Saturday, August 15, 2020

Tanda Tanya Majoriti Muhyiddin di Parlimen

 

A Kadir Jasin

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.

Ahil Bersatu mula tinggalkan parti
 

CAKAP-CAKAP di kalangan pemerhati politik yang diperkuatkan oleh laporan dan analisis media arus perdana serta perbualan media sosial memberi gambaran cemas mengenai kedudukan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

 

Antaranya mengatakan yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

 

Sejak pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 2 Mac lagi sudah timbul tanda tanya berkenaan bilangan sebenar ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau.

 

Daripada aspek teknikal, memang benar ada masanya kerajaan PN tidak mempunyai majoriti di Dewan.

 

Contohnya apabila kehadiran ahli kerajaan dalam Dewan lebih sedikit berbanding pembangkang. Mengikut maklumat seorang Ahli Dewan dari PH inilah yang terjadi pada hari Khamis lalu apabila beberapa orang MP Umno “absent”.

 

Hal ini tidak dapat dielakkan kerana PN bukan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya sebaliknya ditubuhkan melalui pemungkiran janji oleh sebahagian ahli yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei 2018.

 

Mereka terdiri daripada tiga kelompok, iaitu Bersatu yang menyokong Muhyiddin, PKR yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan parti-parti yang kalah PRU 2019, khususnya Umno dan Pas.

 

Muhyiddin hanya mendakwa mempunyai sokongan lebih besar dalam Dewan berbanding Pakatan Harapan yang menang PRU 2018.

 

Tetapi beliau tidak berani mengesahkan dakwaannya itu melalui undi Dewan. Sebaliknya perbahasan usul tidak percaya yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mei lalu sama ada gagal diadakan atau sengaja dilambat-lambatkan.

 

Apa yang berlaku ketika perbahasan mengenai penggantian Yang di-Pertua Dewan pada 13 Jun lalu tentunya menambah ketakutan Muhyiddin.

 

Beliau hanya menang dengan kelebihan dua undi, iaitu 111 lawan 109. Secara tidak langsung, pengundian itu memberi gambaran berkenaan kekuatan atau kelemahan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan PN.

 

Sejak beberapa hari lalu, timbul cakap-cakap bahawa kerajaan Muhyiddin amat bimbang dan keberatan untuk membuka sebarang usul atau rang undang-undang kepada pengundian kerana takut apa yang berlaku pada 13 Jun itu akan berulang atau menjadi lebih teruk.

 

Tetapi ada pihak mengatakan pengundian tidak dapat dielakkan kerana ada rang undang-undang penting bersabit perbelanjaan dan kewangan negara terpaksa diluluskan segera.

 

Pada hemat saya, wakil-wakil pembangkang akan menyokong rang undang-undang ini bagi mengelak negara daripada mengalami krisis belanjawan.

 

Rasanya yang lebih membimbangkan Perdana Menteri adalah pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 29 Julai lalu yang parti itu tidak akan menyertai PN walaupun “masih menyokong kerajaan”.

 

Sebaliknya beliau menekankan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

 

Pengutamaan MN dan peminggiran PN oleh Umno terserlah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Chini, Pahang 4 Julai lalu dan di Slim River, Perak sekarang di mana Umno dan Pas meletakkan seorang calon sahaja.

 

Walaupun Bersatu tidak bertanding demi memberi laluan kepada Umno dan Pas, ia juga tidak dilayan sebagai rakan kongsi yang setaraf. Ikut cerita, wakil Bersatu tidak pun dijemput ke majlis memperkenalkan calon PRK Slim River.

 

Di Chini, feksyen Bersatu yang disingkirkan menyokong calon bebas, Datuk Seri Tengku Zainul Hisham. Walaupun kalah, bilangan undi yang beliau peroleh lebih baik daripada calon-calon bebas sebelum ini.

 

Pada 12 Ogos, Dr Mahathir telah mengumumkan penubuhan parti baru, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan meletakkan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi untuk bertanding di Slim River.

 

PRK ini akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai persaingan baru politik. Kawasan ini lebih bersifat pelbagai kaum berbanding Chini yang merupakan kubu Melayu.

