Wednesday, May 31, 2017

Negara Kafir Lebih Peduli Penipuan 1MDB


A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

WABAK sumpahan 1MDB terus merebak di Singapura. Yang terbaru, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) telah mengenakan hukuman ke atas dua buah bank kerana terlibat dalam urus niaga haram berkaitan 1MDB.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Wabak sumpahan 1MDB berterusan
Dua bank itu ialah Credit Suisse dari Switzerland dan United Overseas Bank (UOB) yang berpangkalan di Singapura sendiri. Credit Suisse didenda S$700,000  (kira-kira RM2.2 juta) manakala UOB didenda S$900,000 (RM2.9 juta).

Mereka didenda di bawah peraturan berkaitan dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Mencegah Pembiayaan Keganasan.

“Pemeriksaan terhadap Credit Suisse dan UOB mendedahkan beberapa perlanggaran terhadap keperluan anti-pengubahan wang haram (AML) dan kecuaian kawalan.

“Ini termasuk kelemahan meneliti pelanggan dan ketidakcukupan keselamatan terhadap kegiatan dan transaksi pelanggan-pelanggan,” kata kenyataan MAS.


MAS dedah banyak penyelewengan dan penipuan 1MDB
Tindakan terbaru Singapura itu mengukuhkan lagi bukti jenayah kewangan yang melibatkan 1MDB dan pembabitan langsung Perdana Menteri, Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat dan Pegawai Nombor Satu (MO1) 1MDB.

Najib Tak Saman Lagi

Najib masih belum membersihkan namanya daripada tuduhan menerima AS$680 juta (kira-kira RM2.6 bilion pada kadar tukaran 2013) wang yang dicuri daripada 1MDB.

Beliau masih belum mengemukakan saman ke atas akhbar Wall Street Journal seperti yang beliau ancam pada 5 Julai 2015 kerana mengaitkan beliau dengan kecurian duit 1MDB itu.

Utusan kata saman, tapi tak saman lagi
Sejak itu, kes kecurian dan pengalihan haram duit 1MDB telah disiasat dan diambil tindakan oleh beberapa buah bidang kuasa (jurisdiction). Selain Singapura, tindakan juga telah dan sedang dilakukan di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Singapura telah pun membicarakan beberapa orang yang terbabit dan menjatuhkan hukuman penjara serta denda ke atas sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dan menutup dua buah bank yang bersubahat mengubah duit haram 1MDB.

Di Amerika Syarikat pula, Jabatan Kehakiman (DoJ) dalam samannya tahun lalu mengenal pasti Jho Low dan anak kiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, sebagai penerima duit haram 1MDB di Amerika.

DoJ menggunakan udang-undang yang dikenali sebagai KARI. Ia membolehkan pihak berkuasa Amerika merampas harta orang asing yang dibeli dengan duit yang dicuri daripada rakyat jelata sesebuah negara.


KARI adalah singkatan kepada "Kleptocracy Asset Recovery Initiative" iaitu usaha mendapatkan balik harta yang dicuri oleh sesebuah kerajaan. Kleptokrasi bermaksud kerajaan yang mencuri.

Di Swizerland, tiga buah bank masih disiasat kerana disyaki melakukan rasuah dan mengubah wang haram bersangkutan 1MDB manakala kumpulan perbankan terbesar di Switzerland, UBS Group AG, telah diberi amaran atas penglibatannya.

Nampaknya negara asing yang selalu kita sebut sebagai negara kafir lebih mengambil berat terhadap penipuan 1MBD dan beban yang akan ditanggung oleh rakyat jelata Malaysia beberapa generasi akan datang.

Wallahuaklam.



Thursday, May 25, 2017

Proton Bukan Projek Nasional Lagi


A Kadir Jasin


TIDAK hairan kalau ada penggiat media sosial yang memprotes atau berjenaka mengenai penjualan kawalan Proton kepada syarikat China, memberi nama baru kepada projek kereta nasional itu.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Mereka memanggilnya “Ploton” iaitu sebutan yang lazim di kalangan sesetengah penutur bahasa Cina. Dengan penjualan kawalannya kepada Zhejiang Geely Holding Group, berakhirlah status Proton sebagai projek nasional atau kebangsaan.

Proton bukan lagi projek pendayaan ekonomi tetapi hanyalah sebuah perniagaan biasa. Jadi adalah wajar status nasionalnya ditarik balik. Apatah lagi majoriti sahamnya kini milik orang asing.

