Sunday, January 28, 2018

Pengakuan Najib Mengenai 1MDB Sabotaj Propaganda Laskar Siber



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

BANYAK pihak telah mengulas pengakuan U-turn Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak) bahawa 1MDB gagal dan berlaku kesilapan urus tadbir.

Najib mengaku 1MDB gagal, urus tadbir songsang
Jadi tidak perlulah saya mengulanginya kecuali memberi kata dua bahawa “pengakuan” Najib itu janganlah ditelan bulat-bulat sebab mungkin ada lebih banyak racun daripada penawar.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sebaliknya saya hendak mengulas tentang betapa sepinya (muted) reaksi media massa arus perdana (MAP) dan laskar siber upahan kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam loghat Utara, mereka telah “terbotoi” (kemaluan) kerana selama ini mereka bermati-matian menafikan yang 1MDB gagal dan urus tadbirnya bermasalah.

Kalau dulu mereka mensabotaj kerajaan, Umno dan BN dengan membuat laporan dangkal yang tidak dipercayai umum sehingga jualan akhbar mereka jatuh merudum, kini giliran mereka pula disabotaj.

Bukan alang kepalang punya sabotaj, tetapi sabotaj oleh bos nombor satu mereka sendiri.

Kesepian mereka memekakkan. Apa guna yuran perundingan yang khabarnya mencecah jutaan ringgit bagi yang bertaraf komander dan dedak bagi prebet kalau sekadar membuat tampalan (posting) mengenai senaman pagi, sarapan, menjelir lidah seksi, rawatan perubatan canggih, gambar pemandangan matahari naik dan turun, awan gelap dan hujan lebat.

Bagi saya, posting sebegini oleh komander dan jeneral siber kerajaan, Umno dan BN adalah manifestasi kekacauan minda dan ketidakberanian mereka menghadapi realiti. Ia adalah “escapism”.

Sumber Upah

Dari dulu lagi saya mengesyaki ada bekas pengarang dan wartawan kanan MAP yang dilantik penasihat media dan dibayar yuran perundingan yang luar biasa besarnya.

Tetapi majoriti laskar siber hanya mendapat sagu hati dan duit poket sahaja atau dedak dalam bahasa jalanan. Laskar adalah daripada istilah Parsi lashkar (لشکر ) yang bererti askar.

Saya juga tahu sebahagian daripada mereka ditaja oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan individu yang berkaitan dengan Umno dan pentadbiran Najib.

Tetapi baru-baru ini saya terperanjat juga apabila mendapat tahu bahawa dua buah portal prokerajaan ditaja oleh sebuah GLIC Bumiputera yang sangat besar dan penting.

Sebuah daripada portal itu dimiliki seorang bekas pengarang MAP dan sebuah lagi oleh pengulas politik berkelulusan pengajian media yang tidak pernah menjadi wartawan.

Pada mulanya saya hanya syak kerana dua portal itu amat gigih dan pantas membela GLIC berkenan apabila saya menulis sesuatu yang tidak baik mengenainya.

Tetapi apabila kenyataan balas oleh salah sebuah portal itu terhadap kritikan saya menyerupai kenyataan media yang dikeluarkan selepas itu oleh GLIC berkenaan, jelaslah apa yang saya syak itu adalah benar.

Menurut maklumat terbaru yang saya peroleh, bos GLIC itu sendiri memberi imlak (dictation) kepada ketua portal tersebut bagi menjawab hujah saya. Terima kasihlah kerana memandang serius kritikan saya.

Bagi memenuhi etika kewartawanan, saya menghantar pesanan WhatsApp kepada pegawai GLIC berkenaan. Pegawai inilah yang berhubung dengan saya apabila ada isu antara saya dengan majikannya.

Saya menulis: “Assalamualaikum. Sekadar maklumat. Saya dimaklumkan yang - - - (nama GLIC) menaja --- (nama portal) dan --- (nama portal). Saya dimaklumkan juga yang ---(nama pengerusi GLIC) menghantar WhatsApp terus kepada ---- (nama ketua portal) untuk menjawab tulisan saya tempoh hari. Wallahuaklam. Terima kasih.”

