Friday, January 11, 2019

Batal Kewarganegaraan Kerana Raja Cadangan Melampau


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Sebuah Saga: Nampak mesra dalam kereta lama
SEMALAM Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menemui Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, di Johor Baru.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Laporan media massa, antara lain, mengatakan yang mereka bersetuju untuk berterus terang antara satu sama lain dan akan berjumpa lagi jika ada isu yang hendak dibincangkan.

Baguslah.

Pertemuan kali ini adalah atas kehendak Sultan.

Maka dalam semangat yang sama, saya rasa kita pun hendaklah berterus terang juga antara satu sama lain.

Kalau Raja-raja boleh berterus terang dan berbaik sangka dengan Perdana Menteri, masakan kita sesama rakyat jelata tidak boleh berterus terang, terbuka dan bertolak ansur.

Baru-baru ini ada pihak yang dilaporkan menggesa agar kerakyatan orang yang dituduh menghina Raja-raja dilucutkan.

Kalau silap sikit kita lucutkan kewarganegaraan, akhirnya tidak banyaklah warganegara kita yang tinggal.

Lagipun, rasanya bukanlah mudah untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang.

Kita bukan negara diktator atau negara raja berkuasa mutlak yang boleh melucutkan kewarganegaraan atau campak seseorang ke dalam laut sesuka hati.

Sebagai sebuah negara raja berperlembagaan, kita hanya dibenarkan bertindak mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Jadi apabila kita membuat cadangan, janganlah keterlaluan atau bercanggah dengan Perlembagaan sehingga kita nampak tidak cerdik dan antidemokrasi.

Kedaulatan Undang-undang

Kita ada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti menghina institusi raja atau mana-mana juga institusi negara seperti Parlimen, mahkamah hatta menghina rakyat biasa sekali pun.

Saya pun pernah disoal siasat oleh polis atas laporan yang menuduh saya menghina dan mengancam Yang di-Pertuan Agong. Saya akan disoal siasat sekali lagi sebab ada laporan daripada ketua-ketua Umno dan PKR Kedah atas tulisan saya mengenai pertabalan Sultan negeri itu.

Apa-apa pun kita hendaklah selalu beringat bahawa tindak-tanduk menjadikan institusi raja sebagai eksklusif dan tidak boleh disentuh itulah antara punca banyak kerajaan beraja di dunia akhirnya dihapuskan.

Institusi raja sebagai sebahagian daripada ciptaan manusia tentulah tidak lengkap. Raja tidak maksum. Kalau kita berpegang kepada ajaran al-Quran, kita tahu yang tidak seorang pun daripada kita terlepas daripada melakukan kesalahan.

Oleh yang demikian kita perlu saling menegur dan memberi peringatan. Hanya Rasulullah maksum.

Misalnya, kalau kita tahu ada tauke cuba rasuah raja kita atau ada orang yang pergi merata tempat cari tanah kerajaan kononnya bagi pihak raja, isteri raja dan anak raja kita kena lah bersuara.

Saya baru saja bagi tahu seorang Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) mengenai dakwaan bahawa seorang tauke Cina sedang mencari tanah kerajaan di sebuah pulau kononnya bagi pihak anak seorang Sultan.

Dan saya bagi tahu seorang sahabat wartawan yang mewakili sebuah syarikat hartanah China, iaitu kalau di China mereka buang maharaja, apabila mereka buat bisnes di Malaysia mereka wajib hormat Raja-raja kita. Mereka jangan buat kerja yang merendahkan daulat Raja-raja kita.

Eloklah kita semua selalu beringat bahawa dalam zaman Internet dan media sosial ini, dinding ada telinga dan siling ada mata.

Syukur Alhamdulillah bukan semua orang tidak baik. Sebaliknya banyak orang kita yang baik.

Kita ambil iktibar daripada cerita pengorbanan dan keberanian dua orang kakitangan awam wanita yang mengambil risiko besar menyimpan laporan asal Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun diarah untuk memusnahkannya.

Hasil tindakan berani mereka itu kini kita tahu bahawa laporan yang dibentangkan di Parlimen telah dipinda atas arahan Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri. 