Semalam, DRB-HICOM, pemilik utama Proton, mencapai persetujuan untuk menjual 49.9 peratus saham Proton kepada syarikat negara China itu. Sebagai tambahan, Geely juga akan membeli 51 peratus saham pengeluar kereta sports British, Lotus.

Menteri Kewangan II Johari Ghani bertepuk Proton jual kepada China
Zhejiang Geely Holding Group kini memiliki Geely Automobile Hong Kong dan Volvo Car Group, Sweden.

Kalau kita masih ingat dan peduli, projek kereta nasional ini dilancarkan pada tahun 1983 dan mengeluarkan kereta pertamanya – Proton Saga – pada tahun 1985.

Sebagai projek pendayaan ekonomi, ia telah mencetuskan beratus ribu peluang pekerjaan dan melatih pekerja mahir dalam industri automotif.

Pada suatu ketika ia menjadi kereta paling laris di Malaysia sebelum kerajaan membuka pasaran tempatan kepada kereta import murah.

Adalah tidak mustahil selepas penjualan kepada Geely, Proton akan melalui proses rasionalisasi yang mungkin melibatkan pemberhentian pekerja seperti yang berlaku dengan banyak syarikat yang bertukar tangan.

Banyak penganalisis dan pemerhati pasaran berpendapat yang menjadi buruan syarikat China itu bukanlah jenama Proton tetapi Lotus.

Setelah membeli jenama berprestij Volvo adalah logik bagi Geely mengidamkan kereta sports seperti Lotus. Tidak menghairankan kalau selepas ini kereta Proton rekaan tempatan akan diganti dengan model dari negeri China.

1985: Proton Saga Cetus Patriotisme ekonomi
Dengan pembelian Proton itu, pemodal China kini mengusai dua syarikat tempatan dalam industri bersangkutan pemotoran. Disember lalu, syarikat penapisan minyak China, Shandong Hengyuan Petrochemical Co, membeli 51 peratus saham kilang penapis Shell di Port Dickson dengan harga ASS$66.3 juta (kira-kira RM300 juta).

Kedua-kedua pembelian ini adalah sebahagian kecil sahaja daripada senarai membeli-belah China di Malaysia yang termasuk pembinaan pelabuhan, hartanah, landasan kereta api dan pemberian hutang.

Penjualan harta negara secara besar-besaran kepada China tidak langsung menghairankan kalau kita faham dasar dan kedudukan ekonomi Malaysia di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Pertama, di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) rekaan (Datuk Seri) Idris Jala, kerajaan komited kepada pembebasan ekonomi dan pasaran bebas. Ertinya siapa yang ada duit bebas menguasai ekonomi negara.

Kedua, kerajaan sendiri tidak ada duit. Walaupun Najib memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menaikkan kadar pelbagai cukai, yuran dan tol serta memotong peruntukan pembangunan, kedudukan kewangan kerajaan dan negara masih lemah.

Disebabkan kekurangan wang dan kejatuhan keuntungan, banyak syarikat dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) terpaksa menjual harta mereka di dalam dan luar negara.

Jadi adalah tidak menghairankan kalau syarikat luar yang banyak duit, khususnya dari negara China, berlumba-lumba membeli harta di negara kita.

Secara tersirat ekonomi kita, walaupun berkembang pada kadar yang agak tinggi, sedang mengalami masalah sistemik (wabak) yang semakin teruk – kadar tukaran ringgit lemah, harga barang dan perkhidmatan naik, kadar inflasi makin tinggi, hutang kerajaan dan isi rumah melambung, pengangguran meningkat dan gaji membeku.

Jadi apalah sangat kerajaan membenarkan Proton dijual kepada China kalau masalah ekonomi negara dan kewangan kerajaan lebih buruk daripada itu?

Wallahuaklam.

Saturday, May 20, 2017

What is Brewing at Finance Ministry?


A Kadir Jasin

WHEN a UK-based Malaysia blogger known for his keen support of the Prime Minister, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, viciously attacked Finance Ministry Secretary-General, (Tan Sri) Irwan Serigar Abdullah, some days ago, I refrained from commenting.

[REMINDER. Anonymous comments will not be published.]

The blogger accused Irwan Serigar of leaking confidential information regarding the aborted sales of Bandar Malaysia shares to the Malaysia-China IWH-CREC Consortium.