Seandainya maklumat yang saya peroleh itu tepat, persoalannya adalah apakah tajaan oleh GLC dan GLIC ini mengikut tata cara pengurusan dan selari dengan etika korporat mereka?

Apa pun, pengakuan Perdana Menteri bahawa 1MDB gagal dan ada masalah urus tadbir di dalamnya telah membuatkan taring MAP dan laskar siber kerajaan dan BN semakin tumpul kalau pun tidak rongak terus.

Namun saya tidak menjangka wayang kulit 1MDB ini akan berakhir dengan pengakuan Najib itu. Pengakuan beliau tidak lebih daripada “comic relief” ala Etong dan Ekheng menjelang pilihan raya umum (PRU).

Wallahuaklam.

Monday, January 22, 2018

Umno-PAS: Atas Lain, Bawah Lain

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MULA-MULA sekali terima kasih kepada pemuda Melayu yang menemui saya di Ceramah Perdana “Mai Dengaq, Balik Habaq” Pakatan Harapan/PPBM di Bukit Jambul, Pendang, Jumaat lalu.

Orang Umno dan PAS pun ramai mai dengaq
Dengan suara gementar, dia meminta maaf kerana mengganggu saya. Katanya dia ada satu soalan besar yang mengacau fikirannya.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Ibunya guru taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Dia berkata, ibunya diberitahu oleh orang Umno sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah, Pakatan Harapan (PH) akan tutup Kemas dan kakitangan Kemas akan dibuang kerja.

Saya kata kepadanya, itu tidak betul. Sebaliknya PH akan memperkukuh dan memperluaskan sistem pendidikan - daripada prasekolah hingga ke peringkat paling tinggi - dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan bukan membuang orang.

Cerita pemuda itu hanyalah satu daripada pelbagai jenis ugutan dan ancaman yang digunakan oleh Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi agar tidak berhijrah menyokong PH.

Kalau di peringkat atas menteri memberi amaran dan pengancam kakitangan awam agar terus memperhambakan diri kepada Umno-BN atau menderita hukuman dan deraan, di peringkat bawah pun macam itu juga. Malah lebih teruk.

Bapak-bapak kepala Umno-BN yang bermentaliti kelas “kepala bapak kau” (meminjam ungkapan Perdana Menteri, Perdana Menteri, ((Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil)), Mohd Najib Abdul Razak) tidak lagi membezakan di antara kerajaan dan parti.

Dalam kegelabahan mereka kerana bayang-bayang kekalahan semakin terang, mereka menganggap dan melayan kakitangan awam sebagai hamba Umno-BN dan bukan sebagai kakitangan awam yang ada kehormatan.

Di dalam gelap saya juga dihampiri hadirin yang berkata mereka bersimpati dengan Tun Dr Mahathir dan PH walaupun mereka masih bersama Umno dan PAS.

Saya faham sentimen mereka. Saya dilahirkan dalam keluarga Umnu dan menjadi ahli Umno Bahagian Pendang selama lebih 30 tahun hingga tahun 2015 apabila saya menarik diri secara rasmi.

Saya faham sangat pentingnya afiliasi parti, sama ada dengan Umno atau PAS. Menjadi ahli atau penyokong salah sebuah parti itu adalah sebahagian daripada sistem sosial.

Setiap individu, di saat-saat penting kehidupan dan kematiannya, tidak dapat tidak akan dikaitkan dengan afiliasi politiknya. Si anu itu orang Umno, si polan pula orang PAS.

Di kawasan inilah, dalam pilihan raya umum (PRU) 1969, kempen mengkafirkan orang Umno oleh PAS memberi kesan besar Umno apabila wakil rakyat Perikatan masa itu, Dr Mahathir kalah kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa.

(Hari ini, anak Almarhum Yusof Rawa, Yang Berhormat ((Datuk) Dr Mujahid Yusof Rawa, adalah di antara musuh politik Dr Mahathir yang telah berubah menjadi rakan seperjuangan demi menyelamatkan Malaysia.)

Tetapi hakikat bahawa pada malam Jumaat lepas banyak orang Umno dan PAS secara diam-diam, sambil bercangkung dalam gelap, mendengar ucapan pemimpin PH adalah satu perubahan luar biasa.

Ertinya mereka tidak lagi taasub kepada sistem masyarakat yang mengikat mereka kepada Umno dan PAS.