 

Calon Umno akan disokong oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu. Calon bebas (Pejuang) akan disokong oleh sebahagian atau semua parti-parti PH.

 

Walaupun jurucakap dan strategis Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memperlekeh penubuhan Pejuang, saya yakin Muhyiddin tahu bahawa sokongan terhadap Bersatu sedang terhakis.

 

Hamzah yang menang PRU 2018 atas tiket BN telah melompat menyertai Bersatu dan menjadi antara penggerak utama penubuhan kerajaan PN. Beliau dipetik sebagai berkata: “Enam orang meninggalkan Bersatu, 20,000 memohon menyertainya.”

 

Dengan latar belakang di atas dan banyak lagi perkembangan yang kurang positif dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi, tidak hairanlah kalau Muhyiddin takut untuk mendedahkan kedudukannya kepada sebarang bentuk pengundian.

 

Tetapi beliau tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi kemungkinan itu buat selama-lamanya. Hari penentuan akan tiba juga lambat-laun.

 

Wallahuaklam.

 

Wednesday, August 12, 2020

Ganti Rugi Yang Merugikan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.
 
contoh
Kenapa agaknya GS berpesta selepas bayar ganti rugi?
 

GANTI rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs (GS) berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara.

 

Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa Kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Mohd Yassin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

 

Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas GS yang dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018.

 

Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata.

 

Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas GS ini adalah Kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden Pas merangkap Duta Khas Bertaraf Menteri ke Timur Tengah, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Sesiapa saja yang menghalusi dan memahami tuntutan dan tindakan undang-undang ke atas GS itu tentu mengakui bahawa penyelesaian AS$3.9 bilion itu lebih berupa “ego trip” Kerajaan PN daripada penyelesaian sebenar.

 

Malah pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan belakang tabir dengan GS dan pihak Arab di negara-negara Teluk menyifatkan penyelesaian itu sebagai tergesa-gesa.

 

Akibatnya, kata salah seorang daripada mereka, kerajaan sanggup kehilangan AS$5 bilion semata-mata kerana mahukan penyelesaian segera.

 

Bagi GS, penyelesaian ini adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Yang ditakuti oleh GS bukanlah ganti rugi tetapi tindakan mahkamah oleh Kerajaan Malaysia dan penyiasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ).

 

Dengan penyelesaian itu, terlepaslah mereka daripada dua tindakan mahkamah oleh Kerajaan PH. Yang pertama pada bulan Disember 2018 terhadap eksekutif dan bekas eksekutif serta agen GS, iaitu Tim Liessner, Roger Ng, Jasmine Loo dan Jho Low.

 

Mereka dituduh menipu Kerajaan Malaysia dalam pengeluran tiga bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion yang dijamin oleh kerajaan Malaysia.

 

Kedua, pada bulan Ogos 2019 terhadap 17 ahli dan bekas ahli lembaga pengarah tiga buah anak syarikat GS, termasuk warganegara Amerika.

 

Pendakwaan inilah yang sangat mereka takuti kerana silap-silap mereka akan dijatuhkan hukuman penjara dan denda. Walaupun hukuman itu mungkin susah hendak dikuatkuasakan, namun mereka boleh diisytiharkan sebagai “fugitive” (pelarian jenayah).

 

Ini akan memalukan mereka, menyekat pergerakan mereka dan menjatuhkan imej syarikat mereka. Mereka tentulah tidak mahu menjadi “fugitive” macam Jho Low dan konco-konconya.

 

Mereka juga takut diharamkan daripada bergiat dalam industri kewangan seperti yang telah berlaku kepada rakan mereka, Leissner.

 

Jadi sebab itulah sebaik saja kerajaan PH dijatuhkan, mereka cepat-cepat bersetuju dengan Kerajaan PN untuk membayar ganti rugi AS$3.9 bilion tersebut. Bagi mereka, duit boleh dicari asalkan imej mereka tidak tercemar.

 

Tetapi Muhyiddin dan Menteri Kewangan amaturnya, Tengku Zafrul mungkin tidak nampak atau tidak peduli permainan licik GS ini kerana matlamat mereka adalah untuk menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan satu masalah besar.