I thought it was nothing more than the pro-Najib operators being at each other’s throat as they often do. The quarrels among Najib’s cybertroopers were so bad that back in 2014 he dubbed them “bangang” (stupid). Furthermore, the said blogger is known for being outrageous.

Back in 2008 he penned a statutory declaration claiming that Najib’s wife, (Datin Paduka Seri Puan Puti Reno) Rosmah Mansor, was one of three individuals who were present when Mongolian model, Altantuya Shaariibuu, was murdered on 19 October 2006. He later retracted the accusation.

It is believed that he was later recruited by Najib’s propaganda machine to write favourably about his former nemesis and to attack Najib’s opponents. That’s what he has been doing thus far.

I must say that his attack on Irwan Serigar was a pretty enjoyable reading. It has all the elements of a good an X-rated movie – power, women, money and, in place of the old videotape, the Instagram application.

Irwan Serigar Abdullah
But his allegations against Irwan Serigar took a dramatic turn when Najib was reported to have ordered an investigation into “potential conflicts of interest” in the sales of the Bandar Malaysia shares by a government committee called Budiman.

The newly launched news portal, The Malaysian Insight quoted as source as saying that Najib wants the deal investigated after meeting representatives of the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC), the police and the Internal Revenue Board (IRB).

It quoted the source as saying: “The PM met with Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC), police and Internal Revenue Board (IRB) and instructed them to look into the matter of potential conflicts of interest and others areas which could be an issue with respect to these decisions and any interested parties.”

Among key members of Budiman were Finance Minister II (Datuk) Johari Abdul Ghani and 1Malaysia Development Berhad president Arul Azrul Kanda Kandasamy. The committee was formed last year to manage 1MDB’s debt rationalisation plan.

Arul Azrul Kanda Kandasamy
The Malaysian Insight said, Najib who is also Finance Minister (and 1MDB’s Malaysian Official 1) announced that Budiman had been disbanded although the 1MDB debt rationalisation plan is incomplete until Bandar Malaysia issues are settled.

Has the power struggle in the Ministry of Finance boiled over?

And are we seeing the Johari-led team is being overwhelmed by the Irwan Serigar’s group?

It appears to be so. Najib said Arul Kanda remains 1MDB president but is no longer on the boards of Bandar Malaysia Sdn Bhd and TRX City Sdn Bhd.

On the other hand, Irwan Serigar is now in charge of all matters concerning 1MDB land assets, which had been transferred to the Ministry of Finance (MoF).

More interestingly what is going to happen to Johari?

Is Johari being squeezed?
 Losing to Irwan Serigar – a civil servant - is not very honourable for this up and coming politician. But the prospects of being abandoned by Najib is worse.

Is he the scapegoat that would be slaughtered to appease the gods in Beijing who are unlikely to be amused with cancellation of the share sales to CREC?

Or is this yet another attempt to pull the wool over the people’s eye when the actual game plan is to revalue Bandar Malaysia in an attempt to raise more political funds for the coming general elections?

Wallahuaklam.

Monday, May 15, 2017

Cara Atasi Masalah Adun Pas Selangor


A Kadir Jasin


MAAF cakaplah kalau saya kata, sama ada Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Mohd Azmin Ali arah atau tidak, gesa atau tidak, kedudukan tiga orang Ahli Majlis Kerja (Exco) Pas dalam kerajaan Selangor susah untuk dipertahankan tetapi jalan keluarnya ada.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Tiga orang itu - (Datuk) Iskandar Samad, (Datuk) Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib – tidak lagi layak menduduki Exco kerajaan negeri. Termasuk mereka, Pas ada 13 ahli dalam Dewan Undangan Selangor setelah dua keluar untuk menyertai Amanah.

Macam mana mereka hendak terus isi jawatan itu sedangkan parti mereka secara sahih dan lantang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR?

Mula-mula mari kita fahami asas penyertaan Pas dalam kerajaan Selangor. Ia adalah hasil tahaluf siyasi di antara Pas dengan PKR setelah Pas pecah berikutan pemilihan tahun 2014.

Sebahagian besar pemimpin Pas bukan agama yang kalah pemilihan itu keluar untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas menamatkan kerjasama dengan DAP tetapi mengekalkan kerjasama dengan PKR. Serentak itu Pas mula bermanja-manja dengan Umno.

Pas pecah kerana perwakilan yang dipengaruhi oleh golongan agama (saya tak berani guna gelaran ulama) menendang keluar semua pemimpin yang bukan daripada aliran agama.