Mereka mahu mendengar cerita PH kerana mereka juga terhimpit dan tersepit dengan kesempitan hidup yang disebabkan oleh salah urus ekonomi dan penyelewengan oleh kerajaan kleptokrasi Najib.

Kalau ramai ahli dan penyokong Umno tidak lagi mampu atau mahu mempertahankan kepemimpinan parti dan kerajaan, ahli dan penyokong PAS pula digugat imannya oleh cerita-cerita kehidupan mewah sesetengah ulama mereka setelah dikaitkan dengan sogokan oleh Najib.

Soal keakraban luar biasa di antara Presiden mereka, (Tuan Guru Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dengan Presiden Umno  masih menjadi punca kekeliruan bagi ramai ahli dan penyokong PAS kerana di peringkat akar umbi Umno masih berupa musuh ketat mereka.

Walaupun kebencian mereka cuba diarahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) namun dalam pemikiran mereka, musuh tradisi mereka adalah Umno.

Di saat-saat bapak-bapak kepala mereka bersekedudukan dengan Umno dan dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan hedonistik, ahli dan penyokong biasa PAS bukan sahaja tidak menikmati habuan itu sebaliknya ditekan oleh kesempitan hidup.

Manakala Najib tidak mahu atau tidak mampu menafikan dakwaan yang dia telah memberi rasuah kepada watak-watak tertentu dalam PAS, Abdul Hadi terpaksa bertungkus-lumus cuba membersihkan nama PAS.

Malangnya, Abdul Hadi mungkin sudah termasuk perangkap Najib apabila dia memfailkan saman terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di London.

Dalam bahasa mudah, Abdul Hadi telah diperangkap untuk melakukan kerja kotor bagi pihak Najib.

Keris panjang: Abdul Hadi terpaksa berlagak bebas dan garang
Sebagai tindak balas kepada reaksi negatif persekongkolan dengan Umno-BN itu, Abdul Hadi beberapa hari kebelakangan ini terpaksa berlagak bebas dan berani dengan mengisytiharkan yang PAS akan bertanding 140 kerusi Parlimen dan memerintah Selangor mengikut syariat Islam.

Kesimpulannya, macam Umno juga, PAS tidak boleh lagi memperkotak-katikkan orang Melayu seperti dulu.

Orang Melayu kampung, peneroka Felda dan penghuni perumahan rakyat tidak boleh lagi dijual murah oleh Umno dan PAS.

Mereka tidak boleh lagi diperbudak-budakkan dan mereka mempunyai lain pilihan - Pakatan Harapan.

Wallahuaklam.

Tuesday, January 16, 2018

Penyelesaian Ajaib Isu Kehilangan Tanah Felda Jalan Semarak



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

ADAKAH penyelesaian skandal “kehilangan” hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semudah itu?

Pengerusi Felda Shahrir Samad senyum terima "penyelesaian"
Adakah kes itu dikira selesai semata-mata hanya kerana hak milik ke atas 16 lot tanah yang dikatakan hilang itu sudah dipulangkan?

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Kalau itulah caranya, nampak sangat bahawa ada silap mata dalam “kehilangan” dan “perolehan balik” tanah bernilai tinggi itu.

Hanya orang betul bendul dan tidak tahu apa-apa sahaja akan percaya penyelesaian ajaib ala wayang kulit itu.

Jadi elok sangatlah audit forensik dan siasatan polis ke atas bagaimana sebuah syarikat persendirian berjaya mengambil alih pemilikan tanah itu, diteruskan seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

Dalam satu pesanan “Tweet” hari ini yang dilaporkan oleh New Straits Times atas talian, Najib berkata dia bersyukur 16 lot tanah itu dipulangkan tanpa sebarang kos.

Inilah yang menakjubkan. Bagaimanakah tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, dengan nilai terbangun kasar (gross development value) melebihi RM1 billion, boleh dipulangkan tanpa kos?

Kalau pemindahan hak milik tanah itu dilakukan dengan telus mengikut undang-undang, tentulah ada perjanjian dan pembayaran.

Bila ada perjanjian dan pembayaran maka pemindahan balik hak milik kepada Felda pun mesti ada perjanjian dan pembayaran.