Adalah kesilapan besar bagi para pembesar kita, termasuk Raja-raja menganggap bahawa rakyat jelata tidak tahu apa yang berlaku pada musim panas yang lalu!

Kaji Sejarah

Kepada pihak-pihak yang mahu kewarganegaraan rakyat Malaysia ditarik balik kerana kononnya menghina raja, saya sarankan mereka belajar daripada sejarah kalau mereka tidak mahu menjadi “penyokong yang membawa rebah”.
 
Mereka boleh mulakan dengan mengkaji sejarah kerajaan-kerajaan beraja di dunia supaya mereka faham dari mana kita datang, di mana kita berada dan ke mana arah tujuan kita.

Ada ahli sejarah mengatakan bahawa kerajaan beraja di negara kita adalah antara yang tertua di dunia.

Hal itu boleh dibahaskan, tetapi buat masa ini memadai lah kalau saya katakan bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai paling ramai raja berbanding bilangan penduduk, keluasan wilayah dan kekayaan ekonomi.

Jadi mungkin benarlah hujah yang mengatakan bahawa Malaysia adalah antara negara beraja tertua di dunia.

Kesultanan Melayu Indonesia tinggal adat sahaja
Ahli sejarah dan pengkaji politik sering mengambil Perang Dunia Kedua sebagai titik pemisah antara era lama dengan era baru.

Era baru sering dirujuk kepada era pasca-penjajahan apabila tanah jajahan negara-negara beraja Eropah mula mendapat kemerdekaan.

Sebelum Perang Dunia Kedua ada beratus-ratus negara dan negeri yang diperintah oleh raja.

Ambil contoh India. Ketika British mula mengundurkan diri, terdapat 565 negeri beraja yang diiktiraf secara rasmi tetapi selepas merdeka semuanya dihapuskan.

Di Indonesia, sejarahnya lebih kejam. Banyak Raja Islam dan ahli keluarga mereka dibunuh atau terbunuh ketika revolusi nasionalis pimpinan Sukarno.

Hari ini hanya tinggal satu atau dua sahaja kesultanan Indonesia yang masih mendapat pengiktirafan rasmi. Itu pun mereka berfungsi sebagai institusi adat sahaja.

Di dunia sekarang terdapat 29 raja moden yang memerintah kira-kira 40 buah negara, termasuk Ratu Inggeris yang dianggap raja di banyak negara Komanwel.

Di Malaysia ada sembilan raja yang memilih salah seorang daripada mereka menjadi Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun mengikut giliran.

“..Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.”

Wallahuaklam.

Monday, January 07, 2019

Raja Turun Takhta Raja Atas Takhta


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Agong turun takhta jadi beri antarabangsa
SEMALAM, 6 Januari 2019 semua saluran utama media massa Malaysia melaporkan yang Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V (kelima) meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV (kelima belas).

Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita Yang di-Pertuan Agong mengosongkan jawatan dan turun takhta.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Bernama memetik Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, sebagai berkata dalam satu kenyataan media bahawa Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

“Bagi menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Jan, 2019 bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Saya perhatikan boleh kata semua laporan media massa tempatan menggunakan istilah “letak jawatan” atau dalam bahasa Inggeris “resign”.

Izinkan saya menggunakan istilah “turun takhta” atau dalam bahasa Inggeris “abdicate” seperti yang digunakan oleh kebanyakan akhbar Inggeris dari United Kingdom (UK) dan merata dunia.

Ikut kelaziman, dalam bahasa Inggeris apabila seorang raja melepaskan jawatan dia dikatakan “abdicates” iaitu turun atau kosongkan takhta.

Ini adalah tanda memuliakan institusi raja dan membezakan kedudukan raja dengan orang biasa.

Berkenaan Sultan Muhammad V, pembaca bahasa Inggeris tentu sudah maklum yang baginda menjadi tajuk sensasi dalam media antarabangsa, khususnya di UK apabila dilaporkan menikahi bekas ratu cantik Mosow 2015, Okana Voevodina.

Majlis perkahwinan di Rusia yang disiarkan oleh media antarabangsa
Media massa Malaysia pula hanya sekadar melaporkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak tahu secara rasmi peristiwa tersebut.

Yang menyiarkan berita sensasi itu hanyalah beberapa buah blog dan media sosial.