Hakikatnya pemimpin bukan tuan guru dan tok lebai inilah yang menolong memberikan imej terbuka kepada Pas dan dengan imej itu Pas berjaya menarik orang Melayu bandar dan terpelajar untuk menyokongnya.


Tetapi kematian Almarhum Tok Guru (Datuk Seri) Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2015 membawa bersamanya sifat dan sikap positif dalam Pas seperti keyakinan diri, keterbukaan dan keterangkuman.

Sekali gus ia menyukarkan kerjasama Pas dengan parti-parti Pakatan Rakyat. Ini menjadi bertambah rumit berikutan pemenjaraan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pada tahun yang sama.

Abdul Hadi Awang

Di bawah kepemimpinan Tuan Guru (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang Pas menjadi tertutup, kurang keyakinan, bercelaru dan amarah. Bagi saya ini adalah manifestasi sifat dan sikap Abdul Hadi sendiri.

Kalau kita dalami, tidaklah ada apa-apa yang luar biasa atau “magical” dengan tahaluf siyasi kecuali ia adalah dalam bahasa Arab. Dalam bahasa kita, ertinya kerjasama politik.

Pada akhir-akhir ini Pas suka menggunakan istilah bahasa Arab. Umno pun sudah terikut-ikut. Kita pun tahu sebabnya. Orang Melayu hari ini mudah terpengaruh dengan segala sesuatu yang berciri Arab akibat proses pengaraban orang Melayu.

Maaf cakaplah kalau saya kata, banyak orang Melayu nak jadi Arab walaupun Dunia Arab makin hari makin kacau-bilau, berperang sesama sendiri dan mundur.

Kerana kurang keyakinan diri, Abdul Hadi mengelilingi dirinya dengan orang daripada jenis yang dia rasa selesa iaitu golongan agama yang mengangguk.

Di luar Pas pula, dia hanya akrab dengan Perdana Menteri dan Presiden Umno, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Itu pun kata orang, bukan kerana dia kenali dan percayakan Mohd Najib secara mendalam tetapi khabarnya kerana Mohd Najib telah berjasa kepadanya.

Ikut cerita, kemesraan itu terjalin apabila Abdul Hadi jatuh sakit ketika dalam lawatan ke Turki pada tahun 2014. Khabarnya kerajaan pusat menghulurkan bantuan.

Sejak itu Abdul Hadi menjadi saudara kembar politik Mohd Najib. Mereka hadir bersama di banyak majlis berbentuk agama. Malah ada masa berbaju Melayu sewarna.

Najib (kiri) dan Abdul Hadi saudara kembar politik
Memang daripada aspek apa pun mereka nampak sehati sejiwa, hidup mati bersama. Maka tidak hairanlah timbul dakwaan dan tuduhan bahawa Pas atau wakilnya telah menerima sejumlah wang yang besar daripada Umno dan akan berpakat dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pas membantah keras dakwaan itu dan sedang mengambil tindakan saman malu terhadap portal berita  Sarawak Report di London. Portal berita itu mendakwa Pas menerima derma RM90 juta daripada Umno.

Tetapi gaya hidup mewah sesetengah pemimpin agama Pas menyebabkan banyak orang percaya bahawa Pas memang ada sumber pendapatan baru yang lumayan.

Mustahil pemimpin Pas mampu mengamalkan gaya hidup mewah dengan kereta Audi Q7 yang harga barunya RM590,000 kalau mengharapkan kutipan derma daripada ahli ketika ceramah dan muktamar.

Pas Selangor

Berbalik kepada Adun Pas dalam DUN Selangor, mereka tidak ada pilihan melainkan berpisah daripada PKR kerana itulah implikasi pembatalan tahaluf siyasi dengan PKR.

Tapi mereka hendak kekal juga sebagai rakan PKR dan duduk dalam Exco.

Jadi caranya adalah dengan keluar Pas dan menjadi Adun bebas.

Atau lagi bagus kalau mereka menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan dalam kerajaan Selangor. Mereka boleh sertai PKR atau mereka boleh ikut rakan-rakan mereka yang telah menyertai Amanah.

Satu lagi kemungkinan – walaupun kecil – adalah mereka mengisytiharkan Pas Selangor sebagai bebas daripada Pas pusat macam telah berlaku kepada Parti Kongres India yang ada Kongres pusat dan Kongres negeri.

Azmin telah pun membuka jalan ke arah itu apabila beliau dilaporkan berkata Pas masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat yang dimenanginya dalam PRU 2013.