Tetapi macam Najib sendiri akui, pemulangan hak milik tanah itu kepada Felda tidak melibatkan sebarang bayaran atau kos.

Jadi apakah jenis urusan jual-beli yang menyebabkan tanah itu terlepas daripada tangan Felda dan kemudiannya dimajukan menjadi Kuala Lumpur Vertical City?

Apakah sebenarnya syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd yang memulangkan 16 lot tanah itu kepada Felda dan siapakah di belakangnya?

Apa yang kita ketahui daripada laporan media adalah ia diwakili oleh seorang ahli lembaga pengarahnya bernama (Datuk) Marina Hashim.

Carian Internet mendapati Synergy Promenade ini adalah syarikat kontraktor dan peniagaan umum yang ditubuhkan pada tahun 2000.

Kalau Marina Hashim itu sama dengan wanita yang dipersembahkan oleh majalah Nona pada 18 September tahun lalu, maka dia adalah seorang jelitawan dan ibu dalam usia 40-an.

Dalam laporan itu, majalah tersebut memetik salah seorang anaknya, Muhammad Nuraiman Rayyan Erwazri, sebagai berkata ibunya “bekerjasama rapat dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).” Sesiapa yang berminat boleh baca DI Sini.

Jadi audit forensik dan penyiasatan polis yang Najib sebutkan itu perlulah memastikan apakah bentuk kerjasama rapat di antara wanita itu dengan pengurusan Felda.

Memandangkan banyaknya kejadian berbentuk skandal dan rasuah yang berlaku dalam Felda dan Felda Global Ventures (FGV) yang semuanya mengancam kepentingan peneroka Felda serta generasi kedua Felda, maka wajiblah skandal tanah Jalan Semarak ini disiasat hingga ke akar umbi.

Manalah tahu mungkin benar-benar wujud apa yang dipanggil “FGVMafia” dalam FGV dan Felda yang menjadi dalang menghisap darah peneroka.

Wallahuaklam.

Sunday, January 14, 2018

Mustapa Berontak Terhadap Najib?



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

APAKAH benar Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, (Datuk Seri) Mustapa Mohamed aka Tok Pa, telah memberontak terhadap bosnya (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak?

Mustapa dengan pemimpin Umno Kelantan
Banyak orang mungkin terlepas pandang akan keberanian luar biasa yang tiba-tiba dipamerkan oleh Mustapa di arena politik Umno sejak kebelakangan ini.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu telah membuat beberapa kenyataan yang inti patinya adalah Barisan Nasional akan berusaha keras merampas Kelantan daripada PAS dalam pilihan raya umum tahun ini.

Boleh jadi banyak orang tidak perasan atau tidak begitu peduli kerana Mustapa telah membuat kenyataan yang serupa dalam beberapa PRU sebelum ini tetapi gagal merampas balik negeri itu.

Hanya mereka yang mengetahui latar belakang kepada kenyataan Mustapa itu sahaja akan menyedari keberanian beliau secara tiba-tiba itu.

Apa latar belakangnya?

Jawapannya adalah pendirian Presiden Umno berkaitan Kelantan. Beliau dikhabarkan telah membuat keputusan “menyerahkan” Kelantan kepada PAS sebagai sebahagian daripada rancangan kerjasama pilihan raya Umno-PAS.

Dikhabarkan lagi, keputusan itu dibuat secara bersendirian tanpa berunding dengan kepemimpinan Umno Kelantan kecuali sekerat dua yang intim dengan beliau. Ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati para pemimpin Umno Kelantan yang lain, termasuk Mustapa.

Itulah konon ceritanya.

Sumber bukan Umno dan bukan PAS tetapi rapat dengan Mustapa berkata, beliau tekad untuk membantah tindakan unilateral Najib itu dan ini dilakukannya dengan meminta bantuan putera politik Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Najib tidak boleh kata “no” kepada Ku Li sama ada kerana hormat kepada mentornya itu atau mengakui bahawa dalam Umno, Ku Li masih ada sedikit kuasa untuk “eye-balling” (jege) beliau.

Jadi suka tidak suka, Najib dikatakan terpaksa berunding dengan Ku Li dan Mustapa di rumah Ku Li di Jalan Langgak Golf off Jalan Tun Abdul Razak.