Berita Sultan Muhammad V menikahi ratu cantik Moscow tahun 2015 itu menjadi berita panas media antarabangsa apabila pasangan itu mengadakan majlis sambutan (reception) gilang-gemilang di Moscow.

Akhbar Daily Mail dari UK yang memetik saluran “Islam News” berkata majlis itu diadakan pada 22 November lalu di Dewan Konsert Barvikha di pinggir Moscow.

Ia memetik pengarah ratu cantik Tatiana Andreeva sebagai berkata pasangan itu bertemu di Eropah ketika Voevodina bertugas mempromosikan jam tangan mahal.

Raja Atas Takhta

Izinkan saya terus menggunakan istilah turun takhta kerana kepada saya, seorang raja mahkota apatah lagi Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar memegang jawatan tetapi memegang jawatan dengan bersemayam di atas takhta.

Itulah yang membezakan seorang raja dengan rakyat biasa. Rakyat biasa memegang jawatan atau membuat kerja untuk cari makan dan kekayaan.

Raja kita naik takhta dan memerintah negara dengan bersumpah atas nama Allah dan bersaksikan al-Quran.

Sebab itulah saya tidak putus-putus menekankan bahawa tempat raja adalah di atas takhta.

“Rahmat bahagia
Tuhan Kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.”

Dan dalam nada yang sama saya telah berulang kali berkata bahawa tempat raja bukan dalam bilik lembaga merancang IPO atau memohon konsesi IPP, dalam hutan belantara dan lautan samudera raya mencari hasil bumi untuk diri sendiri atau mengambil alih tanah negeri.

Sultan negeri mana pun yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam belas wajib berpegang kepada ikrar:

“Dengan ini, beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”

Tanggungjawab raja:

1. Berlaku adil.
2.Mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.
3.Memelihara agama Islam.
4.Berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Akhir kalam, apa yang baik yang Sultan Muhammad V lakukan untuk negara ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong, kita menjunjung kasih.

Wallahuaklam.

Friday, January 04, 2019

Silap Siapa Kalau Pengganti Dr Mahathir Bermasalah?


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Gambar menceritakan seribu perkataan
TUN Dr Mahathir Mohamad sering berkata beliau tidak pandai memilih pengganti.

Malah dalam ucapan 30 Disember lepas ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya beliau mengulangi hal yang sama.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya tidak mahu mempersoalkan sama ada beliau bersungguh-sungguh atau berseloroh apabila membuat kenyataan itu.

Sebaliknya saya berpendapat Tun Dr Mahathir mematuhi peraturan di dalam memilih pengganti atau bakal pengganti.

Apa yang berlaku kepada pengganti atau bakal pengganti lebih berupa masalah dan pilihan mereka sendiri.

Daripada pengamatan saya, Dr Mahathir sentiasa dipandu oleh kehendak dan keputusan parti di dalam membuat pilihan pengganti dan bakal pengganti.

Atas alasan itulah beliau membawa masuk semula dan memberikan jawatan kepada banyak orang yang menentang beliau dalam parti dan kerajaan.

Itulah yang berlaku dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri dan watak-watak lain yang menentang beliau dalam pertandingan jawatan Presiden Umno tahun 1987.

Apabila beliau membawa Abdullah masuk semula Kabinet pada tahun 1990 dan diberikan jawatan Menteri Luar, saya bertanya beliau mengapa beliau berbuat demikian sedangkan Abdullah menentang beliau?

Katanya, beliau membawa Abdullah balik kerana dia memang jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti. Sebagai Presiden Umno, katanya, beliau terpaksa menghormati kehendak ahli.

Jadi yang salah bukanlah cara Dr Mahathir memilih pengganti atau bakal pengganti tetapi pengganti atau bakal pengganti itu sendiri menembak kaki mereka sendiri.

Musa Hitam

Sedikit sebanyak saya mengikuti dari jarak dekat bagaimana Dr Mahathir memilih pengganti dan bakal pengganti bermula dengan Tun Musa Hitam.

Dari awal lagi Dr Mahathir melihat Musa sebagai sekutu. Apabila beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1976 oleh Almarhum Tun Hussein Onn, Dr Mahathir menjadikan Musa rakan.