Wallahuaklam.

Thursday, May 11, 2017

Pendakwa Gugur Tuduhan Sabotaj Terhadap Khairuddin dan Chang


A Kadir Jasin



MUTAKHIR, 12 Mei - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan Khairuddin dan Chang daripada tuduhan mensabotaj ekonomi negara.

Serentak itu Khairuddin dan Chang mengarahkan peguan mereka, Haniff Khatri supaya memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak berhubung penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Haniff berkata dia juga diarahkan agar memfailkan surat tuntutan yang sama ke atas Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar, Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali.

POSTING ASAL
 

PENGGIAT masyarakat (Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang melangkah setapak lagi ke arah kemenangan dalam usaha mereka mendedahkan skandal 1MDB dan mencari keadilan bagi pihak rakyat jelata Malaysia.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Hari ini Pendakwa Raya menarik balik tuduhan mensabotaj kewangan negara yang dikenakan ke atas mereka.

Gambar fail: Khairuddin (kanan) dan Chang
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau telah diarahkan untuk tidak meneruskan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya adalah di bawah Jabatan Peguam Negara. Peguam Negara adalah (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali.

Selaras dengan itu, pihak pendakwaan memohon agar kedua-dua tertuduh dilepaskan tetapi tanpa dibebaskan (acquitted not amounting to discharge).

Bagaimana pun Khairuddin dan Chang menolak penarikan balik pertuduhan tersebut sebaliknya menuntut agar mereka juga dibebaskan.

Peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memohon agar mereka dibebaskan atas alasan pelepasan tanpa pembebasan membolehkan pihak pendakwa menuduh mereka semula.

Ini adalah kemenangan kedua bagi Khairuddin dan Chang. Terdahulu daripada itu, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa mereka tidak boleh dituduh di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pada 18 November lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan mereka diikat jamin selepas memutuskan bahawa tuduhan yang dihadapi kedua-dua mereka bukan kesalahan keselamatan dan dengan itu tidak tertakluk di bawah Sosma.

Chang pada asalnya peguam Khairuddin dalam perangnya mendedah dan mencari keadilan berkaitan skandal penipuan 1MDB.

Tetapi kedua-dua mereka ditangkap dan dipenjarakan di bawah Sosma setelah membuat aduan di lima tempat di mana jenayah 1MDB disyakki dilakukan di antara 28 Jun dengan 26 Ogos tahun lalu.

Lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat Polis Cantoment, Singapura.

Mereka berdepan dengan kemungkinan dipenjarakan sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Kegigihan, kebaranian dan pengorbanan mereka serta peguam mereka adalah bukti bahawa bukan semua rakyat jelata Malaysia boleh diancam dan ditakut-takutkan dan kita masih boleh mengharapkan kehakiman untuk melakukan keadilan serta membuat tafsiran kepada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen.

Wallahuaklam.

Monday, May 08, 2017

Bandar Malaysia: Projek Duit Pilihan Raya?


A Kadir Jasin


SANG Kelembai menegur lagi. Kali ini sumpahannya adalah Bandar Malaysia.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sekonyong-konyong, penjualan 60 peratus saham projek raksasa itu kepada pakatan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dari Malaysia dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) dari negeri China dibatalkan.

Alasannya perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd luput kerana gagal penuhi syarat pembayaran pembelian saham walaupun sudah dibagi penangguhan beberapa kali.

Bandar Malaysia di atas bekas tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia ini adalah antara projek raksasa di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Kalau kita masih ingat lagi, ia adalah salah satu daripada banyak projek “atas angin” 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 3 Mei lalu, anak syarikat Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd kata perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd telah luput.

Orang yang faham dunia perniagaan tentu terkejut sebab IWH ini adalah syarikat anak emas kerana perhubungan rapat taukenya, Tan Sri Lim Kang Hoo, dengan raja sebuah negeri Melayu.

Lim (kanan) bersama Arul Kanda Kandasamy, Pengarah Eksekutif 1MDB
CREC pula adalah sebuah syarikat pembinaan antarabangsa milik Republik Rakyat China. Macam kita sedia maklum, Najib sangat rapat dengan negeri China. Banyak projek besar dia bagi kepada negeri China dan banyak hutang dia ambil dari negara komunis itu.

Pada 31 Disember 2015, TRX City Sdn Bhd telah tandatangani perjanjian dengan IWH dan CREC. Pada 21 Julai 2016, TRX City Sdn Bhd pindahkan pemilikan dan tanggungjawab 60 peratus saham Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada IWH CREC Sdn Bhd.

