itu tetapi dengan syarat mereka hendaklah menerima dasar dan perjuangan PAS serta berakhlak dan moral tinggi.

Abdul Hadi berkata perkara itu telah diluluskan Dewan Ulama PAS Pusat bagi membolehkan orang bukan Islam yang menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bertanding pilihan raya atas tiket Pas.

Saya sengaja tidak menggunakan istilah penting kerana kita belum tahu sejauh mana Pas akan mempraktikkan keputusan itu. Kalau sekadar keputusan umum atau hanya membabitkan seorang dua calon bukan Islam, ia tidaklah boleh dianggap sebagai penting.

Namun ia tetap menarik kerana dengan keputusan itu, Pas bergerak setapak lagi ke arah melunturkan identitinya sebagai parti Islam dan parti majoriti orang Melayu.

Para pembesar Pas sering berkata orang bukan Melayu boleh memimpin Pas dan menjadi Perdana Menteri asalkan dia Islam.

Tetapi sekarang Pas mengatakan calon pilihan rayanya tidak perlu seorang Islam. Dalam erti kata yang lain, seorang penganut Kristian, Hindu atau Buddha boleh menjadi calon Pas dan mengambil bahagian dalam kepemimpinan Pas jika dia menang.

Keputusan kontroversi ini pasti mencetuskan kesan yang menarik, bukan sahaja terhadap parti-parti Barisan Nasional, malah akan menyentuh parti-parti rakan Pas dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi Abdul Hadi cepat menjelaskan yang keputusan itu bukan berniat meminggirkan parti-parti kotmponen PR. Dia memberi alasan kalau PKR dan DAP ada perwakilan bukan Islam, apalah salahnya Pas juga membuka pintu kepada bukan Islam.

Soalnya, Pas berlainan daripada PKR dan DAP. Pas adalah parti agama, iaitu agama Islam sedangkan PKR dan DAP adalah parti sekular.

Keputusan Pas itu juga akan membuatkan orang bukan Islam dalam parti-parti BN seperti MCA, MIC dan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah berfikir mengenai opsyen baru yang terbuka kepada mereka.

Ia membuka jalan dan peluang baru kepada orang bukan Islam untuk bersekedudukan dengan Pas dalam usaha mereka memperluaskan opsyen politik mereka.

Bagi orang bukan Islam yang berupa 40 peratus daripada penduduk negara ini, mempunyai suara dan perwakilan dalam Pas memberikan mereka jaminan tambahan.

Besar kemungkinan Pas mengambil langkah ini kerana mahu terus membuktikan kepada rakan-rakannya dalam PR bahawa ia bukan parti Islam radikal.

Atau mungkin juga kepemimpinan Pas menyedari atau sudah pun membuat kesimpulan bahawa retak dalam PKR sekarang mungkin membawa pecah dan dengan itu membuka peluang kepadanya menarik elemen bukan Islam dalam PKR untuk menyertai Pas.

Yang menjadi tanda tanya, adakah pembukaan pintu kepada bukan Islam ini sesuatu yang hakiki atau sekadar ajak-ajak ayam sahaja?

Bagi Pas, kalau orang bukan Islam tidak mahu menyahut pelawaannya, itu hak mereka. Tetapi dipihaknya ia telah membuat pelawaan. Tanggungjawabnya untuk membuktikan keterbukaan dan liberalismenya sudah tertunai. Orang bukan Islam tidak lagi boleh menuduh Pas parti eksklusif orang Islam.

Pelawaan kepada bukan Islam untuk beranding atas tiket Pas mungkin berguna dan berkesan jika parti itu hendak bertanding dan memang di lebih banyak kerusi yang ramai pemilih bukan Islam.

Abdul Hadi secara spesifik berkata calon bukan Islam itu akan bertanding atas tiket Pas dan menggunakan lambang Pas.