 

Bagi GS, apalah sangat ganti rugi sekali lalu sebanyak AS$3.9 bilion apabila keuntungannya bagi tahun 2019 saja adalah AS$8.47 bilion. Yang lebih penting adalah nama baik dan terlepas daripada beban tindakan undang-undang. Tidak hairanlah mereka berpesta selepas penyelesaian itu.

 

Wakil khas yang dilantik oleh Kerajaan PH bagi membantu proses itu berkata, GS amat kedekut tetapi apabila dituduh di mahkamah kita, mereka mula berlembut.

 

Mereka tidak berani datang ke Malaysia untuk berunding kononnnya takut ditangkap. Tahu pula mereka takut.

 

Mereka bukan saja takut kepada mahkamah dan undang-undang kita, tetapi mereka lebih takut kepada tindakan kerajaan mereka sendiri. Mereka amat takut dikenakan tindakan oleh DoJ.

 

Wakil khas itu berkata, kalau mereka mempunyai kes yang kuat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan, mengapakah mereka hendak berunding dengan kita?

 

Dia amat yakin daripada beberapa siri rundingan yang dihadirinya di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan GS dan pihak Arab bahawa Malaysia boleh mendapat ganti rugi yang lebih besar jika Kerajaan PN bersabar dan meneruskan tindakan yang diasaskan oleh Kerajaan PH.

 

Usaha mendapatkan balik duit 1MDB ini bermula sebaik saja Kerajaan PH mengambil alih. Ia melibatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi, Tun Daim Zainuddin, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas serta wakil-wakil SPRM, PDRM, GIACC dan beberapa agensi lain.

 

Kerajaan PH menuntut ganti rugi AS$9.6 bilion kerana itulah anggaran kerugian yang telah dan akan ditanggung oleh kerajaan dan rakyat jelata akibat penjualan tiga bon 1MDB oleh GS itu.

 

Kerajaan PH tidak bersedia menerima sebarang penyelesaian kurang daripada AS$4.8 bilion dan yakin matlamat ini boleh dicapai. Tetapi kerajaan PN “bergumbira” dengan hanya AS$3.9 bilion.

 

Kerajaan PH juga menuntut ganti rugi atau penyelesaian melibatkan AS$4.3 bilion daripada pihak-pihak Arab yang terlibat dengan “pelaburan atas angin” 1MDB.

 

Jumlah AS$3.9 bilion yang diterima dengan gembira oleh Kerajaan PN itu tidak pun cukup untuk menampung separuh beban hutang yang Najib dan Jho Low lambakkan ke atas kita semua.

 

Ganti rugi AS$9.6 bilion yang Kerajaan PH tuntut itu terdiri daripada ASS$493.18 juta komisen yang dibayar kepada GS, AS$2.07 bilion faedah pinjaman dan AS$7.7 bilion bayaran pokok.

 

Jumlah yang dituntut itu adalah akibat daripada pinjaman AS$6.5 bilion yang diatur oleh GS. Ia tidak termasuk aset dan wang tunai milik 1MDB yang diperoleh semula daripada pihak-pihak yang mencurinya.

 

Tetapi Zafrul nampaknya memasukkan hasil “asset recovery” ke dalam kiraan bagi memberi gambaran bahawa Kerajaan PN telah berjaya mendapat ganti rugi yang besar.

 

Natijahnya kalau Muhyiddin yang pernah menjadi anggota kanan Kerajaan PH meneruskan kaedah “recovery” yang diasaskan oleh PH, jumlah ganti rugi yang mungkin diperoleh adalah jauh lebih besar.

 

Tetapi nampaknya dia lebih percaya kepada nasihat “wunderkinder” (budak cerdik)Tengku Zafrul daripada hati kecilnya sendiri atau dia cuba meyakinkan rakyat jelata yang dia lebih hebat daripada Dr Mahathir dan Kerajaan PN lebih berjaya daripada PH.

 

Realitinya sama ada AS$3.9 bilion yang dipersetujui oleh Kerajaan PN atau AS$9.6 bilion yang dituntut oleh Kerajaan PH, semua ini tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan kleptrokasi BN tidak ditumbangkan oleh Kerajaan PH dengan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.

 

 

Wallahuaklam.

 

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).