Dengan pembatalan perjanjian itu, Kementerian Kewangan sekarang pegang 100 peratus Bandar Malaysia.

Putar-Belit

Lawaknya ialah projek gagal tapi TRX kata nilai tapak itu telah naik dengan banyak. Minta maaflah kalau saya kata, saya pelik macam mana nilai tapak naik bila projek terbantut.

Saya syak ini satu lagi tipu-helah untuk naikkan nilai tanah itu dan kemudian jual kepada pihak-pihak lain dengan harga yang lebih tinggi mahal. Silap-silap yang kena bayar harga lebih mahal nanti adalah syarikat tempatan.

Inilah yang 1MDB buat bila dibagi hak istimewa untuk beli harta TUDM itu. Ia naikkan nilai (valuation) berkali-kali sejak ambil alih tahun 2014. Pada masa itu, 1MDB kata nilai wajarnya RM896.8 juta.

Tapi setelah diubah syarat penggunaan dan dirancang jadi Bandar Malaysia, nilainya naik melambung. Misalnya 60 peratus saham yang dijual kepada IWH CREC itu ditaksirkan bernilai RM7.41 bilion.

Dalam ukuran apa pun projek ini adalah sangat besar. Oleh sebab itu saya dapati pembatalan perjanjian dengan IWH CREC sangat mengejutkan dan cetus kecurigaan tentang kerapian kerajaan rancang projek itu dan tujuan sebenarnya.

Bila perjanjian dengan IWH CREC ditandatangani ia diuar-uarkan sebagai projek transformasi yang akan ubah landskap pembangunan hartanah negara dan akan jadi bandar bawah tanah terbesar di luar negeri China.

Cita-cita Besar: Najib ketika lancar Bandar Malaysia
Ia diisytiharkan sebagai mercu tanda kerjasama ekonomi dan keakraban di antara Malaysia dengan China.

Tapi dari awal lagi, banyak pihak yang tahu pertikai pemberian projek itu kepada sebuah syarikat kerajaan China dan sebuah syarikat tempatan yang tak begitu terkenal dalam sektor pembinaan dan hartanah negara.

Saya sendiri banyak kali persoalkan pemberian kontrak itu kepada syarikat kerajaan China sebab pada pandangan saya ia perkecil jasa para perajurit dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang korban nyawa lawan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya yang disokong oleh Parti Komunis China.

Saya juga persoal pemberian kontrak kepada syarikat asing sebab pada hemat saya, ada banyak syarikat pembinaan dan hartanah tempatan, termasuk yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah buktikan kemampuan mereka majukan projek hartanah bersepadu.

Soalnya pasal apa Kementerian Kewangan tergesa-gesa dan diam-diam bagi kontrak Bandar Malaysia kepada pakatan Cina Malaysia dengan syarikat kerajaan China?

Pasal apa baru sekarang cakap mengenai tawaran terbuka untuk cari pemaju utama yang baru?

Pasal apa baru sekarang Kementerian Kewangan janji akan kenakan syarat-syarat ketat macam rekod pencapaian, kepantasan siapkan projek dan kemampuan kewangan?

Ini bagi gambaran pemilihan IWH dan CREC tak ikut syarat-syarat yang ketat. IWH bukanlah syarikat hartanah yang besar dan lama. Ia baru beberapa tahun diasaskan dan kegiatannya terhad kepada Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor.

Kementerian Kewangan kata IWK CREC Sdn Bhd gagal patuhi syarat. Tapi IWK CREC dakwa ia telah patuhi semua syarat. Siapa bohong?

Pasal apa CREC yang dimiliki oleh kerajaan China dan amat disanjung oleh kerajaan kita tiba-tiba didakwa langgar syarat pembayaran?

Apakah ini kerana kerajaan China telah ketatkan syarat bawa keluar modal untuk dilaburkan di luar negara atau ada sebab-sebab lain yang dirahsiakan?

Baru-baru ini kerajaan China telah ketatkan kawalan ke atas pengaliran keluar modal dalam usahanya sekat kejatuhan nilai mata wang yuan.

Kita semua tahu banyak urus niaga yang libatkan syarikat China sejak setahun dua ini ada kaitan dengan usaha bayar balik RM50 bilion hutang 1MDB bagi elak diisytiharkan muflis.

Kroni Mana?