Soalnya, apakah Abdul Hadi juga bermaksud mengatakan bahawa PR tidak akan menggunakan simbol yang sama (common symbol) pada pilihan raya umum akan datang?

Langkah Pas ini mungkin mencetuskan tekanan ke atas PR kerana kalau Pas berjaya menarik ramai calon bukan Islam, ia boleh menuntut untuk bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kesimpulannya, Pas sudah bersedia menjadi lebih terbuka mengenai kepemimpinan dan identiti Islamnya dengan membuka pintu kepada kepemimpinan bukan Islam melalui pilihan raya.

Ini tentunya akan mencetuskan tindak balas ahli dan penyokong parti itu yang selama ini amat ortodoks dan tegar mengenai agam Islam.

Kalau keputusan ini menjadi realiti, mereka terpaksa berkongsi kepemimpinan dengan bukan Islam. Pada ketika itu, Islam yang dibawa oleh Pas tidak lagi eksklusif kepada orang Islam kerana orang bukan Islam juga mempunyai suara ke atas Islam melalui perwakilan mereka dalam Pas dan melalui cawangan legislatif.

Friday, June 11, 2010

New Parliament House: A Numskull Idea

A Kadir Jasin

[Please take note, ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

I AGREE with whoever that says that building a new Parliament House, whether in Putrajaya or behind his backyard, is a waste of money.

So, kudos to the MCA for disagreeing with the proposal to build a new RM800-million Parliament House in Putrajaya.

Yes Dr Chua Sooi Lek, I agree with you 100% that it’s a sheer waste of public funds. I would go a step further. It’s sheer bone-headedness.

Whoever that originated the proposal should have his head examined. Or maybe he sees something that we don’t – like money to be made on the side.

This is not only bone-headed, but also irresponsible, especially at the time when the people are being bombarded with the scary stories about subsidy cutbacks and the country going bankrupt like Greece.

I must frankly say that whoever compared or likened Malaysia to Greece has to be numskull. Reduce subsidy by all means, especially to the rich and the billion-ringgit industries, but to compare Malaysia to Greece to justify the cuts is daft.

This is the problem when we have too many loud-mouthed talkative jabbering ministers and high officials. When they see the reporters they go gaga and shoot their mouths off.

Do we really need a new Parliament House? Really we don’t. In fact we should cherish the present historic structure and forever keeps it as our Parliament.

Maybe we should ask the brilliant minister (or ministers) who proposed the new Parliament House, how many times had the British Parliament or the Capitol Building moved in their hundreds years of history?

Or maybe the people who made the proposal are not numskulls at all. Maybe they see what we the country yokels don’t. They see $$$$$$ signs in the proposal!

Dr Chua said: “There is no need for a Parliament building costing RM800mil in Putrajaya which is a sheer waste of public funds which could be better utilised for projects benefiting the rakyat.

“This is especially so when the Government is urging Malaysians to reduce expenditure to have a balanced budget.”

He pointed out that the present Parliament House, which was built in 1962, should not only be preserved as a heritage building but should also be proudly occupied by all parliamentarians.

Well put Dr Chua. And I am sure he could not or would not say so if he’s a minister. So kudos to Dr Chua for remaining just a party leader.

Monday, June 07, 2010

Isu Sime Darby: Hukum Seorang, Hukum Semua

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

URA-URA Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) hendak mendesak kerajaan agar tidak lagi melantik pesara sektor awam menganggotai lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada baik dan buruknya.

Laporan media massa mengatakan cadangan itu diuar-uarkan (bukan war-war) berikutan kerugian besar yang dialami dua GLC iaitu Sime Darby Berhad dan Pos Malaysia Berhad.

Timbalan Pengerusi Kelab, Bung Moktar Radin, memberitahu portal berita The Malaysian Insider dia akan membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

“Kalau mereka tidak berminat (menerajui syarikat-syarikat besar) jangan paksa mereka memegang jawatan pengarah khususnya di syarikat-syarikat besar dan ternama macam Sime Darby,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, itu.