Beliau mempunyai beberapa pilihan dari kalangan kepimpinan tertinggi Umno ketika itu tetapi memilih Musa kerana anak Johor itu dilihatnya sebagai lebih serius, demokratik dan intelektual.

Apabila beliau naik menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, beliau melantik Musa sebagai timbalan dan memberikan beloau jawatan tambahan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Dikenali sebagai 2M selepas PRU 1982
Yang menyebabkan kerenggangan hubungan mereka adalah apabila Musa mula termakan nasihat para penasihat beliau yang separuh masak tetapi bercita-cita tinggi.

Musa menampilkan diri sebagai pemikir ekonomi liberal yang pro-pasaran walaupun pada mulanya beliau dilihat cenderung kepada sosialisme, khususnya ketika menjadi Menteri Perusahaan Utama di bawah Hussein.

Dr Mahathir pula lebih nasionalistik dan melihat dasar ekonomi sebagai pemangkin kepada penjanaan keupayaan ekonomi, khususnya dalam konteks Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Musa mula tidak sependapat dengan Dr Mahathir apabila Dr Mahathir melancarkan beberapa inisiatif besar bagi membina kapasiti ekonomi, khasnya untuk Bumiputera, seperti Projek Kereta Nasional (Proton).

Musa dan banyak ahli ekonomi liberal ketika itu melihat Proton dan projek-projek yang serupa dengannya sebagai tidak sesuai dan membazir.

Musa melancarkan cabaran dengan meletakkan semua jawatan dalam kerajaan tetapi mengekalkan jawatan politik. Beliau kemudian pergi ke Makkah untuk menunaikan Umrah dan seterusnya ke London bercuti.

Strateginya ialah penyokong beliau dalam Umno dan kerajaan akan mengenakan tekanan ke atas Dr Mahathir supaya tidak menerima peletakan jawatan beliau dan memanggilnya balik.

Mereka tersilap besar. Dr Mahathir tidak merayu Musa pulang sebaliknya memanggil sidang Majlis Tertinggi Umno dan menyerahkan keputusan kepada ahli majlis.

Keputusan suara terbanyak ialah jika Musa hendak bersara daripada kerajaan mereka hormati hasrat beliau.

Musa cuba mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan tahun 1987 dengan berpakat dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Umno berpecah kepada dua pasukan - “Team A” dan “Team B”. Tengku Razaleigh gagal rampas jawatan Presiden daripada Dr Mahathir dan Musa hilang jawatan kepada Almarhum Tun Abdul Ghafar Baba .

Bersama Abdul Ghafar, Dr Mahathir mempertahankan Umno daripada percubaan Tengku Razaleigh “merampasnya” melalui saman mahkamah.

Anwar Pilihan Istimewa

Anwar adalah pilihan Dr Mahathir. Tidak sampai setahun menjadi Perdana Menteri beliau membawa Anwar masuk Umno dan dalam masa tidak sampai sebulan mencalonkan beliau sebagai wakil Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) 1982.

Beliau berjaya merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada penyandang Pas, Almarhum Yusof Rawa.

Mengalu-alukan kemenangan Anwar, Dr Mahathir menyifatkan beliau sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah diterima oleh rakyat jelata sehingga mampu mengalahkan Yusof Rawa.

Yusuf Rawa, bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Dr Mujahid, adalah gergasi politik ketika itu. Pada PRU 1969 beliau menewaskan Dr Mahathir di Kota Setar Selatan (sekarang Pendang).

Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik daripada anak ayam berbulu pahat kepada Timbalan Perdana Menteri dan bakal pengganti Dr Mahathir.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa (kejadian) masa lampau akan mengulangi kesilapannya.

Ibnu Khaldun dalam bukunya yang agung “Muqaddimah” (1377), antara lain, menulis (dengan izin):

“History is an art of valuable doctrine, numerous in advantages and honourable in purpose; it informs us about bygone nations in the context of their habits, the prophets in the context of their lives and kings in the context of their states and politics, so those who seek the guidance of the past in either worldly or religious matters may have that advantage.”

Jadi marilah kita belajar daripada sejarah.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).