Kita nak tengok siapa akan dilantik jadi pemaju utama (master developer) Bandar Malaysia bagi ganti IWH CREC Sdn Bhd.

Saya tak terkejut kalau China dapat balik projek ini tapi dengan rakan kongsi baru dari Malaysia atau dibagi projek lain yang sama besar sebagai ganti. China kawan istimewa Najib.

Sekitar tahun 2010, syarikat yang disebut-sebut sebagai bakal dipilih memajukan Bandar Malaysia adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Malton Berhad. Saya telah menulis mengenai.

Malah ada laporan kata secara dasar Kabinet telah amanahkan pembangunan semula lapangan TUDM kepada 1MDB, LTAT dan Malton tapi tiba-tiba pada 2015 dibagi kepada IWK dan CREC.

Bandar Malaysia asalnya dibagi kepada LTAT?
Kalau LTAT kita tidak ada masalah. Elok sangatlah tabung yang jaga kebajikan anggota dan pesara ATM dibagi peluang majukan tapak TUDM.

Tapi kita kena hati-hati sikit berkenaan Malton. Ikut cakap-cakap pasaram, Tauke Malton (Tan Sri) Desmond Lim Siew Choo sangat rapat dengan orang atasan tertentu dalam kerajaan Malaysia atau isteri orang itu.

Desmond Lim Tauke Pavilion
Desmond Lim inilah yang dapat penswastaan tapak Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang yang dimajukan jadi kompleks beli-belah eksklusif Pavilion.

Kalau pisang berbuah dua kali tak apalah – banyak hasil. Tapi yang kita takut ialah pemilihan pemaju baru ini pun walhasil balik asal juga; keluar mulut harimau masuk mulut buaya.

Saya tak hairan kalau semua ini adalah mainan pilihan raya umum (PRU) untuk cari duit dan pancing undi macam Najib buat dengan FGV pada tahun 2012. Bagi Najib, duit tunai adalah raja. Dia tak peduli kalau dalam merajakan duit, beban dan bala ditanggung oleh rakyat jelata bergenerasi lamanya.

Wallahuaklam.

Thursday, May 04, 2017

Dilema Kelangsungan Pas


A Kadir Jasin


KALAU boleh saya meminjam ungkapan bahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu bolehlah saya katakan bahawa banyak air telah mengalir di bawah jambatan di muktamar Pas ke-63 baru-baru ini.

Muktamar Pas di Kedah 29 April-1Mei lalu
Dalam bahasa Inggeris, ungkapan itu berbunyi "A lot of water has flowed under the bridge."

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Banyak perkara dan hal diperkatakan, dibincangkan dan diputuskan dalam persidangan di Kota Sarang Semut berhampiran Alor Setar itu.

Soalnya sekarang, adakah keputusan yang dibuat di muktamar itu muktamad dan pimpinan baru yang dipilih di persidangan itu berbeza daripada yang sebelumnya?

Mungkin tidak kerana ada proses-proses lain yang terpaksa dilalui sebelum ketetapan-ketetapan itu dikuatkuasakan dan kepimpinan baru pula tidaklah homogen dan monolitik.

Pas adalah antara parti politik paling banyak lapisan hierarkinya. Ada Muktamar, ada Majlis Syura, ada Mursyidul Am, Dewan Ulama, barisan kepemimpinan, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan banyak lagi cabang yang tindih menindih dan sokong menyokong.

Di sebalik baju Melayu dan ketayap, jubah dan serban terdapat pelbagai pandangan dan pendekatan yang kadang kalanya umpama langit dengan bumi. Dalam kata lain, Pas adalah parti dalam parti.

Walaupun perwakilan dan pemimpin Pas mempamerkan sikap keras berkaitan kerjasama dengan parti-parti lain namun ia bukanlah sesuatu yang dipahat di atas batu dan tidak boleh diubah.

Masih Ada Unsur Pragmatik

Sekalipun banyak tindak-tanduk, pidato serta retorik Pas sukar didalami dan difahami namun saya yakin Pas tidaklah dangkal atau keras seperti dipamerkan.

Tentunya setelah kebakaran semangat dan tunjuk berani (posturing) di Muktamar reda, kepemimpinan Pas terpaksa berfikir secara lebih rasional mengenai kelangsungan (survival) parti mereka.

Walaupun mereka bercakap besar di khalayak tentang kekuatan Pas, realitinya mereka tahu bahawa Pas lemah apabila bersendirian. Banyak kajian bebas dan analisis mengatakan Pas akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang jika ia bertanding bersendirian.