Sebarang usaha untuk mendalami kefahaman mengenai kerugian atau prestasi buruk GLC, khasnya oleh Parlimen, adalah dialu-alukan. Malah ia satu kewajipan.

Namun adalah tidak adil dan tidak tepat menyalahkan ahli lembaga pengarah (ALP) yang terdiri daripada bekas pegawai kerajaan sahaja. Tindak-tanduk pengurusan pun wajib didalami juga.

Kita ambil contoh Sime Darby (SD). Ia sudah beberapa kali mengalami masalah yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit. Mungkin ramai sudah lupa kemuflisan Sime Bank dan kerugian besar SD pada akhir tahun 1990an.

Sebenarnya kali ini SD tidak rugi. Malaj bagi separuh pertama tahun ini ia mencatatkan RM1.113 bilion keuntungan. Yang rugi lebih RM1 bilion itu adalah operasi minyak dan gas di Teluk Parsi dan pembinaan penjana elektrik hidro Bakun.

Kerugian operasi ini menjadi isu sensasi kerana SD baru sahaja menelan dua syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang lain iaitu Golden Hope dan Guthrie Corporation.

Apabila penggabungan ini diilhamkan ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan didalangi oleh CIMB Bank atas nama Synergy Drive Sdn Bhd. pada tahun 2007, ramai yang menantangnya, termasuk PNB walaupun secara diam-diam.

Sebelum penggabungan, ketiga-tiga syarikat perladangan PNB itu beroperasi dengan menguntungkan walaupun ramai ALPnya terdiri daripada pesara awam, termasuk Pengerusi PNB, Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Tetapi apabila SD siap digabungkan dan diuar-uarkan sebagai syarikat perladangan kepada sawit terbesar di dunia, bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam, dilantik pengerusi dengan Ahmad Sarji sebagai timbalan.

Bukan Musa sahaja yang menjadi pengerusi atau ALP GLC. Ramai lagi ahli politik, sama ada yang bersara atau masih cergas, menjadi pengerusi dan ALP GLC. Jadi jangan salahkan ALP yang terdiri daripada pesara awam sahaja.

Malah ada ALP yang terdiri daripada orang politik sangat teruk. Ada ketua dan timbalan ketua bahagian yang tak tahu apa-apa pun (clueless) mengenai perniagaan dilantik untuk dapat elaun. Jadi Bung Mokthar wajib juga bahaskan peranan ALP yang terdiri daripada orang politik.

Khusus mengenai SD, saya lebih cenderung menganggapnya sebagai syarikat amanah Bumiputera dan bukan GLC. GLC milik semua rakyat Malaysia tetapi agensi amanah seperti PNB adalah milik Bumiputera.

Saya kata begitu kerana majoriti saham SD dipegang oleh Skim Amanah Saham Bumiputera dan PNB. PNB adalah agensi amanah Bumiputera.

Mengenai pelantikan menjadi APP ini, kita kena juga tanya, siapa yang lantik mereka kalau bukan kerajaan sendiri? Akibatnya, jadilah mereka pengarah bebas yang tidak bebas.

Pada satu masa dulu, SD mempunyai apa yang dipanggil International Board of Directors atau Lembaga Pengarah Antarabangsa yang terdiri daripada orang kenamaan Asia dan dunia.

Saya pernah beberapa kali dijemput oleh Pengerusi SD waktu itu, Allahyarham Tun Dr Ismail Mohd Ali, untuk makan tengah hari bersama mereka. Salah seorang yang saya masih ingat adalah Sir David Li Kwok-po yang kini berupa pengerusi dan ketua eksekutif Bank of East Asia, Hong Kong.

Jadi, dalam hal SD ini adalah tidak patut menyalahkan dan menghukum seorang sahaja iaitu ketua pegawai eksekutif, Ahmad Zubir Murshid.