Berbalik kepada apa yang disifatkan sebagai perjanjian rahsia Najib-PAS itu, beliau dikatakan telah bersetuju untuk tidak cuba merampas Kelantan daripada PAS. Sebaliknya bersedia memberi laluan mudah supaya PAS menang 40 kerusi Dewan Rakyat.

Apakah ini benar?

Banyak orang mungkin cenderung mempercayai teori ini memandangkan keakraban Najib dengan teman sehati sejiwanya, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Tujuan Najib adalah menjadikan PAS “kaki kacau” kerana beliau lebih takut kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya PPBM, daripada PAS. Najib tahu PAS lemah selepas penyingkiran golongan bukan agama dan penubuhan parti Amanah.

Kita lihat bagaimana Umno dan PAS telah masuk gear empat menakut-nakutkan orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda bahawa jika PH menang DAP akan kuasai kerajaan.

Tetapi mereka tidaklah hebahkan yang DAP hanya bertanding  37 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Yang penting bagi Umno dan PAS adalah pembohongan mereka itu dipercayai oleh orang Melayu.

Dalam pemikiran mereka, orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda boleh diperbodohkan. Inilah “Islam” PAS dan wassatiyah Umno, iaitu berbohong dan memperbodohkan rakyat jelata.

Manakala Mustapa amat yakin Umno boleh tawan Kelantan, Najib pula dikatakan telah mengarahkan kajian yang penemuannya menjurus ke arah kegagalan Umno merampas balik negeri itu.


  • Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa wujud satu bentuk persefahaman sulit di antara Najib dengan PAS yang tidak diketahui oleh kepemimpinan Umno tetapi diketahui dan disokong sebulat suara oleh beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang “terhutang budi” kepada Presiden Umno itu.

Sebab itulah mereka begitu lantang menyerang Dr Mahathir dan PH. Musuh Najib sudah menjadi musuh mereka. Apa yang Dr Mahathir serang seperti skandal 1MDB, GST, skandal Felda/FGV, penjualan aset negara, skandal Tabung Haji dan banyak lagi semuanya dipertahankan oleh PAS seolah-olah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah halal di sisi Islam yang PAS amalkan.

Tetapi saya rasa pemimpin PAS yang celik hukum amat bimbang dengan perjalanan kes saman Abdul Hadi terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di mahkamah London. Kes itu mungkin menjadi senjata makan tuan.

Bagi Najib pula, masalah beliau di Amerika menjadi semakin rumit walaupun telah berjumpa Presiden Donald Trump dan menjanjikan berbilion ringgit pelaburan dan import bagi memperkukuhkan ekonomi Amerika.

Trump dan Najib: Senyuman penuh muslihat
Pada 20 Disember lepas, Trump telah menandatangani Perintah Eksekutif (Exacutive Order) 13818 yang bertujuan menyekat pergerakan harta orang-orang yang terlibat dengan pelanggaran serius hak asasi manusia dan rasuah.

Perintah itu mengisytiharkan darurat kebangsaan bersabit pelanggaran serius hak asasi manusia dan rasuah di seluruh pelosok dunia.

Ia memperuntukkan sekatan ke atas pelaku-pelaku perbuatan hina ini dan sekali gus memberi kuasa kepada Jabatan Kewangan Amerika (U.S. Treasury) membekukan  harta orang-orang  yang melakukan pelanggaran serius hak asasi manusia dan yang terlibat dengan rasuah.

Keakraban Najib-Abdul Hadi tidak dikongsi semua
 Kesimpulannya, sebarang percubaan unilateral oleh Najib untuk berpakat dengan PAS atau dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS yang termakan budi dengan beliau pasti mencetuskan masalah.

Ketua-ketua Umno dan PAS yang tidak dibawa berunding pasti tidak puas hati kerana perang Umno-PAS selama ini adalah sumber kuasa dan pendapatan bagi mereka.

Penggiat serta penyokong akar umbi ke dua-dua buah parti yang bermusuhan begitu lama dan mendapat habuan daripadanya juga tentu tidak akan berdamai dan berpeluk-pelukan secara spontan macam Najib dan Abdul Hadi berpegangan tangan dan berganding bahu.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).