Kecuali Pas sudah mengambil sikap bunuh diri atau menjadi “suicidal” – tidak mahu hidup lagi – ia terpaksa menimbang semula pendiriannya.

Macam mana benci sekalipun Pas terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di dalamnya, Pas terpaksa mengakui bahawa kekuatan PH lebih besar daripada kekuatannya.

Bayangkanlah, kalau PH pun mendapati sukar menandingi kekuatan wang dan jentera Umno, bagaimana agaknya Pas yang bersendirian?

Suka atau tidak – kecualilah Pas telah sebulat suara memilih jalan kemusnahan – ia terpaksa memilih untuk berpakat sama ada dengan PH atau Barisan Nasional.

Atau ia boleh cuba menjalin kerjasama bersaingan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mengelak pertandingan pelbagai penjuru.

Walaupun Pas sudah lafaz talak terhadap PKR dan DAP di peringkat pusat, di Selangor ia masih bersekedudukan dengan kedua-dua buah parti itu dalam kerajaan negeri.

Melainkan Pas secara diam-diam telah menjalin hubungan sulit dengan BN dan memperoleh sumber kewangan baru yang besar, ia memerlukan rakan kongsi yang ada kemampuan kewangan dan berpotensi untuk menang.

Bersendirian Pas akan kalah teruk. Perjuangan Islamnya selama ini akan tinggal nama saja. Jadi yang mana lebih baik bagi Pas – berpakat dengan parti-parti PH atau BN?

Jarum Beracun Umno

Pas benci kepada Amanah kerana parti baru itu adalah serpihan Pas. Tapi perwakilan Pas sendiri yang menolak pemimpin-pemimpin yang kini menganggotai Amanah. Pas mahu menjadi parti yang khusus untuk golongan agama.

Berkenaan DAP pula, Pas sudah termakan racun dan masuk perangkap Umno apabila ia berpecah dengan DAP. Pas takut kepada kempen Umno yang menuduhnya mengkhianati Melayu dan Islam kerana bekerjasama dengan DAP melalui Pakatan Rakyat. DAP pula renggang dengan Pas kerana takutkan kempen MCA yang kononnya ia mengorbankan kepentingan orang Cina.
 
Apa yang tidak disedari atau jarang diperkatakan adalah DAP berupa parti pelbagai kaum sedangkan MCA adalah parti perkauman eksklusif orang Cina. DAP tidak pernah tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi MCA mahu jawatan itu. DAP tidak bekerjasama dengan Parti Komunis China (PKC), tapi MCA sudah jadi abang-adik dengan PKC.

Pendapat umum ialah ahli dan penyokong akar umbi Pas akan memberontak jika pemimpin mereka berpakat dengan BN.

Presiden Pas, (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang mungkin sehati sejiwa baju sewarna dengan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, tetapi bagi ahli dan penyokong akar umbi Pas, Umno adalah musuh hidup mati mereka.

Hal yang sama akan berlaku dengan ahli dan penyokong akar umbi Umno kecuali yang makan dedak. Permusuhan antara mereka terlalu lama, sengit dan mendalam untuk berpelukan semata-mata kerana Abdul Hadi dan Najib berpelukan.

Najib dan Abdul Hadi sehati sejiwa baju pun sewarna
Kalau Pas dan Umno bergabung, siapa akan mempengaruhi siapa? Pas akan mengalimkan Umno atau Umno akan mengkorupsikan Pas?

Hatta parti-parti bukan Melayu dan bukan Islam dalam BN pun, khususnya di Sarawak, akan menolak kerjasama dengan Pas berdasarkan penentangan mereka terhadap Rang Undang-undang Persendirian Haji Abdul Hadi (RUU355) baru-baru ini.

Pilihan bagi Pas adalah sukar dan sempit. Bersendirian, ia akan kalah teruk dan memberi kemenangan percuma kepada BN. Menyertai PH, ia akan dituduh menjilat semula ludahnya dan akan dijadikan modal fitnah oleh BN.

Namun jalan selamat masih separuh terbuka bagi Pas. Caranya adalah dengan menjalin kerjasama dengan salah satu parti anggota PH atau lebih, misalnya dengan PKR dan PPBM atau kedua-duanya sekali.

Kalau kerjasama ini tidak boleh dilakukan di seluruh negara setidak-tidaknya pun di beberapa buah negeri.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).