Keseluruhan ALP dan pengurusan kanan yang membantu Ahmad Zubir wajib dipertanggungjawabkan. Begitu juga juruaudit luar jika mereka gagal membuat catatan (qualification) dalam audit tahunan mereka.

Wednesday, June 02, 2010

Kekalkan Kg Baru Milik Eksklusif Melayu

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAYA harap cakap-cakap hendak memperuntukkan atau membenarkan bukan Melayu memiliki 40 peratus hartanah dalam pelan pembangunan semula Kampung Baru adalah silap lapor oleh media massa atau lepas cakap politikus bermulut besar.

Tetapi kalau betul, ia adalah satu perbuatan yang akan memburukkan lagi imej Umno dan menambah keresahan orang Melayu.

Keadilan hanya boleh dilakukan jika kerajaan serentak membangunkan semula kawasan Cina Jalan Petaling dan kawasan India Brickfields dan menawarkan 40 hingga 60 peratus pemilikan kepada Bumiputera.

Kalau betul Umno hendak bertolak-ansur lagi dengan memberikan 40 peratus Kampung Baru moden kepada Cina dan India, maka wajarlah MCA dan MIC menyokong memperuntukkan 40 hingga 60 peratus Petaling Street dan Brickfields kepada Bumiputera.

Sekiranya tidak, kekalkanlah Kampung Baru sebagai kawasan eksklusif Melayu seperti diasaskan oleh British pada tahun 1899 atas kehendak Sultan Selangor waktu itu, Sultan Alauddin Sulaiman Shah Raja Muda Musa.

Menurut laporan akhbar The Malay Mail pada 17 Februari lalu, Almarhum bertindak ke atas rayuan ketua-ketua kampung Melayu sekitar Kuala Lumpur yang merungut tanah orang Melayu diambil alih oleh pelombong dan pedagang Cina dan Inggeris.

Hasilnya, British mewujudkan Kampung Baru sebagai Malay Agricultural Settlement atau Penempatan Pertanian Melayu apabila Sultan Alauddin Sulaiman Shah bersetuju memperuntukkan sekeping tanah di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Kampung Baru seperti yang ada pada hari ini meliputi kawasan seluas 223 ekar.

Kampung Baru seelok-eloknya dikekalkan sebagai kampung Melayu tradisional dan dinaikkan taraf sebagai kawasan pelancongan kelas dunia seperti yang dilakukan dengan perkampungan Portugis di Melaka.

Dengan cara ini, adalah lebih mudah membuat pembangunan fisikal dan menaikkan nilai ekonomi Kampung Baru tanpa menjejaskan pemilikan oleh orang Melayu.

Ingatlah, apabila bekas kerajaan Pakatan Rakyat Perak memberikan garan tetap kepada kampung-kampung baru di negeri itu, ia tidak mensyaratkan ianya dibuka kepada orang Melayu.

Jadi tidak perlulah pembesar Umno hendak peningkan kepala menyerahkan atau membuka 40 peratus Kampung Baru kepada Cina, India dan bukan Bumiputera lain.

Mereka dah ada lebih daripada cukup di Petaling Street, Brickfields, Jalan Bukit Bintang, KLCC, Pavillion, Lot 10, Times Square, Starhill dan Mid Valley. Berapa kerat Melayu memiliki dan menduduki hartanah di kawasan-kawasan ini?

Hatta di KLCC milik Petronas itu pun peniaga Melayu terpelanting kerana sawa yang tinggi melangit. Yang tinggal boleh kira dengan jari. Itu pun siapa pula di belakang mereka?

Jadi cukuplah Umno cuba mengambil hati orang bukan Melayu. Yang lebih penting sekarang, Umno kena jaga hati orang Melayu dan pujuk orang Melayu yang merajuk pada pilihan raya umum lalu, takut-takut undi bukan Melayu yang dikejar tak dapat undi Melayu yang kendong berciciran.

Kalau saya silap saya mohon maaf dan saya bersedia dikutuk.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).